Memaparkan catatan dengan label Hamas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hamas. Papar semua catatan

Selasa, 20 Januari 2009

PENGAJARAN DARIPADA GAZA

Peperangan al-Furqan yang berlangsung selama 22 hari menyaksikan keganasan Bani Israil yang sangat dahsyat. Pihak media sekadar menamakan peperangan itu sebagai Perang Gaza atau Gaza War tetapi pihak Hamas menamakannya sebagai ‘Peperangan al-Furqan’ yang membawa maksud peperangan yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan.


Penamaan pihak Hamas terhadap perang ini sangat tepat kerana dalam peperangan ini kita dapat melihat hakikat sebenar banyak pihak. Kita dapat melihat apakah sebenarnya kelemahan yang dihadapi kaum muslimin dan apakah punca mereka menjadi terlalu lemah.


Antara Senario menarik yang dapat kita lihat adalah :


Kejahilan Kaum Muslimin

Jahil adalah penyakit yang paling merbahaya dalam diri seorang insan dan lebih bahaya lagi bagi seorang yang bergelar muslim dan muslimah. Jahil adalah punca utama seseorang manusia menjadi syirik dan kufur kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 138-139:


وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَى قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَى أَصْنَامٍ لَهُمْ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ (13 8) إِنَّ هَؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (139)


Maksudnya: “dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. “Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa Yang mereka kerjakan itu”.


Ayat ini menjelaskan bahawa punca Bani Israil melakukan syirik dan tergerak nafsu untuk melakukan syirik mempunyai dua sebab:


Pertama: Jahil


Kedua: Meniru Gaya Hidup Orang Kafir.

Inilah punca kenapa kaum Yahudi menjadi kaum kafir sedangkan dahulu mereka beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya Musa a.s. Yahudi berubah menjadi kaum yang ganas, membunuh Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah serta mengubah ajaran agama Tauhid menjadi agama wasni (penyembah berhala).


Amat menyedihkan apabila kita melihat kaum muslimin hari ini juga sebahagian mereka ditimpa penyakit yang serupa. Mereka Jahil akan agama mereka lalu meniru budaya agama kufur.


Saya amat geli hati melihat telatah para pemberita wanita yang begitu bersemangat mengecam dan mengutuk kekejaman rejim zionis tetapi mereka sendiri mengambil pakaian Yahudi untuk membalut badan mereka, memakai fesyen agama Yahudi dengan mendedahkan aurat dan melanggar arahan Allah s.w.t.


Pakar-pakar Sains Politik yang dijemput untuk memberikan analisis pula bercakap mengutuk Yahudi tetapi malang sekali lidah yang mereka guna adalah lidah Yahudi, bahasa mereka bahasa Yahudi, idea mereka idea Yahudi, dan mata mereka dalam menilai kejadian di Gaza juga mata Yahudi.


Bukanlah bermakna mereka menganalis untuk menyokong Yahudi, tidak, mereka mengutuk dan mengecam Yahudi, tetapi mereka gagal mengaitkan kejadian Gaza dengan akidah Islam yang sahih dan hukum hakam syarak yang mulia.


Misalnya, kebanyakan mereka selalu memberi kredit kepada Iran dan Syria, mereka jahil bahawa Syria dan Iran adalah negara yang berfahaman Syiah yang telah disepakati para ulama Islam mereka itu terkeluar daripada Islam. Bahkan mereka seolah-olah melupakan sejarah kekejaman Syiah yang disokong oleh Syria dan Iran pada tahun 1985 terhadap pelarian Palestin yang berfahaman Sunnah di Shabra dan Shatilla serta terdahulu daripada itu peristiwa Tel al-Zaatar yang menyaksikan kerajaan Syria di bawah Hafiz al-Asad, bapa presiden sekarang Bashar al-Asad, membunuh pelarian Palestin di Tel al-Zaatar.


Mereka jahil bahawa ajaran Syiah yang dianut oleh Syria dan Iran pada hari ini adalah pemikiran yang dibawa masuk oleh Abdullah bin Saba’, lelaki Yahudi daripada Yemen lalu mereka tertipu dengan muslihat Iran dan Syria dalam usaha jahat mereka mensyiahkan penduduk Sunnah Palestin khasnya dan kaum muslimin lain amnya.


