Memaparkan catatan dengan label Syi'ah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Syi'ah. Papar semua catatan

Rabu, 14 Jun 2017

KHUTBAH HAJI WADA’ NABI YANG BENAR

Telah berlegar-legar hadis Khutbah Nabi s.a.w dalam Haji Wada’ baginda, namun ada lafaz yang menyebut agar berpegang dengan Al-Quran sahaja, ada lafaz yang menyebut Al-Quran dan Sunnah serta ada pula lafaz yang menyebut Al-Quran dan Ahli Baitku. Berikut adalah penjelasan secara ringkas bagi memahami perkara ini.

Pertama: Darjat Hadis-Hadis Khutbah Haji Wada’

(1) Riwayat Muslim dari jalan Hatim bin Ismail Al-Madani, dari Ja’afar bin Muhammad, dari ayahnya, dari Jabir bin Abdullah r.ahuma mengenai hadis Haji Wada’, dan padanya Nabi s.a.w berkhutbah kepada mereka di Padang Arafah dan bersabda:

وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ

“Dan aku telah tinggalkan kepada kamu dan kamu tidak akan sesat setelahnya jika berpegang teguh dengannya, (iaitu) Kitabullah (Al-Quran).” (HR. Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi, At-Tohawi dalam ‘Musykilul Athar’ melalui turuq (sanad) dari Hatim dengan penyebutan wasiat terhadap Kitabullah sahaja).
 
(2) Riwayat At-Tirmizi dan At-Tabrani dalam ‘Al-Ausat’ dari jalan Zaid bin Al-Hasan, dari Ja’afar bin Muhammad dengan lafaznya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنْ أَخَذْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا: كِتَابَ اللَّهِ، وَعِتْرَتِي أَهْلَ بَيْتِي

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang jika kamu mengambilnya kamu tidak akan sesat: Kitabullah dan ‘Itrati Ahli Baiti (peninggalan ahli baitku).”

Berkata A-Tabrani: “Tidak diriwayatkan hadis ini dari Ja’far bin Muhammad kecuali Zaid bin Al-Hasan Al-Anmati. Dan Zaid bin Al-Hasan tidak boleh berhujah dengannya. Berkata Abu Hatim: Hadisnya mungkar. Disebut oleh Ibnu Hibban dalam Ath-Thiqat.” (Tahzibut Tahzib 3/350)

(3) Riwayat Al-Hakim dalam ‘Mustadrak’ dari jalan Ismail bin Abi Aus, ayahku menceritakan kepadaku, dari Thaur bin Zaid Ad-Diliyyi, dari ‘Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada manusia dalam Haji Wada’, baginda bersabda:

إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu yang mana jika kamu berpegang teguh dengan keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya s.a.w.

Al-Hakim berkata: “Penyebutan berpegang teguh dengan sunnah dalam khutbah ini gharib.”
 
Ismail bin Abi Uwais, dari Ahmad: لا بأس به.
Ibnu Abi Khaithamah, dari Yahya: صدوق، ضعيف العقل، ليس بذاك.
Abu Hatim berkata: محله الصدق مغفل,
An-Nasai berkata: Dhaif.
Ad-Daruqutni berkata: Tidak terpilih dalam As-Sahih.
Ibnu ‘Adi berkata: Ahmad bin Abi Yahya berkata: Aku mendengar Ibnu Ma’in berkata: Dia serta ayahnya pencuri hadis.
Ibnu ‘Ayn juga berkata: لا يساوى فلسين.
 Az-Zahabi berkata: فيه لين. (Mizan Al-I’tidal 1/223).

Abu Uwais dan ayahnya juga layyin (lemah). 
Ahmad dan Yahya berkata: Dha’iful Hadis. 
Yahya (sekali lagi) berkata: Tidak Thiqah. 
Dia berkata lagi: Jujur, (tapi) tidak menjadi hujah. 
Ibnu Al-Madini berkata: Adalah ia di sisi sahabat-sahabat kami lemah. 
An-Nasai dan selainnya berkata: Laisa Bil Qowi. (Mizan Al-I’tidal 2/450).

Maka hadis khutbah ‘Arafah dalamnya hanya ada wasiat (berpegang) dengan Kitabullah sahaja, tiada tambahan As-Sunnah, dan tiada Ahli Bait, dan inilah yang benar.

Kedua: Wasiat (berpegang) kepada Sunnah dan Ahli Bait juga Thabit (sahih) tetapi tidak terdapat dalam khutbah di Padang Arafah.

Adapun wasiat kepada sunnah: Maka ianya riwayat Imam Malik disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan keduanya: (iaitu) Kitabullah dan sunnah nabiNya.”

Ibnu Abdil Barr r.h berkata: 

وَهَذَا مَحْفُوظٌ مَعْرُوفٌ مَشْهُورٌ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ ، شُهْرَةً يَكَادُ يُسْتَغْنَى بِهَا عَنِ الْإِسْنَادِ ، وَرُوِيَ فِي ذَلِكَ مِنْ أَخْبَارِ الْآحَادِ أَحَادِيثُ مِنْ أَحَادِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَعَمْرِو بْنِ عَوْفٍ. انتهى

“Hadis ini terpelihara lagi masyhur dari Nabi s.a.w di sisi Ahli Ilmu, sangat masyhur sehingga hampir tidak berhajat kepada sanad, dan ia telah diriwayatkan dari khabar-khabar Ahad (tidak mutawatir) beberapa hadis dari hadis-hadis Abu Hurairah dan ‘Amru bin ‘Auf.” Selesai. (At-Tamhid 24/331).

Syeikh Al-Albani juga mensahihkannya dalam ‘Sahih Al-Jami’.

Hadis ini tidak termasuk diantara hadis-hadis berkenaan Khutbah Padang Arafah dan bukan pula hadis-hadis tentang Haji Wada’. Perkara ini yang banyak orang keliru tentangnya.
 
