Rabu, 4 Julai 2012

PEMBATAL-PEMBATAL KEISLAMAN


Oleh: Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz Ibn Baz rahimahullah
Diterjemahkan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

الحمد لله، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهداه. أما بعد:

Ketahuilah wahai umat Islam, bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkan ke atas seluruh hambanya masuk ke dalam agama Islam, berpegang teguh dengannya dan memperingatkan dari apa-apa yang menyelisihinya, dan mengutus NabiNya iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk berdakwah kepada agama Islam. Allah Azza wa Jalla mengkhabarkan sesiapa yang mengikutinya maka dia telah mendapat hidayah (petunjuk), dan  sesiapa yang menjauhinya maka dia telah sesat. Allah memperingatkan melalui ayat-ayatNya yang banyak berkenaan sebab-sebab berlakunya riddah (kemurtadan) dan seluruh jenis-jenis kesyirikan dan kekufuran.

Para ulama -semoga Allah merahmati mereka- telah menyebutkan perkara ini di dalam bab hukum murtad bahawa umat Islam telah murtad dari agamanya dengan sebab-sebab yang banyak dari pembatal-pembatal (keislaman) yang menyebabkan halal darahnya, hartanya, serta menjadikannya keluar dari agama Islam.

Dari pembatal-pembatal keislaman yang paling banyak berlaku ada sepuluh bahagian sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Imam Muhammad bin Abdul Wahhab dan selainnya dari kalangan ahli ilmu -semoga Allah merahmati mereka semua- dan kami akan sebutkan untukmu berikut ini secara ringkas supaya engkau dan selain engkau dapat mengambil peringatan darinya. Dengan itu, diharapkan keselamatan dan kesejahteraan dapat diambil darinya serta sedikit sebanyak menjadi jelas berkenaan apa yang akan kami sebutkan selepas ini.

Pertama: Di antara sepuluh pembatal-pembatal keislaman adalah Syirik di dalam ibadah. Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).” (An-Nisa`: 48)

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Al-Maaidah: 72)

Di antara perbuatan syirik di dalam ibadah itu adalah berdoa kepada orang-orang yang telah mati dan beristighatsah (memohon pertolongan) kepada mereka, bernazar serta menyembelih untuk mereka.

Kedua: Sesiapa yang menjadikan di antara dirinya dengan Allah itu perantara (tawassul) yang mereka berdoa dan memohon syafa’at kepada mereka serta bertawakkal kepadanya (yakni kepada perkara yang dijadikan sebagai perantara tersebut - pent), maka dia menjadi kafir secara ijmak (kesepakatan ulama).

Ketiga: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrikin atau ragu-ragu akan kekafiran mereka atau membenarkan mazhab mereka maka dia telah kafir.

Keempat: Sesiapa yang percaya atau yakin bahawa petunjuk selain petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih sempurna petunjuknya atau hukum selain hukumnya lebih baik dari hukumnya, seperti orang-orang yang mengutamakan hukum thoghut dari hukumnya maka dia telah kafir.

Kelima: Sesiapa yang membenci sesuatu dari apa yang datang kepada Rasul Shallallahu ‘alaihi wasalam (berupa syari’at - pent) walaupun dia mengamalkannya maka dia telah kafir. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ 

Maksudnya: “Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.” (Muhammad: 9)

Keenam: Sesiapa yang mengolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu dari agama Rasul Shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan pahala atau dosa maka dia telah kafir. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" (At-Taubah: 65)

لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman...” (At-Taubah: 66)

Ketujuh: Sihir yang berupa As-Sharf dan Al-‘Athaf.(*) Barangsiapa yang melakukannya atau redha terhadapnya maka dia telah kafir. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ

Maksudnya: “Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).” (Al-Baqarah: 102)

(*) As-Sharf ialah bentuk sihir yang bertujuan mengubah hasrat dan keinginan manusia, seperti memalingkan kecintaan seorang suami kepada isterinya, dan sebaliknya. Al-‘Atahf ialah bentuk sihir yang dapat membuat orang menjadi cenderung mencintai sesuatu dengan cara-cara syaitan. (Pent)

Kelapan: Menolong kaum musyrikin dan membantu dalam memerangi kaum muslimin. Dan dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Al-Maaidah: 51)

Kesembilan: Sesiapa yang meyakini bahawa sebahagian manusia diberi keluasan untuk keluar dari syariat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam maka dia telah kafir. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali-‘Imran: 85)

Kesepuluh: Berpaling dari agama Allah, tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengannya. Dan dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.” (As-Sajadah: 22)

Tiada perbezaan pada keseluruhan pembatal-pembatal keislaman ini di antara bergurau-senda, bersungguh-sungguh dan takut kecuali dia membencinya. Semuanya termasuk dari sebesar-besar perkara yang berbahaya sedangkan ia merupakan perkara yang paling banyak berlaku, maka hendaklah bagi setiap muslim memberi peringatan serta takut ianya menimpa ke atas dirinya. Kami berlindung dari Allah dari mendorong kemarahanNya sedang azabnya amat pedih. Semoga selawat Allah dan salam dicurahkan ke atas sebaik-baik makhluknya Muhammad dan ahli keluarganya serta sahabatnya. (Selesai ucapan Syeikh rahimahullah)

Termasuk di dalam jenis yang keempat (dari pembatal keislaman) ini adalah: Sesiapa yang berkeyakinan bahawa sistem dan undang-undang yang dijalankan oleh manusia lebih utama dari syariat Islam atau sama kedudukannya atau bahawasanya (dia meyakini) tidak mengapa berhukum dengan undang-undang manusia, walaupun dia yakin bahawa hukum Islam lebih utama atau sistem Islam tidak dapat memperbaiki cara hidup manusia di kurun kedua puluh ini, atau (dia meyakini) bahawa hukum Islam menyebabkan kaum muslimin berpecah-belah, atau (dia meyakini) hukum Islam akan membataskan hubungan seseorang dengan Tuhannya tanpa memasukkannya seperti keperluan hidup yang lain.

Termasuk juga di dalam jenis yang keempat ini adalah:  Sesiapa yang berpandangan bahawa perlaksanaan hukum Allah pada memotong tangan pencuri, merejam pelaku zina yang telah berkahwin tidak lagi sesuai pada zaman sekarang.

Termasuk juga yang demikian itu setiap orang yang meyakini bahawa tidak mengapa berhukum dengan hukum selain syariat Allah di dalam muamalat atau hudud atau selain keduanya, walaupun dia tidak meyakini hukum buatan manusia itu lebih utama dari hukum syariat. Ini kerana dengan perbuatan begitu (hakikatnya) dia telah mengharuskan apa yang telah diharamkan oleh Allah secara ijma’. Sedangkan setiap orang yang mengharuskan apa yang diharamkan oleh Allah dari apa yang telah maklum diketahui di dalam agama secara darurat seperti zina, arak, riba’ dan hukum selain syariat Allah maka dia telah kafir dengan kesepakatan kaum muslimin.

Kami memohon kepada Allah agar memberi taufiq kepada kami semua dari apa yang diredhaiNya dan memberi hidayah kepada seluruh kaum muslimin kepada jalanNya yang lurus sedangkan Dialah Maha mendengar lagi Maha Dekat.

وصلى الله وسلم على نبينا محمد وآله وصحبه.

(Diterbitkan dengan tajuk ini dalam Majalah Al-Buhuts Al-Islamiyah, Bil ke-7, pada bulan Rajab, Sya’ban, Ramadhan dan Syawal, tahun 1403; Sila lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Baz yang dihimpunkan oleh Muhammad bin Sa’ad Asy-Syuai’ar dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/130-133)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...