Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Isnin, 7 Jun 2021

TUJUH GOLONGAN YANG DINAUNGI ALLAH AZZA WA JALLA PADA HARI KIAMAT


Oleh Al-Ustaz Yazid bin ‘Abdul Qadir Jawas حفظه الله 




عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naunganNya: (1) Imam yang adil, (2) seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya terpaut pada masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya, (5) seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, dan (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.” 

TAKHRIJ HADIS 

Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh: Al-Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91)), Malik dalam al-Muwatta’ di Kitabusy Syi’ar bab Maa Jaa-a fil Muttabi’iin fillaah (hlm. 725-726, no. 14), Ahmad (II/439), At-Tirmizi (no. 2391), An-Nasa-i (VIII/222-223), Ibnu Khuzaimah (no. 358), At-Tahawi dalam Musykilul Aathaar (no. 5846, 5847), dan Al-Baihaqi dalam Sunannya (IV/190, VIII/162). 

SYARAH HADIS 

Penyebutan jumlah “tujuh” di dalam hadis ini bukanlah merupakan pembatas, sehingga tidak boleh diertikan bahawa golongan yang akan dinaungi Allah Ta’ala pada hari Kiamat hanya terbatas pada tujuh golongan ini sahaja. Menurut Ulama ahli usul, istilah ini disebut dengan mafhuumul ‘adad ghairu murad, iaitu mafhum dari ‘adad (bilangan) itu tidak dimaksudkan. Sehingga apabila disebutkan tujuh, bukanlah bermaksud hanya tujuh sahaja. 

Kedudukan hadis ini sangat penting agar kaum Muslimin dapat melaksanakan amalan-amalan yang terkandung di dalamnya, sehingga kita dapat memperoleh perlindungan dan naungan Allah Azza wa Jalla pada hari Kiamat. 

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ.. 

Mereka dinaungi oleh Allah dalam naunganNya.. 

Ada pendapat batil yang mengatakan bahawa mereka (tujuh golongan itu) dilindungi dari matahari, jadi antara mereka dan matahari terdapat Allah. Ini adalah pendapat yang batil, kerana Allah Azza wa Jalla di atas segala sesuatu sedangkan matahari dan golongan ini di bawah ‘Arasy Allah. Jadi yang benar adalah mereka (tujuh golongan itu) akan dilindungi oleh Allah di bawah ‘ArasyNya, kerana Allah di atas segala sesuatu dan berpisah dengan makhlukNya. 

Lafaz فِي ظِلِّهِ, iaitu idhafah (penyandaran) bayangan kepada Allah Azza wa Jalla. Para Ulama mengatakan, إِضَافَتُهُ إِلَى اللهِ إِضَافَةُ تَشْرِيْفٍ. Penyandarannya kepada Allah, iaitu penyandaran yang bertujuan untuk memuliakan iaitu menunjukkan kemuliaan, seperti masjidullaah, baitullaah, dan selainnya. Dalam riwayat lain, dijelaskan bahawa naungan yang dimaksud adalah naungan ‘Arasy Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah dari Salman al-Farisi radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهِ فِيْ ظِلِّ عَرْشِهِ 

Tujuh golongan yang dilindungi di bawah naungan ‘Arsy-Nya… Fat-hul Bâri (II/144).


Kelak di hari Kiamat, manusia akan sangat memerlukan perlindungan Allah Azza wa Jalla. Pada hari itu mereka akan dikumpulkan di tempat lapang yang sangat luas, tidak ada naungan apa pun juga. Mereka dikumpulkan dalam keadaan telanjang, tidak memakai alas kaki, tidak ada sehelai benang pun di tubuhnya, lelaki dan perempuan sama. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ تُحْشَرُوْنَ إِلَى اللهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلاً 

Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dihimpun (pada hari Kiamat) menuju Allah Azza wa Jalla dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, dan tidak dikhatan (disunat). HR. Al-Bukhâri (no. 3349) dan Muslim (no. 2860 (58) dari Abdullah bin Abbas r.huma


Kemudian matahari didekatkan di atas kepala-kepala manusia, sehingga peluh keringat bercucuran membasahi tubuh mereka. Sebahagian manusia, ada yang terendam sebatas mata kakinya, ada yang terendam sebatas lututnya, ada yang sampai pinggangnya, ada yang sampai bahunya, bahkan ada yang sampai ke mulutnya. Keadaan mereka ini sesuai dengan amalan-amalan mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُوْنَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيْلٍ 

(Pada hari Kiamat) matahari akan didekatkan (oleh Allah) kepada seluruh makhluk hingga hanya sejarak satu jengkal. HR. Muslim (no. 2864 (62)), dari Miqdad bin al-Aswad r.a


Pembahasan tentang tujuh golongan yang dilindungi Allah dalam naunganNya pada kiamat ini sangat penting kerana berkaitan dengan iman kepada hari Akhir serta pengetahuan tentang amalan-amalan yang membawa kita dalam naungan dan perlindungan Allah Azza wa Jalla. 

1. Seorang imam yang adil 

Yang dimaksudkan dengan Imam iaitu seorang yang mempunyai kekuasaan besar seperti raja, presiden atau yang mengurusi urusan kaum Muslimin. Yang dimaksudkan adil iaitu seorang imam yang tunduk dan patuh dalam mengikuti perintah Allah Azza wa Jalla dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, tanpa melanggar atau melampaui batas dan tidak menyia-nyiakannya. Keadilan seorang imam iaitu dengan menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi dan menyingkirkan segala perbuatan syirik, dan melaksanakan hukum-hukum Allah Azza wa Jalla, sebab kezaliman yang paling zalim adalah perbuatan menyekutukan Allah padahal Allahlah yang menciptakannya. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 

“…Sesungguhnya syirik (menyekutukan Allâh) adalah benar-benar kezaliman yang paling besar.” [Luqman 31:13] 

Kerana tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadah hanya kepada Allah Azza wa Jalla. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 

Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah hanya kepadaKu. [Az-Zaariyat 51:56] 

Apabila imam atau pemimpin atau raja atau presiden tidak melaksanakan syari’at Islam ertinya dia tidak berlaku adil, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kita untuk bersabar. Fenomena yang kita lihat sekarang, jika ada seorang imam, penguasa atau pemimpin yang melakukan kesalahan maka orang-orang berusaha untuk menjatuhkannya dan berebut untuk dapat menggantikannya. 

Menurut syari’at Islam, berkeinginan untuk menjadi penguasa adalah keinginan dilarang, sebagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang para sahabatnya untuk berkeinginan menjadi penguasa. Maka yang menjadi tugas kita sekarang adalah mendokong kebaikannya dan menasihati penguasa yang ada agar dia mampu menegakkan Tauhid di muka bumi ini, dan kita wajib bersabar atas kesalahannya. Kita berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik sesuai dengan syari’at. 

Jika ada pertanyaan, “Bolehkah seorang wanita menjadi penguasa atau pemimpin?” Maka jawabnya, “Tidak boleh.” 

Di dalam hadis di atas pun disebutkan bahawa imam di sini adalah lelaki. Tidak ada wanita dalam hal kepemimpinan. Islam melarang wanita menjadi pemimpin dan melarang suatu kaum menjadikan wanita sebagai pemimpin mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَا يُفْلِحُ قَوْمٌ تَمْلِكُهُمُ امْرَأَةٌ 

Tidak berjaya suatu kaum yang dipimpin oleh seorang wanita. HR. Ahmad (V/43, 47).

Imam al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah menjelaskan tentang keharaman seorang wanita menjadi pemimpin. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa ketika para sahabat radhiallahu 'anhum menyampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang-orang Parsi dipimpin oleh seorang wanita, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ اِمْرَأَةً 

Tidak akan berbahagia suatu kaum jika yang memimpin urusan mereka adalah seorang wanita. HR. Al-Bukhâri (no. 4425, 7099), Ahmad (V/43, 47, 51), at-Tirmidzi (no. 2262), dan an-Nasa-i (VIII/227), dari Abu Bakrah r.a.


