Ahad, 4 September 2011

KITAB-KITAB SALAF DALAM MASALAH AKIDAH


Syeikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali
Wahai saudaraku yang mulia;
Sekarang kita sampai kepada pembahasan yang sesuai dengan judul tulisan ini. Kita telah mengetahui perbezaan antara manhaj salaf dengan khalaf dan mengetahui pula kedudukan dan pentingnya akidah salaf yang garis besarnya adalah berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi kebid’ahan.
Di dalam bab ini, saya akan menyebutkan dua Imam yang mulia.
Imam Az-Zuhri rahimahullah berkata: “Ulama-ulama kita berkata:
“Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.”
Imam Malik rahimahullah berkata:
“As-Sunnah adalah seperti perahunya Nabi Nuh. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa yang tidak mahu menaikinya, maka dia akan tenggelam.” [Lihat Fatawa Syaikhul Islam (4/57) dan kitab Al I’tisham (1/224-225)]
Seharusnya bagi (seorang) penuntut ilmu bersemangat untuk menyelamatkan akidah dan manhajnya.
Caranya dengan cara membiasakan diri dengan membaca kitab-kitab sunnah dan kitab yang berisi akidah salafus soleh serta bersungguh-sungguh dalam menelaahnya. Kemudian mempraktikkan apa yang telah diketahuinya dengan penuh keadilan dalam semua urusan. Tidak tafrit (meremehkan) dan tidak pula ifrat (melampaui batas).
Hendaklah para penuntut ilmu menghindari sikap keras yang melampaui batas. Selalu bersama para ulama yang kukuh di atas sunnah dan mencontohi mereka untuk menghadapi (permasalahan) yang berada di sekitar kita.
Menjauhkan diri dari sikap menentang dan berpaling dari manhaj salaf serta kitab-kitabnya atau memburuk-burukkan para ulama yang kukuh (di atas ilmu) atau menganggap mereka jahil dan lalai.
Jika semuanya ini telah kamu ketahui, maka ketahuilah wahai saudaraku, bahawa kitab-kitab yang menjelaskan tentang akidah salaf ada tiga bentuk, iaitu:
Pertama       : Kitab-kitab Hadis.
Kedua          : Kitab-kitab Tafsir.
Ketiga          : Kitab-kitab khusus yang berbicara dalam masalah ijtihad.
Dan saya akan menjelaskan dari tiap-tiap bahagian jenisnya, jika berkemungkinan.
A.   KITAB-KITAB HADIS
Kebanyakan kitab-kitab hadis sangat memperhatikan hadis-hadis yang berkaitan dengan masalah i’tikad (keyakinan) dan mencakup juga di dalamnya bantahan terhadap penyelisihnya.
Diantara kitab-kitab hadis adalah:
  1. Sahih Al-Bukhari (Kitab hadis yang paling utama).
Imam Al-Bukhari memasukkan dalam kitab Sahih beliau tiga kitab dalam masalah i’tikad dan bantahan kepada kelompok Murji’ah (Murji’ah adalah kelompok sesat yang memiliki keyakinan bahawa amal perbuatan bukan termasuk bahagian dari Iman). Kitab Tauhid milik beliau rahimahullah mencakup di dalamnya bantahan terhadap kelompok Jahmiyah (Jahmiyah adalah kelompok sesat yang menolak nama dan sifat-sifat Allah).
Sedangkan kitab Al-I’tisham bis-Sunnah mencakup bantahan terhadap para pengagung akal dan orang-orang yang mengingkari hadis Ahad sebagai hujjah (di dalam agama, khususnya dalam masalah akidah – edt).
  1. Sahih Muslim.
Imam Muslim memasukkan di dalam kitab Al-Iman (Permasalahan tentang akidah) dan mencakup bantahan terhadap Qadariah (Pemahaman Qadariah dinisbahkan kepada Mu’tazilah, disebabkan mereka mengingkari takdir. Qadariah ada 2 jenis iaitu Qadariah pertama dan Qadariah Mu’tazilah).
  1. Sunan Abu Daud.
Abu Daud memasukkan dalam Sunan-nya, kitab As-Sunnah yang di dalamnya membahas bantahan terhadap Qadariah, Murji’ah, Jahmiah Al-Mu’attilah (Yakni Jahmiah yang menolak sifat-sifat Allah – edt).
Beliau bahkan meletakkan judul dan nama-nama kelompok tersebut seperti ucapan beliau dalam bab: Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
4.   Sunan Ibnu Majah.
Al-Imam Abu ‘Abdillah Muhammad Yazid bin Majah meletakkan di dalam mukadimah kitab Sunan milik beliau tentang wajibnya mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam dengan jumlah halaman lebih kurang sebanyak 100 halaman dengan jumlah hadis sebanyak 266 buah.
