Memaparkan catatan dengan label tafsir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tafsir. Papar semua catatan

Khamis, 23 Jun 2022

|Al-Muhkam & Al-Mutasyabih Disisi Ulama' Salaf: Kaitannya Dengan Ayat-Ayat Sifat|

Oleh: Ustaz Abdul Aziz


Sebelum memulakan perbahasan suka untuk saya menerangkan dahulu beberapa istilah penting bagi memudahkan lagi kefahaman. 

1.0 MAUQIF ULAMA' ULUM AL-QURAN TERHADAP ISU MUHKAM & MUTASYABIH

A)Tasaybuh 'Am: Ayat-Ayat AQ secara umumnya menyerupai satu sama lain dari sudut kejelasan makna dan kesatuan mesej yang disampaikan. 

B)Ihkam 'Am: Ayat-Ayat AQ secara umumnya jelas maknanya dan tiada kesamaran. Kesemuanya sama jelas, sama kemas, dan sama menakjubkan. 

Namun mereka berselisih pendapat sekitar apakah maksud Ihkam Khas & Tasyabuh Khas kepada banyak pendapat. Dua pendapat terkuat ialah:

C) Ihkam Khas ialah: 

Apa yang maknanya jelas dengan sendirinya dan tidak berhajat kepada penjelasan. 

pendapat kedua: Apa yang para ulama' mengetahui maknanya dan ia tidak samar bagi mereka. 

D) Tasyabuh Khas:

Apa yang berhajatkan kepada penjelasan kerana kesamaran maknanya. 

Pendapat kedua: Al-mutasyabih ialah perkara yang tiada sapa ketahuinya melainkan Allah. 

(Lihat Al-Masa'il Al-musytarakah Baina Ulum Al-quran Wa Usul Al- Fiqh) 

2.0 ISTILAH "TAKWIL" 

Yang Tahqiq ialah istilah takwil mempunyai tiga konotasi utama:

A) Sama erti dengan tafsir, iaitu penerangan makna. Atas sebab ini, nama tafsir Al-tabari ialah "Jami' Al-bayan 'An Takwil Ãyi Al-quran" 

B) Hakikat kepada sesuatu perkara. 

Ini disebutkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah di dalam banyak kitab beliau. Bahkan disebutkan juga oleh Sa'duddin Al-taftazani (792H). 

Kata Sa'duddin Al-taftazani (792H):

و حقيقة قولك تأولت شيئا، أنك تطلبت ما يؤول إليه من الحقيقة

(Haqiqat dari kata-kata anda "taawwaltu syai'a" ialah: anda menuntut pengetahuan tentang apa yang kembali padanya haqiqat suatu perkara itu) 

Lihat, Al-mutowwal 'Ala Talkhis Al-miftah, 197

Syawahid lughawiyyah bagi makna kedua ini terlalu banyak, boleh dirujuk Adhwa' Al-bayan untuk melihat sebahagian darinya.

C) Memalingkan makna zahir lafaz kepada makna majaz dengan qarinah. Ini yang masyhur disisi Usuliyyun & Mutakallimun.

Dari tiga makna ini, dua makna pertama ialah makna yang memang warid di dalam penggunaan orang-orang arab yang fasih di zaman ihtijaj. Manakala makna ketiga ialah istilah baharu yang hanya muncul sekitar kurun ke-3 hijrah serta menjadi masyhur pada zaman selepasnya.

Lalu, hanya makna pertama dan kedua sahaja yang boleh digunakan untuk menafsir lafaz "Takwil" di dalam Al-quran. Ini kerana kaedah yang masyhur di dalam ilmu Usul Tafsir:

"إنما يجوز توجيه معاني ما في كتاب ﷲ من الكلام إلى ما كان موجودا مثله في كلام العرب" 

(Yang semata-mata dibolehkan ialah memahami makna-makna kalam yang terdapat di dalam al-quran dengan mempadankannya dengan apa yang telahpun wujud sepertinya pada percakapan orang arab)

Disebutkan oleh Imam Al-mufassirin Al-tabari (lihat Jami' Al-bayan, 644/2) 

3.0 ANALISA TAFSIR AYAT-7 SURAH AL-IMRAN

Ayat ini menjadi fokus utama perbincangan para ulama ketika membahaskan makna muhkam dan mutasyabih. 

