Sabtu, 28 Julai 2012

Hukum Bermain Mercun



Syeikh Muhammad bin Soleh Al-'Utsaimin rahimahullah ditanya:

Apakah hukum menjual dan membeli serta menggunakan/bermain bunga api (mercun/petasan/badil)?

الجواب :الحمد لله رب العالمين وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين .
 الذي أرى أن بيعها وشراءها حرام ، وذلك لوجهين :

الوجه الأول : أنها إضاعة للمال ، وإضاعة المال محرمة ، ولنهي النبي عن ذلك .
والثاني : أن فيها أذية للناس بأصواتها المزعجة ، وربما يحدث منها حرائق إذا وقعت على شيء قابل للاحتراق ، وهي حية لم تطفأ .
 فمن أجل هذين الوجهين نرى أنها حرام ، وأنه لا يجوز بيعها ولا شراؤها .

الشيخ محمد بن صالح العثيمين في 5/10/1413

Jawapan: Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian 'alam dan selawat ke atas Nabi kita Muhammad dan kepada ahli keluarganya serta sahabatnya seluruhnya. 

Kami berpandangan memperjual-belikannya adalah haram, kerana dua perkara:

Pertama: Bahawasanya ianya pembuangan (boros) terhadap harta, sedangkan boros terhadap harta itu haram kerana Nabi melarang dari melakukan hal yang demikian. 

Kedua: Bahawa padanya terdapat perkara yang membuat manusia terganggu dengan suara letupannya yang mengejutkan. Terkadang darinya berlaku kebakaran jika dilakukan ke atas sesuatu yang mudah terbakar.  

Maka dengan dua alasan tersebut, maka kami berpendapat ianya HARAM, maka tidak boleh diperjual-belikan. (Majmu’ Fatawa Ibn Utsaimin, Ash-Shadiratu min Markazid-Da'wati  wal-Irsyadi bi 'Unaizah, 3/3)


Dalil-dalil atas pengharamannya adalah:

(1) Boros terhadap harta.

Firman Allah Ta'ala:

وَلا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا. إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.  Sesungguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara syaitan." (Al-Israa`: 26-27)

Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas mengatakan, “Tabzir (pembaziran) adalah menginfakkan sesuatu bukan pada jalan yang benar.” Mujahid mengatakan, “Seandainya seseorang menginfakkan seluruh hartanya dalam jalan yang benar, itu bukanlah tabzir (pembaziran). Namun jika seseorang menginfakkan satu cupak sahaja pada jalan yang salah, itulah yang dinamakan tabzir (pembaziran).” Qotadah mengatakan, “Yang dinamakan sebagai tabzir (pembaziran) adalah mengeluarkan nafkah dalam berbuat maksiat pada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/474-475)

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إن الله كره لكم ثلاثا قيل وقال وإضاعة المال وكثرة السؤال

“Sesungguhnya Allah membenci tiga perkara bagi kamu; qila wa qol (khabar angin yang belum tentu kesahihannya - pent), pembuangan (boros) harta, dan banyak bertanya.” (HR. Bukkhari, no.1407)

(2) Mengganggu orang lain

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لا ضَرَرَ ولا ضِرارَ

"Jangan membuat mudarat dan jangan pula membalas kemudaratan" (HR. Ibnu Majah no: 2340)

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seorang muslim itu adalah seseorang yang selamat lisan dan tangannya dari (mengganggu) orang lain.” (HR. Bukhari no: 10 dan Muslim no: 41) 

Ibnu Batthal rahimahullah mengatakan: “Maksud dengan hadis ini adalah dorongan agar seorang muslim tidak menyakiti kaum muslimin lainnya dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk menyakiti lainnya." (Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibnu Batthal, 1/38)

Disusun oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Bertempat: Taman Indah Permai, Kota Kinabalu

SOLAT TIDAK MENUTUP KEPALA

Fatwa Syeikh Ibnu Baz rahimahullah

حكم كشف الرأس في الصلاة س : إمام يصلي بالناس وليس على رأسه غطاء فما الحكم في هذا ؟

Soalan: Seorang imam bersolat sebagai imam tanpa menutup kepalanya apakah hukumnya?