Saya juga tertarik melihat seorang doktor rakyat Palestin yang berkhidmat di kawsan Israeli yang sering menjadi jemputan media untuk membuat kenyataan, Anak-anaknya turut terkorban dalam serangan ganas Yahudi itu. Malangnya, dia juga termasuk kaum jahiliah yang tidak sedar bahawa permusuhan antara Islam dan Yahudi asasnya adalah perbezaan akidah. Dia menyeru supaya Yahudi dan Arab hidup damai sedangkan dia lupa firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 120:


وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ


Maksudnya: “dan tidak akan reda kepada kamu kaum Yahudi dan Nasarani selagi kamu tidak mengikut agama mereka…”


Terdapat juga kita melihat ada antara rakyat Palestin yang meratap kematian sanak saudara mereka dan anak-anak mereka. Kita tidak menafikan mereka ditimpa musibah yang sangat berat tetapi Allah s.w.t tidak akan menguji suatu kaum melainkan dengan ujian yang mereka mampu hadapi. Adakah mereka lupa bahawa Rasulullah s.a.w melarang perbuatan meratap mayat? Apakah beza mereka dengan kaum Yahudi yang turut meratap kematian pihak mereka? Sabda Rasulullah s.a.w:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ


Maksudnya: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, merobek baju, dan menyeru dengan seruan Jahiliah (ratapan orang mati)” [al-Bukhari, al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad].


Mereka jahil bahawa antara punca yang menyebabkan turunnya bala daripada Allah s.w.t adalah berlakunya maksiat dan antara maksiat yang besar adalah bidaah dalam urusan agama.


Tembelang Kaum Munafiqin dan Ahli Bidaah

Ma’rakah al-Furqan juga menzahirkan sifat nifaq yang disembunyikan kaum munafiqin selama ini terutama kaum Syiah. Hizbullah selaku sayap kanan Syiah di Lubnan menzahirkan sikap sebenarnya terhadap Palestin dan membuktikan apa yang diucapkan selama ini hanyalah omong kosong semata-mata. Allah s.w.t menyatakan sikap kaum munafiqin apabila mereka diseru untuk berjihad menentang musuh yang menceroboh negara Islam:


وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُوا وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا قَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوِ ادْفَعُوا قَالُوا لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَاتَّبَعْنَاكُمْ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ يَقُولُونَ بِأَفْوَاهِهِمْ مَا لَيْسَ فِي قُلُوبِهِمْ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ


Maksudnya: “dan juga dengan tujuan ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. mereka menjawab: “Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.” [Ali Imran: 167]


Ayat ini diturunkan menceritakan sikap kaum munafiqin yang menolak untuk berperang dalam Ghazwah Uhud lalu beralasan pula kononnya mereka tidak menyangka peperangan akan benar-benar berlaku. Inilah sikap Syiah apabila diajak berperang dengan peperangan yang sebenar mereka menolak.


Satu pihak yang lain pula, tembelang golongan bidaah berjaya dibongkar terutama mereka yang selama ini menyatakan mereka bermanhaj salafi dan Ahli Sunnah wal Jamaah, namun ternyata mereka mempunyai fahaman Khawarij tersembunyi seperti golongan al-Ikhwan al-Muslimun.


Mereka menyeru kaum muslimin bangun menentang pemerintah mereka sedangkan Nabi s.a.w bersabda:


خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ ، فَقَالَ : لاَ ، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلاَةَ ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلاَتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ ، وَلاَ تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ


Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cinta akan mereka dan mereka cinta kepada kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sejahat-jahat pemimpin kamu pula adalah yang kamu benci mereka itu dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”; Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?” Jawab baginda: Tidak boleh selagi mereka mendirikan solat dalam kalangan kamu (menegakkan Syiar Solat Jemaah) , apabila kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang kamu benci maka bencilah perbuatannya tetapi janganlah kamu keluar dari ketaatan (memberontak)”. [Muslim, Ahmad, al-Darimi]


Dalam sebuah hadis lagi Nabi s.a.w bersabda:


مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ ، فَلاَ يُبْدِ لَهُ عَلاَنِيَةً ، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ ، وَإِلاَّ كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi hendaklah dia memegang tangannya lalu bersendirian dengannya, jika dia menerima nasihatnya itu maka terlaksanalah seperti yang dikehendaki, jika dia menolak maka dia (si penasihat) telah melaksanakan tugasnya” [Ahmad].


