Selasa, 17 November 2009

MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP WAHABI (2)


Selain kisah Nur Muhammad terdapat dalam kitab Barzanji, terdapat juga suatu kisah yang tidak ada asal usulnya iaitu kisah para nabi dan rasul kononnya bertemu dengan ibu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam mimpinya bermula dari bulan pertama hinggalah ke bulan kelahiran baginda. Sehinggalah terdapat cerita ini:

“Maka manakala Aminah semakin sarat kandungannya dan tiada seorang pun yang tahu bagaimana perasaannya. Ketika itulah dia mengadu kepada orang yang mengetahui rahsianya. Tiba-tiba muncullah Asiah isteri Firaun dan Maryam binti Imran juga serombongan bidadari yang cantik-cantik. Cahaya dan kecantikan mereka menerangi tempat itu. Maka kesusahan dan kekhuatiran Aminah serta merta lenyap dan sirna.” (Lihat Majmu’ah Al-Mawalid Syarfu Al-Anam Barzanji, hal 28)

Bagaimanakah Ja’far al-Barzanji mengetahui kisah-kisah sebegini? Padahal beliau tidak membawa pun riwayat-riwayat penceritaannya ini. Sekiranya kita menyemak kitab Sirah Ibn Hisyam atau Sirah Nabawiyah oleh Ibn Katsir, nescaya kita tidak akan dapati satu pun penceritaan sebegini apatah lagi dari hadis-hadis Nabi yang mulia. Bagaimana pula orang yang telah meninggal bangkit membantu orang yang berada dalam kesusahan? Padahal Allah Ta’ala menjelaskan:


وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: “Dan di hadapan mereka (yang telah mati) ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mukminun: 100)

Demikianlah masalah barzanji yang baru hanya timbul pada kurun ke 11, apakah dapat dibandingkan dengan kitab-kitab sirah dan kitab-kitab hadis karangan ulama-ulama Islam di kalangan Ahli Sunnah? Sudah pasti jauh sekali perbandingannya. Wallahua’lam.

Kelapan: Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain

Sambutan hari kebesaran Islam itu hanyalah ada dua. Iaitu berdasarkan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dari Anas, dia berkata: Dahulu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika di Madinah dan mereka bermain-main pada dua hari yang biasa mereka rayakan di masa Jahiliyah. Lalu baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua hari itu kepada kamu dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadis riwayat An-Nasai, Abu Daud, Abu Ya’la, Al-Baghawi, dan Al-Baihaqi; Al-Albani berkata: Sanadnya sahih – Silsilah As-Sahihah, no: 2021)

Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah berkata menjelaskan tentang hadis di atas ini:


وَاسْتُنْبِطَ مِنْهُ كَرَاهَةُ اَلْفَرَحِ فِي أَعْيَادِ اَلْمُشْرِكِينَ وَالتَّشَبُّهِ بِهِمْ ، وَبَالَغَ اَلشَّيْخُ أَبُو حَفْص اَلْكَبِير اَلنَّسَفِيُّ مِنْ اَلْحَنَفِيَّةِ فَقَالَ : مَنْ أَهْدَى فِيهِ بَيْضَة إِلَى مُشْرِكٍ تَعْظِيمًا لِلْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ بِاَللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Dan diambil daripadanya hukum dilarang melahirkan kegembiraan bersempena perayaan orang kafir dan meniru mereka dan Syeikh Abu Hafs al-Kabir al-Nasafi daripada Ulama Hanafiah meletakkan hukum yang lebih berat maka beliau berkata: "Sesiapa yang menghadiahkan sebutir telur kepada orang kafir (pada hari perayaan mereka) kerana memuliakan hari itu maka dia telah kafir dengan Allah Taala." (Fathul Bari, 3/371)

Ibn Hazm rahimahullah pula berkata di dalam kitabnya Al-Muhalla (3/293):


هما عيد الفطر من رمضان، وهو أول يوم من شوال، ويوم الأضحي، وهو اليوم العاشر من ذي الحجة، ليس للمسلمين عيد غيرهما، إلا يوم الجمعة وثلاثة أيام بعد يوم الأضحى لأن الله تعالى لم يجعل لهم عيدا ما ذكرنا ولا رسول صلى الله عليه وسلم، ولا خلاف بين أهل الإسلام في ذلك

Maksudnya: “Kedua-duanya (perayaan Islam) adalah hari raya (aidil) Fitri daripada bulan Ramadhan iaitu pada awal bulan Syawal dan hari raya korban iaitu pada hari kesepuluh Dzulhijjah. Tidak ada bagi kaum muslimin perayaan melainkan dua perayaan tersebut, kecuali pada hari Jumaat dan tiga hari selepas korban (11, 12 dan 13 Dzulhijjah – edt) kerana Allah Ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjadikan bagi mereka itu perayaan melainkan apa yang telah kami sebutkan dan tidak ada khilaf diantara ahlul Islam pada yang demikian.” (Dinukilkan dari Al-Jami’u Li Ahkam Al-‘Aidain, Abu Abdullah Zaid bin Hasan bin Sholeh Al-Wusobi Al-‘Umari, Maktabah ‘Ibadurrahman Mesir, hal 9)

Maka dengan penjelasan Ibn Hazm di atas ini jelas bahawa tidak ada perayaan selain dari dua tersebut iaitu hari raya puasa (fitri) dan hari raya korban. Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata: “Jika seandainya upacara peringatan maulis Nabi itu benar-benar dari agama yang diredhai Allah, nescaya Rasulullah menerangkan kepada ummatnya, atau baginda melakukannya semasa hidup baginda atau paling tidak ia dilakukan oleh para sahabat. Maka jika semua itu tidak pernah dibuat, jelaslah bahawa hal itu bukan dari ajaran Islam sama sekali.” (Tahdzir Minal Bid’ah, Edisi Terjemahan; Berhati-Hati Terhadap Bid’ah, Jahabersa, hal 9)

Syeikh Sholeh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah berkata: “Kami mengatakannya sebagai perbuatan bid’ah kerana perayaan seperti ini (Maulid Nabi) tidak mempunyai dasar dari Al-Quran dan As-Sunnah, serta tidak dilakukan oleh salafus soleh pada kehidupannya tiga generasi yang terpilih. Perayaan ini muncul pada akhir abad ke 4 Hijrah yang dipelopori kaum Fatimiyah yang bermazhab Syi’ah.” (Al-Bid’ah, Ta’rifuha Wa Anwauha Wa Ahkamuha, Edisi Terjemahan; Murnikan Ibadah Jauhi Bid’ah, Pustaka at-Tazkia, Syaikh Shalih bin Fauzan al-Fauzan, hal 58)

Demikianlah berkenaan perayaan Maulid Nabi itu tidak ada dari ajaran agama Islam yang sepatutnya kita hendaklah meninggalkannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tidak ada di atasnya dari perintah kami, maka ianya tertolak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, lihat Al-Arba’in An-Nawawi, no: 5)

Bahkan sebahagian kelompok pula menipu sebahagian manusia dengan menukilkan sebahagian perkataan Ibn Taimiyah rahimahullah dengan mengambil kata-katanya secara terputus lalu dikatakan Ibn Taimiyyah rahimahullah membolehkan perayaan Maulid. Padahal sekiranya diambil perkataannya Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah secara keseluruhan, akan jelaslah bahawa beliau melarang mengadakan perayaan maulid tersebut. Syeikhul Islam berkata:

وكذلك ما يحدثه بعض الناس ، إما مضاهاة للنصارى في ميلاد عيسى عليه السلام ، وإما محبة للنبي صلى الله عليه وسلم ، وتعظيمًا . والله قد يثيبهم على هذه المحبة والاجتهاد ، لا على البدع- من اتخاذ مولد النبي صلى الله عليه وسلم عيدًا . مع اختلاف الناس في مولده . فإن هذا لم يفعله السلف ، مع قيام المقتضي له وعدم المانع منه لو كان خيرًا . ولو كان هذا خيرًا محضا ، أو راجحًا لكان السلف رضي الله عنهم أحق به منا ، فإنهم كانوا أشد محبة لرسول الله صلى الله عليه وسلم وتعظيمًا له منا ، وهم على الخير أحرص . وإنما كمال محبته وتعظيمه في متابعته وطاعته واتباع أمره ، وإحياء سنته باطنًا وظاهرًا ، ونشر ما بعث به ، والجهاد على ذلك بالقلب واليد واللسان. فإن هذه طريقة السابقين الأولين ، من المهاجرين والأنصار ، والذين اتبعوهم بإحسان.