ج : لا حرج في ذلك ؛ لأن الرأس ليس من العورة ، وإنما الواجب أن يصلي بالإزار والرداء؛ لقول النبي صلى الله عليه وسلم : « لا يصلي أحدكم في الثوب الواحد ليس على عاتقه منه شيء » (1) لكن إذا أخذ زينته واستكمل لباسه كان ذلك أفضل؛ لقول الله جل وعلا : { يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ } (2) أما إن كان في بلاد ليس من عادتهم تغطية الرأس فلا بأس عليه في كشفه .

__________

(1) صحيح البخاري الصلاة (353),صحيح مسلم الصلاة (516),سنن النسائي القبلة (769),سنن أبو داود الصلاة (626),مسند أحمد بن حنبل (2/464),سنن الدارمي الصلاة (1371).

(2) سورة الأعراف الآية 31



Jawapan: Tidak ada masalah padanya, kerana kepala (lelaki) bukan aurat, adapun yang wajib dia bersolat dengan memakai rida' (pakaian yang menutup bahagian atas badan) dan izar (pakaian yg menutup bahagian bawah badan) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

لا يصلي أحدكم في الثوب الواحد ليس على عاتقه منه شيء

Maksudnya: "Janganlah kamu bersolat dalam sehelai pakaian sahaja yang tidak menutup bahunya".[al-Bukhari & Muslim].

Tetapi jika dia memakai perhiasan yang lengkap dan menyempurnakan pakaiannya maka itu lebih afdal kerana Allah berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: "Wahai Anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu di setiap masjid (ketika hendak solat)". [al-A'raf: 31].

Adapun jika di negerinya tidak menjadi adat menutup kepala maka tiada masalah untuk dia membuka kepalanya.

[Majmuk Fatawa Ibn Baz, jil 10 m.s 405 & 406]


Fatwa Lanjah Daimah Arab Saudi

السؤال الأول من الفتوى رقم ( 9422 ) س1 :

ما حكم الذي يصلي مكشوف الرأس دائما ، ويقول : إن لبس القلنسوة ليس بسنة ؟ لعدم ورود أي حديث في هذا الشأن ؟ وعلى هذا فإن جماعة نشأت في بلدي ( موريس ) تدعي أن لبس القلنسوة للمصلي أو لغيره ليس بسنة ، بل إنهم يحتقرون القلنسوة بتسميتها : قطعة قماش
 

Soalan: Apakah hukum lelaki yang bersolat sentiasa dalam keadaan kepalanya tidak bertutup dan dia berkata: Memakai kopiah itu bukan sunnah kerana tiada tsabit padanya hadis? di atas kepercayaan ini munculnya sekumpulan orang di negeri saya (Moris) yang mendakwa memakai kopiah semasa solat dan diluarnya bukan sunnah bahkan mereka mengejeknya dengan menamakannya: potongan kain.


ج1 : أولا : اللباس من العادات لا من العبادات ، والأمر فيه واسع ، فلا يمنع منه بالنسبة للرجال إلا ما منعه الشرع ؛ كلبس الحرير للرجال والشفاف الذي يشف عن عورتهم ، والضيق الذي يحدد العورة ، وما فيه تشبه بالنساء أو الكفار فيما يخصهم . ثانيا : رأس الرجل ليس بعورة ولا يسن له ستره ، لا في الصلاة ولا في غيرها ، وله أن يلبس عمامة أو قلنسوة ، وله أن يكشف رأسه في الصلاة وغيرها ، وليس لأحد أن يعيب على آخر ولا يحقره في شيء من ذلك . وبالله التوفيق ، وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم .

اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء

عضو ... نائب الرئيس ... الرئيس عبد الله بن غديان ... عبد الرزاق عفيفي ... عبد العزيز بن عبد الله بن باز


Jawapan:

Pertama: Pakaian adalah termasuk urusan adat bukan ibadat, dan urusan berkenaannya luas, maka tidak dilarang kepada seorang lelaki daripada memakai sesuatu pakaian kecuali yang dilarang padanya oleh Syarak; seumpama memakai sutera bagi lelaki, pakaian yang jarang menampakkan aurat, yang ketat menampakkan bentuk aurat mereka, dan yang menyerupai pakaian wanita atau kaum kafir yang menjadi kekhususan untuk mereka.

