Memaparkan catatan dengan label kisah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kisah. Papar semua catatan

Ahad, 19 April 2020

Biografi Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz rahimahullah

Penulis: Al-Ustaz Ahmad Hamdani Ibnu Muslim

Syeikh Bin Baz, menurut Syeikh Muqbil Bin Hadi Al-Wadi’i, adalah seorang tokoh ahli fiqh yang diperhitungkan di zaman kini, sebagaimana Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani juga seorang ulama ahlul hadis yang handal masa kini. Untuk mengenal lebih dekat siapa beliau, mari kita semak kata-kata beliau mengungkapkan data peribadinya berikut ini.

https://youtu.be/zimMEB9bNQg

Syeikh mengatakan, “Nama lengkap saya adalah Abdul ‘Aziz Bin Abdillah Bin Muhammad Bin Abdillah Ali (keluarga) Baz. Saya dilahirkan di kota Riyadh pada bulan zulhijah 1330 Hijrah. Dahulu ketika saya baru mula belajar agama, saya masih dapat melihat dengan baik. Namun qodarullah pada tahun 1346 Hijrah, mata saya terkena jangkitan yang menyebabkan rabun. Kemudian lama-kelamaan kerana tidak sembuh-sembuh mata saya tidak dapat melihat sama sekali. Musibah ini terjadi pada tahun 1350 Hijriyah. Pada saat itulah saya menjadi seorang buta. Saya ucapkan alhamdulillah atas musibah yang menimpa diri saya ini. Saya memohon kepadaNya semoga Dia berkenan menganugerahkan basirah (mata hati) kepada saya di dunia ini dan di akhirat serta balasan yang baik di akhirat seperti yang dijanjikan olehNya melalui nabi Muhammad ﷺ atas musibah ini. Saya juga memohon kepadanya keselamatan di dunia dan akhirat.

Mencari ilmu telah saya tempuh semenjak masa kanak-kanak. Saya hafal Al-Quran sebelum mencapai usia baligh. Hafalan itu diuji di hadapan Syeikh Abdullah Bin Furaij. Setelah itu saya mempelajari ilmu-ilmu syariat dan bahasa Arab melalui bimbingan ulama-ulama kota kelahiran saya sendiri. Para guru yang sempat saya ambil ilmunya adalah:

1. Syeikh Muhammad Bin Abdil Latif Bin Abdirrahman Bin Hasan Bin Asy-Syaikh Muhammad Bin Abdul Wahhab, seorang hakim di kota Riyadh.

2. Syeikh Hamid Bin Faris, seorang penjawat jabatan wakil urusan Baitul Mal, Riyadh.

3. Syeikh Sa’ad, Qadhi negeri Bukhara, seorang ulama Makkah. Saya menimba ilmu tauhid darinya pada tahun 1355 H.

4. Samahatus Syeikh Muhammad Bin Ibrahim Bin Abdul Latief Alu Syaikh, saya bermuzalamah padanya untuk mempelajari banyak ilmu agama, antara lain: aqidah, fiqh, hadis, nahu, faraidh (ilmu waris), tafsir, sirah, selama kurang lebih 10 tahun. Mulai 1347 sehingga tahun 1357 H.

Semoga Allah membalas jasa-jasa mereka dengan balasan yang mulia dan utama.

Dalam memahami fiqh saya menggunakan tariqah (mazhab -red) Ahmad Bin Hanbal [1] rahimahullah. Hal ini saya lakukan bukan semata-mata taklid kepada beliau, akan tetapi yang saya lakukan adalah mengikuti dasar-dasar pemahaman yang beliau tempuh. Adapun dalam menghadapi ikhtilaf ulama, saya memakai metodologi tarjih, kalau dapat ditarjih dengan mengambil dalil yang paling sahih. Demikian pula ketika saya mengeluarkan fatwa, khususnya apabila saya menemui silang pendapat di antara para ulama baik yang mencocoki pendapat Imam Ahmad atau tidak. Kerana AL-HAQ itulah yang sepatutnya diikuti. Allah berfirman (yang ertinya -red), “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (As-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa: 59).”


TUGAS-TUGAS SYAR’I

”Banyak jawatan yang diamanahkan kepada saya yang berkaitan dengan masalah keagamaan. Saya pernah mendapat tugas sebagai:

1. Hakim dalam waktu yang panjang, sekitar 14 tahun. Tugas itu berawal dari bulan Jumadil Akhir tahun 1357 H.

2. Pengajar Ma’had Ilmi Riyadh tahun 1372 H dan pensyarah ilmu fiqh, tauhid, dan hadis sehingga  tahun 1380 H.

3. Wakil Rektor Universiti Islam Madinah pada tahun 1381-1390 H.

4. Rektor Universiti Islam Madinah pada tahun 1390 H menggantikan rektor sebelumnya yang wafat iaitu Syeikh Muhammad Bin Ibrahim Ali Syaikh. Jawatan ini saya pegang pada tahun 1389 sampai dengan 1395 H.

5. Pada tanggal 13 bulan 10 tahun 1395 saya diangkat menjadi pimpinan umum yang berhubungan dengan penelitian ilmiah, fatwa-fawa, dakwah dan bimbingan keagamaan sehingga sekarang. Saya terus memohon kepada Allah pertolongan dan bimbingan pada jalan kebenaran dalam menjalankan tugas-tugas tersebut.

Disamping jawatan-jawatan rasmi yang sempat saya pegang sekarang, saya juga aktif di berbagai organisasi keislaman lain seperti:

1. Anggota Kibarul Ulama di Makkah.

2. Ketua Lajnah Daimah (Komite Tetap) terhadap penelitian dan fatwa dalam masalah keagamaan di dalam lembaga Kibarul Ulama tersebut.

3. Anggota pimpinan Majlis Tinggi Rabitah ‘Alam Islami.
4. Pimpinan Majlis Tinggi untuk masjid-masjid.
5. Pimpinan kumpulan penelitian fiqh Islam di Makkah di bawah naungan organisasi Rabitah ‘Alam Islami.

6. Anggota majlis tinggi di Jami’ah Islamiyah (universiti Islam -red), Madinah.
7. Anggota lembaga tinggi untuk dakwah Islam yang berkedudukan di Makkah.