Maksudnya: “Dan demikian pula yang diadakan oleh sebahagian manusia, baik tujuannya untuk menghormati orang-orang Nasrani pada kelahiran ‘Isa alaihissalam  atau kerana mencintai Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam serta mengagungkannya. Dan Allah akan memberi mereka pahala atas kecintaan dan kesungguhan ini, tidak di atas perbuatan bid’ah tersebut bagi siapa yang menjadikan kelahiran Nabi sebagai perayaan sedangkan terdapat perselisihan dikalangan manusia pada kelahirannya. Maka sesungguhnya (merayakan maulid nabi) ini tidak dilakukan oleh salaf, sedangkan mereka mampu melakukan dan tidak terdapat halangan darinya walaupun ianya baik. Dan sekiranya ianya baik atau ianya berfaedah nescaya para salaf radiallahu ‘anhum lebih dahulu melakukannya daripada kita, kerana sesungguhnya adalah mereka itu lebih kuat kecintaannya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan lebih mengangungkannya daripada kita, dan mereka itu lebih keinginannya kepada kebaikan. Dan sesungguhnya kesempurnaan mencintainya dan mengagungkannya  adalah dengan mengikuti dan mentaatinya dengan mengikuti perintahnya,  menghidupkan sunnahnya zahir dan batin, mengembangkan segala yang diutuskan kepadanya, dan berjihad melakukan yang demikian dengan hati, tangan dan lisan. Maka sesungguhnya inilah jalan golongan pertama (yang masuk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik.” (Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim, Dar ‘Alim Al-Kutub, 2/85-86)

Selain itu juga beliau berkata di dalam kitabnya yang lain:


وأما اتخاذ موسم غير المواسم الشرعية كبعض ليالي شهر ربيع الأول ، التي يقال إنها المولد ، أو بعض ليالي رجب ، أو ثامن عشر ذي الحجة ، أو أول جمعة من رجب ، أو ثامن شوال الذي يسميه الجهال عيد الأبرار ، فإنها من البدع التي لم يستحبها السلف ، ولم يفعلوها ، والله سبحانه وتعالى أعلم

Maksudnya: “Dan adapun mengadakan musim (peribadatan) selain yang disyari’atkan, seperti malam-malam Rabiul Awal yang mana ia disebut sebagai Al-Maulid, atau sebahagian malam Rejab, atau 18 Zulhijjah, atau awal Jumaat bulan Rejab, atau hari ke 8 bulan Syawal yang dinamakan oleh orang-orang jahil sebagai Aidul Abrar, maka sesungguhnya ianya termasuk bid’ah yang tidak disunnahkan oleh salaf dan mereka tidak melakukannya. Dan Allah Subhaanahu wa Ta’ala yang lebih mengetahui.”  (Majmuk Al-Fatawa, 25/298)

Demikianlah juga tentang masalah perayaan Israk dan Mikraj, nisfu sya’ban dan lain-lain lagi bahawa ianya tidak dilakukan sama sekali oleh para pendahulu (salaf) kita dari kalangan sahabat, tabiin dan juga tabiut-tabiin.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata: “Tentang malam diselenggarakan Isra’ dan Mi’raj itu belum pernah diterangkan penentuan (waktunya) oleh Rasulullah, tidak pada bulan rejab, atau (pada bulan) yang lain. Jika ada penentuannya maka itupun bukan dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, menurut para ulama hanya Allahlah yang mengetahui akan hikmah pelalaian manusia dalam hal ini. Seandainya ada (hadis) yang menentukan waktu Isra’ dan Mi’raj pun, tetap tidak boleh bagi kaum Muslimin untuk mengkhususkannya dengan ibadah-ibadah tertentu, juga tidak boleh mengadakan upacara perkumpulan apapun, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya tidak pernah mengadakan upacara-upacara seperti itu dan tidak pula mengkhususkan suatu ibadah apapun pada malam tersebut.” (Berhati-Hati Terhadap Bid’ah, hal 22)

Syeikh Ibn Baz rahimahullah berkata berkenaan Nisfu Sya’ban: “Pendapat para ahli Syam di antaranya Al-Hafiz Ibn Rajab dalam bukunya “Lathaiful Ma’arif” mengatakan bahawa perayaan malam Nisfu Sya’ban adalah bid’ah, dan hadis-hadis yang menerangkan keutamaannya semuanya lemah. Hadis yang lemah boleh diamalkan dalm ibadah jika ia disokong oleh hadis yang sahih. Sedangkan upacara malam Nisfu Sya’ban tidak ada dasar yang sahih, sehingga tidak dapat disokong dengan dalil-dalil yang dha’if (lemah).” (Ibid, hal 34)

Kebanyakan dari hadis-hadis berkenaan bulan Sya’ban hanyalah menceritakan tentang ibadah puasa Rasulullah yang mana baginda banyak melakukan puasa dalam bulan tersebut dan baginda juga menceritakan bahawa pada bulan Sya’ban Allah akan mengangkat amalan-amalan hambanya sedang baginda pula menyukai amalannya diangkat ketika baginda sedang berpuasa. Namun amalan-amalan yang lain diambil dari hadis-hadis yang dhaif atau palsu maka ianya termasuk perbuatan bid’ah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah:

الصلاة المعروفة بصلاة الرغائب وهي ثنتى عشرة ركعة تصلي بين المغرب والعشاء ليلة أول جمعة في رجب وصلاة ليلة نصف شعبان مائة ركعة وهاتان الصلاتان بدعتان ومنكران قبيحتان ولا يغتر بذكرهما في كتاب قوت القلوب واحياء علوم الدين ولا بالحديث المذكور فيهما فان كل ذلك باطل

Maksudnya: “Solat yang dikenal dengan solat Raghaib iaitu dua belas rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak, pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab, dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bid’ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang terpedaya kerana kedua-duanya disebutkan di dalam kitab “Qutul Qulub” dan “Ihya Ulumuddin” dan jangan pula terpaksa dengan hadis-hadis yang disebutkan di dalam kedua-dua kitab itu, kerana semuanya itu adalah batil.” (Al-Majmu’, Imam An-Nawawi dalam maktabah syamilah, 4/56)

Kesembilan: Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya

Yang dimaksudkan pengajian 20 adalah mereka mempelajari 20 sifat yang wajib bagi Allah dan 20 sifat yang mustahil bagi Allah yang berlawanan dengan sifat wajib tersebut serta satu sifat yang harus bagi Allah. Mereka membahagikan 20 sifat bagi Allah itu kepada empat bahagian iaitu Nafsiyah, Salbiyah, Ma’ani dan Ma’nawiyah. Pengajian-pengajian seperti ini boleh di dapati daripada kitab ‘Aqidah At-Tauhid As-Sughra karangan Ibn Abdillah As-Sanusi.

