Jumaat, 22 Jun 2018

Karakteristik Paling Menonjol dari Al-Firqah An-Najiyah (Golongan Yang Selamat)

Pertanyaan:
Syeikh Muhammad bin Soleh Al ‘Uthaimin rahimahullah pernah ditanya, “Apakah karakteristik paling menonjol dari Golongan Yang Selamat (Al Firqah An-Najiyah)? Dan adakah dengan adanya kekurangan (yang ada pada diri seseorang) dalam salah satu di antara karakter ini lantas mengeluarkan orang tersebut dari Golongan Yang Selamat?”
Jawapan:
Beliau rahimahullah menjawab, “Karakter paling menonjol yang dimiliki oleh Golongan Yang Selamat adalah berpegang teguh dengan ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam hal akidah (keyakinan), ibadah (ritual), akhlak (budi pekerti), dan mu’amalah (interaksi sesama manusia). Dalam keempat perkara inilah anda dapatkan Golongan Yang Selamat sangat tampak menonjol ciri mereka:
Adapun dalam hal akidah: Anda dapat temui mereka sentiasa berpegang teguh dengan keterangan dalil Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu meyakini tauhid yang murni dalam hal Uluhiyah Allah, Rububiyah-Nya serta Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya.
Adapun dalam hal ibadah: Anda temui golongan ini tampak istimewa kerana sikap mereka yang begitu berpegang teguh dan berusaha keras menerapkan ajaran-ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam menunaikan ibadah, yang meliputi jenis-jenisnya, cara-caranya, ukuran-ukurannya, waktu-waktunya dan sebab-sebabnya. Sehingga anda tidak akan menemui adanya perbuatan menciptakan kebid’ahan dalam agama Allah di antara mereka. Akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat beradab terhadap Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak mendahului Allah dan Rasul-Nya dengan menyusupkan suatu bentuk ibadah yang tidak diizinkan oleh Allah.
Sedangkan dalam hal akhlak: Anda juga dapat menemui ciri mereka seperti itu. Mereka kelihatan istimewa dibandingkan selain mereka dengan akhlak yang mulia, contohnya: mencintai kebaikan bagi umat Islam, sikap lapang dada, bermuka ramah, berbicara baik dan pemurah, berani dan sifat-sifat lain yang termasuk bahagian dari kemuliaan akhlak dan keluhurannya.
Dan dalam hal mu’amalah: Anda dapat temui mereka menjalinkan hubungan dengan sesama manusia dengan sifat jujur dan suka menerangkan kebenaran. Dua sifat inilah yang diisyaratkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam sabdanya, “Penjual dan pembeli mempunyai hak memilih selama keduanya belum berpisah. Apabila mereka berdua bersikap jujur dan menerangkan perkara sebenarnya nescaya akan diberkati jual beli mereka. Dan apabila mereka berdusta dan menyembunyikan (cacat barangnya) maka akan dicabut barakah jual beli mereka berdua.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Adanya kekurangan pada sebahagian karakter ini tidak lantas mengeluarkan individu tersebut dari keberadaannya sebagai bahagian dari Golongan Yang Selamat, namun setiap tingkatan orang akan mendapatkan balasan sesuai amal yang mereka lakukan. Sedangkan kekurangan dari sudut tauhid kadang-kadang boleh mengeluarkan dirinya dari Golongan Yang Selamat, contohnya hilangnya keikhlasan. Begitu juga dalam masalah bid’ah, terkadang dengan sebab bid’ah-bid’ah yang diperbuatnya membuatnya keluar dari keberadaannya sebagai bagian dari Golongan Yang Selamat.
Adapun dalam masalah akhlak dan mu’amalah maka tidaklah seseorang dikeluarkan dari golongan yang selamat ini semata-mata kerana kekurangan dirinya dalam dua masalah ini, meskipun hal itu menyebabkan kedudukannya menjadi menurun.
Kita perlu untuk memperinci permasalahan akhlak kerana salah satu faedah dari akhlak ialah wujudnya kesatuan kata dan bersatu padu di atas kebenaran yang diperintahkan Allah ta’ala kepada kita di dalam firman-Nya (yang bermaksud), “Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".” (Asy Syura: 13)
Dan Allah memberitakan bahwasanya Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam lepas tanggung jawab dari perbuatan orang-orang yang memecah belah agama mereka sehingga mereka menjadi bergolong-golongan. Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang bermaksud), “Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.” (Al-An’am: 159). Sehingga kesatuan kata dan keterikatan hati merupakan salah satu karakter paling menonjol yang dimiliki oleh Golongan Yang Selamat -Ahli Sunnah wal Jama’ah- Oleh sebab itu apabila muncul perselisihan di antara mereka yang bersumber dari ijtihad dalam berbagai perkara ijtihadiyah maka hal itu tidaklah membangkitkan rasa dengki, permusuhan ataupun kebencian di antara mereka. Akan tetapi mereka meyakini bahawasanya mereka adalah bersaudara meskipun terjadi perselisihan ini di antara mereka. Sehingga salah seorang di antara mereka mahu solat di belakang imam yang menurutnya dalam status tidak berwudhuk sementara si imam berpendapat bahawa dirinya masih punya status berwudhuk.
Atau contoh lainnya adalah orang yang tetap mahu solat bermakmum kepada imam yang baru sahaja memakan daging unta. Si imam berpendapat bahawa hal itu tidak membatalkan wudhuk. Sedangkan si makmum berpendapat bahawa hal itu membatalkan wudhuk. Namun dia tetap berkeyakinan bahawa solat bermakmum kepada imam tersebut adalah sah. Walaupun seandainya jika dia sendiri yang solat maka dia menilai solatnya dalam keadaan seperti itu tidak sah. Ini semua boleh berlaku kerana mereka memandang bahawa perselisihan yang bersumber dari ijtihad dalam persoalan yang diizinkan untuk ijtihad pada hakikatnya bukanlah perselisihan. Alasannya adalah kerana masing-masing individu dari dua orang yang berbeza pendapat ini sudah berusaha mengikuti dalil yang wajib diikuti olehnya dan dia tidak boleh meninggalkannya. Oleh sebab itu, apabila mereka melihat saudaranya berbeza pendapat dengannya dalam suatu perbuatan kerana mengikuti tuntutan dalil maka sebenarnya saudaranya itu telah sepakat dengan mereka, kerana mereka mengajak untuk mengikuti dalil dimanapun adanya. Sehingga apabila dengan menyelisihi mereka itu menjadikan dirinya sesuai dengan dalil yang ada (dalam pandangannya), maka pada hakikatnya dia telah bersepakat dengan mereka, kerana dia sudah meniti jalan yang mereka serukan dan tunjukkan iaitu kewajipan untuk berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Dan terjadinya perbezaan pendapat dalam masalah-masalah seperti ini di kalangan para sahabat tidaklah tersembunyi di kalangan banyak ulama, bahkan sudah ada juga di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan ternyata tidak ada seorangpun di antara mereka yang bersikap keras kepada yang lainnya. Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pulang dari perang Ahzab dan Jibril datang kepada baginda menyuruh baginda agar menpersiapkan para sahabat ke Bani Quraizhah yang telah membatalkan perjanjian. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pun berpesan kepada para sahabatnya, “Janganlah kamu solat ‘Asar kecuali di Bani Quraizhah.” (HR. Bukhari dan Muslim), maka mereka berangkat dari Madinah menuju Bani Quraizhah namun di tengah perjalanan mereka waktu solat ‘Asar sudah hampir habis. Di antara mereka ada yang mengakhirkan solat ‘Asar sehingga tiba di Bani Quraizhah sesudah habis waktu. Mereka beralasan kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda, “Janganlah kamu solat ‘Asar kecuali di Bani Quraizhah.” Dan ada juga di antara mereka yang mengerjakan solat pada waktunya. Mereka ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan oleh Rasul shallallahu ‘alaihi wa sallam ialah perintah agar mereka bersegera pergi ke sana dan bukan bermaksud agar kita melewatkan solat di luar waktunya -dan mereka inilah yang benar- akan tetapi meskipun demikian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak bersikap keras terhadap salah satu di antara kedua kelompok tersebut. Dan hal itu tidaklah membuat mereka memusuhi dan membenci sahabat lain semata-mata kerana perbezaan mereka dalam memahami dalil ini.
Oleh sebab itulah saya berpandangan bahawa menjadi kewajiban kaum muslimin yang menyandarkan dirinya kepada Sunnah supaya menjadi umat yang bersatu padu dan janganlah terjadi tahazzub (tindakan bergolong-golongan). Yang ini membela suatu kelompok, sedangkan yang lain membela kelompok lainnya, dan pihak ketiga membela kelompok ketiga dan seterusnya, yang mengakibatkan mereka saling bergontok-gontokan dan melontarkan ucapan-ucapan yang menyakitkan, saling memusuhi dan membenci gara-gara perselisihan dalam masalah-masalah yang diperbolehkan untuk berijtihad di dalamnya. Dan saya tidak perlu untuk menyebutkan tiap-tiap kelompok itu secara terperinci, akan tetapi orang yang berakal pasti dapat memahami dan memetik kejelasan perkaranya.
Saya juga berpandangan bahawasanya Ahli Sunnah wal Jama’ah wajib untuk bersatu, bahkan meskipun mereka berbeza pendapat dalam hal-hal yang mereka perselisihkan, selama hal itu memang dibangun berdasarkan dalil-dalil menurut pemahaman yang mereka capai. Kerana hal ini (perbezaan pendapat dalam masalah ijtihadiyah) sesungguhnya adalah perkara yang lapang (luas), dan segala puji hanya bagi Allah. Maka yang terpenting adalah mewujudkan keterikatan hati dan kesatuan kalimah (di antara sesama Ahli Sunnah). Dan tidaklah perlu diragukan bahawasanya musuh-musuh umat Islam sangat suka apabila di antara umat Islam saling berpecah belah, sama ada mereka itu musuh yang terang-terangan mahupun musuh yang secara zahir menampakkan pembelaan terhadap kaum muslimin atau mengaku setia (wala) kepada agama Islam padahal sebenarnya mereka tidak demikian. Maka wajib bagi kita untuk menonjolkan karakter istimewa ini, sebuah karakter yang menjadi ciri keistimewaan kelompok yang selamat; iaitu bersepakat di atas satu kalimath” (Fatawa Arkanul Islam, Daruts Tsuraya, hal. 22-26)

Sumber: https://goo.gl/GgnaEz


Sabtu, 14 April 2018

PAHALA YANG DIHADIAHKAN KEPADA MUKMIN

Mengenai pahala yang dihadiahkan kepada seseorang seperti pahala sedekah, atau pahala bacaan, atau pahala ibadah haji dan yang seumpama dengannya, maka telah ittafaq (sepakat) ahli sunnah mengatakan bahawa pahala orang mukmin yang mati dapat manfaat daripada hasil usaha dan kerja daripada orang yang hidup dengan dua perkara berikut:

Pertama: Sesuatu yang telah diusahakan oleh si mati pada masa hidupnya dan berkekalan sampai selepas matinya, kerana thabit daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو ولد صالح يدعو له أو علم ينتفع به من بعده

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, anak soleh yang berdoa kepadanya dan ilmu yang dimanfaatkan setelahnya."