Firman Allah:

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ (7)

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Terdapat dua Qiraat yang Mutawatir pada ayat ini:

A)Qiraat Imam Nafi', Al-kisa'ie & Ya'qub: Waqaf pada Lafaz Al-jalalah/ﷲ

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ

I'rab bagi Qiraat ini:

Ya'lamu: Fi'il mudhori' marfu', 'Alamatu raf'ihi dhommah

Ta'wilahu: Maf'ul Bihi Mansub, Wahuwa Mudhof, Dan dhamirnya Fi mahal Al-jar Mudhof Ilaih. 

Illa: Adah Al-istithna'

Allah: Fa'il marfu'

Wa: Wau Li Al-isti'naf

Al-rasikhun: Mubtada'

Berdasarkan Qiraat ini, makna ayat akan menjadi hanya Allah sahaja yang tahu takwilan sebenar. 

B)Qiraat Imam Ibn Kathir, Khalaf, 'Asim, Abu 'Amru, Hamzah, Abdullah Bin 'Amir & Abu Ja'far: Wasal pada

 وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ

Ya'lamu: Fi'il mudhori' marfu', 'Alamatu raf'ihi dhommah

Ta'wilahu: Maf'ul Bihi Mansub, Wahuwa Mudhof, Dan dhamirnya Fi mahal Al-jar Mudhof Ilaih. 

Allah: Fa'il marfu'

Wa: Waw Al-'athof

Al-rasikhun: Ma'thuf terhadap Lafaz Al-jalalah.

Berdasarkan Qiraat ini, makna ayat akan menjadi "yang mempunyai ilmu terhadap takwilnya ialah Allah & juga orang-orang yang kukuh di dalam ilmu mereka". 

(Bagi taujih Al-Qiraat lihat Al-muktafa Fi Al-waqf Wa Al-ibtida' oleh Imam Abu 'Amru Al-dani 194-187) 

**Yang tahqiq ialah hakikatnya tiada kontradiksi diantara dua qiraat/tafsiran ini. Ini kerana pada Qiraat pertama, Mutasyabih ditafsirkan sebagai perkara yang disimpan pengetahuannya oleh Allah, manakala Muhkam ditafsirkan sebagai perkara yang memang boleh diketahui maknanya.

Manakala bagi Qiraat kedua, Mutasyabih ditafsirkan sebagai perkara yang samar-samar maknanya. Manakala Muhkam ditafsirkan sebagai perkara yang jelas maknanya. Lalu, yang mempunyai ilmu terhadap perkara yang samar-samar ialah Allah & juga para ulama' yang dikurniakan pada mereka pengetahuan yang kukuh.

Tafsiran Qiraat kedua ini dijelaskan di dalam hadith yang masyhur "yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang tidak diketahui oleh RAMAI manusia". Maksudnya, dari kalangan manusia ada segolongan kecil yang masih mempunyai ilmu terhadap perkara yang samar-samar.

