Memaparkan catatan dengan label Aqidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aqidah. Papar semua catatan

Isnin, 7 Jun 2021

TUJUH GOLONGAN YANG DINAUNGI ALLAH AZZA WA JALLA PADA HARI KIAMAT


Oleh Al-Ustaz Yazid bin ‘Abdul Qadir Jawas حفظه الله 




عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naunganNya: (1) Imam yang adil, (2) seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya terpaut pada masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya, (5) seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, dan (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.” 

TAKHRIJ HADIS 

Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh: Al-Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91)), Malik dalam al-Muwatta’ di Kitabusy Syi’ar bab Maa Jaa-a fil Muttabi’iin fillaah (hlm. 725-726, no. 14), Ahmad (II/439), At-Tirmizi (no. 2391), An-Nasa-i (VIII/222-223), Ibnu Khuzaimah (no. 358), At-Tahawi dalam Musykilul Aathaar (no. 5846, 5847), dan Al-Baihaqi dalam Sunannya (IV/190, VIII/162). 

SYARAH HADIS 

Penyebutan jumlah “tujuh” di dalam hadis ini bukanlah merupakan pembatas, sehingga tidak boleh diertikan bahawa golongan yang akan dinaungi Allah Ta’ala pada hari Kiamat hanya terbatas pada tujuh golongan ini sahaja. Menurut Ulama ahli usul, istilah ini disebut dengan mafhuumul ‘adad ghairu murad, iaitu mafhum dari ‘adad (bilangan) itu tidak dimaksudkan. Sehingga apabila disebutkan tujuh, bukanlah bermaksud hanya tujuh sahaja. 

Kedudukan hadis ini sangat penting agar kaum Muslimin dapat melaksanakan amalan-amalan yang terkandung di dalamnya, sehingga kita dapat memperoleh perlindungan dan naungan Allah Azza wa Jalla pada hari Kiamat. 

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ.. 

Mereka dinaungi oleh Allah dalam naunganNya.. 

Ada pendapat batil yang mengatakan bahawa mereka (tujuh golongan itu) dilindungi dari matahari, jadi antara mereka dan matahari terdapat Allah. Ini adalah pendapat yang batil, kerana Allah Azza wa Jalla di atas segala sesuatu sedangkan matahari dan golongan ini di bawah ‘Arasy Allah. Jadi yang benar adalah mereka (tujuh golongan itu) akan dilindungi oleh Allah di bawah ‘ArasyNya, kerana Allah di atas segala sesuatu dan berpisah dengan makhlukNya. 

Lafaz فِي ظِلِّهِ, iaitu idhafah (penyandaran) bayangan kepada Allah Azza wa Jalla. Para Ulama mengatakan, إِضَافَتُهُ إِلَى اللهِ إِضَافَةُ تَشْرِيْفٍ. Penyandarannya kepada Allah, iaitu penyandaran yang bertujuan untuk memuliakan iaitu menunjukkan kemuliaan, seperti masjidullaah, baitullaah, dan selainnya. Dalam riwayat lain, dijelaskan bahawa naungan yang dimaksud adalah naungan ‘Arasy Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah dari Salman al-Farisi radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهِ فِيْ ظِلِّ عَرْشِهِ 

Tujuh golongan yang dilindungi di bawah naungan ‘Arsy-Nya… Fat-hul Bâri (II/144).


Kelak di hari Kiamat, manusia akan sangat memerlukan perlindungan Allah Azza wa Jalla. Pada hari itu mereka akan dikumpulkan di tempat lapang yang sangat luas, tidak ada naungan apa pun juga. Mereka dikumpulkan dalam keadaan telanjang, tidak memakai alas kaki, tidak ada sehelai benang pun di tubuhnya, lelaki dan perempuan sama. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ تُحْشَرُوْنَ إِلَى اللهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلاً 

Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dihimpun (pada hari Kiamat) menuju Allah Azza wa Jalla dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, dan tidak dikhatan (disunat). HR. Al-Bukhâri (no. 3349) dan Muslim (no. 2860 (58) dari Abdullah bin Abbas r.huma


Kemudian matahari didekatkan di atas kepala-kepala manusia, sehingga peluh keringat bercucuran membasahi tubuh mereka. Sebahagian manusia, ada yang terendam sebatas mata kakinya, ada yang terendam sebatas lututnya, ada yang sampai pinggangnya, ada yang sampai bahunya, bahkan ada yang sampai ke mulutnya. Keadaan mereka ini sesuai dengan amalan-amalan mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُوْنَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيْلٍ 

(Pada hari Kiamat) matahari akan didekatkan (oleh Allah) kepada seluruh makhluk hingga hanya sejarak satu jengkal. HR. Muslim (no. 2864 (62)), dari Miqdad bin al-Aswad r.a


Pembahasan tentang tujuh golongan yang dilindungi Allah dalam naunganNya pada kiamat ini sangat penting kerana berkaitan dengan iman kepada hari Akhir serta pengetahuan tentang amalan-amalan yang membawa kita dalam naungan dan perlindungan Allah Azza wa Jalla. 

1. Seorang imam yang adil 

Yang dimaksudkan dengan Imam iaitu seorang yang mempunyai kekuasaan besar seperti raja, presiden atau yang mengurusi urusan kaum Muslimin. Yang dimaksudkan adil iaitu seorang imam yang tunduk dan patuh dalam mengikuti perintah Allah Azza wa Jalla dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, tanpa melanggar atau melampaui batas dan tidak menyia-nyiakannya. Keadilan seorang imam iaitu dengan menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi dan menyingkirkan segala perbuatan syirik, dan melaksanakan hukum-hukum Allah Azza wa Jalla, sebab kezaliman yang paling zalim adalah perbuatan menyekutukan Allah padahal Allahlah yang menciptakannya. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 

“…Sesungguhnya syirik (menyekutukan Allâh) adalah benar-benar kezaliman yang paling besar.” [Luqman 31:13] 

Kerana tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadah hanya kepada Allah Azza wa Jalla. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 

Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah hanya kepadaKu. [Az-Zaariyat 51:56] 

Apabila imam atau pemimpin atau raja atau presiden tidak melaksanakan syari’at Islam ertinya dia tidak berlaku adil, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kita untuk bersabar. Fenomena yang kita lihat sekarang, jika ada seorang imam, penguasa atau pemimpin yang melakukan kesalahan maka orang-orang berusaha untuk menjatuhkannya dan berebut untuk dapat menggantikannya. 

Menurut syari’at Islam, berkeinginan untuk menjadi penguasa adalah keinginan dilarang, sebagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang para sahabatnya untuk berkeinginan menjadi penguasa. Maka yang menjadi tugas kita sekarang adalah mendokong kebaikannya dan menasihati penguasa yang ada agar dia mampu menegakkan Tauhid di muka bumi ini, dan kita wajib bersabar atas kesalahannya. Kita berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik sesuai dengan syari’at. 

Jika ada pertanyaan, “Bolehkah seorang wanita menjadi penguasa atau pemimpin?” Maka jawabnya, “Tidak boleh.” 

Di dalam hadis di atas pun disebutkan bahawa imam di sini adalah lelaki. Tidak ada wanita dalam hal kepemimpinan. Islam melarang wanita menjadi pemimpin dan melarang suatu kaum menjadikan wanita sebagai pemimpin mereka. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَا يُفْلِحُ قَوْمٌ تَمْلِكُهُمُ امْرَأَةٌ 

Tidak berjaya suatu kaum yang dipimpin oleh seorang wanita. HR. Ahmad (V/43, 47).