Mengenai karya tulis, saya telah menulis puluhan karya ilmiah antara lain:


1. Al-Faidhul Hilyah fi Mabahith Fardhiyah.

2. At-Tahqiq wal Idhah li Kathirin min Masailil Haj wal Umrah Wa Ziarah (Tauhdihul Manasik – ini yang terpenting dan bermanfaat – aku kumpulkan pada tahun 1363 H). Karyaku ini telah dicetak semula berkali-kali dan diterjemahkan ke dalam banyak bahasa (termasuk bahasa Indonesia -pent).

3. At-Tahzir minal Bida’ mencakup 4 pembahasan (Hukmul Ihtifal bil Maulid Nabi wa Lailatil Isra’ wa Mi’raj, wa Lailatun Nifshi minas Sya’ban wa Takdzibir Ru’yal Mar’umah min Khadim Al-Hijr An Nabawiyah Al-Musamma Asy Syaikh Ahmad).

4. Risalah Mujazah fiz Zakat was Siyam.

5. Al-Aqidah As-Sahihah wama Yudhadhuha.

6. Wujubul Amal bis Sunnatir Rasul Sholallahu ‘Alaihi Wasallam wa Kufru man Ankaraha.

7. Ad-Dakwah Ilallah wa Akhlaqud Da’iyah.

8. Wujubu Tahkim Syar’illah wa Nabdzu ma Khalafahu.

9. Hukmus Sufur wal Hijab wa Nikah As Sighar.

10. Naqdul Qawiy fi Hukmit Tashwir.

11. Al-Jawabul Mufid fi Hukmit Tashwir.

12. Asy-Syaikh Muhammad Bin Abdil Wahhab (Da’wah wa Siratuhu).

13. Thalathu Rasail fis Solah: Kaifa Solatun Nabi ﷺ, Wujubu Ada’is Solah fil Jama’ah, Aina Yadha’ul Mushalli Yadaihi hinar Raf’i minar Ruku’.

14. Hukmul Islam fi man Tha’ana fil Qur’an au fi Rasulillah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam.

15. Hasyiyah Mufidah ‘Ala Fathil Bari – hanya sampai masalah haji.

16. Risalatul Adilatin Naqliyah wa Hissiyah ‘ala Jaryanis Syamsi wa Sukunil ‘Ardhi wa Amakinis Su’udil Kawakib.

17. Iqamatul Barahin ‘ala Hukmi man Istaghatha bi Ghairillah au Saddaqul Kawakib.

18. Al-Jihad fi Sabilillah.

19. Fatawa Muta’aliq bi Ahkaml Haj wal Umrah wal Ziarah.

20. Wujubu Luzumis Sunnah wal Hadzr minal Bid’ah.”

Sehingga di sini perkataan beliau yang saya (Ustadz Ahmad Hamdani -red) kutip dari buku Fatwa wa Tanbihat wa Nashaih hal 8-13.


AKIDAH DAN MANHAJ DAKWAH

Akidah dan manhaj dakwah Syeikh ini tercermin dari tulisan atau karya-karyanya. Kita lihat misalnya buku Aqidah Shahihah yang menerangkan aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah, menegakkan tauhid dan membersihkan sekaligus memerangi kesyirikan dan pelakunya. Pembelaannya kepada sunnah dan kebenciannya terhadap kebid’ahan tertuang dalam karya beliau yang ringkas dan padat, berjudul At Tahdzir ‘alal Bida’ (sudah diterjemahkan -pent). Sedangkan perhatian (ihtimam) dan pembelaan beliau terhadap dakwah salafiyah tidak diragukan lagi. Beliaulah yang menfatwakan bahwa firqatun najiyah (golongan yang selamat -red) adalah para salafiyyin yang berpegang dengan kitabullah dan sunnah Nabi Sholallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hal suluk (perilaku) dan akhlaq serta aqidah. Beliau tetap gigih memperjuangkan dakwah ini di tengah-tengah rongrongan syubhat para da’i penyeru ke pintu neraka di negerinya khususnya dan luar negeri beliau pada umumnya, hingga al-haq nampak dan kebatilan dilumatkan. Agaknya ini adalah bukti kebenaran sabda Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wasallam (yang bermaksud), “Akan tetap ada pada umatku kelompok yang menampakkan kebenaran (al-haq), tidak memudharatkan mereka orang yang mencela atau menyelisihinya.”


Nota kaki:

[1] Mahzab secara istilah yakni mengikuti istilah-istilah Ahmad Bin Hanbal dalam mempelajari masalah fiqh atau hadis. Bukan Mahzab syakhsyi iaitu mengambil semua hadis yang diriwayatkannya.

Sumber: SALAFY Edisi XXV/1418 H/1998 M hal 48-49Judul Asli: “Syeikh Bin Baz Mutjahid dan Ahli Fiqh Zaman Ini”

MENINGGAL DUNIA (Keterangan tambahan)

Beliau meninggal dunia pada hari Khamis, 27 Muharram 1420 H / 13 Mei 1999 M. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmatinya. Amin.

Sumber keterangan tambahan: www.fatwaonline.com(dicopy dari www.ghuroba.blogsome.com, semoga Allah membalas kebaikan adminnya)