Bagi melengkapkan lagi gambaran, kita ringkaskan dengan poin berikut:

C) Pada Qiraat pertama, maksud lafaz takwil ialah makna kedua yang kita telah bahaskan iaitu "hakikat suatu perkara" manakala lafaz Mutasyabih ialah "Perkara yang disimpan ilmunya oleh Allah" 

D) Pada Qiraat kedua, maksud lafaz takwil ialah "Tafsir/penerangan makna" manakala Mutasyabih ialah "perkara yang samar-samar maknanya"

(Ini ialah kesimpulan Imam Al-tabari, Ibn Taimiyyah di dalam Al-iklil, Al-syinqithi di dalam Adhwa' Al-bayan) 

Begitu juga ia pilihan Al-imam Al-mufassir Al-muhaqqiq Ibn 'Atiyyah (542H) di dalam Tafsir beliau, kata beliau:

هذه المسألة لو تؤملت قرب الخلاف فيها من الاتفاق

"Permasalahan ini jika diperhatikan betul-betul sebenarnya khilaf yang berlaku adalah sikit sahaja dan ia lebih hampir kepada kesepakatan"

(Al-muharrar Al-wajiz, 161/3)

4.0 YANG PERTAMA MENGANGGAP AYAT SIFAT SEBAGAI MUTASYABIH MAKNA

Setakat pencarian saya, dengan merujuk kepada:

1)Mausu'ah Al-tafsir Al-ma'thur

2)Kitab-kitab Tafsir yang Musnad seperti Al-tabari, Ibn Abi Hatim, Abdul Razzaq, Ibnul Jauzi(Zad Al-masir) & lain-lain. 

Saya tidak jumpai seorang salaf pun yang memasukkan ayat-ayat sifat sebagai Ayat-Ayat Mutasyabihat. Bahkan setakat pencarian, tokoh pertama yang mula mengkategorikan Ayat-Ayat Sifat sebagai ayat-ayat Mutasyabihat ialah Al-qadhi Abdul Jabbar Al-hamazani Al-muktazili (415H) di dalam kita beliau "Mutasyabih Al-quran". 

Begitu juga Al-hakim Al-jusyami Al-muktazili(494H) juga mengikuti jejak langkah Al-qadhi Abdul Jabbar ini di dalam Tafsir beliau (Al-Tahzib, 1099/2)

5.0 PENDIRIAN ULAMA' SALAF TERHADAP Ayat-Ayat SIFAT

Bagi ulama' salaf ayat-ayat tersebut jelas maknanya(Muhkam). Maka berikut ialah nas umum yang menjelaskan mauqif mereka:

1)Kata Khatib Ahli Al-sunnah Ibn Qutaibah Al-dinawari (276H)

فإنا لم نر المفسرين توقفوا عن شيء من القرآن فقالوا: هذا متشابه لا يعلمه إلا الله، بل أمروه كله على التفسير، حتى فسروا «الحروف المقطعة» في أوائل السور. 

"Kami tidak pernah lihat para ulama' tafsir berhenti dari menafsirkan mana-mana ayat pun di dalam Al-quran lalu berkata "ini mutasyabih, hanya Allah sahaja yang tahu maknanya". Bahkan kesemua ulama' tafsir itu melalukan semua ayat itu dengan menafsirkannya, bahkan huruf-huruf Muqotta'ah di awal surah pun ada yang menafsirkannya". 

(Takwil Musykil Al-quran, 144)

Keep in mind, bahawa Ibn Qutaibah sekarang sedang menghikayatkan keadaan para ulama' tafsir zaman beliau iaitu awal-pertengahan kurun ke-3 Hijrah. 

Jika ditanya, adakah Imam Ibn Qutaibah maksudkan juga ayat-ayat sifat di dalam statement diatas? 

Jawapannya: Ya, tentu sekali. Sebabkan statement inilah Al-qadhi Abu Ya'la nyatakan fasal khusus di dalam Ibthal Al-takwilat bahawa beliau tidak setuju dengan pendapat Ibn Qutaibah ini, bahkan ayat-ayat sifat patut ditafwidh secara total sahaja menurut beliau - Abu Ya'la-. 

2)Kata Syeikhul Islam Abu Uthman Al-sobuni (449H):

"Aku membaca surat yang ditulis oleh - Syeikhul Muhaddithin Wa Al-fuqaha' - Syeikh Abu Bakar Al-isma'ili (370H) kepada penduduk Jailan. 