Imam al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah menjelaskan tentang keharaman seorang wanita menjadi pemimpin. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa ketika para sahabat radhiallahu 'anhum menyampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang-orang Parsi dipimpin oleh seorang wanita, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ اِمْرَأَةً 

Tidak akan berbahagia suatu kaum jika yang memimpin urusan mereka adalah seorang wanita. HR. Al-Bukhâri (no. 4425, 7099), Ahmad (V/43, 47, 51), at-Tirmidzi (no. 2262), dan an-Nasa-i (VIII/227), dari Abu Bakrah r.a.


Lafazh lan (لَنْ) di sini menunjukkan lit ta’-biid, iaitu untuk selama-lamanya kaum tersebut tidak akan bahagia. Hadis ini dijadikan dalil (dasar) oleh para Ulama tentang tidak diharuskan seorang wanita menjadi pemimpin. Dan ini adalah pendapat jumhur Ulama. 

Imam al-Khattabi rahimahullah berkata, “Seorang wanita tidak boleh menjadi amir atau menjadi qadhi (hakim).” 

Imam al-Baghawi rahimahullah berkata, “Para Ulama sepakat bahawa seorang wanita tidak boleh menjadi imam (penguasa atau pemimpin), juga tidak boleh menjadi qadhi (hakim).” Syarhus Sunnah (X/76-77).

2. Seorang pemuda yang tumbuh (membesar) dalam keadaan beribadah kepada Allah 

Dalam sebuah hadis dari Salman al-Faarisi radhiallahu 'anhu disebutkan: 

أَفْنَى شَبَابَهُ وَنَشَاطَهُ فِي عِبَادَةِ اللهِ 

Dia menghabiskan waktu mudanya dan rajin dalam beribadah kepada Allah. Fat-hul Bâri (II/145).


Pada umumnya, seseorang ketika masa mudanya lebih cenderung kepada kejahatan, kemaksiatan dan perbuatan-perbuatan yang melanggar syari’at. Namun ada orang di saat mudanya malah justeru mengekang hawa nafsunya dan beribadah kepada Allah Azza wa Jalla. Orang seperti inilah yang akan dilindungi oleh Allah Azza wa Jalla. 

3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid 

Dalam riwayat at-Tirmizi disebutkan, 

وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْـمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إِلَيْهِ … 

Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, apabila dia keluar dari masjid hingga kembali kepadanya… HR. At-Tirmidzi (no. 2391). Lihat Irwâ-ul Ghalîl (no. 887).


Hal ini menunjukkan tentang rasa cintanya kepada masjid untuk solat dan zikir kepada Allah Azza wa Jalla. Hatinya bagaikan lampu pelita yang terpasang di atapnya, di mana tidaklah dia keluar darinya melainkan dia akan kembali. Kata rajulun (seorang lelaki) disini hanya terbatas pada lelaki sahaja kerana perempuan tidak diperintahkan untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah, dalam ertikata untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Namun dianjurkan bagi para wanita Muslimah untuk melaksanakan solat di rumah mereka, 

وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma


Sedangkan bagi lelaki diwajibkan untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Wanita Muslimah solat di rumah-rumah mereka lebih baik daripada di masjid, akan tetapi apabila mereka meminta izin kepada suami untuk solat di masjid, maka suami hendaklah mengizinkannya dengan syarat tidak menimbulkan fitnah. Pakaiannya mestilah menutup seluruh tubuh dan tidak memakai minyak wangi. 

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَاتَمْنَعُوْا نِسَائَكُمُ الْـمَسَاجِدَ، وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ 

Janganlah kamu melarang isteri-isteri kamu (untuk datang) ke masjid, sedangkan rumah-rumah mereka itu lebih baik bagi mereka. HR. Ahmad (II/76) dan Abu Dawud (no. 567) dari Ibnu ‘Umar r.huma

Dalam hadis yang lain, baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 

لَا تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ 

Janganlah kamu melarang para wanita (solat) di masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak memakai minyak wangi. HR. Ahmad (II/438) dan Abu Dawud (no. 565), dari Abu Hurairah r.a. - Lihat Shahîh Sunan Abi Dawud (III/101, no. 574, cet Gharras)


4. Dan orang yang saling mencintai di jalan Allah, dia berkumpul dan berpisah keranaNya 

Imam an-Nawawi rahimahullah memasukkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Solihin pada bab “Keutamaan Cinta kerana Allah”. Mencinta seseorang hanya kerana Allah Azza wa Jalla adalah cinta yang tidak dapat dinodai oleh unsur-unsur keduniaan, ketampanan, harta, kedudukan, fasiliti, suku, bangsa dan yang lainnya. Akan tetapi dia melihat dan mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla dan kekuatannya dalam meninggalkan laranganNya. 

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan, “Disebut dengan dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, di mana dia berpisah dan berkumpul keranaNya, iaitu apabila keduanya saling mencintai kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Dan cinta agama ini tidak putus kerana dunia, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sehingga ajal memisahkan keduanya.” 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Humaidi disebutkan bahawa yang dimaksudkan iaitu dia berkumpul di atas kebaikan. Fat-hul Bâri (II/145).


Kemudian sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: 

تَفَرَّقَا عَلَيْهِ 

Keduanya berpisah keranaNya 

Iaitu keduanya berkumpul dan berpisah hanya kerana Allah Azza wa Jalla, badannya berpisah kerana musafir atau kematian tetapi rohnya tetap berkumpul di atas manhaj Allah Azza wa Jalla. Bahjatun Nâzhirîn (I/445)

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata, 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اَلْأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا اِئْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اِخْتَلَفَ

Roh-roh itu selalu berkumpul dan berhimpun, siapa yang kenal ia akan berkumpul; dan siapa yang tidak saling mengenal, maka ia berpisah. HR. Al-Bukhâri (no. 3336), Muslim (no. 2638 (159-160)), Abu Dawud (no. 4834), dan selainnya.

Hal ini juga berlaku bagi dua orang wanita Muslimah yang saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla, iaitu cinta dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Oleh sebab itu, apabila kita mencintai seseorang kerana ketaatannya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan kesungguhannya dalam menjauhi laranganNya, maka dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar kita memberitahukan kepadanya. 

Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, iaitu: 

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ 

Sesungguhnya aku cinta kepadamu kerana Allah… 

Kemudian jawabannya adalah: 

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ 

Mudah-mudahan Allah mencintaimu yang telah mencintaiku keranaNya. HR. Abu Dawud (no. 5125), al-Hâkim (IV/171), dan selainnya.


Saling mencintai kerana Allah Azza wa Jalla memiliki keutamaan yang sangat besar, bukan hanya mereka akan dikumpulkan dan diberikan naungan, bahkan mereka akan diberikan mimbar-mimbar dari cahaya oleh Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. 

Sebagaimana hadis dari Abu Zar radhiallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman: 

اَلْـمُتَحَابُّوْنَ فِي جَلاَلِي، لَهُمْ مَنَابِرُ مِنْ نُوْرٍ يَغْبِطُهُمُ النَّبِيُّوْنَ وَالشُّهَدَاءُ 

Orang yang saling mencintai berada dalam lindunganKu; diberikan bagi mereka mimbar-mimbar dari cahaya yang dicita-citakan oleh para Nabi dan syuhada‘ (orang-orang yang mati syahid). HR. Ahmad (V/ 239), at-Tirmidzi (no. 2390), dan selainnya. Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 3019).


5. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata, “Sungguh aku takut kepada Allah.” 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ 

Dan seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu lelaki tersebut berkata: ‘Sungguh aku takut kepada Allah. 

Hal ini bukan hanya berlaku bagi lelaki, namun juga bagi wanita. Apabila dia diajak berzina oleh lelaki kemudian dia menolaknya sambil mengatakan, 

إِنِّي أَخَافُ اللهَ رَبَّ الْعَالَمِيْنَ 

Sungguh aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam. 

