Rabu, 20 Jun 2012

PANDUAN MEMBERI NAMA ANAK

Di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kebiasaan para sahabat nabi sebaik sahaja lahir anak mereka, mereka akan membawa anak mereka kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk ditahnik (menyuapkan kurma atau manisan ke dalam mulut bayi) serta diberikan nama yang baik.

Siapa Yang Berhak Memberi Nama?

Di antara suami dan isteri, maka yang lebih berhak memberi nama kepada anak mereka adalah suami, manakala si isteri pula tidak boleh menentang keputusan yang diputuskan oleh suaminya. Namun adalah lebih baik sekiranya mereka berdua berbincang dan membuat keputusan secara bersama-sama. Jika sekiranya berlaku perselisihan antara suami dan isteri dalam memberi nama anak dan sukar untuk membuat satu keputusan, maka hendaklah si isteri mengalah dan menunaikan hak suaminya sepertimana hak-hak suaminya yang lain. 

Seorang suami dikehendaki memilih nama yang baik dari segi lafaz dan maknanya menurut neraca agama (Islam) serta nama tersebut menggunakan bahasa arab. Setiap orang sudah pasti menginginkan nama anaknya yang baik-baik dan elok pula bunyi panggilannya. Namun yang paling penting hendaklah nama-nama tersebut dihindari daripada menggunakan nama-nama yang dimakruhkan apalagi yang diharamkan oleh syariat.

Waktu Memberi Nama Anak

Diharuskan (mubah/boleh) memberi nama sebaik sahaja anak telah lahir, agar mudah mengingatnya baik anak lelaki mahupun anak perempuan. 

Imam Nawawi rahimahullah berkata: "Perbuatan ini dibolehkan. Ia dilakukan agar mudah diingat, baik lelaki mahupun perempuan. Hendaklah diberi nama yang sesuai untuk lelaki dan perempuan seperti nama Asma', Hindun, Hindiyah, Kharijah, Thalhah, Amirah, Zar'ah dan lain-lain." (Al-Azkar Al-Muntakhabah min Kalam Sayyid Al-Abrar)

Dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

وُلِدَ لِي الليلة غلام فسميته باسم أبي إبراهيم عليه السلام

"Malam ini anakku telah lahir, maka aku menamakannya dengan nama Abu Ibrahim 'alaihissalam." (HR. Muslim, no: 2315)

Disunnahkan (digalakkan) memberi nama pada hari ketujuh dari hari kelahirannya sekiranya belum lagi memberi nama kepada anak pada hari kelahirannya. 

Dari 'Amr bin Syu'aib, dari ayahnya dan datuknya:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بتسمية المولود يوم السابعة، ووضع الأذى عنه والعق

"Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan menamakan anak-anak yang lahir pada hari ketujuh, dan dipalingkan darinya kesulitan serta diakikahkan." (HR. Tirmizi, no: 2832, beliau berkata hadis ini hasan)

Dari Samrah bin Jundab radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

كل غلام رهينة بعقيقته تُذبح عنه يوم سابعه ويسمى فيه ويُحلق رأسُهُ

"Setiap anak tergadai (tertahan) dengan akikahnya, disembelihkan haiwan akikah pada hari ketujuh, diberi nama pada hari tersebut, dan dicukur rambutnya." (HR. Abu Daud no: 2837, At-Tirmizi no: 1522, An-Nasai no: 4220 dan Ibnu Majah no: 3165)

Anjuran Memberi Nama Yang Baik

Dari Abu Darda' radhiallahu 'anhu berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إنكم تُدعون يوم القيامةِ بأسمائكم وأسماء آبائكم فأحسنوا أسمائكم

"Sesungguhnya kamu akan dipanggil di hari kiamat kelak dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa-bapa kamu, maka hendaklah memperbaiki (memperelokkan) nama-nama kamu." (HR. Abu Daud no: 4948; hadis ini dhaif kerana sanadnya munqathi' (terputus) iaitu Abdullah bin Abu Zakaria tidak menemui Abu Darda')

Ketentuan nama-nama yang baik itu berperingkat-peringkat sesuai dengan urutannya sebagaimana nama-nama berikut ini:

(1) Abdullah dan Abdurrahman. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
أحب الأسماء إلى الله عبد الله وعبد الرحمن

"Nama-nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah (hamba Allah) dan Abdurrahman (hampa kepada Yang Maha Pemurah)." (HR. Muslim no: 2132, At-Tirmizi no:2833, An-Nasai no: 3565, Abu Daud no: 4949 dan Ibnu Majah no: 3728)

(2) Nama-nama yang dimulai dengan kata Abdu pada nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna) seperti Abdul Aziz, Abdul Karim, Abdul Malik dan seterusnya.

(3) Nama-nama para nabi dan rasul. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

تسموا بأسماء الأنبياء وأحب الأسماء إلى الله تعالى عبد الله وعبد الرحمن، وأصدقها حارث وهمام، وأقبحها حرب ومرة

"Namakanlah (anak-anak kamu) dengan nama-nama para nabi. Dan nama-nama yang paling dicintai Allah Ta'ala adalah Abdullah dan Abdurrahman. Dan yang paling benar namanya adalah: Harith dan Hammam, serta yang paling buruk namanya adalah Harbun dan Murrah." (HR. Abu Daud no: 4950, An-Nasai no: 3565 dan selainnya dari Abu Wuhaib Al-Jasymi; lihat Al-Azkar Imam Nawawi no: 741)

(4) Nama-nama orang soleh dari kalangan kaum muslimin bermula dengan nama para sahabat nabi radhiallahu 'anhum. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Al-Mughirah bin Syu'bah radhiallahu 'anhu, dari nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

إنهُمْ كَانُوا يُسَمُّونَ بأنبيآئِهمْ والصَّالحين قبْلهمْ

"Sesungguhnya mereka memberikan nama (kepada anak-anak mereka) dengan nama-nama para nabi, orang-orang soleh sebelum mereka." (HR. Muslim no: 2135, dan At-Tirmizi no: 3155)

(5) Semua sifat-sifat yang benar bagi manusia dengan syarat-syarat seperti berikut:

  • Nama tersebut dalam bahasa arab, tidak termasuk di dalam kategori kaedah ini nama-nama serapan dari bahasa asing seperti: Diana, Hedi, Syirihan dan lain-lain lagi.
  • Lafaz dan maknanya baik.
  • Berusaha memberi nama yang hurufnya sedikit.
  • Berusaha memberi nama yang mudah dipanggil.

Nama-Nama Yang Diharamkan

(1) Setiap nama yang dimulai dengan kata Abdu dan dihubungkan kepada selain Allah seperti Abdurrasul (hamba kepada rasul), Abdul Husein (hamba kepada husein) dan seterusnya.

(2) Memberi nama dengan nama-nama khusus bagi Allah seperti Ar-Rahman, Al-Khaliq dan seterusnya yang tidak diawali dengan kata Abdu (dihadapannya).

(3) Memberi nama dengan nama-nama serapan yang kebiasaannya merupakan nama orang-orang kafir seperti Jirjis, George, Diana, Suzana dan seterusnya.

(4)  Memberi nama dengan nama-nama berhala yang disembah selain Allah seperti Latta, Uzza dan seterusnya.

(5) Memberi nama dengan nama-nama asing seperti nama orang Turki dan Parsi dari nama-nama yang tidak ada hubungannya dengan bahasa arab seperti Nariman, Jihan, Nifin dan seterusnya.

(6) Setiap nama yang sebatas pengakuan dari nama-nama yang mengandungi pujian dan kebohongan.

(7) Memberi nama dengan nama-nama syaitan seperti Khinzib, Al-A'war dan seterusnya.

Nama-Nama Yang Dimakruhkan (Tidak disukai)

(1) Nama yang menjadikan hati enggan untuk mendengarnya disebabkan makna dan lafaznya yang mengandungi celaan bagi pemiliknya. Lebih-lebih lagi jika nama tersebut bertentangan dengan petunjuk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menganjurkan memberi nama yang indah. Contohnya Khanjar (pisau besar), Faadhih (yang suka membuka aib), Huyaam/Suuham (penyakit yang menimpa unta) dan seterusnya.

(2) Memberi nama dengan nama-nama yang mengandungi makna yang berkaitan dengan nafsu syahwat. Contohnya Ahlaam, Ghaadah (lemah/terlalu lembut), Fatin (tukang penggoda) dan seterusnya.

(3) Membari nama dengan nama-nama yang mengandungi makna dosa dan maksiat seperti Zalim bin Sarraq.

(4) Memberi nama para penguasa yang zalim dan orang-orang yang sombong seperti Fir'aun, Haman, Qarun dan seterusnya.

(5) Memberi nama yang dihubungkan dengan kata 'Din' (agama) atau Islam seperti Nuruddin, Syihabuddin dan Saiful Islam.

(6) Nama-nama Murakkab (yang tersusun dari dua perkataan atau lebih), seperti Muhammad Ahmad dan yang lain-lain lagi kerana ianya mengandungi ketidakjelasan dan kesamaran.

(7) Memberi nama dengan nama-nama Malaikat seperti Jibrail, Mikail, dan seterusnya. (Fiqhus Sunnah Lin Nisaa`,  karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim)

Mengubah Nama Kepada Nama Yang Lebih Baik

Seseoang boleh mengubah namanya atau nama anaknya sekiranya terdapat makna-makna yang tidak elok atau nama tersebut tidak sesuai. Bahkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri biasa mengubah nama sahabatnya disebabkan terdapat makna yangtidak elok yang terkandung di dalam nama tersebut.

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma: Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengubah nama 'Ashiyah (orang yang melakukan maksiat) lalu bersabda: "Nama engkau adalah Jamilah (yang cantik)." (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim disebutkan:

أن ابنة لعمر كان يقال لها عاصية، فسماها رسول الله صلى الله عليه وسلم جميلة

"Bahawasanya puteri Umar radhiallahu 'anhu dahulu dipanggil sebagai 'Ashiyah, kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menamakannya Jamilah."