نؤمن بذلك كله على ما جاء بلا كيف، فلو شاء - سبحانه - أن يبين لنا كيفية ذلك فعل، فانتهينا إلى ما أحكمه و كففنا عن الذي يتشابه

"Kami beriman dengan sifat Nuzul bagi Allah, kami beriman dengannya sepertimana yang ia datang di dalam hadith tanpa membagaimanakannya, sekiranya Allah kehendaki untuk menjelaskan kepada kita kaifiyyat sifat tersebut nescaya Dia akan lakukan. Maka kami berhenti pada apa yang jelas dari hadith dan kami menahan diri kami pada apa yang Mutasyabih darinya"

(Aqidah Al-salaf Wa Asbab Al-hadith, 192H)

Nas yang cantik ini menerangkan dengan jelas mauqif salaf terhadap Ayat sifat. Secara zahir kalam beliau kita boleh fahami dua perkara:

A)Makna ayat sifat adalah jelas(Muhkam)

B)Kaifiyyat serta Haqiqat sifat adalah tidak diketahui hakikatnya (Mutasyabih) 

3)Imam Abdul Aziz Al-majisyun (164H) - diantara Fuqaha' dan imam hadith thiqah di Madinah-

 فعمي عن البين بالخفي بجحد ما سمى الرب من نفسه. 

" mereka itu telah buta dari yang jelas (ayat-ayat sifat) dengan yang tidak jelas dengan mengingkari apa yang Allah namakan diriNya sendiri" 

Siyaq petikan ini ialah tentang ayat-ayat sifat, boleh rujuk rujukan dibawah untuk melihat ayat sifat yang disebut. 

(Diriwayatkan oleh Ibn Battah di dalam Al-ibanah, 63/3 & Adz-zahabi melalui jalan Al-athram di dalam Al-Siyar & Al-'uluw 141. Dinilai sahih sanadnya oleh imam Adz-zahabi) 

4)Imam Al-mufassirin Al-tabari (310H), ketika menafsirkan ayat 

والعجب ممن أنكر المعنى المفهوم من كلام العرب في تأويل قول ﷲ" ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ" الذي هو بمعنى العلو والارتفاع

"amat hairan dengan mereka yang mengingkari makna yang difahami dari kalam arab pada menafsirkan ayat:" ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ" yang maknanya ialah naik serta meninggi"

(Tafsir Al-tabari, ketika menafsirkan ayat 29 surah Al-baqarah) 

5)Zahir dari kalam Imam Dar Al-hijrah Malik Bin Anas (179H)

الاستواء معلوم والكيف مجهول

"Istiwa' itu diketahui maknanya, dan kaifiyyatnya tidak diketahui"

(Mutawatir dari Imam Malik) 

Kefahaman ini ialah zahir kalam imam Malik, adapun takwilan dan taqdir kalam yang pelbagai maka itu ialah khilaf Zahir. Pada kalam ini ada isyarat pada ayat sifat bersifat muhkam dari sudut makna dan mutasyabih dari sudut kaifiyyat dan hakikat. 

Pemahaman para imam terhadap kata-kata Imam Malik ini:

A) imam Ibn 'Arabi Al-maliki (543H):

و مذهب مالك أن كل حديث منها معلوم المعنى
"Mazhab imam Malik ialah semua hadith-hadith berkaitan sifat ini diketahui maknanya" ('Aridhah Al-ahwadzi, 134/3)

B) Begitu juga imam Al-qurtubi (671H)

قال مالك-رحمه ﷲ - : الاستواء معلوم، يعني في اللغة

"Istiwa' itu diketahui maknanya dari sudut bahasa"

(Tafsir Al-qurtubi, ayat 54 Al-a'raf) 

3)Demikian juga ia difahami seperti diatas oleh Imam Al-qurra' Abu 'Amru Al-dani di dalam (Al-risalah Al-wafiyah 139-134)