Iaitu dia takut hanya kepada Allah Azza wa Jalla, maka dia akan diberikan perlindungan olehNya. Disebutkan lelaki ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu kisah Nabi Yusuf 'alaihissallam. Baginda diajak oleh seorang isteri penguasa pada waktu itu untuk berzina, namun baginda menolaknya. Allah Azza wa Jalla melarang seseorang mendekati perbuatan zina. 

Allah Azza wa Jalla berfirman: 

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا 

Dan janganlah kamu mendekati zina; sungguh (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk. [Al-Israa' 17:32] 

6. Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ 

Seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. 

Sudah diketahui bersama bahawa infaq itu dianjurkan agar dilakukan dengan tangan kanan kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan menggunakan tangan kanan ketika mengambil sesuatu, makan, minum, mahupun bersedekah. Sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Imam Ahmad (VI/94). Juga dalam Sahih al-Bukhari di Kitab az-Zakah terdapat bab dengan judul Bab as-Sodaqati bil yamin (Bab Sedekah dengan Tangan Kanan). Allah Azza wa Jalla sangat menganjurkan para hambaNya untuk bersedekah. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: 

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ 

Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka ianya lebih baik bagi kamu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah Maha teliti akan apa yang kamu kerjakan. [Al-Baqarah 2:271] 

Menyembunyikan sedekah dalam Islam memiliki keutamaan, iaitu dapat menjauhkan diri dari sifat riak. Maka sangat dianjurkan untuk bersedekah dalam keadaan sendirian dan sembunyi-sembunyi, tidak terang-terangan. Namun pada waktu-waktu tertentu kadang diperlukan memberikan sedekah secara terang-terangan, misalny di suatu tempat didapati orang-orang yang sangat sulit untuk bersedekah, maka dianjurkan untuk memulakannya secara terang-terangan agar menjadi contoh bagi mereka. Sebagaimana asbabul wurud (sebab-sebab datangnya hadis), sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْء

Sesiapa yang memulakan sunnah dalam Islam dengan sunnah yang baik, maka diberikan pahala baginya dan pahala orang-orang yang mengamalkannya setelahnya tanpa dikurangi sedikit pun dari pahala-pahala mereka… HR. Muslim (no. 1017), an-Nasa-i (V/76), dan selainnya.


Sedekah wajib dilakukan dengan ikhlas, sebagaimana ibadah-ibadah lainnya. Orang yang riak dalam beramal, baik ketika memberikan sedekah mahupun yang lainnya, maka amalannya itu tidak bernilai di sisi Allah Azza wa Jalla. Iaitu jika dia ingin dilihat orang, ingin didengar, atau dia mengungkit-ungkit amalan yang dilakukannya, maka amalan itu tidak akan diterima oleh Allah Azza wa Jalla. 

Allâh Azza wa Jalla berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ia menjadi bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir itu. [Al-Baqarah 2:264] 

Maksud dari seseorang yang menyembunyikan sedekah yang dilakukan dengan tangan kanannya dari tangan kirinya adalah orang ini bersungguh-sungguh dalam menyembunyikan sedekahnya hingga tangan kirinya, meskipun dekat dengan tangan kanan (padahal berada dalam satu tubuh), tidak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanannya dalam sedekahnya tersebut. Fat-hul Bâri (II/147) karya al-Hâfizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Namun bagi para isteri dianjurkan meminta izin kepada suaminya jika ingin bersedekah. 

7. Seseorang yang mengingat Allah Azza wa Jalla dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir 

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ 

Dan seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sepi (bersendirian) lalu air matanya mengalir. 

Iaitu, seorang lelaki yang mengingati Allah atau berzikir kepadaNya, berzikir dengan hati dan lisannya, dan dalam keadaan sepi lalu air matanya mengalir. Penyebutan rajulun (seorang lelaki) bukan pembatasan kerana ini juga berlaku bagi kaum wanita. Jika seorang Muslimah mengalir air matanya tatkala berzikir kepada Allah Azza wa Jalla di kala sepi, maka dia berhak mendapat naungan Allah Azza wa Jalla di hari Kiamat. Penyebutan syarat dalam keadaan sepi di sini kerana di saat itu sangat jauh dari perbuatan riak. 

Tentang mengalir air matanya kerana takut kepada Allah terdapat beberapa keutamaan, di antaranya tidak disentuh oleh api Neraka. 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ. 

Ada dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga kerana menjaga peperangan di jalan Allâh. HR. At-Tirmidzi (no. 1639). Lihat Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb (no. 1229).

Berzikir (mengingati) Allah Azza wa Jalla, baik dengan membaca zikir, doa mahupun bangun untuk solat di tengah malam, mesti sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jadi, zikir-zikir, doa atau amalan lainnya, sama ada jenis, kaifiyat (tatacara), waktu mahupun bilangannya, yang tidak dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan tertolak. 

Kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ 

Sesiapa yang mengerjakan suatu amalan yang tidak dicontohkan dari kami maka ia tertolak. HR. Al-Bukhâri (no. 2697) dan Muslim (no. 1718 (18)).


Demikian juga apabila seorang suami yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat Tahajjud, kemudian dia membangunkan isterinya untuk melakukan solat Tahajjud atau sebaliknya, maka keduanya termasuk orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah Azza wa Jalla. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

 إِذَا اسْتَيْقَظَ الرَّجُلُ مِنَ اللَّيْلِ وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّيَا رَكْعَتَيْنِ كُتِبَا مِنَ الذَّاكِرِيْنَ اللهَ كَثِيْرًا وَالذَّاكِرَاتِ 

Seorang suami yang bangun ditengah malam dan membangunkan isterinya lalu keduanya solat malam, maka keduanya termasuk lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. HR. Abu Dawud (no. 1451), Ibnu Mâjah (no. 1335) dan al-Hâkim (I/316). Hadits ini dishahihkan oleh Syaikh al-Albani t dalamShahîh al-Jâmi’ish Shaghîr (no. 333).


BEBERAPA FAEDAH

  1. Keutamaan seorang imam atau pemimpin yang adil, yang berhukum dengan syariat-syariat Allah Azza wa Jalla dan memperhatikan rakyatnya. 
  2. Keutamaan anak muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla dan tidak berbuat maksiat kepadaNya serta tidak berbuat kejahatan, begitu juga wanita. 
  3. Wajib mendidik anak-anak dalam taat kepada Allah Azza wa Jalla dan mengajarkan tauhid kepada mereka dan akhlak yang mulia. 
  4. Keutamaan orang yang selalu datang ke masjid dan hatinya selalu bergantung kepadanya untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dan menegakkan solat berjamaah. 
  5. Wajib bagi lelaki solat berjamaah di masjid, sementara bagi kaum wanita, rumah merupakan tempat solat terbaik mereka. 
  6. Hati seorang Muslim selalu rindu untuk ibadah di masjid. 
  7. Cinta yang sebenar, dilakukan di jalan Allah dan semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla . 
  8. Wajib menutup jalan yang membawa kepada perzinaan. 
  9. Keutamaan menjaga diri dan berpaling dari perbuatan zina kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  10. Berzina adalah perbuatan keji, dosa besar dan seburuk-buruk jalan. 
  11. Keutamaan sedekah yang tersembunyi jauh dari perbuatan riak.
  12. Keutamaan berasa diawasi oleh Allah Azza wa Jalla dan takut kepada Allah Azza wa Jalla disaat sendirian. 
  13. Keutamaan menangis kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla. 
  14. Keutamaan berzikir kepada Allah Azza wa Jalla ketika sendirian. 
  15. Sesungguhnya ganjaran itu bergantung dari keikhlasan dan sesuai dengan Sunnah.

