Memaparkan catatan dengan label Larangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Larangan. Papar semua catatan

Isnin, 7 November 2011

Apakah boleh bertabarruk dengan Wali-wali Allah dan Orang-orang Soleh?

Artikel asal: http://www.dorar.net/enc/aqadia/1504

Diterjemah oleh :
Ustaz Wan Amirul Syahril bin Wan Mazlan
PISMP Pendidikan Agama Islam, IPGKTAA
Kata al-Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf:
Telah datang banyak dalil yang menerangkan perihal disyariatkan untuk bertabarruk dengan jasad dan athar (peninggalan) Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, seperti rambutnya, keringatnya, pakaiannya dan sebagainya.[1]

Adapun selain Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dikalangan para wali Allah dan orang-orang soleh, maka tidak ada dalil yang sahih dan sarih (jelas) yang menerangkan pensyariatan bertabarruk dengan jasad mahupun athar mereka. Malah tidak diriwayatkan dari seorangpun dari kalangan para sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tidak juga diriwayatkan dari kalangan tabi’in perihal mereka bertabarruk dengan jasad atau athar seorangpun dari orang-orang soleh. Mereka tidak bertabarruk dengan generasi terbaik umat ini selepas Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam, iaitu Abu Bakar as-Siddiq radhiallahu ‘anhu, atau sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga, tidak juga dari kalangan Ahli Bait dan selain mereka. Sekiranya perbuatan tersebut (bertabarruk dengan orang soleh) baik, sudah pasti mereka telahpun mendahului kita di dalam melakukannya. Kerana keinginan mereka yang sangat kuat untuk melaksanakan semua jenis kebajikan dan kebaikan. Maka, ijmak mereka dalam meninggalkan tabarruk dengan jasad dan atsar (peninggalan) selain Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam dari kalangan para solihin merupakan dalil yang jelas tentang tidak disyariatkan bertabarruk dengan perkara tersebut.

Lebih berat lagi, sesungguhnya bertabarruk dengan zat atau athar seseorang dari kalangan orang-orang soleh selain Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam merupakan maksiat kepada Allah ta’ala, dan maksiat kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, serta memberikan pengkhususan yang dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Sallahu ‘alai wasallam kepada manusia lain juga, dan menyamakan mereka dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Menyamakan para wali dan orang-orang soleh dengan manusia terbaik dan penghulu anak adam, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam akan mengurangkan hak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dan merupakan bukti kurangnya kecintaan kepada Nabi 'alahi solatu wassalam di hati ahli tabarruk (peminta keberkatan).

Diantara jenis tabarruk yang diharamkan dengan orang-orang soleh ialah:
  1. Mengusap mereka, memakai pakaian mereka, atau meminum sebahagian minuman mereka bagi mendapatkan keberkatan.
  2. Mengucup kubur mereka, mengusapnya, dan mengambil batu-batunya bagi mendapatkan keberkatan. Kebanyakan ahli ilmu telah mengkhabarkan tentang ijma’ ulama dalam melarang perbuatan sedemikian.[2] Abu Hamid al-Ghazali al-Syafie (Imam al-Ghazali –pent.) (wafat tahun 505H), dan lain-lain ulama al-Syafi’iyah dan al-Hanafiyah menyebut bahawa perbuatan tersebut merupakan adat-adat Nasrani. Sebahagian ulama al-Syafi’iyah dan al-Hanafiyah menyebut bahawa menyentuh kubur dengan tujuan bertabarruk adalah salah satu dari dosa besar.
  3. Beribadah di sisi kubur mereka bagi meminta keberkatan, dengan meyakini kelebihan beribadah kepada Allah di sisinya, dan dengannya dijadikan sebab diterima ibadah dan mustajabnya doa.

_____________________________________
[1] Adapun selepas wafatnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam adalah dilarang kerana bebeberapa sebab yang telah disebutkan diawal artikel asal.
[2] Lihat risalah Ziaratu al-Quburi wal-Istinjadu bil-Maqburi (halaman 24-32), al-Istighathah fi al-Raddi ‘ala al-Bikri (1/356), Majmu’ al-Fatawa (4/521, 26/97, 109-27/79, 294-136), al-Ikhtiyarat al-Janaiz (halaman 92), As-Sorimu al-Mankiy (halaman 109-178), az-Zawajir : al-Kabiratu (93-98, 1/149)

Jumaat, 23 April 2010

Selawat-Selawat Rekaan

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

وأما ما قاله بعض أصحابنا وابن أبي زيد المالكي من استحباب زيادة على ذلك وهي: "وارحم محمدا وآل محمد" فهذا بدعة لا أصل لها. وقد بالغ الإمام أبو بكر العربي المالكي في كتابه "شرح الترمذي" في إنكار ذلك وتخطئة ابن أبي زيد في ذلك وتجهيل فاعله، قال: لأن النبي صلى الله عليه وسلم علمنا كيفية الصلاة عليه صلى الله عليه وسلم، فالزيادة على ذلك استقصار لقوله، واستدراك عليه صلى الله عليه وسلم ، وبالله التوفيق.

Maksudnya: “Dan adapun apa yang diucapkan oleh sebahagian sahabat kami dan ibnu Abi Zaid Al-Maliki tentang sunnahnya menambah selawat lebih dari demikian (yang telah diajarkan) iaitu dengan membaca: “Dan sayangi Muhammad dan keluarga Muhammad” maka ini adalah bid’ah yang tidak ada asal baginya. Dan Imam Abu Bakar Al-‘Arabi Al-Maliki di dalam kitabnya ‘Syarah At-Tirmizi’ telah menyebutkan akan mungkarnya perbuatan tersebut dan Ibnu Abi Zaid menyalahkan hal itu dan menganggap pelakunya sebagai jahil, Dia berkata: Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada kita bagaimana mengucapkan selawat padanya, tambahan yang demikian itu menimbulkan tanggapan bahawa apa yang disabdakan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam masih kurang, semoga Allah memberinya taufiq.” (Al-Adzkar, Imam An-Nawawi, dalam maktabah syamilah, hal 116)

Selawat-Selawat Bid’ah Buatan Kaum Sufi

Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu berkata:

Kita banyak mendengar lafaz-lafaz bacaan selawat untuk Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Salam yang diada-adakan (bid’ah) yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam , para sahabat, tabi’in, juga tidak oleh para imam mujtahid. Tetapi semua itu hanyalah buatan sebahagian masyayikh (para tuan guru) di kurun belakangan ini. Lafaz-lafaz selawat itu kemudian menjadi terkenal dikalangan orang awam dan ahli ilmu, sehingga mereka membacanya lebih banyak daripada membaca selawat yang dituntut oleh Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam. Bahkan mungkin mereka malah meninggalkan lafaz selawat yang benar, lalu menyebarluaskan lafaz selawat ajaran para syaikh mereka.

Jika kita renungkan mendalam makna selawat-selawat tersebut, nescaya kita akan menemui di dalamnya pelanggaran terhadap petunjuk Rasul, orang yang kita selawati. Di antara selawat-selawat bid’ah tersebut adalah:

Selawat yang berbunyi:

اللهم صل على محمد طب القلوب ودواءها, وعافية الأبدان وشفاءها ونور الأبصار وضياءها وعلى آله وسلم

"Ya Allah, curahkanlah keberkatan dan keselamatan atas Muhammad, penawar hati dan ubatnya, pemberi kesihatan kepada badan dan penyembuhnya, cahaya mata dan sinarnya, juga atas keluarganya."

Sesungguhnya yang menyembuhkan, memberi kesihatan badan, hati dan mata hanyalah Allah semata. Dan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam tidak memiliki manfaat untuk dirinya, juga tidak untuk orang lain. Lafaz selawat di atas menyelisihi firman Allah,

قُلْ لاَ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرًّا إِلاَّ مَا شَاءَ اللهُ

Maksudnya: "Katakanlah, ‘Aku tidak berkuasa memberi kemanfa’atan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah." (AI-A’raaf: 188)

Juga menyelisihi sabda Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam:

لاَ تُطْرُوْنِيْ كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مِرْيَمَ ، إِنَّمَا أَنَا عَبْدٌ ، فَقُوْلُوا عَبْدُ اللهِ وَرَسُوْلُهُ

"Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba. Maka katakanlah Abdullah (hamba Allah) dan RasulNya." (HR. Al-Bukhari)

Makna "itra" iaitu melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam memuji, (ini hukumnya haram).

Penulis pernah membaca kitab tentang keutamaan selawat, karya seorang syaikh sufi besar dari Lubnan. Di dalamnya terdapat lafaz selawat berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ مُحَمَّدٍ حَتَّى تَجْعَلَ مِنْهُ اْلأَحَدِيَّةَ الْقَيُّوْمِيَّةَ

"Ya Allah limpahkanlah keberkatan untuk Muhammad, sehingga Engkau menjadikan daripadanya (sifat) keesaan dan (sifat) terus menerus mengurus (makhluk)."

Sifat Al-Ahadiyyah dan Al-Qayyumiyyah adalah bahagian dari sifat-sifat Allah, sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an. Kemudian oleh syaikh tersebut, keduanya dijadikan sebagai sifat Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam.

Penulis melihat dalam kitab Ad’iyatush Shabaahi wal Masaa’i, karya seorang syaikh besar dari Siria. Dia mengatakan,

اللهم صل على محمد الذي خلقت من نوره كل شيء

"Ya Allah, limpahkanlah keberkatan untuk Muhammad, yang dari cahayanya Engkau ciptakan segala sesuatu."

"Segala sesuatu", bererti termasuk di dalamnya Adam, lblis, kera, babi, lalat, nyamuk dan sebagainya. Adakah seorang yang berakal akan mengatakan bahawa semua itu diciptakan dari cahaya Muhammad?

Bahkan syaitan sendiri mengetahui dari apa ia diciptakan, juga mengetahui dari apa Adam diciptakan, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Qur’an,

قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Maksudnya: "Iblis berkata, ‘Aku lebih baik daripadanya (Adam), kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia engkau ciptakan dari tanah." (Shaad: 76)

Ayat di atas mendustakan dan membatalkan ucapan syaikh tersebut.

Termasuk lafaz selawat bid’ah adalah ucapan mereka,

الصلاة والسلام عليك يا رسول الله , ضاقت حيلتي فأدركني يا حبيب الله

"Semoga keberkahan dan keselamatan dilimpahkan untukmu wahai Rasulullah. Telah sempit tipu dayaku maka perkenankanlah (hajatku) wahai kekasih Allah."

