Soalan 1:
Pertanyaan dari orang Sudan yang
tinggal di Kuwait, dia mengatakan: “Apa hukumnya membaca Al-Fatihah untuk
dihadiahkan kepada si mati, juga menyembelih haiwan untuknya, demikian pula
memberikan wang untuk keluarga si mati?”
Syeikh Abdul Aziz bin
Baz rahimahullah menjawab:
Mendekatkan diri kepada si mati
dengan sembelihan, wang, nazar, dan ibadah-ibadah lainnya, seperti meminta
kesembuhan darinya, pertolongan, atau bantuan, ini merupakan syirik akbar (besar).
Tidak boleh bagi seorang pun untuk melakukannya, kerana syirik adalah dosa dan
kejahatan yang paling besar. Berdasarkan firman Allah Ta’ala:
إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ
مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu
(apa jua), dan akan mengampunkan dosa selain daripada kesalahan (syirik) itu
bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya).” (Surah An-Nisa:
116)
إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ
فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ
مِنْ أَنْصَارٍ
Maksudnya: “Bahawasanya
sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya
Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan
tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah Al-Maidah:
72)
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ
عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Dan
kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari
mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik). (Surah Al-An'am:
88)
Dan banyak ayat yang semakna
dengannya. Maka yang wajib dilakukan adalah mengikhlaskan/memurnikan ibadah
hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala satu-satunya, baik ianya berupa
sembelihan, nazar, doa, solat, puasa, atau ibadah-ibadah selainnya. Di antara kesyirikan
juga adalah mendekatkan diri kepada para penghuni kuburan dengan nazar atau
makanan, berdasarkan ayat-ayat yang lalu. Juga berdasarkan firman Allah Ta’ala:
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ
الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah:
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah
untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu
bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara
seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri
kepada Allah dan mematuhi perintahNya).” (Surah Al-An’am: 162-163)
Adapun menghadiahkan Al-Fatihah
atau selainnya dari Al-Quran kepada orang yang telah mati, hal itu tidak ada
dalilnya (landasan hukumnya dari Al-Quran atau Hadis). Maka yang wajib
dilakukan adalah meninggalkan hal tersebut. Kerana ianya tidak pernah
dinukilkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau para sahabatnya sesuatu
yang menunjukkan bolehnya hal tersebut. Yang disyariatkan adalah mendoakan untuk
mayat dan menyedekahkan untuk mereka dengan cara berbuat baik kepada para fakir
miskin. Dengan itu, seorang hamba mendekatkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
dan memohon kepada-Nya agar pahalanya dijadikan untuk ayah atau ibunya, atau
orang yang mati atau yang masih hidup selain keduanya.
Hal ini berdasarkan sabda Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam:
إذا مَاتَ
الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ
صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila meninggalnya manusia maka
terputuslah amalnya kecuali dari tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat,
dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim, no: 3084 dan lafaznya
riwayat At-Tirmizi, no: 1297, dan An-Nasai, no: 3591)
Telah sabit (sahih) bahawa
seseorang berkata:
يَا
رَسُوْلَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ ْتُوْصِ وَأَظُنُّهَا لَوْ
تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، أَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ:
نَعَمْ.
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya
ibuku meninggal dan belum sempat berwasiat, dan aku kira kalau dia sempat
mengatakannya, nescaya dia akan bersedekah, adakah dia dapat pahala jika aku bersedekah
atas namanya?” Baginda pun menjawab: “Ya.” (Riwayat At-Tirmizi, no: 605, dan
An-Nasai, no: 3594) Disepakati kesahihannya.
Demikian juga melaksanakan haji
untuk si mati serta mengumrahkannya juga membayarkan hutangnya. Kesemuanya itu
dapat memberi manfaat bagi si mati sesuai dengan keterangan yang datang dalam
dalil-dalil syariat.
Adapun jika yang dimaksudkan oleh
yang bertanya dengan pertanyaannya adalah untuk berbuat baik kepada keluarga si
mati serta bersedekah dengan wang dan sembelihan, maka itu boleh (harus) apabila
mereka itu adalah orang-orang fakir (miskin). Yang utama adalah tetangga dan
kerabat membuatkan makanan di rumah mereka masing-masing lalu menghadiahkannya
kepada keluarga si mati. Kerana telah sahih dari Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam bahawa ketika sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berita tentang
kematian Ja’far bin Abi Tolib radhiallahu ‘anhu dalam peperangan Mu’tah,
baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kerabatnya untuk membuatkan
makanan untuk keluarga Ja’far dan baginda mengatakan:
لأنهم قد أتاهم ما يشغلهم
“Kerana telah datang kepada mereka
perkara yang menyibukkan mereka (yakni urusan pengkebumian jenazah – edt).”
(Riwayat At-Tirmizi, no:919, dan Abu Daud, no: 2725, dan Ibnu Majah, no: 1599,
dan Ahmad dalam Musnad, no: 1660)
Adapun bila keluarga si mati yang
membuat makanan untuk orang-orang (masyarakat) kerana kematian (seperti
kenduri arwah – edt) maka itu tidak boleh. Hal itu termasuk amalan jahiliah,
baik pada hari kematian, hari keempat atau kesepuluh atau setelah genap
setahun. Semua itu tidak boleh. Ini berdasarkan riwayat yang sahih dari sahabat
Jarir bin Abdillah Al-Bajali radhiallahu ‘anha, salah seorang sahabat Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda berkata:
كُنَّا
نَعُدُّ الْاِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيْعَهُ الطَّعَامَ بَعْدَ
دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ
“Kami menganggap bahawa
berkumpul-kumpul (di rumah) keluarga si mati dan membuat makanan setelah ia kuburkan
adalah termasuk niyahah (ratapan).” (Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no:
6611)
Adapun jika terdapat tetamu yang
mendatangi keluarga si mati pada hari-hari berkabung (waktu takziyah) maka
tidak mengapa keluarga si mati membuat makanan untuk mereka sebagai hidangan
untuk tetamu. Sebagaimana tidak mengapa bagi keluarga si mati untuk mengundang
siapa yang mereka kehendaki dari jiran atau kerabat untuk makan bersama mereka
dari makanan yang dihadiahkan kepada mereka.