RUJUKAN

Kutubussittah. 
Musnad Imam Ahmad Darul Fikr. 
Al-Mustadrak, oleh Imam al-Hâkim. 
Riyâdhush Shâlihîn. 
Shahîh al-Jâmi’ish Shaghîr, oleh Syaikh al-Albani. 
Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb, oleh Syaikh al-Albani. 
Bahjatun Nâzhirîn Syarh Riyâdish Shâlihin, oleh Syaikh Salim bin ‘Ied al-Hilali. 
Syarhus Sunnah, oleh al-Baghawi. 
Dan kitab lainnya


[Majalah As-Sunnah Edisi 06/Tahun XVIII/1436H/2014M] 

(*) Disunting semula kepada Bahasa Melayu, manakala nota kaki diubah dihujung rujukan serta dikecilkan.

Rabu, 29 April 2020

Berpaling Dari Agama Allah Dengan Tidak Mahu Belajar dan Beramal Dengannya Membatalkan Keislaman

Berkata Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah Al-Fauzan hafizahullah:

“Yang kesepuluh (dari pembatal keislaman) ia adalah yang terakhir, (iaitu) berpaling dari agama Allah, tidak peduli dengan agamanya, tidak mempelajarinya, jika mempelajarinya namun tidak mengamalkannya.

Pertamanya, dia berpaling dari ilmu, kemudian berpaling dari beramal, maka kita memohon kepada Allah keselamatan darinya. Sehingga kalau sekiranya dia beramal sekalipun maka dia telah beramal di atas selain ilmu, yang dia amalkan  merupakan kesesatan. Oleh itu, dia mestilah mempelajarinya terlebih dahulu kemudian barulah beramal.

Adapun sesiapa yang mencari ilmu dan meninggalkan beramal dengannya, maka ini termasuk golongan yang dimurkai ke atas mereka seperti yang kita selalu memohon perlindungan darinya pada setiap rakaat (solat):

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ ٰ⁠طَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ ۝  صِرَ ٰ⁠طَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (Al-Fatihah: 6-7)

Sesiapa yang berpaling dari agama Allah dengan tidak mahu mempelajarinya dan tidak beramal dengannya, maka sesungguhnya dia telah murtad dari agama Allah.




Allah Jalla wa 'ala berfirman:

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit...” (Ta-Ha: 124)

Berpaling ingkar dari mengingatiKu maksudnya tidak mahu mempelajarinya dan tidak beramal dengannya.

 وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ عَمَّآ أُنذِرُواْ مُعۡرِضُونَ

“...dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.” (Al-Ahqaf: 3)

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعۡرَضَ عَنۡهَآۚ إِنَّا مِنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.” (As-Sajdah: 22)

Berpaling darinya setelah diberi peringatan dengannya.

Di sana ada manusia yang tidak mahu mempelajari kerana kemalasan. Maka ini tidaklah menjadi kafir. Akan tetapi dicela di atas kemalasannya. Adapun jika dia meninggalkan menuntut ilmu kerana tidak suka pada ilmu tersebut, maka inilah yang dimaksudkan dengan berpaling ingkar, wal'iyazubillah. Inilah yang menyebabkannya menjadi kafir. Akan tetapi jika dia seorang yang suka pada ilmu dan mencintai ilmu akan tetapi dia memiliki kemalasan, kerana dalam menuntut ilmu ada kesusahan yang menuntut agar dia bersabar, menuntut dia agar memikul beban, menuntutnya duduk (di majlis-majlis ilmu - pent), maka dia seorang yang pemalas. Maka dia dicela di atas kemalasannya dan di atas kecuaiannya, namun tidaklah sampai kepada peringkat menjadi kafir.”

Sumber: Silsilatu Syarhi Ar-Rasa-il, Nawaqidul Islam, halaman 235-236, Dar Al-Furqan.
_______________
Al-MuwahhidunMy Channel
Artikel-artikel Islam, audio dan video bermanfaat berasaskan Manhaj Ahli Tauhid dan Salafus Soleh

telegram.me/almuwahhidunmy
fb.com/almuwahhidunmy
instagram.com/almuwahhidunmy
twiter.com/almuwahhidunmy

Khamis, 6 Februari 2020

BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ALLAH (BAHAGIAN 1)

Berhukum dengan selain hukum Allah telah menjadi sebuah topik yang hangat dibincangkan dari zaman dahulu hingga kini. Umat Islam telah terbahagi dan berpecah dalam memahami tentang masalah ini. 

Ringkasnya, golongan Khawarij menyatakan pelaku dosa besar telah kafir dan murtad sehingga jenazahnya dilarang dikubur di tanah perkuburan Islam meskipun ketika hidupnya dia solat, puasa, zakat dan haji. Golongan ini menyamakan maksud fasiq dan zalim sebagai kufur (kafir). Padahal yang benar adalah, setiap maksiat dan dosa itu tidaklah sama tingkatannya. Ada dosa dan maksiat yang menyebabkan fasiq, ada yang menyebabkan zalim dan ada yang menyebabkan kafir. Permasalahan ini perlulah diperhatikan dengan teliti.

Golongan Muktazilah pula mengatakan pelaku dosa besar bukan mukmin dan bukan kafir. Ia dikenali dengan istilah "Al-Manzilatu Bainal-Manzilatain." Namun Muktazilah dan Khawarij sama-sama bersetuju hukuman bagi pelaku dosa besar di akhirat akan kekal di dalam api neraka. Maka secara penilaian akhiratnya bagi kedua-dua golongan ini adalah sama sahaja.

Wujud satu lagi kumpulan yang bertentangan dengan dua golongan di atas, iaitulah golongan Murjiah. Meraka berpandangan bahawa perbuatan dosa tidak merosakkan keimanan sama sekali. Pelaku dosa dan maksiat menurut mereka tidak akan menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam api neraka jika pelakunya masih memiliki iman di dalam hati. Lebih parah lagi, mereka mengatakan iman orang-orang fasiq itu sama sahaja dengan imannya Abu Bakar r.a dan Umar ra. Pendapat golongan Murjiah ini jelas bertentangan dengan keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan iman itu, merangkumi 3 elemen iaitu meyakini di dalam hati, mengungkapkannya dengan lisan/lidah (mengucapkannya), dan diamalkan/dibuktikan dengan perbuatan/amalan (anggota badan).

KEYAKINAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa dalam masalah berhukum dengan selain hukum Allah ini adalah dengan mengumpulkan keseluruhan nas-nas yang ada di dalam setiap permasalahan agama. Keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah menyelisihi 3 golongan yang telah disebutkan di atas.

Menurut ulama: "Sesungguhnya seseorang manusia itu kemungkinan berhimpun pada dirinya kufur, iman, syirik dan tauhid, taqwa dan kejahatan serta kemunafikan dan keimanan."

Al-'Allamah Ibnu Abil 'Izz Ad-Dimasyqi rahimahullah (wafat 792 Hijrah) berkata: "Sesungguhnya berhukum dengan selain dari apa yang telah diturunkan oleh Allah boleh jatuh kufur yang mengeluarkan dari agama dan boleh juga menjadi kufur majazi atau kufur kecil. Ini adalah bergantung kepada hal keadaan hakim (atau pemerintah): maka jika sekiranya dia beriktikadkan bahawa berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah adalah tidak wajib, dan dengan ini dia mempunyai pilihan (sama ada untuk berhukum dengannya atau tidak); atau pun dia meringan-ringankan (suruhan berhukum dengannya) padahal dia benar yakin bahawa ianya adalah hukum Allah - maka ini adalah kufur akbar (besar). 