Sabtu, 14 Julai 2018

KISAH HAATIM Al-ASHAM PERGI HAJI

Haatim al-Asham (*) termasuk di antara pembesar orang-orang soleh. Hatinya sudah rindu ingin menunaikan haji pada suatu tahun di antara tahun-tahun yang ada. Namun dia belum jua memiliki biaya untuk menunaikan haji, tidak boleh mengadakan perjalanannya, bahkan haji itu tidak wajib tanpa meninggalkan biaya hidup bagi anak-anaknya tanpa keredhaan mereka.
Ketika waktu yang dijanjikan telah tiba, puterinya melihat dirinya bersedih dan menangis, sedang kesolehan terdapat pada puterinya tersebut. Dia berkata kepadanya, “Wahai ayahku, apa gerangan yang membuat engkau menangis?
Dia berkata, “Haji telah tiba.”
“Lalu mengapa engkau tidak pergi haji?” tanya sang puteri.
“Nafkah” jawab sang ayah.
“Allah yang akan memberikan engkau rezeki,” jawab si puteri.
“Lalu apa nafkah kalian?” tanya sang ayah lagi.
“Allah yang akan memberikan kami rezeki,” jawab sang puteri.
“Tetapi perkara ini terpulang kepada ibumu,” kata sang ayah.
Pergilah puterinya tersebut untuk mengingatkan Sang ibu. Hingga akhirnya, ibu dan anak-anak lelakinya berkata kepada Hatim, “Pergilah haji, Allah yang akan memberikan kami rezeki.”
Hatim pun berangkat pergi haji. Dia hanya meninggalkan nafkah untuk tiga hari buat mereka.
Dia berangkat pergi haji sementara tidak ada sesen pun harta bersamanya yang dapat digunakan untuk mencukupi keperluannya. Dia berjalan di belakang kafilah. Di awal perjalanan, seekor kalajengking menyengat pemimpin kafilah, membuat mereka bertanya siapa yang dapat meruqyah dan mengubatinya. Mereka pun mendapati Hatim. Lantas dia meruqyahnya sehingga Allah menyembuhkan pemimpin kafilah dari kebinasaannya.
Pimpinan kafilah berkata, “Nafkah pulang dan pergi (Haatim), saya yang akan menanggungnya.”
Haatim pun berdoa, “Ya Allah, ini adalah pemeliharaanMu kepadaku, maka perlihatkanlah pemeliharaanMu kepada keluargaku.”
Setelah berlalu masa tiga hari sementara nafkah yang ditinggalkan di sisi anak-anak telah kehabisan. Mulailah rasa lapar menyelubungi mereka, sehingga mereka mulai mencela si anak perempuan. Namun dia hanya tertawa. Mereka berkata, “Apa yang membuatmu tertawa sementara rasa lapar hampir membunuh kita.” Dia balik bertanya, “Ayah kita ini Razzaq (Yang Memberi Rezeki) atau yang memakan rezeki?”
“Yang memakan rezeki, kerana ar-Razzaq itu hanyalah Allah,” jawab mereka.
“Kalau begitu telah pergi yang memakan rezeki dan tinggallah Yang Memberi Rezeki (ar-Razzaq),” jawab anak perempuan.
Ketika dia tengah berbicara dengan mereka, tiba-tiba pintu diketuk. “Siapa di pintu?” tanya mereka.
“Sesungguhnya Amirul Mukminin (gelaran bagi khalifah atau pemimpin negara - penyunting) meminta air minum kepada kalian,” jawab si pengetuk pintu.
Kemudian, mereka pun memenuhkan bekas dengan air. Minumlah Sang Khalifah, maka dia merasakan kelazatan pada air tersebut yang belum pernah dirasakannya. Dia bertanya, “Dari mana kalian mendapatkan air ini?” “Dari rumah Haatim,” jawab mereka. “Kalian panggil dia supaya aku dapat membalas budinya,” perintah Khalifah. “Dia sedang menunaikan haji,” jawab mereka. Maka Amirul Mukminin melepaskan tali pinggangnya –dan itu merupakan tali pinggang yang dibuat dari kain tenun mewah yang bertabur permata– seraya berkata, “Ini untuk mereka (keluarga Haatim).” Kemudian dia berkata, “Sesiapa yang memiliki tangan atasku –iaitu sesiapa yang mencintaiku-?” Maka setiap menteri dan pedagang melepaskan tali pinggang mereka untuk mereka hingga bertompuklah tali pinggang-tali pinggang tersebut. Kemudian salah seorang pedagang membeli semua tali pinggang tersebut dengan emas sepenuh rumah yang dapat mencukupkan keperluan mereka (keluarga Haatim) hingga ajal menjemput, lalu mengembalikan lagi tali pinggang-tali pinggang itu kepada mereka (para pemiliknya).
Mereka (keluarga Haatim) membeli makanan dan tertawa ceria. Namun si anak perempuan pula menangis. Sang ibu berkata kepadanya, “Keadaanmu sungguh menghairankan wahai puteriku. Ketika kami menangis kerana lapar, kamu malah tertawa. Namun ketika Allah telah memberikan jalan keluar kepada kita, kamu malah menangis?!”
Sang anak menjawab, “Makhluk yang tidak menguasai manfaat mahupun madharat untuk dirinya sendiri ini (iaitu Khalifah) melihat kepada kita dengan pandangan hiba yang mencukupkan kita dari kematian, lalu bagaimana kiranya dengan Raja segala raja?!”
Itulah kepercayaan (thiqah) kepada Allah.
Itulah kepercayaan kepada ar-Razzaaq yang memiliki kekuatan lagi sangat kukuh.
Itulah kekuatan iman dan kekuatan tawakkal kepada Allah.
Maha suci Allah, di mana kita dibanding mereka?!
Ketika Allah memilih engkau untuk menempuh jalan hidayahNya, bukanlah kerana engkau istimewa atau kerana ketaatan yang engkau kerjakan! Namun itu semata rahmat dariNya yang menyelimutimu. Boleh jadi, Allah akan mencabutnya darimu bila-bila saja. Oleh kerana itu, janganlah engkau tertipu dengan amalanmu mahupun ibadahmu! Janganlah engkau kira kecil amalan orang-orang yang telah sesat dari jalanNya!
Seandainya bukan kerana rahmat Allah kepadamu, nescaya engkau sudah menduduki tempatnya.
Ulangilah membaca kisah ini dengan perlahan dan tenang!
Dari fawaid asy-Syaikh Fawwas al-Madkhali hafizhahullah. Dinukil dari Sahab (http://www.sahab.net/forums/index.php?showtopic=137426)
Sumber : Majmu’ah an-Nahjul Wadhih
Alih bahasa : Syabab Forum Salafy

(*) Haatim Al-Asham seorang yang zuhud yang menjadi teladan Rabbani. Nama sebenar beliau Haatim bin 'Unwan bin Yusuf, kuniah (gelaran) beliau Abu Abdurrahman. Dikatakan selain beliau seorang zuhud, yang mempunyai kata-kata yang Jalil (mulia), wa'iz (pemberi nasihat) yang berhikmah, beliau juga dikatakan sebagai "Luqman Hazihi Al-Ummah" maksudnya Luqman (al-Hakim) bagi umat ini. Berkata Abul Qasim bin Mandah, dan Abu Tahir As-Salafi: Haatim Al-Asham wafat pada tahun 237 Hijrah. (Siyar A'lam An-Nubala, Az-Zahabi).

Disunting oleh: Mohd Safwan B. Mohd Rusydi

Selasa, 14 Januari 2014

KISAH NABI SOLAT DI BETLEHEM

Hadis Anas bin Malik radhiallahu‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bercerita ketika baginda melakukan Isra` dan Mi’raj: “Lalu dia (Jibril) berkata: “Turun dan solatlah!”, maka saya pun turun lalu mengerjakan solat. Lalu dia bertanya: “Tahukah engkau di mana engkau solat? Engkau solat di Betlehem, tempat ‘Isa ‘alaihis salam dilahirkan.” (HR. An-Nasa'i)

Penjelasan: Kisah tentang solat baginda di Betlehem ini datang dari hadis Syaddad bin ‘Aus r.a riwayat Al-Bazzar dalam Al-Musnad (no: 3484) dan Ath-Thabrani (7/282-283/7142) dan juga dari hadis Abu Hurairah r.a riwayat Ibnu Hibban dalam Al-Majruhin (1/187-188) dalam biografi Bakr bin Ziyad Al-Bahili. Ketiga-tiganya adalah hadis yang lemah dan mungkar.