Ini adalah cara yang diajar Rasulullah s.a.w dalam berurusan dengan pemerintah, bukan dengan cara berdemonstrasi dan melakukan protes jalanan, meniru gaya kaum kafir.


Kita begitu kesal sekali melihat kelompok al-Ikhwan al-Muslimun mengambil kesempatan dalam protes yang dilakukan terhadap kekejaman Zionis untuk mengutuk dan memprotes terhadap kerajaan Mesir yang pada syaraknya adalah kerajaan Islam. Kita tidak mengatakan Mesir adalah sebuah kerajaan Islam yang adil tetapi Islam mempunyai cara tersendiri dalam berurusan dengan pemerintah yang zalim atau tersasar daripada keadilan bukan dengan meniru cara kaum kafir Nasrani yang sering meruntuhkan kerajaan mereka dengan protes jalanan semenjak revolusi Perancis dan Rusia.


Kita begitu sedih dengan sikap kaum muslimin yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi Islam yang mereka perjuangkan itu ditafsirkan menurut cara mereka, bukan dengan ajaran yang difahami Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.


Pihak Iran yang muinafiq itu turut menyeru supaya umat Islam bangun memproites kerajaan-kerajaan Arab yang pada pandangannya pengkhianat tetapi apabila rakyatnya sendiri bangun melakukan protes dalam beberapa perkara yang mereka tidak puasa hati terhadap kerajaan, pihak kerajaan Iran menangkap mereka dan menghalang protes tersebut.


Saya amat tertarik dengan kenyataan Jamaah Islamiah Mesir yang suatu ketika dahulu terkenal dengan aksi keganasan namun telah mengisytiharkan taubat dan kembali mengikut manhaj al-Salaf al-Soleh. Pihak Jamaah menyatakan walaupun benar pihak Mesir ada kekurangan dalam mebantu Palestin, namun Mesir tidak pernah sama sekali mengepung dan menyembelih pelarian Palestin seperti yang dilakukan Syiah pada tahun 1982 dan 1985 dahulu.


Puak Syiah dan Ikhwan menuduh Mesir bersubahat dengan Yahudi semata-mata kerana Mesir tidak membuka 24 jam sempadan Rafah. Sebenarnya sama ada Mesir buka atau tidak sempadan Rafah, keadaan tetap sama kerana di seberang sana pihak Yahudi telah menunggu untuk menghalang apa-apa bantuan. Bukankah Yahudi membedil sempadan Rafah sehingga mencederakan beberapa penduduk Mesir?Apakah mereka yang selama ini terkenal dengan Fiqh Waqi’ (Fiqh Realiti) telah hilang kesedaran waqi’ mereka? Di manakah akal yang mereka agung-agungkan selama ini?Kenapa mereka tidak mengukur kejadian Gaza dan Rafah ini dengan kesedaran akal yang waras? Semua ini semata-mata kerana mereka ingin menggunakan peluang untuk merebut kuasa. Hanya itulah matlamat mereka, adapun Islam yang menjadi slogan hanyalah alat semata-mata.


Jihad : Antara Semangat dan Syarak

Melihat pula keadaan mereka yang berjihad dan penyokong-penyokong mereka kita hampir keliru jihad jenis apakah yang mereka hendak lancarkan? Jihad Syar’i atau Jihad Watani? Jihad Syar’i perlu mengikut syarat dan peraturan tertentu adapun Jihad Watani (Nasionalisme) hanya memerlukan semangat dan nafsu.


Ada pihak yang mengecam Mesir dan beberapa negara Arab yang berusaha supaya diadakan gencatan senjata bagi tempoh yang lama seperti Cadangan Mesir yang meletakkan tempoh 15 tahun gencatan senjata. Mereka menyeru Jihad dan menolak perdamaian. Apakah mereka sudah tidak mampu memahami firman Allah s.w.t:


وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


Maksudnya: “dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. [al-Anfal: 61].