Sekiranya dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan dia berpengetahuan (berilmu) akansuruhan ini, tetapi dia tidak melaksanakannya padahal dia mengakui bahawa perbuatannya itu berhak untuk diberi balasan buruk (di akhirat kelak), maka orang ini merupakan pelaku dosa yang digelar kufur majazi atau kufur kecil. 

Seterusnya, sekiranya dia jahil berkenaan (cara perlaksanaan) hukum Allah sedangkan dia giat berusaha meluangkan masanya untuk memahami hukum (Allah) tersebut, namun dia masih melakukan kesilapan, maka orang ini merupakan seorang pembuat kesalahan yang diberikan ganjaran baik atas usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu adalah dimaafkan." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, halaman 348-349)

Al-Imam Abu Jaafar At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah), dalam kitabnya mengatakan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة بذنب، ما لم يستحله

"Dan kita tidak mengkafirkan seseorang pun dari ahli kiblat dengan sesuatu dosa selagi dia tidak menghalalkan dosa-dosa tersebut..."

Berkata Al-Imam Ibnu Abil 'Izz rahimahullah pada menjelaskan matan kitab Aqidah Tahawiyah di atas: "Sesungguhya seseorang yang beriman dari segi zahir dan batinnya, tetapi sekiranya dia membuat satu takwilan (tafsiran) di mana dia telah tersalah dalam takwilannya itu sama ada dengan ijtihad (darinya) atau pun penyelewengan yang merupakan satu kemaksiatan (darinya) maka tidaklah dihukumkan bahawa keimanannya terus telah terbatal disebabkan hanya dengan perbuatannya ini sahaja melainkan ada dalil-dalil syarak yang mengatakan demikian. Bahkan cara ini adalah merupakan sama dengan amalan golongan Khawarij dan Muktazilah. Tidaklah pula kita mengatakan bahawa dia tidak kufur (dengan perbuatannya itu). Malah pengimbangan antara keduanya itulah pendirian yang pertengahan; iaitu sesungguhnya pendapat-pendapat yang batil, bidaah dan haram yang merupakan penafian apa yang telah dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w, atau menetapkan apa yang telah dinafikan olehnya, atau menyuruh apa yang telah dilarangnya, atau melarang apa yang telah diperintahkan, kesemuanya ini hendaklah dihukumkan dengan hak dengan menetapkan segala balasan-balasan buruk yang telah dikenakan ke atasnya sebagaimana yang telah disebut dalam nas-nas.

Hendaklah dijelaskan bahawa (perbuatan itu) adalah kufur. Kemudian dikatakan pula bahawa sesiapa yang berpendapat atau berbuat begitu, maka dia telah kafir. Ataupun dengan cara-cara yang lain seperti itu...

Ada pun pada individu-individu tertentu (mu'ayyan), sekiranya ditanya sama ada mereka ini disaksikan sebagai ahli neraka atau mereka adalah ahli kafir; maka kita tidaklah menyaksikan demikian ke atasnya melainkan dia telah melakukan sesuatu perkara yang membatalkan dua kalimah syahadahnya. Sesungguhnya adalah menjadi satu kesalahan dengan mengatakan ke atas seseorang individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya, tidak akan merahmatinya, bahkan mengekalkannya di dalam neraka. Sesungguhnya, ini merupakan hukuman kekafiran selepas kematian.

Oleh kerana itu, Imam Abu Daud telah meriwayatkan dalam kitab hadisnya iaitu "Sunan Abi Daud" di dalam Kitab Al-Adab; Bab Penegahan Terhadap Kesalahan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada suatu masa ada dua lelaki dari Bani Israil yang saling bersahabat. Salah seorang darinya selalu melakukan dosa dan yang seorang lagi sentiasa bergiat di dalam beribadat. Senantiasa orang yang membuat ibadat itu mendapati seorang yang lagi satu itu melakukan dosa. Dia pun berkata: "Berhentilah (kamu dari berbuat dosa)." Maka pada suatu hari dia mendapati temannya melakukan dosa lagi, lalu dia pun berkata: "Berhentilah." Maka dijawab (oleh pelaku dosa itu): "Biarlah aku dengan Tuhanku. Adakah kamu ini diutuskan untuk menjadi pemerhati ke atasku?" Berkatalah seorang yang selalu beribadat itu: "Demi Allah, tidak akan diampunkan Allah terhadap kamu." Ataupun: "Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga." Maka Allah SWT mencabut nyawa keduanya dan dihadapkan bersama-sama di sisi Tuhan sekalian alam seraya berfirman kepada yang giat dalam beribadat: "Adakah kamu mengetahui ke atas diriKu? Atau adakah kamu berkuasa di atas apa yang ada di antara kedua TanganKu?" Maka Allah pun berfirman kepada si pembuat dosa itu: "Pergilah dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu." Dan Allah berfirman terhadap lelaki yang satu lagi: "Bawalah dia masuk ke dalam neraka." Maka Abu Hurairah r.a berkata: "Demi diriku yang berada diTanganNya, dia (orang yang giat beribadat itu) telah mengatakan sesuatu perkataan yang memusnahkan (kehidupan) dunia dan akhiratnya." Hadis ini martabatnya hasan (baik).

Ini adalah kerana seseorang individu itu adalah mungkin merupakan seorang yang telah tersalah dalam ijtihadnya yang diampunkan dosanya, ataupun mungkin dari golongan yang tidak sampai nas-nas yang lain kepadanya selain dari apa yang ada di sisinya, ataupun kemungkinan dia mempunyai keimanan yang teguh yang menghasilka ganjaran-ganjaran (baik) yang mewajibkan dianugerahi rahmat Allah kepadanya sepertimana telah diampunkan orang yang berkata (dalam satu riwayat hadis): "Sekiranya aku mati, maka hancurkanlah aku (sehingga menjadi debu) kemudian taburlah abuku." Kemudian diampunkan Allah (terhadap perbuatannya ini) disebabkan takutnya dia (kepada Allah). Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Nasa-i dan Malik. Lelaki ini pada asalnya merasakan bahawa Allah tidak berkuasa untuk menyatukan dan menciptakan semula tubuhnya, atau dia syak (ragu) terhadap kekuasaanNya. Tetapi larangan terhadap kita dalam perkara akhirat (untuk menghukum seseorang itu telah kafir dan tidak akan masuk syurga) tidaklah pula bermakna kita dilarang untuk menghukumnya di dunia, melarang ia dari perbuatan bidaahnya dan menyuruh dia bertaubat. Sekiranya dia tidak mahu bertaubat maka kita wajib menghukum bunuh ke atasnya (disebabkan kemurtadannya atau perbuatan kekufurannya)." (Syarah Aqidah At-Tahawiyah, 340-341)

Bersambung...