Adapun wasiat dengan Ahli Bait adalah riwayat Imam Muslim, dari Zaid bin Arqam, dia berkata: Rasulullah s.a.w berdiri berdiri pada suatu hari memberi khutbah diperairan Khumm yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda memuji Allah, memberi nasihat dan mengingatkan, kemudian bersabda:

مَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ

“Adapun setelah itu, ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa aku adalah manusia biasa seperti kamu dimana sebentar lagi aku akan didatangi (malaikat maut) lalu diperkenankan, dan aku telah tinggalkan kepada kamu thalaqain (dua perkara yang berat). Pertama ialah Kitabullah, padanya terdapat petunjuk dan cahaya, maka ambillah ia dan peganglah dengan erat.”

Maka baginda bersungguh-sungguh menyuruh agar berpegang dengan Kitabullah. Kemudian melanjutkan:

وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

“Dan Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku. Aku ingatkan kamu akan Allah terhadap Ahli Baitku.”

Hadis ini juga tidak termasuk diantara hadis-hadis khutbah Arafah. Tetapi khutbah ini disampaikan Nabi s.a.w di suatu tempat yang bernama “Ghadir Khumm” iaitu setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h berkata:

أَجْمَعَ النَّاسُ كُلُّهُمْ عَلَى أَنَّ مَا قَالَهُ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِغَدِيرِ خُمٍّ كَانَ مَرْجِعَهُ مِنْ حَجَّةِ الْوَدَاعِ

“Manusia (ulama) sepakat kesemua mereka di atas apa yang diucapkan (dari hadis) Nabi s.a.w di Ghadir Khumm  adalah berlaku setelah kepulangan baginda daripada Haji Wada’.” (Minhaj As-Sunnah 7/44)

Beliau berkata lagi:

وَغَدِيرُ خُمٍّ كَانَ بَعْدَ رُجُوعِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ ثَامِنَ عَشَرَ ذِي الْحَجَّةِ

“Dan hadis Ghadir Khumm berlaku setelah (yakni ketika) kepulangan baginda ke Madinah pada 18 Zulhijjah.” (Minhaj Sunnah 7/314).

Wasiat agar berpegang dengan Ahli Bait di sini bukanlah bermakna wajib mengikuti mereka secara mutlak, akan tetapi yang wajib adalah meraikan mereka serta mencintai mereka, menjauhi dari memburukkan mereka serta berhati-hati dari mencela mereka, larangan dari menzalimi mereka serta menunaikan hak-hak mereka.

Ketiga: Ketiga-tiga Hadis tersebut tidak bertentangan

Tidak boleh menafikan salah satu di antara wasiat baginda s.a.w tersebut sama ada dengan kitabullah, wasiat dengan sunnah dan wasiat dengan Ahli Bait (keluarga Rasulullah s.a.w). Ini kerana semua hadis tersebut saling lazim-melazimi. Wasiat berpegang dengan Kitabullah juga sebenarnya telah mencakup di dalamnya wasiat agar berpegang kepada sunnah, sebagaimana firman Allah:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ

“Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul.” (Al-Maidah: 92)

Dan juga firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

“Apa-apa yang ditinggalkan oleh Rasul itu maka ambillah ia dan apa-apa yang kamu dilarang dari melakukannya, maka jauhilah.” (Al-Hasyr: 7)

Dan lain-lain ayat yang serupa dan semakna yang sangat banyak di dalam Al-Quran.

Demikian pula wasiat terhadap Kitabullah itu juga mencakupi (merangkumi) dengan wasiat terhadap Ahli Bait, sebagaimana firman Allah:

قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى

“Dan katakanlah: aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Asy-Syura: 23)

Dengan demikian jelaslah bagi kita bahawa tidak ada pertentangan antara hadis-hadis yang telah dikemukakan. Bahkan wasiat tersebut disampaikan pada masa yang berlainan dan berbeza-beza keadaannya sesuai dengan orang yang disampaikan wasiat tersebut pada waktu itu. Maka yang wajib bagi kita adalah berpegang dengan seluruh wasiat-wasiat tersebut, bukan dengan memilih sebahagian yang selari dengan pegangan golongan tertentu seperti golongan quraniyun (anti hadis) yang hanya berpegang dengan Al-Quran sahaja dan meninggalkan sunnah Nabi, dan bukan pula seperti golongan syi’ah yang hanya berpegang dengan Al-Quran dan Ahli Bait dengan kefahaman yang keliru. Lalu dengan itu mereka mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya.


Wallahua’lam


Khamis, 15 Jun 2017 (20 Ramadhan 1438)
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal, Kota Kinabalu


Khamis, 29 Disember 2011

Keyakinan Hasan bin Ali As-Saqqaf Mirip Dengan Keyakinan Khomeini Penganut Syi'ah Rafidhah*

Hasan bin Ali As-Saqqaf berkata dalam kitabnya "At-Tandid bi Man 'Addadat Tauhid: Ibtal Muhawalah At-Taslith fit-Tauhid wal 'Aqidah Al-Islamiyah" halaman 25:

"Adapun permohonan (Ad-Du'a) keseluruhannya bukan suatu ibadah kecuali sekiranya kita bermohon kepada sesiapa yang kita yakini memiliki sifat Rububiyah."

Dalam halaman 26:

"Permohonan (Ad-Du'a) merupakan suatu ibadah sekiranya ditujukan kepada Allah atau kepada sesiapa yang si penyeru yakini bahawa yang diseru itu memiliki sifat Rububiyah."

Dalam halaman 27:

"Seruan (An-Nida'), memohon bantuan (Al-Istighotsah), memohon pertolongan (Al-Isti'anah), takut (khauf), berharap (Ar-Roja'), menggunakan perantaraan (At-Tawassul) dan tunduk (At-Tazallul) tidak dinamakan sebagai ibadah."

