Menghukum seseorang sebagai kafir atau fasik bukanlah hak kita.
Namun ianya adalah hak Allah dan RasulNya. Hukum ini termasuk
hukum-hukum syar'i yang mesti dikembalikan kepada kitabullah dan sunnah
RasulNya sehingga wajib untuk kita benar-benar memastikannya sebelum
menjatuhkan sesuatu hukum. Tidaklah seseorang itu dikafirkan kecuali
setelah dibuktikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Asal hukum seseorang
yang beragama Islam secara zahir dia adalah Islam sehingga benar-benar
telah dipastikan keislamannya itu telah hilang dari dirinya dengan
ukuran dalil-dalil syar'i.
Tidak boleh terlalu bermudah-mudahan menghukumi seseorang itu sebagai kafir atau fasik kerana terdapat dua bahaya besar:
(1) Mengada-adakan kedustaan terhadap Allah dalam pemberian hukum mahupun tentang orang yang dihukumi tersebut.
(2)
Orang yang bermudah-mudahan boleh terjatuh ke dalam tuduhan itu sendiri
jika ternyata orang yang dihukumi itu tidak kafir atau fasik.
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إذا كفر الرجل أخاه فقد باء بها أحدهما
"Apabila
seseorang mengkafirkan saudaranya (seislam), maka sesungguhnya salah
satu dari keduanya benar-benar akan kembali dengan kekafiran itu." (HR.
Muslim, Kitabul Iman)
Dalam riwayat lain:
إن كان كما وإلا رجعت عليه
"Apabila dia benar-benar kafir maka dia menjadi kafir, sekiranya tidak maka ia akan kembali kepadanya (yang menuduh)."
Dalam hadis lain dari Abu Dzar, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
ومن دعا رجلا بالكفر أو قال عدو الله وليس كذلك إلا حار عليه
"Barangsiapa
memanggil seseorang dengan sebutan "kafir" atau ia memanggilnya "musuh
Allah" sedangkan orang itu tidak demikian, maka tuduhan itu kembali
kepadanya." (HR. Muslim, Kitabul Iman)
Oleh kerana itu, sebelum menjatuhkan hukum kafir ke atas seseorang, wajiblah terlebih dahulu memperhatikan dua hal ini:
Pertama:
Al-Quran dan As-Sunnah menunjukkan bahawa sebuah ucapan atau sebuah
perbuatan menyebabkan kekufuran atau kefasikan pelaku tersebut.
Kedua:
Hukum tersebut mesti sesuai dengan individu tertentu yang mengucapkan
atau melakukan perbuatan kufur atau fasik dari segi kesempurnaan
syarat-syarat pengkafiran atau memfasikkan orang tersebut serta tidak
terdapat penghalang-penghalangnya. Di antara syarat-syarat terpenting
adalah bahawa orang tersebut mengetahui kesalahannya yang akan
menyebabkan dia menjadi kafir atau fasik. Ini berdasarkan firman Allah
Ta'ala:
وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى
وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى
وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
"Dan
barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan
mengikuti jalan-jalan selain orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa
terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke
dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali."
(An-Nisa': 115)
وَمَا
كَانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَوْمًا بَعْدَ إِذْ هَدَاهُمْ حَتَّى يُبَيِّنَ
لَهُمْ مَا يَتَّقُونَ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ . إِنَّ
اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَمَا
لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
"Dan
Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah
memberi petunjuk kepada mereka hingga Dia jelaskan kepada mereka apa
yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala
sesuatu. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia
yang menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan
penolong bagimu selain Allah." (At-Taubah: 115-116)
Di antara
perkara yang menghalang seseorang itu menjadi kafir atau fasik adalah
seseorang itu melakukan perbuatan yang menyebabkan kekufuran atau
kefasikan namun bukan dengan kehendaknya. Hal ini mempunyai beberapa
bentuk:
(1) Pelaku kekufuran atau kefasikan tersebut dipaksa,
sehingga dia melakukannya kerana keterpaksaan, bukan dalam keadaan
lapang. Bila begitu, maka dia tidak boleh dikafirkan, berdasarkan firman
Allah:
مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
(Maksudnya): "Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah
dia beriman (maka dia akan mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang
yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman dia tidak
berdosa). Akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafirannya,
maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar." (An-Nahl:
106)
(2) Fikiran orang tersebut sedang terbelenggu, sehingga dia
tidak tahu apa yang diucapkannya, mungkin kerana sangat gembira, sangat
sedih, sangat takut atau yang seumpamanya. Dalilnya adalah dari Anas
bin Malik, dia berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya
Allah lebih gembira terhadap taubat hambaNya katika bertaubat kepadaNya
daripada seseorang antara kamu yang berada di atas tunggangannya di
padang pasir luas, kemudian tunggangannya itu terlepas darinya, padahal
di atas tunggangannya itu terdapat makanan dan minumannya. Maka dia pun
berputus asa terhadap kenderaannya itu. Dia memdatangi sebuah pohon dan
berbaring di bawahnya. Dia telah berputus asa untuk mencari
tunggangannya itu. Pada waktu itu, tiba-tiba dia melihat tunggangannya
berdiri disampingnya. Lalu dia mengambil tali kekangnya kemudian berkata
kerana terlalu gembira: 'Ya Allah Engkau adalah hambaku dan aku
TuhanMu!' Dia telah berbuat kesalahan kerana terlalu gembira." (HR.
