Rabu, 9 Jun 2021

P*rnografi


Semasa berkunjung ke Indonesia, Shaykh Sulayman al-Ruhayli -semoga Allah memelihara Shaykh- sempat meluangkan masa beliau untuk satu sesi temubual dengan beberapa asatizah di sana. Pada akhir wawancara tersebut, beliau memberi sedikit sebanyak nasihat dan tips-tips untuk menghilangkan kecanduan terhadap filem lucah. Ringkasannya, kata beliau:

Pertama, tidaklah manusia itu diciptakan melainkan untuk beribadah kepada Allah Ta'ala. Firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Mafhumnya: "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku" (QS. al-Dzariyat: 56)

Kedua, sentiasa mengingati bahawa kejaayan (di akhirat - syurga) itu hanya dapat diperolehi dengan mentaati Allah dan sebaliknya, maksiat hanya membawa kepada kerugian yang nyata di akhirat kelak (neraka). Allah berfirman di dalam surah al-'Asr mafhumnya:

“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, serta mewasiatkan kebenaran dan mewasiatkan kesabaran”

Ketiga, menyedari bahawa kita ini satu hari nanti pasti akan mati dan menjadi mayat. Maut itu lebih dekat berbanding tali selipar kita.

Keempat, ingatlah bahawa kita akan dibangkitkan semula (di akhirat kelak) sesuai dengan keadaan kita mati. Maka apa yang akan menjamin orang yang menonton filem-filem haram ini dia tidak akan mati pada waktu itu?! Ditakdirkan jika mati dalam keadaan hina tadi, bayangkan bagaimana kita dibangkitkan di hadapan Allah kelak?!!!

Kelima, Allah itu Maha Melihat dan Maha Mendengar segala perbuatan hamba-Nya, malu-lah kepada Allah. Bayangkan pula jika ayah kamu masuk ke dalam bilik kamu sedang kamu asyik menonton filem haram ini, adakah kamu akan sambung melihatnya? Bagaimana pula jika shaykh atau ustaz kamu yang melihat kamu sedemikian rupa? Orang yang mempunyai akal dan perasaan pasti akan merasa malu. Maka Allah itu lebih berhak untuk kamu merasa malu terhadap-Nya.

Keenam, yang mengurniakan nikmat penglihatan dan pendengaran itu adalah Allah dan Dia boleh menarik nikmat itu sekelip mata sahaja. Syukuri-lah nikmat yang Allah berikan ini dengan ketaatan, bukan kufur akannya dengan kemaksiatan.

Ketujuh, segala sesuatu di dunia ini akan lenyap, yang berbaki hanya perbuatan kita yang tercatat di lembaran amal. Allah Ta’ala berfirman pada akhir surah al-Zalzalah:

فَمَنْ يَّعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَّرَهٗۚ وَمَنْ يَّعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَّرَهٗ
Mafhumnya: "Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Kelapan, bersahabat dengan sahabat yang salih. Tidak sekadar salih, namun mengingatkan kamu dengan Allah, mengajak kepada kebaikan dan membimbing kepada redha Allah. Bersamaan dengan itu, menjauhi sahabat-sahabat yang buruk perangai serta buruk amalannya.

Semoga umat Islam dikurniakan kekuatan untuk menghindari tabiat buruk ini. Kita tahu keadaan diri kita masing-masing, tidak kantoi di dunia, kantoi di akhirat.

Wallahul musta'an.

Sumber: FB Abu Zayd

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...