Dalam halaman 28:

"Secara ringkas ibadah dari sudut tatabahasa merupakan ketaatan serta penyerahan (Al-Khudu') kepada seseorang. Sebaliknya ibadah dari sudut syarak ialah tunduk (At-Tazallul) serta penyerahan (Al-Khudhu') kepada sesiapa yang diyakini memiliki sebahagian dari sifat Rububiyah. Sekiranya engkau memahami perkara ini ketahuilah engkau dengan yakin bahawa sesiapa yang mentaati serta tunduk/menyerah kepada seseorang namun tidak meyakini ia memiliki sebahagian dari sifat Rububiyah maka  dari sudut syarak dia tidak dikategorikan sebagai seorang yang menyembah kepada seseorang."

Bantahan:

Kenyataan Hasan As-Saqqaf bahawa peribadatan yang dilakukan kepada selain Allah tidak dianggap sebagai syirik selagi mana seseorang itu tidak meyakini tempat pergantungannya itu memiliki sifat Rububiyah. Sehubungan dengan itu sesiapa yang memohon kepada selain Allah, beristighotsah (memohon bantuan) kepada selain Allah, memohon pertolongan (Al-Isti'anah) kepada selain Allah, takut (Al-Khauf) serta berharap (Ar-Roja') kepada selain Allah seperti kubur, pokok serta batu-batuan maka ia tidak dikategorikan sebagai syirik. Ini sekiranya tidak diyakini selain Allah itu memiliki sifat Rububiyah sebagaimana kenyataan beliau di atas.

Kenyataan ini mirip dengan kata-kata Khomeini seorang penganut Syi'ah Rafidhah dengan katanya:


"Jelas bahawa syirik ialah memohon sesuatu selain dari Tuhan sekalian alam di atas asas sesuatu itu berfungsi laksana Tuhan. Adapun sekiranya tidak bersifat demikian maka ia bukan perbuatan syirik. Sehubungan ini tiada perbezaan antara memohon kepada yang masih hidup atau yang sudah mati mahupun memohon hajat kepada batu-batuan. Ia bukan merupakan perbuatan syirik." (Kasyful Asrar, halaman 49)


Kenyataan Hasan As-Saqqaf dan Khomeini di atas dibantah oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dengan sabda baginda:

من مات وهو يدعو من دون الله ندا دخل النار

"Sesiapa mati dalam keadaan dia menyeru (berdoa) kepada selain Allah maka dia merupakan penghuni neraka." (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari, no: 4497)

Adakah golongan ilmuan dari kalangan para sahabat Radhiallahu 'anhum, tabi'in serta golongan yang mengikuti mereka tidak menyedari serta mengetahui syarat (Al-Qaid) yang diletakkan oleh Hasan As-Saqqaf di atas? Padahal Al-Quran mengandungi kenyataan yang menyeru agar mengikhlaskan agama kepada Allah serta menyerahkan keseluruhan peribadatan kepadaNya sahaja. 

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادًۭا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ ٱللَّهِ ۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَشَدُّ حُبًّۭا لِّلَّهِ

Maksudnya: "Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah." (Al-Baqarah: 165)

Menerusi ayat ini Allah Ta'ala menyatakan keadaan golongan musyrikin apabila mengambil sekutu-sekutu di samping Allah, iaitu mereka mengabdikan diri kepada sekutu-sekutu di samping Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedangkan Tidak ada Tuhan yang berhak diibadati melainkan Allah yang tidak mempunyai sebarang sekutu disampingNya.

Daripada Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu berkata:

 سألت النبي صلى الله عليه وسلم أي الذنب أعظم عند الله؟ قال: أن تجعل لله ندا وهو خلقك

"Aku bertanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tentang dosa manakah yang paling besar? Baginda menjawab: Engkau menjadikan di samping Allah sekutu-sekutu sedangkan Dialah yang menciptakan engkau." (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari, no: 4477 dan Muslim, no: 86)

Merujuk firmanNya "...sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah" ternyata kecintaan, makrifat, penghormatan serta tauhid golongan beriman kepada Allah adalah sempurna kerana mereka tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Mereka hanya mengabdikan diri, bertawakkal serta memperlindungkan diri kepadaNya sahaja dalam setiap perkara. (Tafsir Ibn Katsir 1/291)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata:

"Kaum muslimin bersepakat antara kewajipan agama Islam: seorang hamba tidak mengabdikan diri, menyeru, memohon bantuan (Al-Istighotsah) serta bertawakal melainkan kepada Allah. Sesiapa yang mengabdikan diri, memohon serta meminta bantuan (Al-Istighotsah) kepada malaikat yang dekat (kepada Allah) atau kepada seorang Nabi yang diutuskan maka dia seorang musyrik. Tidak dibolehkan kepada seorang muslim mengatakan: "Wahai Jibril, wahai Mikail, wahai Ibrahim, wahai Musa atau wahai Rasulullah ampunkanlah dosaku, berikanlah rahmat kepadaku, kurniakanlah rezeki kepadaku, tolongilah aku atau bantulah aku dari musuhku" serta ungkapan seumpamanya. Ini disebabkan keseluruhan perkara ini merupakan hak khusus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala." (Al-Fatawa, 3/272)

Syarat (Al-Qaid) yang ditetapkan Hasan As-Saqqaf tidak memiliki sebarang asas. Ini disebabkan golongan musyrikin di zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak meyakini sembahan mereka sebagai pencipta, pemberi rezeki, yang menghidup dan mematikan serta yang mengatur segala urusan. Ibadah yang mereka (golongan musyrikin) lakukan kepada selain Allah adalah dengan harapan dapat mendekatkan diri kepadaNya.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَٰٓؤُلَآءِ شُفَعَٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ

Maksudnya: "Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah." (Yunus: 18)

Syeikh Abdul Latif bin Abdurrahman bin Hasan berkata:

"Perbuatan syirik menjadikan sekutu kepada Allah memiliki hak yang hanya Allah berhak memilikinya. Individu yang melakukan syirik memberikan hak kepada sekutu dalam perkara peribadatan zahir serta batin. Ia seperti perasaan cinta (Al-Hubb), ketundukan (Al-Khudu'), pengagungan (At-Ta'zhim), takut (Al-Khauf), berharap (Ar-Roja'), pembantu (Al-Inabah), tawakkal, pengorbanan (An-Nisk), ketaatan serta selainnya yang termasuk kategori peribadatan. Sesiapa menyekutukan Allah dengan selainNya dalam persoalan ini maka dia seorang musyrik.