Kedua: Kepala lelaki bukan aurat dan tidak disunatkan baginya untuk menutupnya sama semasa solat atau diluarnya dan harus baginya memakai kopiah atau serban dan boleh juga baginya untuk membuka kepalanya di dalam solat dan luarnya dan tidak boleh bagi sesiapa pun untuk mencela pihak yang lain dan mengutuk mana-mana perbuatan yang dilakukannya

Wa billahi al-Taufiq, wa Sallallahu 'ala Nabiyyina Muhammad wa Alihi Wa Sahbihi wa Sallam.

Lajnah Tetap untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi
Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz - Ketua
Abdul Razak Afifi- Timb Ketua
Abdullah bin Ghudyan-Anggota

[Himpunan Fatwa Lajnah Daimah lil Buhus wal Ifta Arab Saudi, jil 24 m.s 45, fatwa no. 9422]

Rabu, 25 Julai 2012

BATALKAH PUASA KERANA MELAKUKAN ONANI?


Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Berikut ini saya bawakan fatwa-fatwa ulama iaitu fatwa Syeikh Ibnu Baz, Syeikh Utsaimin dan Syeikh Al-Albani rahimahumullah (semoga Allah merahmati mereka) memandangkan terdapat kekeliruan daripada segelintir golongan yang cuba berbuat syubhat dan fitnah terhadap para ulama khususnya kepada tiga nama tersebut yang selalu dilontar dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Mungkin disebabkan kebencian mereka terhadap para ulama yang tidak sealiran dengan mereka, menyebabkan mereka tidak berlaku adil dalam mengambil dan menyebarkan maklumat atau mungkin sengaja mencari-cari kesalahan para ulama untuk disebar-sebarkan demi untuk memburukkan nama ulama tersebut.


Maka dengan tulisan ini, mudah-mudahan dapat menjawab segala kesamaran dan syubhat mereka tersebut.

1. Fatwa Syeikh Ibnu Baz

Syeikh ditanya:

Seorang pemuda yang melakukan onani (masturbasi) pada siang hari sedangkan dia sedang berpuasa. Apakah yang wajib dilakukannya?

Syeikh menjawab:

الاستمناء في نهار الصيام يبطل الصوم إذا كان متعمدا ذلك وخرج منه المني, وعليه أن يقضي إن كان الصوم فريضة, وعليه التوبة إلى الله سبحانه وتعالى ؛ لأن الاستمناء لا يجوز لا في حال الصوم ولا في غيره، وهي التي يسميها الناس العادة السرية.

“Istimna’ (onani) pada siang hari bagi orang yang berpuasa membatalkan puasa jika dilakukan secara sengaja dan keluar daripadanya air mani, dan wajib ke atasnya untuk mengqadha’ (mengganti) sekiranya ianya merupakan puasa fardhu, dan wajib ke atasnya untuk bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana Istimna’ tidak boleh dilakukan sama ada ketika berpuasa mahu pun selainnya. Dan manusia menamakannya sebagai kebiasaan yang tersembunyi.” (Disebarkan dalam Majalah Dakwah, Bil. 1595, bertarikh 7/2/1418 Hijrah)

2. Fatwa Syeikh Utsaimin

Syeikh ditanya:

Jika seseorang yang berpuasa melakukan onani, adakah wajib ke atasnya kaffarah?

Syeikh menjawab:

إذا استمنى الصائم فأنزل أفطر ووجب عليه قضاء اليوم الذي استمنى فيه، وليس عليه كفارة، لأن الكفارة لا تجب إلا بالجماع.

“Jika seseorang yang berpuasa melakukan onani, maka ia telah berbuka (yakni batal puasanya) dan wajib ke atasnya qadha’ (ganti) sebanyak hari yang dia melakukan onani tersebut, dan tidaklah wajib ke atasnya kaffarah kerana kaffarah tidak wajib melainkan dengan bersetubuh (hubungan suami dan isteri).”

Syeikh juga ditanya:

Seorang pemuda melakukan onani di bulan Ramadhan kerana jahil bahawa perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa dan dalam keadaan dirinya dikuasai oleh syahwatnya. Maka apakah hukumnya?