Lafazh lan (لَنْ) di sini menunjukkan lit ta’-biid, iaitu untuk selama-lamanya kaum tersebut tidak akan bahagia. Hadis ini dijadikan dalil (dasar) oleh para Ulama tentang tidak diharuskan seorang wanita menjadi pemimpin. Dan ini adalah pendapat jumhur Ulama. 

Imam al-Khattabi rahimahullah berkata, “Seorang wanita tidak boleh menjadi amir atau menjadi qadhi (hakim).” 

Imam al-Baghawi rahimahullah berkata, “Para Ulama sepakat bahawa seorang wanita tidak boleh menjadi imam (penguasa atau pemimpin), juga tidak boleh menjadi qadhi (hakim).” Syarhus Sunnah (X/76-77).

2. Seorang pemuda yang tumbuh (membesar) dalam keadaan beribadah kepada Allah 

Dalam sebuah hadis dari Salman al-Faarisi radhiallahu 'anhu disebutkan: 

أَفْنَى شَبَابَهُ وَنَشَاطَهُ فِي عِبَادَةِ اللهِ 

Dia menghabiskan waktu mudanya dan rajin dalam beribadah kepada Allah. Fat-hul Bâri (II/145).


Pada umumnya, seseorang ketika masa mudanya lebih cenderung kepada kejahatan, kemaksiatan dan perbuatan-perbuatan yang melanggar syari’at. Namun ada orang di saat mudanya malah justeru mengekang hawa nafsunya dan beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Orang seperti inilah yang akan dilindungi oleh Allah Azza wa Jalla. 

3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid 

Dalam riwayat at-Tirmizi disebutkan, 

وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْـمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إِلَيْهِ … 

Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, apabila dia keluar dari masjid hingga kembali kepadanya… HR. At-Tirmidzi (no. 2391). Lihat Irwâ-ul Ghalîl (no. 887).


Hal ini menunjukkan tentang rasa cintanya kepada masjid untuk solat dan zikir kepada Allah Azza wa Jalla. Hatinya bagaikan lampu pelita yang terpasang di atapnya, di mana tidaklah dia keluar darinya melainkan dia akan kembali. Kata rajulun (seorang lelaki) disini hanya terbatas pada lelaki sahaja kerana perempuan tidak diperintahkan untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah, dalam ertikata untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Namun dianjurkan bagi para wanita Muslimah untuk melaksanakan solat di rumah mereka, 

وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma


Sedangkan bagi lelaki diwajibkan untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Wanita Muslimah solat di rumah-rumah mereka lebih baik daripada di masjid, akan tetapi apabila mereka meminta izin kepada suami untuk solat di masjid, maka suami hendaklah mengizinkannya dengan syarat tidak menimbulkan fitnah. Pakaiannya mestilah menutup seluruh tubuh dan tidak memakai minyak wangi. 

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَاتَمْنَعُوْا نِسَائَكُمُ الْـمَسَاجِدَ، وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Janganlah kamu melarang isteri-isteri kamu (untuk datang) ke masjid, sedangkan rumah-rumah mereka itu lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma

Dalam hadis yang lain, baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَا تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ 

Janganlah kamu melarang para wanita (solat) di masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak memakai minyak wangi. HR. Ahmad (II/438) dan Abu Dawud (no. 565), dari Abu Hurairah r.a. - Lihat Shahîh Sunan Abi Dawud (III/101, no. 574, cet Gharras)


4. Dan orang yang saling mencintai di jalan Allah, dia berkumpul dan berpisah keranaNya 

Imam an-Nawawi rahimahullah memasukkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Solihin pada bab “Keutamaan Cinta kerana Allah”. Mencinta seseorang hanya kerana Allah Azza wa Jalla adalah cinta yang tidak dapat dinodai oleh unsur-unsur keduniaan, ketampanan, harta, kedudukan, fasiliti, suku, bangsa dan yang lainnya. Akan tetapi dia melihat dan mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla dan kekuatannya dalam meninggalkan laranganNya. 

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan, “Disebut dengan dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, di mana dia berpisah dan berkumpul keranaNya, iaitu apabila keduanya saling mencintai kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Dan cinta agama ini tidak putus kerana dunia, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sehingga ajal memisahkan keduanya.” 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Humaidi disebutkan bahawa yang dimaksudkan iaitu dia berkumpul di atas kebaikan. Fat-hul Bâri (II/145).


Kemudian sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: 

تَفَرَّقَا عَلَيْهِ 

Keduanya berpisah keranaNya 

Iaitu keduanya berkumpul dan berpisah hanya kerana Allah Azza wa Jalla, badannya berpisah kerana musafir atau kematian tetapi rohnya tetap berkumpul di atas manhaj Allah Azza wa Jalla. Bahjatun Nâzhirîn (I/445)

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata, 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اَلْأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا اِئْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اِخْتَلَفَ

Roh-roh itu selalu berkumpul dan berhimpun, siapa yang kenal ia akan berkumpul; dan siapa yang tidak saling mengenal, maka ia berpisah. HR. Al-Bukhâri (no. 3336), Muslim (no. 2638 (159-160)), Abu Dawud (no. 4834), dan selainnya.

Hal ini juga berlaku bagi dua orang wanita Muslimah yang saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla, iaitu cinta dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Oleh sebab itu, apabila kita mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan kesungguhannya dalam menjauhi laranganNya, maka dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar kita memberitahukan kepadanya. 

Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, iaitu: 

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ 

Sesungguhnya aku cinta kepadamu kerana Allah… 

Kemudian jawabannya adalah: 

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ 

Mudah-mudahan Allah mencintaimu yang telah mencintaiku keranaNya. HR. Abu Dawud (no. 5125), al-Hâkim (IV/171), dan selainnya.


Saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla memiliki keutamaan yang sangat besar, bukan hanya mereka akan dikumpulkan dan diberikan naungan, bahkan mereka akan diberikan mimbar-mimbar dari cahaya oleh Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. 

Sebagaimana hadis dari Abu Zar radhiallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman: 

اَلْـمُتَحَابُّوْنَ فِي جَلاَلِي، لَهُمْ مَنَابِرُ مِنْ نُوْرٍ يَغْبِطُهُمُ النَّبِيُّوْنَ وَالشُّهَدَاءُ 

Orang yang saling mencintai berada dalam lindunganKu; diberikan bagi mereka mimbar-mimbar dari cahaya yang dicita-citakan oleh para Nabi dan syuhada‘ (orang-orang yang mati syahid). HR. Ahmad (V/ 239), at-Tirmidzi (no. 2390), dan selainnya. Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 3019).


5. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata, “Sungguh aku takut kepada Allah.” 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ 

Dan seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata: ‘Sungguh aku takut kepada Allah. 

Hal ini bukan hanya berlaku bagi lelaki, namun juga bagi wanita. Apabila dia diajak berzina oleh lelaki kemudian dia menolaknya sambil mengatakan, 

إِنِّي أَخَافُ اللهَ رَبَّ الْعَالَمِيْنَ 

Sungguh aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam. 

Iaitu dia takut hanya kepada Allah Azza wa Jalla, maka dia akan diberikan perlindungan olehNya. Disebutkan lelaki ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu kisah Nabi Yusuf 'alaihissallam. Baginda diajak oleh seorang isteri penguasa pada waktu itu untuk berzina, namun baginda menolaknya. Allah Azza wa Jalla melarang seseorang mendekati perbuatan zina. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا 

Dan janganlah kamu mendekati zina; sungguh (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk. [Al-Israa' 17:32] 

6. Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ 

Seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Sudah diketahui bersama bahawa infaq itu dianjurkan agar dilakukan dengan tangan kanan kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan menggunakan tangan kanan ketika mengambil sesuatu, makan, minum, mahupun bersedekah. Sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Imam Ahmad (VI/94). Juga dalam Sahih al-Bukhari di Kitab az-Zakah terdapat bab dengan judul Bab as-Sodaqati bil yamin (Bab Sedekah dengan Tangan Kanan). Allah Azza wa Jalla sangat menganjurkan para hambaNya untuk bersedekah. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: 

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ 

Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka ianya lebih baik bagi kamu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah Maha teliti akan apa yang kamu kerjakan. [Al-Baqarah 2:271] 

Menyembunyikan sedekah dalam Islam memiliki keutamaan, iaitu dapat menjauhkan diri dari sifat riak. Maka sangat dianjurkan untuk bersedekah dalam keadaan sendirian dan sembunyi-sembunyi, tidak terang-terangan. Namun pada waktu-waktu tertentu kadang diperlukan memberikan sedekah secara terang-terangan, misalny di suatu tempat didapati orang-orang yang sangat sulit untuk bersedekah, maka dianjurkan untuk memulakannya secara terang-terangan agar menjadi contoh bagi mereka. Sebagaimana asbabul wurud (sebab-sebab datangnya hadis), sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْء

Sesiapa yang memulakan sunnah dalam Islam dengan sunnah yang baik, maka diberikan pahala baginya dan pahala orang-orang yang mengamalkannya setelahnya tanpa dikurangi sedikit pun dari pahala-pahala mereka… HR. Muslim (no. 1017), an-Nasa-i (V/76), dan selainnya.