Kedua: Doa dan istighfar orang-orang Islam, amalan sedekah dan ibadah haji, akan tetapi ulama berselisih terhadap ibadah tubuh badan seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.
 Sumber: Google

Menurut pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf mengatakan sampai pahala amalan tersebut kepada si mati. Tetapi menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'i dan Maliki mengatakan ianya (pahala amalan tersebut) tidak sampai kepada si mati.

Dalil-dalil yang menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada amalan yang ia tidak mengerjakan ialah firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman..." (Al-Hasyr 59 : 10)

Allah memuji mereka kerana mereka beristighfar (memohon keampunan) kepada orang-orang mukmin sebelum mereka. Maka jelaslah bahawa orang-orang yang mati mendapat manfaat daripada istighfar orang-orang yang hidup. 

Dalil yang menunjukkan si mati dapat manfaat daripada doa orang hidup ialah Ijmak Ulama menyuruh agar berdoa kepada si mati di dalam solat jenazah. Dan hadis yang menyebutkan doa-doa dalam solat jenazah amatlah banyak sekali. Begitu juga doa setelah dikebumikan si mati.

Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya apabila menziarahi kubur maka hendaklah berdoa:

السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: "Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kampung (kubur), dari kalangan para mukminin dan muslimin. Dan kami ini insyaAllah, akan menyusul kamu. Kami memohon ke atas kami keselamatan dan ke atas kamu ." (Riwayat Muslim)

Dalil yang menunjukkan sampainya pahala sedekah kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha:

 أن رجلا أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، إن أمي افتلتت نفسها ولم توص وأظنها لو تكلمت تصدقت أفلها أجر إن تصدقت: قال نعم.

Maksudnya: "Ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu telah mati mengejut (tiba-tiba), maka dia tidak sempat berwasiat. Dan saya menyangka kalau dia sempat bercakap, dia pasti akan (menyatakan) akan mengeluarkan sedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika saya bersedekah (untuknya)?' Baginda menjawab: 'Ya.'" (Muttafaqun Alaih dan Lafaz ini milik Muslim).

Hadis yang semakna dengan hadis seperti ini masih banyak lagi. Dan dalil yang menunjukkan sampainya pahala puasa kepada si mati ialah hadis Aisyah r.ha, sabda Rasulullah s.a.w:

 من مات وعليه صيام صام عنه وليه

Maksudnya: "Sesiapa yang mati, sedang dia mempunyai puasa wajib (yang sepatutnya dikerjakan), maka hendaklah walinya berpuasa menggantikannya." (Muttafaqun Alaih)

Dalil yang menunjukkan sampai pahala ibadah haji ialah hadis Ibnu Abbas r.huma:

Maksudnya: "Seorang perempuan daripada kabilah Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. Lalu berkata: 'Sesungguhnya ibu saya telah bernazar akan mengerjakan haji, dia tidak sempat mengerjakannya sehingga dia mati, adakah saya mesti mengerjakannya sebagai gantinya? Bagaimana pendapat engkau sekiranya engkau mempunyai hutang adakah engkau akan membayarnya? Tunaikanlah hak Allah ianya lebih aula (utama) untuk ditunaikan." (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis-hadis di atas tersebut tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (An-Najm: 39)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ 

Maksudnya: "Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Al-Baqarah: 286)

Dan tidak berlawanan dengan firman Allah:

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُون

Maksudnya: "Dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan." (Yasin: 54)

Dr. Muhammad Naim Yasin berkata: "Ini kerana seseorang manusia yang menjadi muslim dan ikatannya dengan saudara muslim yang lain dengan ikatan ukhwah dan iman, pergaulan yang mesra dan kebaikannya yang dicurahkannya kepada manusia, kasih sayangnya kepada mereka adalah termasuk dalam usahanya yang membuatkan mereka berdoa untuknya, menghadiahkan pahala berupa amalan ketaatan untuknya. Perbuatan itu adalah merupakan hasil daripada usahanya. Maka si mati yang mendapat manfaat daripada hadiah pahala yang telah disampaikan (dikirimkan) kepadanya oleh saudaranya yang masih hidup tidaklah bertentangan dengan ayat-ayat (Al-Quran di atas) tadi. Dan ayat-ayat tersebut adalah merupakan ayat Muhkamat (yang jelas) yang tidak boleh ditakwilkan. Ayat-ayat tersebut melambangkan keadilan Allah, memberi pengertian bahawa tidak disiksa seseorang dengan sebab dosa orang lain, dan tidak diambil kesalahan seseorang dengan sebab kesalahan orang lain, seperti hukuman yang dijalankan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di dunia ini.

Ia juga memberi pengertian bahawa tidak beruntung bagi seseorang itu melainkan dengan amalan yang dikerjakan, supaya hilang perasaan tamak dan cita-cita seseorang kepada amalan bapanya, neneknya dan gurunya, tetapi harus (mestilah) diberi perhatian bahawa di sana ada beberapa adat istiadat dan perkara-perkara bidaah, yang tidak termasuk dalam pengertian hadis-hadis yang tersebut, tidak ada dalil-dalil syarak dan tidak ada seorang ulama pun mengatakan harus berbuat demikian, cuma mereka berselisih tentang: Adakah harus mengupah mengajar Al-Quran?

Adapun mengupah membaca Al-Quran serta menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati, atau mengupah orang melakukan solat, puasa dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, maka tidak ada khilaf (perselisihan) tentang ketidakharusannya (tidak boleh), malah yang harus (sepatutnya) ialah membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati dengan cara sukarela dan kemahuan orang yang membaca sendiri dengan tidak (mengharapkan) apa-apa upah pun." (Al-Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya oleh Dr. Muhammad Na'im Yasin, Terjemahan Versi Jawi oleh: Ustaz Abdurrahman bin Abdullah (Patani), Terbitan: Pustaka Darussalam Sdn. Bhd, Halaman 423-424).

14 April 2018
Taman Kuala Menggatal
Disunting olahan bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Khamis, 1 Mac 2018

ADAB DALAM BERIKHTILAF (ADAB PERBEZAAN PENDAPAT)



Perbezaan pendapat ialah fitrah manusia yang lahir daripada berlainan akal fikiran antara satu sama lain (Adab al-Ikhtilaf fil Islam, Dr. Taha Jabir, 10).

Ikhtilaf yang lahir daripada berlainan fikiran dan pendapat serta tidak melampaui batasan, tidaklah tercela, malahan yang demikian dapat melahirkan beberapa faedah antaranya:

  1. Dapat membuka dan melatih pemikiran mengenai perkara-perkara yang dibicarakan.
  2. Dapat mengetahui berbagai-bagai kemungkinan yang akan berlaku mengikut apa yang difikir oleh akal fikiran itu.
  3. Dapat mengetahui pelbagai cara penyelesaian terhadap sesuatu masalah (Adab al-Ikhtilaf fil Islam, 27).

Adapun ikhtilaf yang dicela ialah ikhtilaf yang berlaku kerana mengikut hawa nafsu yang ingin mendapat pelbagai muslihat.

Dengan itu akan lahirlah berbagai-bagai perpecahan dan keburukan dalam masyarakat, manakala ikhtilaf secara tabi'ie yang selalu berlaku disetiap masa dan setiap lapisan tidaklah melahirkan permusuhan dan perpecahan, malahan perselisihan mereka itu berpijak di atas adab-adab ikhtilaf yang baik seperti:

  • Perselisihan yang berlaku dalam kalangan sahabat r.a semasa Rasulullah s.a.w masih hidup.
  • Perselisihan yang berlaku dalam kalangan sahabat r.a selepas Rasulullah s.a.w wafat.
  • Perselisihan yang berlaku dalam kalangan tabi'in r.h.
  • Perselisihan yang berlaku dalam kalangan fuqaha selepas tabi'in dan orang terkemudian.
Dengan adanya adab dalam perbezaan pendapat, maka perselisihan dan perpecahan dapat dihindari.

Antara adab perbezaan pendapat dalam kalangan salaf as-soleh ialah (Adab al-Ikhtilaf fil Islam, 50):

1. Mereka berusaha sebanyak mungkin untuk mengelak daripada berlakunya perselisihan. Dengan itu mereka tidak banyak membetulkan permasalahan malahan mereka lebih menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah semasa mengikut petunjuk Nabi s.a.w.

2. Segera merujuk kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan sebarang masalah.

3. Segera tunduk dan iltizam dengan hukum Allah dan RasulNya s.a.w dan menyerah diri sepenuhnya kepada ketetapan Allah dan RasulNya s.a.w serta menjauhi diri daripada sebarang dorongan hawa nafsu.

4. Penuh beriltizam dengan bertaqwa kepada Allah azza wajalla.

5. Matlamat dalam perbicaraan mereka ialah melahirkan kebenaran dan mencapai hakikat kebenaran tanpa mengira sama ada kebenaran itu datang daripada diri sendiri atau daripada orang lain.

6. Beriltizam dengan adab-adab Islam yang mula, antaranya:
  • Beriltizam dengan adab-adab yang baik.
  • Menjauhi ungkapan yang boleh melukakan hati.
  • Sebaiknya mendengar dan menghormati pandangan orang lain.
7. Segera menerima kebenaran dan mengaku kesalahan dengan hati terbuka.