Muslim, Kitabut Taubat, no: 2747)
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah
rahimahullah berkata: "Tentang masalah pengkafiran, yang benar adalah
barangsiapa yang berijtihad di antara umat Muhammad sallallahu 'alaihi
wasallam dan menginginkan kebenaran namun keliru dalam ijtihadnya, maka
orang ini diampuni. Adapun orang yang sudah jelas baginya kebenaran yang
dibawa oleh Rasul, namun menentangnya setelah jelas petunjuk baginya,
dan dia mengikuti selain jalan orang-orang yang beriman, maka dia kafir.
Barangsiapa yang menuruti hawa nafsu dan tidak bersungguh-sungguh
mencari kebenaran serta berbicara tanpa ilmu, maka dia adalah seseorang
yang berbuat maksiat dan berdosa. Terkadang dia boleh menjadi fasik dan
terkadang pula dia mempunyai kebaikan-kebaikan yang lebih banyak dari
keburukannya." (Majmu' Fatawa, Ibnu Qasim, 12/180)
Beliau berkata
lagi: "Ucapan ini, meskipun di sisi lain -dan orang-orang yang
bermajlis dengan saya mengetahui sikap saya- bahawa saya termasuk orang
yang peling melarang menisbahkan seseorang kepada kekafiran, kefasikan
atau maksiat-maksiat, kecuali jika diketahui telah tertegak hujah
kerasulan -yang barangsiapa menyelisihinya boleh menjadi kafir atau
fasik atau bermaksiat- terhadap orang itu. Saya menyatakan bahawa Allah
telah mengampuni kekeliruan yang tidak disengajakan untuk umat ini.
Namun tidak pernah ada salah seorang pun dari mereka yang mempersaksikan
kekufuran dan kefasikan atau kemaksiatannya." (Majmu' Fatawa, 3/229)
Beliau
menjelaskan lagi: "Pengkafiran merupakan suatu bentuk ancaman kerana
meskipun suatu ucapan merupakan pendustaan terhadaahu 'alaihi wasallam,
namun terkadang orang yang mengucapkan itu baru sahaja memeluk agama
Islam, atau dia membesar di daerah yang jauh (dari ilmu). Orang yang
seperti ini tidak boleh dikafirkan kerana penentangannya, sehinggalah
tertegak hujah ke atasnya. Terkadang pula seseorang itu tidak pernah
mendengar nas-nas hujah tersebut, atau dia mendengar namun menurutnya
hujah tersebut tidak kuat. Atau pun menurutnya ada penghalang-penghalang
lain yang membantah hujah-hujah itu, yang mengharuskan nas itu
ditakwil, meskipun sebenarnya dia salah. Saya selalu ingat hadis dalam
Sahihain (riwayat Bukhari dan Muslim) tentang seseorang yang mengatakan:
"Apabila
aku mati maka bakarlah aku. Lalu hancurkan (tulang-tulangku) sehingga
halus, kemudian taburkan aku dilautan. Kerana demi Allah seandainya
nanti Allah dapat menguasaiku nescaya Dia akan mengazabku dengan siksaan
yang tidak pernah Dia timpakan kepada seorang pun di alam ini. Mereka
pun melakukan permintaannya. Kemudian Allah berfirman: "Apa yang
menjadikan engkau melakukan ini semua?" Dia menjawab: "Aku takut
kepada-Mu." Allah pun mengampuninya." (HR. Bukhari dalam Kitabut Tauhid,
no: 7506. Dan Muslim dalam Kitabut Taubah, no: 2756)
Ini
merupakan keraguan seseorang terhadap kemampuan Allah Ta'ala dan dengan
khabarNya bahawa Dia akan membangkitkannya apabila abunya telah
ditaburkan. Bahkan oarang ini berkeyakinan baha dia tidak akan
dibangkitkan. SIkap ini adalah sebuah kekufuran menurut kesepakatan kaum
muslimin. Namun orang tersebut jahil, tidak mengerti bahawa hal itu
adalah kekufuran. Dia adalah orang yang beriman, yang sangat takut Allah
yang akan menghukumnya sehingga Allah mengampuninya kerana hal
tersebut. Maka ahli ijtihad yang melakukan takwil namun bersemangat
dalam mengikuti Rasul, lebih layak mendapatkan pengampunan daripada
orang seperti tadi."