Beliau membuat banyak bab (di dalamnya), diantaranya: bab: Fima Unkiratil Jahmiyah. Beliau menyebutkan di dalam bab ini pengingkaran Jahmiah terhadap ru’yatullah (Allah akan dilihat pada hari kiamat), Allah berbicara dan Allah beristiwa’ di atas ‘Asary-Nya.
Beliau membawakan hadis-hadis yang merupakan bantahan terhadap mereka. Beliau menjelaskan juga tentang Khawarij dan selain mereka dari kelompok-kelompok bid’ah. Bahkan beliau menulis satu bab (yang membahas) kewajiban untuk menjauhi ra’yu (pendapat-pendapat yang tidak memiliki dasar atau dalil).
B.   KITAB-KITAB TAFSIR
Yang dimaksud di sini adalah kitab-kitab yang ma’tsur (memiliki sanad) dan tempat-tempat (permasalahan ini) pada ayat-ayat sifat, seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala:
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Ar-Rahman (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Toha: 5)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Dia (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Al-A’raf: 54; Yunus: 3; Ar-Ra’d: 2; Al-Furqan: 59; As-Sajdah: 4; Al-Hadiid: 4)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ
“Kepada apa yang Aku telah menciptakannya dengan kedua tangan-Ku. (Sod: 75)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ
“Bahkan kedua tangan-Nya terhampar (terbuka).” (Al-Maidah: 64)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا
“Yang berlayar dengan mata-mata Kami.” (Al-Qamar: 14)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
“Dan Tuhan-mu telah datang dan malaikat bersaf-saf (berbaris-baris).” (Al-Fajr: 22)
Dan selainnya dari ayat-ayat sifat (yakni ayat yang menyebutkan sifat-sifat Allah subhanahu wa ta’ala).
Termasuk dari sederetan tafsir salaf, yang sudah dicetak dan yang belum dicetak, dengan keistimewaannya iaitu bersanad ertinya seorang musafir (ulama ahli tafsir) menyebutkan sand-sanad hadis sampai akhir.
Kitab-kitab tafsir tersebut antara lain:
  1. Tafsir Ibnu abi Hatim.
  2. Tafsir Abd. Bin Humaid.
  3. Tafsir Ibnu Mardawaih.
  4. Tafsir Al-Baghawi.
  5. Tafsir At-Tobari.
  6. Tafsir Ad-Dural Mantsur, karya: Imam As-Suyuti.
  7. Tafsir Ibnu Katsir.
C.   KITAB-KITAB DALAM MASALAH AKIDAH
Wahai saudara-saudara yang kucintai;
Jika disebutkan akidah salaf Ahlus Sunnah dan tokohnya dalam menjelaskan akidah tersebut serta gigih membelanya, maka Imam Ahmad bin Hanballah sebagai imam mereka dan sekaligus sebagai pemimpinnya. Di tangan beliaulah akidah salaf mencuat ke permukaan dan berbeza dengan para penyelisihnya.
Beliau telah tampil menghadang Jahmiah dan Mu’tazilah sebagaimana Abu Bakar tampil menghadang orang-orang murtad. Kerana itu beliau adalah sebagai lambang sunnah dan digelari Imam Rabbani dan As-Siddiq yang kedua. [Lihat kitab Manaqib Imam Ahmad karya Ibnul jauzi hal. 110 dan 116]
Tidak asing lagi, bahawa beliau rahimahullah telah mendapat ujian demi ujian yang tidak akan dapat dipikul oleh selain beliau dan tidak akan bersabar untuk menerima ujian seperti yang beliau alami dalam mempertahankan keyakinan.
Imam Al-Muhaddis Ali bin Al-Madini –Guru Imam Al-Bukhari- berkata: “Sesungguhnya Allah telah menjayakan Islam ini dengan dua tokoh dan tidak ada yang ketiganya, iaitu: Abu Bakar As-Siddiq pada hari-hari pemurtadan dan Imam Ahmad pada hari-hari fitnah, iaitu fitnah perkataan Al-Quran adalah mahluk dan pengingkaran terhadap ayat-ayat Allah.”
Al-Imam Ishaq bin Rahawaih mengatakan tentang beliau: “Kalau bukan kerana Imam Ahmad dan pengorbanan beliau, niscaya Islam ini akan hilang.”
Bahkan cinta dan bencinya (seseorang) kepada beliau rahimahullah adalah sebagai kayu ukur untuk mengetahui (adakah dia) Ahlus Sunnah atau Ahlul Bid’ah.