Sedekah wajib dilakukan dengan ikhlas, sebagaimana ibadah-ibadah lainnya. Orang yang riak dalam beramal, baik ketika memberikan sedekah mahupun yang lainnya, maka amalannya itu tidak bernilai di sisi Allah Azza wa Jalla. Iaitu jika dia ingin dilihat orang, ingin didengar, atau dia mengungkit-ungkit amalan yang dilakukannya, maka amalan itu tidak akan diterima oleh Allah Azza wa Jalla. 

Allâh Azza wa Jalla berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ia menjadi bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir itu. [Al-Baqarah 2:264] 

Maksud dari seseorang yang menyembunyikan sedekah yang dilakukan dengan tangan kanannya dari tangan kirinya adalah orang ini bersungguh-sungguh dalam menyembunyikan sedekahnya hingga tangan kirinya, meskipun dekat dengan tangan kanan (padahal berada dalam satu tubuh), tidak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanannya dalam sedekahnya tersebut. Fat-hul Bâri (II/147) karya al-Hâfizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Namun bagi para isteri dianjurkan meminta izin kepada suaminya jika ingin bersedekah. 

7. Seseorang yang mengingat Allah Azza wa Jalla dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir 

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dan seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sepi (bersendirian) lalu air matanya mengalir. 

Iaitu, seorang lelaki yang mengingati Allah atau berzikir kepadaNya, berzikir dengan hati dan lisannya, dan dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir. Penyebutan rajulun (seorang lelaki) bukan pembatasan kerana ini juga berlaku bagi kaum wanita. Jika seorang Muslimah mengalir air matanya tatkala berzikir kepada Allah Azza wa Jalla di kala sepi, maka dia berhak mendapat naungan Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. Penyebutan syarat dalam keadaan sepi di sini kerana di saat itu sangat jauh dari perbuatan riak. 

Tentang mengalir air matanya kerana takut kepada Allah terdapat beberapa keutamaan, di antaranya tidak disentuh oleh api Neraka. 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ. 

Ada dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga kerana menjaga peperangan di jalan Allâh. HR. At-Tirmidzi (no. 1639). Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 1229).

Berzikir (mengingati) Allah Azza wa Jalla, baik dengan membaca zikir, doa mahupun bangun untuk solat di tengah malam, mesti sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jadi, zikir-zikir, doa atau amalan lainnya, sama ada jenis, kaifiyat (tatacara), waktu mahupun bilangannya, yang tidak dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan tertolak. 

Kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ 

Sesiapa yang mengerjakan suatu amalan yang tidak dicontohkan dari kami maka ia tertolak. HR. Al-Bukhâri (no. 2697) dan Muslim (no. 1718 (18)).


Demikian juga apabila seorang suami yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat Tahajjud, kemudian dia membangunkan isterinya untuk melakukan solat Tahajjud atau sebaliknya, maka keduanya termasuk orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah Azza wa Jalla. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 إِذَا اسْتَيْقَظَ الرَّجُلُ مِنَ اللَّيْلِ وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّيَا رَكْعَتَيْنِ كُتِبَا مِنَ الذَّاكِرِيْنَ اللهَ كَثِيْرًا وَالذَّاكِرَاتِ 

Seorang suami yang bangun ditengah malam dan membangunkan isterinya lalu keduanya solat malam, maka keduanya termasuk lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. HR. Abu Dawud (no. 1451), Ibnu Mâjah (no. 1335) dan al-Hâkim (I/316). Hadits ini dishahihkan oleh Syaikh al-Albani t dalamShahîh al-Jâmi’ish Shaghîr (no. 333).


BEBERAPA FAEDAH

  1. Keutamaan seorang imam atau pemimpin yang adil, yang berhukum dengan syariat-syariat Allah Azza wa Jalla dan memperhatikan rakyatnya. 
  2. Keutamaan anak muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan tidak berbuat maksiat kepadaNya serta tidak berbuat kejahatan, begitu juga wanita. 
  3. Wajib mendidik anak-anak dalam taat kepada Allah Azza wa Jalla dan mengajarkan tauhid kepada mereka dan akhlak yang mulia. 
  4. Keutamaan orang yang selalu datang ke masjid dan hatinya selalu bergantung kepadanya untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dan menegakkan solat berjamaah. 
  5. Wajib bagi lelaki solat berjamaah di masjid, sementara bagi kaum wanita, rumah merupakan tempat solat terbaik mereka. 
  6. Hati seorang Muslim selalu rindu untuk ibadah di masjid. 
  7. Cinta yang sebenar, dilakukan di jalan Allah dan semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla . 
  8. Wajib menutup jalan yang membawa kepada perzinaan. 
  9. Keutamaan menjaga diri dan berpaling dari perbuatan zina kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  10. Berzina adalah perbuatan keji, dosa besar dan seburuk-buruk jalan. 
  11. Keutamaan sedekah yang tersembunyi jauh dari perbuatan riak.
  12. Keutamaan berasa diawasi oleh Allah Azza wa Jalla dan takut kepada Allah Azza wa Jalla disaat sendirian. 
  13. Keutamaan menangis kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  14. Keutamaan berzikir kepada Allah Azza wa Jalla ketika sendirian. 
  15. Sesungguhnya ganjaran itu bergantung dari keikhlasan dan sesuai dengan Sunnah.

RUJUKAN

Kutubussittah. 
Musnad Imam Ahmad Darul Fikr. 
Al-Mustadrak, oleh Imam al-Hâkim. 
Riyâdhush Shâlihîn. 
Shahîh al-Jâmi’ish Shaghîr, oleh Syaikh al-Albani. 
Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb, oleh Syaikh al-Albani. 
Bahjatun Nâzhirîn Syarh Riyâdish Shâlihin, oleh Syaikh Salim bin ‘Ied al-Hilali. 
Syarhus Sunnah, oleh al-Baghawi. 
Dan kitab lainnya


[Majalah As-Sunnah Edisi 06/Tahun XVIII/1436H/2014M] 

(*) Disunting semula kepada Bahasa Melayu, manakala nota kaki diubah dihujung rujukan serta dikecilkan.

Khamis, 6 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 1)

Berhukum dengan selain hukum Allah telah menjadi sebuah topik yang hangat dibincangkan dari zaman dahulu hingga kini. Umat Islam telah terbahagi dan berpecah dalam memahami tentang masalah ini. 

Ringkasnya, golongan Khawarij menyatakan pelaku dosa besar telah kafir dan murtad sehingga jenazahnya dilarang dikubur di tanah perkuburan Islam meskipun ketika hidupnya dia solat, puasa, zakat dan haji. Golongan ini menyamakan maksud fasiq dan zalim sebagai kufur (kafir). Padahal yang benar adalah, setiap maksiat dan dosa itu tidaklah sama tingkatannya. Ada dosa dan maksiat yang menyebabkan fasiq, ada yang menyebabkan zalim dan ada yang menyebabkan kafir. Permasalahan ini perlulah diperhatikan dengan teliti.

Golongan Muktazilah pula mengatakan pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir. Ia dikenali dengan istilah "Al-Manzilatu Bainal-Manzilatain." Namun Muktazilah dan Khawarij sama-sama bersetuju hukuman bagi pelaku dosa besar di akhirat akan kekal di dalam api neraka. Maka secara penilaian akhiratnya bagi kedua-dua golongan ini adalah sama sahaja.

