Ahad, 27 Ogos 2017

SIFAT NUZUL (TURUN)


Nabi ﷺ bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ الأَخِيْرِ يَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِيْ فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ, مَنْ يَسْأَلُنِيْ فَأُعْطِيَهُ, مَنْ يَسْتَغْفِرُنِيْ فَأَغْفِرَ لَهُ

"Tuhan kita Tabaraka wa Ta'ala yanzilu (Turun) pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa seperti akhir (malam) lalu berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka akan Aku perkenankan baginya, sesiapa yang meminta kepadaKu akan Kuberikan kepadanya, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaKu nescaya akan Aku ampunkannya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan ramai lagi).

Darjat Hadis: Mutawatir.

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: "Hadis ini datang dari sekitar 30 orang sahabat." (As-Sowa'iq Al-Mursalah, 1/387).

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata: "Aku telah menyusun hadis-hadis nuzul dalam satu juzuk dan aku telah memastilan bahawa ianya mutawatir." (Al-'Uluw, hlm 100).

Penjelasan:

Sifat nuzul (turun) ini sepertimana sifat-sifat Allah yang lain yang mana ianya tidak menyerupai makhlukNya. Turunnya Allah SWT sesuai dengan keagunganNya. Tidak diketahui kaifiyatNya bagaimana. Ahli sunnah (salafus soleh) beriman dan menetapkannya sebagaimana ia datang, tidak ditakwilkan, tidak dinafikan, tidak pula disamakan dengan turunnya makhluk.

Kelompok mu'attilah (pengingkar sifat Allah) tidak dapat menolak hadis ini kerana ianya sampai ke darjat mutawatir. Biasanya mereka akan berkata: "Ini hadis Ahad (yakni bukan mutawatir) tidak memberikan faedah ilmu!"

Maka timbul syubhat mengatakan: "Maksud turun itu adalah turun perintahNya."

Kita jawab: Dalam hadis tersebut Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya."

Maka adakah mungkin perintahNya berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya." Ini tentu tidak benar. Yang benar ia merupakan firman Allah SWT.

Jika ada yang berkata: "Tuhan kita turun, ertinya yang turun itu adalah salah satu malaikat di antara malaikat-malaikat."

Kita jawab: Adakah mungkin malaikat berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu? Sesiapa yang meminta kepadaKu?" Dan seterusnya. Adakah ini ucapan malaikat atau Allah SWT? Tentulah ucapan ini dari Tuhan Tabaraka wa Ta'ala bukannya malaikat.

Kedua-dua syubhat di atas jelas menunjukkan bukanlah perintahNya yang turun atau malaikatNya yang turun. Ini kerana tidak mungkin perintah atau malaikat yang mengucapkan kalimah-kalimah tersebut seperti di dalam hadis di atas.

Timbul satu lagi syubhat, iaitu kita melihat matahari berputar mengelilingi bumi, lalu dikatakan: "Bagaimana Allah turun, sedangkan malam itu berbeza-beza dari setiap tempat dan negara. Ketika matahari bergerak mengelilingi bumi, maka sebahagian berada pada waktu siang, sebahagian pula berada di waktu malam. Bukankah ini menyebabkan Allah itu turun dan naik terus menerus setiap hari?"

Kita jawab: Perkara ini termasuk urusan Allah yang mana kita tidak mempunyai urusan tentangnya. Dialah Allah yang menundukkan malam dan siang serta menjadikan kedua-duanya silih berganti, dan Dialah juga yang memberitakan tentang Dia nuzul (turun). Maka kita wajib menetapkannya dan tidak perlu bertanya-tanya bagaimana cara atau kaifiyatnya.

Ada juga yang berkata: "Bagaimana Allah turun sedangkan satu pertiga malam itu berbeza-beza disetiap tempat? Jika Allah turun maka ini mengharuskan adanya pergerakan dan perpindahan. Adakah Allah itu berpindah dari Arasy ke langit dunia dan bergerak?"

Maka kita jawab: Jika makhluk yang turun tentulah mengharuskan adanya perpindahan dan pergerakan. Adapun turunnya Allah, maka Dia turun menurut cara yang dikehendakiNya. Kita tidak ketahui bagaimana caranya. Allah turun sebagaimana dikehendakiNya dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia lah yang mencipta langit dan bumi, siang dan malam. Namun kita tidak boleh berpanjangan dalam membicarakan perihal turunNya Allah SWT. Tiada siapa yang mengetahui kaifiyat turunNya Allah.

Kita beriman dengan sifat nuzul sebagaimana ia datang, iaitu setiap malam ketika tersisa satu pertiga akhir malam. Kita menetapkannya dan beriman dengannya.

Tidak boleh kita berkata: "Sesungguhnya sifat nuzul (turun) tidak layak bagi Allah."