Syeikh menjawab:

الحكم أنه لا شيء عليه، لأننا قررنا فيما سبق أنه لا يفطر الصائم إلا بثلاثة شروط: العلم، والذكر، والإرادة.

ولكني أقول: إنه يجب على الإنسان أن يصبر عن الاستمناء، لأنه حرام لقول الله تعالى: {وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ * إِلاَّ عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ * فَمَنِ ابْتَغَى وَرَآءَ ذالِكَ فَأُوْلَائِكَ هُمُ الْعَادُونَ}.


ولأن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «يا معشر الشباب، من استطاع منكم الباءة فليتزوج، فإنه أغض للبصر، وأحصن للفرج، ومن لم يستطع فعليه بالصوم».


ولو كان الاستمناء جائزاً لأرشد إليه النبي صلى الله عليه وسلم، لأنه أيسر على المكلف، ولأن الإنسان يجد فيه متعة، بخلاف الصوم ففيه مشقة، فلما عدل النبي صلى الله عليه وسلم إلى الصوم، دل هذا على أن الاستمناء ليس بجائز. 

"Hukumnya adalah bahawasanya tidak dikenakan apa-apa ke atasnya, kerana sebagaimana yang telah kita ketahui sebelum ini bahawasanya tidaklah batal puasa seseorang itu melainkan tiga syarat: dia mengetahui (perkara tersebut membatalkan puasa), dia ingat (tidak lupa) dan berkehendak (untuk melakukannya). 

Akan tetapi aku katakan: bahawasanya wajib bagi seseorang itu untuk bersabar dari melakukan onani kerana ianya "haram" berdasarkan firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang menginginkan selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Mukminun: 5-7)

Dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai para pemuda, barangsiapa diantara kamu yang mampu (berkahwin), maka hendaklah dia berkahwin, kerana ianya akan menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kemaluannya. Dan barangsiapa yang tidak mampu (berkahwin) hendaklah dia berpuasa.”

Kalau sekiranya melakukan onani itu harus (hukumnya) pasti Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam akan menunjukkannya kerana ia merupakan perkara yang paling mudah dilakukan bagi seorang mukallaf, dan manusia akan mendapat kesenangan padanya, berbeza dengan puasa kerana padanya terdapat kesukaran. Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyarankan agar orang yang tidak mampu berkahwin berpuasa, maka ini menunjukkan bahawa melakukan onani itu tidak harus dilakukan.” (Majmu’ Fatawa wa Rasail Ibn Utsaimin, 19/172)

3. Fatwa Syeikh Al-Albani 

Syeikh ditanya:

Adakah melakukan onani sama ada disebabkan mencium isterinya atau memeluknya ataupun melakukan onani dengan tangannya, boleh membatalkan puasanya dan mewajibkan qadha’ (ganti)?

Syeikh menjawab:

لا دليل على الإبطال بذلك ، وإلحاقه بالجماع غير ظاهر ، ولذلك قال الصنعاني : "الأظهر أنه لا قضاء ولا كفارة إلا على من جامع ، وإلحاق غير المجامع به بعيد" . وإليه مال الشوكاني ، وهو مذهب ابن حزم ، فانظر المحلى.


ومما يرشدك إلى أن قياس الاستمناء على الجماع قياس مع الفارق ، أن بعض الذين قالوا به في الإفطار لم يقولوا به في الكفارة ، قالوا : "لأن الجماع أغلظ ، والأصل عدم الكفارة" . انظر المهذب مع شرحه للنووي.   
فكذلك نقول نحن : الأصل عدم الأفطار ، والجماع أغلظ من الاستمناء ، فلا يقاس عليه . فتأمل . وقال الرافعي: " المني إن خرج بالاستمناء أفطر ، لأن الإيلاج من غير إنزال مبطل ، فالإنزال بنوع شهوة أولى أن يكون مفطرا" .
  