4)Ditambah pula dengan kata-kata Al-imam Al-mujtahid Ibn Qudamah (620H):

(الاستواء غير مجهول) فكان غير مجهول لحصول العلم به، وقد روي في بعض الألفاظ (الاستواء معلوم)

"(Istiwa' tidak majhul maknanya), ianya tidak majhul maknanya kerena kita mendapat ilmu tentangnya, dan diriwayatkan juga dari imam Malik bahawa beliau berkata (Al-istiwa' Maklum) 

(Dzamm Al-takwil, 26)

Ini semua ialah nas umum yang menzahirkan metodologi mereka di dalam memahami ayat sifat, adapun contoh terperinci mereka mengithbat makna ayat-ayat sifat maka terlalu banyak untuk dihitung dan tersebar di dalam kitab-kitab aqidah yang Musnad.
 
Dengan ini, para ulama' salaf tidak pernah menganggap Ayat-Ayat sifat sebagai Mutasyabih makna pun. Jika warid dari sebahagian salaf yang mereka merujuk sebahagian ayat sifat sebagai Mutasyabih (Seperti tajuk penuh kitab Al-radd 'Ala Al-jahmiyyah oleh imam Ahmad). Maka yang mereka maksudkan disitu ialah Mutasyabih dari sudut "Hakikat dan kaifiyyat sifat" dan tidak maknanya. Kenapa? 

Sebab puluhan nas dari imam Ahmad jelas menunjukkan beliau menafsirkan ayat sifat serta memahami maknanya dan mengithbatnya.  

Adapun Ahli kalam maka makruf bahawa mereka mengatakan ayat-ayat sifat ialah mutasyabih dari sudut maknanya. Bahkan kata Imam Al-razi (606H):

الذي يطابق ظاهره دلائل العقول فيكون محكما، وأما الذي يخالف ظاهره دلائل العقول فيكون متشابها

"Zahir Ayat Al-quran yang bertepatan dengan dalil-dalil akal ialah muhkam, adapun zahir ayat Al-quran yang menyelisihi dalil-dalil akal maka ia Mutasyabih" 

(Tafsir Al-razi - Mafatih Al-ghaib-, ketika menafsirkan ayat 7 Al-imran) 

Wallahu a'lam

Khamis, 6 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 1)

Berhukum dengan selain hukum Allah telah menjadi sebuah topik yang hangat dibincangkan dari zaman dahulu hingga kini. Umat Islam telah terbahagi dan berpecah dalam memahami tentang masalah ini. 

Ringkasnya, golongan Khawarij menyatakan pelaku dosa besar telah kafir dan murtad sehingga jenazahnya dilarang dikubur di tanah perkuburan Islam meskipun ketika hidupnya dia solat, puasa, zakat dan haji. Golongan ini menyamakan maksud fasiq dan zalim sebagai kufur (kafir). Padahal yang benar adalah, setiap maksiat dan dosa itu tidaklah sama tingkatannya. Ada dosa dan maksiat yang menyebabkan fasiq, ada yang menyebabkan zalim dan ada yang menyebabkan kafir. Permasalahan ini perlulah diperhatikan dengan teliti.

Golongan Muktazilah pula mengatakan pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir. Ia dikenali dengan istilah "Al-Manzilatu Bainal-Manzilatain." Namun Muktazilah dan Khawarij sama-sama bersetuju hukuman bagi pelaku dosa besar di akhirat akan kekal di dalam api neraka. Maka secara penilaian akhiratnya bagi kedua-dua golongan ini adalah sama sahaja.