Bahagian pertama dari selawat ini adalah benar, tetapi yang berbahaya dan merupakan syirik adalah pada bahagian kedua. Yakni dari ucapannya:

أدركني يا حبيب الله

"Selamatkanlah aku wahai kekasih Allah"

Hal ini bertentangan dengan firman Allah,

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ

Maksudnya: "Atau siapakah yang memperkenankan (do’a) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdo’a kepadaNya?" (An-Naml: 62)

Dan firman Allah,

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلا كَاشِفَ لَهُ إِلا هُوَ

Maksudnya: "Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri." (Al-An’am: 17)

Sedangkan Rasulullah sendiri, ketika baginda ditimpa suatu kedukaan atau kesusahan, baginda berdo’a,

يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث

"Wahai Dzat Yang Maha Hidup, yang terus menerus mengurus (makhlukNya), dengan rahmatMu aku Memohon pertolongan-Mu." (HR. At-Tirmidzi, hadits hasan)

Jika demikian halnya, bagaimana mungkin kita diperbolehkan mengatakan kepada baginda, "Perkenankanlah hajat kami, dan tolonglah kami?"

Lafaz ini bertentangan dengan sabda Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ

"Jika engkau meminta maka mintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan kepada Allah." (HR. At-Tirmidzi, ia berkata hadits hasan shahih)

Selawat Al-Fatih, lafaznya:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْفَاتِحِ لِمَا أَغْلَقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ, نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ الْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمَسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارُهُ عَظِيْمٌ

"Ya Allah berikanlah selawat kepada Baginda kami Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang menutupi apa-apa yang terdahulu, penolong kebenaran dengan kebenaran yang memberi petunjuk ke arah jalan yang lurus. Dan kepada keluarganya, sebenar-benar pengagungan padanya dan kedudukan yang agung.”

Orang yang mengucapkan selawat ini menyangka, bahawa barangsiapa membacanya maka baginya lebih utama daripada membaca khatam Al-Qur’an sebanyak enam ribu kali. Demikian, sepertimana dinukil oleh Syaikh Ahmad Tijani, pemimpin tarekat Tijaniyah.

Sungguh amat bodoh jika terdapat orang yang berakal mempercayai hal tersebut, apatah lagi jika dia seorang muslim. Sungguh amat tidak mungkin, bahawa membaca selawat bid’ah tersebut lebih utama daripada membaca Al-Qur’an sekali, apatah lagi hingga enam ribu kali. Suatu ucapan yang tak mungkin diucapkan oleh seorang muslim.

Adapun mensifati Rasulullah dengan "Yang membuka terhadap apa yang tertutup" secara muthlak, tanpa membatasinya dengan kehendak Allah, maka adalah suatu kesalahan. Kerana Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam tidak membuka kota Makkah kecuali dengan kehendak Allah. Baginda juga tidak mampu membuka hati bapa saudaranya sehingga beriman kepada Allah, bahkan dia mati dalam keadaan menyekutukan Allah. Bahkan dengan tegas Al-Qur’an menyeru kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam,

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi,tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, …" (Al-Qashash: 56)

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata." (Al-Fath: 1)

Pengarang kitab Dalaa ‘ilul Khairaat, pada bahagian ke tujuh dari kitabnya mengatakan,

اللهم صل على محمد ما سجعت الحمائم, ونفعت التمائم

"Ya Allah, limpahkanlah keberkahan untuk Muhammad selama burung-burung merpati berdengkur dan azimat-azimat bermanfaat."

Tamimah iaitu tulang, benang atau lainnya yang dikalungkan di leher anak-anak atau lainnya untuk menangkal atau menolak ‘ain (kena mata). Perbuatan tersebut tidak memberi manfaat kepada orang yang mengalungkannya, juga tidak terhadap orang yang dikalungi, bahkan ia adalah di antara perbuatan orang-orang musyrik.

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

قال : من علق تميمة فقد أشرك . صحيح رواه أحمد

"Barangsiapa mengalungkan azimat maka dia telah berbuat syirik". (HR. Ahmad, hadits shahih)

Lafaz bacaan selawat di atas, dengan demikian, secara jelas bertentangan dengan kandungan hadis, kerana lafaz tersebut menjadikan syirik dan tamimah sebagai bentuk ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam kitab Dalaa ‘ilul Khairaat, terdapat lafaz bacaan selawat sebagai berikut:

اللهم صل على محمد حتى لا يبقى من الصلاة شيء, وارحم محمدا حتى لا يبقى من الرحمة شيء

"Ya Allah limpahkanlah keberkatan atas Muhammad, sehingga tak tersisa lagi sedikit pun dari keberkatan, dan rahmatilah Muhammad, sehingga tak tersisa sedikit pun dari rahmat."

Lafaz bacaan selawat di atas, menjadikan keberkahan dan rahmat, yang keduanya merupakan bahagian dari sifat-sifat Allah, boleh habis dan binasa. Allah membantah ucapan mereka dengan firman-Nya,

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

Maksudnya: "Katakanlah, ‘Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (AI-Kahfi: 109)

Selawat Basyisyiyah. lbnu Basyisy berkata,

اللهم انشلني من أوحال التوحيد, وأغرقني في عين بحر الوحدة, وزج بي في الأحدية حتى لا أرى ولا أسمع ولا أحس إلا بها

"Ya Allah, keluarkanlah aku dari lumpur tauhid. Dan tenggelamkanlah aku dalam mata air lautan keesaan. Dan lemparkanlah aku dalam sifat keesaan sehingga aku tidak melihat, mendengar atau merasakan kecuali dengannya."

Ini adalah ucapan orang-orang yang menganut fahaman Wahdatul Wujud iaitu suatu fahaman yang mendakwakan bahawa Tuhan dan makhlukNya boleh menjadi satu kesatuan.

Mereka menyangka bahawa tauhid itu penuh dengan lumpur dan kotoran, sehingga mereka berdo’a agar dikeluarkan daripadanya. Selanjutnya, agar ditenggelamkan dalam lautan Wahdatul Wujud. sehingga dapat melihat Tuhannya dalam segala sesuatu. Bahkan hingga seorang pemimpin mereka berkata,

"Dan tiadalah anjing dan babi itu, melainkan keduanya adalah tuhan kita. Dan tiadalah Allah itu, melainkan pendeta di gereja."

Orang-orang Nasrani menyekutukan Allah (musyrik) ketika mereka mengatakan bahawa Isa bin Maryam adalah anak Allah. Adapun mereka, menjadikan segenap makhluk secara keseluruhan sebagai sekutu-sekutu Allah! Mahatinggi Allah dan apa yang diucapkan oleh orang-orang musyrik.

Oleh kerana itu, wahai saudaraku sesama muslim, berhati-hatilah terhadap lafaz-lafaz bacaan selawat bid’ah, kerana akan menjerumuskanmu dalam perbuatan syirik. Berpegangteguhlah dengan apa yang datang dari Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam, seorang yang tidak mengatakan sesuatu menurut kehendak hawa nafsunya. Dan janganlah engkau menyelisihi petunjuknya,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Barangsiapa melakukan suatu amalan (dalam agama) yang tidak ada perintah dari kami, maka ia tertolak." (HR. Muslim)

[Diambil dari kitab Al Firqatun Najiyah, Edisi Indonesia Jalan Golongan Yang Selamat, Penulis Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu, Judul asli Shalawat-Shalawat Bid'ah]

Disunting oleh: Abu Soleh

Khamis, 1 April 2010

Fatwa Ulama Tentang ‘April Fool’

بسم الله الرحمن الرحيم

Fatwa Tentang ‘April Fool’

Oleh : Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibnu Uthaimin رحمه الله

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Soalan : Adakah boleh berbohong dalam keadaan bergurau.

Jawapan Syaikh: Berbohong tidak dibenarkan sama ada bergurau atau serius kerana ia merupakan akhlak yang dicela yang mana tidak bersifat dengan sifat ini melainkan munafiq. Amat menyedihkan apabila kita banyak mendengar sebahagian manusia membahagikan perbohongan kepada 2 bahagian: ‘bohong putih’ dan ‘bohong hitam’. Apabila timbulnya mudhorat seperti memakan harta atau sikap melampaui batas atau yang seumpamaannya maka menurut mereka itu adalah bohong hitam. Apabila tidak ada unsur-unsur seperti itu maka ia adalah bohong putih.Ini adalah pembahagian yang batil. Bohong semuanya hitam.Namun ia bertambah hitam setiap kali ia mendatangkan mudhorat yang lebih besar.

Sempena topik ini saya ingin mengingatkan saudara saya umat Islam agar menghindarkan diri daripada apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia yang tidak cerdik dengan apa yang dipanggil ‘April Fool’ yang saya rasa tidak lama lagi. Pembohongan seperti ini yang diambil daripada orang yahudi, nasrani,majusi dan orang kuffar. Kemudian disamping ianya adalah dusta dan pendustaan adalah haram menurut syara’, ianya perbuatan yang menyerupai orang bukan Islam. Menyerupai bukan Islam adalah haram. Baginda telah bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya : “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian daripada mereka”. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiah: Sanadnya Jayyid.

Kedudukan yang paling minima adalah haram walaupun zahirnya membawa erti kekufuran orang yang menyerupai mereka (golongan kuffar).Pembohongan (April fool) ini disamping ianya mengandungi 2 larangan tersebut, ia juga menjatuhkan martabat seorang muslim di hadapan musuhnya. Ini kerana sudah sedia maklum pada tabiat kejadian manusia, orang yang ditiru perbuatannya akan berbangga ke atas orang yang meniru dan dia merasakan bahawa dirinya lebih kehadapan daripada orang yang meniru perbuatannya oleh kerana si peniru menjadi lemah sehingga sanggup menjadi orang yang meniru. Oleh itu pembohongan dalam april fool ini merupakan penghinaan terhadap orang mukmin kerana dia menjadi rendah diri dan mengikut orang-orang kuffar.

Larangan yang keempat: kebanyakan daripada pembohongan ini adalah jijik , mengandungi perbuatan memakan harta secara batil atau menakutkan muslim yang lain. Barangkali dia berbohong mengatakan kepada orang lain: akan datang tetamu hari ini. Lalu orang tadi memasak makanan yang banyak, lauk daging dan seumpamanya. Barangkali juga dia bergurau dengan perkara yang menakutkan orang lain seperti katanya: penjaga kamu dilanggar kereta dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan walaupun bukan pada situasi ini. Hendaklah seorang muslim bertaqwa kepada Allah, berbangga dengan agamanya dan memandang tinggi terhadap agamanya supaya musuh umat Islam gerun kepadanya dan menghormatinya. Saya jamin buat setiap orang yang mempunyai perasaan bangga dengan agamanya dia akan menjadi mulia di hadapan manusia. Sesiapa yang merasa rendah diri di hadapan musuhnya dia akan menjadi orang yang paling hina di hadapan manusia, di sisi Allah dan di sisi musuh-musuhnya. Janganlah kamu menyangka -wahai muslim- perbuatan kamu meniru orang-orang kuffar dan mengikut perangai mereka akan menjadikan kamu mulia pada pandangan mereka. Bahkan ia merupakan kemuncak kehinaan. Kamu mengetahui tentang ini. Kalaulah seseorang mencontohi perbuatan kamu maka kamu akan merasakan kebanggaan buat diri kamu berbanding orang tersebut. Kamu akan merasakan dia lebih rendah di hadapan kamu kerana perbuatannya meniru-niru diri kamu. Perkara ini sudah diketahui dan dimaklumi berdasarkan tabiat manusia. Setiap kali musuh kita melihat kita kuat dan merasa mulia dengan agama kita, tidak mempedulikan mereka, tidak bergaul dengan mereka melainkan berdasarkan tunjuk ajar syara’ yang merupakan syari’at untuk sekian alam selepas kebangkitan Muhammad :

قل يأيها الناس انى رسول الله اليكم جميعا

“katakanlah : wahai sekalian manusia sesungguhnya aku merupakan rasul Allah kepada kamu semua”-maksud ayat.