Abu Daud rahimahullah berkata: "Nabi mengubah nama-nama seperti Al-'Ashi, 'Aziz, 'Athlah, Syaithan, Al-Hakam, Gharab, Habab, dan Shihab, dan menamakannya: Hasyim, Harban, Salman, Al-Mudhthoji', dan Al-Munba'its, kemudian nama bumi sebelumnya Aqrah diubah dengan nama Khadrah. Masyarakat yang sesat (diubah) dengan masyarakat yang mendapat petunjuk, anak-anak zina (diubah) dengan nama anak-anak yang mendapat petunjuk dan nama Bani Mughawiyah (anak-anak sesat) dengan nama Bani Rusydah (anak-anak yang beroleh hidayah)." (Al-Azkar Imam Nawawi)

Mengubah nama dari yang jelek kepada makna yang lebih baik adalah perbuatan yang disukai. Bahkan perbuatan tersebut dicontohkan sendiri oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terhadap sahabatnya sebagaimana hadis sebelum ini. Cara ini juga merupakan penyelesaian (solusi) bagi sesiapa yang telah terlanjur diberi nama oleh ibu bapa mereka lalu kemudiannya hendak mengubah namanya, kerana dibimbangi makna yang terkandung dalam namanya akan mempengaruhi kehidupannya.

Dari Sa'id bin Al-Musayyib bin Huzn, dari ayahnya:

أن أباه جاء إلى النبي صلى الله عليه وسلم قال: ما اسمك؟ قال حزن. فقال: أنت سهل. قال: لا أغير اسما سمانيه إبي. قال ابن المسيب: فما زالت الحزونة فينا بعد

"Bahawasanya ayahnya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka Nabi bertanya kepadanya: "Siapa nama engkau?" Dia menjawab: "Huzn (sedih)." Maka Nabi mengatakan: (Nama) engkau adalah Sahl (mudah)." Dia menjawab: "Aku tidak akan mengubah nama yang telah diberikan oleh ayahku." Maka Ibnul Musayyib pun berkata: "Maka sentiasalah kesedihan terus menimpa kami setelah itu." (HR. Bukhari no: 6190)

Memanggil Nama Yang Lebih Elok

Dibolehkan memanggil atau mengubah nama yang sedia ada kepada yang lebih elok panggilannya serta sedap didengari. Perbuatan ini pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang dinyatakan di dalam sahih Al-Bukhari:

 أن رسول الله صلى الله عليه وسلم رخم أسماء جماعة من الصحابة، فمن ذلك قوله صلى الله عليه وسلم لأبي هريرة رضلى الله عنه: يا أبا هِرّ. وقوله صلى الله عليه وسلم لعائشة رضى الله عنها: يا عائِش ولأنجسة رضلى الله عنها: يا أنجش

"Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyedapkan panggilan nama-nama para sahabatnya. Oleh itu, Abu Hurairah radhiallahu 'anhu dipanggil sebagai Aba Hir, 'Aisyah radhiallahu 'anha dipanggil Ya 'A`isy dan Anjasyah dipanggil Ya Anjasy." (HR. Bukhari, no: 285)

Demikianlah beberapa panduan memberi nama anak yang mampu saya nyatakan di dalam artikel ini. Semoga nama yang disandarkan kepada diri kita semua akan mencerminkan diri kita dari makna-maknanya yang indah. Wallahua'lam


Selesai 21 Jun 2012
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu

_______________________________
Rujukan:
(1) Al-Azkar Al-Muntakhabah min Kalam Sayyid Al-Abrar, Imam Nawawi.
(2) Fiqhus Sunnah Lin-Nisa`, Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim

Ahad, 15 April 2012

7 Syubhat Pengkritik Hadis Al-Mahdi

Syubhat 1: Hadis-hadis tentang Al-Mahdi tidak ada yang sahih

Jawapan: Terdapat banyak hadis-hadis yang sahih tentang Al-Mahdi antaranya:

Hadis Pertama:  

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيْهِ رَجُلاً مِنِّيْ أَوْ مِنْ أهْلِ بَيْتِيْ يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِيْ وَاسْمَ أَبِيْهِ اسْمَ أَبِيْ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Seandainya dunia tidak tersisa kecuali tinggal sehari sahaja, maka Allah akan memanjangkan hari itu sehingga mengutus seorang lelaki dari keturunanku atau dari ahli baitku, namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi kezaliman dan penganiayaan.”
Orang yang meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu ada dua:

1. Zirr bin Khubaisy
  • Riwayat Abu Daud: 4282, Tirmizi: 2230, 2231, Ahmad 1/376, 377, 430, 448, At-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 10/10213-10230 dan Al-Mu’jam Ash-Shaghir hal. 245, Abu Nuaim dalam Al-Hilyah dan Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad.
  • Imam Tirmidzi berkata: “Hasan Sahih”. Imam Az-Zahabi mensahihkannya dalam At-Talkhis 4/442 dan dipersetujui oleh Syeikh Al-Albani.
2. Alqamah (bin Martsyad)
  • Riwayat Ibnu Majah: 4082 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/264.
  • Syaikh Al-Albani berkata: Sanadnya hasan.

 

Hadis Kedua:

 

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِيْ طَالِبٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه: الْمَهْدِيْ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللهُ فِيْ لَيْلَةٍ


Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunan kami, ahli bait, Allah memperbaikinya (memberi taufik dan hidayah) dalam sehari.”

Orang yang meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ada dua:

1. Muhammad bin Hanafiyyah
  • Riwayat Ibnu Majah: 4085, Ahmad 1/84, Al-Uqaili dalam Adh-Dhu’afa: 470, Ibnu Adi dalam Al-Kamil 2/360 dan Abu Nuaim dalam Al-Hilyah 3/177 dari Yasin Al-Ijli dari Ibrahim bin Muhammad bin Hanafiyyah dari ayahnya.
  • Sanad hadis ini hasan. Seluruh perawinya terpercaya kecuali Yasin iaitu Ibnu Syaiban, hadisnya hasan. Namun dia tidak sendirian, dia dikuatkan oleh Salim bin Abu Hafshah (hadisnya hasan) sebagaimana riwayat Abu Nuaim dalam Akhbar Ashbahan 1/170 sehingga hadis ini naik kepada darjat sahih. (Ash-Shahihah no. 2371)
2. Abu Thufail
  • Riwayat Abu Daud: 4283, Ahmad 1/99 dengan lafaz seperti hadis Abdullah bin Mas’ud.
  • Syeikh Adzim Abadi berkata dalam Aunul Ma’bud 11/251: “Sanadnya hasan dan kuat”. Dan disahihkan Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Al-Albani dalam Takhrij Ahadits Fadhail Syam hal. 44.

 

Hadis Ketiga:


عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: الْمَهْدِيْ مِنِّيْ أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأَ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا وَ يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِيْنَ


Dari Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku, berdahi lebar dan berhidung mancung, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan dia berkuasa selama tujuh tahun lamanya.”

Orang yang meriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri ada dua:

1. Abu Nadhrah
  • Riwayat Abu Daud: 4285 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 1/556 dari jalur Imran Al-Qatthan dari Qatadah dari Abu Nadhrah dengannya.
  • Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih menurut syarat Muslim”. Dan dipersetujui Az-Zahabi. Syeikh Al-Albani berkata: “Sanadnya hasan.”
2. Abu Ash-Shiddiq
  • Riwayat Tirmizi: 2232, Ibnu Majah: 4083, Ahmad 3/21 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/557 dari jalur Zaid Al-‘Ummi dari Abu Ash-Shiddiq.
  • Imam Tirmizi berkata: “Hadisnya hasan”.
  • Al-Hakim berkata: “Sahih menurut syarat Muslim”. Dan dipersetujui Az-Zahabi dan Al-Albani. 
  • Syeikh Al-Albani berkata: “Menurut saya hadis ini mutawatir dari Abu Ash-Shiddiq dari Abu Said Al-Khudri. Dan yang paling sahih adalah dua jalur:
    Pertama: Auf bin Abu Jamilah. Riwayat Ahmad 3/36, Ibnu Hibban: 1880, Al-Hakim 4/557 dan Abu Nuaim dalam Al-Hilyah 3/101. Al-Hakim berkata: “Sahih menurut syarat Bukhari Muslim” Dan disetujui Az-Zahabi dan memang seperti itu.

    Kedua: Sulaiman bin Ubaid. Riwayat Al-Hakim 4/557-558 dan berkata: “Sanadnya sahih”. Dan disetujui Az-Zahabi dan Ibnu Khuldun. (Lihat Ash-Shahihah 4/40, 2/328).

 

Hadis Keempat:


عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رضي الله عنها قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ : الْمَهْدِيْ مِنْ عِتْرَتِيْ مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ


Dari Ummu Salamah radhiallahu ‘anha berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku dari anak keturunan Fatimah.”
  • Riwayat Abu Daud: 4284, Ibnu Majah: 4086, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/557, Abu Amr Ad-Dani dalam As-Sunan Al-Waridah fil Fitan: 99-100 dan Al-Uqaili dalam Adh-Dhu’afa: 139, 300 dari jalur Ziyad bin Bayan dari Ali bin Nufail dari Said bin Musayyib dari Ummu Salamah secara marfu’.
  • Syeikh Al-Albani berkata: “Sanadnya jayyid (baik), seluruh perawinya terpercaya”. (Silsilah Adh-Dha’ifah 1/181)
Demikianlah beberapa contoh hadis yang sahih tentang kedatangan Imam Al-Mahdi. Bagi sesiapa yang ingin mengetahui hadis-hadis lain, silalah membaca kitab Al-Idha’ah Lima Kana wa Maa Yakunu Baina Yadai As-Sa’ah oleh Al-Allamah Siddiq Hasan Khan dan Al-Urful Wardi oleh Imam As-Suyuti. Wallahu A’lam.

