Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan

Sabtu, 14 April 2018

PAHALA YANG DIHADIAHKAN KEPADA MUKMIN

Mengenai pahala yang dihadiahkan kepada seseorang seperti pahala sedekah, atau pahala bacaan, atau pahala ibadah haji dan yang seumpama dengannya, maka telah ittafaq (sepakat) ahli sunnah mengatakan bahawa pahala orang mukmin yang mati dapat manfaat daripada hasil usaha dan kerja daripada orang yang hidup dengan dua perkara berikut:

Pertama: Sesuatu yang telah diusahakan oleh si mati pada masa hidupnya dan berkekalan sampai selepas matinya, kerana thabit daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو ولد صالح يدعو له أو علم ينتفع به من بعده

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, anak soleh yang berdoa kepadanya dan ilmu yang dimanfaatkan setelahnya."

Kedua: Doa dan istighfar orang-orang Islam, amalan sedekah dan ibadah haji, akan tetapi ulama berselisih terhadap ibadah tubuh badan seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.
 Sumber: Google

Menurut pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf mengatakan sampai pahala amalan tersebut kepada si mati. Tetapi menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'i dan Maliki mengatakan ianya (pahala amalan tersebut) tidak sampai kepada si mati.

Dalil-dalil yang menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada amalan yang ia tidak mengerjakan ialah firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman..." (Al-Hasyr 59 : 10)

Allah memuji mereka kerana mereka beristighfar (memohon keampunan) kepada orang-orang mukmin sebelum mereka. Maka jelaslah bahawa orang-orang yang mati mendapat manfaat daripada istighfar orang-orang yang hidup. 

Dalil yang menunjukkan si mati dapat manfaat daripada doa orang hidup ialah Ijmak Ulama menyuruh agar berdoa kepada si mati di dalam solat jenazah. Dan hadis yang menyebutkan doa-doa dalam solat jenazah amatlah banyak sekali. Begitu juga doa setelah dikebumikan si mati.

Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya apabila menziarahi kubur maka hendaklah berdoa:

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: "Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kampung (kubur), dari kalangan para mukminin dan muslimin. Dan kami ini insyaAllah, akan menyusul kamu. Kami memohon ke atas kami keselamatan dan ke atas kamu ." (Riwayat Muslim)

Dalil yang menunjukkan sampainya pahala sedekah kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha:

 أن رجلا أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، إن أمي افتلتت نفسها ولم توص وأظنها لو تكلمت تصدقت أفلها أجر إن تصدقت: قال نعم.

Maksudnya: "Ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu telah mati mengejut (tiba-tiba), maka dia tidak sempat berwasiat. Dan saya menyangka kalau dia sempat bercakap, dia pasti akan (menyatakan) akan mengeluarkan sedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika saya bersedekah (untuknya)?' Baginda menjawab: 'Ya.'" (Muttafaqun Alaih dan Lafaz ini milik Muslim).

Hadis yang semakna dengan hadis seperti ini masih banyak lagi. Dan dalil yang menunjukkan sampainya pahala puasa kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha, sabda Rasulullah s.a.w:

 من مات وعليه صيام صام عنه وليه

Maksudnya: "Sesiapa yang mati, sedang dia mempunyai puasa wajib (yang sepatutnya dikerjakan), maka hendaklah walinya berpuasa menggantikannya." (Muttafaqun Alaih)

Dalil yang menunjukkan sampai pahala ibadah haji ialah hadis Ibnu Abbas r.huma:

Maksudnya: "Seorang perempuan daripada kabilah Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. Lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu saya telah bernazar akan mengerjakan haji, dia tidak sempat mengerjakannya sehingga dia mati, adakah saya mesti mengerjakannya sebagai gantinya? Bagaimana pendapat engkau sekiranya engkau mempunyai hutang adakah engkau akan membayarnya? Tunaikanlah hak Allah ianya lebih aula (utama) untuk ditunaikan." (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis-hadis di atas tersebut tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (An-Najm: 39)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ 

Maksudnya: "Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Al-Baqarah: 286)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُون

Maksudnya: "Dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Yasin: 54)