Setiap orang daripada mereka itu sangat-sangat menghormati para ulama tanpa menghina dan mengaibkan hak-hak persaudaraan. Mereka berpendapat bahawa kebenaran itu mungkin berada dipihaknya atau dipihak saudaranya.

8. Mengutamakan ikatan ukhwah Islamiyyah.

Ikatan ukhwah Islamiyyah merupakan asas yang penting melebihi dan mengatasi masalah-masalah khilafiah yang berlaku kerana itu masalah-masalah khilafiah bukanlah punca yang boleh merosakkan ikatan ukhwah Islamiyah.

Dengan itu kita dapati mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan sama-sama menunaikan kewajipan ukhwah Islamiah sekalipun berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

9. Mereka mempercayai bahawa kritikan dan teguran saudaranya adalah satu kebaikan, bukan satu keaiban dan kecacatan.

Semoga kita mendapat taufiq dan hidayah bagi mengikuti adab-adab belajar dan adab-adab ikhtilaf (perbezaan pendapat) ini sebagaimana diamalkan oleh As-Salaf As-Soleh, Amin.

(Disalin semula dari Adab-adab Belajar dalam Kitab Syarah Al-Aqidah At-Tahawiyah (versi Jawi) susunan Abdul Halim Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2009, halaman 18-21)

Jumaat, 2 Februari 2018

SIRI AL-WAJIBAT 1-3

Al-Usul Ath-Thalathah

🔰 3 Asas yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim dan Muslimah 🔰






Ia (Usul Thalathah) adalah seorang hamba mengetahui Tuhannya, agamanya, dan nabinya (iaitu) nabi Muhammad s.a.w.

Jika engkau ditanya: Siapa Tuhan engkau? Maka jawablah: Tuhanku Allah yang merupakan Rabbku (mencipta/mentadbir/mengatur aku) dan Rabb kepada seluruh alam dengan nikmatNya, dan Dialah yang aku sembah, tiada bagiku ma'bud (yang berhak disembah) selainNya.

Jika engkau ditanya: Apakah agama engkau? Maka jawablah: Agama aku adalah Islam iaitu istislam (menyerah diri) kepada Allah dengan tauhid (mengEsakanNya), inqiyad (tunduk dan patuh) kepadaNya dengan mentaatiNya, dan bara'ah (berlepas diri) dari kesyirikan serta ahlinya (pelaku kesyirikan).

Dan jika engkau ditanya: Siapa nabi engkau? Maka jawablah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim, dan Hasyim dari kalangan Quraisy, Quraisy dari kalangan Arab, dan Arab itu dari zuriat Ismail bin Ibrahim Al-Khalil (yang dikasihiNya) dan juga ke atas Nabi kita (Muhammad s.a.w) yang paling utama disampaikan selawat dan salam.

(Al-Wajibat Al-Mutahattimaat Al-Ma'rifah 'ala Kulli Muslim wa Muslimah, Abdullah bin Ibrahim Al-Qar'awi)

https://t.me/almuwahhidunmy
______________________________________________________


Aslud-Din wa Qo'idatuh

🔰 Dasar Agama dan Kaedahnya 🔰




Terdiri dari dua perkara:

Pertama: Perintah agar beribadah kepada Allah semata-mata tiada sekutu bagiNya, mengajak (berdakwah) kepada perkara tersebut, berwala' (memberikan kesetiaan) padanya, serta mengingkari orang yang meninggalkannya.

Kedua: Memberi peringatan dari kesyirikan dalam beribadah kepada Allah, bersikap tegas pada perkara tersebut, mu'aadah (bermusuhan) padanya, serta mengkafirkan orang yang melakukannya.

(Al-Wajibat Al-Mutahattimaat Al-Ma'rifah 'ala Kullu Muslim wa Muslimah, Abdullah bin Ibrahim Al-Qar'awi)

https://t.me/almuwahhidunmy
___________________________________________________


Syurut Laa ilaaha Illallaah

🔰 Syarat-syarat (kalimah) Laa ilaaha illallaah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) 🔰






1. Al-Ilmu (berilmu pengetahuan) terhadap maknanya sama ada nafi (laa ilaaha) atau ithbat (illallaah).

2. Al-Yaqin (keyakinan), ia adalah penyempurna terhadap ilmu yang mana dengannya akan menafikan syak dan keraguan.

3. Al-Ikhlas yang akan menafikan kesyirikan.

4. As-Sidqu (kejujuran) yang akan menafikan kedustaan yang merupakan penghalang daripada nifaq (sifat munafiq).

5. Al-Mahabbah (kecintaan) terhadap kalimah ini dan kerananya seseorang bergembira.

6. Al-Inqiyad (tunduk dan patuh) dengan hak-haknya. Iaitu: Melaksanakan amalan yang diwajibkan secara ikhlas kerana Allah dan menuntut (mengharapkan) keredaanNya.

7. Al-Qabul (menerima) yang akan menafikan penolakan.

(Al-Wajibat Al-Mutahattimaat Al-Ma'rifah 'ala Kullu Muslim wa Muslimah, Abdullah bin Ibrahim Al-Qar'awi)

https://t.me/almuwahhidunmy


Jumaat, 5 Januari 2018

RISALAH TENTANG BERITA MANUSIA SINGGAH DI BULAN


Oleh: Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin

Segala puji hanya untuk Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam semoga selalu dicurah kehadrat baginda nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarganya dan sahabatnya serta orang-orang yang selalu mengikuti mereka dengan kebaikan sehingga hari kiamat.

Telah tersebar (secara mutawatir) berita tentang pesawat (roket) angkasa yang singgah di permukaan bulan, setelah cubaan yang berulang-ulang mencurahkan kemampuan pemikiran, peralatan dan teknologi selama bertahun-tahun. Dan berita ini telah menimbulkan berbagai pertanyaan dan perbincangan di antara manusia.

Gambar 1: Sumber

Ada yang mengatakan bahawa hal itu bertentangan dengan Al-Quran. Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa hal itu benar, bahkan Al-Quran pun telah menguatkannya.

Orang-orang yang menyangka bahawa berita itu menyelisihi Al-Quran mengatakan: “Bahawa Allah telah memberitakan bahawa bulan itu berada di langit. Allah SWT berfirman:

تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَآءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجًا وَقَمَرًا مُّنِيرًا

“Maha Berkat Allah yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.” (Al-Furqan: 61)

Dan Allah SWT juga berfirman:

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا

“Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang).” (Nuh: 16)

Apabila bulan itu berada di langit maka tidak mungkin mencapai ke sana, kerana Allah telah menjadikan langit sebagai atap bumi yang dijaga. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai makhluk yang paling mulia, dan bersamanya malaikat yang paling mulia, iaitu Jibril, (mesti) meminta izin dan meminta agar dibukakan tiap-tiap langit pada malam mikraj. Mereka berdua tidak dapat terus masuk kecuali setelah dibukakannya untuk mereka berdua. Maka bagaimana mungkin hasil kerja manusia mampu singgah di permukaan bulan, padahal bulan itu berada di langit yang dijaga.

Sedangkan orang-orang yang beranggapan bahawa Al-Quran menguatkan berita tersebut, mereka mengatakan: Bahawa Allah SWT berfirman:

يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَاْلإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ فَانفُذُوا لاَتَنفُذُونَ إِلاَّ بِسُلْطَانٍ

“Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuatan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!” (Al-Rahman: 33)

Sulton (kekuatan) yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah ilmu. Sedangkan mereka yang mampu melintasi penjuru dunia dengan ilmu, maka perbuatan mereka ini sesuai dengan Al-Quran dan tafsirnya.

Jika memang terbukti kebenaran berita yang telah mutawatir tentang turunnya pesawat diruang angkasa di permukaan bulan, maka yang nampak bagiku adalah bahawa Al-Quran tidak mendustakannya dan tidak membenarkannya. Tidak ada nas yang jelas di dalam Al-Quran yang menyelisihinya, sebagaimana tidak ada di dalam Al-Quran yang membenarkannya dan menguatkannya.

A). Adapun bahawa Al-Quran tidak menyelisihi berita tersebut, sebab Al-Quran adalah firman Allah Azza wa Jalla yang ilmuNya meliputi segala sesuatu.

Allah mengetahui perkara-perkara yang lampau, mahupun perkara-perkara yang sedang terjadi, dan perkara-perkata yang akan datang, baik yang dilakukan oleh Allah sendiri mahupun yang dilakukan oleh makhlukNya. Maka setiap yang telah terjadi atau akan terjadi, di langit atau di bumi, dari perkara yang kecil sehingga perkara yang besar, yang nampak atau pun yang tidak nampak, sesungguhnya Allah mengetahui segalanya, dan perkara itu tidak akan tejadi kecuali dengan kehendak dan perintahNya, tidak lagi perdebatan dalam masalah itu.

Apabila bagitu, sedangkan Al-Quran adalah kalam Allah, dan Allah yang paling benar perkataanNya, maka perkataan siapakah yang lebih benar dari perkataan Allah? Dan perkataanNya adalah sebaik-baik perkataan, dan paling nyata penjelasannya, dan perkataan siapakah yang lebih baik dari perkataanNya? Maka tidaklah mungkin selamanya firmanNya yang berasal dari ilmuNya, yang merupakan kemuncak kebenaran (yang paling tinggi - edt) dan penjelasan, bertentangan dengan kenyataan yang dapat dibuktikan. Demikian jugalah tidak mungkin selamanya ada kenyataan yang dapat dibuktikan bertentangan dengan nas Al-Quran yang nyata.

Maka sesiapa yang memahami bahawa di dalam Al-Quran ada sesuatu hal yang meyelisihi kenyataan, atau bahawa ada kenyataan yang dapat dibuktikan menyelisihi Al-Quran, maka pemahamannya itu salah besar.

Sedangkan ayat-ayat yang dianggap oleh sebahagian orang menunjukkan keberadaan bulan di langit, maka pada ayat-ayat itu tidak ada penjelasan nyata (yakni yang sarih/jelas) yang menunjukkan bahawa bulan melekat dengan langit, yang langit itu sebagai atap bumi yang dijaga.