Syubhat 2: Ucapan Imam Ibnu Khaldun

Jawapan: Seringkali para pengkritik berhujah dengan keterangan Ibnu Khuldun dalam kitabnya yang masyhur itu dan menipu umat dengannya. Sebagai jawapan, alasan ini tidak dapat diterima kerana dua sebab:

Pertama: Ibnu Khaldun bukanlah ahli hadis. Oleh kerana itulah para pakar hadis mengingkari dan membantah keterangannya tersebut. Diantaranya Al-Allamah Siddiq Hasan Khan, beliau berkata setelah menukil ucapan Ibnu Khuldun: “Masalahnya tak seperti yang dia terangkan. Dan kebenaran lebih utama untuk diikuti,” Syeikh Adzim Abadi dan Al-Mubarakfuri mengatakan: “Dia terjatuh dalam kesalahan dan jauh dari kebenaran.” (Aunul Ma’bud 11/243 dan Tuhfatul Ahwadzi 6/402)

Syeikh Al-Allamah Ahmad Syakir rahimahullah berkata:
Ibnu Khuldan tidak faham kaedah ahli hadis “Al-Jarh Muqaddam ‘ala Ta’dil” (Celaan lebih didahulukan daripada pujian). Seandainya dia mengetahui dan memahami kaedah tersebut, nescaya dia tidak akan berucap seperti ini. Atau mungkin dia tahu tetapi sengaja melemahkan hadis-hadis tentang Al-Mahdi kerana situasi politik pada masanya”. Kemudian beliau menjelaskan bahawa keterangan Ibnu Khuldun banyak memuat kesalahan.”(Syarhul Musnad 5/197-198) (*)
(*) Syeikh Ahmad bin Shiddiq Al-Ghumari memiliki kitab yang menjelaskan tentang kesalahan-kesalahan Ibnu Khuldun tentang hadis Mahdi dengan judul “Ar-Raddu Ala Tawahhumi Ibnu Khuldun”. Sebagaimana dalam buku “Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa” oleh Abdul Latif Asyur cet. Darul Nu’man, Kuala Lumpur.
Syeikh Al-Albani rahimahullah juga berkata:
Ibnu Khaldun telah melakukan kesalahan yang amat fatal tatkala melemahkan kebanyakan hadits-hadits tentang Mahdi. Hal itu tak aneh, karena memang ilmu hadits bukanlah bidangnya”.(Takhrij Ahadits Fadhail Syam, hal 45 cet. Maktabah Al-Ma’arif)
Kedua: Sekalipun Ibnu Khaldun menilai bahawa kebanyakan hadis tentang Mahdi adalah cacat, tetapi beliau tidak melemahkan semuanya. Perhatikan ucapan beliau usai memaparkannya: “Inilah beberapa hadis yang diriwayatkan oleh para imam tentang kedatangan Al-Mahdi di akhir zaman. Sebagaimana anda lihat sendiri tidak ada yang selamat dari cacat kecuali sedikit atau sedikit sekali.” (Muqaddimah Tarikh Ibnu Khuldun 1/574)

Oleh kerana itulah Imam Muhammad Nasiruddin Al-Albani berkata dalam Ash-Shahihah 4/40: “Barangsiapa menisbatkan pada Ibnu Khaldun bahawa beliau melemahkan seluruh hadis tentang Al-Mahdi, sungguh dia telah berdusta baik terlupa mahupun sengaja.” (Lihat juga bantahan menarik  Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad dalam risalahnya Aqidah Ahli Sunnah wal Atsar hal. 210-214)

Syubhat 3: Hadis-hadisnya karangan para politisi kelompok Syiah dan seluruh sanadnya tidak terlepas dari perawi Syiah.

Jawapan: Alasan ini sangat rapuh sekali kerana:

Pertama: Menyatakan secara mutlak seperti itu tidak benar dan hanya dugaan semata yang tidak ada buktinya kerana empat hadis yang telah saya sebutkan di atas, tak ada seorang perawi pun dalam sanadnya yang dikenal termasuk golongan Syi’ah. Ya, memang benar ada beberapa hadis tentang Mahdi yang dikarang oleh Syiah tetapi para ahli hadis telah menjelaskan secara terperinci tentangnya sehingga dapat dibezakan. “Adanya hadis-hadis tentang Mahdi yang palsu kerana karangan politisi Syiah atau sejenisnya tidaklah bererti kita mengingkari hadis sahih tentang Mahdi” sebagaimana dikatakan oleh Ustaz Muhammad Hidhir Husain (Syeikul Azhar dahulu).

Kedua: Katakanlah sekiranya memang semua hadis tentang Al-Mahdi tidak luput dari perawi Syiah, maka perkara itu tidaklah merosak keabsahan hadis kerana perselisihan mazhab bukanlah syarat absahnya suatu hadis sebagaimana diterangkan dalam kitab-kitab mustalah hadis. Oleh kerana itu, Imam Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan dalam kitab sahihnya dari beberapa perawi Syiah dan kelompok-kelompok lainnya.(Lihat Hadyu Saari hal 459 oleh Ibnu Hajar, Tsamarat Nadhar hal 86-93 oleh As-San’ani, Al-Baits Hatsits 1/303 Ahmad Syakir, dan As-Shahihah no. 396 Al-Albani)

Syubhat 4: Hadisnya tidak diriwayatkan Imam Bukhari Muslim

Jawapannya: Pertama: Apakah hadis-hadis sahih hanya terhimpun dalam Sahih Bukhari dan Muslim saja?!! Tidak ada seorangpun ulama yang mengatakan demikian, kerana terdapat banyak juga hadis-hadis sahih yang terhimpun dalam kitab-kitab Sunan, Musnad, Mu’jam dan ensiklopedia hadis lainnya. Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata: “Sesunggunya Bukhari dan Muslim tidaklah mengeluarkan seluruh hadis sahih dalam kitabnya. Buktinya keduanya telah mensahihkan beberapa hadis dalam selain kitab sahihnya tersebut sebagaimana At-Tirmizi dan lainnya menukil dari Bukhari bahawa beliau mensahihkan beberapa hadis yang tidak ada di dalam kitab sahihnya, tetapi dalam kitab sunan.”(Al-Baits Al-Hatsits 1/106)

Kedua: Sebenarnya dalam Sahih Bukhari dan Muslim ada beberapa hadis yang memberikan isyarat tentang Al-Mahdi seperti:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ ابْنُ مَرْيَمَ فِيْكُمْ وَإِمَامُكُمْ مِنْكُمْ؟

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallambersabda: “Bagaimana kalian apabila Isa bin Maryam turun kepada kalian dan Imam kalian dari kalangan kalian?!” (HR. Bukhari no: 2449 dan Muslim no: 155)

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ: لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِيْنَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ. قَالَ: فَيَنْزِلُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ فَيَقُوْلُ أَمِيْرُهُمْ: تَعَالَ صَلِّ لَنَا. فَيَقُوْلُ: لاَ, إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ, تَكْرِمَةُ اللهِ عَلَى هَذِهِ الأُمَّةِ

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Dari Akan sentiasa ada sekelompok dari umatku yang berperang di atas kebenaran dan tegar (menang) sehingga hari kiamat. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Maka Isa bin Maryam turun, lalu amir (pemimpin) mereka mengatakan: Marilah, maju untuk mengimami solat kami. Isa menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin kepada sebahagian lainnya sebagai kemuliaan Allah atas umat ini.” (HR. Muslim no: 156)
Al-Allamah Shiddiq Hasan Khan rahimahullah setelah membawakan beberapa hadis yang banyak sekali dalam kitabnya Al-Idha’ah halaman 144, beliau mengakhirinya dengan hadis Jabir di atas lalu berkomentar: “Memang benar dalam hadis ini tidak ada kata “Al-Mahdi” secara jelas, namun tidak ada maksud lain dari hadis ini dan hadis-hadis sejenisnya melainkan adalah Al-Mahdi yang dinanti-nanti sebagaimana dijelaskan dalam beberapa hadis dan atsar yang banyak sekali.”

Hal tersebut kerana “hadis itu saling menafsirkan antara satu sama lainnya”. Diantara hadis yang menjelaskannya adalah sebagai berikut:

عَنْ جَابِرٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: يَنْزِلُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ فَيَقُوْلُ أَمِيْرُهُمْ الْمَهْدِيْ: تَعَالَ صَلِّ لَنَا. فَيَقُوْلُ: لاَ, إِنَّ بَعْضَهُمْ أَمِيْرُ بَعْضٍ, تَكْرِمَةُ اللهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tatkala Isa bin Maryam turun, amir (pemimpin) mereka Al-Mahdi mengatakan: Kemarilah, imami kami dalam solat. Isa menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka adalah pemimpin atas lainnya, sebagai kemulian Allah kepada umat ini”.(HR. Haris bin Abu Usamah dalam Musnadnya. Ibnu Qayyim berkata dalam Al-Manar Al-Munif hal 147-148: “Sanadnya jayyid (baik)”. Dan dipersetujui oleh Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad dalam risalahnya “Al-Mahdi” dan Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 2236)
Syubhat 5: Hadisnya saling bertentangan

Jawapan: Anggapan ini tertolak kerana kontradiksi antara hadis dianggap bertentangan sekiranya hadisnya sama-sama sahih, tetapi kalau sekiranya satu hadis sahih dan satu lagi dha’if maka jelas tidak dianggap bertentangan sebagaimana diketahui oleh setiap orang yang belajar ilmu hadis. Sebagai contoh hadis dari Ummu Salamah di atas: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku dari anak keturunan Fatimah”. Dengan hadis Utsman bin Affan secara marfu’:

الْمَهْدِيْ مِنْ وَلَدِ الْعَبَّاسِ عَمِّيْ

"Al-Mahdi dari keturunan anak Abbas, pakcikku."
  • Bagaimana boleh dipertentangkan, sedangkan hadis Ummu Salamah sanadnya sahih, manakala hadis di atas maudhu’ yang diriwayatkan Imam Daruqutni dalam Al-Afrad no. 26, Ad-Dailami 4/84 dan Ibnu Jauzi dalam Al-Wahiyat: 1431 dan pada sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Walid Al-Qurasyi, sedangkan dia pendusta. (Silsilah adh-Dhaifah no. 80)
  • Jadi anggapan kontradiksi tersebut hanyalah muncul dari hadis-hadis yang tidak sahih tentang Mahdi. Sedangkan hadis-hadis yang sahih, maka tiada kontradiksi sedikit pun.