Berikut kesimpulan bantahan Al-‘Allamah Al-Anshary rahimahullahu dalam Al-Qaulul Fashl, halaman. 138-145 terhadap kisah di atas:

(1) Hadis Anas bin Malik radhiallahu‘anhu: Ibnu Katsir rahimahullahu berkata setelah menyebutkan hadis ini dalam rangkaian hadis-hadis tentang Isra` dan Mi’raj ketika menafsirkan ayat pertama dari surah Al-Isra: “Di dalam kisah ini ada gharabah [*] (keanehan) dan sangat mungkar”.

[*] Kata gharib atau gharabah jika digunakan oleh At-Tirmizi dalam Sunannya, Ibnu Katsir dalam Tafsirnya dan Az-Zayla’i dalam Nashbur Royah maka kebanyakannya bermakna dha’if (lemah). Beliau juga berkata dalam Al-Fushul fii Ikhtishari Siratur Rasul, “Gharib (aneh), sangat mungkar, dan sanadnya muqarib. Dalam hadis-hadis yang sahih, ada perkara yang menunjukkan tentang kemungkarannya, wallahu A’lam”. Yakni kisah tentang solatnya baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di Betlehem ini, tidak ada disebutkan dalam kisah Isra` dan Mi’raj dalam hadis-hadis lain yang sahih.

(2) Hadits Syadad bin Aus radhiallahu‘anhu. Di dalam sanadnya ada perawi yang bernama Ishaq bin Ibrahim ibnul ‘Ala` Adh-Dhahhak Az-Zubaidi Ibnu Zibriq Al-Himshy. Al-Hafiz berkata dalam Al-Fath: “(Orangnya) Jujur, tapi banyak kesalahan (dalam periwayatan). Muhammad bin ‘Auf mengungkapkan bahawa dia pendusta.” Az-Zahabi berkata dalam Al-Mizan: “An-Nasa`i berkata : “(Orangnya) tidak tsiqah”. Abu Daud berkata: “Tidak ada apa-apa (tidak ada nilainya) dan dia dianggap pendusta oleh Muhammad bin ‘Auf Ath-Tha`i, seorang ahli hadis negeri Himsh.”

Ibnu Katsir rahimahullahu berkata dalam Tafsirnya setelah menyebutkan jalan-jalan periwayatan hadis Syaddad ini: “Tidak ada keraguan, hadis ini (maksudkannya adalah yang diriwayatkan dari Syaddad bin Aus) mengandung beberapa perkara, di antaranya ada yang sahih (sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Baihaqi), dan di antaranya ada yang mungkar, seperti (kisah) solat (Nabi Shallallahu alaihi wa sallam) di Betlehem dan (kisah) pertanyaan (Abu Bakar) As-Siddiq tentang sifat Baitul Maqdis dan selainnya, wallahu A’lam.”

(3) Hadis Abu Hurairah radhiallahu‘anhu. Di dalam sanadnya terdapat Bakr bin Ziyad Al-Bahily. Ibnu Hibban berkata: “Syeikh pendusta, membuat hadis palsu dari para tsiqat (perawi-perawi terpercaya), tidak halal menyebut namanya dalam kitab-kitab kecuali untuk dicela.” Beliau juga berkata memberi komentar hadis Abu Hurairah di atas: “Ini adalah sesuatu yang orang awam ahli hadis tidak akan ragu lagi bahawa ini adalah palsu, lebih-lebih lagi pakar dalam bidang ini.” (Perkataan beliau ini dinukil oleh Ibnul Jauzy dalam Al-Maudhu’at (1/113-114), Az-Zahabi dalam Al-Mizan (1/345) dan Asy-Syaukani dalam Al-Fawa`id Al-Majmu’ah fil Ahadis Al-Maudhu’ah halaman 441)

Ibnu Katsir berkata dalam memberi komentar hadis Abu Hurairah ini: “Juga tidak sahih kerana keadaan Bakr bin Ziyad yang telah berlalu.” Yakni beliau menghukuminya sebagai perawi yang matruk (ditinggalkan hadisnya). (Al-Fushul fii Ikhtisari Siratur Rasul, halaman 22)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu berkata dalam tafsir surah Al-Ikhlash halaman 169: “Apa yang diriwayatkan oleh sebahagian mereka tentang hadis Isra` bahawa dikatakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ini adalah baik, turun dan solatlah”, maka baginda turun lalu solat, “Ini adalah tempat bapakmu, turun dan solatlah”, merupakan (riwayat) dusta dan palsu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah solat pada malam itu kecuali di Masjid Al-Aqsha sebagaimana dalam As-Sahih dan baginda tidak pernah turun kecuali padanya.”

Ibnul Qayyim rahimahullahu dalam Zadul Ma’ad berkata: “Kononnya khabar tentang baginda turun di Betlehem dan solat padanya. Padahal hal itu tidak benar dari baginda selama-lamanya.” (Selesai dari Al-Qaulul Fashl)

Sumber: http://wahabiah.blogspot.com/2010/03/syubhat-dan-hujah-orang-orang-yang.html?m=1

Rabu, 18 September 2013

KISAH DUA PEMILIK KEBUN



Gambar Hiasan



Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".

Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini".

Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa dia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku."

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata:

مَا شَآءَ اللهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

“Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah! Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah?”

Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".

Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"

Dan dia tidak mendapati sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan dia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

(Kisah dipetik dari terjemahan Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 32-46)

Kesimpulan daripada kisah ini:

1 – Kisah ini merupakah satu contoh diantara contoh-contoh kisah dan peristiwa yang sering berulang-ulang dalam masyarakat dan mungkin masih wujud pada suatu tempat dan masa.

2 – Allah memanjangkan usia orang yang kafir dan mengurniakan nikmat yang banyak kepadanya, bukan kerana redha kepadanya, tetapi sebagai ujian dan bala.

3 – Allah menguji seorang yang beriman dengan menyempitkan rezekinya dan menghalangnya daripada kesenangan dunia yang sementara, namun tidak bermakna Allah murka kepadanya.

