Jumaat, 1 Januari 2010

Manhaj Ahli Sunnah Terhadap Ahli Bid'ah dan Kitab-Kitab Mereka

Pada zaman ini musibah yang melanda umat Islam adalah, tersebarnya kebi'ahan-kebid'ahan di merata tempat, buku-buku mereka yang penuh dengan kebid'ahan, khurafat serta mereka mengajak kepada metodologi mereka yang baru. Kitab-kitab ahli bid'ah sangat mendapat tempat dan pengaruh dikalangan manusia. Ia dihiasi dengan kata-kata yang indah, konsep-konsep yang baru dan menarik tujuannya untuk mempublikasikan pemikiran mereka agar ia laku ditengah-tengah kebodohan umat ini.

Dikala terlalu menebalnya kebodohan sebahagian orang yang cuba berbuat pandai di dalam ilmu agama, padahal mereka itu miskin dalam ilmu Dien, manhaj mereka bertaburan tidak tentu hala, cuba berbuat takwilan-takwilan yang jahil sehingga mereka pun menganggap mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan ada yang mengaku sebagai salafi?!  Padahal mereka jauh dari manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan manhaj salaf. Wallahua'lam.

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Agama itu nasihat (diulang sebanyak 3 kali)." Mereka berkata: "Kepada siapa wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Kepada Allah, kitab-kitabNya, dan kepada para pemimpin kaum muslimin serta kepada seluruh ummatnya." (Hadis riwayat Tirmizi, berkata Abu 'Isa hadis hasan sahih)

Pada hari ini telah tersebarnya kitab-kitab ahli bid'ah dengan begitu banyak sekali, namun sebahagian orang mengatakan dibolehkan mengambil kebaikan-kebaikan yang terdapat dalam buku-buku mereka (ahli bid'ah). Dan ada juga yang mengatakan "Ambil kebenaran yang ada di dalamnya dan tinggalkan kebatilan yang ada di dalamnya." Benarkah demikian?

Syeikh Khalid bin Dhahwi Az-Zhufairi hafizahullah terdapat sebuah buku yang baik dalam menjawab permasalahan ini. Beliau berkata:

"Ya, kebenaran diambil dari semua orang yang mengatakannya. Salafus Soleh tidak pernah berhenti dalam menerima kebenaran. Walaupun demikian, mereka tidak mengatakan ambil kebenaran dari kitab-kitab pelaku bid'ah dan tinggalkan kebatilannya. Bahkan mereka dengan suara lantang menyeru agar meninggalkan kitab-kitab tersebut secara keseluruhan. Kebenaran yang ada dalam kitab-kitab para pelaku bid'ah itu berasal dari Al-Quran dan As-Sunnah, sehingga kita wajib mengambil kebenaran tersebut secara langsung menerusi sumbernya yang asli, yang tidak dicemari dengan keruhan dan kebid'ahan." (Ijma' Al-'Ulama 'Ala Al-Hajr wa At-Tahdzir Min Ahli Al-Ahwa, Khalid bin Dhahwi Azh-Zhufairi, Maktabah Al-Asholah, cet 2007, halaman 50)

Syeikh Abdurrahman bin Hasan rahimahullah berkata: "Barangsiapa mempunyai minat untuk mencari dalil-dalil kebenaran, maka hal tersebut ada dalam kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Kedua-duanya sudah mencukupi dan memuaskan. Kedua-duanya adalah senjata orang yang bertauhid dan istiqamah, sedangkan kitab-kitab Ahli Sunnah membantu untuk memahami kedua-dua kitab tersebut. Dan disisi kamu dari karya-karya syeikh kami rahimahullah apa yang dia telah cukupkan beserta harapan, maka wajib ke atas kamu untuk menjauhi ahli bid'ah dan mengingkari mereka." (Ad-Durar As-Saniyyah, 3/11)

Al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah berkata ketika ditanya tentang ilmu kalam dalam masalah nama-nama dan sifat-sifat Allah, dia berkata: "Itu adalah bid'ah yang diada-adakan, tidaklah terdapat dari para imam kaum muslimin dan tokoh-tokoh mazhab dan imam-imam agama seperti Malik, Sufyan, Al-Auza'i, Asy-Syafi'i, Ahmad, Ishak, Yahya bin Yahya, Ibn Al-Mubarak, Muhammad bin Yahya, Abu Hanifah, Muhammad bin Al-Hasan, dan Abu Yusuf yang berkata sedemikian. Mereka semua melarang dari mempelajarinya (ilmu kalam), dan menyeru kepada sahabat-sahabat mereka kepada Al-Kitab dan As-Sunnah. Maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari meneguknya (mempelajarinya) dan tidak melihat kitab-kitab mereka secara mutlak." (Al-Istiqamah, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, 1/108)