Wujud satu lagi kumpulan yang bertentangan dengan dua golongan di atas, iaitulah golongan Murjiah. Meraka berpandangan bahawa perbuatan dosa tidak merosakkan keimanan sama sekali. Pelaku dosa dan maksiat menurut mereka tidak akan menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam api neraka jika pelakunya masih memiliki iman di dalam hati. Lebih parah lagi, mereka mengatakan iman orang-orang fasiq itu sama sahaja dengan imannya Abu Bakar r.a dan Umar ra. Pendapat golongan Murjiah ini jelas bertentangan dengan keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan iman itu, merangkumi 3 elemen iaitu meyakini di dalam hati, mengungkapkannya dengan lisan/lidah (mengucapkannya), dan diamalkan/dibuktikan dengan perbuatan/amalan (anggota badan).

KEYAKINAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa dalam masalah berhukum dengan selain hukum Allah ini adalah dengan mengumpulkan keseluruhan nas-nas yang ada di dalam setiap permasalahan agama. Keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah menyelisihi 3 golongan yang telah disebutkan di atas.

Menurut ulama: "Sesungguhnya seseorang manusia itu kemungkinan berhimpun pada dirinya kufur, iman, syirik dan tauhid, taqwa dan kejahatan serta kemunafikan dan keimanan."

Al-'Allamah Ibnu Abil 'Izz Ad-Dimasyqi rahimahullah (wafat 792 Hijrah) berkata: "Sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah boleh jatuh kufur yang mengeluarkan dari agama dan boleh juga menjadi kufur majazi atau kufur kecil. Ini adalah bergantung kepada hal keadaan hakim (atau pemerintah): maka jika sekiranya dia beriktikadkan bahawa berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah tidak wajib, dan dengan ini dia mempunyai pilihan (sama ada untuk berhukum dengannya atau tidak); atau pun dia meringan-ringankan (suruhan berhukum dengannya) padahal dia benar yakin bahawa ianya adalah hukum Allah - maka ini adalah kufur akbar (besar). 

Sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan dia berpengetahuan (berilmu) akansuruhan ini, tetapi dia tidak melaksanakannya padahal dia mengakui bahawa perbuatannya itu berhak untuk diberi balasan buruk (di akhirat kelak), maka orang ini merupakan pelaku dosa yang digelar kufur majazi atau kufur kecil. 

Seterusnya, sekiranya dia jahil berkenaan (cara perlaksanaan) hukum Allah sedangkan dia giat berusaha meluangkan masanya untuk memahami hukum (Allah) tersebut, namun dia masih melakukan kesilapan, maka orang ini merupakan seorang pembuat kesalahan yang diberikan ganjaran baik atas usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu adalah dimaafkan." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, halaman 348-349)

Al-Imam Abu Jaafar At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah), dalam kitabnya mengatakan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة بذنب، ما لم يستحله

"Dan kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa selagi dia tidak menghalalkan dosa-dosa tersebut..."

Berkata Al-Imam Ibnu Abil 'Izz rahimahullah pada menjelaskan matan kitab Aqidah Tahawiyah di atas: "Sesungguhya seseorang yang beriman dari segi zahir dan batinnya, tetapi sekiranya dia membuat satu takwilan (tafsiran) di mana dia telah tersalah dalam takwilannya itu sama ada dengan ijtihad (darinya) atau pun penyelewengan yang merupakan satu kemaksiatan (darinya) maka tidaklah dihukumkan bahawa keimanannya terus telah terbatal disebabkan hanya dengan perbuatannya ini sahaja melainkan ada dalil-dalil syarak yang mengatakan demikian. Bahkan cara ini adalah merupakan sama dengan amalan golongan Khawarij dan Muktazilah. Tidaklah pula kita mengatakan bahawa dia tidak kufur (dengan perbuatannya itu). Malah pengimbangan antara keduanya itulah pendirian yang pertengahan; iaitu sesungguhnya pendapat-pendapat yang batil, bidaah dan haram yang merupakan penafian apa yang telah dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w, atau menetapkan apa yang telah dinafikan olehnya, atau menyuruh apa yang telah dilarangnya, atau melarang apa yang telah diperintahkan, kesemuanya ini hendaklah dihukumkan dengan hak dengan menetapkan segala balasan-balasan buruk yang telah dikenakan ke atasnya sebagaimana yang telah disebut dalam nas-nas.