Pengajian sifat 20 ini mereka nisbatkan kepada 2 tokoh iaitu Abul Hasan Al-Asy’ari (wafat 324H) dan Abu Mansur Al-Maturidi (wafat 332H). Lantas daripada 2 tokoh inilah timbulnya aliran Asya’irah dan Maturidiyah. Ada yang mengatakan kedua-dua aliran ini tidak ada jauh beza fahaman mereka namun setelah diselidiki, ternyata fahaman Maturidiyah ini lebih mendekati Muktazilah kerana Maturidiyah lebih  memberikan kekuasaan yang luas kepada akal berbanding Asya’irah di dalam aqidah. (A. Hanafi MA, Theology Islam, Bulan Bintang, Jakarta 1977, hal 80; Lihat buku Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Umar Hasyim, hal 83-105)

Di negara Malaysia ini, mereka menisbatkan pengajian sifat 20 ini kepada Asya’irah. Namun ternyata sebenarnya Imam Abu Hasan Al-‘Asy’ari telah pun meninggalkan pegangannya tersebut ketika beliau mengikuti metode Muhammad bin Abdullah bin Said bin Kullab Al-Basri. Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah menyebutkan bahawa Imam Al-‘Asy’ari menempuh 3 peringkat:

Pertama: Sebagai seorang Muktazilah.

Kedua: Menetapkan sifat aqliyah yang tujuh: al-Hayah (Maha Hidup), al-Ilmu (Maha Berilmu), al-Qudrah (Maha Kuasa), al-Iradah (Maha Berkehendak), as-Sama’ (Maha Mendengar), al-Basar (Maha Melihat), dan al-Kalam (Maha Berkata-kata), akan tetapi mentakwilkan sifat khabariyah seperti wajah, dua tangan dan yang semisalnya.

Ketiga: Menetapkan semua sifat Allah tanpa takyif (menanyakan bagaimana bentuk) dan tanpa tasybih (menyamakan dengan makhluk) sebagaimana yang dipegang teguh oleh salafussoleh dan metode inilah yang beliau terapkan di dalam kitabnya “Al-Ibanah” yang ditulis olehnya di akhir hayatnya. (Lihat Ithaf as-Sadah al-Muttaqin oleh Az-Zubaidi, 2/5)

Di antara yang memberi pengaruh kepada Imam Al-‘Asy’ari adalah Imam Al-Hafiz Zakariya As-Saji seorang ahli hadis kota Basrah pada zamannya. Pertemuan ini mendapat perhatian dari para ulama kerana ini merupakan titik penentuan akan perubahan manhaj Imam Al-Asy’ari yang kemudian menyebabkan beliau menisbatkan dirinya sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ahlus Sunnah sebagaimana yang baliau katakan di dalam Al-Ibanah.

Al-Imam Az-Zahabi rahimahullah ketika menulis biografi Imam Zakariya As-Saji, beliau berkata: “Dari beliaulah Abul Hasan Al-‘Asy’ari yang ahli usul mengambil pendangan Ahli Hadis dan kaum Salaf.” (Tadzkirah Al-Huffaz oleh Az-Zahabi, 2/709)

Dalam tempat lain juga pada biografi As-Saji, Az-Zahabi berkata: “Dan daripadanya Abul Hasan Al-‘Asy’ari mengambil ucapan-ucapan Salaf dalam masalah sifat-sifat Allah, dan Abul Hasan berpegang padanya dalam menyusun beberapa karya tulisnya.” (Siyar A’lam An-Nubala, 14/198)

Dr. Muhammad Abdurrahman Al-Khumais berkata: “Di dalam kedua kitab itu (Al-Ibanah fu Usul Ad-Diyanah dan Maqalat Islamiyyin) Imam Al-‘Asy’ari menyatakan dengan jelas bahawasanya beliau berpegang teguh dengan akidah yang dianut oleh Ahli Hadis (Ahli Sunnah), sedangkan mereka yang menuduh dengan tuduhan yang batil tadi adalah mereka yang menggolongkan diri mereka kepada Imam Al-‘Asy’ari dan menamakan diri mereka dengan Al-‘Asya’irah padahal pada hakikatnya mereka mengikuti metode Ibnu Kullab Al-Basri. Dan metode tersebut adalah metode yang dipegang oleh Imam Al-‘Asy’ari pada tahap kedua dari perkembangan dan perubahan iktiqad beliau, di mana pada mulanya beliau seorang Muktazilah, kemudian berubah dan mengikuti mazhab Ibnu Kullab, dan pada akhirnya beliau mantap mengikuti akidah Salaf.” (I’tiqad Ahlissunnah Ashab Al-Hadits, Edisi Terjemahan: Pokok-Pokok Akidah Salaf Yang Diikrarkan Imam Al-Asy’ari, Darul Haq, hal 3)

Sebahagian kelompok Asya’irah masih tidak mahu mengakui akan kembalinya Abul Hasan Al-‘Asy’ari kepada aqidah salaf dengan mengatakan Imam Al-‘Asy’ari menulis kitab “Al-Ibanah” hanyalah berpura-pura terhadap Hanabilah dan bertaqiyah kerana takut diancam oleh mereka terhadap dirinya (Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Kautsari terhadap Ta’liqnya kepada Kitab Tabyin Kadzib Al-Muftari) dan begitu juga di Malaysia terdapat kelompok yang mengatakan bahawa puak-puak wahabi memalsukan kitab “Al-Ibanah” dan sebagainya, demikian hanyalah alasan-alasan yang mereka ada-adakan demi untuk menafikan kebenaran yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Saya sendiri memiliki sebuah kitab “Al-Ibanah ‘An Usul Ad-Diyanah” yang ditahqiq oleh ‘Abbas Shobbagh (Cetakan Pertama 1414H/1994M; Beirut-Lubnan), dan apabila saya melihat di perpustakaan bagi cetakan lain dan yang tidak sama dengan cetakan pada saya, maka saya lihat memang terdapat perbezaan pada susunan ayat antara kitab tersebut. Namun inti-pati isi didalamnya sama sahaja, iaitu terdapat pembicaraan tentang penetapan akan dilihat Allah pada hari Kiamat, tentang Kalamullah bukan makhluk, tentang Istiwa Allah di atas ‘Arasy, tentang Wajah, Dua Mata, Melihat dan Dua Tangan, tentang bantahan terhadap Jahmiyah akan penolakan mereka terhadap ilmu dan kekuasaan Allah serta keseluruhan sifat-sifat Allah, dan lain-lain lagi.