Al-Imam Abdullah bin Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata: "Aku mendengar ayahku (Imam Ahmad) berkata, 'Salam bin Abi Muti' termasuk kalangan orang-orang yang tsiqah (terpecaya). Ibnu Mahdi menceritakan kepada kami darinya, kemudian ayahku mengatakan bahawa dahulu Abu Awanah pernah mengarang suatu kitab yang terdapat aib-aib para sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, dan di dalamnya juga banyak kesalahan. Kemudian datang Salam bin Abi Muti' kemudian berkata: Wahai Abu 'Awanah, berikan kitab itu kepadaku. Kemudian dia memberikan kitab itu kepadanya. Maka Salam mengambil kitab itu dan membakarnya. Ayahku mengatakan bahawa Salam termasuk pengikut Ayyub yang dia  adalah seorang lelaki yang soleh." (Al-'Ilal Wa Ma'rifah Ar-Rijal, 1/253-254)

Dan dari Al-Fadl bin Ziyad, ditanyakan kepadanya akan perbuatan Salam bin Abi Muti', maka dia berkata kepada Abu Abdullah (Imam Ahmad): "Aku berharap perkara tersebut tidak memudaratkan sesuatu pun, Insya-Allah?" Maka Abu Abdullah berkata: "Memudaratkan? Bahkan dia diberi pahala, Insya-Allah." (As-Sunnah, Al-Khallal, 3/511)

Dan Al-Fadl bin Ziyad berkata: "Aku bertanya kepada Abu Abdullah (Imam Ahmad) tentang Karabisi dan apa yang telah dilakukannya? Maka berubahlah raut wajah beliau, kemudian berkata: "Sesungguhnya musibah datang kepada mereka kerana kitab-kitab yang mereka karang, mereka banyak meninggalkan atsar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya dan banyak menerima kitab-kitab tersebut." (Al-Ma'rifah Wa At-Tarikh, Al-Fasawi, 3/494)

Abu Muhammad bin Abu Hatim berkata: "Aku mendengar ayahku dan Abu Zur'ah memerintahkan untuk menjauhi (memulaukan) pembuat kesesatan dan kebid'ahan (اهل زيغ والبدع), mereka menguatkan perintah tersebut dengan sekuat-kuatnya, dan mereka mengingkari meletakkan (mengarang) kitab berdasarkan Rakyi (pendapat akal) tanpa ada atsar (hadis), mereka melarang menghadiri majlis ahli kalam dan melarang melihat kitab-kitab mereka." Mereka berdua berkata: "Tidak akan berjaya ahli kalam sampai bila-bila." (Syarah Usul I'tiqad Ahlis Sunnah, Al-Lalikai, 1/197-202)

Dia berkata lagi: "Dan aku dapati di dalam kitab Abu Hatim Muhammad bin Idris bin Mundzir Al-Handzali Ar-Razi rahimahullah yang mana aku juga mendengar darinya berkata: Mazhab dan pendapat yang kami pilih adalah mengikuti Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, para sahabatnya, para tabi'in, dan orang-orang setelah mereka yang mengikutinya dengan baik, tidak mahu memandang kepada kitab-kitab yang menerangkan bid'ah-bid'ah mereka serta berpegang teguh kepada mazhab ahli atsar. Juga meninggalkan pemikiran orang-orang yang senantiasa membuat kesamaran, kebimbangan dan kedustaan, dan juga meninggalkan dari melihat kitab-kitab Al-Karabisi serta menjauhi orang-orang yang mendokongnya dari kalangan sahabat-sahabatnya." (Ibid, 1/180)

Al-Hafiz Abu Utsman Sa'id bin Amr Al-Barda'i berkata: "Aku pernah melihat Abu Zur'ah ditanya tentang Al-Harits Al-Muhasibi dan kitab-kitabnya. Beliau menjawab: Kamu harus menjauhi kitab-kitabnya kerana kitab-kitabnya itu mengandungi bid'ah dan kesesatan. Hendaklah kamu berpegang dengan atsar kerana sesungguhnya kamu akan dapati di dalamnya apa yang mencukupkanmu dari kitab tersebut."