قلت : لو كان هذا صحيحا ، لكان إيجاب الكفارة في الاستمناء أولى من إيجابها على الايلاج بدون إنزال ، وهم لا يقولون أيضا بذلك . فتأمل تناقض القياسيين ! أضف إلى ذلك مخالفتهم لبعض الآثار الثابتة عن السلف في أن المباشرة بغير جماع لا تفطر ولو أنزل ، وقد ذكرت بعضها في سلسلة الأحاديث الصحيحة ، ومنها قول عائشة رضي الله عنها لمن سالها : ما يحل للرجل من امرأته صائما ؟ قالت : "كل شئ إلا الجماع". أخرجه عبد الرزاق في مصنفه بسند صحيح ، كما قال الحافظ في الفتح ، واحتج به ابن حزم .


وترجم ابن خزيمة رحمه الله لبعض الأحاديث المشار إليها بقوله في صحيحه : "باب الرخصة في المباشرة التي هي دون الجماع للصائم ، والدليل على أن اسم الواحد قد يقع عل فعلين : أحدهما مباح ، والآخر محظور ، إذ اسم المباشرة قد أوقعه الله في نص كتابه على الجماع ، ودل الكتاب على أن الجماع في الصوم محظور ، قال المصطفى صلى الله عليه وسلم : "إن الجماع يفطر الصائم" ، والنبي المصطفى صلى الله عليه وسلم قد دل بفعله على أن المباشرة التي هي دون الجماع مباحة في الصوم غير" . انتهى كلام الالباني من كتاب تمام المنة.

“Tidak ada dalil yang menunjukkan batalnya perkara tersebut, menyamakannya (Istimna’) dengan bersetubuh tidak tepat. Oleh yang demikian, Ash-Shan’ani berkata: “Pendapat yang terkuat adalah tidak ada qadha’ (ganti) dan kaffarah kecuali bagi yang melakukan persetubuhan, menyamakan sebab lain dengan persetubuhan jauh sekali (dari kebenaran).” Oleh kerana itu Asy-Syaukani juga memilih pendapat ini, dan ia merupakan mazhab Ibnu Hazm sebagaimana di dalam (kitab) Al-Muhalla.

Dan di antara bukti bahawa mengkiaskan onani dengan Jima’ (bersetubuh) adalah kias yang bertentangan adalah sebahagian orang-orang yang berkata berkenaan batalnya puasa (kerana onani) mereka tidak mengatakan (orang tersebut) dikenakan kaffarah. Mereka mengatakan: “Ini kerana bersetubuh itu lebih berat, sedangkan asal hukum (bagi pembatal puasa) tidak dikenakan kaffarah. Lihat Al-Muhazzab beserta syarahnya oleh An-Nawawi.

Maka oleh yang demikian kami mengatakan: Asal hukum (sesuatu) tidak menyebabkan terbatalnya puasa, sedangkan bersetubuh lebih berat dari onani maka tidak boleh mengkiaskan ke atasnya. Maka fikirkanlah. Berkata Ar-Rafi’ie: “Jika air mani keluar kerana onani maka batallah puasa, kerana pertemuan dua alat kelamin walaupun tanpa keluarnya air mani membatalkan puasa. Maka jika air mani dikeluarkan dengan diiringi syahwat lebih utama menjadikan puasanya batal.”

Kalau sekiranya ianya sahih, nescaya lebih diwajibkan lagi kaffarah ke atas orang melakukan melakukan pertemuan dua kelamin tanpa keluarnya air mani, akan tetapi mereka tidak mengatakan sedemikian. Maka fikir-fikirkanlah dua perkara yang dikiaskan ini saling bertentangan! Selain itu mereka juga menyelisihi sebahagian atsar ulama salaf yang mengatakan bahawa bercumbu tanpa bersetubuh tidak membatalkan puasa walaupun keluarnya air mani. Sebahagiannya telah saya sebutkan di dalam As-Silsilatul Ahadits As-Sahihah, dan darinya jawapan Aisyah kepada orang yang bertanya kepadanya: “Apakah yang dihalalkan bagi seorang suami yang berpuasa kepada isterinya?” Aisyah menjawab: “Segala sesuatu kecuali bersetubuh.”