Hendaklah dijelaskan bahawa (perbuatan itu) adalah kufur. Kemudian dikatakan pula bahawa sesiapa yang berpendapat atau berbuat begitu, maka dia telah kafir. Ataupun dengan cara-cara yang lain seperti itu...

Ada pun pada individu-individu tertentu (mu'ayyan), sekiranya ditanya sama ada mereka ini disaksikan sebagai ahli neraka atau mereka adalah ahli kafir; maka kita tidaklah menyaksikan demikian ke atasnya melainkan dia telah melakukan sesuatu perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya. Sesungguhnya adalah menjadi satu kesalahan dengan mengatakan ke atas seseorang individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya, tidak akan merahmatinya, bahkan mengekalkannya di dalam neraka. Sesungguhnya, ini merupakan hukuman kekafiran selepas kematian.

Oleh kerana itu, Imam Abu Daud telah meriwayatkan dalam kitab hadisnya iaitu "Sunan Abi Daud" di dalam Kitab Al-Adab; Bab Penegahan Terhadap Kesalahan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada suatu masa ada dua lelaki dari Bani Israil yang saling bersahabat. Salah seorang darinya selalu melakukan dosa dan yang seorang lagi sentiasa bergiat di dalam beribadat. Senantiasa orang yang membuat ibadat itu mendapati seorang yang lagi satu itu melakukan dosa. Dia pun berkata: "Berhentilah (kamu dari berbuat dosa)." Maka pada suatu hari dia mendapati temannya melakukan dosa lagi, lalu dia pun berkata: "Berhentilah." Maka dijawab (oleh pelaku dosa itu): "Biarlah aku dengan Tuhanku. Adakah kamu ini diutuskan untuk menjadi pemerhati ke atasku?" Berkatalah seorang yang selalu beribadat itu: "Demi Allah, tidak akan diampunkan Allah terhadap kamu." Ataupun: "Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga." Maka Allah SWT mencabut nyawa keduanya dan dihadapkan bersama-sama di sisi Tuhan sekalian alam seraya berfirman kepada yang giat dalam beribadat: "Adakah kamu mengetahui ke atas diriKu? Atau adakah kamu berkuasa di atas apa yang ada di antara kedua TanganKu?" Maka Allah pun berfirman kepada si pembuat dosa itu: "Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu." Dan Allah berfirman terhadap lelaki yang satu lagi: "Bawalah dia masuk ke dalam neraka." Maka Abu Hurairah r.a berkata: "Demi diriku yang berada diTanganNya, dia (orang yang giat beribadat itu) telah mengatakan sesuatu perkataan yang memusnahkan (kehidupan) dunia dan akhiratnya." Hadis ini martabatnya hasan (baik).

Ini adalah kerana seseorang individu itu adalah mungkin merupakan seorang yang telah tersalah dalam ijtihadnya yang diampunkan dosanya, ataupun mungkin dari golongan yang tidak sampai nas-nas yang lain kepadanya selain dari apa yang ada di sisinya, ataupun kemungkinan dia mempunyai keimanan yang teguh yang menghasilka ganjaran-ganjaran (baik) yang mewajibkan dianugerahi rahmat Allah kepadanya sepertimana telah diampunkan orang yang berkata (dalam satu riwayat hadis): "Sekiranya aku mati, maka hancurkanlah aku (sehingga menjadi debu) kemudian taburlah abuku." Kemudian diampunkan Allah (terhadap perbuatannya ini) disebabkan takutnya dia (kepada Allah). Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Nasa-i dan Malik. Lelaki ini pada asalnya merasakan bahawa Allah tidak berkuasa untuk menyatukan dan menciptakan semula tubuhnya, atau dia syak (ragu) terhadap kekuasaanNya. Tetapi larangan terhadap kita dalam perkara akhirat (untuk menghukum seseorang itu telah kafir dan tidak akan masuk syurga) tidaklah pula bermakna kita dilarang untuk menghukumnya di dunia, melarang ia dari perbuatan bidaahnya dan menyuruh dia bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat maka kita wajib menghukum bunuh ke atasnya (disebabkan kemurtadannya atau perbuatan kekufurannya)." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, 340-341)

Bersambung...