Apakah mereka sudah lupa bahawa Nabi s.a.w pernah mengadakan perdamaian dengan kaum musyrikin Mekah selama 10 tahun, dan berdamai dengan Yahudi Quraizah?. Mereka cuba membuktikan mereka kukuh tetapi hakikatnya 1300 lebih rakyat Palestin menjadi korban. Mana-mana manusia yang berakal jika melihat keadaan di Gaza mereka akan berkata pihak muslimin patut berdamai dahulu kerana kita dalam keadaan lemah. Semua ini menunjukkan kaum muslimin perlu memikirkan semula adakah jihad mereka jihad yang dikehendaki Allah s.w.t atau sekadar perang tabii yang akan dilakukan mana-mana makhluk untuk mempertahankan haknya.


Penutup dan Penyelesaian

Inilah antara sebahagian pengajaran yang dapat kita lihat disebalik perang Gaza atau perang al-Furqan. Semua masalah yang terzahir ini memerlukan penyelesaian segera dan penyelesaian itu telah lama dilaung-laungkan oleh Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitulah kembali berpegang kepada Manhaj Salafi yang tulen.


Hanya dengan cara itu sahaja kita akan bersatu atas dasar yang diredai Allah s.w.t dan melayakkan semula diri kita mendapat pertolongan-Nya. Ingatlah firman Allah s.w.t:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”. [Muhammad: 7]


Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti r.h dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan Allah s.w.t menjelaskan sifat-sifat orang yang menolong agama Allah dan layak mendapat pertolongan-Nya dalam firman-Nya:


الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ


Maksudnya:. “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. [al-Hajj: 41]


Berkata Syeikh: “Ayat ini menunjukkan mereka yang tidak menunaikan solat, mengeluarkan zakat, tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak mencegah kemungkaran tidak akan mendapat pertolongan Allah s.w.t sama sekali” [Adwaul Bayan, 7/352].


Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2009/01/20/pengajaran-daripada-gaza/

HAMAS TOLAK KEPUTUSAN ALLAH S.W.T?

Bermula pada tengah malam semalam (Sabtu, 17 Januari 2009), pihak Yahudi Laknatullah ‘alaihim mengisytiharkan mereka hendak mengadakan gencatan senjata.


Gencatan senjata ini dilihat banyak pihak sebagai Unilateral atau sebelah pihak. Oleh itu, pihak Hamas mengisytiharkan akan meneruskan peperangan walaupun angka mangsa kekejaman Yahudi ini mencecah 1200 lebih kematian yang kebanyakannya rakyat awam.


Kita tidak menafikan kesungguhan Hamas mempertahankan tanah air Umat Islam dan kita berterima kasih kepada mereka. Kita tidak boleh kata yang Palestin adalah tanah air orang Arab atau orang Palestin kerana Palestin adalah tanah wakaf bagi seluruh umat Islam.


Saya tidak menghalang jika ada pihak yang hendak menghadiahkan bunga kepada Hamas atas kejayaan mereka mempertahankan Gaza dan usaha yang mereka lakukan dan saya juga ingin mengingatkan supaya kita jangan juga lupa kepada pasukan lain yang menolong Hamas seperti Briged Syuhada al-Aqsa iaitu sayap tentera Fatah yang berjuang bersama-sama mempertahankan Gaza walaupun Hamas sering bahkan terus menuduh Fatah bekerjasama dengan Yahudi.


Namun, sebagaimana yang kita tahu, Hamas mendakwa peperangan yang dilakukan terhadap Yahudi adalah Jihad Islam yang disebut Rasulullah s.a.w :


ذروة سنام الاسلام الجهاد


Maksudnya: “Puncak Islam yang paling tinggi adalah Jihad” [Ahmad, Tabrani]


Jadi kita memahami daripada perkataan Hamas, peperangan yang mereka hendak laksanakan itu adalah Jihad Syar’i yang merupakan ibadat dalam Islam.


Semua kita telah maklum, setiap ibadat mempunyai syarat, rukun, dan aturan yang perlu diikuti. Maka demikian juga Jihad fi Sabilillah, mempunyai aturan yang perlu dipatuhi oleh setiap muslim yang berjihad. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 190:


وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ


Maksudnya: “dan berperanglah di jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan jangalah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka golongan yang melampaui batas”.