Disediakan oleh: 
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Kuala Menggatal
6 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441

Sabtu, 14 Julai 2018

KISAH HAATIM Al-ASHAM PERGI HAJI

Haatim al-Asham (*) termasuk di antara pembesar orang-orang soleh. Hatinya sudah rindu ingin menunaikan haji pada suatu tahun di antara tahun-tahun yang ada. Namun dia belum jua memiliki biaya untuk menunaikan haji, tidak boleh mengadakan perjalanannya, bahkan haji itu tidak wajib tanpa meninggalkan biaya hidup bagi anak-anaknya tanpa keredhaan mereka.
Ketika waktu yang dijanjikan telah tiba, puterinya melihat dirinya bersedih dan menangis, sedang kesolehan terdapat pada puterinya tersebut. Dia berkata kepadanya, “Wahai ayahku, apa gerangan yang membuat engkau menangis?
Dia berkata, “Haji telah tiba.”
“Lalu mengapa engkau tidak pergi haji?” tanya sang puteri.
“Nafkah” jawab sang ayah.
“Allah yang akan memberikan engkau rezeki,” jawab si puteri.
“Lalu apa nafkah kalian?” tanya sang ayah lagi.
“Allah yang akan memberikan kami rezeki,” jawab sang puteri.
“Tetapi perkara ini terpulang kepada ibumu,” kata sang ayah.
Pergilah puterinya tersebut untuk mengingatkan Sang ibu. Hingga akhirnya, ibu dan anak-anak lelakinya berkata kepada Hatim, “Pergilah haji, Allah yang akan memberikan kami rezeki.”
Hatim pun berangkat pergi haji. Dia hanya meninggalkan nafkah untuk tiga hari buat mereka.
Dia berangkat pergi haji sementara tidak ada sesen pun harta bersamanya yang dapat digunakan untuk mencukupi keperluannya. Dia berjalan di belakang kafilah. Di awal perjalanan, seekor kalajengking menyengat pemimpin kafilah, membuat mereka bertanya siapa yang dapat meruqyah dan mengubatinya. Mereka pun mendapati Hatim. Lantas dia meruqyahnya sehingga Allah menyembuhkan pemimpin kafilah dari kebinasaannya.
Pimpinan kafilah berkata, “Nafkah pulang dan pergi (Haatim), saya yang akan menanggungnya.”
Haatim pun berdoa, “Ya Allah, ini adalah pemeliharaanMu kepadaku, maka perlihatkanlah pemeliharaanMu kepada keluargaku.”
Setelah berlalu masa tiga hari sementara nafkah yang ditinggalkan di sisi anak-anak telah kehabisan. Mulailah rasa lapar menyelubungi mereka, sehingga mereka mulai mencela si anak perempuan. Namun dia hanya tertawa. Mereka berkata, “Apa yang membuatmu tertawa sementara rasa lapar hampir membunuh kita.” Dia balik bertanya, “Ayah kita ini Razzaq (Yang Memberi Rezeki) atau yang memakan rezeki?”
“Yang memakan rezeki, kerana ar-Razzaq itu hanyalah Allah,” jawab mereka.
“Kalau begitu telah pergi yang memakan rezeki dan tinggallah Yang Memberi Rezeki (ar-Razzaq),” jawab anak perempuan.
Ketika dia tengah berbicara dengan mereka, tiba-tiba pintu diketuk. “Siapa di pintu?” tanya mereka.
“Sesungguhnya Amirul Mukminin (gelaran bagi khalifah atau pemimpin negara - penyunting) meminta air minum kepada kalian,” jawab si pengetuk pintu.
Kemudian, mereka pun memenuhkan bekas dengan air. Minumlah Sang Khalifah, maka dia merasakan kelazatan pada air tersebut yang belum pernah dirasakannya. Dia bertanya, “Dari mana kalian mendapatkan air ini?” “Dari rumah Haatim,” jawab mereka. “Kalian panggil dia supaya aku dapat membalas budinya,” perintah Khalifah. “Dia sedang menunaikan haji,” jawab mereka. Maka Amirul Mukminin melepaskan tali pinggangnya –dan itu merupakan tali pinggang yang dibuat dari kain tenun mewah yang bertabur permata– seraya berkata, “Ini untuk mereka (keluarga Haatim).” Kemudian dia berkata, “Sesiapa yang memiliki tangan atasku –iaitu sesiapa yang mencintaiku-?” Maka setiap menteri dan pedagang melepaskan tali pinggang mereka untuk mereka hingga bertompuklah tali pinggang-tali pinggang tersebut. Kemudian salah seorang pedagang membeli semua tali pinggang tersebut dengan emas sepenuh rumah yang dapat mencukupkan keperluan mereka (keluarga Haatim) hingga ajal menjemput, lalu mengembalikan lagi tali pinggang-tali pinggang itu kepada mereka (para pemiliknya).
Mereka (keluarga Haatim) membeli makanan dan tertawa ceria. Namun si anak perempuan pula menangis. Sang ibu berkata kepadanya, “Keadaanmu sungguh menghairankan wahai puteriku. Ketika kami menangis kerana lapar, kamu malah tertawa. Namun ketika Allah telah memberikan jalan keluar kepada kita, kamu malah menangis?!”
Sang anak menjawab, “Makhluk yang tidak menguasai manfaat mahupun madharat untuk dirinya sendiri ini (iaitu Khalifah) melihat kepada kita dengan pandangan hiba yang mencukupkan kita dari kematian, lalu bagaimana kiranya dengan Raja segala raja?!”
Itulah kepercayaan (thiqah) kepada Allah.
Itulah kepercayaan kepada ar-Razzaaq yang memiliki kekuatan lagi sangat kukuh.
Itulah kekuatan iman dan kekuatan tawakkal kepada Allah.
Maha suci Allah, di mana kita dibanding mereka?!
Ketika Allah memilih engkau untuk menempuh jalan hidayahNya, bukanlah kerana engkau istimewa atau kerana ketaatan yang engkau kerjakan! Namun itu semata rahmat dariNya yang menyelimutimu. Boleh jadi, Allah akan mencabutnya darimu bila-bila saja. Oleh kerana itu, janganlah engkau tertipu dengan amalanmu mahupun ibadahmu! Janganlah engkau kira kecil amalan orang-orang yang telah sesat dari jalanNya!
Seandainya bukan kerana rahmat Allah kepadamu, nescaya engkau sudah menduduki tempatnya.
Ulangilah membaca kisah ini dengan perlahan dan tenang!
Dari fawaid asy-Syaikh Fawwas al-Madkhali hafizhahullah. Dinukil dari Sahab (http://www.sahab.net/forums/index.php?showtopic=137426)
Sumber : Majmu’ah an-Nahjul Wadhih
Alih bahasa : Syabab Forum Salafy

(*) Haatim Al-Asham seorang yang zuhud yang menjadi teladan Rabbani. Nama sebenar beliau Haatim bin 'Unwan bin Yusuf, kuniah (gelaran) beliau Abu Abdurrahman. Dikatakan selain beliau seorang zuhud, yang mempunyai kata-kata yang Jalil (mulia), wa'iz (pemberi nasihat) yang berhikmah, beliau juga dikatakan sebagai "Luqman Hazihi Al-Ummah" maksudnya Luqman (al-Hakim) bagi umat ini. Berkata Abul Qasim bin Mandah, dan Abu Tahir As-Salafi: Haatim Al-Asham wafat pada tahun 237 Hijrah. (Siyar A'lam An-Nubala, Az-Zahabi).

Disunting oleh: Mohd Safwan B. Mohd Rusydi

Sabtu, 14 April 2018

PAHALA YANG DIHADIAHKAN KEPADA MUKMIN

Mengenai pahala yang dihadiahkan kepada seseorang seperti pahala sedekah, atau pahala bacaan, atau pahala ibadah haji dan yang seumpama dengannya, maka telah ittafaq (sepakat) ahli sunnah mengatakan bahawa pahala orang mukmin yang mati dapat manfaat daripada hasil usaha dan kerja daripada orang yang hidup dengan dua perkara berikut:

Pertama: Sesuatu yang telah diusahakan oleh si mati pada masa hidupnya dan berkekalan sampai selepas matinya, kerana thabit daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو ولد صالح يدعو له أو علم ينتفع به من بعده

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, anak soleh yang berdoa kepadanya dan ilmu yang dimanfaatkan setelahnya."

Kedua: Doa dan istighfar orang-orang Islam, amalan sedekah dan ibadah haji, akan tetapi ulama berselisih terhadap ibadah tubuh badan seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.
 Sumber: Google

Menurut pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf mengatakan sampai pahala amalan tersebut kepada si mati. Tetapi menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'i dan Maliki mengatakan ianya (pahala amalan tersebut) tidak sampai kepada si mati.