Betapa ajaib kenyataan sebahagian golongan yang mengakui dan membaca kitab Allah serta mengetahui tatabahasa arab namun dalam persoalan ini mereka termasuk ke dalam makhluk yang paling sesat serta paling jauh dari kefahaman kitab Allah." (Tuhfatut Tolibu Wal Jalisu fi Kasyfi Syibh Daud bin Jurjis, halaman 59)

Firman Allah Ta'ala:

قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِنْ شِرْكٍ وَمَا لَهُ مِنْهُمْ مِنْ ظَهِيرٍ . وَلا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai Tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka". Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; Dan Dia lah jua Yang Maha tinggi keadaannya, lagi Maha besar kekuasaanNya. (Saba': 22-23)

Ayat di atas ini jelas menyatakan pembatalan terhadap perbuatan syirik. Ia membabitkan keseluruhan asas dalam perkara syirik seperti bermohon kepada selain Allah. Oleh itu bermohon kepada selain Allah sama ada kepada malaikat yang dekat (kepada Allah), Nabi yang diutuskan, wali Allah, pokok, batu-batuan atau selainnya maka dia telah memperuntukkan kepada selain Allah 4 perkara yang merupakan pengkhususan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ianya adalah seperti berikut:

1. Al-Milk (Pemilikan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi."

2. Sekutu kepada Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah)."

3. Tempat memohon bantuan serta pertolongan Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya: "Dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka."

4. Pemberi syafaat (pertolongan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala (sebagaimana di dalam ayat kursi yang bermaksud): "Tidak ada pemberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya." (Taisirul 'Azizil Hamid, halaman 290)
Disunting oleh: Abu Soleh
__________________________________________
*Bantahan kepada Hasan As-Saqqaf di atas ini saya (Abu Soleh) nukilkan dari buku "Tauhid 3T: Penjelasan dan Pembelaan" terjemahan kepada kitab "Al-Qaulus Sadid fir-Raddi 'Ala Man 'Ankara Taqsimit Tauhid"  sebuah tulisan yang berharga karya Asy-Syeikh 'Abdurrazzaq bin 'Abdul Muhsin Al-Badr Hafizahullah (semoga Allah memeliharanya) diterjemahkan secara ringkas oleh  Mohd Amin Yaacob, terbitan Jahabersa (2011). Tulisan di atas disalin semula dengan beberapa suntingan yang dibuat pada tajuk dan isinya dengan meringkaskannya. Tajuk sebenar adalah: "Persoalan 8: Keyakinan Hasan bin Ali As-Saqqaf Peribadatan Kepada Selain Allah Bukan Perkara Syirik Melainkan Diyakini Ia Memiliki Sebahagian Sifat Al-Rububiyah. Lebih lanjut sila lihat buku tersebut dalam halaman 143 hingga 154 tentang persoalan di atas.  

Khamis, 17 November 2011

Apakah Hukum Orang Awam Syiah Rafidhah?

سؤال: ما حكم عوامّ الروافض وكيف نتعامل معهم ؟

Soalan: Apakah hukum orang awam (Syi`ah) Rafidhah dan bagaimana kita hendak bermuamalah (berurusan) dengan mereka?

الجواب : أظن أن السائل يفرِّق بين العوام وبين غير العوام ,وهذه خطوة جيدة 

العوام الذين لا يطعنون في زوجات رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا يكفِّرون الصحابة ولا يعتقدون في القرآن أنّه محرّف وعندهم شيء من الرفض ,شيء من البغض للصحابة دون تكفيرهم وما شاكل ذلك فهؤلاء ضلاّل مبتدعون لا نكفِّرهم 

ومن كان يشارك ملاحدتهم في تكفير أصحاب محمد عليه الصلاة والسلام ,وفي الطعن في زوجات رسول الله صلى الله عليه وسلم وفي العقيدة الخبيثة أنّ القرآن محرَّف وزيد فيه ونَقُص فهذا كافر مثل كفّار اليهود وكفّار النصارى وكفّار غيرهم لا فرق بين عوامّهم وعلمائهم 

والتعامل معهم ؛إن كان في أمور الدنيا مثل التجارة وما شاكل ذلك فيجوز التعامل مع اليهودي والنصراني والرافضي ,أما التعاون في أمور الدين فلا ,أبداً ؛لأنّه تعاون على الإثم والعدوان 

Jawapan Syeikh Al-`Allamah Rabi` bin Hadi Al-Madkhali-hafizahullah:-

Aku yakin bahawasanya penyoal membezakan antara awam dan orang bukan awam, dan ini merupakan langkah yang baik, orang awam ialah orang-orang (Rafidhah) yang tidak mencela isteri-isteri Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam dan mereka yang tidak mengkafirkan para sahabat, dan mereka yang tidak ber`itiqad tentang Al-Quran bahawasa ianya sudah diubah sedangkan pada diri mereka ada sesuatu akidah rafidhi, sedikit perasaan kebencian ke atas sahabat tanpa mengkafirkan mereka dan apa yang semisalnya hal tersebut maka mereka ialah orang yang sesat, ahli bid`ah dan kita tidak mengkafirkan mereka.