Lalu dia ditanya: "Di dalam kitab ini ada pengajaran." Maka dia menjawab: "Barangsiapa yang tidak mengambil pengajaran dari Kitabullah, maka dia tidak mungkin akan dapat mengambil pengajaran dari kitab-kitab tersebut. Telah sampai kepada kamu bahawa Anas bin Malik, Sufyan Ats-Tsauri, Al-Auza'i, dan para imam yang terdahulu mengklasifikasikan kitab-kitab tersebut sebagai kitab-kitab yang berbahaya, dan mengandung was-was pada jenis ini?! Mereka itulah golongan yang menyelisihi Ahlul Ilmi... Kemudian dia berkata: "Alangkah cepatnya manusia terjerumus ke dalam bid'ah." (Kitab Adh-Dhu'afa, Abu Zur'ah, dibawa kitab; Abu Zur'ah Ar-Razi wa Juhuduhu fis Sunnah An-Nabawiyah, 2/561-562)

Az-Zahabi memberi komentar: "Siapakah yang sama seperti Harits? Bagaimana sekiranya Abu Zur'ah melihat karya-karya orang-orang yang keterbelakangan seperti "Al-Qut" karya Abu Tholib. Dan manakah yang sama seperti Al-Qut! Bagaimana sekiranya Abu Zur'ah melihat kitab "Bahjatul Asrar" karya Ibnu Jahdham dan "Haqaiqut Tafsir" karya As-Sulami, pasti akan melayang fikirannya. Bagaimana pula kalau beliau melihat karya Abu Hamid Ath-Thusi (Al-Ghazali) yang menulis hadis-hadis yang menurut kami adalah hadis yang tidak layak digunakan, sebagaimana termaktub dalam kitab "Al-Ihya"? Juga kitab Al-Ghaniyyah karya Syeikh Abdul Qadir dan kitab "Fususul Hikam" dan "Futuhat Al-Makiyyah"?!

Bahkan ketika mana Al-Harits berbicara kepada kaumnya, pada waktu itu telah ada ribuan ahli hadis, seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Rahawaih. Setalah dia menjadi ahli hadis seperti Ibnu Dakhmis dan Ibnu Syahanah, maka dia menjadi Qutbul 'Arifin seperti pengarang kitab Al-Fusus serta Ibnu Sufyan. Kita memohon keampunan dan keluasan kepada Allah Ta'ala. Amin." (Mizan I'tidal, 1/134)

Syeikh Rabi' bin Hadi Al-Madkhali hafizahullah justeru memberi komentar terhadap perkataan Az-Zahabi di atas ini:

"Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada Al-Imam Az-Zahabi, bagaimana sekiranya beliau melihat kitab-kitab lainnya seperti "Ath-Thabaqat" karya Asy-Sya'rani, "Jawahirul Ma'ani" dan "Bulughul Amani fi Faidil 'Abbas At-Tijani" karya Ali bin Hirazim Al-Fasi, "Khazinatul Asrar" karya Muhammad Haqqi An-Nazili dan "Nurul Absar" karya Syalanbijani, kitab "Syawahidul Haq Fi Jawazil Istighatsah bi Saayyidil Khalq wa Jami'ul Karamat" karya An-Nabhani?! Kitab "Tablighin Nishan" dan lain-lain yang sejenisnya dari kitab-kitab pengikut sufiyah? Bagaimana kalau beliau melihat kitab-kitab tulisan orang-orang zaman ini, seperti Muhammad Ghazali yang dia menyerang As-Sunnah An-Nabiwiyah dan dia mengejek-ngejek dari kalangan pemuda-pemuda salafi yang berpegang teguh dengan Sunnah Nabi tersebut, serta memburuk-burukkan mereka dengan berbagai-bagai laqab (gelaran)?! Bagaimana sekiranya beliau melihat tulisan-tulisan Al-Maududi yang mempunyai penyelewengan pada aqidah, pemikiran, dan akhlaknya?! Bagaimana pula sekiranya beliau melihat tulisan-tulisan Al-Qardhawi yang membela ahlul bid'ah dan membantu untuk memenangkan mereka, bahkan dijelaskan usul-usulnya dan dia adalah orang yang mengikuti jejak Imam Ghazali, bahkan dia lebih teruk lagi?! Bagaimana sekiranya beliau melihat para da'i di zaman kami yang telah menerima kitab-kitab yang menyimpang ini, dan mereka berjalan bersama pemuda-pemuda dan pengikut-pengikut mereka di atas manhaj perpecahan yang menyeleweng lagi sesat. Bahkan dia menyebut (menerima pakai) pendapat yang sesat, dan dia daripada orang-orang yang berbuat bid'ah?! Bagaimana sekiranya beliau melihat tulisan-tulisan Al-Kautsari dan muridnya iaitu Abu Ghuddah dan saudara-saudaranya dari kalangan pembesar-pembesar orang yang fanatik terhadap sufi dan mazhabnya?! Bagaimana pula sekiranya beliau melihat tulisan-tulisan Al-Buti dan yang semisalnya dari kalangan orang-orang yang memusuhi Sunnah, memusuhi madrasah tauhid dan madrasah Ibn Taimiyyah?! Bagaimana pula sekiranya beliau melihat pemuda-pemuda umat ini bahkan termasuk pemuda-pemuda tauhid, jahilnya mereka akan manhaj salaf bahkan jahil dari kitab dan sunnah, dan mereka menerima pula kitab-kitab tersebut yang boleh membinasakan?!" (Lihat Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Fi Naqd Ar-Rijal wa Kutub At-Tawaif, halaman 135-136)