Maksud ‘melampaui batas’ adalah melanggar aturan Jihad seperti membunuh wanita yang tidak mengangkat senjata, kanak-kanak, orang tua, mencacatkan mayat dan seumpamanya. [Tafsir al-Muyassar, 1/204].


Antara aturan Jihad juga adalah firman Allah s.w.t:


وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


Maksudnya: “dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. [al-Anfal: 61].


Imam al-Tabari r.h dalam menyatakan tafsir ayat ini berkata:


وإن مالوا إلى مسالمتك ومتاركتك الحربَ، إما بالدخول في الإسلام، وإما بإعطاء الجزية، وإما بموادعة، ونحو ذلك من أسباب السلم والصلح فمل إليها، وابذل لهم ما مالوا إليه من ذلك وسألوكه


Maksudnya: “dan jika mereka cenderung untuk berdamai dan menghentikan perang sama ada dengan memeluk Islam atau membayar jizyah atau mengadakan perjanjian damai (gencatan senjata) dan seumpamanya daripada sebab-sebab perdamaian maka terimalah dan berusahalah melaksanakan permintaan mereka” [al-Tabari, 14/40]


Imam Ibn Kasir r.h menyatakan ayat ini adalah muhkamat bukan ayat mansukh sebagaimana pendapat sebahagian mufassirin. [4/83].


Berkata pula Imam al-Tabari r.h :


فأما ما قاله قتادة ومن قال مثل قوله، من أن هذه الآية منسوخة، فقولٌ لا دلالة عليه من كتاب ولا سنة ولا فطرة عقل.


Maksudnya: “Adapun pendapat Qatadah dan yang sependapat dengannya bahawa ayat ini mansukh maka ianya pendapat yang tidak berdalilkan sama sekali daripada al-Qur’an, al-Sunnah, dan fitrah akal”. [al-Tabari, 14/42].


Ulama yang mengatakan ayat ini mansukh kerana pada pandangan mereka ia bertentangan dengan ayat Qital (ayat yang memerintahkan memerangi kaum kafir secara keseluruhan) dalam surah al-Taubah. Namun, syarat ayat nasikh adalah tidak dapat sama sekali dipadankan dengan hukum ayat mansukh. Adapun ayat ini masih dapat dipadankan dengan ayat Qital kerana Allah s.w.t menyatakan perintah ini dalam keadaan yang memerlukan maslahah damai. Selain itu, amalan Salaf Soleh mengadakan perjanjian damai dengan beberapa buah negara kafir juga menjadi dalil ayat ini Muhkam.


Oleh itu, jelas Allah s.w.t memerintahkan supaya apabila kaum kafir meminta perdamaian sama ada yang memulakan peperangan itu pihak mereka atau pihak kita, hendaklah kita menerimanya demi maslahah. Jika kita melihat keadaan Gaza sekarang, maslahah yang paling utama adalah berdamai kerana memberi laluan penduduk Gaza yang cedera menerima rawatan, memberi ruang pasukan bantuan ubatan dan makanan membawa bantuan mereka dan menjaga nyawa yang masih berbaki. Imam Abu Bakar Ibn al-’Arabi r.h berkata:


وَإِنْ كَانَ لِلْمُسْلِمِينَ مَصْلَحَةٌ فِي الصُّلْحِ لِانْتِفَاعٍ يُجْلَبُ بِهِ ، أَوْ ضُرٍّ يَنْدَفِعُ بِسَبَبِهِ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَبْتَدِئَ الْمُسْلِمُونَ بِهِ إذَا احْتَاجُوا إلَيْهِ ، وَأَنْ يُجِيبُوا إذَا دُعُوا إلَيْهِ وَقَدْ صَالَحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَهْلَ خَيْبَرَ عَلَى شُرُوطٍ نَقَضُوهَا ، فَنَقَضَ صُلْحَهُمْ ، وَقَدْ وَادَعَ الضَّمْرِيُّ ، وَقَدْ صَالَحَ أُكَيْدِرَ دَوْمَةَ ، وَأَهْلَ نَجْرَانَ وَقَدْ هَادَنَ قُرَيْشًا لِعَشَرَةِ أَعْوَامٍ حَتَّى نَقَضُوا عَهْدَهُ ، وَمَا زَالَتْ الْخُلَفَاءُ وَالصَّحَابَةُ عَلَى هَذِهِ السَّبِيلِ الَّتِي شَرَعْنَاهَا سَالِكَةً ، وَبِالْوُجُوهِ الَّتِي شَرَحْنَاهَا عَامِلَةً