Dan sesiapa yang menyertai kekufuran mereka dalam mengkafirkan para sahabat Nabi sallallahu`alaihiwasallam, dan dalam mencela para isteri-isteri Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam, dan pada akidah yang keji iaitu `itiqad bahawasanya Al-Quran sudah diubah dan terdapat tambahan padanya,dan kekurangan padanya maka (orang yang ber`itiqad dengan hal ini) merupakan kafir seperti kuffar Yahudi, dan kuffar Nasrani dan kuffar dari selain mereka tidak ada beza antara orang awam mereka dan ulama` mereka.

Dan bermuamalah (berurusan) dengan mereka, jika ianya melibatkan urusan dunia seperti perniagaan dan semisalnya maka hal tersebut boleh sebagaimana boleh bermuamalah dengan Yahudi, Nasrani, dan Rafidhi, adapun berurusan dalam urusan agama maka ianya tidak sama sekali, kerana ianya merupakan bentuk saling tolong-menolong di atas dosa dan permusuhan.

Terjemahan: Abul Hussein Muhammad Fashan Ahmad Ziadi

Sumber: 1aqidah.net

Sabtu, 14 Mei 2011

Pembelaan Terhadap Ahli Madinah Daripada Tipu Daya Dajjal dan Pengikutnya

Disaat huru-hara, demontsrasi, kekacauan, fitnah yang berlaku di hampir keseluruhan negara-negara Arab, namun Allah masih menjaga keamanan di Madinah An-Nabawiyyah di mana bumi yg bersemadinya jasad insan yang paling mulia Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Begitu juga melihat syirik, khurafat, bid`ah yang membelenggu hampir kesemua negara-negara umat memang menakutkan dan menyedihkan. Justeru disebalik kesedihan dan ketakutan itu maka Allah Ta`ala masih menjaga kedua tanah Haram daripada belenggu kesyirikan, dan bid`ah hinggakan syi`ar Tauhid dan panji Sunnah sentiasa tertegak di sini.

Benarlah sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam:

إِنَّ الإِيمَانَ لَيَأْرِزُ إِلَى المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا

"Sesungguhnya Iman akan kembali berhimpun ke Madinah sebagaimana kembalinya ular ke lubangnya." [HR Bukhari no:1876]

Al-Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah mengulas maksud hadith ini;

قَوْله كَمَا تأزر الْحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا أَيْ إِنَّهَا كَمَا تَنْتَشِرُ مِنْ جُحْرِهَا فِي طَلَبِ مَا تَعِيشُ بِهِ فَإِذَا رَاعَهَا شَيْءٌ رَجَعَتْ إِلَى جُحْرِهَا كَذَلِكَ الْإِيمَانُ انْتَشَرَ فِي الْمَدِينَةِ وَكُلُّ مُؤْمِنٍ لَهُ مِنْ نَفْسِهِ سَائِقٌ إِلَى الْمَدِينَةِ لِمَحَبَّتِهِ فِي النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَشْمَلُ ذَلِكَ جَمِيع
الْأَزْمِنَةِ لِأَنَّهُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلتَّعَلُّمِ مِنْهُ وَفِي زَمَنِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَتَابِعيِهِمْ لِلِاقْتِدَاءِ بِهَدْيِهِمْ وَمِنْ بَعْدِ ذَلِكَ

"Maksud sebagaimana kembalinya ular ke lubangnya iaitu sebagaimana ianya bertebaran keluar daripada lubangnya untuk mencari apa yang boleh menjamin keberlangsungan hidupnya,apabila ada sesuatu yang mebuatkan dirinya takut maka ia kembali ke lubangnya, begitulah juga Iman (ahli-ahlinya), yang bertebaran di Madinah, dan setiap mukmin bagi dirinya sendiri akan cenderung untuk datang ke Madinah disebabkan kecintaannya terhadap Nabi Sallallahu`alaihi wasallam maka kelebihan (madinah) ini merangkumi setiap zaman kerana sesungguhnya pada zaman Nabi sallallahu`alaihi wasallam kehadiran mereka ke sana adalah bertujuan untuk mempelajari ilmu daripada baginda,dan pada zaman Sahabat dan Tabi`in dan orang-orang yang mengikuti mereka bertujuan untuk mengikuti dan mencontohi petunjuk mereka dan begitu orang-orang selepas mereka.." [Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari 4/ 93]

Kata Ibn Batthal rahimahullah ketika menyifatkan Iman dan ahlinya di Madinah:

فكذلك الإيمان لما دخلته الدواخل لم يقصد المدينة إلا مؤمن صحيح الإيمان

"Begitulah iman disebabkan apa yang asing telah memasukinya (berupa syirik dan bid`ah), tidaklah bertujuan untuk datang ke Madinah melainkan seorang mukmin yang shahih imannya." [Syarah Shahih Al-Bukhari Ibn Batthal 4/548]

Perlu diingatkan bukan semua yang ada dan datang belajar di Madinah adalah mereka yang benar dan shahih imannya, dan maksud kalam Ibnu Batthal itu jelas menunjukkan mereka yang rosak akidahnya dan bercanggah dengan akidah yang shahih seperti penganut akidah Syiah, Sufiyyah, Asya`irah adalah tidak termasuk dalam maksud kalam Nabi kerana akidah mereka bercanggah dan berlawanan dengan Akidah Nabi sallallahu`alaihi wasallam, para sahabat, tabi`in dan para ulama` salafussoleh. Maka disini neraca Al-Quran dan As-Sunnah serta Manhaj Salaf sangat diperlukan untuk menentukan keshahihan akidah seseorang.