Demikianlah para ulama mereka sangat menitik beratkan perkara ini. Mereka berusaha menjauhi kitab-kitab ahli bid'ah dan para pelopor kesesatan. Mereka tidak berkompromi dalam menerima buku-buku mereka walaupun terdapat kebaikan di dalamnya. Ini kerana keburukan dan mudaratnya jauh lebih besar daripada kebaikannya. Saksikanlah sendiri pada hari ini ramai di antara mereka yang terjatuh dijurang kebid'ahan di sebabkan terpengaruh dengan warna-warna yang dihiasi oleh ahli bid'ah yang mempersonakan mata dengan sekali pandang. Namun, hakikatnya ia melahamnya sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terus tersungkur dan tidak mungkin akan berpatah balik kepangkal kecuali bagi mereka yang dikehendakiNya.

Imam Al-Barbahari rahimahullah berkata: "Jauhilah setiap perkara bid'ah walaupun sekecil-kecilnya kerana bid'ah yang kecil lambat laun akan menjadi besar. Demikian pula kebid'ahan yang terjadi pada umat ini berasal dari perkara kecil dan remeh seakan-akan menyerupai kebenaran, sehingga banyak orang terpedaya, lalu mengikat hati mereka sehingga susah untuk keluar dari jeratan dan akhirnya mendarah daging lalu diyakini sebagai agama. Tanpa disedari, perlahan-lahan mereka menyelisihi jalan yang lurus..." (Syarhus Sunnah, Al-Barbahari, no: 7. Lihat Tahqiq Khalid bin Qasim Ar-Roddadi)

Beliau berkata lagi: "Jika anda melihat seseorang bersungguh-sungguh dalam beribadah, namun dia merupakan ahli bid'ah, maka janganlah duduk dan bergaul bersamanya, mendengar ucapannya, dan berjalan bersamanya kerana aku khuatir anda akan mengikutinya sehingga anda hancur bersamanya." (Syarhus Sunnah, no: 149)

Beliau juga berkata: "Perumpamaan ahli bid'ah adalah seperti seekor kalajengking, kepala dan badannya berada di dalam tanah namun ekornya terkeluar. Ketika ada kesempatan ia akan menyengat pemangsa dengan bisanya." (Thabaqat Al-Hanabilah, 2/44)

Fudhail bin 'Iyadh rahimahullah berkata: "Barangsiapa mengagungkan pelaku bid'ah, maka dia telah membantu menghancurkan Islam. Barangsiapa yang senyum terhadap ahli bid'ah, maka dia telah meremehkan apa yang Allah turunkan kepada Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Barangsiapa menikahkan anaknya dengan ahli bid'ah, maka dia telah memutus hubungan kerabatnya. Barangsiapa menghantarkan jenazahnya (ahli bid'ah), maka dia senantiasa dalam kemurkaan Allah sehingga kembali pulang" (Syarhus Sunnah, Al-Barbahari, no: 170)

Beliau juga berkata: "Janganlah anda duduk-duduk bersama-sama ahli bid'ah, kerana saya takut jika Allah akan menurunkan ke atasmu laknat." (Syarhus Sunnah, no: 170)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya manusia bila melihat kemungkaran dan tidak mengubahnya maka dikhuatirkan Allah akan menyamaratakan siksaNya kepada mereka semua." (Hadis riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)

Apa yang dikatakan oleh Imam Al-Barbahari di atas sesuai dengan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di atas ini kerana bid'ah termasuk dalam kategori kemungkaran yang mesti dicegah. Namun apabila seseorang hanya melihat kemungkaran (yakni bid'ah) tersebut dijalankan tanpa mencegahnya dengan kuasa atau lisannya atau setidak-tidaknya ia tidak meredainya, maka bagaimana kiranya jika ia meredainya!!