Wujud satu lagi kumpulan yang bertentangan dengan dua golongan di atas, iaitulah golongan Murjiah. Meraka berpandangan bahawa perbuatan dosa tidak merosakkan keimanan sama sekali. Pelaku dosa dan maksiat menurut mereka tidak akan menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam api neraka jika pelakunya masih memiliki iman di dalam hati. Lebih parah lagi, mereka mengatakan iman orang-orang fasiq itu sama sahaja dengan imannya Abu Bakar r.a dan Umar ra. Pendapat golongan Murjiah ini jelas bertentangan dengan keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan iman itu, merangkumi 3 elemen iaitu meyakini di dalam hati, mengungkapkannya dengan lisan/lidah (mengucapkannya), dan diamalkan/dibuktikan dengan perbuatan/amalan (anggota badan).

KEYAKINAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa dalam masalah berhukum dengan selain hukum Allah ini adalah dengan mengumpulkan keseluruhan nas-nas yang ada di dalam setiap permasalahan agama. Keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah menyelisihi 3 golongan yang telah disebutkan di atas.

Menurut ulama: "Sesungguhnya seseorang manusia itu kemungkinan berhimpun pada dirinya kufur, iman, syirik dan tauhid, taqwa dan kejahatan serta kemunafikan dan keimanan."

Al-'Allamah Ibnu Abil 'Izz Ad-Dimasyqi rahimahullah (wafat 792 Hijrah) berkata: "Sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah boleh jatuh kufur yang mengeluarkan dari agama dan boleh juga menjadi kufur majazi atau kufur kecil. Ini adalah bergantung kepada hal keadaan hakim (atau pemerintah): maka jika sekiranya dia beriktikadkan bahawa berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah tidak wajib, dan dengan ini dia mempunyai pilihan (sama ada untuk berhukum dengannya atau tidak); atau pun dia meringan-ringankan (suruhan berhukum dengannya) padahal dia benar yakin bahawa ianya adalah hukum Allah - maka ini adalah kufur akbar (besar). 

Sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan dia berpengetahuan (berilmu) akansuruhan ini, tetapi dia tidak melaksanakannya padahal dia mengakui bahawa perbuatannya itu berhak untuk diberi balasan buruk (di akhirat kelak), maka orang ini merupakan pelaku dosa yang digelar kufur majazi atau kufur kecil. 

Seterusnya, sekiranya dia jahil berkenaan (cara perlaksanaan) hukum Allah sedangkan dia giat berusaha meluangkan masanya untuk memahami hukum (Allah) tersebut, namun dia masih melakukan kesilapan, maka orang ini merupakan seorang pembuat kesalahan yang diberikan ganjaran baik atas usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu adalah dimaafkan." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, halaman 348-349)

Al-Imam Abu Jaafar At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah), dalam kitabnya mengatakan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة بذنب، ما لم يستحله

"Dan kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa selagi dia tidak menghalalkan dosa-dosa tersebut..."

Berkata Al-Imam Ibnu Abil 'Izz rahimahullah pada menjelaskan matan kitab Aqidah Tahawiyah di atas: "Sesungguhya seseorang yang beriman dari segi zahir dan batinnya, tetapi sekiranya dia membuat satu takwilan (tafsiran) di mana dia telah tersalah dalam takwilannya itu sama ada dengan ijtihad (darinya) atau pun penyelewengan yang merupakan satu kemaksiatan (darinya) maka tidaklah dihukumkan bahawa keimanannya terus telah terbatal disebabkan hanya dengan perbuatannya ini sahaja melainkan ada dalil-dalil syarak yang mengatakan demikian. Bahkan cara ini adalah merupakan sama dengan amalan golongan Khawarij dan Muktazilah. Tidaklah pula kita mengatakan bahawa dia tidak kufur (dengan perbuatannya itu). Malah pengimbangan antara keduanya itulah pendirian yang pertengahan; iaitu sesungguhnya pendapat-pendapat yang batil, bidaah dan haram yang merupakan penafian apa yang telah dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w, atau menetapkan apa yang telah dinafikan olehnya, atau menyuruh apa yang telah dilarangnya, atau melarang apa yang telah diperintahkan, kesemuanya ini hendaklah dihukumkan dengan hak dengan menetapkan segala balasan-balasan buruk yang telah dikenakan ke atasnya sebagaimana yang telah disebut dalam nas-nas.

Hendaklah dijelaskan bahawa (perbuatan itu) adalah kufur. Kemudian dikatakan pula bahawa sesiapa yang berpendapat atau berbuat begitu, maka dia telah kafir. Ataupun dengan cara-cara yang lain seperti itu...

Ada pun pada individu-individu tertentu (mu'ayyan), sekiranya ditanya sama ada mereka ini disaksikan sebagai ahli neraka atau mereka adalah ahli kafir; maka kita tidaklah menyaksikan demikian ke atasnya melainkan dia telah melakukan sesuatu perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya. Sesungguhnya adalah menjadi satu kesalahan dengan mengatakan ke atas seseorang individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya, tidak akan merahmatinya, bahkan mengekalkannya di dalam neraka. Sesungguhnya, ini merupakan hukuman kekafiran selepas kematian.

Oleh kerana itu, Imam Abu Daud telah meriwayatkan dalam kitab hadisnya iaitu "Sunan Abi Daud" di dalam Kitab Al-Adab; Bab Penegahan Terhadap Kesalahan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada suatu masa ada dua lelaki dari Bani Israil yang saling bersahabat. Salah seorang darinya selalu melakukan dosa dan yang seorang lagi sentiasa bergiat di dalam beribadat. Senantiasa orang yang membuat ibadat itu mendapati seorang yang lagi satu itu melakukan dosa. Dia pun berkata: "Berhentilah (kamu dari berbuat dosa)." Maka pada suatu hari dia mendapati temannya melakukan dosa lagi, lalu dia pun berkata: "Berhentilah." Maka dijawab (oleh pelaku dosa itu): "Biarlah aku dengan Tuhanku. Adakah kamu ini diutuskan untuk menjadi pemerhati ke atasku?" Berkatalah seorang yang selalu beribadat itu: "Demi Allah, tidak akan diampunkan Allah terhadap kamu." Ataupun: "Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga." Maka Allah SWT mencabut nyawa keduanya dan dihadapkan bersama-sama di sisi Tuhan sekalian alam seraya berfirman kepada yang giat dalam beribadat: "Adakah kamu mengetahui ke atas diriKu? Atau adakah kamu berkuasa di atas apa yang ada di antara kedua TanganKu?" Maka Allah pun berfirman kepada si pembuat dosa itu: "Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu." Dan Allah berfirman terhadap lelaki yang satu lagi: "Bawalah dia masuk ke dalam neraka." Maka Abu Hurairah r.a berkata: "Demi diriku yang berada diTanganNya, dia (orang yang giat beribadat itu) telah mengatakan sesuatu perkataan yang memusnahkan (kehidupan) dunia dan akhiratnya." Hadis ini martabatnya hasan (baik).

Ini adalah kerana seseorang individu itu adalah mungkin merupakan seorang yang telah tersalah dalam ijtihadnya yang diampunkan dosanya, ataupun mungkin dari golongan yang tidak sampai nas-nas yang lain kepadanya selain dari apa yang ada di sisinya, ataupun kemungkinan dia mempunyai keimanan yang teguh yang menghasilka ganjaran-ganjaran (baik) yang mewajibkan dianugerahi rahmat Allah kepadanya sepertimana telah diampunkan orang yang berkata (dalam satu riwayat hadis): "Sekiranya aku mati, maka hancurkanlah aku (sehingga menjadi debu) kemudian taburlah abuku." Kemudian diampunkan Allah (terhadap perbuatannya ini) disebabkan takutnya dia (kepada Allah). Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Nasa-i dan Malik. Lelaki ini pada asalnya merasakan bahawa Allah tidak berkuasa untuk menyatukan dan menciptakan semula tubuhnya, atau dia syak (ragu) terhadap kekuasaanNya. Tetapi larangan terhadap kita dalam perkara akhirat (untuk menghukum seseorang itu telah kafir dan tidak akan masuk syurga) tidaklah pula bermakna kita dilarang untuk menghukumnya di dunia, melarang ia dari perbuatan bidaahnya dan menyuruh dia bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat maka kita wajib menghukum bunuh ke atasnya (disebabkan kemurtadannya atau perbuatan kekufurannya)." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, 340-341)

Bersambung...