Imam Abi Hatim berkata: ‘Apabila kamu melihat seseorang mencintai Ahmad bin hanbal, ketahuilah bahawa dia adalah Ahlus Sunnah.”
Abu Ja’far Al-Fallas berkata: “Apabila kamu melihat seseorang mencerca Ahmad bin Hanbal, maka sesungguhnya dia adalah seorang Mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang sesat.” [Lihat Muqaddimah Al-Ma’rifah li Kitab Al-Jarh wat-Ta’dil, hal. 308-309]
Imam Ahmad sangat membenci berdalam-dalam tentang masalah agama, banyak berbicara tentang sifat-sifat Allah (sebagaimana Ahlul Bid’ah) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Ketika beliau melihat marabahaya yang akan menimpa agama yang didalangi oleh Mu’tazilah, maka beliau dalam keadaan terpaksa harus terjun ke medan pertarungan. Beliau mengorbankan segalanya demi terjaganya akidah umat ini.
Karya-karya Imam Ahmad diantaranya:
  1. Kitab As-Sunnah.
  2. Kitab Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
Beliau memberi kesempatan kepada para ulama di dalam menjelaskan akidah yang benar dan membantah para penyelisih dengan kemampuan yang jelas. Diantara sederetan para ulama yang memiliki kedudukan besar dalam membela akidah salaf dan memegang kitab antara lain:
  1. Al-Imam Abdullah bin Al-Mubarak (wafat pada tahun 181 H).
  2. Yahya bin Said Al-Qotton, seorang ulama ahli hadis, ahli hujjah dan kritis (wafat pada tahun 198 H).
  3. Ibnu Abi syaibah, Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim Al-Abbasi. Beliau telah menulis kitab As-Sunnah dan kitab Al-Iman (wafat pada tahun 225 H).
  4. Yahya bin Bukhair bin Abdurrahman Al-Hanzhali Al-Hafiz. (wafat pada tahun 226 H).
  5. Abu Abdillah Nu’aim bin Hammad. Beliau dan Murid-muridnya meninggal di penjara kerana dipukul dengan teramat kuat (wafat pada tahun 228 H).
  6. Abdul Aziz Al-Kinani Al-Makki, pengarang kitab Al-Haidah.
  7. Abdullah bin Muhammad Al-Ju’fi, salah seorang guru Imam Al-Bukhari (wafat pada tahun 229 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  8. Imam Ishaq bin Ibrahim yang terkenal dengan nama “Ibnu Rahawaih” (wafat pada tahun 238 H).
  9. Imam Muhammad bin Isma’il bin Al-Bukhari. Disamping menulis kitab Al-Jami’, beliau juga menulis kitab Khalqu Af’alil ‘Ibad dan Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  10. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Hani’ Al-Atsram, sahabat Imam Ahmad (wafat pada tahun 273 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah.
  11. Imam Abdullah bin Imam Ahmad. Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah dicetak dengan tahqiq oleh DR. Muhammad Said Al-Qottoni.
  12. Imam Utsman bin Said Ad-Darimi (wafat pada tahun 280 H). Beliau memiliki kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah dan Ar- Raddu ‘alal Marisi.
  13. Imam Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Said Al-Marwazi (wafat pada tahun 292 H). Kitab beliau berjudul As-Sunnah.
  14. Imam Abu Bakar Muhammad bin Al-Husain bin Abdillah Al-Ajurri (wafat pada tahun 360 H). Diantara karya beliau adalah kitab Asy-Syari’ah dan kitab At-Tasdiq bin Nazhar ila Wajhillah wama A’adda li Auliya’uhu.
  15. Imam Abul Qasim Sulaiman bin Ahmad At-Tabrani. Beliau memiliki karya-karya Al-Ma’ajim (Jamak/Plural kepada perkataan Mu’jam – edt) dan selainnya seperti kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 360 H).
  16. Imam Abu Ali Haubal bin Ishaq Asy-Syaibani, anak pakcik Imam Ahmad dan murid beliau (wafat pada tahun 283 H). Beliau menulis kitab yang berjudul As-Sunnah.
  17. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Harun Al-Khallaf, beliaulah yang telah menghimpun ilmu Imam Ahmad (wafat pada tahun 311 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dalam tiga jilid dan telah ditahqiq satu jilid oleh DR. ‘Atiyah Az-Zahrani.
  18. Imam Abu Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Ja’far bin Hayyan Al-Asbahani. Karyanya banyak, diantaranya adalah kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 369 H).
  19. Imam Abu Bakar Ahmad bin ‘Amr bin Abi ‘Ashim An-Nabil Asy-Syaibani (wafat pada tahun 287 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah ditakhrij hadisnya oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani rahimahullah.