Ibnu Khuzaimah rahimahullah menjelaskan sebahagian hadis-hadis yang berkaitan dalam sahihnya: Bab keringanan hukum bagi mubasyarah (percumbuan suami isteri) yang tidak diiringi dengan persetubuhan bagi orang yang berpuasa dan dalil tentang satu nama (istilah) yang menunjukkan dua perbuatan, salah satunya harus, dan yang satu lagi mahzur (dilarang), kerana istilah mubasyarah Allah telah menyebutkan di dalam nas Al-Quran sebagai bersetubuh, dan Al-Quran menunjukkan bahawa bersetubuh dalam puasa itu dilarang. Al-Musthafa shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya bersetubuh itu membatalkan puasa.” Dan Nabi Al-Musthafa shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah menunjukkan perbuatannya bercumbuan tanpa diiringi dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang diharuskan di dalam puasa.” Selesai ucapan Al-Albani dalam kitab Tamamul Minnah. (Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah Al-Albani, dikumpul dan disusun oleh Abu Sanad Muhammad, halaman 126-127)  

Di dalam Tamamul Minnah sendiri Syeikh Al-Albani menyebutkan pendapat beliau tentang hukum onani lanjutan dari fatwa beliau yang saya bawakan di atas.

Syeikh Al-Albani berkata:

وأما نحن فنرى أن الحق مع الذين حرموه مستدلين بقوله تعالى : (والذين هم لفروجهم حافظون إلا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين فمن ابتغى وراء ذلك فأولئك هم العادون )

ولا نقول بجوازه لمن خاف الوقوع في الزنا إلا إذا استعمل الطب النبوي وهو قوله صلى الله عليه و سلم للشباب في الحديث المعروف الآمر لهم بالزواج : " فمن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء "

ولذلك فإننا ننكر أشد الإنكار على الذين يفتون الشباب بجوازه خشية الزنا دون أن يأمروهم بهذا الطب النبوي الكريم

“Adapun kami berpendapat bahawa kebenaran adalah bersama mereka yang mengharamkan (perbuatan onani tersebut) berdalilkan dengan firman Allah (bermaksud): “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang menginginkan selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Mukminun: 5-7)

Kami tidak mengatakan harusnya perbuatan (onani) tersebut bagi orang yang bimbang terjatuh ke lembah zina melainkan dia mengamalkan perubatan cara Nabi sebagaimana dalam sabdanya: “Barangsiapa yang tidak mampu (berkahwin) hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu perisai baginya.”

Oleh yang demikian, kami sangat menentang ke atas orang-orang yang berfatwa mengharuskan melakukan onani sekiranya takut terjatuh ke lembah zina tanpa memerintahkan mereka berubat dengan cara perubatan Nabi yang mulia.” (Tamamul Minnah fi At-Ta’liq ‘Ala Fiqhis Sunnah, Maktabah Islamiah Darul Rayah Lin-Nasyr, cet-3, halaman 421)

Kesimpulan yang dapat diambil dari fatwa-fatwa ulama di atas ini adalah:

1 – Para ulama sepakat bahawa onani (masturbasi) atau mengeluarkan air mani (sperma) dengan jalan selain bersetubuh adalah haram. Maka tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa ulama-ulama salafi atau wahabi membolehkan orang yang berpuasa beronani/melancap adalah dusta. Mereka hanya mengambil sebahagian kalam syeikh Al-Albani dan meninggalkan sebahagian kalam beliau yang lain. Bahkan ternyata beliau sangatlah menentang fatwa orang yang mengharuskan onani secara umumnya, maka lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan.

2 – Para ulama berbeza pendapat sama ada onani membatalkan puasa atau tidak kerana tidak ada dalil yang jelas menyatakannya melainkan hanya bersetubuh. Sedangkan onani tidak mungkin boleh dikiaskan dengan bersetubuh. Sebab sekiranya boleh dikiaskan, nescaya orang yang melancap di siang hari pada bulan Ramadhan akan diwajibkan qadha dan kaffarah. Pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Al-Albani tersebut bukanlah pendapat yang asing, malah telah pun dimulai sebelumnya oleh ulama yang terkenal iaitu Ibnu Hazm, Ash-Shan'ani dan Asy-Syaukani sebagaimana keterangan syeikh dalam kitabnya Tamamul Minnah tersebut.