Telah soheh daripada Nabi baginda berkata:

والذى نفسي بيده لا يسمع بي يهودي ولا نصراني ثم لا يؤمن بما جئت به الا كان من أهل النار

“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, tidaklah seorang yahudi atau nasrani mendengar tentang diriku kemudian dia tidak beriman dengan agama yang aku bawa melainkan dia akan menjadi ahli neraka”- hadis.

Kalaulah ini keadaan ahli kitab maka bagaimana dengan orang-orang kuffar yang lain? Setiap yang mendengar tentang Muhammad dan tidak mengikutnya maka dia merupakan ahli neraka. Kalaulah keadaanya seperti ini kenapakah kita orang-orang Islam merendahkan diri kita dan mengikut orang lain? Kita semua mengetahui dialog yang terjadi antara hercules maharaja rom dengan abu sufian yang kafir (sebelum dia memeluk Islam). Ketika mana abu sufian mengelak untuk berdusta tentang Nabi Muhammad kerana bimbang akan dipersoalkan tentang pendustaannya sedangkan dia ingin berdusta untuk menjatuhkan Nabi. Kalaulah orang kafir seperti ini keadaannya maka mengapakah kamu wahai orang mukmin boleh berdusta.

والله الموفق

Sumber : laman web syaikh Ibnu Uthaimin
Penterjemah : Ustadz Abu Auzaie

Faedah tambahan daripada hadis Rasulullah :

ان الصدق يهدى الى البر وان البر يهدى الى الجنة , وان الرجل ليصدق حتى يكتب عند الله صديقا , وان الكذب يهدى الى الفجور وان الفجور يهدى الى النار, وان الرجل ليكذب حتى يكتب عند الله كذاب

“Sesungguhnya bercakap benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan pula membawa ke syurga. Sentiasalah seseorang itu bercakap benar sehinggalah dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Sesungguhnya berdusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Sentiasalah seseorang itu berdusta sehinggalah dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta”- muttafaqun ‘alaih

Rabu, 25 November 2009

Mazhab Syafi'i Melarang Duduk Berkumpul Di Tempat Orang Yang Meninggal Dunia

 قال الشافعي وأصحابنا رحمهم الله : يكره الجلوس للتعزية  قالوا : يعني بالجلوس أن يجتمع أهل الميت في بيت ليقصدهم من أراد التعزية ، بل ينبغي أن يتصرفوا في حوائجهم ولا فرق بين الرجال والنساء في كراهة الجلوس لها ، صرح به المحاملي ، ونقله عن نص الشافعي رضي الله عنه ، وهذه كراهة تنزيه إذا لم يكن معها محدث آخر فإن ضم إليها أمر آخر من البدع المحرمة كما هو الغالب منها في العادة ، كان ذلك حراما من قبائح المحرمات ، فإنه محدث وثبت في الحديث الصحيح :  إن كل محدث بدعة وكل بدعة ضلالة


Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: "Imam Syafi'i dan sahabat-sahabat kami berkata: Dibenci  (makruh) duduk-duduk untuk bertakziah. Mereka berkata: Iaitu duduk-duduk itu adalah bahawa berkumpulnya ahli keluarga si mati di dalam suatu rumah dengan maksud agar dapat bertakziah bagi yang berkehendak, tetapi yang sepatutnya mereka hendaklah pergi menunaikan keperluan mereka, tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan pada kemakruhan (dibencinya) duduk-duduk untuknya. Telah dijelaskan oleh Al-Muhamili dan dia menukilkan dari Imam Asy-Syafi'i radiallahu 'anhu, ini adalah makruh yang amat keras, apabila tidak disertai dengan perbuatan bid'ah yang lain, dan apabila dia menggabungkannya dengan suatu bid'ah yang diharamkan sebagaimana yang selalu terjadi pada adat kebiasaan (yakni orang ramai berkumpul di rumah si mati untuk membacakan Al-Quran atau berkenduri arwah - edt), adalah yang demikian itu haram hukumnya dan daripada seburuk-buruk keharaman, maka ianya adalah perbuatan yang Muhdats (bid'ah), dan telah tsabit di dalam hadis yang sahih: Sesungguhnya setiap perkara yang baru itu bid'ah, dan setiap bid'ah itu merupakan kesesatan." (Rujuk: Al-Azkar, Imam An-Nawawi, Al-Maktabah Asy-Syamilah; 1/149-150)

Ahad, 25 Oktober 2009

Lagi-Lagi Berkenaan Keharaman Nyanyian Dan Muzik

Sebahagian orang memang sukar hendak menerima ketika mendapat tahu bahawa nyanyian dan muzik itu haram. Ini kerana dia sebenarnya sangat meminati kedua-dua elemen tersebut. Sehingga  dahulu pernah terdengar slogan Inggeris yang berbunyi "Muzik is life". Maka dengan pengulangan yang diharapkan tidak membosankan, akan lebih dapat difahami tentang permasalahan ini serta dapat menukarkan kebatilan tersebut lalu ditukarkan dengan cahaya kebenaran iaitu dengan meninggalkan segala bentuk Nyanyian dan Muzik.

Ayat Al-Qur'an Yang Menjelaskan Haramnya Nyanyian dan Muzik

Firman Allah Ta’ala :

“Dan di antara manusia ada yang membeli (menukar) lahwal hadits untuk menyesatkan orang dari jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikannya ejekan, bagi mereka siksa yang menghinakan.” (Luqman: 6)

Al-Wahidi dalam tafsirnya menyatakan bahawa kebanyakan para mufassir mengertikan “lahwal hadits” dengan “nyanyian”.

Penafsiran ini disebutkan oleh Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu. Dan kata Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya, Jami’ Ahkamul Qur’an, penafsiran demikian lebih tinggi dan utama kedudukannya. Hal itu ditegaskan pula oleh Imam Ahmad Al-Qurthubi, Kasyful Qina’ halaman 62, bahawa di samping diriwayatkan oleh banyak ahli hadis, penafsiran itu disampaikan pula oleh orang-orang yang telah dijamin oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam dengan doa beliau :

“Ya Allah, jadikanlah dia (Ibnu Abbas) faham terhadap agama ini dan ajarkanlah dia takwil (penafsiran Al-Qur’an).” (HR. Bukhari 4/10 dan Muslim 2477 dan Ahmad 1/266, 314, 328, 335) .

Dengan adanya doa ini, para ulama dari kalangan sahabat memberikan gelar kepada Ibnu Abbas dengan Turjumanul Qur’an (penafsir Al Qur’an).

Ibnu Mas’ud menerangkan bahawa “lahwul hadits” itu adalah al-ghina’. “Demi Allah, yang tiada sesembahan yang haq selain Dia, diulang-ulangnya tiga kali.” Riwayat ini sahih dan telah dijelaskan oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam Tahrim ‘alath Tharb halaman 143. Demikian pula keterangan ‘Ikrimah dan Mujahid.

Al-Wahidi dalam tafsirnya (Al-Wasith 3/411) menambahkan : “Ahli Ilmu Ma’ani menyatakan, ini termasuk semua orang yang cenderung memilih permainan dan al-ghina’ (nyanyian), seruling-seruling, atau alat-alat muzik daripada Al-Qur’an, meskipun lafaznya dengan kata al-isytira’, sebab lafaz ini banyak dipakai dalam menerangkan adanya penggantian atau pemilihan.” (Lihat Tahrim ‘alath Tharb halaman 144-145).

Firman Allah Ta'ala:

“Dan pengaruhilah siapa saja yang kau sanggupi dari mereka dengan suaramu.” (Al-Isra’ : 65)

Ibnu Abbas mengatakan bahawa “suaramu” dalam ayat ini ertinya adalah segala perkara yang mengajak kepada kemaksiatan. Ibnul Qayyim menambahkan bahawa al-ghina’ adalah da’i yang paling besar pengaruhnya dalam mengajak manusia kepada kemaksiatan. (Mawaridul Aman halaman 325). Mujahid dalam kitab yang sama menyatakan “suaramu” di sini ertinya al-ghina’ (nyanyian) dan al-bathil (kebathilan). Ibnul Qayyim menyebutkan pula keterangan Al-Hasan Bashri bahawa suara dalam ayat ini ertinya duff (rebana), wallahu a’lam.

Firman Allah Ta'ala:

“Maka apakah terhadap berita ini kamu merasa hairan. Kamu tertawa-tawa dan tidak menangis? Dan kamu bernyanyi-nyanyi?” (An Najm : 59-61).

Kata ‘Ikrimah -dari Ibnu Abbas-, as-sumud ertinya al-ghina’ menurut dialek Himyar. Dia menambahkan: “Jika mendengar Al-Qur’an dibacakan, mereka bernyanyi-nyanyi, maka turunlah ayat ini.”

Ibnul Qayyim menerangkan bahawa penafsiran ini tidak bertentangan dengan pernyataan bahwa as sumud artinya lalai dan lupa. Dan tidak pula menyimpang dari pendapat yang mengatakan bahawa erti “kamu bernyanyi-nyanyi” di sini adalah kamu menyombongkan diri, bermain-main, lalai, dan berpaling. Kerana semua perbuatan tersebut terkumpul dalam al-ghina’ (nyanyian), bahkan ia merupakan pemicu munculnya sikap tersebut. (Mawaridul Aman halaman 325).

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Dua suara terlaknat di dunia dan di akhirat: “Seruling-seruling (muzik-muzik atau nyanyian) ketika mendapat kesenangan dan rintihan (ratapan) ketika mendapat musibah.” (Dikeluarkan oleh Al-Bazzar dalam Musnad-nya, juga Abu Bakar Asy Syafi’i, Dhiya’ Al-Maqdisy, lihat Tahrim ‘alath Tharb oleh Syaikh Al Albani halaman 51-52).

Beberapa Hadis Bekenaan Haramnya Muzik:

Dalil-dalil ini saya nukilkan daripada sebuah artikel yang baik yang ditulis oleh akhi Nawawi dalam blognya. (Sila rujuk: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/01/075-pendirian-para-salaf-ulama-generi.html).


Hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala mengharamkan khamr, judi, dan gendang.” (Hadis riwayat Abu Daud, Baihaqi, Ahmad, dan selainnya. Disahihkan oleh al-Albani, Tahriimu Aalath Ath-Tharb halaman. 56)

Hadis Imran bin Husain, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Akan datang dalam umat ini kehinaan, keburukan, dan fitnah.” Maka berdirilah salah seorang Muslim: “Wahai Rasulullah, bilakah itu terjadi?” Beliau menjawab: “Apabila telah muncul biduanita dan alat-alat muzik dan khamr diminum.” (Dikeluarkan oleh at-Tirmizi dan dihasankan oleh Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath-Tharb halaman 56)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut maka para Salaf benar-benar mengharamkan nyanyian dan sangat menjauhinya, di antaranya riwayat Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:

“Rebana itu haram, alat-alat muzik haram, gendang itu haram, dan seruling itu haram.” (Dikeluarkan oleh Baihaqi dan Hadis ini hasan menurut Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath Tharb halaman 92)

Riwayat Said bin al-Musayyab r.a., ia berkata:

“Sesungguhnya aku membenci nyanyian dan menyenangi kata-kata yang indah (pantun).” (Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam Mushannaf dan Hasan menurut Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath Tharb halaman 99 dan 101)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya aku tidaklah melarang mengeluarkan air mata (menangis), akan tetapi aku melarang dari dua suara yang bodoh lagi fajir. Suara ketika mendapat nikmat, iaitu gurauan, permainan, dan senandung syaitan. Dan suara ketika mendapat musibah, iaitu tamparan wajah, koyakan baju dan jeritan syaitan.” (Diriwayatkan oleh at-Timidzi dalam Sunan-nya, dan ia menyatakan bahawa hadis ini hasan. Juga diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, dan juga ath-Thahawi dalam Syarh al-Ma’aani. Hadis ini turut dihasankan oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahihul Jami’)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas umatku Khamar, judi, minuman keras dari gandum, dan gendang (Kuubah) serta drum (qinnin). Dan menambahkan untukku solat witir.” (Hadis ini sahih menurut Syaikh al-Albani, Rujuk: Sahihul Jami’, 1708)

Dari Hadis Abu Daud, beliau meriwayatkan, dalam Kitab Sunan-nya bahawa dari Nafi r.a. ia berkata: “Ibnu Umar r.a. mendengar suara muzik, maka iapun meletakkan jarinya pada kedua telinganya dan menjauh dari jalan. Ia berkata kepadaku, “Hai Nafi, apakah engkau masih mendengar sesuatu?” Aku menjawab, “Tidak!” Maka beliaupun melepaskan jarinya dari telinganya dan berkata: “Aku pernah bersama Nabi s.a.w. lalu beliau mendengar seperti ini dan beliaupun melakukan seperti itu.” (Rujuk Sahih Abu Daud, 4116)

Imam al-Qurthubi menjelaskan berkenaan hadis tersebut di dalam tafsirnya dengan menyatakan: “Ulama kami mengatakan, “Jika demikian yang mereka lakukan terhadap suara yang tidak keluar seperti biasanya, bagaimana dengan suara nyanyian orang-orang zaman sekarang dan suara alat muzik mereka?”

Imran ibn Husain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda mafhumnya: “Akan berlaku kemusnahan, penukaran rupa (penjelmaan) dan lontaran dalam umat ini. Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Bilakah yang demikian itu akan berlaku wahai Rasulullah s.a.w.? Beliau bersabda mafhumnya: “Apabila lahir biduanita-biduanita, alat-alat muzik dan diminum khamr (arak)” (Hadis ini Sahih, diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya. Lafaz hadis ini menurut riwayat at-Tirmidzi. Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, 1801-2323. Sahihul Jami’ As-Sagheer, 4273 dan Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, oleh Syaikh Muhammad Nasihruddin al-Albani)

Anas ibn Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Pasti akan berlaku kemusnahan, lontaran dan pengubahan rupa dalam umat ini, iaitu apabila mereka meminum khamr, mengambil biduanita-biduanita dan membunyikan alat-alat muzik. (Hadis ini sahih, Diriwayatkan oleh Ibn Abid Dunya dalam “Dzam al-Muhalli” Juz. 1/1530. Hadis ini juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya daripada Imran ibn Husain. Imam Ahmad dan Ibn Abid Dunya meriwayatkan juga daripada Abi Umamah dan ia diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya. Sila lihat Sahihul Jami’ as-Sagheer 5467 dan Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, 2023 as-Syaikh al-Albani)

Imran ibn Husain dan Abu Saaid r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Akan berlaku kemusnahan, lontaran dan perubahan rupa di akhir zaman iaitu lahir alat-alat muzik, biduanita-biduanita dan apabila khamr dihalalkan” (Hadis ini sahih, Riwayat at-Tirmidzi dan at-Thabarani)

Abu Maalik al-Asyaari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Orang-orang dari umat ku pasti akan meminum khamr yang mereka namakannya dengan bukan nama khamr, di-mainkan alat-alat muzik ke atas kepala mereka dan biduanita-biduanita. Allah akan musnahkan bumi bersama-sama mereka dan menjadikan sebahagian mereka sebagai kera dan babi. (Hadith ini sahih - Riwayat Ibn Maajah, al-Baihaqi dan Ibn Asaakir, Ibn Hibban dan at-Thabarani. Sila lihat Sahihul Jami’ as-Sagheer, 5454, Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, 90, 91 dan Sahih Ibn Maajah 3247–4020)

Abu Maalik al-Asyaari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Akan ada beberapa kaum dari umatku yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamr dan alat muzik dan beberapa kamu akan turun/berhenti di sudut sebuah bukit yang tinggi. Para penternak datang kepada mereka di waktu petang dengan membawa haiwan-haiwan ternakan mereka kerana sesuatu keperluan, lalu mereka berkata: Datanglah semua menemui kami esok. Lantas Allah s.w.t. memusnahkan mereka pada waktu malam dan menjatuhkan bukit yang tinggi itu ke atas mereka dan sebahagian yang lain lagi Allah mengubah rupa mereka menjadi seperti kera dan babi sampailah ke hari kiamat. (Hadis ini sahih – Riwayat al-Bukhari dalam kitab sahihnya (4/30). Sila lihat Silsilah al-Ahadis as-Sahihah 1/91/139-147 dan Sahih al-Jami as-Sagheer, 5466) (Selesai nukilan. Sila rujuk blog: http://fiqh-sunnah.blogspot.com).

Kini saya ingin menukilkan pula beberapa fatwa ulama berkenaan Nasyid (Munsyid). Sebahagian orang cuba untuk membezakan dengan mengatakan: "Nasyid itu tidak sama dengan Nyanyian". Padahal kedua-duanya sama sahaja. Tidak ada beza sedikit pun dari segi hukumnya. Bahkan boleh jadi ia lebih berbahaya kerana Nasyid bertopengkan jenama Islam, serta kadang kala mengandungi kesyirikan di dalamnya (seperti nasyid yang diambil daripada Barzanji) serta mereka menjadikannya sebagai dakwah. Sedangkan para salafus-soleh dan ulama tidak pernah menjadikan nyanyian itu sebagai bahan dakwah mereka. Kalau sekiranya perbuatan tersebut baik, maka sudah pastilah mereka (yakni para salafus-soleh) lebih dahulu melakukannya.

Beberapa Perkataan Para Ulama Berkenaan Masalah Nasyid:

1 – Syeikh Sholeh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah berkata:

“Perkara yang semestinya mendapat perhatian adalah apa yang telah banyak tersebar di tengah-tengah para pemuda berupa lagu-lagu nasyid yang dirakam dalam kaset dengan suara gabungan yang mereka namakan dengan nasyid Islami. Ini merupakan salah satu jenis nyanyian. Terkadang juga hal itu dilakukan dengan lantunan suara yang memikat kemudian diperjual belikan untuk menyaingi kaset rakaman bacaan Al-Qur’anul Karim dan ceramah agama. Menamakan nasyid Islami merupakan penamaan yang salah kerana Islam tidak mensyariatkan kepada kita melakukan nasyid akan tetapi mensyariatkan bagi kita berzikir kepada Allah Ta’ala, membaca Al-Qur’an, dan belajar ilmu yang bermanfaat.

Adapun nasyid Islami merupakan agama orang orang sufi ahli bid’ah yang menjadikan agamanya sekadar hiburan dan permainan. Menjadikan nasyid sebahagian dari agama juga ada unsur penyerupaan dengan orang Nasrani (kristian) yang menjadikan agamanya berupa nyanyian bersama dan bersenandung merdu. Tindakan yang wajib dilakukan adalah berhati-hati dari nasyid-nasyid ini dan melarang penjualan serta peredarannya untuk mencegah terjadinya efek negatif darinya berupa timbulnya fitnah dengan membangkitkan dan menaburkan benih perselisihan di tengah kaum muslimin. Terkadang orang yang membolehkan nasyid seperti ini berdalih bahawa dulu dilantunkan syair-syair dihadapan Nabi kemudian baginda mendengarkannya dengan saksama dan menyetujuinya.

Jawapan dari hal tersebut bahawa syair-syair yang dilantunkan dihadapan Nabi tidak dilantunkan dengan suara bersama dalam bentuk nyanyian dan tidak dinamakan nasyid Islami. Akan tetapi itu merupakan syair-syair arab yang mengandungi kata-kata hikmah, perumpamaan, sifat keberanian dan kedermawanan. Dulu para sahabat melantunkan sendirian kerana makna yang terkandung di dalamnya. Mereka melantunkan beberapa syair tatkala melakukan pekerjaan yang memenatkan seperti membangun dan berjalan di malam hari ketika bermusafir. Ini semua menunjukkan bolehnya melantunkan syair seperti ini dalam keadaan seperti ini secara khusus, bukan untuk diambil sebagai salah satu bidang pendidikan dan dakwah sebagaimana terjadi pada waktu ini. Di mana para siswazah diajari nasyid-nasyid seperti ini  kemudian dikatakan bahawa itu nasyid Islami atau nasyid agama. Ini merupakan perbuatan bid’ah dalam agama dan merupakan agama orang sufi ahli bid’ah. Merekalah yang dikenali menjadikan nyanyian sebagai agamanya. Sehingga yang wajib adalah memperingatkan dari tipu muslihat ini dan melarang penjualan kaset seperti ini kerana kejelekan itu dimulai dari sedikit kemudian berkembang manjadi banyak jika tidak segera dihilangkan ketika munculnya.” (Al-Khitab Al-Mimbariyyah, 3/184-185; dinukil dari buku Jawab Tuntas Masalah Manhaj, Pustaka Al-Haura’, dalam nota kaki no: 3)

2 – Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata:

“Dari fasal ketujuh telah jelas tentang syair yang boleh dinyanyikan dan yang tidak boleh. Sebagaimana telah jelas pada keterangan yang lalu tentang haramnya alat musik semuanya kecuali rebana (kompang) untuk wanita pada hari raya dan pernikahan. Dan dari fasal terakhir telah jelas bahawa tidak boleh mendekatkan diri kepada Allah kecuali dengan apa yang Allah syariatkan. Maka bagaimana dibolehkan mendekatkan diri kepadaNya dengan apa yang Dia haramkan?

