Wednesday, December 19, 2018

Jangan Sangka Penganut Ajaran Yang Salah (Menyimpang) Selalu Kalah!

Umat Islam yang keluar berdakwah perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Paling penting adalah mengetahui keadaan dari mad'unya yakni orang yang ingin disampaikan dakwah kepada mereka.


Rasulullah s.a.w berpesan kepada Muaz bin Jabal r.a ketika mengutuskan beliau ke Negeri Yaman, dengan bersabda: 


إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى


"Sesungguhnya engkau (wahai Mu'az), akan mendatangi kaum ahli kitab, maka jadikanlah awal mula dakwah yang akan engkau sampaikan kepada mereka adalah agar supaya mereka mentauhidkan Allah Ta'ala." (HR. Bukhari, no: 6824) 


Rasulullah s.a.w menyatakan "engkau akan mendatangi kaum ahli kitab" menunjukkan baginda menerangkan keadaan siapakah mad'u kepada Muaz bin Jabal r.a apabila tiba di Yaman kelak. 


Mengapa perlu menguasai ilmu secukupnya dan keadaan mad'u? 


Ini kerana risiko apabila seseorang berdakwah tanpa ilmu dan menguasai keadaan mad'unya adalah akan menyebabkan dakwah yang benar tidak benar-benar sampai atau boleh jadi si daie tersebut kalah dalam perdebatan lantaran hujah dan bukti yang tidak begitu kukuh dan padu. 


Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w ketika menghakimi manusia, dimana baginda bersabda:


إنما أنا بشر وإنكم تختصمون إلي ولعل أحدكم ألحن بحجته من الأخر فأقضي له نحو ما أسمع


"Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa, dan sesungguhnya kamu selalu mengadu kepadaku tentang perselisihan kamu. Maka boleh jadi sebahagian kamu lebih pandai dalam berhujah berbanding lawannya. Kemudian aku hanyalah memutuskan (membuat keputusan) sebagaimana yang aku dengari." (HR. Bukhari) 


Perkataan Rasulullah s.a.w pada lafaz "aku hanyalah memutuskan (membuat keputusan) sebagaimana yang aku dengari" menunjukkan boleh jadi pihak yang salah dianggap benar kerana cara dia berhujah adalah lebih baik dari pihak yang benar (namun dianggap salah kerana lemah cara penghujahannya). 


Orang yang berhujah antara yang tertuduh dan penuduh, maka yang menuduh (pendakwa) hendaklah membawakan bukti namun bagi yang tertuduh (yang tidak mengaku sebagaimana yang didakwa) hendaklah bersumpah sekiranya mengingkarinya. 


Rasulullah s.a.w bersabda:


لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لاَدَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِيْ وَالْيَمِيْنَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ


"Kalau sekiranya setiap aduan manusia diterima, nescaya setiap orang akan mengadu tentang harta suatu kaum dan darah mereka, oleh itu (agar tidak terjadi perkara tersebut), hendaklah bagi yang mendakwa membawakan bukti manakala bagi yang mengingkarinya hendaklah bersumpah." (HR. Baihaqi dan selainnya)


Namun jika seseorang yang dianggap benar sekalipun, sekiranya dia dianggap benar namun hakikatnya dia berdusta seperti mengupah saksi palsu sebagai bukti untuk menguatkan hujahnya maka dia pasti akan mendapat balasan di sisi Allah SWT.


Sabda Rasulullah s.a.w:


فمن قضيت له بمحق أخيه شيئا بقوله فإنما أقطع له قطعة من النار فلا يأخذها


"Sesiapa yang aku berikan kepadanya sesuatu yang sebenarnya adalah hak saudaranya disebabkan kepandaiannya dalam berkata-kata, maka bererti aku telah mengambil sepotong dari api neraka buatnya. Oleh kerana itu, maka janganlah mengambilnya (jika bukan haknya)." (HR. Bukhari)

_________________

Al-MuwahhidunMy Channel

Artikel-artikel Islam, audio dan video bermanfaat berasaskan Manhaj Ahli Tauhid dan Salafus Soleh


al-muwahhidun.blogspot.my

telegram.me/almuwahhidunmy

fb.com/almuwahhidunmy

instagram.com/almuwahhidunmy

twiter.com/almuwahhidunmy

CABARAN AKHIR ZAMAN

Disampaikan oleh Al-Ustaz Muhammad Asri Sobri hafizahullah https://youtu.be/T1IirfkMtb8