3 – Para ulama berbeza pendapat adakah perlu mengqadha (menggantikan) puasa disebabkan melakukan onani. Syeikh Ibnu Baz dan Syeikh Utsaimin rahimahullah berpendapat wajib ke atas orang yang melakukan onani menggantikan puasanya sahaja dan tidak wajib atasnya kaffarah iaitu memerdekakan hamba sahaya, atau puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada fakir miskin sebanyak 60 orang sebagaimana dalam hadis riwayat Imam Muslim. Para ulama sendiri tidak pernah menghukum sesat sesama mereka walaupun ternyata banyak pendapat mereka dalam masalah fiqh (cabang) berbeza antara satu sama lain kecuali dalam masalah aqidah (usul) dan manhaj. Wallahua'lam 


Sebagai penutup, kita renungkan hadis Qudsi berikut ini:

الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Puasa itu untuk Aku, maka Akulah yang akan memberikannya pahala. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu perisai. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya dan sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rabu, 4 Julai 2012

PEMBATAL-PEMBATAL KEISLAMAN


Oleh: Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz Ibn Baz rahimahullah
Diterjemahkan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

الحمد لله، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهداه. أما بعد:

Ketahuilah wahai umat Islam, bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkan ke atas seluruh hambanya masuk ke dalam agama Islam, berpegang teguh dengannya dan memperingatkan dari apa-apa yang menyelisihinya, dan mengutus NabiNya iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk berdakwah kepada agama Islam. Allah Azza wa Jalla mengkhabarkan sesiapa yang mengikutinya maka dia telah mendapat hidayah (petunjuk), dan  sesiapa yang menjauhinya maka dia telah sesat. Allah memperingatkan melalui ayat-ayatNya yang banyak berkenaan sebab-sebab berlakunya riddah (kemurtadan) dan seluruh jenis-jenis kesyirikan dan kekufuran.

Para ulama -semoga Allah merahmati mereka- telah menyebutkan perkara ini di dalam bab hukum murtad bahawa umat Islam telah murtad dari agamanya dengan sebab-sebab yang banyak dari pembatal-pembatal (keislaman) yang menyebabkan halal darahnya, hartanya, serta menjadikannya keluar dari agama Islam.

Dari pembatal-pembatal keislaman yang paling banyak berlaku ada sepuluh bahagian sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Imam Muhammad bin Abdul Wahhab dan selainnya dari kalangan ahli ilmu -semoga Allah merahmati mereka semua- dan kami akan sebutkan untukmu berikut ini secara ringkas supaya engkau dan selain engkau dapat mengambil peringatan darinya. Dengan itu, diharapkan keselamatan dan kesejahteraan dapat diambil darinya serta sedikit sebanyak menjadi jelas berkenaan apa yang akan kami sebutkan selepas ini.

Pertama: Di antara sepuluh pembatal-pembatal keislaman adalah Syirik di dalam ibadah. Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).” (An-Nisa`: 48)

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Al-Maaidah: 72)

Di antara perbuatan syirik di dalam ibadah itu adalah berdoa kepada orang-orang yang telah mati dan beristighatsah (memohon pertolongan) kepada mereka, bernazar serta menyembelih untuk mereka.

Kedua: Sesiapa yang menjadikan di antara dirinya dengan Allah itu perantara (tawassul) yang mereka berdoa dan memohon syafa’at kepada mereka serta bertawakkal kepadanya (yakni kepada perkara yang dijadikan sebagai perantara tersebut - pent), maka dia menjadi kafir secara ijmak (kesepakatan ulama).

Ketiga: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrikin atau ragu-ragu akan kekafiran mereka atau membenarkan mazhab mereka maka dia telah kafir.

Keempat: Sesiapa yang percaya atau yakin bahawa petunjuk selain petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih sempurna petunjuknya atau hukum selain hukumnya lebih baik dari hukumnya, seperti orang-orang yang mengutamakan hukum thoghut dari hukumnya maka dia telah kafir.