Jika pembaca dapat mengingat prinsip-prinsip yang kukuh ini di dalam fikirannya, jelaslah baginya dengan sangat nyata bahawa tidak ada perbezaan hukum antara nyanyian sufi dengan nasyid-nasyid keagamaan. Bahkan kadang-kadang di dalam nasyid terdapat cacat yang lain, iaitu nasyid itu dilagukan dengan irama-irama lagu yang tidak bermoral dan mengikut rentak muzik dari Barat atau Timur yang membawa pendengar untuk bergoyang dan menari dan melebihi batas. Sehingga tujuannya adalah irama dan goyang, bukan semata-mata nasyidnya. Dan hal ini merupakan penyelewengan baru, iaitu menyerupai orang-orang kafir dan orang-orang yang tidak tahu malu.

Di sebalik itu juga munculnya penyimpangan yang lain, iaitu menyerupai orang-orang kafir di dalam berpaling dan menginggalkan Al-Qur’an. Sehingga mereka masuk ke dalam keumuman pengaduan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada Allah tentang kaumnya, sebagaimana di dalam firman Allah:

(Yang bermaksud): Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Surah Al-Furqaan: 30)

Saya benar-benar selalu ingat dengan baik, ketika saya berada di Damaskus dua tahun sebelum penghijrahan saya ke sini (Amman, Jordan) ada sebahagian pemuda Islam mulai menyanyikan nasyid-nasyid yang bersih (dari penyimpangan) seperti qasidah-qasidah al-Bushiri dan lain-lainnya, dan nasyid-nasyid itu dirakam pada kaset. Kemudian tidak berapa lama, nasyid-nasyid itu diiringi dengan pukulan rebana (kompang)! Kemudian untuk pertama kalinya mereka mempergunakannya pada perayaan-perayaan pernikahan dengan alasan bahawa rebana dibolehkan pada pernikahan.

Kemudian kaset itu pun tersebar dan ditambah kaset-kaset sehingga banyak. Dan itupun tersebar penggunaannya dibanyak rumah-rumah. Mulailah mereka mendengarkannya malam dan siang, baik ada acara ataupun tidak. Jadilah hal itu hiburan dan kebiasaan mereka! Tidaklah hal itu terjadi kecuali kerana dikuasai oleh hawa nafsu dan kebodohan terhadap tipu daya syaitan. Sehingga syaitan memalingkan mereka dari memperhatikan dan mendengarkan Al-Qur’an, apatah lagi mempelajarinya. Jadilah Al-Qur’an  sebagai sesuatu yang tidak dipakai sebagaimana tersebut di dalam ayat yang mulia tadi.” (Tahrim Alat Ath-Tharb, hal 182; dinukil dari buku Adakah Musik Islami oleh Muslim Atsari, Pustaka At-Tibyan, hal 104-107)

3 – Syeikh Sholeh bin Abdul Aziz Alu Asy-Syeikh rahimahullah berkata:

“Adapun mendengarkan nyanyian-nyanyian yang dilagukan dan qasidah-qasidah yang mengajak zuhud, inilah yang dinamakan zaman dahulu dengan taghbiir. Hal itu sejenis memukul kulit dan menyanyikan qasidah-qasidah yang mengajak zuhud. Itu dilakukan oleh sekelompok orang-orang sufi untuk menyibukkan manusia dengan qasidah-qasidah yang mendorong kepada negeri akhirat dan zuhud di dunia, meninggalkannya nyanyian (umum), kemaksiatan dan yang seumpamanya.

Dan para ulama telah mengingkari taghbir dan mendengarkan qasidah-qasidah yang dilagukan, yakni dengan lagu-lagu bid’ah, lagu-lagu yang digunakan orang-orang sufi yang menyerupai nyanyian. Para ulama memandangnya termasuk bid’ah. Alasan bahawa hal itu jelas bid’ah, kerana hal itu ditujukan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pada hal sudah diketahui bahawa mendekatkan diri kepada Allah tidak boleh kecuali dengan apa-apa yang Dia syariatkan. Inilah qasidah-qasidah yang dilakukan di zaman dahulu, dan di zaman sekarang diambil oleh orang-orang sufi. Ini adalah bid’ah yang diada-adakan, tidak boleh berdalih melembutkan hati dengannya.” (Al-Qaulul Mufid Fii Hukmi Anasyid, hal 44; dinukil dari buku Adakah Musik Islami, hal 114-115)

4 – Syeikh Bakar Abu Zaid rahimahullah berkata:

“Beribadah dengan syair dan bernasyid pada bentuk zikir, doa dan wirid-wirid adalah bid’ah yang baru. Pada akhir-akhir abad 2 hijrah, orang-orang zindiq memasukkannya ke dalam kaum muslimin di kota Baghdad dengan nama taghbiir. Asalnya dari perbuatan Nasrani di dalam peribadatan-peribadatan mereka yang bid’ah dan nyanyian-nyanyian mereka. Bahkan jelas bagi saya bahawa beribadah dengan menyanyikan syair, mengucapkannya sebagai mantra, termasuk warisan-warisan paganisme Yunani sebelum diutusnya Nabi Isa ‘alaihis salam kerana kebiasaan orang-orang Yunani dan orang-orang musyrik yang lain mendendangkan nyanyian kepada Hurmus di majlis-majlis zikir.

Maka lihatlah bagaimana bid’ah ini menjalar kepada orang-orang sufi yang bodoh dari kalangan kaum muslimin dengan sanad yang paling rosak yang dikenal dunia: iaitu orang Zindiq dari orang Nasrani, dari orang musyrik. Setelah itu, bolehkah seorang muslim menjadikan nasyid sebagai wirid, tugas dalam zikir, hizib dan mantra?” (Tash-hihud Du’a, hal 96; dinukil dari buku Adakah Musik Islami, hal 116) (Sila lihat: http://pegangan-rufaqa.blogspot.com/2009/10/kisah-saya-dengan-al-arqam-bahagian-2.html)

Wallahu Ta'ala A'lam

Selasa, 20 Oktober 2009

Bolehkah Melukis Gambar Makhluk Bernyawa?

"Wah hebatnya kau melukis macam real lah" seorang rakan saya memuji lukisan yang saya lakarkan di atas kertas. Lukisan tersebut adalah wajah seseorang di dalam kelas kami. Ketika itu saya masih tingkatan 4. Saya memang berminat dalam bidang lukisan sehingga pernah suatu ketika dahulu saya (konon-kononnya) bercita-cita hendak menjadi kartunis. Saya mula melukis sejak berumur 6 tahun. Lukisan pertama yang saya pernah lukis adalah wajah "Abuya" pengasas Darul Arqam yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat. (Sila lihat artikel pernah melukis gambar abuya)

Pernah saya bertanya apakah hukum melukis ini menurut Islam? Kerana saya pernah mendengar ada seorang ustaz berkata "Nanti gambar yang kita lukis tu akan minta nyawa dengan kita", namun kerana keseronokan dan nikmatnya melukis ini, saya tidak mengambil endah akan kata-kata tersebut. Bahkan, saya meneruskan melukis tanpa hendak meneliti terlebih dahulu hukumnya, sehinggalah saya mengetahui hukum yang sebenar tentangnya. (Semoga Allah ampunkan kesilapan dan sikap saya tersebut)

Hukum Melukis Gambar Bernyawa

Sebenarnya terdapat banyak dalil mengenai larangan (haram) melukis gambar yang bernyawa ini. Sehingga sekiranya ada yang berkata "makruh sahaja", maka jawapan tersebut perlu nilai semula. Antara hadis-hadis tentang pelarangan melukis gambar bernyawa adalah:

Jabir radhiallahu 'anhu dia berkata:

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصُّوْرَةِ فِي الْبَيْتِ وَنَهَى أَنْ يَصْنَعَ ذلِكَ

Maksudnya: “Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melarang mengambil gambar (makhluk hidup) dan memasukkannya ke dalam rumah dan melarang untuk membuat yang seperti itu.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi dalan Sunannya; Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmizi, no: 1749)

Dari Sa'id bin Abil Hasan dia berkata: "Aku pernah berada di sisi Ibn Abbas, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki maka orang itu berkata: "Wahai Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini adalah seseorang yang hidup hanya hasil pekerjaan tanganku dan sesungguhnya aku tukang membuat lukisan-lukisan." Maka Ibn Abbas berkata: "Saya tidak akan berbicara denganmu kecuali dengan apa yang pernah saya dengar dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam baginda bersabda:

مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا

"Barangsiapa melukis suatu gambar, sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga akan diberi nyawa padanya, sementara dia tidak berupaya meniupkan roh ke dalamnya selama-lamanya."

Maka orang itu kemudian merasa sakit hati. Ibn Abbas berkata: "Celaka kamu, jika kamu tetap hendak melakukannya, maka buatlah gambar pohon dan segala sesuatu yang tidak bernyawa." (Hadis riwayat Bukhari, dalam al-Maktabah al-Syamilah, no: 2073)

Syeikh Abdulullah bin Abdul Aziz bin Baz rahimahullah di dalam Fatwa beliau berkata: "Sesungguhnya banyak sekali hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam dalam kitab-kitab yang sahih, baik yang terdapat dalam kitab Sunan atau pun dalam kitab Musnad-musnad, iaitu mengenai haramnya membuat gambar sesuatu yang bernyawa, sama ada ianya (gambar) manusia atau bukan. Di dalam hadis-hadis itu ada riwayat yang menceritakan bahawa baginda sallallahu ‘alaihi wasalam mengoyakkan tirai-tirai yang bergambar dan memerintahkan agar dihapuskan gambar-gambar. Disamping itu baginda melaknat tukang gambar dan menerangkan bahawa mereka termasuk orang-orang yang paling keras mendapat siksa di hari kiamat." (Lihat: http://www.salafy.or.id/print.php?id_artikel=325)

Syeikh Ibn Baz kemudiannya membawakan beberapa nas/dalil yang menunjukkan keharaman melukis gambar, di sini saya kemukakan ertinya sahaja (selain dalil di atas tadi):

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam bersabda : Allah Ta’ala berfirman: Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang akan membuat satu ciptaan seperti ciptaan-Ku, maka hendaklah mereka menciptakan satu zarrah, atau biji, atau gandum.” (Dalam Sahihain -Bukhari & Muslim-, lafaz ini menurut riwayat Imam Muslim).

Dari Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling keras disiksa di hari Kiamat adalah para tukang gambar (mereka yang meniru ciptaan Allah)". (Sahihain -Bukhari & Muslim-)

Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: "Sesungguhnya orang yang membuat gambar-gambar ini akan disiksa hari kiamat, dan dikatakan kepada mereka, 'Hidupkanlah apa yang telah kalian buat!’”. (Dalam Shahihain, lafaz ini menurut lafaz Imam Bukhari).