Ya memang, zahir perkataan menunjukkan bahawa bulan berada di langit, akan tetapi sekiranya ternyata sampainya pesawat ruang angkasa di permukaan bulan, maka hal tersebut sebagai bukti bahawa bulan tidak berada di langit bumi, yang merupakan atap bumi yang dijaga, akan tetapi bulan itu berada di orbitnya (garis peredarannya), yang terletak di antara langit dan bumi. Sebagaimana firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ الَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“Dan Dialah (Tuhan) yang menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya’: 33)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman:

لاَالشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَآ أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلاَالَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing.” (Yasin: 40)

Ibnu Abbas r.‘anhuma berkata: “Semuanya itu berputar sebagaimana alat tenun berputar pada tempat putarannya.”

Ats-Tsa’laby dan Al-Mawardi menyebutkan dari Hasan al-Basry bahawa dia pernah berkata: “Matahari, bulan dan bintang berada pada orbitnya masing-masing yang terletak di antara langit dan bumi, tidak melekat pada langit, kalaulah melekat dengannya maka tidak mungkin dapat berputar.” Al-Qurtubi menyebutkan dari keduanya pada tafsiran surah Yasin.

Perkataan bahawa matahari dan bulan berada pada orbitnya yang terletak antara langit dan bumi, hal ini tidak bertentangan dengan apa yang dikahabarkan oleh Allah bahawa keduanya berada di langit. Ini kerana perkataan langit kadang-kadang bererti setiap sesuatu yang tinggi. Ibnu Qutaibah berkata: “Setiap yang ada di atas engkau disebut langit.” Jadi erti matahari dan bulan berada di langit, iaitu berada di ketinggian, atau di arah langit. Dan ada juga mengatakan “langit” di dalam Al-Quran dengan erti ketinggian. Sebagaimana di dalam firman Allah Azza wa Jalla:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَآءِ مَآءً مُبَارَكًا

“Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (memberi berkah).” (Qaf: 9)

Yang dimaksudkan adalah hujan, dimana hujan turun bukan dari awan yang dijalankan di antara langit dan bumi.

Jika sememangnya benar apa yang mereka katakan tentang pendaratan (pesawat ruang angkasa di) bulan, maka hal itu menambahkan ilmu kepada kita tentang ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Allah yang agung ini. Iaitu bahawa planet bulan yang besar ini, juga planet lain yang lebih besar, berputar pada orbitnya yang terletak antara langit dan bumi sehingga waktu yang Allah tentukan, dimana ia tidak berubah, tidak maju dan tidak mundur dari perjalanan yang telah ditetapkan padanya oleh yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Dan bersamaan dengan itu, kadang-kadang bulan menyinari dengan sempurna sehingga menjadi bulan purnama, dan kadang-kadang sebahagiannya sahaja yang bersinar sehingga menjadi bulan biasa atau bulan sabit, yang demikian itu merupakan ketetapan yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.

 Gambar 2: Sumber

Sedangkan perkara yang tersebar bahawa bulan berada di langit Bumi, bintang Merkuri berada di langit kedua, Venus berada di langit ketiga, matahari berada di langit keempat, planet Marikh berada di langit kelima, Jupiter berada di langit keenam, dan Saturanus berada di langit ketujuh, maka sesungguhnya hal ini diambil dari para saintis astronomi, yang tidak ada hadis yang sahih dari Rasul s.a.w. Yang hal itu ditunjukkan oleh perkataan Ibnu Katsir –yang beliau mempunyai wawasan yang luas- ketika memberi komentar masalah matahari berada pada langit keempat, beliau berkata: “Tidak ada di dalam syariat yang menafikan hal itu, bahkan penglihatan –iaitu di waktu terjadi gerhana- menunjukkan tentang hal itu.”

Perkataan beliau: “Tidak ada di dalam syariat yang menafikan,” dan pengambilan dalil yang beliau lakukan tentang kebenaran hal di atas berdasarkan penglihatan menunjukkan bahawa tidak ada di dalam syariat sesuatu yang menetapkan bahawa matahari berada pada langit keempat. Wallah a’lam.

B). Adapun keadaan Al-Quran yang tidak menunjukkan sampainya pesawat angkasa ke bulan, kerana orang-orang yang menyangka hal itu berdalil dengan firman Allah:

يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَاْلإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ فَانفُذُوا لاَتَنفُذُونَ إِلاَّ بِسُلْطَانٍ

“Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah menembus keluar. Kamu tidak akan dapat menembus keluar melainkan dengan satu kekuatan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!” (Al-Rahman: 33)

Mereka menafsirkan kata sulton (kekuatan) pada ayat tersebut dengan ilmu.

Pengambilan dalil ini tertolak dari berbagai segi:

1. Bahawa rangkaian ayat di atas menunjukkan bahawa tentangan ini akan terjadi pada hari kiamat nanti. Dan hal itu akan nampak jelas bagi sesiapa sahaja yang membaca surah tersebut dari awal. Kerana pada awal surah ini Allah menyebutkan permulaan penciptaan jin dan manusia dan apa-apa yang ada di penjuru langit dan bumi yang Allah tundukkan terhadap para hambaNya. Kemudian Allah menceritakan akan binasanya apa sahaja yang ada padanya. Kemudian Allah berfirman:

سَنَفْرُغُ لَكُمْ أَيُّهَ الثَّقَلاَنِ

“Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat), wahai manusia dan jin!” (Ar-Rahman: 31)

Makna dari ayat di atas adalah perhitungan Allah terhadap makhlukNya (jin dan manusia), kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala menentang makhlukNya dari golongan jin bahawa tidak ada tempat melarikan buat mereka, baik dari penjuru langit mahupun dari penjuru bumi. Maka mereka tidak akan dapat lari, dan mereka tidak memiliki kekuatan untuk saling tolong-menolong sehingga selamat dari hukuman Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan kemudian Allah mengiringinya dengan menyebutkan balasan untuk orang yang berbuat kejahatan dengan balasan yang setimpal, dan untuk orang yang berbuat kebaikan dengan apa yang mereka harapkan.

Tidak ada keraguan bahawa susunan (rangkaian) perkataan itu menjelaskan dan menentukan makna. Mungkin ada kalimah yang sesuai pada satu tempat akan tetapi tidak sesuai (maknanya) pada tempat yang lain.

Anda mungkin kekadang melihat suatu kalimah yang mempunyai dua makna yang saling bertentangan, tetapi maksudnya dapat ditentukan dari kedua-duanya berdasarkan rangkaian/susunan perkataan. Sebagaimana hal itu dikenal pada kata-kata yang memiliki erti yang bertentangan di dalam bahasa (Arab).

Sekiranya memungkinkan ayat yang mulia tersebut merupakan berita tentang apa yang akan terjadi di dunia, tetapi sesungguhnya ayat tersebut pada posisi ini tidak sesuai sebagai berita tentang apa yang terjadi di dunia, bahkan telah pasti -berdasarkan rangkaian yang mendahului dan menyusul ayat tersebut- bahawa ayat tersebut merupakan ancaman dan pernyataan tidak mampu yang akan terjadi pada hari kiamat.

2. Sesungguhnya seluruh ahli tafsir menyebutkan bahawa ayat tersebut merupakan ancaman dan pernyataan tidak mampu (terhadap sekalian jin dan manusia), dan majoriti ahli tafsir menyatakan bahawa hal itu akan terjadi pada hari kiamat.

Syeikh Muhammad Al-Amin As-Syanqiti memberi komentar tentang ayat ini di dalam surah Al-Hijr pada firman Allah:

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.” (Al Hijr: 16)

Syeikh Muhammad Al-Amin As-Syanqiti mensifatkan orang yang menganggap bahawa ayat itu mengisyaratkan (manusia) dapat mencapai ke langit sebagai orang yang tidak mempunyai ilmu terhadap kitab Allah Subhanahu wa Ta’ala.

3. Sesungguhnya jikalau ayat tersebut merupakan berita tentang apa yang akan terjadi, maka makna ayat itu adalah: “Wahai sekalian jin dan manusia sesungguhnya kamu tidak akan sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi kecuali dengan ilmu.” Kalau begitu, maka itu merupakan sesuatu yang sudah nyata (tidak perlu diberitakan). Ini kerana sesungguhnya segala sesuatu tidaklah dapat dicapai kecuali dengan mempelajari sebab-sebab untuk mencapainya dan mampu untuk melaksanakannya.

Maka erti tersebut menghilangkan keindahan dari makna dan kedudukan ayat, kerana ayat itu dimulai dengan peringatan yang keras, iaitu dengan firman Allah:

سَنَفْرُغُ لَكُمْ أَيُّهَ الثَّقَلاَنِ

“Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat), wahai manusia dan jin!” (Ar-Rahman: 31)

Kemudian diiringi dengan ancaman yang keras di dalam firmanNya:

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلاَ تَنتَصِرَانِ

“Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan  dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu).” (Ar-Rahman: 35)

4. Jelas sekali bahawa ayat ini menunjukkan tentang tentangan ( Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap jin dan manusia). Kerana:

a). Rangkaian ayat, baik sebelum ataupun sesudahnya.

b). Bahawa disebutkannya sekalian jin dan manusia bersama-sama sebagai satu jemaah, hal itu seperti firman Allah Subhanhu wa Ta’ala :

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ اْلإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْءانِ لاَيَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْكَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat yang sebandingnya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Al-Israa: 88)

c). Bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: إِنِ اسْتَطَعْتُمْ (Jika kamu sanggup), nyata sebagai tentangan (Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap/kepada jin dan manusia), apalagi ayat itu menggunakan kata (إنْ), bukan dengan kata إذا kerana إذا menunjukkan kemungkinan terjadinya syarat, berbeza dengan kata إنْ

5. Sesungguhnya jika erti dari ayat tersebut sebagai berita, maka mengandung pujian bagi mereka, dimana mereka dapat mengerjakan dan menyelidiki apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala cemuhkan mereka, sehingga mereka dapat singgah di bulan. Sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya tidak mampu menggapainya, padahal mereka adalah orang-orang yang paling cepat mengerjakan perintah yang diserukan oleh Al-Quran.