Perbezaan susunan ayat ini berlaku disebabkan oleh pentahqiqnya yang berbeza-beza. Mereka menyalinnya semula berdasarkan pada manuskrip (makhtut) yang mereka perolehi. Ini juga berlaku pada kitab-kitab lainnya seperti kitab Aqidatus-Salaf Ashabul Hadits karangan Abu Ismail Utsman As-Shobuni, namun inti-pati perbincangan di dalamnya adalah sama sahaja. Untuk membuktikan lagi bahawa kitab Al-Ibanah adalah benar-benar karya Imam Al-‘Asy’ari, berikut ini saya nyatakan ulama-ulama yang menetapkan bahawa kitab tersebut adalah milik Imam Al-‘Asy’ari:

  1. Al-Hafiz Ibnu Asakir seorang ulama besar bermazhab Syafi’i, kitabnya Tabyin Kadzib Al-Muftari adalah merupakan pembelaan untuk Imam Al-‘Asy’ari, beliau juga banyak menukil dari kitab Al-Ibanah. Pada halaman 28, Al-Hafiz Ibnu Asakir berkata: “Dan barangsiapa yang melihat kitabnya yang bernama ‘Al-Ibanah’, dia akan tahu kedudukannya dalam ilmu dan agama ini.”
  2. Imam Ahli Qira’ah Abu Ali Al-Hasan bin Ali bin Ibrahim Al-Farisi (wafat 446H), beliau berkata: “Al-Asy’ari memiliki kitab dalam masalah As-Sunnah (maksudnya Al-Aqidah – edt) yang beliau beri nama ‘Al-Ibanah’ yang beliau tulis di Baghdad ketika beliau masuk dan menetap di sana.”
  3. Al-Hafiz Abu Utsman Ash-Shobuni seorang ulama Khurasan (wafat 449H). Diriwayatkan dari beliau bahawa setiap kali beliau keluar ke majlis tempat beliau menyampaikan pelajaran beliau selalu membawa kitab Al-Ibanah kerana kekaguman beliau terhadapnya.
  4. Al-Hafiz Al-Faqih Abu Bakar Al-Baihaqi juga bermazhab Syafi’i (wafat 458H). Beliau berkata dalam kitabnya ‘Al-I’tiqad wa Al-Hidayah Ila Sabil Ar-Rasyad’ halaman 31: “Imam Asy-Syafi’i rahimahullah menyebutkan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang kita lafazkan dengan lidah kita dan kita dengar dengan telinga kita serta kita tulis pada lembaran-lembaran kita namakan Kalam Allah, dan bahawasanya Allah berfirman dengan hamba-hambaNya dengan mengutus RasulNya. Dan semakna dengan itu disebutkan juga oleh Ali bin Ismail (Al-Asy’ari) di dalam kitabnya Al-Ibanah.”
  5. Ibnu Dirbas juga bermazhab Syafi’i (wafat 550H), di mana beliau berkata dalam sebuah risalah pembelaan beliau untuk Imam Al-Asy’ari yang berjudul ‘Adz-Dzubbu ‘An Abil Hasal Al-‘Asy’ari’: “Ketahuilah saudara sekalian, bahawasanya kitab ‘Al-Ibanah fi Usul Ad-Diyanah’ yang ditulis oleh Imam Abul Hasan Ali bin Ismail Al-Asy’ari adalah kitab yang isinya beliau pegang teguh setelah beliau bertaubat dari Muktazilah kerana kurnia dan kasih sayang Allah, dan semua pandangan yang dinisbahkan kepada beliau sekarang yang bertentangan dengan apa yang termaktub di dalam kitab (Al-Ibanah) tersebut, maka beliau telah bertaubat dan berlepas diri (bara’) dari semua itu, bahkan beliau sendiri menulis di dalam kitab tersebut bahawa itulah keyakinan yang beliau anut sebagai agama bagi Allah.”
  6. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (wafat 728H) berkata dalam ‘Al-fatawa Al-Humawiyah Al-Kubra’: “Abul Hasan berkata di dalam kitabnya yang diberi nama Al-Ibanah fi Usul Ad-Diyanah...” Kemudian beliau menyebutkan perkataan Al-Asy’ari.
  7. Al-Hafiz Adz-Dzahabi (wafat 748H), beliau berkata dalam Al-‘Uluw li Al-‘Aliyyil Ghaffar: “Al-Asy’ari berkata di dalam kitabnya Al-Ibanah fi Usul Ad-Diyanah pada bab Al-Istiwa’... dan Adz-Dzahabi menyebutkan pandangan Al-‘Asy’ari dalam maslah Istiwa’.” Beliau kemudian berkata lagi: “Dan kitab Al-Ibanah adalah antara karya tulis Al-Asy’ari yang paling terkenal yang diperkenalkan secara meluas oleh Al-Hafiz Ibnu Asakir bahkan dijadikan pegangan oleh beliau, dan kemudian ditulis dengan tangan oleh Imam An-Nawawi.”
  8. Al-‘Allamah Ibnu Farhun Al-Maliki (wafat 799H) berkata dalam kitabnya ‘Ad-Dibaj’: “Abul Hasan Al-‘Asy’ari memiliki karya tulisan antaranya: Kitab Al-Luma’ul Kabir, Al-Luma’us Shoghier dan kitab Al-Ibanah fi Usul ad-Diyanah.”
  9. Ibnu Immad (wafat 1089H) berkata dalam ‘Syadzarat Adz-Dzahab’ (2/303): “Abul Hasan Al-Asy’ari berkata dalam kitabnya Al-Ibanah fi Usul Ad-Diyanah dan ini adalah kitab terakhir yang beliau tulis.” 
  10. As-Sayyid Al-Murtadha Az-Zubaidi di dalam ‘Ithaf As-Sadah Al-Muttaqin bi Syarh Ihya’ Ulumuddin’ (2/2): “Setelah kembali (bertaubat) dari Muktazilah, Abul Hasan Al-Asy’ari menulis Al-Mujaz dalam tiga jilid dan kitab yang sarat dengan faedah dalam membantah golongan Jahmiyyah dan Muktazilah, juga Maqalat Al-Islamiyyin dan kitab Al-Ibanah.”

Demikianlah bukti-bukti yang cukup kukuh menyatakan kitab Al-Ibanah merupakan kitab terakhir yang menjadi pegangan Imam Abul Hasan Al-‘Asy’ari rahimahullah. Terdapat banyak lagi bukti yang tidak dapat saya kemukakan di sini. Untuk lebih lanjut silalah merujuk Kitab “Abul Hasan Al-Asy’ari” ditulis oleh Syeikh Hammad bin Muhammad Al-Anshari, yang telah diterjemahkan juga oleh Abdullah Al-Qari b. Hj. Salleh, berjudul “Aqidah Salaf Pegangan Terakhir Imam ‘Asy’ari” Terbitan Dinie Publishers.

Kesepuluh: Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh

Mereka berpendapat bahawa Asya’irah adalah ahli sunnah wal Jamaah, padahal telah saya jelaskan sebelum ini fahaman Asya’irah merupakan pengangan Ibnu Kullab yang beliau berpegang dengannya ketika di marhalah (peringkat) yang kedua. Namun Imam Abul Hasan Al-‘Asy’ari sendiri telah meninggalkan fahaman tersebut sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Bahkan Imam Abul Hasan Al-Asy’ari adalah merupakan penganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya dengan mengikuti pegangan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.

Kesebelas: Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah

Apa buktinya wahabi melarang membaca bismillah pada permulaan bismillah? Ini tidak lain hanyalah merupakan masalah cabang (furu’) yang dibesar-besarkan oleh kelompok yang membenci wahabi (Muhammad bin Abdul Wahab) yang menganut mazhab Hanbali di dalam fikah.