Dari Abu Juhaifah radiallahu ‘anhu: “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasalam telah melarang dari (memakan) hasil (jual beli) darah, anjing, usaha pelacuran, dan (baginda) telah melaknat pemakan riba, yang menyerahkannya, pembuat tato (gambar tubuh), yang meminta ditato serta tukang gambar.” (HR. Imam Bukhari).

Dari Aisyah Radiyallahu ‘anha, dia berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam masuk menuju saya dan saya menutup bilik dengan tirai nipis bergambar (dalam riwayat lain: menggantungkan tirai nipis bergambar kuda bersayap…), maka ketika baginda melihatnya baginda mengoyakkannya dan dengan wajah merah padam, baginda bersabda: “Hai Aisyah, manusia yang paling keras disiksa di Hari Kiamat adalah mereka yang meniru ciptaan Allah.” Aisyah berkata: “Maka kami memotong-motongnya lalu menjadikannya satu atau dua bantal.” (Muttafaqun ‘alaihi).

Dari Al-Qasim bin Muhammad dari Aisyah, ia berkata : “Saya membeli sebuah bantal bergambar. Maka ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam melihatnya, baginda berdiri di pintu dan tidak masuk. Saya mengenal tanda kemarahan pada wajah baginda. Saya berkata: “Ya Rasulullah, saya taubat kepada Allah dan RasulNya, apa dosa saya?” Baginda bersabda: “Ada apa dengan bantal ini?” Saya berkata: “Saya membelinya agar anda duduk di atasnya dan bersandar dengannya.” Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam pun bersabda: “Sesungguhnya pemilik (pembuat) gambar-gambar ini akan disiksa di hari Kiamat, dan dikatakan kepada mereka, ‘Hidupkan apa yang telah kalian buat!’ Dan sabdanya lagi: "Sesungguhnya rumah yang didalamnya ada gambar-gambar tidak akan dimasuki oleh malaikat.” (Muttafaqun ‘alaihi).

Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “(Sesungguhnya kami para) Malikat tidak masuk rumah yang didalamnya ada anjing dan gambar.” (HR Bukhari & Muslim, dengan lafaz Muslim). Dalam riwayat Ibnu Umar “(Sesungguhnya kami para) Malaikat tidak masuk rumah yang didalamnya ada anjing dan gambar.”

Dari Zaid bin Khalid dari Abi Talhah secara marfu’:  “Malaikat tidak akan masuk rumah yang didalamnya ada anjing dan patung (gambar).” (HR. Imam Muslim).

Dari Abi al-Hayyaj Al-Asadi, dia berkata: Ali mengatakan pada saya: Mahukah kamu saya mengutuskan kepada apa yang saya pernah diutuskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam: iaitu “Jangan kau tinggalkan satu gambarpun, melainkan kamu hapuskan ia dan tidak ada satu kuburpun yang menonjol (tinggi-edt) melainkan kau ratakan ia.” (HR. Imam Muslim). Dan dalil-dalil seterusnya (Sila lihat artikel: http://www.salafy.or.id/print.php?id_artikel=325)

Imam An-Nawawi rahimahullah menyatakan dalam Syarah Muslim: “Teman-teman kami (dari mazhab Syafi’iyyah) dan selain mereka berkata: Membuat gambar makhluk yang bernyawa haram dengan sebenar-benar keharaman, termasuk dosa besar, kerana diancam dengan ancaman yang keras sebagaimana tersebut dalam hadis-hadis. Baik orang yang membuat gambar itu bertujuan merendahkannya ataupun selainnya, perbuatannya tetap juga dihukumi sebagai haram, walau apapun keadaannya. Kerana perbuatan demikian menandingi ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Baik gambar itu dibuat pada kain/baju, hamparan/permadani, dirham atau dinar, wang, bekas air, tembok/dinding, dan selainnya. Adapun membuat gambar pohon, pelana unta dan selainnya yang tidak mengandungi gambar makhluk bernyawa, tidaklah diharamkan. Ini berkenaan hukum gambar itu sendiri. Adapun mengambil gambar makhluk bernyawa untuk digantung di dinding, pada pakaian yang dikenakan, atau pada sorban dan yang semisalnya yang tidak dikira untuk  merendah-rendahkan/menghinakannya (yakni bukan untuk pijak atau diduduki-edt), maka hukumnya haram. Namun apabila gambar itu  (setelah dipotong kepalanya-edt) terdapat pada hamparan yang dipijak, pada bantal dan yang semisalnya untuk dihinakan, maka tidaklah haram.”

Al-Imam An-Nawawi rahimahullahu melanjutkan: “Tidak ada perbezaan dalam hal ini antara gambar yang memiliki bayangan dengan yang tidak memiliki bayangan (dua atau tiga dimensi-edt). Demikianlah kesimpulan mazhab kami (Asy-Syafi'iyyah) dalam masalah ini. Jumhur ulama dari kalangan sahabat, tabi’in dan orang-orang setelah mereka juga berpendapat yang semakna dengan ini. Pendapat ini dipegangi Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah, dan selain mereka.”

Az-Zuhri rahimahullahu menyatakan bahawa larangan menggambar ini umum, demikian pula penggunaannya, baik gambar itu berupa cap/setem/lukisan pada baju/kain ataupun bukan setem. Baik gambar itu di dinding, kain, pada hamparan yang direndahkan, ataupun yang tidak direndahkan, sebagai pengamalan zahir hadis, lebih-lebih lagi hadis namruqah yang disebutkan Al-Imam Muslim. Ini pendapat yang kuat, kata Al-Imam An-Nawawi. (Al-Minhaj Syarhu Shahih Muslim, 14/307-308)

Dalam masalah gambar yang berupa setem/lukisan pada kain, Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-’Asqalani rahimahullahu menguatkan pendapat yang menyatakan jika gambar tersebut utuh dan jelas bentuknya maka haram. Namun jika gambar itu dipotong kepalanya, atau terpisah-pisah bahagian tubuhnya maka ianya dibolehkan (harus). (Fathul Bari, 10/480)  (Sila Lihat: http://www.asysyariah.com/syariah.php?menu=detil&id_online=343)

Hukum Bermain Anak Patung

Mungkin ada yang ingin bertanya, bagaimana dengan bermain anak patung? Ini kerana terdapat hadis yang menjelaskan bahawa 'Aisyah radhiallau 'anha pernah bermain anak patung sedangkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak melarangnya. Maka jawabnya, benar. Hadis tersebut adalah seperti berikut:

‘Aisyah radhiallahu 'anha menceritakan:


أَنَّهَا كَانَتْ تَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ: وَكَانَتْ تَأْتِيْنِي صَوَاحِبِيْ فَكُنَّ يَنْقَمِعْنَ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ: فَكاَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ


“Bahawasanya dia biasa bermain boneka anak perempuan di sisi Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Dia berkata: "Teman-teman kecilku biasa datang untuk bermain bersamaku. Namun bila Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam datang, mereka sembunyi (kerana segan dan malu kepada baginda) dan baginda pun menggiring mereka kepadaku.” (HR. Muslim no. 6237)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam hadis ini menunjukkan bolehnya bermain boneka kanak-kanak.” Beliau juga mengatakan: “Boneka kanak-kanak dikhususkan dari larangan yang ada dalam hadis ini, dan juga kerana ingin memberikan pendidikan awal kepada wanita dalam mengatur perkara diri mereka, rumah, dan anak-anak mereka (kelak).” (Al-Minhaj, 15/200) (Sila Lihat: http://www.asysyariah.com/syariah.php?menu=detil&id_online=343)

Pendapat ini (yakni boleh kanak-kanak bermain anak patung) merupakan pendapat jumhur ulama. Namun sebahagian tetap juga tidak membenarkan kecuali setelah dipotong kepalanya seperti Imam Al-Baihaqi, Ibnul Jauzi dan Ibn Batthal. Muhaddis dari Yaman iaitu Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i rahimahullah juga memilih pendapat jumhur iaitu bolehnya kanak-kanak bermain anak patung. (Lihat link website asy-syariah  sebagaimana di atas) Wallahua'lam.

Melukis Dengan Mengambil Gambar Menggunakan Kamera Berbeza (Tidak Sama).

Perkara ini (mengambil gambar) terdapat perselisihan (ikhtilaf) dikalangan ulama tentangnya. Ada ulama yang berpendapat bahawa melukis dengan tangan tidak sama dengan mengambil gambar dengan kamera. Mengambil gambar dengan menggunakan kamera (menurut sebahagian ulama) ia tidak terdapat penciptaan makhluk atau gambar di dalamnya. Ia hanyalah sebatas memindahkan suatu objek ke tempat yang lain. Ia adalah sepertimana melihat cermin, tidak ada sesiapa pun yang mengatakan haram bila melihat cermin, kerana di sana tidak ada unsur penciptaan sedikitpun. Walaubagaimana pun ianya (mengambil gambar) tidak disukai dan yang lebih baik adalah menjauhi perbuatan tersebut. Ini kerana telah banyak berlaku kerosakan disebabkan oleh gambar-gambar yang dihasilkan. Bahkan penyebab berlakunya syirik pertama dimuka bumi ini adalah disebabkan penghasilan gambar mahkluk yang mana ianya dijadikan sebagai sembahan dan tempat bermohon wasilah yang tiada disyariatkan. Wallahua'lam. Dan bagi saya sendiri, sekiranya dapat keluar dari perselisihan ini, maka ia lebih baik (yakni lebih baik tidak mengambil gambar).

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ


Maksudnya: "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Dan diantara keduanya ada perkara syubhat yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka siapa yang menjaga diri dari syubhat, maka dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang jatuh ke lembah yang haram, seperti penggembala sedang menggembalakan ternakannya di sekitar tempat yang di pagar (terlarang), hampir-hampir dia terjatuh padanya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Wallahua Ta'ala a'lam.  

Ahad, 18 Oktober 2009

Hukum Menamakan Yahudi dengan Israel

Syeikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga dicurahkan keatas Rasulullah, keluarganya, para sahabatnya, dan orang-orang yang mengikuti petunjuknya. Amma ba’du:

Di antara fenomena ganjil yang tersebar di kalangan kaum muslimin adalah menamakan dan menyebut negeri Yahudi yang dimurkai Allah dengan (panggilan) “Israel”!

Saya belum pernah melihat seorang pun yang mengingkari fenomena yang berbahaya ini, yang menyinggung kehormatan seorang rasul yang mulia, iaitu Ya’qub [*] Alaihish-shalatu wa sallam yang dipuji oleh Allah di dalam Kitab-Nya bersama dengan kedua bapaknya yang mulia; Ibrahim dan Ishaq Alaimas salam.