Maksudnya: “dan jika bagi kaum muslimin maslahah dalam berdamai kerana ada manfaat yang diperoleh atau dapat menolak mudarat yang besar maka tidak ada salahnya mereka memulakan perjanjian damai (kaum muslimin memohon damai) dan tidak salah juga untuk kaum muslimin menerima pelawaan damai kaum kafir dan Nabi s.a.w telah berdamai dengan Ahli Khaibar (kaum Yahudi) atas syarat-syarat yang mereka mungkiri kemudiannya dan baginda melakukan gencatan senjata dengan al-Damari, Ukaidar Daumah, Ahli Najran (Nasrani) dan berdamai dengan kaum musyrikin Quraish selama sepuluh tahun sehingga mereka (musyrikin) memungkiri janji mereka dan sentiasa pula selepas itu para Khalifah dan Sahabat melakukan hal yang sama (dalam Jihad mereka) yang kita disuruh mengikut mereka pula. Atas pemahaman beginilah pada pandangan kami perlu dilaksanakan”. [Ahkam al-Qur'an, 4/161 dan 162].


Adapun firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 35:


فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ


Maksudnya: “(apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (Wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya…”


Berkata al-Jassas r.h :


فَنَهَى عَنْ الْمُسَالَمَةِ عِنْدَ الْقُوَّةِ عَلَى قَهْرِ الْعَدُوِّ وَقَتْلِهِمْ ؛ وَكَذَلِكَ قَالَ أَصْحَابُنَا : إذَا قَدَرَ بَعْضُ أَهْلِ الثُّغُورِ عَلَى قِتَالِ الْعَدُوِّ وَمُقَاوَمَتِهِمْ لَمْ تَجُزْ لَهُمْ مُسَالَمَتُهُمْ وَلَا يَجُوزُ لَهُمْ إقْرَارُهُمْ عَلَى الْكُفْرِ إلَّا بِالْجِزْيَةِ ، وَإِنْ ضَعُفُوا عَنْ قِتَالِهِمْ جَازَ لَهُمْ مُسَالَمَتُهُمْ كَمَا سَالَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَثِيرًا مِنْ أَصْنَافِ الْكُفَّارِ وَهَادَنَهُمْ عَلَى وَضْعِ الْحَرْبِ بَيْنَهُمْ مِنْ غَيْرِ جِزْيَةٍ أَخَذَهَا مِنْهُمْ


Ertinya: “Maka Allah s.w.t melarang mereka (yakni kaum muslimin) daripada menyerah (berdamai) dalam keadaan mereka kuat untuk mengalahkan musuh dan membunuh mereka; demikianlah pendapat para Ashab kami : Jika mampu bagi Ahli Sugur (tentera sempadan) memerangi musuh tidak boleh mereka meminta damai dan membiarkan kaum musyrikin dalam kekufuran mereka kecuali dengan jizyah, dan jika mereka lemah harus bagi mereka berdamai sepertimana Nabi s.a.w berdamai dengan berbagai-bagai kaum kuffar dan mengadakan gencatan senjata tanpa mengambil jizyah..” [Ahkam al-Qur'an li al-Jassas, 6/419]


Jika kita meniliti keadaan Gaza sekarang, semua orang yang berakal akan berkata kaum muslimin berada dalam keadaan lemah dan mereka perlu berehat mengumpul kekuatan. Jumlah kematian 1200 lebih, jumlah tercedera 4000 menghampiri 5000 orang, inilah hakikat yang perlu disedari oleh Hamas dan pergerakan Jihad Palestin.