Said Sabiq rahimahullah berkata dalam kitabnya “Fiqhus Sunnah”:

اتفق العلماء على أن البسملة بعض آية في سورة النمل، واختلفوا في البسملة الواقعة في أول السور إلى ثلاثة مذاهب مشهورة

Maksudnya: “Para ulama bersepakat bahawa basmalah (bacaan bismillah) itu merupakan sebahagian surah An-Naml, sedangkan mereka berbeza pendapat mengenai bacaan bismillah pada awal surah kepada 3 mazhab yang terkenal.” (Fiqhus Sunnah, 1/135)

Seterusnya Said Sabiq menyebutkan pendapat pertama: Basmalah merupakan salah satu ayat dari surah Al-fatihah dan berdasarkan ini maka wajibnya membaca basmalah pada surah tersebut. Dan mengenai bacaan basmalah secara sirr (perlahan) atau Jahar (kuat), mereka berhujahkan hadis Na’im Al-Mujammir:

صليت وراء أبي هريرة فقرأ (بسم الله الرحمن الرحيم، ثم قرأ بأم القرآن) الحديث وفي آخره قال: والذي نفسي بيده أني لاشبهكم صلاة برسول الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Aku melakukan solat dibelakang Abu Hurairah. Maka dia membaca “Bismillahir rahmanir rahim” kemudian membaca surah Al-Fatihah. Dan pada akhirnya beliau berkata: “Demi diriku yang berada ditanganNya, sesungguhnya solatku adalah yang paling serupa diantara kamu dengan solat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat An-Nasai, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Kemudian Said Sabiq membawakan perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari: “Hadis ini merupakan hadis yang paling sahih menyatakan dibacanya basmalah secara jahar.” (Fiqhus Sunnah, 1/136)

Kemudian Said Sabiq membawakan pendapat yang kedua: Basmalah merupakan suatu ayat yang berdiri sendiri yang diturunkan untuk mengambil berkat serta pemisah di antara surah-surah dan membacanya dalam surah Al-Fatihah sunnat tetapi tidak disunnahkan membacanya secara jahar. Mereka berhujahkan hadis Anas radiallahu ‘anhu:

صليت خلف رسول الله صلى الله عليه وسلم وخلف أبي بكر وعمر وعثمان، وكانوا لا يجهرون ببسم الله الرحمن الرحيم

Maksudnya: “Aku melakukan solat dibelakang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan dibelakang Abu Bakar, Umar dan Utsman. Dan adalah mereka tidak menjaharkan bacaan bismillahir rahmanir rahim.” (Hadis riwayat An-Nasai, Ibn Hibban, Thahawi dengan sanad yang menepati syarat Bukhari dan Muslim)

Dan pendapat ketiga: Basmalah merupakan suatu dari ayat Al-Fatihah atau dari surah lainnya, dan bahawa membacanya dimakruhkan baik secara sirr mahupun jahar pada solat fardu ataupun sunnat. Mazhab ini tidak kuat. Seterusnya Said Sabiq membawa perkataan Ibn Qayyim untuk menghimpunkan pendapat pertama dan kedua:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يجهر (ببسم الله الرحمن الرحيم) تارة، ويخفيها أكثر مما يجهر بها، ولا ريب أنه لم يجهر بها دائما في كل يوم وليلة خمس مرات أبدا، حضرا وسفرا، ويخفي ذلك على خلفائه الراشدين وعلى جمهور أصحابه وأهل بلده في الاعصار الفاضلة من لم يحسن فرض القراءة.

Maksudnya: Adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjaharkan bismillahir rahmanir rahim, dan lebih banyak tidak menjaharkan dengannya (yakni selalu membaca basmalah secara sirr). Dan tidak ragu lagi bahawasanya baginda tidak selalu menjaharkannya pada setiap lima waktu pagi dan malam, sama ada diwaktu menetap mahupun musafir, dan tanpa disedari perkara ini oleh para khulafa’ Ar-Rasyidin dan oleh golongan terbesar dari sahabat-sahabatnya serta kawan-kawan sebangsanya pada masa-masa berikutnya.” (Fiqhus Sunnah, 1/136)

Dengan demikian, jelaslah masalah ini terdapat khilaf di antara ulama dan yang pasti kedudukan kita adalah hendaklah mengikuti yang mana lebih dekat dengan sunnah serta tidak meluluh dengan mengatakan pendapat sekian-sekian adalah sesat padahal perkara tersebut ada perbincangannya dikalangan ulama. Jadikanlah firman Allah ini sebagai pedoman:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu berselisih pendapat terntang sesuatu maka hendaklah kamu kembalikannya kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar orang yang beriman dengan Allah dan hari akhir, yang demikian itu terbaik dan lebih baik kesudahannya.” (An-Nisa’: 59)

Kedua Belas: Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w

Perkataan ini adalah dusta. Syeikh sangat memuliakan Rasulullah dan menyuruh agar kita melakukan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Dan termasuk di dalam sunnah itu adalah membaca wirid-wirid yang telah diajarkan oleh baginda melalui hadis-hadis yang sahih. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab sendiri telah pun menjawab pelbagai tuduhan-tuduhan tersebut, bacalah kitab “Da’awa Al-Munawiin li Da’wati Asy-Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab” yang ditulis oleh ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin ‘Ali Al-‘Abdul Latif telah pun diterjemahkan oleh Muhammad Amin Yaacub yang diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa.

Saya menukilkan daripada buku tersebut beberapa jawapan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab terhadap tuduhan yang dilontarkan terhadapnya berkenaan upaya merendah-rendahkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Beliau berkata:

“Amat ajaib bagaimana hal ini boleh terkeluar dari mulut orang yang berakal. Adakah yang mengucapkannya itu seorang Muslim atau kafir atau alim ataupun ucapan seorang gila?. Begitu juga kata-kata mereka bahawa aku mendakwa jika aku berupaya akan kuruntuhkan kubah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini juga suatu dusta. Adapun berkenaan kitab Dala’il al-Khairat aku hanya menegur serta menasihati mereka supaya tidak mengagung-agungkan kitab tersebut melebihi al-Qur’an. Ini kerana ada di kalangan mereka yang memuliakan pembacaan Dalai’il al-Khairat melebihi pembacaan terhadap al-Qur’an. Adapun membakarnya, ataupun menegah daripada berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam merupakan pembohongan terhadap diriku.” (Sila lihat Majmu’ah Muallifat Al-Syeikh, jil 5, hlm 37; nukilan diambil dari buku Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab (buku 1), hal 167-168)

Ketika memasuki kota Mekah pada bulan Muharram tahun 1218H, beliau membantah serta menjawab pembohongan ini dengan katanya:

“Adapun apa yang didustakan ke atas kami merupakan perkara yang menyalahi kebenaran serta tipudaya terhadap sekalian manusia. Mereka menuduh kami mengatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam laksana tali usang di dalam kuburnya atau tongkat kami lebih bermanfaat dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Selain itu mereka juga menuduh kami mengingkari syafaat Nabi serta tidak diperbolehkan menziarahi kuburnya. Lebih dahsyat lagi, mereka menuduh kami mengatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak mengetahui makna kalimah Lailahaillallah sehinggakan turun kepadanya ayat berikut:

Maksudnya: “Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Haq) melainkan Allah.” (Muhammad: 19)

Seterusnya mereka menuduh kami melarang berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka sebagai jawapan terhadap segala khurafat, pembohongan serta kekeliruan ini ialah firman Allah Subhanahu Wa Ta ‘ala:

Maksudnya: Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar. (al-Nur: 16)

Sesiapa yang menyaksikan sendiri hal kami serta menghadiri majlis ilmu kami mereka akan sedar bahawa segala dakwaan tersebut hanyalah datang dari musuh-musuh agama serta rakan-rakan syaitan mereka. Hakikatnya kami hanya menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dengan mengikhlaskan seluruh peribadatan kepada-Nya serta menjauhi perbuatan syirik dengan segala cabangnya.