[*] Ya’qub adalah Israel sebagaimana dalam hadis dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada orang-orang Yahudi: “Apakah kamu sekalian mengetahui bahawa Israel adalah Ya’qub?” Mereka menjawab: “Allahumma, ya”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ya Allah saksikanlah!” (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Ath-Thayalisi dalam Musnad-nya 1/356, Ibnu Sa’ad dalam Thabaqah Kubra 1/175 dan Ahmad dalam Munad-nya 1/273 dan 278 dengan sanad yang hasan).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاذْكُرْ عِبَادَنَا إبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ أُولِي الأيْدِي وَالأبْصَارِ. إِنَّا أَخْلَصْنَاهُمْ بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ. وَإِنَّهُمْ عِنْدَنَا لَمِنَ الْمُصْطَفَيْنَ الأخْيَارِ.

"Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub yang mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang tinggi. Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik” [Shod : 45-47]

Inilah kedudukan rasul yang mulia ini dalam Islam, bagaimana boleh diletakkan pada orang-orang Yahudi, dan bagaimana boleh mereka diletakkan padanya?!

Banyak kaum muslimin yang membawa nama rasul ini ketika mencela negeri Yahudi ini dengan mengatakan: Israel telah melakukan ini, Israel telah melakukan itu, Israel akan melakukan ini dan itu!

Hal ini menurut pandanganku (Syeikh Rabi’) adalah perkara yang mungkar, sekadar wujudnya saja (sepatutnya) tidak boleh ada pada kaum muslimin, apalagi menjadikan fenomena ini yang tersebar di kalangan mereka tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya!

Dari sini kami lontarkan sebuah pertanyaan dan sekaligus jawabannya, maka kami katakan: Bolehkah menamakan negeri Yahudi yang kafir dan tercela ini dengan nama “Israel” atau “negeri Israel” kemudian diarahkan celaan dan cercaan kepada negeri ini atas nama “Israel”?

Yang haq (benar), bahawasanya hal ini tidak diperbolehkan!

Orang-orang Yahudi telah banyak melakukan makar-makar (tipu muslihat) yang besar di mana mereka menjadikan hak mereka sebagai hak yang syar’i di dalam menegakkan sebuah negeri di tengah-tengah negeri kaum muslimin atas nama warisan dari Ibrahim dan Israel!

Mereka telah membuat makar yang besar dengan menamakan negeri Zionis mereka dengan nama negeri Israel!

Tipu daya mereka ini telah merasuk ke dalam tubuh kaum muslimin –saya tidak katakan pada orang-orang awam sahaja, bahkan pada kebanyakan dari kalangan yang terpelajar-, jadilah kaum muslimin menyebut-nyebut negeri Israel bahkan nama Israel di dalam berita-berita mereka, di dalam buku-buku mereka, di dalam majalah-majalah mereka, dan di dalam pembicaraan-pembicaraan mereka, sama saja dalam konteks berita biasa atau dalam konteks mencerca, mencela dan bahkan melaknat. Semua ini terjadi di tengah-tengah kaum muslimin dan yang sangat sayang sekali, tidak pernah kami dengar seorang pun mengingkarinya!

Allah telah banyak mencela orang-orang Yahudi di dalam Al-Qur’an dan melaknat mereka serta mengkhabarkan kepada kita tentang kemurkaan-Nya kepada mereka, tetapi semua ini dengan nama orang-orang Yahudi (sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman : “Orang-orang Yahudi berkata : “Tangan Allah terbelengu”, Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu…” - Al-Ma’idah: 64) Dan dengan nama-nama orang kafir dari bani Israel (sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman : Telah dilaknat orang-orang dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas” - Al-Ma’dah : 78), bukan dengan nama Israel seorang nabi yang mulia putra seorang nabi yang mulia Ishaq putra seorang nabi yang mulia Khalilullah Ibrahim ‘Alaimush-shalatu wa salam!

Orang-orang Yahudi ini tidaklah memiliki ikatan agama dengan Nabiyullah Israel (Ya’qub “Alaihish-sholatu wa salam) dan tidak juga dengan Ibrahim Khalilullah Alaihish- shalatu wa salam!

Orang-orang Yahudi ini tidaklah memiliki hak waris keagamaan dari Ya’qub dan Ibrahim. Sesungguhnya yang mewarisi agama keduanya adalah orang-orang yang beriman, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

"Sesungguhnya orang yang dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan nabi ini (Muhammad), beserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah adalah pelindung semua orang-orang yang beriman” [Ali-Imran : 68]

Allah berfirman dalam KitabNya mengkhabarkan bahawa Ibrahim Alaihish-sholatu wa salam berlepas diri dari orang-orang Yahudi, Nasrani, dan orang-orang musyrik:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus (hanif) lagi (muslim) berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik” [Ali-Imron : 67]

Kaum muslimin tidaklah mengingkari bahawa orang-orang Yahudi berasal dari keturunan Ibrahim dan Israel, tetapi kaum muslimin memastikan bahawa orang- orang Yahudi adalah musuh-musuh Allah dan musuh-musuh para rasul diantara para rasulNya iaitu Muhammad, Ibrahim dan Israel. Kaum muslimin meyakini dengan pasti bahawa tidak ada saling mewarisi antara pada nabi dengan musuh-musuh mereka dari kalangan orang-orang kafir, sama sahaja diantara orang-orang kafir ini, orang-orang Yahudi, orang- orang Nasrani, atau dari orang-orang musyrik Arab dan yang lainnya, dan bahawasanya orang-orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan seluruh para nabi adalah kaum muslimin yang mereka ini beriman kepada para nabi, mencintai para nabi, memuliakan para nabi, dan beriman kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada mereka dari kitab-kitab suci dan suhuf; kaum muslimin menjadikan keimanan kepada semua ini termasuk pokok-pokok (dasar-dasar) agama mereka, maka kaum muslimin-lah pewaris para nabi dan orang-orang yang paling dekat kepada para nabi!

Bumi Allah sesungguhnya adalah milik hamba-hamba-Nya yang beriman kepada-Nya, dan kepada para rasul yang mulia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الأرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ. إِنَّ فِي هَذَا لَبَلاغًا لِقَوْمٍ عَابِدِينَ. وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ.

"Dan sungguh telah kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai oleh hamba-hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya (apa yang disebutkan) dalam (surah) ini, benar-benar menjadi peringatan bagi kaum yang menyembah (Allah) Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [Al-Anbiya : 105-107]

Maka musuh-musuh para nabi –terutama orang-orang Yahudi- tidaklah memiliki warisan bumi di dunia ini dan di akhirat mereka akan mendapat azab neraka yang abadi!

Sungguh sangat menghairankan keadaan kebanyakan kaum muslimin yang menyerahkan kepada orang-orang Yahudi dengan tuduhan bahawa mereka adalah pewaris bumi Palestin, dan bahawasanya orang-orang Yahudi mencari Haikal Sulaiman Alaihish-sholatu wa salam (padahal) Sulaiman Alaihish-sholatu wa salam ini dikafirkan oleh orang-orang Yahudi dan dituduh dengan tuduhan-tuduhan keji. Orang-orang Yahudi ini adalah musuh yang paling sengit bagi Sulaiman Alaihish-sholatu wa salam yang termasuk nabi di antara para nabi Bani Israel. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

“Apakah setiap datang kepadamu seorang rasul membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu lalu kamu angkuh; maka beberapa orang (di antara mereka) kamu dustakan dan beberapa orang (yang lain) kamu bunuh?” [Al- Baqarah: 87]

Lalu bagaimana kaum muslimin –paling kurang pun dengan sikap mereka- membenarkan tuduhan-tuduhan yang batil ini?! Dan mereka namakan orang-orang Yahudi dengan “Israel” dan “negeri Israel”!

Dan sesungguhnya mereka –demi Allah- di hari mereka beriman dengan sebenarnya kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam, para rasul, dan risalah-risalah mereka, maka mereka adalah para wali Allah, wali para nabi dan rasul-Nya!

Maka hendaklah kaum muslimin mempersiapkan diri mereka dari segi aqidah dan manhaj, dengan mengikuti kitab Rabb mereka (Al-Qur’an) dan sunnah nabi mereka (Al-Hadis) serta jalan yang ditempuh oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Radhiallahu ‘anhum dan jalan yang ditempuh para pengikut mereka dalam kebaikan dari para tabi’in yang terbaik dan para imam (yang membawa) petunjuk dan agama; kerana sesungguhnya inilah wasilah (sarana) paling agung untuk kemenangan kaum muslimin atas musuh-musuh mereka, dan wasilah paling agung bagi keluhuran nilai kaum muslimin, kebahagiaan mereka dan kemuliaan di dunia dan akhirat. [*]

[*] Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Jika kalian telah berjual beli dengan cara inah (yakni jual beli dengan cara Riba), disibukkan oleh ternak dan tanaman, dan kalian tinggalkan jihad di jalan Allah, maka Allah akan menimpakan kehinaan kepada kalian, Allah tidak akan mencabut kehinaan itu dari kalian, sampai kalian kembali kepada agama kalian.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan-nya 3462, Baihaqi dalam Sunan Kubra 5/316, dan Thabrani dalam Musnad Syamiyyin hal. 464 dan disahikan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Shohihah : 11)

Hendaknya mereka bersihkan tangan-tangan mereka dari hawa nafsu, bid’ah-bid’ah dan taksub (fanatik) terhadap kebatilan dan pemilikya. Kemudian, hendaknya mereka berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mempersiapkan diri secara material (kebendaan) dari berbagai macam persenjataan dan hal-hal yang berhubungan dengannya serta berwaspada (berjaga-jaga) dan latihan militer, sebagaimana diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

"Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian” [Al-Anfal : 60]

Kekuatan di dalam nash di atas meliputi setiap kekuatan yang menggentarkan musuh dari berbagai macam persenjataan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa salla bersabda:

"Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah pelemparan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah pelemparan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah pelemparan” [Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan-nya 3/13, Tirmizi dalam Jami-nya 5/270, dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya 2/940 dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahihul Jami : 2633]

Dan “pelemparan” di sini meliputi semua senjata yang dilempar, semuanya ini wajib diusahakan dengan industri, atau jual beli, atau dengna cara yang lainnya.

Sekali lagi … aku sangat hairan, peletakan nama nabi yang mulia ini atas sebuah negeri yang terkutuk (Yahudi) dan umat yang dimurkai dan umat yang membuat kedustaan, dikatakan tentang mereka dan tentang berita mereka dan tentang celaan kepada mereka “Israel” dan “negeri Israel”, seakan-akan bahasa Arab yang luas telah sempit bagi mereka sehingga tidak dijumpai dalam bahasa Arab kecuali dengan nama ini!

Kemudian apakah mereka merenungi perkara ini di dalam diri-diri mereka. Apakah perkara ini membuat keredhaan Allah atau rasul-Nya?

Apakah perkara ini membuat keredhaan Nabiyullah Israel (Ya’qub) atau membuat dia tidak suka seandainya dia hidup?