Oleh yang demikian, pelajarilah ilmu daripada ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jamaah As-Salafiyah yang bersih manhaj dan fikrahnya. Jauhilah mereka yang tercemar dari kekotoran syirik, khurafat dan bid'ah-bid'ah yang semua itu hanya akan menyesatkan pengikutnya dari jalan al-Haq. Sebahagian mereka yang terkeliru dengan mengatakan "Bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan" kaedah ini benar di satu sudut, namun di sudut yang lain ianya tidak benar.

Muhammad bin Sirrin rahimahullah berkata: "Sesungguhnya ilmu itu adalah agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama kamu." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Muqaddimah kitab Sahihnya)

Bukanlah ilmu itu bermakna boleh diambil dari sesiapa sahaja asalkan perkataannya itu benar. Namun kebenaran (sebagaimana telah diterangkan sebelum ini) itu diambil dari Al-Kitab dan As-Sunnah dengan pemahaman sahabat (salafussoleh) serta ianya dipegang dengan amanah oleh mereka yang terpecaya (tsiqah) dari zaman ke zaman sehinggalah pada akhirnya datanglah ketetapan Allah (hari kiamat). Yang benar adalah apabila yang diucapkan itu terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih, tidak mengira sama ada ianya pendapat Imam Asy-Syafi'i atau Imam Ahmad, maka didahulukan Al-Quran dan As-Sunnah tersebut di atas kalam mereka. Inilah pegangan para a`immah al-arba'ah (imam-imam mazhab yang empat) yang telah disepakati oleh seluruh ulama kaum muslimin dahulu dan sekarang.

Demikian juga janganlah terpedaya dengan ucapan  sesetengah mereka yang juga terkeliru dengan mengatakan "Teruskan menuntut ilmu dengan semua guru/buku rujukan". Padahal kita disuruh untuk mengambil ilmu dari ahli sunnah (bukan ahli bid'ah), bahkan ilmu itu hendaklah dituntut dengan cara belajar dari seorang yang alim ulama tidak hanya sebatas membaca kitab-kitab tanpa ada yang membimbingnya.

Syeikh Bakar Abdullah Abu Zaid rahimahullah berkata: "Pada dasarnya belajar itu mestilah dengan cara mendengar terus dari para guru, duduk bersama mereka, dan mendengar terus dari mulut-mulut mereka, bukan belajar sendiri dari kitab kerana belajar terus dari guru adalah mengambil nasab ilmu dari pembawa nasab ilmu yang berakal iaitu seorang guru. Adapun kalau belajar sendiri dari kitab, kitab itu hanyalah benda mati. Maka bagaimana mungkin nasab ilmunya akan bersambung?" (Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu, Pustaka Imam Asy-Syafi'i, halaman 98)

Syeikh Utsaimin rahimahullah berkata: "Terdapat ungkapan lain, iaitu barangsiapa yang menjadikan kitab sebagai petunjuknya, maka salahnya lebih banyak daripada benarnya. Inilah yang sering terjadi, meskipun ada, namun jarang seseorang yang benar-benar bersungguh-sungguh belajar terutama sekali bagi yang tidak menemui orang yang dapat mengajarinya, lalu dia berserah diri kepada Allah dan berjuang siang malam, nescaya dia akan mendapatkan ilmu meskipun tanpa guru." (Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu, Pustaka Imam Asy-Syafi'i, halaman 99-100)

Ibnu Khaldun rahimahullah pernah berkata dalam sebuah sya'ir-nya "Barangsiapa yang tidak belajar langsung dasar-dasar ilmu dari seorang ulama, maka kesimpulan-kesimpulan yang diyakininya dalam banyak masalah yang sulit (sukar) sebenarnya hanya dugaan semata-mata." (Al-Muqaddimah, halaman 551-554; Lihat Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu, Pustaka Imam Asy-Syafi'i, halaman102)

