Rabu, 20 Jun 2012

PANDUAN MEMBERI NAMA ANAK

Di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kebiasaan para sahabat nabi sebaik sahaja lahir anak mereka, mereka akan membawa anak mereka kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk ditahnik (menyuapkan kurma atau manisan ke dalam mulut bayi) serta diberikan nama yang baik.

Siapa Yang Berhak Memberi Nama?

Di antara suami dan isteri, maka yang lebih berhak memberi nama kepada anak mereka adalah suami, manakala si isteri pula tidak boleh menentang keputusan yang diputuskan oleh suaminya. Namun adalah lebih baik sekiranya mereka berdua berbincang dan membuat keputusan secara bersama-sama. Jika sekiranya berlaku perselisihan antara suami dan isteri dalam memberi nama anak dan sukar untuk membuat satu keputusan, maka hendaklah si isteri mengalah dan menunaikan hak suaminya sepertimana hak-hak suaminya yang lain. 

Seorang suami dikehendaki memilih nama yang baik dari segi lafaz dan maknanya menurut neraca agama (Islam) serta nama tersebut menggunakan bahasa arab. Setiap orang sudah pasti menginginkan nama anaknya yang baik-baik dan elok pula bunyi panggilannya. Namun yang paling penting hendaklah nama-nama tersebut dihindari daripada menggunakan nama-nama yang dimakruhkan apalagi yang diharamkan oleh syariat.

Waktu Memberi Nama Anak

Diharuskan (mubah/boleh) memberi nama sebaik sahaja anak telah lahir, agar mudah mengingatnya baik anak lelaki mahupun anak perempuan. 

Imam Nawawi rahimahullah berkata: "Perbuatan ini dibolehkan. Ia dilakukan agar mudah diingat, baik lelaki mahupun perempuan. Hendaklah diberi nama yang sesuai untuk lelaki dan perempuan seperti nama Asma', Hindun, Hindiyah, Kharijah, Thalhah, Amirah, Zar'ah dan lain-lain." (Al-Azkar Al-Muntakhabah min Kalam Sayyid Al-Abrar)

Dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

وُلِدَ لِي الليلة غلام فسميته باسم أبي إبراهيم عليه السلام

"Malam ini anakku telah lahir, maka aku menamakannya dengan nama Abu Ibrahim 'alaihissalam." (HR. Muslim, no: 2315)

Disunnahkan (digalakkan) memberi nama pada hari ketujuh dari hari kelahirannya sekiranya belum lagi memberi nama kepada anak pada hari kelahirannya. 

Dari 'Amr bin Syu'aib, dari ayahnya dan datuknya:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بتسمية المولود يوم السابعة، ووضع الأذى عنه والعق

"Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan menamakan anak-anak yang lahir pada hari ketujuh, dan dipalingkan darinya kesulitan serta diakikahkan." (HR. Tirmizi, no: 2832, beliau berkata hadis ini hasan)

Dari Samrah bin Jundab radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

كل غلام رهينة بعقيقته تُذبح عنه يوم سابعه ويسمى فيه ويُحلق رأسُهُ

"Setiap anak tergadai (tertahan) dengan akikahnya, disembelihkan haiwan akikah pada hari ketujuh, diberi nama pada hari tersebut, dan dicukur rambutnya." (HR. Abu Daud no: 2837, At-Tirmizi no: 1522, An-Nasai no: 4220 dan Ibnu Majah no: 3165)

Anjuran Memberi Nama Yang Baik

Dari Abu Darda' radhiallahu 'anhu berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إنكم تُدعون يوم القيامةِ بأسمائكم وأسماء آبائكم فأحسنوا أسمائكم

"Sesungguhnya kamu akan dipanggil di hari kiamat kelak dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa-bapa kamu, maka hendaklah memperbaiki (memperelokkan) nama-nama kamu." (HR. Abu Daud no: 4948; hadis ini dhaif kerana sanadnya munqathi' (terputus) iaitu Abdullah bin Abu Zakaria tidak menemui Abu Darda')

Ketentuan nama-nama yang baik itu berperingkat-peringkat sesuai dengan urutannya sebagaimana nama-nama berikut ini:

(1) Abdullah dan Abdurrahman. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
أحب الأسماء إلى الله عبد الله وعبد الرحمن

"Nama-nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah (hamba Allah) dan Abdurrahman (hampa kepada Yang Maha Pemurah)." (HR. Muslim no: 2132, At-Tirmizi no:2833, An-Nasai no: 3565, Abu Daud no: 4949 dan Ibnu Majah no: 3728)

(2) Nama-nama yang dimulai dengan kata Abdu pada nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna) seperti Abdul Aziz, Abdul Karim, Abdul Malik dan seterusnya.