Syubhat 6: Membendung para pengaku Mahdi yang dusta (palsu)

Jawaban: Pertama: Sesungguhnya Imam Mahdi yang dikhabarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memiliki ciri-ciri yang jelas sebagaimana penjelasan dalam hadis-hadis di atas seperti keluar di akhir zaman, lelaki, keturunan ahli bait, namanya Muhammad bin Abdullah, berdahi lebar, berhidung mancung, menegakkan agama dan keadilan, dermawan dan soleh, mengimami Isa bin Maryam dalam solat. Dengan demikian, apabila ada yang mengaku Mahdi sedangkan tidak sesuai dengan ciri-ciri tersebut, maka bererti dia adalah pendusta.

Kedua: Para ulama telah membantah para pengaku Mahdi dusta tersebut.  Jadi, benar kami setuju dengan kalian dalam mengingkari para pengaku Mahdi secara dusta seperti Juhaiman (Saudi Arabia), begitu juga Mirza Ghulam Ahmad Al-Qadiyani, seorang dajjal India yang mengaku sebagai Nabi Isa lalu mengaku sebagai Nabi. Namun seperti inikah cara kita membendung para pendusta tersebut?!! Apakah kita mengingkari akidah yang sahih hanya kerana adanya pengaku dusta tersebut?!! Kalau begitulah caranya, kita akan berserakan dengan kaedah kita sendiri. Cuba fikirkan, adakah kita juga akan mengingkari adanya ilmu dan ulama kerana adanya orang-orang jahil yang mengaku berilmu?!! Dan apabila ada sebahagian yang mengaku sebagai Tuhan seperti Firaun dan Dajjal, adakah cara membendungnya dengan mengingkari adanya Tuhan?!! Tidak, sekali-kali tidak!! Demikian juga kita beriman tentang Imam Mahdi yang hakiki dan mendustakan para pengaku Mahdi yang palsu.

Syubhat 7: Menyebabkan manusia tidak berusaha

Jawapan: Kami sependapat dengan kalian dalam mengingkari pemahaman keliru dan khurafat Syaitan ini, kerana tidak ada keterangan sedikitpun dalam hadis-hadis Mahdi yang mengisyaratkan bahawa kejayaan Islam tidak mungkin digapai sebelum datangnya Mahdi. Namun jika memang ada sebahagian kalangan yang berfamahaman keliru seperti itu, adakah caranya dengan mengingkari hadis-hadis sahih tentang Mahdi atau dengan memahamkan kepada mereka bahawa fahaman tersebut keliru tanpa mengingkari hadis sahih tentang Mahdi?!! Tidak ragu lagi bahawa cara kedua inilah yang benar. ( Lihat ash-Shahihah 4/42)

Kesimpulan:

Sesungguhnya keyakinan tentang akan datangnya Imam Mahdi termasuk aqidah yang ditetapkan dalam hadis-hadis mutawatir yang wajib bagi setiap muslim untuk mengimaninya kerana hal itu termasuk perkara ghaib, sedangkan beriman dengan perkara ghaib adalah sifat orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah: 

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ ِفيهِ هُدَى لِلْمُتَّقِينَ . الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ 

Maksudnya: Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (iaitu) mereka yang beriman kepada perkara yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (Surah Al-Baqarah: 2-3).
 Dan tidak ada yang mengingkari aqidah ini kecuali orang yang jahil atau sombong. Saya memohon kepada Allah agar mewafatkan kita dalam beriman terhadapnya serta aqidah-aqidah shahih lainnya. (Majalah At-Tamaddun Al-Islami 22/642-646 sebagaimana dalam Maqalat Al-Albani hal. 110)

Disunting dari tulisan Ustaz Abu Ubaidah: http://abiubaidah.com/kontroversi-kedatangan-imam-mahdi.html/


Ahad, 11 Mac 2012

Hikmah Pengharaman Nyanyian dan Muzik

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْتَرِى لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ

Maksudnya: "Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan Lahwal Hadis (perkataan yang tidak berguna) untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan." (Luqman: 6) 

Maksud "Lahwal Hadis" di atas adalah nyanyian dan muzik. Ini merupakan perkataan dan pendapat salafus-soleh, di antaranya:

(1) Abdullah bin Abbas radhiallahu 'anhuma berkata:

نزلت في الغناء وأشباهه 

"Turunnya ayat ini berkenaan nyanian dan yang serupa dengannya." (Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Adabul Mufrad no:1265, Ibnu Abi Syaibah 6/310, Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 40/21, Ibnu Abid Dunya dalam Dzammul Malahi dan Al-Baihaqi dalam As-Sunan 10/221 dan 223)

(2) Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anhuma berkata:

 
  هو الغناء والذي لا إله إلا هو

"Ia adalah nyanyian, demi Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia." (Beliau mengulangkannya sebanyak 3 kali. Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir, Ibnu Abid Dunya dan Al-Hakim 2/411, Al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman 4/278/5096, Ibnu Jauzi dalam Talbis Iblis ms. 246. Al-Hakim berkata: Sanadnya sahih)

(3) Ikrimah (Beliau merupakan Tabi'in pertengahan pada Tabaqat yang ke-3 nama beliau adalah Ja'far bin Abi Tsaur):

قال شعيب بن يسار : سألت عكرمة عن ( لهو الحديث ) ؟ قال : هو الغناء

Syuaib bin Yassar berkata: Aku pernah bertanya kepada Ikrimah tentang (Lahwal Hadis)? Beliau menjawab: "Ia adalah nyanyian." (Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Tarikh 2/2/217, Ibnu Jarir, Ibnu Syaibah, Ibnu Abid Dunya dan lafaz ini darinya)

(4) Mujahid (wafat 104 Hijrah) berkata:

  اللهو: الطبل

"Al-Lahwu adalah gendang." (Riwayat Ibnu Jarir dari jalan Ibnu Juraij, beliau mendengar Mujahid berkata seperti di atas)

(5) Hasan Al-Basri (wafat 110 Hijrah) berkata:

نزلت هذه الآية ( ومن الناس . . ) إلخ في الغناء والمزامير

"Turunnya ayat ini (Dan diantara manusia...) hingga akhir ayat adalah berkenaan nyanyian dan seruling." (As-Suyuti menyebutkan atsar ini dalam Ad-Durrul Mantsur 5/159 dan menyandarkan kepada riwayat Ibnu Abi Hatim)

(6) Al-Wahidi (wafat 468 Hijrah) berkata:

أكثر المفسرين على أن المراد ب (لهو الحديث) الغناء قال أهل المعاني: ويدخل في هذا كل من اختار اللهو والغناء والمزامير والمعازف على القرآن  وإن كان اللفظ ورد ب (الاشتراء) لأن هذا اللفظ يذكر في الاستبدال والاختيار

"Kebanyakan ahli tafsir berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan "Lahwal Hadis" adalah nyanyian. Ahli bahasa mengatakan: Termasuk dalam masalah ini adalah setiap orang yang memilih Al-Lahwu (perkataan yang tidak berguna), nyanyian, suara-suara merdu, dan alat-alat muzik berbanding Al-Quran. Walaupun lafaznya yang disebut dengan Isytira' (membeli) namun lafaz ini juga disebut sebagai mengganti/menukar dan memilih." (Al-Wasith 3/441)  

Di antara atsar-atsar para salaf yang menunjukkan hikmah pengharamnya adalah:

(1) Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhuma berkata:

 الغناء ينبت النفاق في القلب  

"Nyanyian itu menumbuhkan kemunafikan di dalam hati." (Dikeluarkan oleh Ibnu Abid Dunya dalam Dzammul Malahi, Al-Baihaqi dalam As-Sunan 10/223 dan dalam Syu'abul Iman 4/248/5098 dan 5099)

(2) Asy-Sya'bi (wafat 104 Hijrah) berkata:

إن الغناء ينبت النفاق في القلب كما ينبت الماء الزرع وإن الذكر ينبت الإيمان في القلب كما ينبت الماء الزرع

"Sesungguhnya nyanyian itu menumbuhkan kemunafikan di dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan tanaman. Dan sesungguhnya zikir itu menumbuhkan keimanan di dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan tanaman." (Dikeluarkan oleh Ibn Nasr dalam Qodrus-Solah dari jalan Abdullah bin Dakin dari Farras bin Yahya)

(3) Ishaq bin 'Isa At-Thobba` (wafat 214 Hijrah) berkata: Aku bertanya kepada Malik bin Anas rahimahullahu tentang sebahagian penduduk Madinah yang membolehkan nyanyian. Maka beliau menjawab: 

إنما يفعله عندنا الفساق

“Sesungguhnya menurut kami orang-orang yang melakukannya adalah orang yang fasik.” (Diriwayatkan Abu Bakr Al-Khallal dalam Al-Amru bil Ma’ruf ms. 32, dan Ibnul Jauzi dalam Talbis Iblis ms. 244)

(4) Ibrahim bin Al-Mundzir (wafat 236 Hijrah), salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah ditanya: “Apakah engkau membolehkan nyanyian?” Beliau menjawab:

معاذ الله ما يفعل هذا عندنا إلا الفساق

“Aku berlindung kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tidak ada yang melakukannya menurut kami kecuali orang-orang fasik.” (Diriwayatkan Al-Khallal dengan sanad yang sahih)


(5) Ibnul Qayyim (wafat 751 Hijrah) berkata: 

 فاعلم أن للغناء خواص لها تأثير في صبغ القلب بالنفاق ونباته فيه كنبات الزرع بالماء فمن خواصه : أنه يلهي القلب ويصده عن فهم القرآن وتدبره والعمل بما فيه فإن القرآن والغناء لا يجتمعان في القلب أبدا لما بينهما من التضاد 

فإن القرآن ينهى عن اتباع الهوى ويأمر بالعفة ومجانبة شهوات النفوس وأسباب الغي وينهى عن اتباع خطوات الشيطان والغناء يأمر بضد ذلك كله ويحسنه ويهيج النفوس إلى شهوات الغى فيثير كامنها ويزعج قاطنها ويحركها إلى كل قبيح ويسوقها إلى وصل كل مليحة ومليح فهو والخمررضيعا لبان وفي تهييجهما على القبائح فرسا رهان 

فإنه صنو الخمر ورضيعه ونائبه وحليفه وخدينه وصديقه عقد الشيطان بينهما عقد الإخاء الذي لا يفسخ وأحكم بينهما شريعة الوفاء التي لا تنسخ وهو جاسوس القلب وسارق المروءة وسوس العقل يتغلغل في مكامن القلوب ويطلع على سرائر الأفئدة ويدب إلى محل التخيل فيثير ما فيه من الهوى والشهوة والسخافة والرقاعة والرعونة والحماقة


"Ketahuilah, sesungguhnya nyanyian memiliki keistimewaan-keistimewaan yang memiliki pengaruh di dalam mewarnai hati dengan kemunafikan, dan tumbuhnya kemunafikan di dalam hati sebagaimana tumbuhnya tanaman kerana air. Di antara keistimewaan nyanyian adalah: Nyanyian akan melalaikan hati dan menghalangi dari memahami dan merenungi Al-Quran serta mengamalkan isinya. Sesungguhnya nyanyian dan Al-Quran tidak akan bersatu di dalam hati selama-lamanya kerana kedua-duanya saling bertentangan.

Sesungguhnya Al-Quran melarang dari mengikuti hawa nafsu dan memerintahkan agar menjaga kehormatan, menjauhi nafsu syahwat, sebab-sebab kesesatan, dan melarang mengikuti jejak langkah syaitan. Adapun nyanyian memerintahkan kebalikan dari semua itu, menganggap ianya baik, menggerakkan nafsu menuju syahwat kesesatan. Menyemarakkan nafsu yang tersembunyi, menggelisahkan nafsu yang tenang,  dan menggerakkannya menuju segala kekejian. Dan ianya akan menyeretnya untuk berhubungan dengan segala yang cantik dan tampan. 

Maka kerana nyanyian dan arak adalah dua beradik sepersusuan, kedua-duanya merupakan pemacu yang menggerakkan kepada segala perbuatan yang keji. Syaitan telah mengikat persaudaraan di antara keduanya. Nyanyian adalah perisik kepada hati, pencuri yang sopan, dan pemandu kepada akal. Ia bergerak-gerak di tempat-tempat persembunyian hati, memerhatikan rahsia-rahsianya, dan merayap ke tempat khayalan. Kemudian membangkitkan apa-apa yang ada di dalam hati yang berupa hawa nafsu, syahwat, ketololan dan kedunguan." (Ighatsatul Lahfan, 1/248-249)

Rujukan: Tahrim Alatu Tarb, Maktabah Ad-Dalil, cet 1416, Muhammad Nasiruddin Al-Albani (Al-Maktabah Asy-Syamilah). Ighatsatul Lahfan Min Masho-idisy Syaitan, Dar-Ma'rifah Beirut, Ibnul Qayyim Al-Jauziyah (Al-Maktabah Asy-Syamilah). Adakah Musik Islami?, Pustaka At-Tibyan, Muslim Atsari.

Isnin, 27 Februari 2012

Bagaimana Menyikapi Perbezaan Pendapat

Soalan: Fadhilatusy-Syeikh: Kebanyakan dari ikhtilaf  yang tersebar di kalangan aktivis dakwah dalam rangka berdakwah kepada Allah menjadi penyebab kegagalan dan hilangnya kekuatan. Ini terjadi disebabkan banyaknya di antara mereka yang jahil tentang adab Ikhtilaf. Adakah syeikh memiliki taujihat (saranan) buat mereka berkenaan masalah ini?

Jawapan: Ya, aku menasihatkan kepada seluruh saudaraku dari kalangan penuntut ilmu dan pendakwah kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar menempuh uslub yang baik (cara yang baik - pent) dan berlemah-lembut dalam berdakwah dan di dalam masalah-masalah khilaf (perbezaan pendapat) ketika mengungkapkan pandangan dan pendapat. Oleh itu janganlah membawa emosi dan kekerasan dengan cara mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan, yang mana ianya akan menyebabkan berlakunya perpecahan, perselisihan, saling benci-membenci, dan jauh menjauhi. Bahkan hendaklah para pendakwah, penuntut ilmu dan para pendidik agar menempuh uslub-uslub yang memberi manfaat dan berlemah lembut di dalam ucapannya sehingga ucapannya diterima dan sehingga hati tidak ingin jauh-menjauhi, sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jalla kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ

Maksudnya: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu." (Ali 'Imran: 159)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada Nabi Musa dan Harun ketikamana diutuskan keduanya kepada Fir’aun:

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Thaaha: 44)

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ


Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik.” (An-Nahl: 125)

Dan firmanNya:
 
وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka.” (Al-Ankabut ayat 46)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إن الرفق لا يكون في شيء إلا زانه ولا ينزع من شيء إلا شانه

“Sesungguhnya (sikap) lemah lembut itu tidak akan berlaku kepada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.”

(Sahih Muslim dalam Al-Birr wash-Shilah wal-Adab no: 2594, Sunan Abu Daud dalam Al-Adab no: 4808, Musnad Ahmad bin Hanbal 6/125)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

من يحرم الرفق يحرم الخير كله

“Barangsiapa yang mengharamkan (sikap) lemah lembut maka dia telah mengharamkan kebaikan seluruhnya.”

(Sahih Muslim dalam Al-Birr wash-Shilah wal-Adab no: 2592, Sunan Abu Daud dalam Al-Adab no: 4809, Sunan Ibnu Majah dalam Al-Adab no: 3687, dan Musnad Ahmad bin Hanbal 4/366)

Maka wajib bagi setiap pendakwah dan pendidik yang berdakwah kepada Allah hendaklah menempuh uslub-uslub yang dapat memberi faedah yang bermanfaat, dan hendaklah benar-benar berhati-hati kerana perkara tersebut akan menyebabkan kebenaran ditolak dan menyebabkan khilaf bertambah kuat dan perpecahan berlaku di antara sesama saudara. Maksudnya hendaklah menjelaskan kebenaran dan memastikan ia diterima dan pendakwah memperolehi faedah-faedah darinya. Ia bukanlah bermaksud engkau menampakkan ilmu atau menampakkan bahawasanya engkau berdakwah (mengajak  orang ramai kembali -pent) kepada Allah atau kepada agama Allah, kerana Allah lebih Maha mengetahui apa yang tersembunyi. Sesungguhnya maksud menyampaikan dakwah Allah adalah manusia mendapat manfaat daripada apa yang engkau ucapankan. Oleh itu hendaklah engkau memperhatikan sebab-sebab dakwah dapat diterima dan berhati-hati dengan sebab-sebab dakwah tidak diterima.  

(Rujuk: Fatawa Ibn Baz, Maktabah Syamela v3, 5/155-156 dan 27/323-325)

Diterjemahkan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Ahad, 19 Februari 2012

Hukum Membela Hamster*

Soalan:

Apakah hukum membela haiwan hamster (tikus belanda) dan adakah ia termasuk dalam hadis Rasul s.a.w. (yang bermaksud): “Terdapat lima jenis binatang boleh dibunuh iaitu gagak, ular, tikus, helang dan anjing gila.”  Riwayat Al-Bukhari...?

Jawapan:

Alhamdulillah. Setelah memperhatikan dari sebahagian buku-buku tentang hamster, dan berdasarkan gambar yang terdapat di internet, jelaslah bahawa haiwan ini (hamster) sangat serupa dengan tikus.

Telah maklum, tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri dari 720 spesies. Keterangan ini dapat dilihat di dalam kitab Al-Qawaridh fi Al-Wathni Al-‘Arabi halaman 75 karya ‘Adil Muhammad Ali. 

Dan hamster termasuk jenis tikus, sebagaimana yang disebutkan oleh penulis buku tersebut di atas.

Dalam kitab Al-Mausu‘ah Al-‘Arabiyah Al-‘Alamiyah (26/122) disebutkan: ‘Hamster termasuk jenis pengerat kecil pendek, yang menjadi salah satu haiwan berbulu hiasan rumah. Biasanya, hamster memiliki ekor yang pendek, mulutnya basah, yang membantu dirinya untuk menampung banyak makanan. Terdapat sekitar 15 variasi hamster yang hidup.’

Maka hamster termasuk jenis tikus sehingga kita tidak harus (tidak boleh) menjual atau memeliharanya. Bahkan, wajib membunuhnya, sama ada di tanah halal mahupun di tanah haram. Sebagaimana makruf tentangnya dari hukum tikus.

Para ulama mengeluarkan hukum daripada nas (dalil) bahawa hukum tersebut berlaku bagi semua jenis tikus. 

Al-Hafiz Ibnu hajar berkata: ‘Tikus ada berbagai jenis, seperti al-juradz, al-khuld, tikus unta, tikus ikan, tikus al-ghoit dan semua hukumnya dalam pengharaman untuk dimakan dan keharusan membunuhnya adalah sama (tidak ada beza).’(Fathul Bari, 4/39) 

Tikus adalah haiwan yang membuat kerosakan dan mudarat.

