Isnin, 10 Ogos 2009

Jauhi Doa Syirik (Doa H1N1)

Baru-baru ni telah tersebarnya satu doa yang mana kononnya doa tersebut adalah doa pelindung dari penyakit H1N1 (selesama babi). Doa tersebut mengandungi kesyirikan di dalamnya bahkan ia merupakan amalan-amalan sesat para mengikut Ashaari Muhammad atau tarekat Aurad Muhammadiah, mereka boleh dikenali sekarang dengan nama Ikhwan Global, sebelum ini mereka dikenali dengan Rufaqa dan Al-Arqam.

Doanya adalah seperti berikut:



لي خمسة أطفي بها حر الوباء الحاطمة
المصطفى والمرتضى وابناهما مع فاطمة

Maksudnya: "Ada bagiku lima dengannya aku memadamkan kepanasan penyakit berjangkit, mereka itu ialah Nabi yang terpilih, Ali yang diredai, Fatimah, dan kedua anak mereka (Hasan dan Husain)".

Lihat lampiran:

(klik pada gambar di atas untuk melihat jarak dekat)

Ini merupakan amalan para jemaah Al-Arqam (kini Ikhwan Global) biasanya setelah solat subuh dan asar sebanyak 7 kali sebagaimana yang saya sendiri pernah mengamalkannya suatu ketika dahulu. (Sila rujuk amalan-amalan Al-Arqam dalam blog pegangan-rufaqa)

Doa ini adalah Syirik Akbar (Syirik Besar) dan mereka yang mengamalkannya dengan sengaja dan redha dengan apa yang tertera dalam doa ini boleh menjadi kafir dengan serta merta dan perlu mengucap dua kalimah syahadah semula.
Ini berdasarkan doa ini ditujukan kepada makhluk iaitulah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, Ali radiallahu 'anhu, Fatimah radiallahu 'anha, Hasan dan Husain radiallahu 'anhuma sedangkan Allah Taala berfirman:
وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا



Maksudnya: "Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk Allah maka janganlah kamu menyeru bersama Allah sesuatu pun". [Surah al-Jin: 18].
Ayat ini menceritakan kaum Nasrani yang mensyirikkan Allah Taala ketika mereka berdoa dengan menyeru Isa alaihissalam, Maryam, dan paderi-paderi mereka lalu Allah Taala melarang kaum muslimin meniru perbuatan syirik ini. Maksud masjid dalam ayat ini adalah seluruh permukaan bumi. [Rujuk Tafsir al-Baghawi].
Dan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang mafhumnya:
"Janganlah kamu melebihkan aku seperti mana Nasarani (Kristian) melebihkan (Isa) anak Maryam, maka sesungguhnya aku ini hamba (kepada Allah) maka sebutlah: Hamba Allah dan RasulNya". [Hadis al-Bukhari].

Dalam hadis ini Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melarang kita memuji baginda melebihi had sepatutnya dengan menjadikan baginda sebagai Tuhan sebagaimana yang dilakukan kaum Kristian terhadap Nabi mereka Isa 'alaihissalam.
Menyembuhkan penyakit hanya kekuasaan Allah Taala sebagaimana dalam firmanNya menceritakan perkataan Nabi Ibrahim alaihissalam:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: "Dan apabila aku jatuh sakit maka Dia lah yang menyembuhkan". [al-Syu'ara': 80]
Dalam hadis yang lain Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
"Apabila kamu memohon sesuatu maka mohonlah daripada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah daripada Allah". [Hadis al-Tarmizi].

Semua dalil ini dan banyak lagi menunjukkan amalan memohon pertolongan kepada makhluk dalam perkara yang hanya mampu dilakukan Allah Taala dan tidak mengikut sebab-sebab yang syar'i adalah syirik dan berdoa kepada selain Allah Taala adalah syirik akbar yang menjadikan pelakunya kafir musyrik-nauzubillah min zalik-.

Semoga kita dapat menjauhkan dari perbuatan syirik dan dari doa-doa yang tiada asal-usul dari agama kita. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada di atasnya dari perintah kami, maka ia tertolak." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...