6. Sesungguhnya hukum di dalam ayat yang mulia mencakup jin dan manusia, padahal telah maklum bahawa ketika turunnya Al-Quran jin mampu melintasi dari penjuru bumi menuju ke penjuru langit, sebagaimana Allah SWT menceritakan tentang mereka:

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَآءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَن يَسْتَمِعِ اْلأَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا

“Dan bahawa sesungguhnya kami (para jin) telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal penuh yang sangat kuat kawalannya dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati appi yang menyala yang menunggu merejamnya.” (Al-Jin: 8-9)

Kalau demikian, maka bagaimana Allah menyatakan mereka lemah terhadap sesuatu yang mereka mampu melakukannya (melintasi penjuru bumi dan langit). Apabila ada yang berkata: “Sesungguhnya mereka tidak dapat (melintasi penjuru langit dan bumi) setelah diutusnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka kami katakan bahawa ini menunjukkan bahawa maksud ayat itu untuk menyatakan mereka lemah, bukan sebagai berita.

7. Bahawa ayat yang mulia tersebut diiringi dengan firman Allah:

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلاَ تَنتَصِرَانِ

“Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu).” (Ar-Rahman: 35)

Dan makna ayat tersebut adalah -wallahu A’lam-: “Sesungguhnya kamu wahai jemaah jin dan manusia, jika kamu berusaha melintasi langit maka Allah benar-benar akan melepaskan kepada kamu nyalaan api dan cairan tembaga.” Padahal sudah diketahui bahawa roket-roket (pesawat-pesawat angkasa) itu tidak dikejar oleh nyala api dan cairan tembaga, maka bagaimana mungkin perkara itu adalah yang dimaksudkan oleh ayat tersebut.

8. Penafsiran mereka erti dari kata “sulton” dalam ayat tersebut dengan ilmu perlu dilihat kembali. Kerana kata “sulton” itu bererti sesuatu yang mempunyai kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang terhadap apa yang ingin dia kuasai atau dia kalahkan, sehingga maknanya berbeza sesuai dengan kedudukan/posisi. Jika berada pada posisi perbuatan dan yang semacamnya, maka yang dimaksudkan adalah kekuatan dan kekuasaan. Allah berfirman:

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ

“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai (sulton) sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” (An-Nahl: 99-100)

Kata “sulton” pada ayat ini ertinya adalah kekuasaan, tidak sesuai jika diertikan dengan “ilmu”. Begitu juga perkataan “sulton” pada ayat yang sedang kita bahaskan, kerana “melintasi” (penjuru langit dan bumi) merupakan perbuatan/pekerjaan yang memerlukan kekuatan dan kemampuan, dengan ilmu sahaja tidaklah memadai. Mereka tidak akan sampai singgah ke bulan hanya dengan ilmu sahaja, akan tetapi dengan ilmu dan kekuatan/kemampuan serta sebab-sebab/jalan-jalan yang Allah SWT tundukkan untuk mereka. Dan apabila kata “sulton” digunakan ketika waktu perdebatan, maka maksud perkataan itu adalah bukti dan alasan yang dapat mengalahkan musuhnya.

Allah berfirman:

إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطَانٍ بِهَذَآ

“Kamu tidak mempunyai (sulton) (hujah) tentang ini.” (Yunus: 68)

Sulton di sini bererti alasan dan bukti. Dan tidak ada di dalam Al-Quran kata sulton dengan pengertian ilmu semata-mata. Bahkan akar kata sulton menunjukkan bahawa yang dimaksudkan sesuatu yang memiliki kekuasaan, kemampuan dan kemenangan bagi seseorang.

Jelas sudah bahawa ayat yang mulia tersebut tidak mengisyaratkan tentang peristiwa mendaratnya pesawat (roket) ke ruang angkasa di bulan. Dan berbagai sudut yang telah kita sebutkan tadi ada yang nampak jelas, dan ada pula yang memerlukan kepada penelitian (renungan). Kami memperingatkan hal itu hanyalah kerana bimbang dari menafsirkan kalam Allah dengan apa yang tidak dikehendaki oleh kalam Allah tersebut. Kerana yang demikian itu mengandung dua bahaya:

a. Menyelewengkan kalimah-kalimah dari tempat-tempatnya, iaitu dengan mengeluarkan dari maksud pengertian yang sebenarnya.

b. Berkata terhadap Allah tanpa ilmu. Ini kerana dia menganggap bahawa Allah menginginkan erti ini, padahal itu menyelisihi susunan ayat. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas hamba-hambaNya dari berkata terhadap Allah dengan apa yang tidak mereka ketahuinya.

Masalah yang terakhir adalah: Sekiranya memang benar berita tentang mendaratnya pesawat angkasa di permukaan bulan, yang dipertanyakan adalah, adakah mungkin manusia juga dapat menetap di permukaannya (yakni hidup di bulan)?

Jawapan:

Yang zahir dari keterangan Al-Quran, perkara seperti ini tidak mungkin terjadi, disebabkan manusia tidaklah mungkin dapat hidup kecuali di bumi. Allah berfirman SWT:

قال فِيهَا تَحْيَوْنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنْهَا تُخْرَجُونَ

“Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat).” (Al-A’raf: 25)

Dalam ayat di atas Allah membatasi kehidupan, kematian dan kebangkitan adalah di bumi. Bentuk pembatasan dalam ayat ini adalah mendahulukan sesuatu yang pada asalnya mesti diakhirkan. [*]

[*] Iaitu sepatutnya adalah: “Kamu hidup di bumi itu dan kamu akan mati di bumi itu, dan (juga) kamu akan dibangkitkan dari bumi itu, tetapi pada ayat itu perkataan “di bumi” diletakkan di depan, menurut kaedah bahasa Arab perkara ini menunjukkan sebagai pembatas.

Ayat ini seperti firman Allah SWT:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.” (Taha: 55)

Yakni Allah membatasi permulaan ciptaan dari bumi, dan bahawa ke dalam bumilah kita akan dikembalikan setelah kematian, dan daripada bumi pula kita akan dibangkitkan dari kematian di hari kiamat. Sebagaimana juga ada ayat-ayat lain yang menunjukkan bahawa bumi adalah sebagai tempat kehidupan (bagi) manusia. Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ

“Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya.” (Al-Hijr: 20)

Zahir Al-Quran -tanpa keraguan lagi- menjelaskan bahawa tidak ada kehidupan buat manusia kecuali di bumi ini, yang dari bumi ini manusia diciptakan, dan kepadanya dia akan dikembalikan, dan darinya dia akan dibangkitkan.

Maka kita wajib meyakini zahir Al-Quran tersebut, dan jangan sampai sangkaan kita di dalam mengagungkan ciptaan makhluk menjauhkan kita sehingga menyelisihi zahir Al-Quran dengan perkiraan (persangkaan).

Kalau sekiranya ada seseorang manusia yang dapat turun (hidup) di permukaan bulan, dan perkara tersebut nyata dan pasti, maka berkemungkinan ia membawa maksud kehidupan dalam ayat tersebut ialah kehidupan yang tetap secara jamaah seperti kehidupan manusia di bumi, sedangkan perkara ini adalah mustahil. Wallahua’lam

Dan seterusnya, bahawa pembahasan dalam permasalahan ini boleh jadi termasuk ilmu yang tidak perlu, sekiranya tidak ada pembahasan dan perbincangan hingga sebahagian orang berlebih-lebihan menolak dan mengingkarinya sedangkan sebahagian yang lain pula berlebih-lebihan di dalam menerima dan menetapkannya.

Golongan pertama menjadikan berita itu bertentangan dengan Al-Quran, sedangkan golongan lain menguatkannya dengan Al-Quran. Maka aku ingin menulis apa yang sudah tercantum di sini dengan sebatas kefahamanku yang sedikit dan ilmuku yang terbatas.

Dan aku memohon kepada Allah SWT agar Dia menjadikannya ikhlas kerana mengharap wajahNya, bermanfaat untuk hamba-hambaNya. Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala Tuhan semesta alam, selawat dan salam semoga dicurahkan kepada baginda Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarganya dan para sahabat-shahabatnya.

[Diterjemahkan oleh Mahrus dari Risalah Haula Ash-Shu’ud Ilal Qamar, di dalam kitab Majmu’ Fatawa Wa Rasail Fadhilatusy-Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, V/319-327]

Sumber asal: https://almanhaj.or.id/2697-risalah-sekitar-berita-manusia-singgah-di-bulan.html

Disunting bahasa oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Ahad, 3 September 2017

KENDURI SEBELUM BERANGKAT MUSAFIR ATAU SELEPAS KEMBALI DARI MUSAFIR

KENDURI SEBELUM BERANGKAT MUSAFIR ATAU SELEPAS KEMBALI DARI MUSAFIR

Pertanyaan:

Sudah menjadi kebiasaan, jika seorang ingin pergi haji dia mengadakan acara makan-makan yang mengundang kerabat, teman, serta tetangga. Dia juga mengadakan acara yang sama ketika pulang dari haji. Acara ini oleh masyarakat kami biasa disebut ‘asyaa-ul hajj. Kami mohon penjelasan dari anda tentang hukummengadakan acara ini.

Syaikh Muhammad Ali Farkus hafizhahullah menjawab:

Segala puji hanya bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat serta salam semoga terlimpah kepada Rasulullah yang diutus sebagai rahmat bagi alam semesta, juga kepada keluarganya, sahabatnya serta saudaranya seiman hingga hari kiamat. Amma ba’du.

Acara makan-makan ketika datangnya orang yang safar disebut An-Naqi’ah. Istilah An-Naqi’ah dari kata dasar An-Naq’u yang ertinya debu. Ini kerana orang yang musafir biasanya terkena debu diperjalanan. Terdapat hadis sahih dari Nabi Shallalahu’alaihi Wasallam:

أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ المَدِينَةَ نَحَرَ جَزُورًا أَوْ بَقَرَةً

“Ketika Nabi Shallallahu ’alaihi Wasallam datang ke Madinah, baginda menyembelih unta atau sapi betina” (HR. Bukhari no.2923 bab Ath Tha’am Indal Qudum)

Hadis ini juga menunjukkan bahawa mengundang orang untuk mendatangi An-Naqi’ah itu disyariatkan (Lihat Aunul Ma’bud, 10/211).