Secara realiti, kami menetapkan kemuliaan Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi kemuliaan makhluk lainnya secara mutlak. Baginda hidup di dalam kuburnya menerusi kehidupan alam Barzakh melebihi kehidupan para syuhada’ sebagaimana termaktub di dalam al-Qur’an. Baginda mendengar ucapan salam yang diucapkan ke atasnya serta mengenali para penziarah yang menziarahi kuburnya.

Namun Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pula mengarahkan bermusafir melainkan untuk menziarahi masjidnya serta bersolat di dalamnya. Walaubagaimanapun sekiranya seseorang itu berniat untuk menziarahi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beserta dengan niat menziarahi masjid serta bersolat di dalamnya, maka ia tidak mengapa.

Seterusnya sesiapa yang mengisi waktunya dengan berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan cara selawat yang warid atau sahih darinya maka ia mendapat kejayaan di dunia serta di akhirat. Cukuplah usaha, kemahuan serta kerisauan hati sekiranya berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih berkenaannya.” (Sila lihat Al-Durar Al-Saniyyah, jil 1, hlm 127-128; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab (buku1) hal 168-170)

Dengan jawapan Syeikh sendiri di atas ini, sekaligus menjawab juga beberapa tuduhan yang telah lalu yang tidak sempat saya kemukakan perkataan Syeikh ini.

Ketiga Belas: Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja

Yang dimaksudkan tidak boleh melagukan Al-Quran itu sebenarnya adalah apabila melagukan dengan lagu-lagu tertentu yang tidak boleh dibuat melainkan dengan mempelajarinya (Tarannum). Sedangkan terdapat hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami siapa yang tidak melagukan Al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari; Misykat Mashobih, no: 2194)

Dalam riwayat lain, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


مَا أَذِنَ اللَّهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرْآنِ قَالَ سُفْيَانُ تَفْسِيرُهُ يَسْتَغْنِي بِه

Maksudnya: “Tidaklah aku diizinkan bagi sesuatu pun apa yang telah diizinkan kepada Nabi, iaitu bahawa membaca Al-Quran hendaklah lagukan.” Sufyan (Ats-Tsauri) berkata: “Tafsirannya adalah berasa cukup dengannya (yakni Al-Quran).” (Hadis riwayat Bukhari, no: 4636)

Dalam riwayat lain juga:


مَا أَذِنَ اللَّهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِنَبِيٍّ حَسَنِ الصَّوْتِ بِالْقُرْآنِ يَجْهَرُ بِهِ


Maksudnya: “Tidaklah aku diizinkan oleh Allah bagi sesuatu pun kepada Nabi, iaitu membaguskan suara dengan menjaharkan bacaan Al-Qurannya.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 6989)

Juga diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اقرؤوا القرآن بلحون العرب وأصواتها وإياكم ولحون أهل العشق ولحون أهل الكتابين وسيجي بعدي قوم يرجعون بالقرآن ترجع الغناء والنوح لا يجاوز حناجرهم مفتونة قلوبهم وقلوب الذين يعجبهم شأنهم

Maksudnya: “Bacalah Al-Quran dengan irama-irama arab dan suara-suara sebutannya, dan jauhkanlah kamu daripada lagu-lagu kumpulan fasiq dan ahli-ahli kitab. Dan akan datang suatu kaum sesudahku orang-orang yang mengembalikan (membacakan) Al-Quran seperti penyanyi, pendita dan peratap, bacaannya tidaklah melewati kerongkongnya (yakni tidak sampai ke hati), hati-hati mereka dan hati-hati orang yang mengkagumi perbuatan mereka adalah terfitnah (berpenyakit dan rosak).” (Hadis riwayat At-Thabrani dalam Mu’jam Al-Ausath, no: 7430 dan Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, no: 2541; Al-Albani mendhaifkan hadis ini di dalam Sahih wa Dha’if Jami’us Shoghier, no: 2992)

Ibn Qayyim rahimahullah berkata: “Fasal pemisahan, dijelaskan bahawa memperlagukan bacaan (tatriib; mengelokkan bunyi lagu) dan berlagu (taghanni) adalah terpisah kepada dua bentuk, iaitu:

Pertama: Berlagu menurut tabi’i (semula jadi) dimana ia berlaku dengan mudah tanpa memberatkan diri, tanpa latihan dan tanpa belajar, malah apabila ia diguna menurut tabi’at ciptaannya serta menurut tempoh secara perlahan-lahan, maka ia mewujudkan bunyi yang elok dan melagukan (talhin), maka yang demikian adalah harus sekalipun tabi’atnya itu ditambah dengan menghias dan mengelokkan sebagaimana perkataan Abu Musa Al-Asy’ari kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam (dan Nabi tidak pula membantahnya):

لَوْ عَلِمْتُ أَنّكَ تَسْمَعُ لَحَبّرْتُهُ لَكَ تَحْبِيرًا

“Seandainya hamba mengetahui tuan mendengar bacaan hamba (yang elok) tentulah hamba benar-benar membacakannya untuk tuan dengan suara yang sehalus-halusnya (seindah-indahnya).”

Manakala orang yang dukacita dan terangsang kegembiraan, cinta dan rindu itu dirinya tidaklah mampu menolak kedatangan rasa duka dan gembira dalam bacaan Al-Quran, malah jiwa insan akur menerimanya dan merasakan sesuai dengan tabi’at, tanpa memaksa dan tanpa mengusahakannya, di mana dia telah ditabi’atkan demikian rupa, bukan mentabi’atkan iaitu menurut bukan diturutkan (dipaksakan).

Maka cara ini merupakan perkara yang memberi kesan (mempengaruhi) peserta dan pendengar, sedang semua alasan keadaan ini diterima oleh ilmuwan yang merestui pendapat ini.

Kedua: Apa yang biasa berlaku ia merupakan suatu usaha daripada beberapa usaha (kegiatan yang gigih) dan ia tidaklah berlaku dalam kemudahan tabi’i, malah tidaklah diperoleh melainkan dengan memaksakan, mengusahakan dan melatih diri sebagaimana suara-suara penyanyi dipelajari dengan berbagai lagu bebas yang tersusun dalam paduan suara dan lagu tertentu dan timbangan-timbangan yang direkakan. Tidaklah ia memperoleh melainkan menerusi pembelajaran dan memaksakan.

Maka ini merupakan bentuk yang dibenci oleh para salaf, mereka mengaib, mencela dan menegahkan bacaan ini seterusnya menentang siapa yang membacakan demikian. Alasan yang menolak adalah berdasarkan bentuk dan dengan penjelasan terperinci ini akan hilanglah keraguan mengenainya dan tampak terang mana yang benar dan yang sebaliknya.

Setiap orang yang mengetahui sikap salaf (generasi awal), mereka mengetahui dengan pasti bahawa orang-orang salaf adalah berlepas diri dari membaca Al-Quran dengan lagu-lagu muzik yang dipaksakan, keadaannya mempunyai paduan suara lagu dan harakah (tempoh) yang bertimbang tertentu lagi terhad. Mereka adalah takut kepada Allah untuk membacakannya dengan cara itu, apa lagi untuk mengharuskannya.

Kita mengetahui dengan yakin bahawa para salaf sendiri adalah membaca Al-Quran secara insaf (menangis), berlagu dan memperelokkan suara sebutan mereka dengan bacaan Al-Quran. Mereka membacanya kedangkala dengan pilu, terkadang dengan riang dan terkadang dengan rindu.