4 – Allah SWT mengurniakan rezeki dan nikmat pemberian kepada hamba yang dicintaiNya atau yang dibenciNya. Namun Allah Ta’ala hanya mengurniakan agama hanya kepada hamba yang dicintaiNya sahaja.

5 – Keimanan merupakan penjamin keamanan bagi pemiliknya. Ketika berhadapan dengan orang-orang yang memiliki kesenangan dunia, pemilik keimanan tidak akan mudah merasa lemah, hina dan takut kepada pesaingnya, sebaliknya dia berusaha untuk mengajak agar pesaingnya bersama-samanya dalam memiliki keimanan dan menjauhi kesyirikan seperti menganggap kesenangan yang dirasai bukan berasal dari Tuhan yang telah mengurniakan kepadanya kesenangan itu.

Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada kisah ini..

Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai,
Kota Kinabalu

Isnin, 11 Julai 2011

Riwayat Hidup Al-Husein dan Peristiwa Pembunuhannya

Oleh: Ustaz Muhammad Umar Sewed

Beliau dilahirkan pada bulan Sya’ban tahun keempat Hijriyah. Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mentahnik (yakni mengunyahkan kurma kemudian dimasukkan ke mulut bayi dengan digosokkan ke lelangitnya-pent), mendoakan dan menamakannya Al-Husein. Demikianlah dikatakan oleh Ibnu Katsir dalam Al-Bidayah wan Nihayah, juz VIII, hal. 152.

Berkata Ibnul Arabi dalam kitabnya Al-Awashim minal Qawashim: “Disebutkan oleh ahli tarikh bahawa surat-surat berdatangan dari ahli kufah kepada Al-Husein (setelah meninggalnya Mu’awiyah radhiallahu ‘anhu). Kemudian Al-Husein mengirim Muslim Ibnu Aqil, anak pakcik mereka untuk membai’at mereka dan melihat bagaimana keikutsertaan mereka. Maka Ibnu Abbas radhial­lahu ‘anhu memberitahu beliau (Al-Husein) bahawa mereka dahulu pernah mengkhianati bapa dan saudaranya. Sedangkan Ibnu Zubair mengisya­ratkan kepadanya agar dia berangkat, maka berang­katlah Al-Husein. Sebelum beliau sampai di Kufah ternyata Muslim Ibnu Aqil telah terbunuh dan dise­rahkan kepadanya oleh orang-orang yang memanggilnya. “Cukup bagimu ini sebagai peringat­an bagi yang mahu mengambil peringatan” (apa yang dimaksudkan adalah ucapan Ibnu Abbas kepada Al-Husein-pent). Tetapi beliau radhi­allahu ‘anhu tetap melanjutkan perjalanannya de­ngan marah kerana agama dalam rangka menegakkan kebenaran. Bahkan beliau tidak mendengarkan nasihat orang yang paling alim pada zamannya iaitu Ibnu 'Abbas radhiallahu ‘anhu dan menyalahi pendapat syeikh kepada para sahabat iaitu Ibnu Umar. Beliau mengharapkan permulaan pada akhir (hidup-pent), mengharapkan kelurusan dalam kebengkokan dan mengharapkan keelokan pemuda dalam rapuh ke­tuaan. Tidak ada yang sepertinya di sekitarnya, tidak pula memiliki pembela-pembela yang memelihara haknya atau yang bersedia mengorbankan dirinya untuk membelanya. Akhirnya kita ingin mensucikan bumi dari khamr (arak) Yazid, tetapi kita tumpahkan darah Al-Husein, maka datang kepada kita musibah yang menghilangkan kebahagiaan zaman. (lihat Al-Awashim minal Qawashim oleh Abu Bakar Ibnul ‘Arabi dengan tahqiq dan ta’liq Syeikh Muhibbuddin Al-Khatib, hal. 229-232)

Yang dimaksud oleh beliau dengan ucapannya ‘Kita ingin mensucikan bumi dari khamr Yazid, tetapi kita tumpahkan darah Al-Husein‘ adalah bahawa niat Al-Husein dengan sebahagian kaum muslimin untuk mensucikan bumi dari khamr Yazid yang hal ini masih merupakan tuduhan-tuduhan dan tanpa bukti, tetapi hasilnya justeru kita menodai bumi dengan darah Al-Husein yang suci. Sebagaimana dikatakan oleh Syeikh Muhibbudin Al-Khatib dalam ta’liqnya terhadap buku Al-Awashim Minal Qawashim.

Ketika Al-Husein ditahan oleh tentara Yazid, Samardi Al-Jausyan mendorong Abdullah bin Ziyad untuk membunuhnya. Sedangkan Al-Husein meminta untuk dihadapkan kepada Yazid atau dibawa ke depan untuk berjihad melawan orang-orang kafir atau kembali ke Mekah. Namun mereka tetap mem­bunuh Al-Husein dengan zalim sehingga beliau meninggal dengan syahid radhiallahu ‘anhu. Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji’un.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Al-Husein terbunuh di Karbala di dekat Eufrat dan jasadnya dikubur di tempat terbunuhnya, sedangkan kepalanya dikirim ke hadapan Ubaidillah bin Ziyad di Kufah. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya dan dari para imam yang lain.

Adapun tentang dibawanya kepala beliau kepada Yazid telah diriwayatkan dalam beberapa jalan yang munqathi’ (terputus) dan tidak benar sedikitpun tentangnya. Bahkan dalam riwayat-riwayat kelihatan sesuatu yang menunjukkan kedus­taan dan pengada-adaan riwayat tersebut. Dise­butkan padanya bahawa Yazid menusuk gigi taringnya dengan besi dan bahawasanya sebahagian para sahabat yang hadir seperti Anas bin Malik, Abi Barzah dan lain-lain mengingkarinya. Hal ini adalah pengelabuan, kerana sesungguhnya yang menusuk dengan besi adalah ‘Ubaidilah bin Ziyad. Demikian pula dalam kitab-kitab sahih dan musnad, bahawasanya mereka menempatkan Yazid di tempat ‘Ubaidilah bin Ziyad. Adapun ‘Ubaidillah, tidak diragukan lagi bahawa dialah yang memerin­tahkan untuk membunuhnya (Husein) dan meme­rintahkan untuk membawa kepalanya ke hadapan dirinya. Dan akhirnya Ibnu Ziyad pun dibunuh kerana itu.