Imam Al-Bukhari membuat Bab yang berjudul “Bab jamuan ketika ada musafir yang datang (pulang), Ibnu Umar Radhiallahu ’anhuma biasa menjamu makan orang yang datang kepadanya” (Fathul Baari, 6/194).

Maksudnya, orang-orang yang mendatangi Ibnu Umar untuk memberi salam dan menyambut kedatangannya. Ibnu Bathal menjelaskan hadis di atas:

“Hadis ini dalil disyariatkannya seorang imam atau pemimpin memberi jamuan makan bagi kaumnya ketika datang dari musafir. Hukumnya mustahab (sunnah) menurut para salaf.  Acara ini disebut An-Naqi’ah.

Dinukil riwayat dari Muhallab bahawa Ibnu Umar Radhiallahu ’anhuma jika beliau datang dari musafir, dia menjamu makan orang yang mendatanginya lalu makan bersama mereka. Walaupun beliau memiliki hutang puasa Ramadhan kerana baru sahaja musafir, beliau tidak mulai membayar hutang puasa tersebut hingga jamuan makan selesai”.

Demikianlah hukumnya. Lalu, mazhab jumhur sahabat dan tabi’in berpendapat wajibnya memenuhi undangan untuk semua jenis jamuan makan. Al-Qadhi ‘Iyadh dan An-Nawawi menyebutkan ada 8 jamuan yang wajib didatangi, salah satunya An-Naqi’ah (Lihat Syarah Muslim, 9/171;Tuhfatul Maudud, 127; Nailul Authar, 6/238).

Namun terdapat perbezaan pendapat dikalangan para ulama mengenai siapakah yang membuat hidangannya, adakah si musafir atau orang yang menyambutnya? Namun berdasarkan nas hadis di atas dan berdasarkan atsar, nampaknya pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat pertama.

Adapun mengenai jamuan makan sebelum berangkat haji, aku tidak mengetahui bahawa ini adalah jamuan yang disyariatkan. Ini kerana perkara ini dikaitkan dengan haji dan kaedah mengatakan “segala sesuatu yang dikaitkan dengan sebuah hukum syar’i, memerlukan dalil untuk membenarkannya“.

Sumber: https://goo.gl/KyGskp

Ahad, 27 Ogos 2017

SIFAT NUZUL (TURUN)


Nabi ﷺ bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ الأَخِيْرِ يَقُوْلُ : مَنْ يَدْعُوْنِيْ فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ, مَنْ يَسْأَلُنِيْ فَأُعْطِيَهُ, مَنْ يَسْتَغْفِرُنِيْ فَأَغْفِرَ لَهُ

"Tuhan kita Tabaraka wa Ta'ala yanzilu (Turun) pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa seperti akhir (malam) lalu berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka akan Aku perkenankan baginya, sesiapa yang meminta kepadaKu akan Kuberikan kepadanya, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaKu nescaya akan Aku ampunkannya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan ramai lagi).

Darjat Hadis: Mutawatir.

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: "Hadis ini datang dari sekitar 30 orang sahabat." (As-Sowa'iq Al-Mursalah, 1/387).

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata: "Aku telah menyusun hadis-hadis nuzul dalam satu juzuk dan aku telah memastilan bahawa ianya mutawatir." (Al-'Uluw, hlm 100).

Penjelasan:

Sifat nuzul (turun) ini sepertimana sifat-sifat Allah yang lain yang mana ianya tidak menyerupai makhlukNya. Turunnya Allah SWT sesuai dengan keagunganNya. Tidak diketahui kaifiyatNya bagaimana. Ahli sunnah (salafus soleh) beriman dan menetapkannya sebagaimana ia datang, tidak ditakwilkan, tidak dinafikan, tidak pula disamakan dengan turunnya makhluk.

Kelompok mu'attilah (pengingkar sifat Allah) tidak dapat menolak hadis ini kerana ianya sampai ke darjat mutawatir. Biasanya mereka akan berkata: "Ini hadis Ahad (yakni bukan mutawatir) tidak memberikan faedah ilmu!"

Maka timbul syubhat mengatakan: "Maksud turun itu adalah turun perintahNya."

Kita jawab: Dalam hadis tersebut Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya."

Maka adakah mungkin perintahNya berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu akan Aku ampunkannya dan sesiapa yang meminta kepadaKu akan aku berikan kepadaNya." Ini tentu tidak benar. Yang benar ia merupakan firman Allah SWT.

Jika ada yang berkata: "Tuhan kita turun, ertinya yang turun itu adalah salah satu malaikat di antara malaikat-malaikat."

Kita jawab: Adakah mungkin malaikat berkata: "Sesiapa yang meminta ampun kepadaKu? Sesiapa yang meminta kepadaKu?" Dan seterusnya. Adakah ini ucapan malaikat atau Allah SWT? Tentulah ucapan ini dari Tuhan Tabaraka wa Ta'ala bukannya malaikat.

Kedua-dua syubhat di atas jelas menunjukkan bukanlah perintahNya yang turun atau malaikatNya yang turun. Ini kerana tidak mungkin perintah atau malaikat yang mengucapkan kalimah-kalimah tersebut seperti di dalam hadis di atas.

Timbul satu lagi syubhat, iaitu kita melihat matahari berputar mengelilingi bumi, lalu dikatakan: "Bagaimana Allah turun, sedangkan malam itu berbeza-beza dari setiap tempat dan negara. Ketika matahari bergerak mengelilingi bumi, maka sebahagian berada pada waktu siang, sebahagian pula berada di waktu malam. Bukankah ini menyebabkan Allah itu turun dan naik terus menerus setiap hari?"

Kita jawab: Perkara ini termasuk urusan Allah yang mana kita tidak mempunyai urusan tentangnya. Dialah Allah yang menundukkan malam dan siang serta menjadikan kedua-duanya silih berganti, dan Dialah juga yang memberitakan tentang Dia nuzul (turun). Maka kita wajib menetapkannya dan tidak perlu bertanya-tanya bagaimana cara atau kaifiyatnya.

Ada juga yang berkata: "Bagaimana Allah turun sedangkan satu pertiga malam itu berbeza-beza disetiap tempat? Jika Allah turun maka ini mengharuskan adanya pergerakan dan perpindahan. Adakah Allah itu berpindah dari Arasy ke langit dunia dan bergerak?"

Maka kita jawab: Jika makhluk yang turun tentulah mengharuskan adanya perpindahan dan pergerakan. Adapun turunnya Allah, maka Dia turun menurut cara yang dikehendakiNya. Kita tidak ketahui bagaimana caranya. Allah turun sebagaimana dikehendakiNya dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia lah yang mencipta langit dan bumi, siang dan malam. Namun kita tidak boleh berpanjangan dalam membicarakan perihal turunNya Allah SWT. Tiada siapa yang mengetahui kaifiyat turunNya Allah.

Kita beriman dengan sifat nuzul sebagaimana ia datang, iaitu setiap malam ketika tersisa satu pertiga akhir malam. Kita menetapkannya dan beriman dengannya.

Tidak boleh kita berkata: "Sesungguhnya sifat nuzul (turun) tidak layak bagi Allah."

Jika kita katakan sedemikian seolah-olah kita ingin memperbetulkan Allah dan RasulNya yang telah menetapkan sifat nuzul tersebut. Seakan-akan kita pula yang lebih tahu tentang Allah dari Rasulullah ﷺ sendiri tentang Allah Ta'ala. Ini merupakan bentuk tidak beradab (biadab) terhadap Allah SWT kerana Allah dan Rasul menetapkannya, manakala kita berusaha untuk menafikannya dengan berbagai macam andaian seperti jika Allah turun maka mengharuskan bergerak dan berpindah dan seterusnya daripada andaian-andaian yang batil.

Wallahua'lam.

(Rujukan: Syarah Al-Manzumah Al-Haiyyah fii Aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah li Imam Abu Bakr Abdullah bin Abi Daud As-Sijistani rahimahullah, karya Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah).

Sabtu, 12 Ogos 2017

MAKNA TASYBIH

Tasybih menurut pemahaman Ahli Sunnah tidaklah seperti yang disangka oleh sebahagian orang, seperti hanya sebatas menyebut Tangan Allah, Mata Allah, dan seumpamanya. Begitu juga penyebutan yang disandarkan kepada Allah dengan suatu perbuatan seperti Istiwa (biasanya diterjemah dengan Semayam), Turun, dan Datang yang mana lafaz-lafaz tersebut warid daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Maka untuk memahami persoalan ini, mari kita lihat apa yang diutarakan daripada pandangan ulama-ulama salaf tentang apakah dan bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Tasybih atau penyerupaan.

Berkata Ishak bin Ibrahim:

إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ: يَدٌ كَيَدٍ أَوْ مِثْلُ يَدٍ أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ، فَإِذَا قَالَ: سَمْعٌ كَسَمْعٍ أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ فَهَذَا التَّشْبِيهُ، وَأَمَّا إِذَا قَالَ: كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: " يَدٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ " وَلَا يَقُولُ كَيْفَ، وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ وَلَا كَسَمْعٍ، فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا، وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tasybih itu hanya terjadi ketika seseorang 
itu berkata (terhadap Allah): ‘Yadd (Tangan) seperti tangan (makhluk), pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)”. Jika dia berkata: ‘Pendengaran (Allah) seperti pendengaran (makhluk)’, maka inilah tasybih (penyerupaan). Adapun jika seseorang mengatakan seperti firman Allah: ’Tangan, pendengaran, penglihatan’ , kemudian dia tidak berkata: ’bagaimana’ dan tidak pula mengatakan ’seperti’ pendengaran makhluk; maka itu tidak termasuk tasybih. Ia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: ‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat 
(Asy-Syura: 11).” (Sunan At-Tirmizi, 2/43)

Abu ‘Uthman Ismail As-Sobuni rahimahullah berkata:

ولا يحرفون الكلام عن مواضعه، بحمل اليدين على النعمتين، أو القوتين؛ تحريف المعتزلة والجهمية – أهلكهم الله-، ولا يكيفونهما بكيف، أو يشبهونهما بأيدي المخلوقين، تشبيه المشبهة –خذلهم الله-

“Dan tidak mentahrif (mengubah) perkataan dari tempatnya, (seperti) dengan membawa makna ‘dua tangan’ pada makna ‘dua nikmat’ atau ‘dua kekuatan’ sebagaimana tahrif kelompok Muktazilah dan Jahmiyah -semoga Allah membinasakan mereka-. Tidak pula mentakyifnya dengan (pertanyaan) ‘bagaimana’, atau mentasybihkannya (menyamakan) dengan tangan kedua makhluk seperti tasybih kelompok Musyabbihah -semoga Allah tidak memberi pertolongan kepada mereka-.“ (Aqidah As-
Salaf wa Ashabil-Hadis, ms. 37)

Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata:

ليس يلزم من إثبات صفاته شيء من إثبات التشبيه والتجسيم، فإن التشبيه إنما يقال: يدٌ كيدنا ...