Dan ini merupakan suatu keadaan yang tetap dalam pembawaan (tabi’at) mereka, sedang syarak tidaklah melarang bersungguh-sungguh memenuhi pembawaan sendiri, malah dia melorongkan kepadanya dan menggalakkannya. Menurut penerangan agama, Allah ingin mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca dengan berlagu berdasarkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami siapa yang tidak melagukan Al-Quran.”

Hadis ini mempunyai dua maksud, iaitu; Pertama: Dia memberitakan kepada kita tentang perlakuan yang kita semua lakukan. Kedua: Dia menafikan adanya petunjuk bagi orang yang tidak mengikut petunjuk dan cara yang dilakukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.” (Zaadul Ma’ad, jilid 1, halaman 474-476)

Ibn Katsir rahimahullah berkata: “Matlamat yang dituntut syarak Cuma mengelokkan suara yang membangkitkan untuk berfikir tentang (arahan) Al-Quran, memahaminya, khusyuk, merendah diri dan terpimpin untuk memahaminya. Adapun suara-suara berlagu yang direka-rekakan yang tersusun antara wazan-wazan dan posisi alat-alat hiburan dan sistem-sistem muzik, maka Al-Quran adalah bersih daripada semuanya itu, sedang dia mengutamakan dan melebihkan agar dapat melaksanakan cara ini.” (Fadhail Al-Quran, hal 125-126)

Demikianlah masalah melagukan Al-Quran, yang dilarang adalah mempelajari lagu-lagu tarannum yang sangat sukar untuk dilakukan melainkan dengan cara berlatih dan mempelajari alunan-alunan rentak tertentu sebagaimana yang dilakukan pada hari ini. Namun sekiranya dilagukan sahaja dengan tidak dibuat-buat lagunya, maka inilah tuntutan yang dikehendaki. Wallahua’lam

Adapun berkenaan azan, tidak diketahui ada dalam syariat untuk melagukan azan. Namun yang dikehendaki adalah memperelokkan suara sebagaimana terdapat hadis yang diriwayatkan dari Abi Mahzurah radiallahu ‘anhu:


أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْجَبَهُ صَوْتُه فَعَلَّمَهُ الأَذَانَ

Maksudnya: “Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berasa kagum dengan suara Abi Mahzurah dan mengajarkan azan kepadanya.” (Hadis riwayat Ad-Darimi, Ad-Daruqutni dan Ibn Khuzaimah; hadis di atas di ambil dari Bulughul Maram Karya Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Bab Azan, hadis yang ke-5) 

Namun pengarang kitab “Al-Bujairimi” dalam hasyiah “al-Iqna’” berkata: “Hendaklah muazzin (tukang azan) berhati-hati dari kesalahan-kesalahan yang membatalkan azan, bahkan menjadi kafir orang yang sengaja melakukan sebahagian dari kesalahan-kesalahan itu, seperti memanjangkan “Baa” pada perkataan “Allahu Akbar” dan memanjangkan “Hamzah” pada perkataan “Asyhadu”, memanjangkan “Hamzah” pada perkataan “Allah” dan tidak menyebutkan “Haa” pada perkataan “Ash-Sholah” dan lain-lainnya. Dan haram melagukan azan jika membawa kepada merubahkan maknanya.” (Ishlahul-Masajid, halaman 132; dinukil dari buku Al-Bid’ah Bahaya & Keburukannya, Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, hal 300)

Keempat Belas: Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang

Kalau yang dimaksudkan adalah membuat kenduri arwah maka telah saya jelaskan sebelum ini, bahawa Imam Syafi’i rahimahullah juga melarang membuat kenduri arwah sebagaimana katanya:

وأحب لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعملوا لاهل الميت في يوم يموت وليلته طعاما يشبعهم فإن ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا لانه لما جاء نعى جعفر قال رسول الله صلى الله عليه وسلم  اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم

Maksudnya: “Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnat dan ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/317)

Beliau juga berkata:

وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة مع ما ضى فيه من الاثر

Maksudnya: “Dan aku membenci membuat perkumpulan iaitu berkumpul, walaupun dalam majlis itu tidak terdapat tangisan (ratapan) kerana sesungguhnya perkara itu (berkumpul) akan mengembalikan kesedihan dan memberikan beban berdasarkan atsar yang telah lalu.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/318)

Kalau yang dimaksudkan zikir secara berjamaah setelah solat, maka Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan:

قد ذكرنا استحباب الذكر والدعاء للامام والمأموم والمنفرد وهو مستحب عقب كل الصلوات بلا خلاف وأماما اعتاده الناس أو كثير منهم من تخصيص دعاء الامام بصلاتي الصبح والعصر فلا أصل له

Maksudnya: “Kami telah menyebutkan tentang kesunnatan berzikir sesudah solat bagi Imam bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian adalah dikehendaki berbuat yang demikian (yakni secara bersendirian) pada setiap solat lima waktu tanpa khilaf. Dan adapun adat yang diadakan manusia atau kebanyakan dari mereka, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, maka ianya tidak ada asal usulnya”. (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 3/488)

Syeikh Muhammad bin Sholeh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Setiap hadis yang disyarahkan mengenai lafaz majlis zikir bukan bermaksud sunnah melakukannya secara berjamaah. Tetapi, disunnatkan berkumpul untuk berzikir, membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid dan bertahlil. Yang tepat, masing-masing melakukannya secarasendiri sama ada berdoa atau berzikir.” (Syarah Riyadhus Sholehin, jil 4, hal 35)

Beliau menjelaskan lagi: “Bukan maksud berkumpul iaitu berzikir kepada Allah melaungkan serentak secara berjamaah. Walaupun lafaz hadis yang digunakan secara kata ganti nama jamak (ramai), tetapi tidak diriwayatkan daripada salafussoleh bahawa mereka melakukan zikir secara berjamaah seperti yang dilakukan oleh sebahagian kumpulan tarekat sufi dan lain-lainnya.” (Syarah Riyadhus Sholehin, jil 4, hal 35-36)

Sebagai bukti lagi, Ibn Mas’ud sendiri pernah menegah sekumpulan orang yang berzikir secara berjamaah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ad-Darimi rahimahullah: Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abdullah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami pun berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abdurrahman (gelaran ‘Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abdullah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu Abdurrahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat alhamdulilah melainkan ianya baik”. Dia (Ibn Mas'ud) bertanya: “Apakah ia?”. Abu Musa berkata: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki (ketua kumpulan) itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” ‘Abdullah bin Mas‘ud bertanya: “Apa yang telah engkau katakan kepada mereka?”. (Abu Musa) menjawab: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

‘Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu Ibn Mas'ud berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Ibn Mas'ud lantas berdiri berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu Abdurrahman! Batu ini yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Ibn Mas'ud berkata: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Mereka menjawab: “Demi Allah wahai Abu ‘Abdurrahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca Al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka. Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi. Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani; lihat Silsilah as-Sahihah, 5/11)

Kelima Belas: Amalan tariqah dilarang sama sekali

Bagaimana amalan tariqah (tarekat) hendak diambil, sedangkan semua yang telah saya nyatakan sebelum iaitu, memuji Rasulullah secara berlebihan dengan mengamalkan selawat yang berbagai-bagai ragam seperti selawat Badriyah, selawat Fatih, selawat Tijaniyah dan berbagai-bagai lagi yang direka-reka oleh penganut tarekat-tarekat tertentu. Demikian pula, para penganut tarekat melakukan perjalanan ke Masjid Nabawiyah dengan niat yang utama mereka iaitu hendak menziarahi kubur Nabi, padahal Nabi telah menjelaskan, dengan sabdanya:


لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perjalanan yang jauh kecuali ke tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram, Masjid Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan Masjid Al-Aqsa.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 1115 dan Muslim, no: 2475)

Perbahasan mengenai ini telah pun lanjut. Silalah merujuk pada jawapan terhadap tuduhan yang kelima sebelum ini. Bahkan di dalam kitab Barzanji juga terdapat bukti mereka menjadikan haji dan umrah mereka sebagai menziarahi kubur Nabi adalah haji dan umrah yang sempurna:


ان حجي وعمرتي رؤيتي روضة المقام هم جلا نور مقلتي وبهم يحصل التمام


“Sesungguhnya haji dan umrahku adalah melihat Raudah dan Maqam. Mereka adalah menifestasi cahaya jiwaku dan dengan merekalah diperolehi kesempurnaan.” (Majmu’ah Maulid Barzanji, hal 33)


اذا لم ازر قبره يا سعد في عمري من بعد هذا الجفا يا ضيعة العمر

“Jika aku tidak dapat menziarahi kuburnya (kubur nabi), kekecewaan dan kehampaanlah yang ku dapat, sia-sialah umurku.” (Ibid, hal 41-42)

Bahkan tokoh sufi yang dikenali ramai Ibn ‘Arabi memiliki aqidah sonsang sehingga dia dikafirkan oleh para ulama disebabkan perkataannya yang kufur diucapkan di dalam kitab-kitabnya antaranya, Ibn ‘Arabi berkata:

العبد رب والرب عبد،
يا ليت شعري من المكلف،
إن قلت عبد فذاك حق،
أو قلت رب أني يكلف


"Hamba ialah Tuhan dan Tuhan ialah Hamba. Aku berharap agar aku mengetahui yang mana satukah perlu aku jalankan tanggungjawabku. Jika aku katakan hamba itu hamba atau jika aku katakan hamba itu adalah Tuhan, jadi bagaimanakah bentuk tugasan yang perlu aku jalankan bagi-Nya." (Al-Futuhat Al-Makiyyah, Ibn 'Arabi, ms. 43)

Ibn 'Arabi juga berkata:


إن الذين عبدوا العجل ما عبدوا غير الله

"Sesungguhnya yang menyembah anak lembu (sebenarnya) dia tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah." (Al-Futuhat Al-Makiyyah, ms. 43 dan Tanbih al-Ghabi, Al-Baqa'ie, ms. 124-127)

Imam Zainuddin al-'Iraqi rahimahullah menjelaskan daripada kata-kata Ibn 'Arabi di atas: "Sesungguhnya ini adalah kata-kata beracun tentang penyatuan tiada batasan termasuk idea semua ciptaan yang wujud adalah Tuhan (Wahdatul Wujud). Termasuk kategori ideologi ini apa yang dinyatakan secara jelas bahawa Tuhan ialah Abu Said al-Kharraz dan juga perkara lain seumpama itu. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan hal ini dan mempercayainya maka menurut ijmak ulama dia telah kufur." (Tanbih al-Ghabi, ms. 66)

Dan banyak lagi perkataan-perkataan beliau yang kufur diucapkan di dalam kitab-kitabnya. Lebih lanjut berkenaan perkataan-perkataan beliau ini, sila rujuk artikel saya di dalam blog http://bahaya-sufi.blogspot.com atau http://wahabiah.blogspot.com

Oleh sebab itu, Syeikh Muhammad bin Rabi' bin Hadi al-Madkhali berpesan: "Sudah menjadi kewajipan setiap muslim terutama ilmuan dan para pendakwah menentang habis-habisan mereka yang menentang syari'at Islam tidak kira sama ada golongan komunis, sufi, atheis, penyembah qubur (quburiyun) dan lain-lain lagi. Saya melihat ramai para pendakwah yang sudah menjalankan tugas itu tetapi mengabaikan tentang golongan sufi. Hanya beberapa orang sahaja yang benar-benar menentang golongan sufi yang melanggar syariat dan berada dalam kesesatan." (Realiti Gerakan Sufisme, ms. 68-69)

Syeikh Ihsan Ilahi Zahir berkata: “Tatkala kita telusuri ajaran sufi pada permulaan sehingga akhirnya dan juga perkataan-perkataan mereka baik yang keluar dari lisan mahupun yang terdapat di dalam buku-buku terdahulu dan terkini mereka, maka sangatlah berbeza dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Dan kita tidak pernah melihat asal-usul ajaran sufi ini di dalam sejarah pemimpin umat manusia iaitu Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, dan juga sejarah para sahabatnya yang mulia serta makhluk-makhluk pilihan Allah Ta’ala di alam semesta ini. Bahkan sebaliknya kita melihat bahawa ajaran sufi ini diambil dan diwarisi dari kerahiban Nasrani, Brahma Hindu, ibadah Yahudi, dan zuhud Buddha.” (At-Tasawwuf Al-Mansya’ wal Mashadir, hal 28)

Syeikh Abdurrahman Al-Wakil berkata: “Sesungguhnya tasawwuf merupakan tipu daya syaitan yang paling tercela lagi hina, untuk mengajak hamba-hamba Allah Ta’ala di dalam memerangi Allah Ta’ala dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam. Sesungguhnya tasawwuf merupakan topeng bagi Majusi agar tampak sebagai seorang rabbani. Bahkan ia sebagai topeng bagi setiap musuh (sufi) di dalam memerangi agama yang benar ini. Periksalah ajarannya! Nescaya engkau akan dapati padanya ajaran Brahma (Hindu), Buddha, Zaradisytiyyah, Manawiyyah, Dishaniyyah, Aplatoniyyah, Ghanusiyyah, Yahudi, Nasrani, dan penyembahan berhala jahiliyyah.” (Muqaddimah Kitab Mashra’ut Tasawwuf, hal 19)  

Keenam Belas: Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Tuduhan ini telah pun di jawab pada artikel-artikel terdahulu. Mungkin yang mereka maksudkan kerana wahabi tidak menyuruh berzikir secara jahar (deras) dan berjamaah. Maka perkara ini telah pun dijawab sebelum ini iaitu sunnah Nabi dalam berzikir setelah solat adalah dengan melakukan sendiri-sendiri. Bahkan Imam Syafi’i menyukainya dilakukan secara bersendirian sebagaimana yang telah saya paparkan sebelum ini juga. Dengan itu tuduhan ini hanyalah berupa fitnah sahaja dan begitu juga tuduhan-tuduhan lainnya sebelum ini.

Semua tuduhan-tuduhan ini tidak ubah hanya seperti sarang labah-labah, yang disangkanya kukuh namun begitu mudah dimusnahkan. Semoga segala jawapan yang diberikan memberi pendedahan kepada mereka yang masih tidak mengetahui hakikat sebenar tentang permasalahan ini. Walaupun perkara ini sering berlaku dan memang akan terus berlaku, akan tetapi golongan yang benar juga akan tetap terus ada dan kelihatan sehinggalah datangnya hari kiamat seperti yang telah dijanjikan.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Akan tetap terus ada segolongan dari umatku yang tampak di atas kebenaran sehinggalah datangnya perintah Allah, sedang mereka masih jelas kelihatan.” (Hadis riwayat Ahmad; disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah, no: 270)

Wallahu ‘alam

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...