Kelima: Sesiapa yang membenci sesuatu dari apa yang datang kepada Rasul Shallallahu ‘alaihi wasalam (berupa syari’at - pent) walaupun dia mengamalkannya maka dia telah kafir. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ 

Maksudnya: “Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.” (Muhammad: 9)

Keenam: Sesiapa yang mengolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu dari agama Rasul Shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan pahala atau dosa maka dia telah kafir. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" (At-Taubah: 65)

لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman...” (At-Taubah: 66)

Ketujuh: Sihir yang berupa As-Sharf dan Al-‘Athaf.(*) Barangsiapa yang melakukannya atau redha terhadapnya maka dia telah kafir. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ

Maksudnya: “Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).” (Al-Baqarah: 102)

(*) As-Sharf ialah bentuk sihir yang bertujuan mengubah hasrat dan keinginan manusia, seperti memalingkan kecintaan seorang suami kepada isterinya, dan sebaliknya. Al-‘Atahf ialah bentuk sihir yang dapat membuat orang menjadi cenderung mencintai sesuatu dengan cara-cara syaitan. (Pent)

Kelapan: Menolong kaum musyrikin dan membantu dalam memerangi kaum muslimin. Dan dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Al-Maaidah: 51)

Kesembilan: Sesiapa yang meyakini bahawa sebahagian manusia diberi keluasan untuk keluar dari syariat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam maka dia telah kafir. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali-‘Imran: 85)

Kesepuluh: Berpaling dari agama Allah, tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengannya. Dan dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.” (As-Sajadah: 22)

Tiada perbezaan pada keseluruhan pembatal-pembatal keislaman ini di antara bergurau-senda, bersungguh-sungguh dan takut kecuali dia membencinya. Semuanya termasuk dari sebesar-besar perkara yang berbahaya sedangkan ia merupakan perkara yang paling banyak berlaku, maka hendaklah bagi setiap muslim memberi peringatan serta takut ianya menimpa ke atas dirinya. Kami berlindung dari Allah dari mendorong kemarahanNya sedang azabnya amat pedih. Semoga selawat Allah dan salam dicurahkan ke atas sebaik-baik makhluknya Muhammad dan ahli keluarganya serta sahabatnya. (Selesai ucapan Syeikh rahimahullah)

Termasuk di dalam jenis yang keempat (dari pembatal keislaman) ini adalah: Sesiapa yang berkeyakinan bahawa sistem dan undang-undang yang dijalankan oleh manusia lebih utama dari syariat Islam atau sama kedudukannya atau bahawasanya (dia meyakini) tidak mengapa berhukum dengan undang-undang manusia, walaupun dia yakin bahawa hukum Islam lebih utama atau sistem Islam tidak dapat memperbaiki cara hidup manusia di kurun kedua puluh ini, atau (dia meyakini) bahawa hukum Islam menyebabkan kaum muslimin berpecah-belah, atau (dia meyakini) hukum Islam akan membataskan hubungan seseorang dengan Tuhannya tanpa memasukkannya seperti keperluan hidup yang lain.

Termasuk juga di dalam jenis yang keempat ini adalah:  Sesiapa yang berpandangan bahawa perlaksanaan hukum Allah pada memotong tangan pencuri, merejam pelaku zina yang telah berkahwin tidak lagi sesuai pada zaman sekarang.

Termasuk juga yang demikian itu setiap orang yang meyakini bahawa tidak mengapa berhukum dengan hukum selain syariat Allah di dalam muamalat atau hudud atau selain keduanya, walaupun dia tidak meyakini hukum buatan manusia itu lebih utama dari hukum syariat. Ini kerana dengan perbuatan begitu (hakikatnya) dia telah mengharuskan apa yang telah diharamkan oleh Allah secara ijma’. Sedangkan setiap orang yang mengharuskan apa yang diharamkan oleh Allah dari apa yang telah maklum diketahui di dalam agama secara darurat seperti zina, arak, riba’ dan hukum selain syariat Allah maka dia telah kafir dengan kesepakatan kaum muslimin.

Kami memohon kepada Allah agar memberi taufiq kepada kami semua dari apa yang diredhaiNya dan memberi hidayah kepada seluruh kaum muslimin kepada jalanNya yang lurus sedangkan Dialah Maha mendengar lagi Maha Dekat.

وصلى الله وسلم على نبينا محمد وآله وصحبه.

(Diterbitkan dengan tajuk ini dalam Majalah Al-Buhuts Al-Islamiyah, Bil ke-7, pada bulan Rajab, Sya’ban, Ramadhan dan Syawal, tahun 1403; Sila lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Baz yang dihimpunkan oleh Muhammad bin Sa’ad Asy-Syuai’ar dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/130-133)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...