“Menetapkan sifat-sifat-Nya tidaklah 
melazimkan adanya penetapan tasybih dan tajsim, kerana tasybih itu hanyalah jika dikatakan: ‘tangan (Allah) seperti tangan kami’...”
Beliau berkata lagi:

وأما إذا قيل: يد لا تشبه الأيدي، كما أنّ ذاته لا تشبه الذوات، وسمعه لا يشبه الأسماع، وبصره لا يشبه الأبصار ولا فرق بين الجمع، فإن ذلك تنزيه

“Adapun jika dikatakan: ‘tangan namun 
tidak menyerupai tanganku’, sebagaimana ZatNya tidak menyerupai zat-zat makhluk, pendengaranNya tidak menyerupai pendengaran-pendengaran makhluk, dan penglihatan tidak menyerupai penglihatan-penglihatan makhluk, maka sesungguhnya itu adalah tanzih (pensucian).” (Al-Arba’in 
min Sifati Rabbil ‘Alamin, ms. 104)

Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah berkata :

ومُحالٌ أن يكون مَن قال عن اللهِ ما هو في كتابه منصوصٌ مُشبهًا إذا لم يُكيّف شيئا، وأقرّ أنه ليس كمثله شيء

“Dan tidak mungkin terjadi pada orang 
yang berbicara tentang Allah sesuatu yang terdapat nasnya dalam kitabNya disebut sebagai musyabbih (penyerupaan), ketika dia tidak mentakyifkannya sedikitpun dan mengatakan tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya.” (Al-Istizkar, 8/150)

Ahad, 30 Julai 2017

MAHA SUCI ALLAH DARI BATAS, ARAH, TUJUAN, ANGGOTA DAN ALAT

 Imam At-Tahawi r.h berkata:

وَتَعَالَى عَنِ الْحُدُودِ وَالْغَايَاتِ، وَالْأَرْكَانِ وَالْأَعْضَاءِ وَالْأَدَوَاتِ، لَا تَحْوِيهِ الْجِهَاتُ السِّتُّ كَسَائِرِ الْمُبْتَدَعَاتِ

"Allah Ta'ala Maha suci dari dibatasi (dengan batas-batas) dan tujuan, dan dari bahagian-bahagian, anggota-anggota dan alat-alat, dan Dia tidak dilingkungi oleh enam arah sebagaimana seluruh makhluknya." (Matan Akidah Tahawiyah)

Dalam menjelaskan ucapan Imam Tahawi ini, antara penerangan yang paling baik adalah apa yang diterangkan oleh Imam Ibn Abil Izz Al-Hanafi rahimahullah dalam kitabnya "Syarah Akidah Tahawiyah.".

Beliau berkata tentang matan di atas:

وَالشَّيْخُ رَحِمَهُ اللَّهُ أَرَادَ الرَّدَّ بِهَذَا الْكَلَامِ عَلَى الْمُشَبِّهَةِ، كَدَاوُدَ الْجَوَارِبِيِّ وَأَمْثَالِهِ الْقَائِلِينَ: إِنَّ اللَّهَ جِسْمٌ، وَإِنَّهُ جُثَّةٌ وَأَعْضَاءٌ وَغَيْرُ ذَلِكَ! تَعَالَى اللَّهُ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا, فَالْمَعْنَى الَّذِي أَرَادَهُ الشَّيْخُ رَحِمَهُ اللَّهُ مِنَ النَّفْيِ الَّذِي ذَكَرَهُ هُنَا حَقٌّ، لَكِنْ حَدَثَ بَعْدَهُ مَنْ أَدْخَلَ فِي عُمُومِ نَفْيِهِ حَقًّا وَبَاطِلًا، فَيَحْتَاجُ إِلَى بَيَانِ ذَلِكَ

"Syeikh (At-Tahawi) rahimahullah (mengucapkan demikian) bertujuan untuk membantah ucapan golongan Musyabbihah, seperti Daud Al-Jawaribi dan yang semisalnya yang mengatakan: Sesungguhnya Allah berjisim, bertubuh badan dan sebagainya! Maha suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka lagi Maha Tinggi dan Maha Besar. Maka makna yang dikehendaki oleh syeikh rahimahullah untuk menafikan apa yang disebutnya di sini adalah benar, akan tetapi selepasnya berlaku orang yang memasukkan ke dalam keumuman penafian yang benar dan batil. Maka ia perlu kepada penjelasan terhadap perkara tersebut." (Syarah Aqidah Tahawiyah, Ibn Abil Izz Ad-Dimasyqi Al-Hanafi, 1/218).

Beliau menerangkan lagi:

أَنَّ النَّاسَ فِي إِطلاقِ مِثْلِ هَذِهِ الأَلْفَاظِ ثَلاثَةُ أَقْوَالٍ: فَطَائِفَةٌ تَنْفِيهَا، وَطَائِفَةٌ تُثْبِتُهَا، وَطَائِفَةٌ تُفَصِّلُ، وَهُمُ الْمُتَّبِعُونَ لِلسَّلَفِ، فَلا يُطْلِقُونَ نَفْيَهَا وَلا إِثْبَاتَهَا إِلاَّ إِذَا بُيِّنَ مَا أُثْبِتَ بِهَا فَهُوَ ثَابِتٌ ، وَمَا نُفِيَ بِهَا فَهُوَ مَنْفِيٌّ . لأَنَّ المُتَأَخِّرِينَ قَدْ صَارَتْ هَذِهِ الأَلْفَاظُ فِي اصْطِلاحِهِمْ فِيهَا إِجْمَالٌ وَإِبْهَامٌ، كَغَيْرِهَا مِنَ الأَلْفَاظِ الاصْطِلاحِيَّةِ، فَلَيْسَ كُلُّهُمْ يَسْتَعْمِلُهَا فِي نَفْسِ مَعْنَاهَا اللُّغَوِيِّ. وَلِهَذَا كَانَ النُّفَاةُ يَنْفُونَ بِهَا حَقًّا وَبَاطِلاً، وَيَذْكُرُونَ عَنْ مُثْبِتِيهَا مَا لا يَقُولُونَ بِهِ، وَبَعْضُ الْمُثْبِتِينَ لَهَا يُدْخِلُ فِيهَا مَعْنًى بَاطِلاً، مُخَالِفًا لِقَوْلِ السَّلَفِ، وَلِمَا دَلَّ عَلَيْهِ الْكِتَابُ وَالْمِيزَانُ. وَلَمْ يَرِدْ نَصٌّ مِنَ الْكِتَابِ وَلا مِنَ السُّنَّةِ بِنَفْيِهَا وَلا إِثْبَاتِهَا، وَلَيْسَ لَنَا أَنْ نَصِفَ اللَّهَ تَعَالَى بِمَا لَمْ يَصِفْ بِهِ نَفْسَهُ وَلا وَصَفَهُ بِهِ رَسُولُهُ نَفْيًا وَلا إِثْبَاتًا، وَإِنَّمَا نَحْنُ مُتَّبِعُونَ لا مُبْتَدِعُونَ

“Sesungguhnya manusia secara umumnya terbahagi kepada tiga pendapat mengenainya: Golongan yang menafikannya, golongan yang mengisbatkannya (menetapkannya) dan golongan yang memperincikannya dan (golongan yang ketiga ini) mereka adalah pengikut salaf. Mereka tidak menafikan dan tidak juga mengisbatkannya (menetapkannya) secara umum kecuali apabila dijelaskan apa yang telah diisbatkan maka ia adalah suatu yang isbat (ditetapkan) dan apa yang dinafikan maka ia adalah suatu yang manfi (dinafikan). Ini kerana istilah-istilah ini menjadi mujmal (umum) dan mubham di kalangan mutaakhirin sebagaimana lafaz-lafaz istilah yang lain. Tidak semua mereka menggunakannya mengikut maknanya dalam bahasa arab. Oleh itu pihak yang menafikannya terus menafikannya sama ada ia hak atau batil, serta mereka menyebut tentang orang yang mengisbatkannya dengan perkara yang tidak mereka perkatakan. Sesetengah mereka yang mengisbatkannya pula memasukkan makna yang batil ke dalam lafaz-lafaz ini bercanggahan dengan pendapat salaf dan yang ditunjukkan oleg Al-Kitab dan As-Sunnah. Tidak ada nas daripada Al-Kitab dan As-Sunnah yang menafikan atau mengisbatkannya. Kita tidak boleh menyifatkan Allah dengan sifat yang tidak diberikan olehNya bagi diriNya dan yang tidak diberikan oleh RasulNya sama ada dalam menafikan atau mengisbatkan. Kita mengikut (Al-Kitab dan As-Sunnah) bukannya mengikut orang yang melakukan bid’ah.”
Beliau melanjutkan:
فَالْوَاجِبُ أَنْ يُنْظَرَ فِي هَذَا الْبَابِ، أَعْنِي بَابَ الصِّفَاتِ، فَمَا أَثْبَتَهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَثْبَتْنَاهُ، وَمَا نَفَاهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ نَفَيْنَاهُ. وَالأَلْفَاظُ الَّتِي وَرَدَ بِهَا النَّصُّ يُعْتَصَمُ بِهَ...ا فِي الْإِثْبَاتِ وَالنَّفْيِ، فَنُثْبِتُ مَا أَثْبَتَهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنَ الأَلْفَاظِ وَالْمَعَانِي. وَأَمَّا الْأَلْفَاظُ الَّتِي لَمْ يَرِدْ نَفْيُهَا وَلا إِثْبَاتُهَا فَلا تُطْلَقُ حَتَّى يُنْظَرَ فِي مَقْصُودِ قَائِلِهَا: فَإِنْ كَانَ مَعْنًى صَحِيحًا قُبِلَ، لَكِنْ يَنْبَغِي التَّعْبِيرُ عَنْهُ بِأَلْفَاظِ النُّصُوصِ، دُونَ الأَلْفَاظِ الْمُجْمَلَةِ، إِلا عِنْدَ الْحَاجَةِ، مَعَ قَرَائِنَ تُبَيِّنُ الْمُرَادَ وَالْحَاجَةَ مِثْلُ أَنْ يَكُونَ الْخِطَابُ مَعَ مَنْ لا يَتِمُّ الْمَقْصُودُ مَعَهُ إِنْ لَمْ يُخَاطَبْ بِهَا، وَنَحْوُ ذَلِكَ 