Sebab itulah Nabi sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

أَلَا إِنَّ الْمَدِينَةَ كَالْكِيرِ، تُخْرِجُ الْخَبِيثَ، لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَنْفِيَ الْمَدِينَةُ شِرَارَهَا، كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ

"Maka ketahuilah sesungguhnya Al-Madinah seperti besi (yang dibakar), keluar darinya kotoran,tidak akan berlaku kiamat hinggalah Madinah mengeluarkan orang-orang yang jahat di dalamnya, sebagaimana besi yang panas mengeluarkan kotoran besi." [HR Muslim no:1381]

Maka hadith ini menjadi dalil bahawasanya orang-orang yang jahat memang wujud di Madinah sehinggalah Allah mengeluarkan mereka dari Madinah apabila hampir berlaku kiamat nanti,realitinya kita melihat ramai sahaja golongan Syiah, Sufiyyah dan mereka yang tidak berada di atas Manhaj Rasulullah dan Para Salaf masih bertebaran di tanah haram Madinah,maka hadith ini menjadi jawapan konkrit terhadap syubhat sebahagian mereka yang terkeliru dengan masalah ini.

Sebab itu juga perlu diketahui sewaktu Dajjal akan keluar nanti maka ia akan keluar dari Isfahan (Iran di mana sarang dan negara Syiah) dan dia akan diikuti oleh 70 000 Yahudi daripada Isfahan, hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim rahimahullah daripada Anas bin Malik daripada Nabi sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

يَتْبَعُ الدَّجَّالَ مِنْ يَهُودِ أَصْبَهَانَ، سَبْعُونَ أَلْفًا عَلَيْهِمُ الطَّيَالِسَةُ

"Dajjal akan diikuti oleh 70 000 Yahudi daripada Isfahan (Iran) mereka memakai at-Tayalisah." [HR Muslim no:2944 ]

Maka sesiapa yang berakal dan mahu memikirkan sudah mengetahui betapa eratnya hubungan Yahudi dengan Syiah Rafidhah di Iran, maka hal ini menjadikan kita perlu lebih berwaspada dengan fitnah mereka yang merupakan pengikut dajjal yang teramai sila lihat link ini : http://www.youtube.com/watch?v=Rn4ZX99Fbxs

Akhir-akhir ini ikhwan Muslimin juga turut menunjukkan wajah mereka yang sebenar apabila dengan bangganya memuji serta menyokong Iran dan pemimpin tertinggi Syiah Rafidhah, Khomenei dan Ahmadinejad serta negara syiah Iran. Sila rujuk : http://www.youtube.com/watch?v=XNOCUcXQ8Q0

Sebagaimana yang didedahkan oleh para Ulama Salaf seperti Ahli Hadith Mesir Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah, Ikhwan Muslimin adalah Khawarij, menurut Ulama Salaf Syam,juga anak murid utama Ahli Hadith abad ini As-Syaikh Al-Albani, As-Syaikh Salim bin `Eid Al-Hilali hafizahullah, beliau menyebut dajjal akan keluar dari kelompok Khawarij ,Syaikh berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam sunannya dengan sanad yang shahih, daripada Abdullah bin `Umar radiallahua`anhuma daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

«يَنْشَأُ نَشْءٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، كُلَّمَا خَرَجَ قَرْنٌ قُطِعَ» قَالَ ابْنُ عُمَرَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «كُلَّمَا خَرَجَ قَرْنٌ قُطِعَ، أَكْثَرَ مِنْ عِشْرِينَ مَرَّةً، حَتَّى يَخْرُجَ فِي عِرَاضِهِمُ الدَّجَّالُ

Akan keluar satu kelompok manusia mereka membaca Al-Quran dan bacaan mereka tidak melepasi kerongkongan mereka setiap kali mereka keluar dari kalangan setiap kurun pasti akan dipotong (gagal usaha mereka), setiap kali keluar dari kalangan mereka setiap kurun pasti akan dipotong (Nabi mengulangnya lebih dari 20 kali) sehinggalah akan keluar DAJJAL dari kalangan kelompok mereka...

Sila rujuk video di sini:

Maka sebagaimana yang shahih daripada riwayat-riwayat Hadith daripada Nabi sallallahu`alaihi wasallam Dajjal akan datang ke bukit Uhud dan cuba memasuki Madinah,namun Dajjal akan dihalang oleh Para Malaikat yang menjaga Madinah,namun orang-orang munafik dan kurang imannya akan keluar daripada Madinah mengikuti Dajjal dan tenteranya akibat dahsyatnya fitnah Dajjal,maka hanya orang-orang yang beriman dan mengikuti manhaj Nabi sallallahu`alaihiwasallam sahaja yang akan kekal di Madinah. Maka inilah tafsiran hadith Madinah akan mengeluarkan orang-orang yang jahat di dalamnya sebagaimana besi mengeluarkan kotoran daripadanya.

Dahsyatnya fitnah Dajjal ini digambarkan oleh Hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam sehingga ramai manusia akan terpedaya dengan kehebatannya, tertipu dengan syubhatnya, air yang dibawanya sebenarnya api, syurga yang dibawanya hakikatnya adalah syurga. Kita minta perlindungan kepada Allah daripada fitnah Dajjal.

Ancaman Terhadap Tipu Daya Ke Atas Madinah

Ancaman Nabi sallallahu`alaihi wasallam terhadap mereka yang cuba melakukan tipu daya, permusuhan, menanamkan kebencian terhadap Madinah dan ahli-ahlinya, sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam:

لاَ يَكِيدُ أهْلَ المَدِينَةِ أحَدٌ إلاَّ انْمَاعَ كَمَا يَنْماعُ الْمِلْحُ فِي المَاءِ

"Tidaklah seseorang pun yang melakukan tipu daya terhadap Ahli Madinah melainkan (tipu dayanya) akan dileburkan sebagaimana leburnya garam di lautan." [HR Bukhari no:1887, Bab Dosa Sesiapa yang melakukan tipu daya terhadap Penduduk Madinah ]

Dalam riwayat Muslim, Nabi sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَرَادَ أَهْلَ هَذِهِ الْبَلْدَةِ بِسُوءٍ - يَعْنِي الْمَدِينَةَ - أَذَابَهُ اللهُ كَمَا يَذُوبُ الْمِلْحُ فِي الْمَاءِ

"Sesiapa yang ingin melakukan kejahatan dan keburukan terhadap penduduk negeri ini -iaitu Madinah- Allah akan meleburkannya sebagaimana leburnya garam di lautan." [HR Muslim no:1382 ]