Disediakan oleh: 
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal
6 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441

Selasa, 26 April 2016

TUHAN YANG MAHA MEMELIHARA

Allah SWT berfirman:

مَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُنْ لَهُ نَصِيبٌ مِنْهَا ۖ وَمَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُنْ لَهُ كِفْلٌ مِنْهَا ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُقِيتًا

Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' 4: 85)

Al-Muqit bermaksud Dialah (Allah) yang Maha memelihara segala sesuatu di atas 'ArasyNya. Dia mempunyai kesempurnaan yang mutlak di dalam memberikan makanan dan mengagihkan rezeki makhlukNya. Dia memberi makan dan rezeki kepada setiap makhluk sesuai mengikut batas-batas yang telah ditetapkanNya, yang sepadan dengan kuantiti dan kualiti makhlukNya, sejalan dengan hikmahNya.

Ada yang Allah berikan kepada makhluk makanan asasnya yang mencukupi untuk jangka waktu yang lama. Ada juga yang hanya cukup dalam jangka waktu yang singkat. Boleh juga Allah mengujinya dengan tidak diberikan makanan kecuali cukup dalam jangka waktu yang sangat singkat. Boleh juga Allah mengujinya dengan tidak diberikan makanan kecuali melalui kepayahan yang sangat berat. Allah SWT menciptakan makanan dengan pelbagai jenis dan warna serta memudahkan cara untuk mengambil manfaat daripadanya bagi manusia dan haiwan. Allah SWT juga Maha Memberi rezeki makanan untuk hati, melalui ilmu pengetahuan dan keimanan.

Seorang Muslim yang mengesahkan Allah dengan nama ini dia seharusnya memberikan kesan kepada segenap kaum Muslimin secara umumnya, seperti kepercayaan dan keyakinan bahawa pada hakikatnya makanan iu bersumber daripada Allah, Tuhan semesta alam.

Bahkan ketika sedang ditimpa bencana dan semputnya jalan untuk melakukan usaha mencari rezekiz, seorang Muslim seharusnya memanfaatkan makanan utamanya sebagai makanan yang seimbang. Ertinya tidak terlalu kedekut dan tidak pula terlalu berlebih-lebihan. Allah memerintahkan untuk bersikap pertengahan di dalam segala sesuatu, dan bersabar di atas rasa lapar sebagai ujian yang tidak boleh dihindari oleh manusia. Allah tidak memerintahkan untuk memaparkan diri dan menyeksa tubuh badan dengan meninggalkan makan. Makan itu ada waktunya menjadi wajib, jika sekadar untuk meluruskan tulang,dan menjadi sunat jka sekadar untuk mendapatkan rasa kenyang sehingga memberikannya kekuatan untuk bergerak dan bekerja, serta menjadi makruh ketika melebihi itu semua. (Dr. Mahmud Abdurrazak Al-Ridhwani (2005), Ad-Du'aau bil-Asmaail Husna, ms 97).

Di antara doa yang sesuai dengan nama ini adalah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa yang Allah berikan makanan kepadanya, hendaklah dia berdoa:

اللهم بارك لنا فيه وارزقنا خيرا منه

Ya Allah! Berkatilah kami pada makanan ini dan berikanlah kepada kami rezeki yang lebih baik daripada ini." (As-Silsilatu As-Sahihah, no: 2320)

Semoga kita dapat manfaat bersama.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...