“Maka yang wajib untuk diperhatikan dalam bab sifat ini ialah segala sifat yang isbatkan oleh Allah dan RasulNya maka kita mengisbatkannya dan sifat yang dinafikan oleh Allah dan RasulNya maka kita turut menafikannya. Kita hendaklah berpegang pada lafaz yang dibawakan oleh nas dalam mengisbatkan atau menafikan sifat. Kita mengisbatkan lafaz dan makna yang diisbatkan oleh Allah dan RasulNya. Manakala lafaz yang tidak ada penafian atau pengisbatan oleh nas maka kita tidak akan membiarkannya menjadi umum sehinggalah kita melihat apa tujuan orang yang mengatakannya: Sekiranya makna itu sahih maka kita terima, akan tetapi ia hendaklah diungkap dengan lafaz nas-nas dan bukannya lafaz yang mujmal (umum) kecuali ketika ia perlu disertai dengan qarinah-qarinah yang menjelaskan tujuan itu. Maksud ketika perlu ialah menunjukkan khitab kepada orang yang ada sesuatu tujuan dan tidak akan dicapai sekiranya tidak ditujukan khitab itu kepadanya dan sebagainya.”
(Syarah Aqidah Tahawiyah, Ibn Abil Izz Ad-Dimasyqi Al-Hanafi, 1/218).
 
 
Ibnu Rajab Al-Hanbali Rahimahullah berkata:

ومن ذلك أعني محدثات الأمور ما أحدثه المعتزلة ومن حذا حذوهم من الكلام في ذات الله تعالى وصفاته بأدلة العقول وهو أشد خطراً من الكلام في القدر لأن الكلام في القدر كلام في أفعاله وهذا كلام في ذاته وصفاته.
 وينقسم هؤلاء إلى قسمين أحدهما من نفى كثيراً مما ورد به الكتاب والسنة من ذلك لاستلزامه عنده للتشبيه بالمخلوقين كقول المعتزلة لو رؤي لكان جسما لأنه لا يرى إلا في جهة: وقولهم لو كان له كلام يسمع لكان جسما ووافقهم من نفى الاستواء فنفوه لهذه الشبهة: وهذا طريق المعتزلة والجهمية وقد اتفق السلف على تبديعهم وتضليلهم وقد سلك سبيلهم في بعض الأمور كثير ممن انتسب إلى السنة والحديث من المتأخرين.
والثاني من رام إثبات ذلك بأدلة العقول التي لم يرد بها الأثر ورد على أولئك مقالتهم كما هي طريقة مقاتل بن سليمان ومن تابعه كنوح بن أبي مريم وتابعهم طائفة من المحدثين قديماً وحديثاً. وهو أيضاً مسلك الكرامية فمنهم من أثبت لإثبات هذه الصفات الجسم إما لفظا وإما معنى. ومنهم من أثبت للَّه صفات لم يأت بها الكتاب والسنة كالحركة وغير ذلك مما هي عنده لازم الصفات الثابتة.
وقد أنكر السلف على مقاتل قوله في رده على جهم بأدلة العقل وبالغوا في الطعن عليه. ومنهم من استحل قتله، منهم مكي بن إبراهيم شيخ البخاري وغيره. والصواب ما عليه السلف الصالح من إمرار آيات الصفات وأحاديثها كما جاءت من غير تفسير لها ولا تكييف ولا تمثيل: ولا يصح من أحد منهم خلاف ذلك البتة خصوصاً الإمام أحمد ولا خوض في معانيها ولا ضرب مثل من الأمثال لها : وإن كان بعض من كان قريباً من زمن الإمام أحمد فيهم من فعل شيئاً من ذلك اتباعاً لطريقة مقاتل فلا يقتدى به في ذلك إنما الإقتداء بأئمة الإسلام كابن المبارك. ومالك. والثوري والأوزاعي. والشافعي. وأحمد. واسحق. وأبي عبيد. ونحوهم
وكل هؤلاء لا يوجد في كلامهم شيء من جنس كلام المتكلمين فضلا عن كلام الفلاسفة: ولم يدخل ذلك في كلام من سلم من قدح وجرح وقد قال أبوزرعة الرازي كل من كان عنده علم فلم يصن علمه واحتاج في نشره إلى شيء من الكلام فلستم منه.

“Dan di antara perkara-perkara baru yang muncul adalah golongan Mu’tazilah dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dalam pembicaraan mengenai Zat dan Sifat-Sifat Allah ta’ala dengan berlandaskan akal fikiran semata. Masalah ini jauh lebih besar bahayanya daripada pembicaraan mengenai qadar. Hal itu disebabkan kerana pembicaraan masalah qadar hanya berkaitan pada perbuatan Allah. Adapun masalah ini, pembicaraan menyenai Zat dan Sifat-Sifat-Nya ta’ala.

Orang-orang yang membahaskan masalah Zat dan Sifat Allah dengan berlandaskan akal semata ini terbagi menjadi dua golongan :

Pertama; Golongan yang banyak menafikan apa-apa yang datang dari Al-Kitab (Al-Quran) dan As-Sunnah tentang Zat dan Sifat Allah ta’ala, kerana mereka menganggap bahawa penetapan sifat-sifat tersebut kepada Allah akan menimbulkan penyerupaan kepada makhluk-makhluk-Nya. Hal ini seperti perkataan Mu’tazilah bahawa bila Allah dapat dilihat, tentu Dia adalah jism (benda). Sebab, Dia tidaklah dapat dilihat kecuali dalam satu ruang. Perkataan mereka yang lain : Apabila Allah mempunyai Kalam (berkata-kata) yang dapat didengar, tentu Dia adalah jism (benda). Dan juga mereka menafikan akan istiwaa’ Allah juga akibat dari syubhat ini.

Ini adalah jalan yang ditempuh oleh Mu’tazilah dan Jahmiyyah. Para ulama salaf telah sepakat tentang kebid’ahan dan kesesatan mereka. Namun sungguh banyak orang muta’akhirin yang menempuh jalan mereka pada sebahagian perkara dari kalangan yang menisbatkan diri pada As-Sunnah dan Al-Hadis.

Kedua; Golongan yang cenderung terhadap penetapan Zat dan Sifat Allah dengan dasar akal semata yang tidak terdapat dalam atsar. Telah datang perkataan-perkataan mereka yang membantah golongan yang pertama sebagaimana yang dilakukan oleh Muqatil bin Sulaiman dan pengikut-pengikutnya seperti Nuh bin Abi Maryam; yang kemudian diikuti oleh (sebahagian) kalangan Muhaddissin dulu dan sekarang. Jalan ini pulalah yang ditempuh golongan Karamiyyah. Di antara mereka (golongan Karamiyyah) ada yang menetapkan sifat jisim bagi Zat Allah secara lafaz atau makna. Dan di antara mereka pula ada yang menetapkan sifat yang tidak terdapat dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah seperti sifat “al-harakah” (bergerak) dan yang seumpamanya menurut anggapan mereka merupakan sifat-sifat yang tidak boleh dipisahkan dari sifat-sifat yang tsabit.

Para ulama salaf telah mengingkari dan mengecam tindakan Muqatil saat ia membantah Jahmiyyah dengan dasar akal semata. Di antara para ulama salaf bahkan sampai ada yang menghalalkannya untuk dibunuh, seperti Makki bin Ibrahim yang merupakan guru Imam Al-Bukhari; dan selainnya.

Adalah yang benar dalam permasalahan ini ialah apa yang telah dipegang oleh As-Salafus-Soleh, iaitu memperlakukan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis tentang Sifat Allah sebagaimana adanya, tanpa mentafsirkannya (tafsir dengan maksud mentakwil iaitu mengubah makna lafaz yang sebenar), menanyakan bagaimananya (takyif), atau menyerupakannya dengan makhluk-Nya (tamtsil). Tidak dinukil perselisihan diantara mereka dalam masalah ini, khususnya dari Al-Imam Ahmad. Dan golongan salaf tidak berlebih-lebihan dalam memahami makna sifat-sifat tersebut dan tidak pula membuat permisalan baginya.

Walaupun ada sebahagian ulama yang hidup dekat dengan zaman Imam Ahmad mengikuti jalan yang ditempuh oleh Muqatil, akan tetapi perbuatan mereka tidak dapat dijadikan landasan. Sebab, contoh yang dapat dijadikan ikutan hanyalah para imam besar seperti Ibnu Mubarak, Malik (bin Anas), Ats-Tsauri, Al-Auza’i, Asy-Syafi’i, Ahmad, Ishaq (bin Rahawaih), Abu ‘Ubaid, dan yang seumpama dengan mereka.

Seluruh perkataan para imam tersebut tidak sama dengan perkataan ahli kalam dan juga para filosof. Abu Zur’ah Ar-Razi telah berkata : “Setiap orang yang memiliki ilmu yang tidak membenteng ilmunya (dari ilmu kalam dan falsafah), malah menggunakan ilmu kalam dan falsafah itu untuk menyebarkan ilmunya, maka janganlah kamu masuk ke dalam golongannya”. (Rujuk: Fadhlu Ilmi As-Salaf ‘ala Al-Khalaf, ms 3-4) 
 
 

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...