Jika kita katakan sedemikian seolah-olah kita ingin memperbetulkan Allah dan RasulNya yang telah menetapkan sifat nuzul tersebut. Seakan-akan kita pula yang lebih tahu tentang Allah dari Rasulullah ﷺ sendiri tentang Allah Ta'ala. Ini merupakan bentuk tidak beradab (biadab) terhadap Allah SWT kerana Allah dan Rasul menetapkannya, manakala kita berusaha untuk menafikannya dengan berbagai macam andaian seperti jika Allah turun maka mengharuskan bergerak dan berpindah dan seterusnya daripada andaian-andaian yang batil.

Wallahua'lam.

(Rujukan: Syarah Al-Manzumah Al-Haiyyah fii Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah li Imam Abu Bakr Abdullah bin Abi Daud As-Sijistani rahimahullah, karya Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah).

Sabtu, 12 Ogos 2017

MAKNA TASYBIH

Tasybih menurut pemahaman Ahli Sunnah tidaklah seperti yang disangka oleh sebahagian orang, seperti hanya sebatas menyebut Tangan Allah, Mata Allah, dan seumpamanya. Begitu juga penyebutan yang disandarkan kepada Allah dengan suatu perbuatan seperti Istiwa (biasanya diterjemah dengan Semayam), Turun, dan Datang yang mana lafaz-lafaz tersebut warid daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Maka untuk memahami persoalan ini, mari kita lihat apa yang diutarakan daripada pandangan ulama-ulama salaf tentang apakah dan bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Tasybih atau penyerupaan.

Berkata Ishak bin Ibrahim:

إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ: يَدٌ كَيَدٍ أَوْ مِثْلُ يَدٍ أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ، فَإِذَا قَالَ: سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَهَذَا التَّشْبِيهُ، وَأَمَّا إِذَا قَالَ: كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: " يَدٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ " وَلَا يَقُولُ كَيْفَ، وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ وَلَا كَسَمْعٍ، فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا، وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tasybih itu hanya terjadi ketika seseorang 
itu berkata (terhadap Allah): ‘Yadd (Tangan) seperti tangan (makhluk), pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)”. Jika dia berkata: ‘Pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)’, maka inilah tasybih (penyerupaan). Adapun jika seseorang mengatakan seperti firman Allah: ’Tangan, pendengaran, penglihatan’ , kemudian dia tidak berkata: ’bagaimana’ dan tidak pula mengatakan ’seperti’ pendengaran makhluk; maka itu tidak termasuk tasybih. Ia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: ‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat 
(Asy-Syura: 11).” (Sunan At-Tirmizi, 2/43)

Abu ‘Uthman Ismail As-Sobuni rahimahullah berkata:

ولا يحرفون الكلام عن مواضعه، بحمل اليدين على النعمتين، أو القوتين؛ تحريف المعتزلة والجهمية – أهلكهم الله-، ولا يكيفونهما بكيف، أو يشبهونهما بأيدي المخلوقين، تشبيه المشبهة –خذلهم الله-

“Dan tidak mentahrif (mengubah) perkataan dari tempatnya, (seperti) dengan membawa makna ‘dua tangan’ pada makna ‘dua nikmat’ atau ‘dua kekuatan’ sebagaimana tahrif kelompok Muktazilah dan Jahmiyah -semoga Allah membinasakan mereka-. Tidak pula mentakyifnya dengan (pertanyaan) ‘bagaimana’, atau mentasybihkannya (menyamakan) dengan tangan kedua makhluk seperti tasybih kelompok Musyabbihah -semoga Allah tidak memberi pertolongan kepada mereka-.“ (Aqidah As-
Salaf wa Ashabil-Hadis, ms. 37)

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata:

ليس يلزم من إثبات صفاته شيء من إثبات التشبيه والتجسيم، فإن التشبيه إنما يقال: يدٌ كيدنا ...

“Menetapkan sifat-sifat-Nya tidaklah 
melazimkan adanya penetapan tasybih dan tajsim, kerana tasybih itu hanyalah jika dikatakan: ‘tangan (Allah) seperti tangan kami’...”
Beliau berkata lagi:

وأما إذا قيل: يد لا تشبه الأيدي، كما أنّ ذاته لا تشبه الذوات، وسمعه لا يشبه الأسماع، وبصره لا يشبه الأبصار ولا فرق بين الجمع، فإن ذلك تنزيه

“Adapun jika dikatakan: ‘tangan namun 
tidak menyerupai tanganku’, sebagaimana ZatNya tidak menyerupai zat-zat makhluk, pendengaranNya tidak menyerupai pendengaran-pendengaran makhluk, dan penglihatan tidak menyerupai penglihatan-penglihatan makhluk, maka sesungguhnya itu adalah tanzih (pensucian).” (Al-Arba’in 
min Sifati Rabbil ‘Alamin, ms. 104)

Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah berkata :

ومُحالٌ أن يكون مَن قال عن اللهِ ما هو في كتابه منصوصٌ مُشبهًا إذا لم يُكيّف شيئا، وأقرّ أنه ليس كمثله شيء

“Dan tidak mungkin terjadi pada orang 
yang berbicara tentang Allah sesuatu yang terdapat nasnya dalam kitabNya disebut sebagai musyabbih (penyerupaan), ketika dia tidak mentakyifkannya sedikitpun dan mengatakan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya.” (Al-Istizkar, 8/150)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...