Dan lebih jelas lagi bahawasanya para sahabat yang telah disebut tadi seperti Anas dan Abi Barzah tidak berada di Syam, melainkan berada di Iraq ketika itu. Sesungguhnya para pendusta adalah orang-orang jahil (bodoh), tidak mengerti apa-apa yang menunjukkan kedustaan mereka.” (Majmu’ Fatawa, juz IV, hal. 507-508)

Adapun yang dirajihkan oleh para ulama tentang kepala Al-Husein bin Ali radhiallahu ‘anhuma adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Az-Zubair bin Bukar dalam kitabnya Ansab Quraisy dan beliau adalah seorang yang paling ‘alim dan paling tsiqah dalam masalah ini (tentang keturunan Quraisy). Dia menyebutkan bahawa kepala Al-Husein dibawa ke Madinah An-Nabawiyah dan dikuburkan di sana. Hal ini yang paling sesuai, kerana di sana ada kuburan saudaranya Al-Hasan, pakcik kepada ayah Al-Abbas, anak Ali dan yang seperti mereka. (Dalam sumber yang sama, juz IV, hal. 509)

Demikianlah Al-Husain bin Ali radhiallahu ‘anhuma terbunuh pada hari Jumaat, pada hari ‘Asyura, iaitu pada bulan Muharram tahun 61 H dalam usia 54 tahun 6 bulan. Semoga Allah merahmati Al-Husein dan mengampuni seluruh dosa­-dosanya serta menerimanya sebagai syahid. Dan semoga Allah membalas para pembunuhnya dan mengazab mereka dengan azab yang pedih. Amin.

Sikap Ahlus Sunnah Terhadap Yazid bin Mu’awiyah

Untuk membahas masalah ini kita nukilkan sahaja di sini ucapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah secara lengkap dari Fatawa-nya sebagai berikut:

Belum terjadi sebelumnya manusia mem­bicarakan masalah Yazid bin Muawiyah dan tidak pula membicarakannya termasuk masalah Agama. Hingga terjadilah setelah itu beberapa perkara, sehingga manusia melaknat terhadap Yazid bin Muawiyyah, bahkan boleh jadi mereka menginginkan dengan itu laknat kepada yang lainnya. Sedangkan kebanyakan Ahli Sunnah tidak suka melaknat or­ang tertentu. Kemudian suatu kaum dari golongan yang ikut mendengar yang demikian meyakini bahawa Yazid termasuk orang-orang soleh yang besar dan Imam-imam yang mendapat petunjuk.

Maka golongan yang melampaui batas terhadap Yazid menjadi dua sisi yang berlawanan:

Sisi pertama, mereka yang mengucapkan bahawa dia kafir zindik dan bahawasanya dia telah membunuh salah seorang anak perempuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, membunuh sahabat-sahabat Ansar, dan anak-anak mereka pada kejadian Al-Hurrah (pembebasan Madinah) untuk menebus dendam keluarganya yang dibunuh dalam keadaan kafir seperti datuk ibunya ‘Utbah bin Rab’iah, pakciknya Al-Walid dan selain keduanya. Dan mereka menyebutkan pula bahawa dia terkenal dengan peminum arak dan menampakkan maksiat-maksiatnya.

Pada sisi lain, ada yang meyakini bahawa dia (Yazid) adalah imam yang adil, mendapatkan petunjuk dan memberi petunjuk. Dan dia dari kalangan sahabat atau pembesar sahabat serta salah seorang dari wali-wali Allah. Bahkan sebahagian dari mereka meyakini bahawa dia dari kalangan para nabi. Mereka mengucapkan bahawa barangsiapa tidak berpendapat terhadap Yazid maka Allah akan menghentikan dia dalam neraka Jahannam. Mereka meriwayatkan dari Syeikh Hasan bin ‘Adi bahawa dia adalah wali yang seperti ini dan seperti itu. Barangsiapa yang berhenti (tidak mahu mengatakan demikian), maka dia berhenti dalam neraka kerana ucapan mereka yang demikian terhadap Yazid. Setelah zaman Syeikh Hasan bertambahlah perkara-perkara batil dalam bentuk syair atau prosa. Mereka ghuluw kepada Syeikh Hasan dan Yazid dengan perkara-perkara yang menyelisihi apa yang ada di atasnya Syeikh ‘Adi yang agung -semoga Allah mensucikan ronya-. Kerana jalan beliau sebelumnya adalah baik, belum terdapat bid’ah-bid’ah yang seperti itu, kemudian mereka mendapatkan bencana dari pihak Rafidhah yang memusuhi mereka dan kemudian membunuh Syeikh Hasan bin ‘Adi sehingga terjadilah fitnah yang tidak disukai Allah dan Rasul-Nya.

Dua sisi ekstrim terhadap Yazid tersebut menyelishi apa yang disepakati oleh para ulama dan Ahlul Iman. Ini kerana sesungguhnya Yazid bin Muawiyyah dilahirkan pada masa khalifah Utsman bin ‘Affan radhallahu ‘anhu dan tidak pernah bertemu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam serta tidak pula termasuk sahabat dengan kesepakatan para ulama. Dia tidak pula terkenal dalam masalah agama dan kesolehan. Dia termasuk kalangan pemuda-pemuda muslim bukan kafir dan bukan pula zindik. Dia memegang kekuasaan setelah ayahnya dengan tidak disukai oleh sebahagian kaum muslimin dan diridhai oleh sebahagian yang lain. Dia memiliki keberanian dan kedermawanan dan tidak pernah menampakkan kemaksiatan-kemaksiatan sebagaimana dikisahkan oleh musuh-musuhnya.

Namun pada masa pemerintahannya telah terjadi perkara-perkara besar iaitu:

1. Terbunuhnya Al-Husein radhiallahu ‘anhu se­dangkan Yazid tidak memerintahkan untuk membunuhnya dan tidak pula menampakkan kegembiraan dengan pembunuhan Husein serta tidak memukul gigi taringnya dengan besi. Dia juga tidak membawa kepala Husein ke Syam. Dia memerintahkan untuk melarang Husein dengan melepaskannya dari urusan walaupun dengan memeranginya. Tetapi para utusannya melebihi dari apa yang diperintahkannya tatkala Samardi Al-Jausyan mendorong ‘Ubaidillah bin Ziyad untuk membunuhnya. Ibnu Ziyad pun me­nyakitinya dan ketika Al-Husein radhiallahu ‘anhu meminta agar dia dibawa menghadap Yazid, atau diajak ke hadapan untuk berjihad (memerangi orang-orang kafir bersama tentara Yazid-pent), atau kembali ke Mekkah, mereka menolaknya dan tetap menawannya. Atas perintah Umar bin Sa’d, maka mereka membunuh beliau dan sekelompok Ahlul Bait radhiallahu ‘anhum dengan zalim. Terbunuhnya beliau radhiallahu ‘anhu termasuk musibah besar, kerana sesungguhnya terbunuhnya Al-Husein -dan ‘Utsman bin ‘Affan sebelumnya- adalah penyebab fitnah terbesar pada umat ini. Demikian juga pembunuh keduanya adalah makhluk yang paling buruk di sisi Allah. Ketika keluarga beliau radhiallahu ‘anhu mendatangi Yazid bin Mua’wiyah, Yazid memuliakan mereka dan mengantarkan mereka ke Madinah.