Dr. Muhammad Naim Yasin berkata: "Ini kerana seseorang manusia yang menjadi muslim dan ikatannya dengan saudara muslim yang lain dengan ikatan ukhwah dan iman, pergaulan yang mesra dan kebaikannya yang dicurahkannya kepada manusia, kasih sayangnya kepada mereka adalah termasuk dalam usahanya yang membuatkan mereka berdoa untuknya, menghadiahkan pahala berupa amalan ketaatan untuknya. Perbuatan itu adalah merupakan hasil daripada usahanya. Maka si mati yang mendapat manfaat daripada hadiah pahala yang telah disampaikan (dikirimkan) kepadanya oleh saudaranya yang masih hidup tidaklah bertentangan dengan ayat-ayat (Al-Quran di atas) tadi. Dan ayat-ayat tersebut adalah merupakan ayat Muhkamat (yang jelas) yang tidak boleh ditakwilkan. Ayat-ayat tersebut melambangkan keadilan Allah, memberi pengertian bahawa tidak disiksa seseorang dengan sebab dosa orang lain, dan tidak diambil kesalahan seseorang dengan sebab kesalahan orang lain, seperti hukuman yang dijalankan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di dunia ini.

Ia juga memberi pengertian bahawa tidak beruntung bagi seseorang itu melainkan dengan amalan yang dikerjakan, supaya hilang perasaan tamak dan cita-cita seseorang kepada amalan bapanya, neneknya dan gurunya, tetapi harus (mestilah) diberi perhatian bahawa di sana ada beberapa adat istiadat dan perkara-perkara bidaah, yang tidak termasuk dalam pengertian hadis-hadis yang tersebut, tidak ada dalil-dalil syarak dan tidak ada seorang ulama pun mengatakan harus berbuat demikian, cuma mereka berselisih tentang: Adakah harus mengupah mengajar Al-Quran?

Adapun mengupah membaca Al-Quran serta menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati, atau mengupah orang melakukan solat, puasa dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, maka tidak ada khilaf (perselisihan) tentang ketidakharusannya (tidak boleh), malah yang harus (sepatutnya) ialah membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati dengan cara sukarela dan kemahuan orang yang membaca sendiri dengan tidak (mengharapkan) apa-apa upah pun." (Al-Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya oleh Dr. Muhammad Na'im Yasin, Terjemahan Versi Jawi oleh: Ustaz Abdurrahman bin Abdullah (Patani), Terbitan: Pustaka Darussalam Sdn. Bhd, Halaman 423-424).

14 April 2018
Taman Kuala Menggatal
Disunting olahan bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Ahad, 3 September 2017

KENDURI SEBELUM BERANGKAT MUSAFIR ATAU SELEPAS KEMBALI DARI MUSAFIR

KENDURI SEBELUM BERANGKAT MUSAFIR ATAU SELEPAS KEMBALI DARI MUSAFIR

Pertanyaan:

Sudah menjadi kebiasaan, jika seorang ingin pergi haji dia mengadakan acara makan-makan yang mengundang kerabat, teman, serta tetangga. Dia juga mengadakan acara yang sama ketika pulang dari haji. Acara ini oleh masyarakat kami biasa disebut ‘asyaa-ul hajj. Kami mohon penjelasan dari anda tentang hukummengadakan acara ini.

Syaikh Muhammad Ali Farkus hafizhahullah menjawab:

Segala puji hanya bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat serta salam semoga terlimpah kepada Rasulullah yang diutus sebagai rahmat bagi alam semesta, juga kepada keluarganya, sahabatnya serta saudaranya seiman hingga hari kiamat. Amma ba’du.

Acara makan-makan ketika datangnya orang yang safar disebut An-Naqi’ah. Istilah An-Naqi’ah dari kata dasar An-Naq’u yang ertinya debu. Ini kerana orang yang musafir biasanya terkena debu diperjalanan. Terdapat hadis sahih dari Nabi Shallalahu’alaihi Wasallam:

أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ المَدِينَةَ نَحَرَ جَزُورًا أَوْ بَقَرَةً

“Ketika Nabi Shallallahu ’alaihi Wasallam datang ke Madinah, baginda menyembelih unta atau sapi betina” (HR. Bukhari no.2923 bab Ath Tha’am Indal Qudum)

Hadis ini juga menunjukkan bahawa mengundang orang untuk mendatangi An-Naqi’ah itu disyariatkan (Lihat Aunul Ma’bud, 10/211).

Imam Al-Bukhari membuat Bab yang berjudul “Bab jamuan ketika ada musafir yang datang (pulang), Ibnu Umar Radhiallahu ’anhuma biasa menjamu makan orang yang datang kepadanya” (Fathul Baari, 6/194).