Imam Al-Barbahari berkata: "Ketahuilah semoga Allah merahmatimu, bahawa ilmu itu bukan kerana banyaknya riwayat dan kitab. Namun seorang alim itu hanyalah seorang yang mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah sekalipun sedikit ilmu dan kitabnya. Sesiapa sahaja yang menyelisihi Al-Quran dan As-Sunnah maka dia ahli bid'ah sekalipun banyak ilmu dan kitabnya." (Syarhus Sunnah, no: 103)

Demikianlah beberapa perkataan-perkataan ulama di atas yang dapat saya bawakan sebagai menjelaskan manhaj ahli sunnah terhadap ahli bid'ah. Nasihat saya kepada tolabul ilmi (penuntut ilmu) agar pelajarilah ilmu dari ahli sunnah, hindarilah percampuran bersama ahli bid'ah, dan jauhi perdebatan dengan mereka. Orang yang jahil tidak harus diajak berdiskusi, akan tetapi yang sepatutnya adalah mereka ini diajak untuk menuntut ilmu. Orang yang jahil sesekali tidak akan menerima sesuatu penjelasan yang tidak selari dengan hawa nafsunya, walaupun setelah ditunjukkan bukti-bukti dan dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah, kerana mereka tidak mengerti dan belum memahami asas-asas ilmu sehingga mereka akan senantiasa menjadikan perasaan mereka sebagai hujah dan dalih, yang dijadikan dalil-dalil mereka untuk menentang ahli sunnah, sama ada secara sedar mahupun tidak.

Akhir sekali saya ingin membawakan perkataan Syeikh Zaid bin Muhammad bin Hadi Al-Madkhali  hafizahullah di dalam kitabnya "Al-Irhab wa Atsaruhu 'Alal Afrad Wal Umam" pada penghujung kitab tersebut, beliau berkata:

"Sesungguhnya aku memuji kepada Engkau, Allah, Yang tiada sesembahan yang berhak disembah kecuali Dia. Kemudian aku ingatkan diriku dan diri kalian -dan peringatan itu akan membawa manfaat bagi kaum mukminin- dengan apa yang telah diketahui, bahawa wajib bagi individu (muslim dan muslimah -pent.) untuk menjaga lima perkara berikut ini, iaitu: agama, akal, kehormatan, darah dan harta. Manusia yang paling utama untuk menjaga perkara-perkara ini adalah umat Islam pada umumnya dan para penuntut ilmu khususnya. Dan jika demikian perkaranya, sesungguhnya telah didapati, di zaman kita saat ini, buku-buku dan selebaran serta kaset-kaset di toko-toko buku (penerbitan dan lain-lain, pent.) yang saya sebutkan: Majoritinya buku-buku tersebut dikedai-kedai perdagangan diperjual-belikan, seperti buku- buku karya Sayyid Qutub, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qardhawi, Abul A`la al-Maududi, Hasan al-Bannaa’, Muhammad Surur dan Muhammad Ahmad ar-Raasyid, Said Hawwa’, Salman al-‘Audah, Safar al-Hawali, Nashir al-‘Umr, ‘Aaidh a1-Qarni, Mahmud Abdul Halim dan Jasim al-Muhalhal serta murid-murid al-Bannaa’, keluarga Qutub dan orang yang seperti mereka dari setiap pimpinan atau orang-orang yang berintimaa’ (menyandarkan) kepada salah satu Firqah yang bertentangan dengan Manhaj Salaf di dalam banyak mahupun sedikit bab-bab keilmuan dan amalan di sepanjang masa ini." (Terorisme Dalam Tinjauan Islam, Maktabah Salafy Press, halaman 152-153)

Syeikh Zaid hafizahullah di dalam nota kakinya menambah: "Aku terlupa untuk mencantumkan Abu Ghuddah (nama beliau Abu Fattah Abu Ghuddah - peny) dan gurunya Muhammad Zahid Al-Kautsari (Al-Hanafi Al-Maturidi - peny) yang menikam kemuliaan para ulama sunnah dan untuk mengetahui serta menelaah tentang penyimpangan orang ini dan muridnya yang hati keduanya telah menyeleweng kepada perkara bid’ah, hendaklah merujuk kepada kitab Bara’atudz Dzimmah minal Waqii’ati fil Ulama’il Ummah oleh Bakr Abu Zaid -semoga Allah merahmatinya. Dengan Muqaddimah Samahatusy-Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah-." (Ibid, rujuk nota kaki)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...