Mereka jangan tertipu dengan jolokan Syria dan Iran yang munafiq itu, mereka memang suka jika melihat kaum muslimin menerima musibah yang teruk begini. Bahkan ketika Iran dan Syria bersekongkol dengan Parti Amal Syiah menyerang khemah pelarian Palestin di Lubnan pada tahun 1985, jumlah rakyat Palestin yang mereka bunuh dicatatkan 3100 orang. Lihatlah pada tahun 2006, Iran sendiri apabila mendapati rakyat Syiah Lubnan banyak terkorban dalam peperangan Hizbullah-Yahudi pada tahun itu, mengarahkan Hizbullah berdamai dengan Yahudi.


Hamas sepatutnya peka membaca sejarah dan politik kaum Syiah yang sentiasa berharap supaya kaum muslimin ditimpa musibah.


Jangalah kerana hendak mentaati Iran dan Syria, Hamas menderhaka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w. Ingatlah, Rasulullah s.a.w dan para Khalifah baginda yang lebih mulia dan lebih hebat daripada Hamas sendiri pernah berdamai dengan kaum kafir dalam usaha mencapai maslahah kaum muslimin.


Mungkin ada antara kita bertanya, bagaimana pula jika permintaan damai itu hanya tipu muslihat kaum musyrikin? Saya enggan menjawab solan ini kerana Allah s.w.t telah pun menjawabnya dalam ayat ke-62 surah al-Anfal:


وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ


Maksudnya: “dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman”.


Ayat ini adalah sambungan daripada ayat ke-61 surah al-Anfal yang memerintahkah kita berdamai jika kaum kafir meminta perdamaian yang kita sebutkan tadi.


Tafsir ayat ini adalah:


وإن أراد الذين عاهدوك المكر بك فإن الله سيكفيك خداعهم; إنه هو الذي أنزل عليك نصره وقوَّاك بالمؤمنين من المهاجرين والأنصار


Maksudnya: “dan jika mereka yang berdamai dengan kamu (Muhammad s.a.w) ini cuba mengkhianati kamu maka Allah akan mencukupkan bagimu penipuan mereka itu (Allah akan membantu) sesunggunhnya Dialah yang telah menguatkan kamu dengan kaum mukminin daripada al-Muhajirin dan al-Ansar” [Tafsir al-Muyassar, 3/230]


Berkata Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Hafizahullah, Tokoh Ma’al Hijrah Malaysia tahun 1430H/2009M:


ودلت آية : وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ على حكم من أحكام الصلح ، وهو أنهم إن صالحوا على سبيل المخادعة ، وجب قبول ذلك الصلح لأن الحكم يبنى على الظاهر ، كما يبنى الإيمان على الظاهر.

“Ayat ini (ayat 62 surah al-Anfal) satu hukum daripada hukum-hukum perdamaian iaitulah jika kaum kafir itu berniat untuk menipu kamu sekalipun dalam permintaan mereka untuk berdamai maka tetap wajib bagi kamu untuk menerima perdamaian mereka kerana hukum di bina atas zahir seperti Iman dibina (hukumnya) atas zahir keadaan”. [Tafsir al-Munir, 10/61]


Jelas daripada penjelasan para Ulama ini, wajib hukumnya menerima perdamaian jika kaum kafir meminta damai walaupun ada kemungkinan mereka hanya hendak menipu. Ini kerana, menurut kaedah Fiqah Ahli Sunnah wal Jamaah; setiap perintah itu membawa hukum wajib sehingga ada dalil lain yang mengubahnya.


Oleh itu,saya menyeru pihak rapat dengan Hamas dan para pejuang di Gaza di Malaysia seperti ISMA dan JIM untuk menasihati mereka supaya menerima perdamaian yang dinyatakan oleh musuh Allah yang paling ketat, Yahudi Laknatullah ‘alaihim. Ingatlah, jika anda menerimanya, tiada kehinaan sedikit pun bagi pihak anda bahkan Allah s.w.t berjanji akan membantu anda. Taatilah perintah Allah s.w.t dan ikutilah Sunnah Rasul-Nya s.a.w serta ikutlah jejak langkah para al-Salaf al-Soleh dalam usaha mereka berjihad di jalan Allah. Wallahua’lam.

DITULIS OLEH;

MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,

KULIAH USULUDIN & DAKWAH,

AL-MADINAH INTERNATIONAL UNIVERSITI, SHAH ALAM.

http://bahayairan.wordpress.com/2009/01/18/hamas-tolak-keputusan-allah-swt/

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...