Kejahatan, tipu daya dan keburukan membawa maksud yang umum meliputi cercaan, kebencian, permusuhan, tuduhan dan sebagainya terhadap penduduk Madinah,bila disebut Ahli Madinah ianya merangkumi Nabi sallallahu`alaihi wasallam, para sahabatnya, para Ulama`nya, para penuntut ilmunya dan mereka yang membawa dakwah Sunnah rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan Manhaj Salafussoleh pada setiap zaman. Umpamanya dakwaan Syiah, Ikhwan Muslimin dan hizbinya mencerca para Sahabat Nabi, Ulama Sunnah di Madinah, dakwaan Ahbasy dan pelampau Asya`irah yang cuba menghalang manusia daripada belajar di Madinah, tuduhan mereka bahawasanya Madinah adalah tempat Wahhabi dan lain-lain hinaan, cercaan, tuduhan dan sebagainya maka semuanya bermaksud tipu daya.

Maka seharusnya mereka yang membuat tuduhan dusta, menanamkan kebencian dan permusuhan terhadap para Ulama dan penuntut ilmu di Madinah An-Nabawiyyah ini berasa gentar dengan ancaman Nabi sallallahu`alaihiwasallam,maka kita tahu bahawasanya Madinah adalah markaz dan tempat Al-Ansar dan para sahabat Nabi, maka Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

آيَةُ الإِيمَانِ حُبُّ الأَنْصَارِ، وَآيَةُ النِّفَاقِ بُغْضُ الأَنْصَار

"Tanda Keimanan adalah mencintai Al-Ansar (para Sahabat Nabi), dan tanda kemunafikan adalah membenci Al-Ansar." [HR Bukhari no:17, Bab Tanda Keimanan adalah Mencintai Al-Ansar]


Ditulis oleh faqir ilallah,
Abu Ayyub Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi
Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah -حرسها الله-
12 Jamadil Akhir 1432 H/ 15 Mei 2011 M.

Isnin, 10 Ogos 2009

Jauhi Doa Syirik (Doa H1N1)

Baru-baru ni telah tersebarnya satu doa yang mana kononnya doa tersebut adalah doa pelindung dari penyakit H1N1 (selesama babi). Doa tersebut mengandungi kesyirikan di dalamnya bahkan ia merupakan amalan-amalan sesat para mengikut Ashaari Muhammad atau tarekat Aurad Muhammadiah, mereka boleh dikenali sekarang dengan nama Ikhwan Global, sebelum ini mereka dikenali dengan Rufaqa dan Al-Arqam.

Doanya adalah seperti berikut:



لي خمسة أطفي بها حر الوباء الحاطمة
المصطفى والمرتضى وابناهما مع فاطمة

Maksudnya: "Ada bagiku lima dengannya aku memadamkan kepanasan penyakit berjangkit, mereka itu ialah Nabi yang terpilih, Ali yang diredai, Fatimah, dan kedua anak mereka (Hasan dan Husain)".

Lihat lampiran:

(klik pada gambar di atas untuk melihat jarak dekat)

Ini merupakan amalan para jemaah Al-Arqam (kini Ikhwan Global) biasanya setelah solat subuh dan asar sebanyak 7 kali sebagaimana yang saya sendiri pernah mengamalkannya suatu ketika dahulu. (Sila rujuk amalan-amalan Al-Arqam dalam blog pegangan-rufaqa)

Doa ini adalah Syirik Akbar (Syirik Besar) dan mereka yang mengamalkannya dengan sengaja dan redha dengan apa yang tertera dalam doa ini boleh menjadi kafir dengan serta merta dan perlu mengucap dua kalimah syahadah semula.
Ini berdasarkan doa ini ditujukan kepada makhluk iaitulah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, Ali radiallahu 'anhu, Fatimah radiallahu 'anha, Hasan dan Husain radiallahu 'anhuma sedangkan Allah Taala berfirman:
وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا



Maksudnya: "Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk Allah maka janganlah kamu menyeru bersama Allah sesuatu pun". [Surah al-Jin: 18].
Ayat ini menceritakan kaum Nasrani yang mensyirikkan Allah Taala ketika mereka berdoa dengan menyeru Isa alaihissalam, Maryam, dan paderi-paderi mereka lalu Allah Taala melarang kaum muslimin meniru perbuatan syirik ini. Maksud masjid dalam ayat ini adalah seluruh permukaan bumi. [Rujuk Tafsir al-Baghawi].
Dan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang mafhumnya:
"Janganlah kamu melebihkan aku seperti mana Nasarani (Kristian) melebihkan (Isa) anak Maryam, maka sesungguhnya aku ini hamba (kepada Allah) maka sebutlah: Hamba Allah dan RasulNya". [Hadis al-Bukhari].

Dalam hadis ini Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melarang kita memuji baginda melebihi had sepatutnya dengan menjadikan baginda sebagai Tuhan sebagaimana yang dilakukan kaum Kristian terhadap Nabi mereka Isa 'alaihissalam.
Menyembuhkan penyakit hanya kekuasaan Allah Taala sebagaimana dalam firmanNya menceritakan perkataan Nabi Ibrahim alaihissalam:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: "Dan apabila aku jatuh sakit maka Dia lah yang menyembuhkan". [al-Syu'ara': 80]
Dalam hadis yang lain Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
"Apabila kamu memohon sesuatu maka mohonlah daripada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah daripada Allah". [Hadis al-Tarmizi].

Semua dalil ini dan banyak lagi menunjukkan amalan memohon pertolongan kepada makhluk dalam perkara yang hanya mampu dilakukan Allah Taala dan tidak mengikut sebab-sebab yang syar'i adalah syirik dan berdoa kepada selain Allah Taala adalah syirik akbar yang menjadikan pelakunya kafir musyrik-nauzubillah min zalik-.

