Selasa, 10 Julai 2018

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU


Disediakan oleh: Mohd Safwan b. Mohd Rusydi

Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali mengatakan, “Ilmu yang bermanfaat adalah mempelajari Al-Quran dan sunnah serta memahami makna kandungan keduanya dengan pemahaman para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Demikian juga dalam masalah hukum halal dan haram, zuhud dan masalah hati, dan lain sebagainya”. (Fadhlu Ilmi Khalaf, hlm. 26).

Keutamaan-keutamaan ilmu agama sangatlah banyak, diantaranya:

• Ilmu adalah penyebab beroleh kebaikan di dunia dan akhirat

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, nescaya Allah akan fahamkannya di dalam (ilmu) agama.” (Muttafaq ‘alaihi)

• Ilmu sebagai benteng dari syubhat dan fitnah

Disebabkan ilmu kita akan dapat menjaga diri dari berbagai syubhat (kerancuan pemikiran) yang menyerang. Dengan ilmu juga kita dapat membantah hujah orang-orang yang ingin merosakkan agama.

• Ilmu adalah jalan menuju syurga

Dengan ilmu kita dapat beribadah dengan benar sehingga akan menyebabkan kita beroleh syurga Allah Subhanahu wa Ta’ala. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الجَنَّةِ

Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka akan Allah akan mempermudahkan jalannya baginya menuju syurga.” (HR. Muslim)


JALAN UNTUK MENDAPATKAN ILMU*

Jalan-jalan mendapatkan ilmu ada bermacam-macam cara. Antaranya:

1. Belajar melalui seorang guru dan ini merupakan jalan singkat (cepat).
2. Belajar melalui pembacaan kitab (buku) dan ini memerlukan usaha yang keras.
3. Belajar daripada suatu amalan yang masyhur dan ini adalah jalan orang-orang awam.

Contohnya, jika ditanya, “Dari mana engkau tahu solat itu ada lima waktu dan apa buktinya?” Maka dia pasti menjawab, “Semua orang melaksanakan solat lima waktu.”

Cara Bertalaqqi (berguru)

Muhammad bin Sirrin rahimahullah berkata: "Sesungguhnya ilmu itu adalah agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama kamu." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Muqaddimah kitab Sahihnya)


Bertalaqqi atau bertemu dengan seorang guru mempelajari ilmu darinya merupakan cara yang terbaik dalam mempelajari berbagai permasalahan ilmu terutamanya yang kompleks dan perkara-perkara asas. Dengan berguru akan lebih mudah diraih ilmu tersebut. Ini kerana seorang guru memiliki ilmu apa yang tidak dimiliki oleh seorang pelajar (penuntut ilmu). Kita akan dapati pada seorang guru itu telah terkumpul dalam dirinya berbagai cabang ilmu dari segenap sudut. Oleh kerana itu, seorang guru apabila dia menyampaikan ilmu kepada pelajar, maka dia menyampaikannya dengan cara yang “lebih matang” sehingga akhirnya seorang pelajar terasa lebih mudah.   

Sebagai contoh, jika engkau ingin mengetahui sesuatu hukum yang terdapat di dalamnya perselisihan pendapat dikalangan ulama, bagaimana caranya untuk menentukan mana yang lebih benar? Jika kita lakukannya tanpa seorang guru, tentu kita terpaksa membuka satu persatu kitab, menelaah dan membacanya. Itu pun, boleh jadi apa yang kita baca belum tentu betul dengan apa yang kita fahami.  Maka dengan cara bertalaqqi ini akan memudahkan jalan, membuka pintu penelitian serta ijtihad.



Memilih Guru



Syeikh Bakar Abdullah Abu Zaid rahimahullah berkata: "Pada dasarnya belajar itu mestilah dengan cara mendengar terus dari para guru, duduk bersama mereka, dan mendengar terus dari mulut-mulut mereka, bukan belajar sendiri dari kitab kerana belajar terus dari guru adalah mengambil nasab ilmu dari pembawa nasab ilmu yang berakal iaitu seorang guru.” (Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu, Syeikh Uthaimin)


Jalan bertalaqqi mengandungi apa yang dikatakan sebagai “duri yang bercabang” yakni jika tertusuk jarum peniti ke dalam kulit, masih mudah untuk mengeluarkannya, tetapi jika duri yang bercabang menusuk ke dalam kulit, maka cabang durinya ada di berbagai-bagai arah, jika dicabut terus boleh jadi cabangnya akan patah sehingga lebih sukar untuk mengeluarkannya atau boleh jadi ianya terus berada di dalamnya.

Begitulah dalam bertalaqqi ada risiko dalam memilih seorang guru. Kriteria seorang guru yang perlu ada:

(1) Akidahnya sesuai dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan seorang yang rosak akidahnya.
(2) Baik agamanya ini kerana adakalanya seseorang mempunyai ilmu akan tetapi tidak memiliki agama seperti suka memperturutkan hawa nafsunya.

Pembacaan Kitab


Ibnu Khaldun rahimahullah pernah berkata dalam sebuah sya'ir-nya "Barangsiapa yang tidak belajar langsung dasar-dasar ilmu dari seorang ulama, maka kesimpulan-kesimpulan yang diyakininya dalam banyak masalah yang sulit (sukar) sebenarnya hanya dugaan semata-mata." (Al-Muqaddimah, halaman 551-554)



Jalan memperolehi ilmu dengan cara membaca memerlukan usaha yang keras. Sebahagian ulama berkata: “Sesiapa yang menjadikan kitab sebagai petunjuknya, maka kesalahannya lebih banyak daripada kebenarannya.” Ertinya bukan dia tidak memperolehi ilmu, akan tetapi dia akan sering keliru (tersalah). Jalan pembacaan kitab perlulah diawali dengan talaqqi terlebih dahulu, kecuali jika keadaan tidak mengizinkan, maka ‘darurat mengharuskan yang dilarang’ ertinya bolehlah membaca kitab-kitab dengan tetap bersabar hingga memperolehi sesuatu ilmu kemudian mengamalkan ilmu tersebut. Wallahua’lam

*Rujukan: Diolah semula dari Syarah Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Syeikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin rahimahullah pada Kitab Ilmu, Bab 10 “Bab Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal” halaman 292-293.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...