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata:
"Hukum asalnya sesuatu ucapan yang merupakan kekafiran berdasarkan
Al-Kitab, As-Sunnah dan ijma' tetap dikatakan sebagai sebuah kekafiran
-sebagai suatu ucapan yang mutlak- sebagaimana yang ditunjukkan oleh
dalil-dalil syar'i yang ada. Ini kerana keimanan termasuk dalam
hukum-hukum yang diambil dari Allah dan Rasul-Nya sallallahu 'alaihi
wasallam, bukan perkara yang dihukumi oleh manusia sendiri dengan
persangkaan-persangkaan dan hawa nafsu mereka. Dan mesti setiap orang
yang mengucapkan kekufuran itu dihukumi kafir, sehingga telah pasti
adanya syarat-syarat pengkafiran dan hilangnya penghalang pengkafiran
dari orang tersebut. Contohnya adalah orang yang mengatakan bahawa arak
atau riba adalah halal, kerana dia baru masuk Islam atau kerana dia
membesar di pedalaman yang jauh. Atau orang yang mendengar sebuah ucapan
lalu dia ingkari kerana tidak meyakini bahawa itu berasal dari Al-Quran
dan hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sebagaimana dahulu
sebahagian salaf mengingkari beberapa perkara sehingga telah pasti
berita itu bagi mereka Nabi yang mengucapkannya..." (Majmu' Fatawa
35/165)
Demikianlah penerangan syeikhul Islam berkenaan hukum mengkafirkan seseorang, pahadal beliau (Ibnu Taimiyah) sendiri sering dituduh
oleh golongan penentangnya sebagai kafir dan juga dituduh sebagai suka mengkafirkan umat
Islam (hakikatnya tidak). Perlu diingat, kita tidak boleh sesuka
hati mengkafirkan sesiapa pun selagi belum ditegakkan hujah kerasulan ke
atasnya termasuklah golongan yang suka mentakwil mahupun yang
mentafwidh (yakni golongan yang menyerah sebulat-bulatnya makna
sifat-sifat Allah dan mereka menjahilkan akan maknanya, lebih teruk
pendapat ini pula disandarkan kepada golongan salaf, padahal salaf jauh
dari pendapat tersebut - Wallahua'lam). Mereka yang telah berbuat
kesilapan dan memiliki penghalang untuk dikafirkan perlu dijelaskan
dengan penjelasan yang sesungguhnya.
Firman Allah Ta'ala:
لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
(Maksudnya): "Supaya tidak ada alasan lagi bagi manusia untuk membantah Allah setelah datangnya Rasul-rasul itu." (An-Nisa: 165)
Namun
jika kebenaran telah tertegak ke atasnya, tetapi dia masih lagi
mengikuti keyakinannya sendiri atau kerana mengikuti seseorang yang dia
agungkan, maka orang tersebut berhak mendapat konsekuensi atas
perselisihannya iaitu berupa kekafiran atau kefasikan.
Hendaklah
seorang mukmin berhati-hati dari jalan yang ditempuh sebahagian orang
yang membangunkan keyakinan atau amalan mereka di atas mazhab-mazhab
tertentu. Apabila mereka mendapati nas-nas Al-Kitab dan As-Sunnah
berbeza dari mazhab mereka, maka dengan mudahnya mereka memalingkan atau
memesongkan nas-nas itu agar sesuai menurut mazhab mereka, sehingga
mereka menjadikan Al-Kitab dan As-Sunnah sebagai yang mengikuti bukan
yang diikuti. Sedangkan Allah berfirman:
وَلَوِ
اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ
وَمَنْ فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ
مُعْرِضُونَ
Maksudnya: "Andaikata kebenaran itu
menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan
semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada
mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu." (Al-Mukminun: 71)
Seorang
yang beriman mestilah berasa bangga dengan keyakinan dan pengamalan
yang di dirikan di atas Al-Kitab dan As-Sunnah sehingga setiap
masalahnya dipimpin dengan keduanya. Kedua-duanya adalah cahaya yang
menunjukkan jalan yang benar lagi lurus sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah di dalam KitabNya:
وَأَنَّ
هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ
فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ
Maksudnya: "Dan bahawa (yang Kami
perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan
janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu
akan mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu
diperintahkan oleh Allah dengannya agar kamu bertakwa." (Al-An'am: 153)
Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengikuti jalanNya yang lurus serta istiqamah terus di atas jalanNya sehinggalah ajal menjemput kita.
Wallahua'lam