Disediakan oleh: 
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal
6 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441

Isnin, 10 Julai 2017

MEMBANTAH SYUBHAT-SYUBHAT INGKARUS SUNNAH (ANTI HADIS/QURANIYYUN)

Golongan kelompok ingkarus sunnah (Anti hadis) melaungkan syubhat-syubhat yang dapat di ringkaskan menjadi beberapa bahagian:

Syubhat Pertama.

Memadai bagi kita Kitabullah saja kerana ia telah menjelaskan kepada kita semua urusan agama dengan segala perinciannya sehingga kaum muslimin tidak perlukan As-Sunnah sebagai sumber pensyariatan dan pengambilan hukum sebagaimana disampaikan oleh tokoh mereka Abdullah Chakraawaali dalam majalah Isyaatul Quran hal. 49 edisi ketiga tahun 1902 M: “Sesungguhnya Alkitab Almajid (Al-Quran) telah menjelaskan segala sesuatu yang diperlukan dalam agama ini dengan terperinci dan diterangkan dari semua aspeknya. Maka apa perlunya kita terhadap wahyu yang khafi (tidak tertulis) dan kepada As-Sunnah? hal ini ditegaskan lagi olehnya dalam buku Tarku Iftra’ Taamul hal 10 dengan pernyataannya: kitabullah telah sempurna dan terperinci tidak memerlukan penjelasan dan tidak perlu tafsiran oleh Muhammad s.a.w dan penjelasan baginda atau pelajaran amaliyah darinya. [Lihat Al-Quraniyun wa Syubhatuhum haula Assunnah hal.210]

Bantahan.

Benar, telah disepakati bersama bahawa Al-Quran telah menjelaskan asas-asas syariat dan sebahagian dari perincian juziyahnya, akan tetapi apa yang didakwakan mereka bahawa Al-Quran telah menjelaskan segala sesuatu yang ada dalam syariat islam ini baik asas-asas atau perincian juziyahnya (bahagiannya) yang diperlukan dalam agama merupakan kedustaan kerana bagaimana mereka mengetahui jika solat itu lima waktu dengan perincian jumlah rakaat dan bacaan dalam setiap gerakan solat dan berapa ukuran nisab dan zakat yang diambil dan lain-lainnya, bukankah perkara itu diketahui dari Rasulullah. Jika Al-Quran telah menjelaskan seluruh agama sehingga tidak memerlukan penjelasan dan tafsir Rasulullah sebagaimana diyakini oleh mereka maka apa faedahnya Allah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menjelaskannya kepada manusia dan mengapa kita diperintahkan untuk taat dan melaksanakan seluruh apa yang diprintahkan Rasulullah s.a.w dan menjauhi yang dilarangnya?.

Dr Mustafa As-Sibaa’i memberikan pernyataan yang benar dalam permasalahan ini dalam kitab Difaa’ Anil Hadis Nabawiy hal 102, dia berkata: Sesungguhnya Allah tidak menetapkan (secara nas) dalam kitabNya semua perincian juziyah dari juziyat (bahagian dari beberapa bahagian) syariat akan tetapi menjelaskan asas-asas, kaedah-kaedah dan dasar-dasar umum syariat, dan diantara asas-asas yang dijelaskan Al-Quran adalah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w, sebagaimana dalam firmanNya.
وَمَآءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَانَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Apa-apa yang diberikan Rasul kepada kamu maka terimalah ia.Dan apa-apa yang dilarangnya bagi kamu maka tinggalkanlah.” [Al Hasyr :7] [Dinukil dari Al-Quraniyun hal 211-212]
Mungkin perkara itu kerana mereka salah dalam memahami firman Allah:
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأُوْلِي اْلأَلْبَابِ مَاكَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” [Yusuf 12:111]
Yang mereka fahami kata (تَفْصِيْلَ كُلِّ شَيْئٍ) bermakna menjelaskan segala sesuatu secara terperinci juziyah (bahagian) syariat ini. Padahal para ahli tafsir menjelaskan bahawa maksudnya adalah menjelaskan dan menyebutkan asas-asas syariat, seperti apa yang dinyatakan Imam At-Tabari dalam Tafsir Tobari 13/91: “Dan Al-Quran adalah penjelas segala apa yang diperlukan para hamba dari penjelasan perintah, larangan, penghalalan, pengharoman, ketaatan dan kemaksiatan terhadap Allah.” [Lihat Al-Quraniyun hal 213]
Dan Asy-Syaukani berkata dalam Fathul Qadir 3/61: “Dan bukanlah yang dimaksudkan disini apa yang ditunjukkannya dari keumuman akan tetapi yang dimaksud adalah penjelasan asas-asas dan syariat.” [Lihat Al-Quraniyun hal 213].
Kemudian dari kesalahan ini mereka membangunkan pemikiran meninggalkan dan mengingkari selain Al-Quran sebagai sumber pengambilan hukum dalam Islam.
Syubhat Kedua.

As-Sunnah bukan wahyu Allah SWT akan tetapi ia adalah ucapan-ucapan yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta tanpa ada hubungan dalam keluarnya Sunnah tersebut dari Nabi s.a.w dengan wahyu bahkan tidak turun kepada baginda wahyu kecuali yang terkandung dalam Al-Quran sahaja.
Berkata Abdullah: “Sesungguhnya kami tidak diperintahkan kecuali hanya mengikuti apa yang telah diturunkan Allah SWT berupa wahyu, dan seandainya kita benarkan adanya pengesabhan sebahagian hadis dengan cara mutawatir kepada Nabi s.a.w akan tetapi walaupun demikian tidaklah menjadikan kita wajib mengikutinya karena dia bukanlah wahyu yang turun dari Allah SWT.” [Dinukil dari Al Quraniyun hal 214]
Bantahan.

Pendapat As-Sunnah bukan wahyu dari Allah adalah salah, apatah lagi kalau dikatakan itu hanyalah ucapan yang disandarkan kepada baginda s.a.w secara dusta kerana mereka sendiri mengakui adanya hadis-hadis yang diriwayatkan secara mutawatir yang meniadakan kemungkinan adanya kedustaan bahawa hadis tersebut berasal dari Rasulullah s.a.w dan jikalau demikian maka ada disana hadis-hadis yang benar-benar bersumber dari Rasulullah s.a.w.