Diriwayatkan bahawa Yazid melaknat Ibnu Ziyad atas pembunuhan Husein dan berkata: “Aku sebenarnya meridhai ketaatan penduduk Irak tanpa pembunuhan Husein.” Tetapi dia tidak menampakkan pengingkaran terhadap pembunuhnya, tidak membela serta tidak pula membalasnya, padahal itu adalah wajib bagi dia. Maka akhirnya Ahlul Haq mencelanya kerana meninggalkan kewajibannya, ditambah lagi dengan perkara-perkara yang lain. Sedangkan musuh-musuh mereka menambahkan kedustaan-kedustaan atasnya.

2. Ahli Madinah membatalkan bai’atnya kepada Yazid dan mereka mengeluarkan utusan-utusan dan penduduknya. Yazid pun mengirimkan tentara kepada mereka, memerintahkan mereka untuk taat dan jika mereka tidak mentaatinya setelah tiga hari mereka akan memasuki Madinah dengan pedang dan menghalalkan darah mereka. Setelah tiga hari, tentara Yazid memasuki Madinah An-Nabawiyah, membunuh mereka, merampas harta mereka, bahkan menodai kehormatan-kehormatan wanita yang suci, kemudian mengirimkan tenteranya ke Mekkah yang mulia dan mengepungnya. Yazid meninggal dunia pada saat pasukannya dalam keadaan mengepung Mekkah dan hal ini meru­pakan permusuhan dan kezaliman yang dikerjakan atas perintahnya.

Oleh kerana itu, keyakinan Ahli Sunnah dan para imam-imam umat ini adalah mereka tidak melaknat dan tidak mencintainya. Soleh bin Ahmad bin Hanbal berkata: Aku katakan kepada ayahku: “Sesungguhnya suatu kaum mengatakan bahawa mereka cinta kepada Yazid.” Maka beliau rahimahullah menjawab: “Wahai anakku, apakah akan mencintai Yazid seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir?” Aku bertanya: “Wahai ayahku, mengapa engkau tidak melaknatnya?” Beliau menjawab: “Wahai anakku, bilakah engkau melihat ayahmu melaknat seseorang?”

Diriwayatkan pula bahawa ditanyakan kepadanya: “Apakah engkau menulis hadis dari Yazid bin Mu’awiyyah?” Dia berkata: “Tidak, dan tidak ada kemuliaan, bukankah dia yang telah melakukan terhadap Ahli Madinah apa yang dia lakukan?”

Menurut ulama dan Imam-imam kaum muslimin Yazid adalah raja dari raja-raja (Islam-pent). Mereka tidak mencintainya seperti mencintai orang-orang soleh dan wali-wali Allah dan tidak pula melaknatnya. Ini kerana sesungguhnya mereka tidak suka melaknat seorang muslim secara khusus (ta'yin), berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya dari Umar bin Khattab radhiallahu ‘anhu: Bahawa seseorang yang dipanggil dengan Hammar sering minum khamr. Seringkali dia didatangkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dicambuknya. Maka berkatalah seseorang: “Semoga Allah melaknatnya. Betapa sering dia didatangkan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Jangan engkau melaknatnya, sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. ” (HR. Bukhari)

Walaupun demikian di kalangan Ahli Sunnah juga ada yang membolehkan laknat terhadapnya kerana mereka meyakini bahawa Yazid telah melakukan kezaliman yang menyebabkan laknat bagi pelakunya.

Kelompok yang lain berpendapat untuk mencintainya kerana dia seorang muslim yang memegang pemerintahan di zaman para sahabat dan dibai’at oleh mereka. Serta mereka berkata: “Tidak benar apa yang dinukil tentangnya padahal dia memiliki kebaikan-kebaikan, atau dia melakukannya dengan ijtihad.”

Pendapat yang benar adalah apa yang dikatakan oleh para imam (Ahli Sunnah), bahawa mereka tidak mengkhususkan kecin­taan kepadanya dan tidak pula melaknatnya. Di samping itu kalaupun dia sebagai orang yang fasik atau zalim, Allah masih mungkin meng­ampuni orang fasik dan zalim. Lebih-lebih lagi kalau dia memiliki kebaikan-kebaikan yang besar.

Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya dari Ummu Harran binti Malhan radhiallahu ‘anha bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

…وَأَوَّلُ جَيْشٍ مِنْ أُمَّتِى يَغْزُوْنَ مَدِيْنَةَ قَيْصَرَ مَغْفُوْرٌ لَهُمْ. رواه البخارى

"Tentara pertama yang memerangi Konstantiniyah akan diampuni." (HR. Bukhari)

Padahal tentara pertama yang memeranginya adalah di bawah pimpinan Yazid bin Mu’awiyyah dan pada waktu itu Abu Ayyub al-Anshari radhiallahu ‘anhu bersamanya.

Catatan:

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah melanjutkan setelah itu dengan ucapannya: “Kadang-kadang sering bertukar antara Yazid bin Mu’ awiyah dengan pakciknya Yazid bin Abu Sufyan. Padahal sesungguhnya Yazid bin Abu Sufyan adalah dari kalangan Sahabat, bahkan orang-orang pilihan di antara mereka dan dialah keluarga Harb (ayah Abu Sufyan bin Harb-pent) yang terbaik. Dan beliau adalah salah seorang pemimpin Syam yang diutus oleh Abu Bakar As-Siddiq radhiallahu ‘anhu ketika pembebasan negeri Syam. Abu Bakar As-Siddiq pernah berjalan bersamanya ketika menghantarkan­nya, sedangkan dia berada di atas kendaraan. Maka berkatalah Yazid bin Abu Sufyan: “Wahai khalifah Rasulullah, naiklah! (ke atas kendaraan) atau aku yang akan turun.” Maka berkatalah Abu Bakar: “Aku tidak akan naik dan engkau jangan turun, se­sungguhnya aku mengharapkan perhitungan dengan langkah-langkahku ini di jalan Allah. Ketika beliau wafat setelah pembukaan negeri Syam di zaman pemerintahan Umar radhiallahu ‘anhu, beliau mengangkat saudaranya iaitu Mu’awiyah untuk menggantikan kedudukannya.