Ad-Damiri berkata: ‘Tidak ada haiwan yang paling banyak membuat kerosakan melainkan tikus, tidak ada yang paling membahayakan melainkannya, kerana ia tidak meninggalkan ke atas sesuatu, kecuali pasti akan dimusnahkannya dan dirosakkannya.’ (Hayatul Hayawan Al-Kubra, 2/271)

Demikian juga memelihara dari jenis haiwan seperti ini adalah termasuk pembaziran masa dan harta dengan sesuatu yang tidak memberi sebarang faedah.

Allah jualah yang lebih Maha Mengetahui.

Sumber: http://www.islamqa.com/ar/ref/133190 

____________________________________
*Terjemahan di atas saya (Mohd Safwan) tidak terjemahkan secara keseluruhan, saya hanya menterjemahkannya sekadar apa yang saya mampu terjemahkannya. Semoga para pembaca dapat manfaatnya.

Jumaat, 10 Februari 2012

Kecintaan Kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam (1)

Berkata Al-Bukhari: Telah menceritakan kepada kami Ya'qub bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami Ibn 'Aliah dari Abdul 'Aziz bin Shahib dari Anas, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

"Tidak beriman salah seorang diantara kamu  (dengan keimanan yang sempurna - pent) sehinggalah aku lebih dicintai olehnya daripada ayah dan anaknya dan kaum Muslimin seluruhnya."

Makna penafian di dalam hadis di atas:

Berkata Ibnu Battal: "Yang dikehendaki (di dalam hadis tersebut) adalah tidak tercapainya hakikat keimanan dan darjatnya yang tinggi." (Dalam Syarahnya ke atas Sahih Al-Bukhari, 11/101)

Berkata Syeikh Soleh Alu Syeikh: "Sabda baginda: "Tidak beriman salah seorang diantara kamu" iaitu keimanan yang sempurna." (At-Tamhid li Syarhi Kitabit Tauhid, Soleh Ibrahim Alu Syeikh, Darut-Tauhid, cet-1, Tahun 1424, 2/10)

Berkata pengarang Syarah At-Tohawiyah: "Maksud penafian (keimanan) tersebut adalah penafian (keimanan) yang sempurna." (Syarah Al-'Aqidah At-Tohawiyah Ibnu Abil 'Izz Al-Hanafi, Takhrij: Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Darus-Salam, Mesir 1426, 1/343)

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Sabda baginda: "Tidak beriman" iaitu keimanan yang sempurna." (Fathul Bari, 1/80)

Beliau berkata lagi: "Di dalam ucapan Al-Qadhi 'Iyadh bahawa yang demikian itu merupakan syarat sahnya keimanan; kerana ia memikul cinta di atas makna pengagungan, serta diikuti oleh orang yang memahami  bahawa yang demikian itu bukanlah maksudnya; kerana iktikad yang besar bukanlah sentiasa dengan kecintaan, walaupun terdapat manusia yang mengagungkan sesuatu dengan bersendirian dengan yang dicintainya. Beliau berkata: Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak ada di dalam dirinya kecenderungan (untuk mencintai Nabi - pent) tidak akan sempurna imannya. Lihatlah kepada ucapan Umar yang diriwayatkan oleh Al-Musannif di dalam "Al-Iman wan-Nudzur" dari hadis Abdullah bin Hisyam, bahawa  Umar bin Al-Khattab berkata kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: "Sungguh engkau wahai Rasulullah  paling aku cintai dari segala sesuatu kecuali terhadap diriku sendiri." Sabda baginda: "Tidak, demi jiwaku yang berada ditanganNya, sehingga aku lebih dicintai olehmu dari dirimu sendiri." Maka Umar pun berkata kepada baginda: "Maka sesungguhnya sekarang ini, demi Allah engkau lebih aku cintai dari diriku sendiri."  Baginda bersabda: "Sekarang wahai Umar." Intaha. (1/81)

Berkata Syeikh Soleh Al-Fauzan: "Sabda baginda: "Tidak beriman salah seorang diantara kamu" tersebut bukanlah penafian pokok keimanan. Sesungguhnya ia adalah penafian bagi kesempurnaan iman. Iaitu: Tidak sempurna iman salah seorang diantara kamu jika dia mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tetapi dia tidak mendahulukan cintanya kepada baginda di atas kecintaan selain baginda dari kalangan makhluk. Jika seseorang itu pada dasarnya tidak mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, bahkan dia membenci Rasul, maka dia telah kafir. Adapun jika dia mencintai Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi dia mendahulukan cintanya kepada anaknya dan orang tuanya di atas kecintaan kepada Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam, maka ini mengurangkan keimanan. Bahkan tidak sempurna keimanan seseorang hamba dan tidaklah lengkap (keimanannya - pent) sehinggalah dia mencintai Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam lebih dari dirinya yang berada diantara tulang belakangnya, lebih dia cintai dari anaknya yang merupakan sebahagian dari juzuk dirinya, lebih dia cintai dari orang tuanya yang merupakan asal-usul keturunannya, dan lebih dia cintai dari keseluruhan manusia." (I'anatul Mustafid bi Syarhi Kitabit Tauhid, Soleh bin Fauzan Al-Fauzan, Muassasah Ar-Risalah, cet-3, Tahun 1423, 2/41)

Faedah daripada hadis ini:

Di dalam hadis ini terdapat penjelasan tentang dasar agung yang berdiri di atasnya sebuah agama yang kukuh. Ia adalah sebagaimana kita diperintahkan untuk beribadah kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada sekutu bagiNya, maka kita diperintahkan supaya mengetahui yang demikian itu agar kita dapat mengikuti dan mentaati Nabi pada apa yang diucapkan dan diperintahkan. Inilah tuntutan dari kecintaan (terhadap baginda - pent).

Berkata Al-Hafiz Ibnu Rajab (Al-Hanbali) di dalam kitabnya Fathul Bari (1/22): "Mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam termasuk dasar keimanan dan merupakan perbandingan (ukuran) untuk mencintai Allah Azza wa Jalla. Allah Ta'ala telah membandingkannya dan menjanjikan agar disiksa mereka yang melebihikan cintanya kepada perkara-perkara yang baik dari kalangan kerabat-kerabat, harta-harta, daerah-daerah dan selain yang demikian. Maka Allah Ta'ala berfirman:

 قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ 

Maksudnya: "Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." (At-Taubah: 24)

Diterjemahkan Oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah.

Selasa, 7 Februari 2012

Al-Quran Menjadi Syafa'at Di Hari Kiamat

Kita sering mendengar hadis berikut ini:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at."

Berikut ini saya bawakan hadis di atas secara lengkap:

Abu Umamah Al-Bahili berkata: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at kepada orang yang membacanya. Bacalah Az-Zaharawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali-Imran kerana pada hari kiamat kedua-duanya akan datang bagaikan awan atau bayang-bayang, atau kedua-duanya seakan dua kumpulan burung yang berhujjah mempertahankan tuannya. Dan bacalah olehmu akan surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan, meninggalkannya adalah kerugian, dan sihir tidak akan mampu menghadapinya." (HR. Muslim, M.S no: 1337).

Hadis di atas ini menerangkan tentang keutamaan membaca Al-Quran, yang mana kelebihan bagi yang membaca Al-Quran adalah di hari akhirat kelak Al-Quran akan datang memberi syafa'at kepada pembacanya terutamanya adalah surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran.

Demikian juga hadis yang diriwayatkan dari Jubair bin Nufair berkata: Aku mendengar An-Nawwas bin Sam'an Al-Kilabi berkata: Aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

Maksudnya: "Akan didatangkan Al-Quran di hari kiamat kelak kepada ahlinya (yakni orang-orang yang selalu membaca Al-Quran - pent) yang beramal dengannya, terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran..." (HR. Muslim, M.S no: 1338)

Dalam riwayat lain:

يَأْتِي الْقُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

Maksudnya: "Al-Quran akan datang kepada ahlinya dari kalangan orang-orang yang mengamalkannya di dunia, terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran." (HR. Tirmizi, katanya hadis Gharib. Menurut Syeikh Al-Albani hadis ini sahih; Shahih wa Dha'if Sunan At-Tirmizi, no: 2883)

Imam At-Tirmizi berkata pada menjelaskan hadis di atas ini:

مِنْ هَذَا الْوَجْهِ وَمَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَتِهِ كَذَا فَسَّرَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ هَذَا الْحَدِيثَ وَمَا يُشْبِهُ هَذَا مِنْ الْأَحَادِيثِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَفِي حَدِيثِ النَّوَّاسِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَدُلُّ عَلَى مَا فَسَّرُوا إِذْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَفِي هَذَا دَلَالَةٌ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ الْعَمَلِ

Maksudnya: "Di sisi ahli ilmi (ahli sunnah) berpendapat dari wajah dan makna hadis ini adalah bahawa (dihari kiamat kelak - pent) akan didatangkan pahala kepada pembacanya. Demikianlah tafsiran sebahagian ahli ilmi tentang hadis ini dan apa-apa yang serupa dengan hadis-hadis berikut, dan di dalam hadis An-Nawwas tersebut dari Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apa yang menunjukkan ke atas penafsiran bagi sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bahawasanya akan didatangkan pahala-pahala bacaan Al-Quran kepada pembacanya yang mengamalkannya di dunia. Maka dengan itu menjadi dalil bahawasanya akan didatangkan pahala-pahala amalan (kepada pembaca Al-Quran dihari kiamat - pent)." (Sunan At-Tirmizi, M.S 10/115, no: 2808)

Syeikh Muhammad Soleh Al-'Utsaimin rahimahullah (wafat 1421 Hijrah) berkata:


قال النبي صلى الله عليه وسلم اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه إذا كان يوم القيامة جعل الله عز وجل ثواب هذا القرآن شيئا قائما بنفسه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه يشفع لهم عند الله سبحانه وتعالى فإن القرآن إذا تلاه الإنسان محتسبا فيه الأجر عند الله فله بكل حرف عشر حسنات ومثله حديث النواس بن سمعان رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم أخبر أن من قرأ القرآن وعمل به فإنه يأتي يوم القيامة يتقدمه سورة البقرة وآل عمران يحاجان عن صاحبهما يوم القيامة ولكن الرسول صلى الله عليه وسلم قيد في هذا الحديث قراءة القرآن بالعمل به لأن الذين يقرءون القرآن ينقسمون إلى قسمين قسم لا يعمل به فلا يؤمنون بأخباره ولا يعملون بأحكامه هؤلاء يكون القرآن حجة عليهم وقسم آخر يؤمنون بأخباره ويصدقون بها ويعملون بأحكامه فهؤلاء يكون القرآن حجة لهم يحاج عنهم يوم القيامة لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال القرآن حجة لك أو عليك وفي هذا دليل على أن أهم شيء في القرآن العمل به

“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bacalah olehmu akan Al-Quran kerana ia di hari kiamat kelak akan memberi syafa’at kepada para pembacanya iaitu apabila berlakunya hari kiamat maka Allah Azza wa Jalla menjadikan pahala pada Al-Quran tersebut sesuatu yang berdiri dengan dirinya. Ia akan datang di hari kiamat kelak untuk memberi syafa’at kepada para pembacanya iaitu mensyafa’atkan untuk mereka di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka sesungguhnya Al-Qur’an bila datang kepada manusia sebagai penghitung pahala di sisi Allah maka baginya setiap huruf adalah sepuluh kebaikan.

Dan seperti hadis An-Nawwas bin Sam’an radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan bahawa barangsiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya maka sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran yang akan menjadi hujah kedua-duanya di hari kiamat kelak. Akan tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengikat (Qaid) dengan hadis tersebut iaitu membaca Al-Quran disertai dengan mengamalkannya adalah kerana orang-orang yang membaca Al-Quran terbahagi menjadi dua:

Pertama: Orang yang tidak mengamalkannya, orang yang tidak beriman dengan apa dikhabarkan kepadanya, dan orang yang tidak beramal dengan hukum-hakamnya. Mereka itulah orang-orang yang Al-Quran menjadi hujah ke atas mereka (yakni Al-Quran akan membantah mereka - pent).

Kedua: Orang yang beriman dengan yang apa dikhabarkan kepadanya, membenarkannya, dan mengamalkan hukum-hakamnya. Mereka itulah orang-orang yang Al-Quran menjadi hujah bagi mereka (yakni Al-Quran akan membela mereka - pent) sebagai hujah-hujah kepada mereka di hari kiamat. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

القرآن حجة لك أو عليك

Maksudnya:  “Al-Quran itu boleh menjadi hujah yang akan membela kamu atau hujah yang akan membantah kamu.”

Dan dari dalil ini menunjukkan betapa pentingnya pada Al-Quran itu untuk diamalkan.” (Syarah Riyadhus Solihin, M.S 1/1142)

Peringatan:

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa Al-Quran itu adalah kalamullah (kata-kata Allah) dan bukan makhluk dan pendapat ini disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal Jama'ah menyelisihi golongan muktazilah. Penjelasannya boleh didapati di kitab-kitab (kutub) Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah silalah merujuk di sana.

Secara ringkasnya sebagaimana dijelaskan oleh Al-Imam Ja'far At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah) di dalam Matan Aqidahnya, beliau berkata:


وأن القرآن كلام الله منه بدأ بلا كيفية قولاً، وأنزله على رسوله وحياً وصدقه المؤمنون على ذلك حقاً وأيقنوا أنه كلام الله تعالى بالحقيقة ليس بمخلوق ككلام البرية فمن سمعه فزعم أنه كلام البشر، فقد كفر

Maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran adalah Kalamullah berasal dariNya tanpa diketahui tatacara (kaifiyat) ucapannya, diturunkan ke atas RasulNya sebagai wahyu, dibenarkan oleh orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, dan mereka meyakini bahawasanya Kalamullah itu hakikat dan bukanlah makhluk seperti ucapan manusia. Maka barangsiapa yang mendengarnya dan berpendapat bahawa ianya adalah ucapan makhluk, maka dia telah kafir." (Dinukil dari At-Ta'liqat Al-Mukhtasarah 'Ala Matnil 'Aqidah At-Tohawiyah oleh Fadhilatus-Syeikh Dr. Soleh Fauzan Al-Fauzan)

Wallahua'lam

[*M.S = Singkatan kepada Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Dicatat oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah

Khamis, 26 Januari 2012

SIAPAKAH HASAN AS-SAQQAF?

Mungkin ada yang masih belum mengenali siapakah Hasan As-Saqqaf? Beliau merupakan guru kepada Zamihan Al-Ghari, penulis buku "Salafiyah Wahabiyah" (alhamdulillah buku tersebut telah pun dibantah oleh Hafiz Firdaus Abdullah dan Dr. Azwira Abdul Aziz).

Hasan As-Saqqaf merupakan seorang pendokong mazhab Asya'irah dan paling lantang melawan kelompok "Wahabi" di Malaysia ini setelah Abu Syafiq -semoga Allah memberi hidayah kepada mereka-.

Mari kita saksikan video di bawah ini sebagai bukti adakah beliau ini pendokong mazhab Asya'irah yang sebenar (yakni pegangan Abul Hasan Al-Asy'ari rahimahullah yang terakhir setelah beliau bertaubat dari Muktazilah dan Kullabiah) ataupun sebaliknya. 


Artikel-artikel daripada penulis lain yang berkaitan:
  1. Tuduhan Dan Fitnah Terhadap Wahabi  
  2. Wahabi: Meluruskan Salah Faham
  3. Pandangan Rasmi Jakim Tentang Isu Wahhabiyyah
  4. Meluruskan Pemahaman Keliru Tentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab 
  5. Senarai Nama Yang Menjadi Saksi Atas Kebenaran Dakwah Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab
  6. Wahabi dan Keruntuhan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyah

Rabu, 25 Januari 2012

Fatwa-Fatwa Ulama Berkenaan Mengaminkan Doa Qunut Subuh Mengikut Imam

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rhm:

...Dan telah jelas dari apa yang kami sebutkan bahawa qunut itu ketika Nawazil, dan bahawa doanya dalam qunut bukan sesuatu yang khusus, dan tidak berdoa dengan apa yang terlintas di hatinya, bahkan hendaklah dia berdoa dengan doa yang masyru' (disyariatkan) yang sesuai dengan sebab qunut, sebagaimana dia berdoa ketika istisqa' (minta hujan) dia berdoa dengan yang sesuai dengan maksudnya, maka demikian juga jika berdoa minta pertolongan (ke atas musuh) dia berdoa sesuai dengan maksudnya, seperti juga jika dia berdoa di luar solat untuk sebab itu, maka dia akan berdoa sesuai dengan maksudnya,. Inilah yang terdapat pada sunnah Rasulullah SAW dan sunnah Khulafa' ar-Rasyideen.

Barangsiapa yang berkata ia adalah sebahagian dari Ab'adh solat yang ditutupkan dengan sujud sahwi, maka dia telah mengasaskannya atas alasan bahawa ia adalah sunnat yang disunnatkan secara berterusan, seperti tasyyahud awal dan seumpamanya, dan telah jelas juga bahawa ia bukan demikian, ia bukan sunnah raatibah, tidak disujud (sahwi) untuknya. Tetapi siapa yang mengi'tkiadkan demikian secara ta'weel maka baginya ta'weelnya, seperti semua masalah ijtihad.

Oleh yang demikian, seyogianya bagi makmum mengikut imamnya didalam perkara yang dibenarkan diijtihadkan, apabila dia qunut, maka qunutlah bersamanya, jika imam tidak qunut maka dia tidak qunut. Kerana Nabi SAW telah bersabda :

إننما جُعل الإمامُ لِيؤتَمَّ به
 
"Hanyasanya dijadikan imam itu agar diikuti." (HR. Bukhari no: 662)

Dan baginda bersabda :

فَلا تختلفوا على أئمتكم
"Jangan kamu menyelisihi dengan imam-imam kamu."

Dan telah tsabit dalam as-sahih bahawa baginda bersabda :

 يُصَلون لكُم فإن اصابوا فلكم و لهم، و إن أخطؤا فلكم و عليهم
"Mereka solat untuk kamu (mengimami) jika mereka betul, maka bagi kamu (pahala) dan bagi mereka, jika mereka salah maka bagi kamu (pahala) dan atas mereka (dosanya)."

Tidakkah kau lihat jika imam membaca surah selepas Fatihah dua rakaat terakhir dan memanjangkan pula bacaannya lebih dari dua rakaat pertama, kamu tetap wajib mutabaah (mengikuti) imam dalam hal demikian?

Adapun mendahului imam maka tidak boleh. Jika imam qunut maka tidak boleh bagi makmum mendahuluinya, tidak boleh tidak mestilah mengikutinya, oleh kerana itu apabila Ibnu Mas'ud mengingkari perbuatan Utsman r.a menyempurnakan solat 4 rakaat di Mina kemudian tetap solat 4 rakaat dibelakang beliau lalu ditanyakan kepada beliau: beliau menjawab: "الخلاف شر " (ertinya): "Khilaf itu buruk."