  20. Imam Abu Hafiz Umar bin Ahmad bin Usman Al-Baghdadi, seorang penasihat dan terkenal dengan nama “Syahin.” Beliau seorang hafiz besar (wafat pada tahun 385 H). Beliau memiliki kitab As-Sunnah.
  21. Imam Abul Hasan Al-Asy’ari (wafat pada tahun 324 H). Beliau menulis kitab Al-Ibanah dan kitab Al-Mujiz. Beliau mengarang kitab tersebut dengan mengikuti jalan ahlul hadis dalam menetapkan sifat-sifat (bagi Allah) dan di dalamnya terdapat bantahan terhadap Jahmiah dan selainnya serta orang yang menta’tilkan (menolak) sifat-sifat (bagi Allah).
  22. Imam Khasyisy bin Asram (wafat pada tahun 253 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Al-Istiqamah dan Ar-Raddu ‘alal Ahlil Bid’ah.
  23. Imam Ishaq bin Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (wafat pada tahun 311 H), menulis kitab At-Tauhid wa Itsbat sifat Irrabi Azza wa Jalla.
  24. Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Tobari (wafat pada tahun 310 H). Beliau adalah penulis kitab tafsir yang besar dan kitab-kitab di atas manhaj ahli hadis dan sunnah, sebagaimana telah berlalu penjelasannya.
  25. Abu Abdillah Muhammad bin Yahya bin Mundah, seorang hafiz dan banyak berjalan dalam rangka untuk menuntut ilmu. Karya beliau antara lain kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 301 H).
  26. Imam Abu Al-Qasim Hibatullah bin Hasan Al-Lalikai (wafat pada tahun 481 H). Diantara kitab beliau adalah Syarah Usulus Sunnah dan telah dicetak dengan ditahqiq oleh DR. Ahmad Sa’ad Hamdan.
  27. Imam Al-Hafiz Amirul Mukminin dalam ilmu hadis, Abul Hasan bin Umar Ad-Daruqutni (wafat pada tahun 385 H). Diantara kitab beliau adalah kitab As-Sifat, kitab An-Nuzul dan kitab Ar-Ru’yah.
  28. Imam Al-Hafiz ‘Ubaidullah bin Muhammad bin Battoh Al-‘Akbari (wafat pada tahun 387 H). Diantara karya beliau adalah Al-Ibanah ‘an-Syari’atil Firqatunnajiyah wa Mujanabatul Firaqil Mazmumah, kitab Al-Ibanah As-Sughra dan kitab As-Sunnah.
  29. Imam Muhyis Sunnah, Abu Muhammad Al-Husain bin Mas’ud Al-Baghawi (wafat pada tahun 516 H). Diantara karya beliau adalah Syarhus Sunnah dan di dalamnya mencakup kitab Al-Iman. Diantara bab dalam kitab Al-Iman adalah bab: Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah, bab: Bantahan terhadap Bid’ah-bid’ah dan hawa nafsu, bab: Menjauhi Ahlul Ahwa’. Dan telah lalu diisyaratkan kitab beliau dalam kitab-kitab tafsir.
  30. Imam Al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Muhammad bin Al-Fadl At-Taimi Al-Asbahani (wafat pada tahun 535 H). Diantara kitab beliau adalah Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah, dan Syarah Mazhab Ahlus Sunnah, dan telah dicetak dengan dua jilid dengan Muhaqqiq Muhammad Rabi’ Al-Madkhali dan Muhammad Abu Rahim.
  31. Imam Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah (wafat pada tahun 728 H). Kitab-kitab beliau terkenal (di kalangan kaum muslimin) dan banyak dipakai oleh para penuntut ilmu.
Beliau telah mengarang kitab-kitab yang banyak, baik dalam masalah akidah atau di dalam dakwah agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, memerangi segala bentuk bid’ah dan hawa nafsu. Diantara kitab beliau, antara lain: Al-Aqidah Al-Wasitiyah, Al-Aqidah Al-Hamawiyah, At-Tadmuriyah, Iqtidha Siratal Mustaqim, Minhajus Sunnah, Daru Ta’arudhul ‘Aql wan Naql, Qaidatan Jalilatun fi At-Tawassul wal Wasilah, Ar-Raddu ‘ala Al-Bakri dan Ar-Raddu ‘ala Al-Akhna’i.

Sumber: Kajian Bagi Pemula Berkenalan Dengan Salaf, Pustaka Sumayyah, Penterjemah Abu Usamah Ibnu Rawiyah An-Nawawi. Judul Asli: Adwa’un ‘ala Kutubis Salafi fil ‘Aqidah. Dipindahkan ke dalam CHM oleh Ahmad Al-Makassari (ashthy.wordpress.com)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...