Adapun As-Sunnah pasangannya adalah Al-Quran dan sama-sama wahyu yang diturunkan Allah kepada baginda s.a.w sebagaimana firman Allah.
وَمَايَنطِقُ عَنِ الْهَوَى. إِنْ هُوَ إِلاَّوَحْيٌ يُوحَى .عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.” [An-Najm 53:3-5]
Berkata Al-Qurtubiy dalam tafsirnya: “Dalam ayat ini ada penjelasan bahawa As-Sunnah adalah wahyu yang diturunkan dari Allah SWT [Lihat Al Quraniyun hal.216]. Apatah lagi Allah mengancam RasulNya dengan ancaman yang keras ketika menjelaskan hakikat kedudukan baginda dalam penyampaian agama Islam dalam firmanNya:
وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ اْلأَقَاوِيلِ لأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ . ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ
“Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.” [Al Haaqoh: 45-46]
Apakah mungkin setelah ancaman yang keras ini Rasulullah s.a.w berkata dan berbuat dengan dasar hawa nafsu atau keinginannya semata-mata? Padahal baginda s.a.w adalah seorang yang sangat jujur, jikalau begitu tidaklah mungkin baginda berkata dan berbuat atau menyetujui sesuatu yang bersangkutan dengan agama kecuali dari pemberitahuan dan keizinan dari Allah SWT dan tidak ada jalan untuk mendapatkan hal itu dari seorang makhluk kepada penciptanya kecuali dengan jalan wahyu yang tentunya menurut definisi syar’i.
Dengan demikian jelaslah bahawa As-Sunnah adalah wahyu dari Allah SWT, sehingga baginda bersabda.
Ketahuilah sesungguhnya diturunkan kepada ku Al-Quran dan yang semisalnya bersamanya, ketahuilah akan datang seseorang yang kenyang duduk diatas pembaringannya berkata: “Berpegang teguhlah kepada Al-Quran ini sahaja, semua yang kamu dapati padanya halal maka halalkan dan yang kamu dapati padanya satu keharaman maka haramkanlah.” [HR Ahmad 4/131 dan Abu Daud 5/11]
Kemudian jika melihat dan meninjau amalan para sahabat, didapati mereka beramal dengan amalan-amalan yang diperintahkan Rasulullah kepada mereka dan tidak ada nasnya dalam Al-Quran sedangkan Allah tidak menghukum Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya kerana hal itu, hal ini menunjukkan sunnah Rasulullah s.a.w tidak lepas dari wahyu Allah SWT dan menjadi dalil yang tegas akan kesahihan amalan mereka dalam beragama dengan sunnah Rasulullah s.a.w yang juga merupakan wahyu dari Allah.
Berkata Sayyid Rasyid Ridha dalam Tafsir Al-Manar 8/308: “Tidak diragukan lagi bahawa mengikuti Rasulullah s.a.w dalam hadis-hadis yang sahih yang menjelaskan perkara agama dari baginda termasuk dalam keumuman apa yang diturunkan kepada kita, kerana Allah SWT memerintahkan kita untuk mengikuti dan mentaatinya dan mengkhabarkan kita bahawa baginda adalah utusan penyampai risalahNya sebagimana dalam firanNya:
وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَانُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan Kami turunkan kepada engkau Al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkan.” [An-Nahl 16:44]
Dan majoriti ulama berpendapat bahawa hukum-hukum syariat yang ada di dalam As-Sunnah adalah wahyu dari Allah dan wahyu tersebut tidak terbatas hanya pada Al-Quran.” [Dinukil dari Al-Quraniyun hal 216]
Dengan demikian As-Sunnah adalah pendamping Al-Quran dan ia adalah wahyu seperti Al-Quran hampir tidak dapat difahami Al-Quran sebagaimana yang wajib dipahami darinya kecuali kembali melihat As-Sunnah. [Lihat Manzilatus Sunnah Fi Tasyri’ Al Islamiy karya Muhgammad Amaan Al Jaamiy hal. 19]
Syubhat Ketiga.

Mengikuti As-Sunnah bererti telah menyekutukan Allah dalam Hukum padahal Allah telah melarang hal itu dalam firmanNya:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” [Al-An’am: 57]
Berkata Abdullah Cakrawaali dalam kitab Al-Mubaahathah hal 42 bahawa hadis-hadis yang menganjurkan untuk mengikuti ucapan dan perbuatan serta persetujuan para Rasul padahal ada kitabullah merupakan alasan klasik yang kuno dan Allah SWT mensucikan para Rasul dan NabiNya dari hadis-hadis ini bahkan menjadikan hadis-hadis ini sebagai kekufuran dan kesyirikan terhadap Allah [Lihat Al Quraniyun hal 219] kemudian pernyataan ini ditafsirkan oleh Khajah Ahmaduddin dalam Tafsir Bayaan linas 2/395 dan 445: “Orang-orang telah memalsukan jalan-jalan periwayatan untuk menghidupkan kesyirikan dan mereka mengatakan: kami beriman kepada Allah SWT sebagai satu-satunya zat yang dipatuhi akan tetapi Allah memerintahkan kami untuk mengikuti RasulNya. Dan ini merupakan satu tambahan atas asal ketaatan yang satu sehingga dengan dalih tersebut mereka membenarkan seluruh kesyirikan ketahuilah bahawa Alah tidak memerintahkan demikian. Allah berfirman:
إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” [Al-An’am: 57] [Lihat Al Quraniyun hal 219]
Bantahan.

Alangkah beraninya dia berkata demikian, adakah para Rasul diutus untuk menghidupkan dan mengembangkan kesyirikan dan kekufuran? Bukankah melaksanakan dan mengikuti Sunnah merupakan perealisasian dari penerapan hukum-hukum Al-Quran sebagimana firman Allah SWT:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَيُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [An-Nisa 4:65]
Ini perintah berhukum dengan baginda ketika hidup dan setelah meninggalnya baginda s.a.w maka diperintahkan berhukum dengan hukum sunnahnya kerana berhukum dengan sunnahnya sama sahaja dengan berhukum kepada baginds. Hal ini telah diulang-ulang oleh Allah dalam Al-Quran diantaranya:
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَّقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلاَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ . وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللهَ وَيَتَّقِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَآئِزُونَ
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul mengadili diantara mereka ialah ucapan “Kami mendengar dan kami taat”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” [An-Nur 24:51-52]
Kemudian Allah memperingatkan orang yang tidak mengikuti RasulNya dalam firmanNya:
وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِاللهِ وَبِالرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّى فَرِيقٌ مِّنْهُم مِّن بَعْدِ ذَلِكَ وَمَآ أُوْلَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ
“Dan mereka berkata:”Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kamipun taat,” Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu.Mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.” [An-Nur 24:47]
Maka tidak ada cara untuk mengetahui hukum dan keputusan baginda kecuali melalui sunnahnya.
Syubhat ini sebenarnya terjadi akibat adanya syubhat yang sebelumnya iaitu yang kedua dan Alhamdulillah telah terbantah dan jelas kebatilannya.

Adapun menjadikan firman Allah SWT:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” [Al-An’am: 57]
Sebagai hujah untuk menolak As-Sunnah sebagai hukum Allah SWT maka ini merupakan pendalilan yang salah kerana lafaz firman Allah ini ada tiga kali disebutkan dalam Al-Quran.
Pertama: Firman Allah SWT:

قلْ إِنِّي عَلَى بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي وَكَذَّبْتُم بِهِ مَاعِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ
“Katakanlah: "Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan".” [Al-An’aam 6:57]
Dalam ayat ini ada bantahan Allah SWT atas kaum kafir yang menuntut Rasulullah s.a.w untuk mendatangkan mukjizat dan Allah SWT menyatakan bahawa hal itu merupakan hak yang khusus bagi Allah SWT yang tidak ada sekutu padanya.
Kedua: Firman Allah SWT:

مَاتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِه إِلآ أَسْمَآءً سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآأَنزَلَ اللهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ أَمَرَ أَلاَّتَعْبُدُوا إِلآًّإِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَيَعْلَمُونَ
“Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [Yusuf 12:40]
Ayat ini mengisahkan ucapan dan nasihat Nabi Yusuf kepada kedua temannya di penjara yang berisi bahawa penyembahan berhala merupakan perbuatan yang tercela dan kedustaan atas Allah SWT kerana Allah lah yang Esa dalam hukum dan ibadah.
Ketiga: Firman Allah SWT:

وَقَالَ يَابَنِيَّ لاَتَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَآأُغْنِي عَنكُم مِّنَ اللهِ مِن شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan Ya’qub berkata: ”Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakal dan hendaklah kepada-Nya sahaja orang-orang yang bertawakal berserah diri”. [Yusuf 12:67]
Ayat ini berisi ucapan Ya’qub dan nasihat beliau terhadap anak-anaknya bahawa apa yang mereka temukan dari kesulitan merupakan takdir dan ketetapan dari Allah SWT serta mengajarkan mereka adab berjumpa dengan raja.

Ketiga ayat diatas tidak sama sekali mendokong dan tidak ada hubungannya dengan pendapat mereka dalam menolak As-Sunnah sehingga sesungguhnya mengikuti sunnah Rasulullah bukanlah kesyirikan dan kekufuran akan tetapi ia adalah tauhid itu sendiri.

Syubhat Keempat:

As-Sunnah bukanlah merupakan syariat menurut Nabi s.a.w dan juga yang difahami oleh para sahabat. Maka kerana itulah mereka dilarang untuk menulisnya.