(3) Nama-nama para nabi dan rasul. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

تسموا بأسماء الأنبياء وأحب الأسماء إلى الله تعالى عبد الله وعبد الرحمن، وأصدقها حارث وهمام، وأقبحها حرب ومرة

"Namakanlah (anak-anak kamu) dengan nama-nama para nabi. Dan nama-nama yang paling dicintai Allah Ta'ala adalah Abdullah dan Abdurrahman. Dan yang paling benar namanya adalah: Harith dan Hammam, serta yang paling buruk namanya adalah Harbun dan Murrah." (HR. Abu Daud no: 4950, An-Nasai no: 3565 dan selainnya dari Abu Wuhaib Al-Jasymi; lihat Al-Azkar Imam Nawawi no: 741)

(4) Nama-nama orang soleh dari kalangan kaum muslimin bermula dengan nama para sahabat nabi radhiallahu 'anhum. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Al-Mughirah bin Syu'bah radhiallahu 'anhu, dari nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

إنهُمْ كَانُوا يُسَمُّونَ بأنبيآئِهمْ والصَّالحين قبْلهمْ

"Sesungguhnya mereka memberikan nama (kepada anak-anak mereka) dengan nama-nama para nabi, orang-orang soleh sebelum mereka." (HR. Muslim no: 2135, dan At-Tirmizi no: 3155)

(5) Semua sifat-sifat yang benar bagi manusia dengan syarat-syarat seperti berikut:

  • Nama tersebut dalam bahasa arab, tidak termasuk di dalam kategori kaedah ini nama-nama serapan dari bahasa asing seperti: Diana, Hedi, Syirihan dan lain-lain lagi.
  • Lafaz dan maknanya baik.
  • Berusaha memberi nama yang hurufnya sedikit.
  • Berusaha memberi nama yang mudah dipanggil.

Nama-Nama Yang Diharamkan

(1) Setiap nama yang dimulai dengan kata Abdu dan dihubungkan kepada selain Allah seperti Abdurrasul (hamba kepada rasul), Abdul Husein (hamba kepada husein) dan seterusnya.

(2) Memberi nama dengan nama-nama khusus bagi Allah seperti Ar-Rahman, Al-Khaliq dan seterusnya yang tidak diawali dengan kata Abdu (dihadapannya).

(3) Memberi nama dengan nama-nama serapan yang kebiasaannya merupakan nama orang-orang kafir seperti Jirjis, George, Diana, Suzana dan seterusnya.

(4)  Memberi nama dengan nama-nama berhala yang disembah selain Allah seperti Latta, Uzza dan seterusnya.

(5) Memberi nama dengan nama-nama asing seperti nama orang Turki dan Parsi dari nama-nama yang tidak ada hubungannya dengan bahasa arab seperti Nariman, Jihan, Nifin dan seterusnya.

(6) Setiap nama yang sebatas pengakuan dari nama-nama yang mengandungi pujian dan kebohongan.

(7) Memberi nama dengan nama-nama syaitan seperti Khinzib, Al-A'war dan seterusnya.

Nama-Nama Yang Dimakruhkan (Tidak disukai)

(1) Nama yang menjadikan hati enggan untuk mendengarnya disebabkan makna dan lafaznya yang mengandungi celaan bagi pemiliknya. Lebih-lebih lagi jika nama tersebut bertentangan dengan petunjuk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menganjurkan memberi nama yang indah. Contohnya Khanjar (pisau besar), Faadhih (yang suka membuka aib), Huyaam/Suuham (penyakit yang menimpa unta) dan seterusnya.

(2) Memberi nama dengan nama-nama yang mengandungi makna yang berkaitan dengan nafsu syahwat. Contohnya Ahlaam, Ghaadah (lemah/terlalu lembut), Fatin (tukang penggoda) dan seterusnya.

(3) Membari nama dengan nama-nama yang mengandungi makna dosa dan maksiat seperti Zalim bin Sarraq.

(4) Memberi nama para penguasa yang zalim dan orang-orang yang sombong seperti Fir'aun, Haman, Qarun dan seterusnya.

(5) Memberi nama yang dihubungkan dengan kata 'Din' (agama) atau Islam seperti Nuruddin, Syihabuddin dan Saiful Islam.

(6) Nama-nama Murakkab (yang tersusun dari dua perkataan atau lebih), seperti Muhammad Ahmad dan yang lain-lain lagi kerana ianya mengandungi ketidakjelasan dan kesamaran.