Maksudnya, orang-orang yang mendatangi Ibnu Umar untuk memberi salam dan menyambut kedatangannya. Ibnu Bathal menjelaskan hadis di atas:

“Hadis ini dalil disyariatkannya seorang imam atau pemimpin memberi jamuan makan bagi kaumnya ketika datang dari musafir. Hukumnya mustahab (sunnah) menurut para salaf.  Acara ini disebut An-Naqi’ah.

Dinukil riwayat dari Muhallab bahawa Ibnu Umar Radhiallahu ’anhuma jika beliau datang dari musafir, dia menjamu makan orang yang mendatanginya lalu makan bersama mereka. Walaupun beliau memiliki hutang puasa Ramadhan kerana baru sahaja musafir, beliau tidak mulai membayar hutang puasa tersebut hingga jamuan makan selesai”.

Demikianlah hukumnya. Lalu, mazhab jumhur sahabat dan tabi’in berpendapat wajibnya memenuhi undangan untuk semua jenis jamuan makan. Al-Qadhi ‘Iyadh dan An-Nawawi menyebutkan ada 8 jamuan yang wajib didatangi, salah satunya An-Naqi’ah (Lihat Syarah Muslim, 9/171;Tuhfatul Maudud, 127; Nailul Authar, 6/238).

Namun terdapat perbezaan pendapat dikalangan para ulama mengenai siapakah yang membuat hidangannya, adakah si musafir atau orang yang menyambutnya? Namun berdasarkan nas hadis di atas dan berdasarkan atsar, nampaknya pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat pertama.

Adapun mengenai jamuan makan sebelum berangkat haji, aku tidak mengetahui bahawa ini adalah jamuan yang disyariatkan. Ini kerana perkara ini dikaitkan dengan haji dan kaedah mengatakan “segala sesuatu yang dikaitkan dengan sebuah hukum syar’i, memerlukan dalil untuk membenarkannya“.

Sumber: https://goo.gl/KyGskp

Jumaat, 25 September 2015

MENINGGAL KETIKA MELAKSANAKAN HAJI DAN UMRAH


MENINGGAL KETIKA MELAKSANAKAN HAJI DAN UMRAH


1. Meninggal Ketika Ihram


Ibnu Abbas r.huma:


بينما رجل واقف بعرفة، إذ وقع عن راحلته فوقصته، أو قال: فأقعصته، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: اغسلوه بماء وسدر، وكفنوه في ثوبين -وفي رواية: في ثوبيه- ولا تحنطوه -وفي رواية: ولا تطيبوه- ، ولا تخمروا رأسه ولا وجهه ، فإنه يبعث يوم القيامة ملبيا


“Ketika seseorang tengah melakukan wukuf di Arafah, tiba-tiba dia terjatuh dari haiwan tunggangannya lalu haiwan tunggangannya menginjak lehernya sehingga meninggal. Maka Nabi s.a.w berkata: “Mandikanlah dengan air yang dicampur daun bidara lalu kafanilah dengan dua potong kain – dan dalam riwayat yang lain: “dua potong kainnya “- dan jangan diberi wangi-wangian. Jangan ditutupi kepala dan wajahnya. Sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan bertalbiyah.” (H.R.Bukhari no. 1265 dan Muslim no 1206)



2. Pahala Haji dan Umrahnya Ditulis Hingga Hari Kiamat


Dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:


من خرج حاجا فمات كتب له أجر الحاج إلى يوم القيامة ومن خرج معتمرا فمات كتب له أجر المعتمر إلى يوم القيامة ومن خرج غازيا فمات كتب له أجر الغازي إلى يوم القيامة


“Barangsiapa keluar untuk berhaji lalu meninggal dunia, maka dituliskan untuknya pahala haji hingga hari kiamat. Barangsiapa keluar untuk umrah lalu meninggal dunia, maka ditulis untuknya pahala umrah hingga hari kiamat. Dan barangsiapa keluar untuk berjihad lalu mati maka ditulis untuknya pahala jihad hingga hari kiamat.” (HR Abu Ya’la dan dishahihkan Albani dalam Shahih At Targhib 1114)



3. Jika Meninggal Dalam Perjalanan dan Belum Sempat Melakukan Ihram, Maka Tidak Termasuk Meninggal Ketika Beribadah Haji


Contohnya pesawatnya jatuh ketika perjalanan dari negaranya ke Saudi dan belum berihram. Maka tidak termasuk dalam bab “meninggal ketika ibadah haji dan umrah”.


Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah menjelaskan:


إذا هلك من سافر للحج قبل أن يخرج فليس بحاج ، لكن الله عز وجل يثيبه على عمله ، أما إذا أحرم وهلك فهو …. ولم يأمرهم بقضاء حجه ، وهذا يدل على أنه يكون حاجاً ” انتهى .


“Jika kemalangan ketika musafir menuju haji sebelum dia keluar (berihram) maka tidak terhitung haji. Akan tetapi Allah akan membalas sesuai dengan niatnya. Adapun jika sudah berihram, kemudian kemalangan (contohnya kemalangan kereta, pent), maka termasuk dalam hadis (cara mengurus jenazahnya).” (Majmu’ Fatawa Syeikh Utsaimin 21/252)



4. Jika Meninggal Ketika Haji (sudah berihram), Maka Tidak Perlu Diqadhakan Tahun Depan Oleh Walinya


Ini kerana hadis menunjukkan bahawa dia akan dibangkitkan dalam keadaan bertalbiyah hari kiamat dan ini menunjukkan sudah memadai hajinya.


Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah menjelasakan:


ولم يأمرهم بقضاء حجه ، وهذا يدل على أنه يكون حاجاً


“Nabi s.a.w tidak memerintahkan untuk diqadhakan (untuk yang meninggal), kerana statusnya dia telahpun berhaji.” (Majmu’ Fatawa Syeikh Utsaimin 21/252)




Sumber: http://muslim.or.id/26603-meninggal-ketika-ibadah-haji-dan-umrah.html

Selasa, 22 September 2015

FATWA SYEIKH SOLEH FAUZAN TENTANG DOA HARI ARAFAH

Fatwa Syeikh Soleh Fauzan berkaitan hari Arafah:


Ketika beliau ditanya, apakah keutamaan doa pada hari ‘Arafah khusus bagi para jamaah haji ataukah umum untuk semua manusia?


Beliau menjawab:


الدعاء يوم عرفة عام للحجاج وغيرهم لكن الحجاج على وجه أخص لأنهم في مكان فاضل وهم متلبسون بالإحرام وواقفون بعرفة فهم يعني يتأكد الدعاء في حقهم والفضل في حقهم أكثر من غير الحجاج وأما بقية الناس الذين لم يحجوا فإنهم يشرع لهم الدعاء والاجتهاد بالدعاء في هذا اليوم ليشاركوا إخوانهم الحجاج في هذا الفضل


“Doa pada hari ‘Arafah berlaku umum untuk para jamaah haji dan selain jamaah haji. Akan tetapi, para jamaah haji lebih khusus kerana mereka berada di tempat yang mulia, sedang melaksanakan ihram dan melakukan wuquf di arafah. Doa untuk mereka menjadi sangat ditekankan. Keutamaan untuk mereka lebih banyak dari pada selain jamaah haji. Adapun masyarakat lain yang tidak berhaji, disyariatkan untuk mereka berdoa serta bersungguh-sungguh dalam berdoa pada hari ini, agar sama-sama mendapatkan keutamaan sebagaimana saudara-saudara mereka, para jamaah haji.


Selanjutnya, Dr. Al-Fauzan menyebutkan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang keutamaan doa ketika hari arafah, kemudian beliau menegaskan,


فالدعاء مشروع في يوم عرفة للحاج ولغيره لكنه في حق الحاج آكد وأفضل لما هو متلبس به من المناسك ولما هو فيه من المكان العظيم الفاضل وأما الزمان وفضل الزمان فيشترك فيه الحجاج وغير الحجاج وأما المكان فيختص به الحجاج وهو الوقوف بعرفة.


Oleh kerana itu, doa pada hari Arafah disyariatkan untuk orang yang berhaji dan selainnya. Akan tetapi, bagi orang yang melakukan haji, lebih ditekankan dan lebih utama, kerana mereka sedang melaksanakan berbagai manasik dan kerana mereka berada di tempat yang agung dan utama. Adapun tentang batas waktu (hari arafah) dan keutamaan waktu, jama’ah haji dan selain jamaah haji sama-sama mendapatkannya. Sementara tempat (arafah) hanya khusus untuk jamaah haji, iaitu wuquf di arafah.”


[sumber: http://alfawzan.af.org.sa/node/8980]


Dipetik dari sumber: http://www.konsultasisyariah.com/doa-di-hari-arafah-bagi-selain-jamaah-haji/

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...