Berkata Al-Hafiz Aslam dalam Maqam Hadis hal 7: “Perkara yang tidak ada perdebatan padanya sama sekali adalah pengetahuan sahabat tentang hakikat larangan Nabi s.a.w dari penulisan sunnahnya dan mengerti bahawa umat-umat terdahulu tidaklah sesat kecuali dengan sebab penulisan riwayat-riwayat kisah para Nabi mereka.” [Lihat Al Quraniyun hal 223]
Lalu berkata lagi: “Sesuatu yang harus diperhatikan bahawa hadis-hadis itu seandainya memiliki nilai agama tentunya tidaklah nabi s.a.w dan para sahabatnya melarang dengan keras penulisannya.
Bantahan.

Syubhat ini tidak ilmiyah dan tidak berlandaskan penelitian dan pengetahuan akan tetapi tampaknya didasari oleh sikap tidak mahu menerima kesalahan dan merepek. Alangkah baiknya jika mereka mahu melihat kembali buku-buku sunnah dan sejarah sehingga tahu bagaimana kesungguhan dan semangat baginda s.a.w mengajari para sahabatnya dan memahamkan mereka perkara agama dengan lisan dan amalan dimana baginda s.a.w menjawab segala pertanyaan mereka dan memberikan nasihat-nasihat dari satu waktu ke waktu yang lain baik di dalam khutbah-khutbah jumaat, hari raya atau di dalam acara-acara yang lainnya sebagaimana juga kehidupan rumah tangga baginda juga ditulis.

Seandainya As-Sunnah menurut baginda s.a.w bukanlah syariat dan agama tentu tidaklah baginda berbuat demikian dan tidak juga menggunakan segala sarana untuk menyebarkan dan menebarkannya.

Lihatlah pernyataan Rasulullah s.a.w kepada delegasi Abdi Qais setelah baginda menyambutnya dan mengajari mereka sebahagian perkara agama:

احْفَظُوْه وَ أَخْبِرُوْهُ مَنْ وَرَاءَكُمْ
“Hafalkanlah dan beritahulah orang-orang yang dibelakang kamu.” [HR Bukhari 1/30]
Seandainya As-Sunnah bukan termasuk agama tentulah baginda tidak akan memerintahkan untuk menghafal dan menyebarkannya dan tentulah tidak akan keluar dari baginda s.a.w perintah mengikuti baginda sebagaimana sabda baginda s.a.w:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ
“Solatlah kamu sebagiamana kamu melihat aku solat [HR Bukhari 1/155]

Dan sabda baginda s.a.w:

لِتَأْخُذُوْا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّيْ لاَأَدْرِيْ لَعَلِّيْ لاَأَحُجَ بَعْدَ حَجَتِيْ هَذَا
“Hendaklah kamu mengambil (cara) manasik (haji)ku kerana aku tidak tahu adakah aku berhaji atau tidak berhaji setelah hajiku (waktu) ini.” [HR Muslim 4/79]

Dan tidak akan membebani para sahabatnya untuk menyampaikan sunnahnya sebagimana sabda baginda s.a.w ketika haji:

لِيُبَلِّغِ الشَاهِدُ الغَائِبْ
“Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.” [HR Bukhari 1/24]

Demikian juga para sahabat bagitu bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam mengambil As-Sunnah dan menghafalnya sampai-sampai mereka berjalan jauh untuk mendapatkan satu hadis, seandainya As-Sunnah bukanlah termasuk syariat dan agama tentulah mereka tidak melakukan hal itu.

Ini semua membuktikan kebatilan syubhat mereka apatah lagi Allah telah berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Al-Ahzab 33:21]
Adapun larangan menulis As-Sunnah memang ada diawal-awal islam kemudian Rasululah s.a.w mengizinkan penulisannya sebagaimana baginda mengizinkan kepada Abu Syaah. [Lihat kisahnya dalam syarah imam Nawawi terhadap sahih Muslim 18/129.]

Syubhat Kelima.

Rasulullah s.a.w membimbing para sahabat yang berjumpa dengan baginda sesuai dengan keadan mereka sehingga menciptakan keadaan hadis-hadisnya sesuai dengan zaman tersebut yang tidak sama dengan zaman sekarang sehingga sekarang tidak perlu lagi kita melihat kepadanya dan cukuplah Al-Quran sebagai petunjuk bagi kita.

Berkata Al-Khajah dalam Majalah Al-Bayan hal 32 edisi ogos 1951 M: “Ketahuilah bahawa ketaatan kepada rasulullah adalah ketaatan yang berkaitan dengan zamannya dan perlaksanaan hukum-hukumnya tidak melebihi kehidupannya dan telah tertutup permasalahan ini sejak meninggalnya baginda.” [Lihat Al-Quraniyun hal 231]

Bantahan

Sesungguhnya Al-Quran telah menjelaskan kepada kita bahawa dakwah Rasulullah s.a.w adalah dakwah yang umum dan menyeluruh kepada sekalian manusia baik arab atau bukan arab dan tidak habis dengan wafatnya baginda bahkan akan terus- menerus sehingga hari kiamat sebagaiman firman Allah SWT:

وَمَآأَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَآفَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَيَعْلَمُونَ
“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” [Saba 34:28]

Dan pernyataan bahawa dakwah Rasulullah s.a.w terbatas pada kelompok tertentu atau zaman tertentu adalah pernyataan yang tidak ada dasarnya dan menyelisihi kesepakatan kaum muslimin serta tidak dapat diterima akal yang sihat dan baik. Ini kerana risalahnya menyeluruh untuk sekalian umat manusia maka sudah tentu sunnah juga sedemikian sehingga tidak ada perbezaan pelaksanaan amalan dengan dasar Al-Quran dan dengan dasar As-Sunnah.

Demikianlah sebahagian dari syubhat-syubhat mereka yang digunakan untuk menolak sunnah Rasulullah s.a.w semoga Allah SWT selalu menjaga kita dari ketergelinciran dalam syirik dan bidah. Amiin.

[Sumber: Majalah As-Sunnah Edisi 10/Tahun V/1422H/2001M Diterbitkan Yayasan Lajnah Istiqomah Surakarta, Jl. Solo]



Disalin dari website berikut dengan beberapa suntingan dan tambahan dalam kurungan:

https://almanhaj.or.id/2924-membedah-syubhat-ingkarus-sunnah.html

Semoga bermanfaat.

Rabu, 14 Jun 2017

KHUTBAH HAJI WADA’ NABI YANG BENAR

Telah berlegar-legar hadis Khutbah Nabi s.a.w dalam Haji Wada’ baginda, namun ada lafaz yang menyebut agar berpegang dengan Al-Quran sahaja, ada lafaz yang menyebut Al-Quran dan Sunnah serta ada pula lafaz yang menyebut Al-Quran dan Ahli Baitku. Berikut adalah penjelasan secara ringkas bagi memahami perkara ini.

Pertama: Darjat Hadis-Hadis Khutbah Haji Wada’

(1) Riwayat Muslim dari jalan Hatim bin Ismail Al-Madani, dari Ja’afar bin Muhammad, dari ayahnya, dari Jabir bin Abdullah r.ahuma mengenai hadis Haji Wada’, dan padanya Nabi s.a.w berkhutbah kepada mereka di Padang Arafah dan bersabda:

وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ

“Dan aku telah tinggalkan kepada kamu dan kamu tidak akan sesat setelahnya jika berpegang teguh dengannya, (iaitu) Kitabullah (Al-Quran).” (HR. Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi, At-Tohawi dalam ‘Musykilul Athar’ melalui turuq (sanad) dari Hatim dengan penyebutan wasiat terhadap Kitabullah sahaja).
 
(2) Riwayat At-Tirmizi dan At-Tabrani dalam ‘Al-Ausat’ dari jalan Zaid bin Al-Hasan, dari Ja’afar bin Muhammad dengan lafaznya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنْ أَخَذْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا: كِتَابَ اللَّهِ، وَعِتْرَتِي أَهْلَ بَيْتِي

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang jika kamu mengambilnya kamu tidak akan sesat: Kitabullah dan ‘Itrati Ahli Baiti (peninggalan ahli baitku).”