Dalil-dalil yang menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada amalan yang ia tidak mengerjakan ialah firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman..." (Al-Hasyr 59 : 10)

Allah memuji mereka kerana mereka beristighfar (memohon keampunan) kepada orang-orang mukmin sebelum mereka. Maka jelaslah bahawa orang-orang yang mati mendapat manfaat daripada istighfar orang-orang yang hidup. 

Dalil yang menunjukkan si mati dapat manfaat daripada doa orang hidup ialah Ijmak Ulama menyuruh agar berdoa kepada si mati di dalam solat jenazah. Dan hadis yang menyebutkan doa-doa dalam solat jenazah amatlah banyak sekali. Begitu juga doa setelah dikebumikan si mati.

Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya apabila menziarahi kubur maka hendaklah berdoa:

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: "Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kampung (kubur), dari kalangan para mukminin dan muslimin. Dan kami ini insyaAllah, akan menyusul kamu. Kami memohon ke atas kami keselamatan dan ke atas kamu ." (Riwayat Muslim)

Dalil yang menunjukkan sampainya pahala sedekah kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha:

 أن رجلا أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، إن أمي افتلتت نفسها ولم توص وأظنها لو تكلمت تصدقت أفلها أجر إن تصدقت: قال نعم.

Maksudnya: "Ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu telah mati mengejut (tiba-tiba), maka dia tidak sempat berwasiat. Dan saya menyangka kalau dia sempat bercakap, dia pasti akan (menyatakan) akan mengeluarkan sedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika saya bersedekah (untuknya)?' Baginda menjawab: 'Ya.'" (Muttafaqun Alaih dan Lafaz ini milik Muslim).

Hadis yang semakna dengan hadis seperti ini masih banyak lagi. Dan dalil yang menunjukkan sampainya pahala puasa kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha, sabda Rasulullah s.a.w:

 من مات وعليه صيام صام عنه وليه

Maksudnya: "Sesiapa yang mati, sedang dia mempunyai puasa wajib (yang sepatutnya dikerjakan), maka hendaklah walinya berpuasa menggantikannya." (Muttafaqun Alaih)

Dalil yang menunjukkan sampai pahala ibadah haji ialah hadis Ibnu Abbas r.huma:

Maksudnya: "Seorang perempuan daripada kabilah Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. Lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu saya telah bernazar akan mengerjakan haji, dia tidak sempat mengerjakannya sehingga dia mati, adakah saya mesti mengerjakannya sebagai gantinya? Bagaimana pendapat engkau sekiranya engkau mempunyai hutang adakah engkau akan membayarnya? Tunaikanlah hak Allah ianya lebih aula (utama) untuk ditunaikan." (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis-hadis di atas tersebut tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (An-Najm: 39)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ 

Maksudnya: "Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Al-Baqarah: 286)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُون

Maksudnya: "Dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Yasin: 54)

Dr. Muhammad Naim Yasin berkata: "Ini kerana seseorang manusia yang menjadi muslim dan ikatannya dengan saudara muslim yang lain dengan ikatan ukhwah dan iman, pergaulan yang mesra dan kebaikannya yang dicurahkannya kepada manusia, kasih sayangnya kepada mereka adalah termasuk dalam usahanya yang membuatkan mereka berdoa untuknya, menghadiahkan pahala berupa amalan ketaatan untuknya. Perbuatan itu adalah merupakan hasil daripada usahanya. Maka si mati yang mendapat manfaat daripada hadiah pahala yang telah disampaikan (dikirimkan) kepadanya oleh saudaranya yang masih hidup tidaklah bertentangan dengan ayat-ayat (Al-Quran di atas) tadi. Dan ayat-ayat tersebut adalah merupakan ayat Muhkamat (yang jelas) yang tidak boleh ditakwilkan. Ayat-ayat tersebut melambangkan keadilan Allah, memberi pengertian bahawa tidak disiksa seseorang dengan sebab dosa orang lain, dan tidak diambil kesalahan seseorang dengan sebab kesalahan orang lain, seperti hukuman yang dijalankan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di dunia ini.

Ia juga memberi pengertian bahawa tidak beruntung bagi seseorang itu melainkan dengan amalan yang dikerjakan, supaya hilang perasaan tamak dan cita-cita seseorang kepada amalan bapanya, neneknya dan gurunya, tetapi harus (mestilah) diberi perhatian bahawa di sana ada beberapa adat istiadat dan perkara-perkara bidaah, yang tidak termasuk dalam pengertian hadis-hadis yang tersebut, tidak ada dalil-dalil syarak dan tidak ada seorang ulama pun mengatakan harus berbuat demikian, cuma mereka berselisih tentang: Adakah harus mengupah mengajar Al-Quran?

Adapun mengupah membaca Al-Quran serta menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati, atau mengupah orang melakukan solat, puasa dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, maka tidak ada khilaf (perselisihan) tentang ketidakharusannya (tidak boleh), malah yang harus (sepatutnya) ialah membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati dengan cara sukarela dan kemahuan orang yang membaca sendiri dengan tidak (mengharapkan) apa-apa upah pun." (Al-Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya oleh Dr. Muhammad Na'im Yasin, Terjemahan Versi Jawi oleh: Ustaz Abdurrahman bin Abdullah (Patani), Terbitan: Pustaka Darussalam Sdn. Bhd, Halaman 423-424).

14 April 2018
Taman Kuala Menggatal
Disunting olahan bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Ahad, 27 Ogos 2017

SIFAT NUZUL (TURUN)


Nabi ﷺ bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ الأَخِيْرِ يَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِيْ فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ, مَنْ يَسْأَلُنِيْ فَأُعْطِيَهُ, مَنْ يَسْتَغْفِرُنِيْ فَأَغْفِرَ لَهُ

"Tuhan kita Tabaraka wa Ta'ala yanzilu (Turun) pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa seperti akhir (malam) lalu berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka akan Aku perkenankan baginya, sesiapa yang meminta kepadaKu akan Kuberikan kepadanya, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaKu nescaya akan Aku ampunkannya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan ramai lagi).

Darjat Hadis: Mutawatir.

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: "Hadis ini datang dari sekitar 30 orang sahabat." (As-Sowa'iq Al-Mursalah, 1/387).

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata: "Aku telah menyusun hadis-hadis nuzul dalam satu juzuk dan aku telah memastilan bahawa ianya mutawatir." (Al-'Uluw, hlm 100).

Penjelasan:

Sifat nuzul (turun) ini sepertimana sifat-sifat Allah yang lain yang mana ianya tidak menyerupai makhlukNya. Turunnya Allah SWT sesuai dengan keagunganNya. Tidak diketahui kaifiyatNya bagaimana. Ahli sunnah (salafus soleh) beriman dan menetapkannya sebagaimana ia datang, tidak ditakwilkan, tidak dinafikan, tidak pula disamakan dengan turunnya makhluk.

Kelompok mu'attilah (pengingkar sifat Allah) tidak dapat menolak hadis ini kerana ianya sampai ke darjat mutawatir. Biasanya mereka akan berkata: "Ini hadis Ahad (yakni bukan mutawatir) tidak memberikan faedah ilmu!"

Maka timbul syubhat mengatakan: "Maksud turun itu adalah turun perintahNya."

Kita jawab: Dalam hadis tersebut Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya."

Maka adakah mungkin perintahNya berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya." Ini tentu tidak benar. Yang benar ia merupakan firman Allah SWT.

Jika ada yang berkata: "Tuhan kita turun, ertinya yang turun itu adalah salah satu malaikat di antara malaikat-malaikat."

Kita jawab: Adakah mungkin malaikat berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu? Sesiapa yang meminta kepadaKu?" Dan seterusnya. Adakah ini ucapan malaikat atau Allah SWT? Tentulah ucapan ini dari Tuhan Tabaraka wa Ta'ala bukannya malaikat.