Tidaklah mereka mengetahui bahawasanya cercaan dan celaan yang mereka arahkan kepada orang-orang Yahudi atas nama Israel akan berpaling menuju kepadanya (sendiri) dalam keadaan mereka tidak sedari; dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

"Tidakkah kamu hairan bagaimana Allah memalingkan aku dari cacian orang-orang Quraisy dan laknat mereka, mereka mencaci seorang yang tercela dalam keadaan aku adalah Muhammad (yang terpuji)” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya 2/244, Bukhari dalam shahih-nya : 3533, dan Nasa’i dalam Sunan-nya 6/159, dan diriwayatkan juga oleh Humaidi dalam Musnad-nya 2/481 dan Baihaqi dalam Syu’abul Iman 2/142]

Maka bagaimana kamu sekalian palingkan celaan tersebut, laknat kamu dan cercaan kamu terhadap musuh-musuh Allah (sedangkan kamu arahkan) kepada sebuah nama nabi yang mulia dari para anbiya’ dan para rasul manusia-manusia pilihan Allah?!

Jika ada seorang yang berkata: “Penamaan seperti ini ada di dalam kitab Taurot!” Maka kami katakan: “Bukanlah hal yang jauh, bahawa ini termasuk tahrif-tahrif (pengubahan-pengubahan) ahli kitab, sebagaimana Allah mempersaksikan mereka bahawasanya mereka mengubah kitab yang ada di tangan-tangan mereka dan kemudian mengatakan bahawa ini dari Allah [*], bahkan di dalam kitab Taurat yang telah digubah oleh mereka, terdapat tuduhan terhadap para nabi dengan kekufuran dan hal-hal yang keji, maka bagaimana mungkin berhujah dengan apa yang tertulis di dalam kitab mereka ini, padahal kitab mereka keadaannya seperti itu (yakni mereka mengubah/selewengkan)?!

[*] Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah” (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan” (Al-Baqarah: 79)

Akhirnya kita berdo’a kepada Allah agar memberi taufiq kepada kaum muslimin semuanya kepada hal yang dicintai dan diredhai-Nya dari perkataan dan perbuatan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan do’a.

[Ain Salsabil Min Ma’ini Imamil Jarhi Wa Ta’dil oleh www.islamspirit.com]

Dinukil serta disunting dari CHM Book bertajuk: “Yahudi Dan Konflik Palestina” yang dikumpul oleh Abu Harun As-Salafy.

Khamis, 20 Ogos 2009

Penawar Penyakit Perpecahan Umat

Penulis: Mohd Hairi bin Nonchi
Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah.” [Diriwayatkan oleh sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama. Lafaz hadis di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – hadis no: 4429. Disahihkan oleh Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah - hadis no: 203]

Menerusi hadisnya di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita, umatnya bahawa selepas kewafatan baginda s.a.w umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda s.a.w tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, parti, kumpulan atau golongan sebagaimana yang dapat kita saksikan pada saat ini.

Mengapakah Umat Islam Saling Berpecah Belah?

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab kepada perpecahan dan perselisihan di kalangan umat Islam. Akan tetapi, di antara faktor-faktor tersebut, terdapat dua faktor terbesar yang mencetuskan perselisihan tersebut, di antaranya:

Faktor Pertama: Mengubah suai ajaran agama.

Tidak syak lagi bahawa punca utama dan pertama yang mencetuskan perselisihan dan perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan oleh faktor bid'ah dalam agama. Bid'ah secara umumnya merujuk kepada tindakan mengubahsuai atau menokok tambah sesuatu yang "baru" dalam hal agama, baik yang melibatkan amalan mahupun yang melibatkan iktikad (keyakinan) sehingga menghilangkan kemurniaan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri menerusi hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepas (kewafatan) aku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin Mahdiyin selepasku, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham (kamu) dan jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama ini) kerana ia adalah bid'ah sedangkan setiap bid'ah itu (adalah) sesat" [Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud – hadis no: 4607. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah, jld. 6, ms. 526 – hadis no: 2735]

Khutbah Nabi s.a.w ini dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam disebabkan oleh amalan bid'ah yang mereka lakukan selepas kewafatan baginda s.a.w. Justeru, baginda s.a.w dengan tegas mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh kepada sunnah dan juga sunnah para khalifah yang menggantinya. Selain daripada menggambarkan suasana perselisihan, khutbah Nabi s.a.w itu juga mengisyaratkan kepada bahaya pemikiran dan amalan bid'ah sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan tersebut. Dalam konteks ini, al-Marhum Muhammad Rashid Reda berkata:

"Ulamak sains sosial, ahli politik dan pakar sejarah pelbagai bangsa bersepakat bahawa bangsa Arab bangkit mencapai kemajuan dan kegemilangan terakhir mereka kerana kesan daripada ajaran Islam yang menyatupadu dan memperbaiki keadaan diri dan kelakuan (jahiliah) mereka. Tetapi ramaiyang tidak bersepakat dalam menentukan faktor kejatuhan umat Islam selepas kebangkitan, sehingga ada yang meletakkan kesalahan itu pada agama. Sedangkan kata-kata orang berilmu menetapkan bahawa agama yang pernah menjadi faktor kebaikan dan perubahan tidak mungkin (di satu masa) akan menjadi faktor kemusnahan dan kelemahan, kerana faktor yang sama tidak akan menghasilkan kesan yang berbeza. Jika benar ajaran Islam memberi kesan kemunduran kepada generasi terkemudian, maka yang demikian itu pastinya bukan (berasal) dari ajaran Islam sebenar yang mendatangkan kebaikan kepada generasi terdahulu. Bahkan ianya tentu kerana faktor bid'ah yang memecahkan perpaduan mereka dan memesongkan mereka daripad ajalan yang lurus" [Muhd. Rashid Reda, At-Ta'rif Bi Kitab Al-'I'tisham, ms. 3-4; penulis nukil daripada buku Khilaf dalam Islam: Sebab dan Adab, Ustaz Abdul Rasyid bin Idris @ Adir, Ustaz Dr. Azwira bin Abdul Aziz dan Ustaz Fadlan bin Mohd Othman (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru), 39-40]

Faktor Kedua: Keengganan Pihak yang Saling Berselisih untuk Kembali kepada Petunjuk Al-Qur'an Dan Al-Sunnah yang Sahih.

Ikhtilaf atau perselisihan adalah merupakan suatu ketetapan Allah (sunnatullah) ke atas umat manusia. Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hud, ayat 118-119 yang bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu. Sesungguhnya Aku memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia"

Sungguhpun demikian, Allah s.w.t selaku Tuhan yang menetapkan perselisihan itu tidak sekali-kali membiarkannya berlaku begitu sahaja. Sebaliknya, Dia juga telah menyediakan "jalan-jalan" ke arah penyelesaian terhadap sesuatu perselisihan yang timbul di kalangan para hamba-Nya. Adapun "jalan-jalan" penyelesaian yang penulis maksudkan di sini adalah dengan mengembalikan setiap persoalan yang diperselisihkan itu kepada al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih. Perhatikan firman-Nya dalam surah al-Nisa', ayat ke-59 yang bermahfum: "Kemudian, jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya"

Malangnya, terdapat sebahagian umat Islam yang apabila tercetus perselisihan di kalangan mereka, adakalanya akan ada salah satu pihak daripadanya yang enggan tunduk untuk kembali kepada seruan ayat tersebut. Mereka tidak sudi menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih sebagai penamat perselisihan yang timbul antara mereka. Sebaliknya, mereka lebih condong kepada mengambil sesuatu yang lain daripada petunjuk kedua-dua wahyu agung itu baik ianya berupa ideologi-ideologi ciptaan manusia, kebiasaan-kebiasaan atau adat tertentu, ajaran tok guru atau tokoh sekian-sekian dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa perselisihan dan perpecahan di kalangan umat Islam itu sentiasa timbul dan terus berkepanjangan.

Penawar Penyakit Perpecahan Umat.

Mengakhiri perbincangan kita yang serba ringkas dan terbatas ini, berikut akan saya kemukakan tiga langkah penting sebagai kaedah bagi merawat penyakit perpecahan yang kian kronik melanda umat Islam ketika ini. Diharap dengan adanya komitmen kita di dalam mengikuti langkah-langkah tersebut akan dapat menjadikan kita sebagai umat yang satu dan saling berkasih sayang antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mukmin, ayat 52: "Sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu bertaqwa kepada-Ku". Adapun tiga langkah yang saya maksudkan di atas adalah sebagaimana berikut:

[1] Berpegang teguh kepada tali (agama) Allah s.w.t. Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam surah ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud: "... Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai ...". Berdasarkan kepada petunjuk ayat ini, umat Islam diseru supaya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang sebenar, dalam ertikata berpegang kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih dan tulen, setulen fahaman dan amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a. Umat islam juga hendaklah sentiasa mengunggulkan kedua-dua petunjuk wahyu tersebut di atas segala sesuatu yang lain serta menolak apa-apa yang bercanggah dengannya baik berupa pandangan peribadi, kebiasaan-kebiasaan (adat) tertentu, ajaran tok guru serta pandangan sesuatu aliran atau mazhab.

[2] Umat Islam seluruhnya hendaklah sentiasa berlapang dada dalam menghadapi suasana perbezaan pandangan. Hal ini kerana, sebagaimana yang telah saya sentuh di atas, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang fitrah bagi umat manusia. Hanya saja apa yang perlu dilakukan ketika mendepani fenomena perselisihan tersebut ialah kembali sepenuhnya kepada petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih (surah al-Nisa', ayat 59). Sekiranya kedua-dua pihak yang saling berselisih memiliki dalil yang kukuh, hendaklah masing-masing pihak berlapang dada antara satu dengan yang lain. Tidak dibolekan untuk saling menghukum dalam perkara yang wujud padanya perselisihan yang dibenarkan syarak (ikhtilaf muktabar).

[3] Seterusnya, umat Islam seluruhnya hendaklah sentiasa bersiap sedia dalam menerima sesuatu kebenaran sekalipun kebenaran tersebut adalah bercanggah dengan apa yang menjadi anutan dan pegangan mereka selama ini. Pada masa yang sama, hendaklah mereka dengan penuh rela segera meninggalkan apa-apa pandangan atau kebiasaan sedia ada yang jelas bercanggah dengan kebenaran tersebut. Kedegilan untuk kembali kepada kebenaran setelah kebenaran telah tertegak di hadapan mata adalah di antara faktor yang menjarakkan seseorang atau sesuatu kaum itu dari ajaran agama yang merupakan "medium" pengikat kesatuan umat Islam yang teguh. Sekaligus, keadaan ini pula akan menyebabkan virus-virus penyakit perpecahan akan tersemai di tengah-tengah masyarakat sehingga akhirnya, lambat laun ianya akan membesar dan terus membesar sehingga sukar dirawat lagi sebagaimana yang berlaku sehingga ke saat ini.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...