Gambar Hiasan
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang
lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan
Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di
antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan
tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara
keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain);
lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: "Aku
lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku
yang ramai".
Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama
rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya),
sambil dia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa
selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah Aku
dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan
mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini".
Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa dia berbincang
dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau
dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna
sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya
bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan
Tuhanku."
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata:
مَا شَآءَ اللهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ
“Semuanya
ialah barang yang dikehendaki Allah! Tiada daya dan upaya melainkan dengan
pertolongan Allah?”
Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang
harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan
mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan
menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu
itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan
bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun
dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana
menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada
kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya;
sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun
dengan Tuhanku!"
Dan dia tidak mendapati sebarang golongan yang
boleh menolongnya, selain dari Allah; dan dia pula tidak dapat membela dirinya
sendiri.
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi
pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah
sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia
(kepada hamba-hambaNya yang taat).
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: kehidupan
dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur
aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia)
disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan
hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada
sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi
harapan.
(Kisah dipetik dari terjemahan Al-Quran, surah
Al-Kahfi ayat 32-46)
Kesimpulan daripada kisah ini:
1 – Kisah ini merupakah satu contoh diantara
contoh-contoh kisah dan peristiwa yang sering berulang-ulang dalam masyarakat
dan mungkin masih wujud pada suatu tempat dan masa.
2 – Allah memanjangkan usia orang yang kafir dan
mengurniakan nikmat yang banyak kepadanya, bukan kerana redha kepadanya, tetapi
sebagai ujian dan bala.
3 – Allah menguji seorang yang beriman dengan
menyempitkan rezekinya dan menghalangnya daripada kesenangan dunia yang
sementara, namun tidak bermakna Allah murka kepadanya.
4 – Allah SWT mengurniakan rezeki dan nikmat pemberian
kepada hamba yang dicintaiNya atau yang dibenciNya. Namun Allah Ta’ala hanya
mengurniakan agama hanya kepada hamba yang dicintaiNya sahaja.
5 – Keimanan merupakan penjamin keamanan bagi
pemiliknya. Ketika berhadapan dengan orang-orang yang memiliki kesenangan
dunia, pemilik keimanan tidak akan mudah merasa lemah, hina dan takut kepada
pesaingnya, sebaliknya dia berusaha untuk mengajak agar pesaingnya
bersama-samanya dalam memiliki keimanan dan menjauhi kesyirikan seperti
menganggap kesenangan yang dirasai bukan berasal dari Tuhan yang telah
mengurniakan kepadanya kesenangan itu.
Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada kisah ini..
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai,
Kota Kinabalu