(7) Memberi nama dengan nama-nama Malaikat seperti Jibrail, Mikail, dan seterusnya. (Fiqhus Sunnah Lin Nisaa`,  karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim)

Mengubah Nama Kepada Nama Yang Lebih Baik

Seseoang boleh mengubah namanya atau nama anaknya sekiranya terdapat makna-makna yang tidak elok atau nama tersebut tidak sesuai. Bahkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri biasa mengubah nama sahabatnya disebabkan terdapat makna yangtidak elok yang terkandung di dalam nama tersebut.

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma: Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengubah nama 'Ashiyah (orang yang melakukan maksiat) lalu bersabda: "Nama engkau adalah Jamilah (yang cantik)." (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim disebutkan:

أن ابنة لعمر كان يقال لها عاصية، فسماها رسول الله صلى الله عليه وسلم جميلة

"Bahawasanya puteri Umar radhiallahu 'anhu dahulu dipanggil sebagai 'Ashiyah, kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menamakannya Jamilah."

Abu Daud rahimahullah berkata: "Nabi mengubah nama-nama seperti Al-'Ashi, 'Aziz, 'Athlah, Syaithan, Al-Hakam, Gharab, Habab, dan Shihab, dan menamakannya: Hasyim, Harban, Salman, Al-Mudhthoji', dan Al-Munba'its, kemudian nama bumi sebelumnya Aqrah diubah dengan nama Khadrah. Masyarakat yang sesat (diubah) dengan masyarakat yang mendapat petunjuk, anak-anak zina (diubah) dengan nama anak-anak yang mendapat petunjuk dan nama Bani Mughawiyah (anak-anak sesat) dengan nama Bani Rusydah (anak-anak yang beroleh hidayah)." (Al-Azkar Imam Nawawi)

Mengubah nama dari yang jelek kepada makna yang lebih baik adalah perbuatan yang disukai. Bahkan perbuatan tersebut dicontohkan sendiri oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terhadap sahabatnya sebagaimana hadis sebelum ini. Cara ini juga merupakan penyelesaian (solusi) bagi sesiapa yang telah terlanjur diberi nama oleh ibu bapa mereka lalu kemudiannya hendak mengubah namanya, kerana dibimbangi makna yang terkandung dalam namanya akan mempengaruhi kehidupannya.

Dari Sa'id bin Al-Musayyib bin Huzn, dari ayahnya:

أن أباه جاء إلى النبي صلى الله عليه وسلم قال: ما اسمك؟ قال حزن. فقال: أنت سهل. قال: لا أغير اسما سمانيه إبي. قال ابن المسيب: فما زالت الحزونة فينا بعد

"Bahawasanya ayahnya datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka Nabi bertanya kepadanya: "Siapa nama engkau?" Dia menjawab: "Huzn (sedih)." Maka Nabi mengatakan: (Nama) engkau adalah Sahl (mudah)." Dia menjawab: "Aku tidak akan mengubah nama yang telah diberikan oleh ayahku." Maka Ibnul Musayyib pun berkata: "Maka sentiasalah kesedihan terus menimpa kami setelah itu." (HR. Bukhari no: 6190)

Memanggil Nama Yang Lebih Elok

Dibolehkan memanggil atau mengubah nama yang sedia ada kepada yang lebih elok panggilannya serta sedap didengari. Perbuatan ini pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang dinyatakan di dalam sahih Al-Bukhari:

 أن رسول الله صلى الله عليه وسلم رخم أسماء جماعة من الصحابة، فمن ذلك قوله صلى الله عليه وسلم لأبي هريرة رضلى الله عنه: يا أبا هِرّ. وقوله صلى الله عليه وسلم لعائشة رضى الله عنها: يا عائِش ولأنجسة رضلى الله عنها: يا أنجش

"Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyedapkan panggilan nama-nama para sahabatnya. Oleh itu, Abu Hurairah radhiallahu 'anhu dipanggil sebagai Aba Hir, 'Aisyah radhiallahu 'anha dipanggil Ya 'A`isy dan Anjasyah dipanggil Ya Anjasy." (HR. Bukhari, no: 285)

Demikianlah beberapa panduan memberi nama anak yang mampu saya nyatakan di dalam artikel ini. Semoga nama yang disandarkan kepada diri kita semua akan mencerminkan diri kita dari makna-maknanya yang indah. Wallahua'lam


Selesai 21 Jun 2012
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu

_______________________________
Rujukan:
(1) Al-Azkar Al-Muntakhabah min Kalam Sayyid Al-Abrar, Imam Nawawi.
(2) Fiqhus Sunnah Lin-Nisa`, Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...