Kemudian Mu’awiyah mempunyai anak yang bernama Yazid di zaman pemerintahan ‘Utsman ibnu ‘Affan dan dia tetap di Syam sampai terjadi peristiwa yang terjadi.

Yang wajib adalah untuk meringkas yang demikian dan berpaling dari membicarakan Yazid bin Mu’awiyah serta bencana yang menimpa kaum muslimin kerananya dan sesungguhnya yang demikian merupakan bid’ah yang menyelisihi ahli sunnah wal jama’ah. Ini kerana dengan sebab itu sebahagian orang bodoh meyakini bahawa Yazid bin Mu`awiyah termasuk kalangan sahabat dan bahawasanya dia termasuk kalangan tokoh-tokoh orang soleh yang besar atau imam-imam yang adil. Hal ini adalah kesalahan yang nyata.” (Diambil dari Majmu’ Fatawa, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, jilid 3, hal. 409-414)

Bid’ah-bid’ah yang Berhubungan dengan Terbunuhnya Al-Husein

Kemudian muncullah bid’ah-bid’ah yang banyak yang diadakan oleh kebanyakan orang-or­ang terkemudian berkenaan dengan perisiwa terbunuhnya Al-Husein, tempatnya, waktunya dan lain-lain. Mulailah mereka mengada-adakan An-Niyaahah (ratapan) pada hari terbunuhnya Al-Husein iaitu pada hari ‘Asyura (10 Muharram), penyiksaan diri, menzalimi binatang-binatang ternak, mencaci maki para wali Allah (para shabat) dan mengada-adakan kedustaan-kedustaan yang diatas namakan ahlul bait serta kemungkaran-kemungkaran yang jelas dilarang dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam serta berdasarkan kesepakatan kaum muslimin.

Al-Husein radhiallahu ‘anhu telah dimu­liakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dengan mati syahid pada hari ‘Asyura dan Allah telah menghi­nakan pembunuhnya serta orang yang mendukung­nya atau ridha dengan pembunuhannya. Dan dia mempunyai teladan pada orang sebelumnya dari para syuhada, kerana sesungguhnya dia dan saudaranya adalah penghulu para pemuda ahlul jannah (ahli syurga). Keduanya telah dibesarkan pada masa kejayaan Is­lam dan tidak mendapatkan hijrah, jihad, dan kesabaran atas gangguan-gangguan di jalan Allah sebagaimana apa yang telah didapati oleh ahlul bait sebelumnya. Maka Allah muliakan keduanya dengan syahid untuk menyempurnakan kemuliaan dan mengangkat darjat keduanya.

Pembunuhan beliau merupakan musibah besar dan Allah subhanahu wa ta’ala telah mensyari’atkan untuk mengucapkan istirja’ (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un) ketika musibah dalam ucapannya:

…وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

"…. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orangyang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Al-Baqarah: 155-157)

Sedangkan mereka yang mengerjakan apa-apa yang dilarang oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam rangka meratapinya seperti memukul pipi, merobek baju, dan menyeru dengan seruan-seruan jahiliyah, maka balasannya sangat keras sebagaimana diriwayatkan dalam Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu, berkata: Bersabda Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُوْدَ، وَشَقَّ الْجُيُوْبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ. رواه البخارى ومسلم

"Bukan dari golongan kami, siapa yang memukul-mukul pipi, merobek-robek baju, dan menyeru dengan seruan-seruan jahiliyah." (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, juga dalam Bukhari dan Muslim dari Abu Musa Al-Asy’ari radhiallahu ‘anhu, bahawa dia berkata: “Aku berlepas diri dari orang-orang yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berlepas diri darinya, iaitu bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berlepas diri dari al-haliqah, ash-shaliqah dan asy-syaaqqah." (HR. Bukhari dan Muslim)

Dan dalam Sahih Muslim dari Abi Malik Al-Asy’ari bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَرْبَعٌ فِى أُمَّتِى مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ لاَ يَتْرُكُوْنَهُنَّ: الْفَخْرُ فِى اْلأَحْسَابِ وَالطَّعْنُ فِى اْلأَنْسَابِ وَاْلإِسْتِسْقَاءُ بِالنُجُوْمِ وَالنِّيَاحَةُ. رواه مسلم

"Empat perkara yang terdapat pada umatku dari perkara perkara jahiliyah yang mereka tidak meninggalkannya: bangga dengan kedudukan, mencela nasab (keturunan), mengharapkan hujan dengan bintang-bintang dan meratapi mayat." (HR. Muslim)

Dan juga bagindau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

…وَإِنَّ النَّائِحَةَ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ الْمَوْتِ جَائَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانِ، وَدَرْعٌ مِنْ لَهَبِ النَّارِ. صحيح رواه أحمد والطبرانى والحاكم

"Sesungguhnya perempuan tukang ratap jika tidak bertaubat sebelum matinya dia akan dibangkitkan di hari kiamat sedangkan atasnya pakaian dari timah dan pakaian dada dari nyala api neraka." (HR. Ahmad, Thabrani dan Hakim)

Hadis-hadis tentang masalah ini bermacam-­macam.

Demikianlah keadaan orang yang meratapi mayat dengan memukul-mukul badannya, mengoyak-ngoyak bajunya dan lain-lain. Maka bagaimana jika ditambah lagi bersama dengan itu kezaliman terhadap orang-orang mukmin (para sahabat), melaknat mereka, mencela mereka, serta sebaliknya membantu ahlu syiqaq orang-orang munafik dan ahlul bid’ah dalam kerosakan agama yang mereka tuju serta kemungkaran lain yang Allah lebih mengetahuinya.

Maraji’:
Minhajus-Sunnah, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.
Majmu’ Fatawa, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah.
Al-’Awashim Minal Qawashim, oleh Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi dengan tahqiq dan ta’liq Syaikh Muhibbudin Al-Khatib.
Al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Katsir.
Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani.
Shahih Muslim dengan Syarh Nawawi.
Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.
 

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...