Semoga kita dapat menjauhkan dari perbuatan syirik dan dari doa-doa yang tiada asal-usul dari agama kita. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada di atasnya dari perintah kami, maka ia tertolak." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam

Ahad, 22 Februari 2009

APABILA AL-IKHWAN AL-MUSLIMUN MEMBUKA NIQABNYA

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Pergerakan al-Ikhwan al-Muslimun merupakan satu nama yang terkenal dan tersohor dalam kalangan mereka yang aktif dalam politik Islam dan pertubuhan NGO Islam seperti PAS, JIM, ISMA, ABIM dan seumpamanya.

Pertubuhan yang mempunyai cawangan di serata dunia ini memang mendapat tempat yang besar dalam kalangan Hizbiyyun atau mereka yang berpartai dan berorganisasi politik beralas nama Islam kerana manhaj atau kaedah dan metode pergerakan Ikhwan al-Muslimun menjadi metode dan manhaj mereka juga.

Namun, sejauh mana manhaj al-Ikhwan al-Muslimun ini bertepatan dengan Islam yang sebenar yakni Manhaj dan Akidah al-Salaf al-Soleh kita semakin boleh dipertikaikan. Ini berikutan artikel Yusuf Nida (atau Nada), bekas Pegawai Hubungan Antarabangsa pergerakan tersebut yang menjelaskan bahawa al-Ikhwan al-Muslimun menganggap Syiah Rafidah adalah saudara se-Islam.

Dalam makalah beliau berjudul: “Kita dan Syiah”, menjelaskan bahawa Khilaf antara Sunni dan Syiah adalah sebagai perkara furu’ atau perkara cabang, bukan dalam usul akidah. Boleh diumpamakan Khilaf dalam isu fiqah antara imam-imam yang empat dalam mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Yusuf Nida dalam makalah beliau ini menggariskan manhaj Ikhwan Muslimun dalam bermuamalah (bergaul) dengan kelompok Syiah Rafidah terutama Iran. Antaranya yang dinyatakan beliau adalah harusnya bertabbud (beribadah) menggunakan mazhab Syiah.

Yusuf Nada mengakui bahawa Ikhwan menolak tindakan mengkafirkan Sahabat dan Ummul Mukminin, namun selepas itu menegaskan pula bahawa khilaf antara Sunni dan Syiah hanyalah dalam perkara furu’ atau ranting bukan dalam masalah Usul atau asas Islam. Ini satu keajaipan, Yusuf Nada seolah-olah menjadikan masalah al-Wala’ wal Bara’ sebagai masalah furu’ sehingga dalam hadis Nabi s.a.w baginda bersabda: “Ikatan Iman yang peling teguh adalah cinta dan benci kerana Allah” [Riwayat Ahmad].

Yusuf Nada juga menjadikan masalah fiqah itu sebagai masalah furu’ keseluruhannya sedangkan tidak semua masalah fiqah itu furu’ bahkan ada yang usul seperti solat, puasa, zakat, haji, dan jihad. Ini semua adalah perkara Usul agama bahkan solat, puasa, zakat, dan haji adalah daripada rukun Islam dan jihad pula Nabi s.a.w sifatkan sebagai ‘Puncak Tertinggi Islam’.

Mana mungkin kita boleh beriktikad seperti iktikad Syiah Imamiah bahawa tidak ada Jihad kecuali bersma Imam Maksum yakni Imam 12 mereka. Adakah dengan ini Ikhwan hendak membatalkan kesahihan jihad para Khalifah Bani Umayyah dan Abbasiah? Bahkan Jihad Salahuddin al-Ayyubi menentang Salibiyyin?

Kita juga tahu bahawa Syiah dalam solat mereka sentiasa melaknat Saidina Abu Bakar, Umar, Usman, Saidatina Aisyah, dan Hafsah radiallahu’anhum. Maka adakah Ikhwan ingin mengatakan perbuatan ini sebagai Khilaf Furu’? Sedangkan dalam mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak semua khilaf dalam furu’ itu tidak diiktraf bagaimana pula kita hendak mengiktiraf khilaf dalam masalah akidah?

Yusuf Nada menyatakan juga bahawa Khilaf Syiah hanya sebuah khilaf siasi (politik) iaitu berkenaan Imamah dan Khilafah. Maka jelas dalam manhaj Ikhwan ini mereka berfahaman Sekular atau memisahkan politik daripada agama. Tidak kah beliau sedar bahawa masalah Imamah ini dibincangkan Ulama Ahli Sunnah dalam Usul Iktikad mereka? Bahkan mempertikaikan kesahihan Khilafah Abu Bakar dan Umar r.a adalah melanggar ijmak para Sahabat dan menolak hadis-hadis sahih yang jelas menunjukkan Khilafah yang empat secara urutan.

Yusuf Nada dalam nada lebih jahat telah menyatakan bahawa “Antara yang telah ditetapkan dalam pemikiran Ikhwani adalah Saidina Ali bin Abu Talib lebih baik daripada pengganti beliau yang menukar Khilafah Rasyidah kepada pemerintahan Raja yang sukar (zalim)”. Ini adalah tuduhan celupar kepada Saidina Muawiyah r.a sebagai Raja yang zalim sedangkan dimaklumi bahawa pemerintahan Muawiyah adalah Kerajaan Rahmat.

Atas pendedahana sebenar Ikhwan al-Muslimun ini, kita dapat melihat betapa mereka tidak mempunyai akidah yang jelas bahkan sentiasa mengikut mutasyabihat. Golongan seperti inilah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w daripada kita mengikuti mereka. Amat jelas bahawa manhaj Ikhwani bukanlah manhaj Islam tetapi manhaj batil dan bercampur dengan akidah kufur seperti Rafidah dan Ilmaniyyah (sekular). Wallahua’lam.


Rujukan:

http://www.dd-sunnah.net/news/view/action/view/id/739/
http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=45436&SecID=391

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...