Berkata A-Tabrani: “Tidak diriwayatkan hadis ini dari Ja’far bin Muhammad kecuali Zaid bin Al-Hasan Al-Anmati. Dan Zaid bin Al-Hasan tidak boleh berhujah dengannya. Berkata Abu Hatim: Hadisnya mungkar. Disebut oleh Ibnu Hibban dalam Ath-Thiqat.” (Tahzibut Tahzib 3/350)

(3) Riwayat Al-Hakim dalam ‘Mustadrak’ dari jalan Ismail bin Abi Aus, ayahku menceritakan kepadaku, dari Thaur bin Zaid Ad-Diliyyi, dari ‘Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada manusia dalam Haji Wada’, baginda bersabda:

إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang mana jika kamu berpegang teguh dengan keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya s.a.w.

Al-Hakim berkata: “Penyebutan berpegang teguh dengan sunnah dalam khutbah ini gharib.”
 
Ismail bin Abi Uwais, dari Ahmad: لا بأس به.
Ibnu Abi Khaithamah, dari Yahya: صدوق، ضعيف العقل، ليس بذاك.
Abu Hatim berkata: محله الصدق مغفل,
An-Nasai berkata: Dhaif.
Ad-Daruqutni berkata: Tidak terpilih dalam As-Sahih.
Ibnu ‘Adi berkata: Ahmad bin Abi Yahya berkata: Aku mendengar Ibnu Ma’in berkata: Dia serta ayahnya pencuri hadis.
Ibnu ‘Ayn juga berkata: لا يساوى فلسين.
 Az-Zahabi berkata: فيه لين. (Mizan Al-I’tidal 1/223).

Abu Uwais dan ayahnya juga layyin (lemah). 
Ahmad dan Yahya berkata: Dha’iful Hadis. 
Yahya (sekali lagi) berkata: Tidak Thiqah. 
Dia berkata lagi: Jujur, (tapi) tidak menjadi hujah. 
Ibnu Al-Madini berkata: Adalah ia di sisi sahabat-sahabat kami lemah. 
An-Nasai dan selainnya berkata: Laisa Bil Qowi. (Mizan Al-I’tidal 2/450).

Maka hadis khutbah ‘Arafah dalamnya hanya ada wasiat (berpegang) dengan Kitabullah sahaja, tiada tambahan As-Sunnah, dan tiada Ahli Bait, dan inilah yang benar.

Kedua: Wasiat (berpegang) kepada Sunnah dan Ahli Bait juga Thabit (sahih) tetapi tidak terdapat dalam khutbah di Padang Arafah.

Adapun wasiat kepada sunnah: Maka ianya riwayat Imam Malik disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan keduanya: (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya.”

Ibnu Abdil Barr r.h berkata: 

وَهَذَا مَحْفُوظٌ مَعْرُوفٌ مَشْهُورٌ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ ، شُهْرَةً يَكَادُ يُسْتَغْنَى بِهَا عَنِ الْإِسْنَادِ ، وَرُوِيَ فِي ذَلِكَ مِنْ أَخْبَارِ الْآحَادِ أَحَادِيثُ مِنْ أَحَادِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَعَمْرِو بْنِ عَوْفٍ. انتهى

“Hadis ini terpelihara lagi masyhur dari Nabi s.a.w di sisi Ahli Ilmu, sangat masyhur sehingga hampir tidak berhajat kepada sanad, dan ia telah diriwayatkan dari khabar-khabar Ahad (tidak mutawatir) beberapa hadis dari hadis-hadis Abu Hurairah dan ‘Amru bin ‘Auf.” Selesai. (At-Tamhid 24/331).

Syeikh Al-Albani juga mensahihkannya dalam ‘Sahih Al-Jami’.

Hadis ini tidak termasuk diantara hadis-hadis berkenaan Khutbah Padang Arafah dan bukan pula hadis-hadis tentang Haji Wada’. Perkara ini yang banyak orang keliru tentangnya.
 
Adapun wasiat dengan Ahli Bait adalah riwayat Imam Muslim, dari Zaid bin Arqam, dia berkata: Rasulullah s.a.w berdiri berdiri pada suatu hari memberi khutbah diperairan Khumm yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda memuji Allah, memberi nasihat dan mengingatkan, kemudian bersabda:

مَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ

“Adapun setelah itu, ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa aku adalah manusia biasa seperti kamu dimana sebentar lagi aku akan didatangi (malaikat maut) lalu diperkenankan, dan aku telah tinggalkan kepada kamu thalaqain (dua perkara yang berat). Pertama ialah Kitabullah, padanya terdapat petunjuk dan cahaya, maka ambillah ia dan peganglah dengan erat.”

Maka baginda bersungguh-sungguh menyuruh agar berpegang dengan Kitabullah. Kemudian melanjutkan:

وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

“Dan Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku.”

Hadis ini juga tidak termasuk diantara hadis-hadis khutbah Arafah. Tetapi khutbah ini disampaikan Nabi s.a.w di suatu tempat yang bernama “Ghadir Khumm” iaitu setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h berkata:

أَجْمَعَ النَّاسُ كُلُّهُمْ عَلَى أَنَّ مَا قَالَهُ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِغَدِيرِ خُمٍّ كَانَ مَرْجِعَهُ مِنْ حَجَّةِ الْوَدَاعِ

“Manusia (ulama) sepakat kesemua mereka di atas apa yang diucapkan (dari hadis) Nabi s.a.w di Ghadir Khumm  adalah berlaku setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.” (Minhaj As-Sunnah 7/44)

Beliau berkata lagi:

وَغَدِيرُ خُمٍّ كَانَ بَعْدَ رُجُوعِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ ثَامِنَ عَشَرَ ذِي الْحَجَّةِ

“Dan hadis Ghadir Khumm berlaku setelah (yakni ketika) kepulangan baginda ke Madinah pada 18 Zulhijjah.” (Minhaj Sunnah 7/314).

Wasiat agar berpegang dengan Ahli Bait di sini bukanlah bermakna wajib mengikuti mereka secara mutlak, akan tetapi yang wajib adalah meraikan mereka serta mencintai mereka, menjauhi dari memburukkan mereka serta berhati-hati dari mencela mereka, larangan dari menzalimi mereka serta menunaikan hak-hak mereka.

Ketiga: Ketiga-tiga Hadis tersebut tidak bertentangan

Tidak boleh menafikan salah satu di antara wasiat baginda s.a.w tersebut sama ada dengan kitabullah, wasiat dengan sunnah dan wasiat dengan Ahli Bait (keluarga Rasulullah s.a.w). Ini kerana semua hadis tersebut saling lazim-melazimi. Wasiat berpegang dengan Kitabullah juga sebenarnya telah mencakup di dalamnya wasiat agar berpegang kepada sunnah, sebagaimana firman Allah:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ

“Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul.” (Al-Maidah: 92)

Dan juga firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

“Apa-apa yang ditinggalkan oleh Rasul itu maka ambillah ia dan apa-apa yang kamu dilarang dari melakukannya, maka jauhilah.” (Al-Hasyr: 7)

Dan lain-lain ayat yang serupa dan semakna yang sangat banyak di dalam Al-Quran.

Demikian pula wasiat terhadap Kitabullah itu juga mencakupi (merangkumi) dengan wasiat terhadap Ahli Bait, sebagaimana firman Allah:

قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى

“Dan katakanlah: aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Asy-Syura: 23)

Dengan demikian jelaslah bagi kita bahawa tidak ada pertentangan antara hadis-hadis yang telah dikemukakan. Bahkan wasiat tersebut disampaikan pada masa yang berlainan dan berbeza-beza keadaannya sesuai dengan orang yang disampaikan wasiat tersebut pada waktu itu. Maka yang wajib bagi kita adalah berpegang dengan seluruh wasiat-wasiat tersebut, bukan dengan memilih sebahagian yang selari dengan pegangan golongan tertentu seperti golongan quraniyun (anti hadis) yang hanya berpegang dengan Al-Quran sahaja dan meninggalkan sunnah Nabi, dan bukan pula seperti golongan syi’ah yang hanya berpegang dengan Al-Quran dan Ahli Bait dengan kefahaman yang keliru. Lalu dengan itu mereka mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya.


Wallahua’lam


Khamis, 15 Jun 2017 (20 Ramadhan 1438)
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal, Kota Kinabalu


𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...