Kedua-dua syubhat di atas jelas menunjukkan bukanlah perintahNya yang turun atau malaikatNya yang turun. Ini kerana tidak mungkin perintah atau malaikat yang mengucapkan kalimah-kalimah tersebut seperti di dalam hadis di atas.

Timbul satu lagi syubhat, iaitu kita melihat matahari berputar mengelilingi bumi, lalu dikatakan: "Bagaimana Allah turun, sedangkan malam itu berbeza-beza dari setiap tempat dan negara. Ketika matahari bergerak mengelilingi bumi, maka sebahagian berada pada waktu siang, sebahagian pula berada di waktu malam. Bukankah ini menyebabkan Allah itu turun dan naik terus menerus setiap hari?"

Kita jawab: Perkara ini termasuk urusan Allah yang mana kita tidak mempunyai urusan tentangnya. Dialah Allah yang menundukkan malam dan siang serta menjadikan kedua-duanya silih berganti, dan Dialah juga yang memberitakan tentang Dia nuzul (turun). Maka kita wajib menetapkannya dan tidak perlu bertanya-tanya bagaimana cara atau kaifiyatnya.

Ada juga yang berkata: "Bagaimana Allah turun sedangkan satu pertiga malam itu berbeza-beza disetiap tempat? Jika Allah turun maka ini mengharuskan adanya pergerakan dan perpindahan. Adakah Allah itu berpindah dari Arasy ke langit dunia dan bergerak?"

Maka kita jawab: Jika makhluk yang turun tentulah mengharuskan adanya perpindahan dan pergerakan. Adapun turunnya Allah, maka Dia turun menurut cara yang dikehendakiNya. Kita tidak ketahui bagaimana caranya. Allah turun sebagaimana dikehendakiNya dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia lah yang mencipta langit dan bumi, siang dan malam. Namun kita tidak boleh berpanjangan dalam membicarakan perihal turunNya Allah SWT. Tiada siapa yang mengetahui kaifiyat turunNya Allah.

Kita beriman dengan sifat nuzul sebagaimana ia datang, iaitu setiap malam ketika tersisa satu pertiga akhir malam. Kita menetapkannya dan beriman dengannya.

Tidak boleh kita berkata: "Sesungguhnya sifat nuzul (turun) tidak layak bagi Allah."

Jika kita katakan sedemikian seolah-olah kita ingin memperbetulkan Allah dan RasulNya yang telah menetapkan sifat nuzul tersebut. Seakan-akan kita pula yang lebih tahu tentang Allah dari Rasulullah ﷺ sendiri tentang Allah Ta'ala. Ini merupakan bentuk tidak beradab (biadab) terhadap Allah SWT kerana Allah dan Rasul menetapkannya, manakala kita berusaha untuk menafikannya dengan berbagai macam andaian seperti jika Allah turun maka mengharuskan bergerak dan berpindah dan seterusnya daripada andaian-andaian yang batil.

Wallahua'lam.

(Rujukan: Syarah Al-Manzumah Al-Haiyyah fii Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah li Imam Abu Bakr Abdullah bin Abi Daud As-Sijistani rahimahullah, karya Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah).

Sabtu, 12 Ogos 2017

MAKNA TASYBIH

Tasybih menurut pemahaman Ahli Sunnah tidaklah seperti yang disangka oleh sebahagian orang, seperti hanya sebatas menyebut Tangan Allah, Mata Allah, dan seumpamanya. Begitu juga penyebutan yang disandarkan kepada Allah dengan suatu perbuatan seperti Istiwa (biasanya diterjemah dengan Semayam), Turun, dan Datang yang mana lafaz-lafaz tersebut warid daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Maka untuk memahami persoalan ini, mari kita lihat apa yang diutarakan daripada pandangan ulama-ulama salaf tentang apakah dan bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Tasybih atau penyerupaan.

Berkata Ishak bin Ibrahim:

إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ: يَدٌ كَيَدٍ أَوْ مِثْلُ يَدٍ أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ، فَإِذَا قَالَ: سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَهَذَا التَّشْبِيهُ، وَأَمَّا إِذَا قَالَ: كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: " يَدٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ " وَلَا يَقُولُ كَيْفَ، وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ وَلَا كَسَمْعٍ، فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا، وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tasybih itu hanya terjadi ketika seseorang 
itu berkata (terhadap Allah): ‘Yadd (Tangan) seperti tangan (makhluk), pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)”. Jika dia berkata: ‘Pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)’, maka inilah tasybih (penyerupaan). Adapun jika seseorang mengatakan seperti firman Allah: ’Tangan, pendengaran, penglihatan’ , kemudian dia tidak berkata: ’bagaimana’ dan tidak pula mengatakan ’seperti’ pendengaran makhluk; maka itu tidak termasuk tasybih. Ia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: ‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat 
(Asy-Syura: 11).” (Sunan At-Tirmizi, 2/43)

Abu ‘Uthman Ismail As-Sobuni rahimahullah berkata:

ولا يحرفون الكلام عن مواضعه، بحمل اليدين على النعمتين، أو القوتين؛ تحريف المعتزلة والجهمية – أهلكهم الله-، ولا يكيفونهما بكيف، أو يشبهونهما بأيدي المخلوقين، تشبيه المشبهة –خذلهم الله-

“Dan tidak mentahrif (mengubah) perkataan dari tempatnya, (seperti) dengan membawa makna ‘dua tangan’ pada makna ‘dua nikmat’ atau ‘dua kekuatan’ sebagaimana tahrif kelompok Muktazilah dan Jahmiyah -semoga Allah membinasakan mereka-. Tidak pula mentakyifnya dengan (pertanyaan) ‘bagaimana’, atau mentasybihkannya (menyamakan) dengan tangan kedua makhluk seperti tasybih kelompok Musyabbihah -semoga Allah tidak memberi pertolongan kepada mereka-.“ (Aqidah As-
Salaf wa Ashabil-Hadis, ms. 37)

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata:

ليس يلزم من إثبات صفاته شيء من إثبات التشبيه والتجسيم، فإن التشبيه إنما يقال: يدٌ كيدنا ...

“Menetapkan sifat-sifat-Nya tidaklah 
melazimkan adanya penetapan tasybih dan tajsim, kerana tasybih itu hanyalah jika dikatakan: ‘tangan (Allah) seperti tangan kami’...”
Beliau berkata lagi:

وأما إذا قيل: يد لا تشبه الأيدي، كما أنّ ذاته لا تشبه الذوات، وسمعه لا يشبه الأسماع، وبصره لا يشبه الأبصار ولا فرق بين الجمع، فإن ذلك تنزيه

“Adapun jika dikatakan: ‘tangan namun 
tidak menyerupai tanganku’, sebagaimana ZatNya tidak menyerupai zat-zat makhluk, pendengaranNya tidak menyerupai pendengaran-pendengaran makhluk, dan penglihatan tidak menyerupai penglihatan-penglihatan makhluk, maka sesungguhnya itu adalah tanzih (pensucian).” (Al-Arba’in 
min Sifati Rabbil ‘Alamin, ms. 104)

Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah berkata :

ومُحالٌ أن يكون مَن قال عن اللهِ ما هو في كتابه منصوصٌ مُشبهًا إذا لم يُكيّف شيئا، وأقرّ أنه ليس كمثله شيء

“Dan tidak mungkin terjadi pada orang 
yang berbicara tentang Allah sesuatu yang terdapat nasnya dalam kitabNya disebut sebagai musyabbih (penyerupaan), ketika dia tidak mentakyifkannya sedikitpun dan mengatakan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya.” (Al-Istizkar, 8/150)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...