Dan Allah jualah yang memberi
taufik (hidayah).
(Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah Abdul ‘Aziz
bin Baz Rahimahullah (Wafat 1420 H), Maktabah Syamilah, 9/324-326)
Soalan 2:
Bolehkah bagi saya untuk
mengkhatamkan Al-Quran dan saya hadiahkan untuk ibu bapa saya, untuk
pengetahuan bahawasanya kedua-duanya buta huruf, tidak tahu membaca dan tidak
tahu menulis. Adakah boleh bagi saya mengkhatamkan Al-Quran untuk dihadiahkan
kepada orang yang tahu membaca dan tahu menulis tetapi saya (memang) bermaksud
menghadiahkannya kepadanya? Juga apakah boleh bagi saya untuk mengkhatamkan
Al-Quran untuk saya hadiahkan kepada lebih dari satu orang?
Syeikh Abdul Aziz bin
Baz rahimahullah menjawab:
Tidak terdapat dalam Al-Quran yang
mulia ataupun dalam hadis yang suci dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
tidak pula dari para sahabatnya yang mulia, sesuatu yang menunjukkan
disyariatkan menghadiahkan bacaan Al-Quranul Karim untuk kedua orang tua atau
untuk yang lain. Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyariatkan membaca Al-Quran untuk
diambil manfaat darinya, diambil faedah darinya serta untuk dipahami maknanya
lalu diamalkan (isi kandungannya – edt). Allah Ta’ala berfirman:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا
آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran
ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad),
Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan
teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna
beringat mengambil iktibar.” (Surah Shaad: 29)
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي
لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran
ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.” (Surah Al-Israa’: 9)
قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ
Maksudnya: “Katakanlah: “Al-Quran
itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Fushshilat:
44)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
اقْرَءُوا
الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ شَفِيْعًا لِأَصْحَابِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Bacalah Al-Quran kerana
sesungguhnya (amalan membaca) Al-Quran itu nanti akan datang pada hari kiamat
sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (Riwayat Muslim, no: 804)
Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam juga bersabda:
إنه يؤتى بالقرآن يوم القيامة وأهله الذين كانوا
يعملون به تقدمه سورة البقرة وآل عمران كأنهما غمامتان أو غيايتان أو فرقان من طير
صواف تحاجان عن أصحابهما
“Bahawa nanti akan didatangkan
(amalan membaca) Al-Quran pada hari kiamat dan para ahli Al-Quran yang mengamalkannya,
akan datang kepadanya surah Al-Baqarah, Ali Imran, keduanya akan membela para pembacanya..
(dan makna yang semakna dengannya – edt)” (Riwayat Muslim, no.805)
Jadi tujuan diturunkannya Al-Quran
adalah untuk diamalkan, difahami, dan dipakai untuk beribadah dengan membacanya,
serta memperbanyakkan membacanya. Bukan untuk menghadiahkannya kepada
orang-orang yang telah wafat atau yang lain. Aku tidak mengetahui ada dasar
yang dapat dijadikan sandaran dalam hal menghadiahkan bacaan Al-Quran untuk
kedua orang tua atau yang selain mereka. Padahal Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
مَنْ
عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa yang mengamalkan suatu
amalan yang bukan atas dasar ajaran kami maka itu tertolak.” (Riwayat Bukhari,
4/355 dalam Al-Fath, dan Muslim, no: 1718)
Sebahagian ulama membolehkan hal
itu dan mengatakan: “Tidak mengapa menghadiahkan pahala Al-Quran dan amalan
soleh yang lain.” Mereka mengkiaskannya dengan
sedekah dan doa untuk orang yang telah mati. Akan tetapi yang benar adalah
pendapat yang pertama (yakni tidak boleh), berdasarkan hadis yang telah
disebutkan dan yang semakna dengannya. Seandainya menghadiahkan bacaan itu
sesuatu yang disyariatkan, tentu akan dilakukan oleh para salafus soleh
(pendahulu kita yang baik). Juga, dalam hal ibadah tidak boleh digunakan qiyas
(kias/analogi), kerana ibadah itu berhenti pada tuntunan Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Tidak boleh ditetapkan kecuali dengan nas dari Kalamullah atau hadis
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan hadis yang lalu dan yang semakna
dengannya.
Adapun menyedekahkan untuk orang
yang sudah mati dan yang lain, demikian pula mendoakan mereka, menghajikan
orang lain oleh orang yang telah mengerjakan haji untuk dirinya sendiri, juga
mengumrahkan oleh yang sudah mengerjakan umrah untuk dirinya sendiri, juga
membayarkan hutang puasa bagi mereka yang telah wafat dan mempunyai hutang,
maka semua ibadah ini (harus/boleh), telah sahih hadis-hadis dari Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dan Allah jualah yang memberi
taufik (hidayah).
(Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah Abdul ‘Aziz
bin Baz Rahimahullah (Wafat 1420 H), Maktabah Syamilah,13/261-263)