Ahad, 20 Jun 2021

MALAYSIA BUKAN BERMAZHAB SYAFIE?

Sebahagian orang keliru apabila mereka mengatakan Malaysia bukan bermazhab Al-syafie kerana di dalam sebahagian kecil furu' fiqh kita tidak beramal dengan mazhab syafie.

Tanggapan ini adalah salah kerana sebab-sebab berikut:

1)Bila kita menyebut tentang Al-tamazhub/bermazhab maka para ulama' kita menyebutkan bahawa ia merangkumi tiga perkara berikut:

-Bermazhab di dalam Al-tafaqquh(belajar ilmu fiqh)
-Bermazhab di dalam amalan 
-Bermazhab di dalam Fatwa

Kalau kita lihat realiti di Malaysia, kitab yang diajar di banyak masjid, surau, madrasah, pondok ialah kitab-kitab fiqh mazhab Syafie seperti Al-fiqh Al-manhaji, Matan Abi Syujak, dan kitab-kitab jawi dalam fiqh.

Dari sudut amalan pula maka jelas syiar syafi'iyyah seperti jahar dengan basmalah dan qunut dilaksanakan di majoriti masjid di Malaysia.

Manakala dari sudut fatwa pula maka majoriti besar autoriti fatwa setiap negeri menyebutkan secara jelas bahawa pada asalnya fatwa yang akan diberikan adalah berdasarkan muktamad mazhab syafie melainkan jika ada disana keperluan untuk memfatwakan mengikut mazhab lain.

Jadi jelas dari tiga sudut ini Malaysia ialah negara yang bermazhab Syafie. 

2)Selain itu bila kita kata bermazhab maka ia bukan semata-mata mengikut qaul muktamad sahaja, bahkan maksudnya ialah kita meraikan qaul-qaul yang ada dalam mazhab Al-syafie begitu juga metod usul dan fatwa yang dipakai ialah berdasarkan mazhab Al-syafie.

Jadi jika betul sekalipun ada beberapa furu' fiqh tidak diamalkan berdasarkan muktamad mazhab syafie di Malaysia ini itu tidak memestikan kita terkeluar dari mazhab syafie selagimana metod usul dan fatwa yang dipakai ialah usul dan metod mazhab syafie. Apatah lagi jika qaul yang diamalkan tersebut ada dalam di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafie. 

Imam Al-nawawi terkenal dengan banyak ikhtiyarat beliau, adakah semata-mata banyak ikhtiyarat, beliau dianggap bukan imam dalam mazhab syafie?

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah terkenal dengan banyak ikhtiyarat beliau, adakah semata-mata banyak ikhtiyarat, beliau bukan imam dalam mazhab Hanbali? 

3) Bila kita menyebut Malaysia sebagai mazhab Syafie maka kita maksudkan para alim ulama', mufti, autoriti agama dan asatizahnya kebanyakannya ialah bermazhab Syafie.

Adapun orang awam maka mereka tiada mazhab khusus, mazhab mereka ialah mazhab mufti yang mereka bertaqlid kepadanya. Jadi ketidaktahuan orang awam terhadap furu' fiqh mazhab syafie atau percanggahan sebahagian kecil amalan mereka dengan mazhab syafie tidak menandakan bahawa negara ini bukan bermazhab syafie.

4) Mazhab suatu negara itu ditentukan berdasarkan majoriti penduduk dan ilmuannya.

Ini bukan perkara asing, Al-qadhi Abu Ya'la Al-hanbali & Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pernah didatangi orang yang hendak bertukar dan belajar mazhab selain dari mazhab negerinya. Kedua-kedua imam ini memberikan panduan yang sama iaitu kekal lah di dalam mazhab negeri kamu sendiri dan tidak perlu untuk kamu keluar atau tukar mazhab yang telah tersebar di negeri kamu, kelak akan sukar untuk kamu mengajar dan berfatwa kerana kamu seorang sahaja yang asing dari orang lain. (Rujuk Tobaqat Al-hanabilah dan Majmu' Fatawa). 

Wallahu a'lam

FB Ustaz Abdul Aziz

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...