Demikian juga Anas bin Malik r.a bila ditanya tentang waktu melontar jamrah, beliau menjawabnya (dengan sunnah) kemudian beliau berkata: "Lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Imammu." Wallahu a'lam. 
(Majmu' Fatawa : jilid 23)

Fatwa Lajnah Daaimah:

.....Imam Malik rhm telah mensunnatkan qunut dirakaat terakhir solat Subuh sebelum ruku', Imam Syafi'ie pula berpendapat bahawa qunut itu sunnah selepas ruku', dan yang demikian itu adalah pendapat sekumpulan Salaf dan Khalaf. Ringkasnya, mengkhususkan qunut pada solat Subuh termasuk masail khilafiyyah ijtihadiyyah, barangsiapa solat dibelakang imam yang berqunut Subuh secara khusus samada sebelum atau selepas ruku', maka hendaklah mengikutinya, walaupun yang rajih adalah hanya berqunut di dalam solat fardhu bila ada nazilah sahaja. 
(Abdullah bin Manee', Abdullah bin Ghudayyan, Abdur Razzaq Afeefy)

Fatwa Syeikh Ibn Baz rhm:


Soalan:

Jika aku tinggal bersama orang-orang yang tidak qunut, kemudian aku pindah tinggal bersama mereka yang berqunut, adakah aku qunut bersama mereka, atau bagaimana kamu nasihatkan aku?

Jawapan:

Jika mereka qunut, maka qunutlah bersama mereka, dan terangkanlah yang sunnah kepada mereka jika engkau mempunyai ilmu, ini disebabkan umum sabda Nabi SAW: "Hanyasanya dijadikan imam itu agar diikuti, maka jangan kamu menyelisihinya.", dan mereka mempunyai syubhat; kerana sebahgaian ahlul ilmi berkata demikian, mereka berkata: (sunnah) terus menerus berqunut dalam solat Subuh. Maka jika mereka berqunut, maka qunutlah bersama mereka, dan ajarkan sunnah kepada mereka jika engkau mengetahui moga-moga mereka mengambil faidah darimu.

Soalan:

Jadi qunut dalam solat Subuh tidak mewajibkan khilaf dikalangan muslimin?

Jawab:

Tidak sepatutnya khilaf dikalangan muslimin, kerana terdapat syubhat dan disebutkan oleh sebahagian ulama, tetapi meninggalkannyalah afdhal, lebih selamat, lebih rajih; kerana kata Sa'ad bin Toriq al-Asyja'ie r.anhu: "Aku bertanya bapaku: Wahai bapaku! Engkau telah solat dibelakang Rasulullah SAW, Abu Bakar, Ustman dan Ali, apakah mereka qunut dalam solat Fajar?

"Wahai anakku, ia muhdath (diada-adakan/bid'ah)."

Maka ini menunjukkan bahawa bukan sunnah mereka berqunut secara berterusan dalam Solat Fajar, tetapi jika ada hajat, jika ada nazilah, musuh, maka mereka berqunut Nazilah dalam solat Subuh dan selainnya. Demikianlah yang dilakukan Rasulullah SAW. 
(Rujuk: http://www.binbaz.org.sa/mat/15922)

Fatwa Syeikh Nasiruddin Al-Albani rhm:

Soalan:

Imam doa qunut, bolehkah makmum mengangkat tangannya ?

Jawapan:

Mestilah (لا بد) mengikut imam, sama ada dia betul atau salah, kerana Nabi SAW telah meng"umum"kan apabila baginda bersabda: "Hanyasanya dijadikan imam itu agar dikuti" kemudian terdapat beberapa furu' (cabang) yang menguatkan umum ini. Tiada perlunya sekarang memperincikannya ..

(Rujuk: http://www.alalbany.ws/alalbany/audio/325/325_05.rm)

Fatwa Syeikh Ibn al-Uthaimeen rhm:

...Kemudian penanya ini berkata: jika seorang insan menjadi makmum, apakah dia mengikut imam ini lalu mengangkat kedua tangannya dan mengaminkan bersamanya atau lepaskannya kesampingnya, maka jawabnya kami katakan bahkan hendaklah dia mengaminkan doa imam dan mengangkat kedua tangannya kerana mengikut imam dan takut bersalahan.

Sesunguhnya Imam Ahmad rhm yang berpendapat tidak disyariatkan qunut dalam solat Fajar (Subuh) telah me'nas'kan hendaklah seorang makmum mengikut imam yang qunut dalam solat Fajar dan mengaminkan doanya sedangkan beliau tidak berpendapat disyariatkan qunut dalam solat Fajar dalam pendapat masyhur darinya, tetapi beliau rahimahullah telah meringankan dalam mutaba'atul imam (mengikuti imam) yang qunut dalam solat Fajar kerana takut khilaf yang akan mengakibatkan bersamanya khilafnya hati-hati...

Dan inilah yang datang dari para sahabat r.anhum  ..

** Kemudian beliau telah membawa atsar sahabat dan Uthman bin Affan, dimana mereka mengikut Ustman walaupun mereka menganggap solat cara Uthman itu munkar, menyalahi sunnah. Berkata Ibnu Mas'ud r.a: al-khilaf syarr (Khilaf itu buruk).

(Rujuk: http://www.ibnothaimeen.com/all/noor/article_3050.shtml)

Fatwa Syeikh Abdul Muhsin Al-A'bbaad hfz: 

"Seseorang mengikuti imam didalam masalah-masalah khilafiyyah ( yang masih diperselisihkan oleh para ulama ) ... Dia harus mengikut imam , dan tidak boleh memisahkan diri atau meninggalkan solat belakang orang yang berqunut. Jika seseorang memandang bahawa amalan itu tidak sejalan (dengan sunnah) atau dia berpendapat bahawa perkara itu bid'ah sedangkan yang lain berpendapat bahawa itu adalah sunnah; dalam kondisi seperti itu dia tidak boleh meninggalkan solat dibelakang orang yang berbeda pendapat dengannya saat dia mengamalkan apa yang dia ( imam )yakini."

(14 Contoh Praktek Hikmah Dalam Berdakwah m/s 144)

Fatwa Syeikh Rabi' Al-Madkhali hfz:

Jika imam solat dan berqunut, qunutlah bersamanya, bersalahannya imam dengan makmum walaupun makmum memandang solat imam tidak sah dalam mazhabnya tetapi ia sah menurut  mazhab imam ini, solatlah belakangnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan agar solat dibelakangnya sabda baginda: "Mereka solat untuk kamu (mengimami) jika mereka betul, maka bagi kamu (pahala) dan bagi mereka, jika mereka salah maka bagi kamu (pahala) dan atas mereka (dosanya)."

Adalah salaf yakni Khalifah ar-Rashid telah singgah di Madinah untuk menunaikan haji dan berbekam, beliau bertanya Imam Malik: "Aku telah berbekam boleh aku solat dengan tanpa berwudhu?" Jawab Malik: "Solatlah!." Maka beliau pun solat menjadi imam tanpa berwudhu kerana berbekam.

Dalam mazhab Hanafi berbekam membatalkan wudhu, maka ditanya kepada Abu Yusuf (murid Imam Abu Hanifah): "Bagaimana engkau solat dibelakang Ar-Rasyid sedangkan beliau berbekam dan tidak berwudhu?" Beliau menjawab: "Subhaanallah, beliau amirul mukminin!"

Ibnu Taimiyah mempunyai kata-kata: "Hendaklah engkau solat dibelakang imam walaupun jika engkau khilaf dengannya tentang sesuatu, engkau dapati yang dia lakukan batil, solatnya tidak sah, tetapi dia (imam) memiliki usul, dalil, pada solatnya sah, maka solat dibelakangnya walaupun padamu tidak sah. Melainkan engkau yakin dia tidak berwudhu, dia kata kepadamu; aku tidak berwudhu, aku solat tanpa wudhu! Maka solatnya batil pada mazhabnya dan mazhabmu"

(Rujuk: http://www.kulalsalafiyeen.com/vb/showthread.php?t=1023)

Fatwa Syeikh Masyhur Al-Salman hfz
:

Soalan:

Diharapkan perincian tentang mutaba'atul imam (mengikuti imam).

Jawapan:

Masalah mengikut imam adalah masalah yang terdapat perbezaan pendapat, ulama berbeza pendapat tentang makna sabda Nabi SAW : "Hanyasanya dijadikan imam untuk diikuti."

Yang aku lihat rajih adalah, apabila imam menambah dalam solat, hendaklah makmum meningatkannya, jika imam teruskan juga, hendaklah mereka berdiri bersamanya dan mengikutnnya. Adapun apabila imam menyalahi petunjuk Nabi SAW didalam haiah solat, maka kami lebih beruntung dengan sunnah Nabi dari imam ini, dan aku meminjam kata-katanya kepada Ali r.anhu yang dikeluarkan An-Nasa`i didalam al-Mujtaba dengan sanad jayyid, kata beliau: "Apakah kami meninggalkan sunnah Nabi kami kerana perbuatan seorang badwi yang kencing dikakinya?" Maka aku lebih beruntung dengan petunjuk Nabi SAW dari imam ini, dan yang penting adalah mengikut imam yang terbesar: Nabi SAW "Solatlah kamu seperti kamu melihat aku solat."

Akan tetapi, jika imam menyalahi petunjuk Nabi SAW lalu menambah contohnya qunut Fajar (Subuh), maka tidak boleh bagiku menyalahinya, dan aku qunut bersamanya, ini padaku adalah makna sabda Nabi SAW; "Mereka solat untuk kamu ..." Dan inilah fahaman sahabat yang aku faham dalam masalah ini, maka Ibnu Mas'ud apabila Uthman solat empat rakaat dalam musafir, beliau telah bangun dan berkhutbah, "Sesungguhnya aku telah solat belakang Nabi dua rakaat, belakang Abu Bakar dua rakaat, belakang Umar dua rakaat, di sini aku solat empat rakaat, semoga yang aku dapat dari empat rakaat ini dua rakaat yang diterima, sesungguhnya khilaf itu buruk." ...

Dinukil dan disunting dari blog Ustaz Murad Said: http://www.fawaaid.sg

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...