Rabu, 18 September 2013

KISAH DUA PEMILIK KEBUN



Gambar Hiasan



Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".

Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini".

Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa dia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku."

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata:

مَا شَآءَ اللهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

“Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah! Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah?”

Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".

Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"

Dan dia tidak mendapati sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan dia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

(Kisah dipetik dari terjemahan Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 32-46)

Kesimpulan daripada kisah ini:

1 – Kisah ini merupakah satu contoh diantara contoh-contoh kisah dan peristiwa yang sering berulang-ulang dalam masyarakat dan mungkin masih wujud pada suatu tempat dan masa.

2 – Allah memanjangkan usia orang yang kafir dan mengurniakan nikmat yang banyak kepadanya, bukan kerana redha kepadanya, tetapi sebagai ujian dan bala.

3 – Allah menguji seorang yang beriman dengan menyempitkan rezekinya dan menghalangnya daripada kesenangan dunia yang sementara, namun tidak bermakna Allah murka kepadanya.

4 – Allah SWT mengurniakan rezeki dan nikmat pemberian kepada hamba yang dicintaiNya atau yang dibenciNya. Namun Allah Ta’ala hanya mengurniakan agama hanya kepada hamba yang dicintaiNya sahaja.

5 – Keimanan merupakan penjamin keamanan bagi pemiliknya. Ketika berhadapan dengan orang-orang yang memiliki kesenangan dunia, pemilik keimanan tidak akan mudah merasa lemah, hina dan takut kepada pesaingnya, sebaliknya dia berusaha untuk mengajak agar pesaingnya bersama-samanya dalam memiliki keimanan dan menjauhi kesyirikan seperti menganggap kesenangan yang dirasai bukan berasal dari Tuhan yang telah mengurniakan kepadanya kesenangan itu.

Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada kisah ini..

Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai,
Kota Kinabalu

Isnin, 29 Julai 2013

Sudahkah Kita Menghafal Nama-Nama Anak Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam?

 Gambar Rajah: Anak-Anak Nabi

Anak-anak Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ada 7 orang semuanya. 3 lelaki dan 4 perempuan. Seluruhnya berasal dari Khadijah binti Khuwailid kecuali Ibrahim yang berasal dari Mariah Al-Qibtiyyah. Anak-anak baginda adalah:

(1) Al-Qasim. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam diberi kuniyah (gelaran) Abu Al-Qasim sempena nama anak sulung baginda.

(2) Zainab.

(3) Ruqayyah.

(4) Ummu Kultsum, dan

(5) Fatimah.

Setelah baginda shallallahu 'alaihi wasallam di angkat menjadi Nabi, maka baginda dikurniakan Abdullah. Abdullah juga disebut sebagai At-Toyyib At-Tohir kerana dilahirkan dalam Islam. Terdapat riwayat yang mengatakan namanya adalah Tohir, bukan Toyyib. Inilah pendapat yang disahihkan oleh sebahagian ulama.

Adapun anak baginda yang bernama Ibrahim dilahirkan di Madinah iaitu pada tahun ke-8 setelah hijrah. Ibrahim meninggal dunia setelah berumur 1 tahun 10 bulan. Oleh sebab itu, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Akan ada wanita yang menyusukannya di Syurga." (HR. Bukhari dan Muslim)

Semua anak-anak baginda meninggal dunia sebelum baginda wafat kecuali Fatimah radhiallahu 'anha yang meninggal dunia pada beberapa waktu selepas kewafatan baginda. Ada pendapat yang mengatakan 6 bulan selepas baginda wafat, menurut riwayat yang masyhur (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ada yang mengatakan 8 bulan, dalam riwayat lain 70 hari. Ada yang menyebut 75 hari. Ada yang mengatakn 3 bulan dan ada riwayat yang mengatakan 100 hari. Dan ada juga riwayat-riwayat yang menyebutkan selain itu.

Ketika Fatimah meninggal dunia, Saidina 'Ali radhiallahu 'anhu yang mensolatkan jenazahnya. Diriwayatkan bahawa Ali, 'Abbas dan Asma` binti Umais, isteri kepada Abu Bakar As-Siddiq serta Salma Ummu Raafie', yang merupakan bidan yang membantu kelahiran Fatimah adalah orang-orang yang memandikan Fatimah. Menurut Ibnu Katsir riwayat ini sahih di dalam kitabnya Al-Fusul fi Sirah Ar-Rasul.

Demikianlah sekilas, berkenaan anak-anak baginda shallallahu 'alaihi wasallam yang perlu kita ketahui selain mengetahui syariat yang baginda bawa. Pada hari ini, kebanyakan orang lebih kenal artis, riwayat hidup mereka, anak-anak mereka, atau kisah kahwin cerai mereka. Namun kisah Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang merupakan Nabi terakhir, siapakah isteri-isteri dan anak-anak baginda kita tidak ingat sedikit pun kecuali ketika tadika. Itupun hanyalah dari lagu-lagu nasyid yang diajarkan hanya sebagai hiburan pada waktu itu. Apabila meningkat dewasa, sirah serta nama-nama mereka habis luput semuanya dari ingatan. 

Ditulis oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Indah Permai, Kota Kinabalu  

* (Rujukan: Al-Fusul fi Sirah Ar-Rasul karya Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah. Beliau lahir pada tahun 701 Hijrah dan wafat pada tahun 774 Hijrah).

Sabtu, 6 Julai 2013

Hadis : “Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda amrad, rambutnya sangat kerinting dan lebat di dalam taman yang hijau.”

Oleh: Panel Kajian Ilmiah Laman Web Dorar.net
Terjemahan: Sohibul Fadilah Ustaz Idris bin Sulaiman

Sesetengah golongan bidaah menuduh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah sebagai Mujassim (mengatakan bahawa Allah bertubuh badan) kerana beliau mensahihkan Hadis:

” رَأَيْتُ رَبِّي فِي صُورَةِ شَابٍ أَمْرَدٍ لَهُ وَفْرَةُ جَعْدٍ قَطَطٍ في رَوْضَةٍ خَضْرَاء “

(Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda amrad (yang tidak bermisai dan tidak berjanggut), rambutnya sangat kerinting dan lebat di dalam taman yang hijau)

Bagi menjawab tuduhan ini, saya katakan:

Hadis ini diriwayatkan melalui dua jalur dengan lafaz-lafaz yang berbeza.

Jalur Riwayat yang Pertama: Daripada riwayat Qatadah, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhuma secara marfu’.

Antara lafaznya:

” أَنَّ مُحَمَّداً رَأى رَبَّهُ فِي صُورَةِ شَابٍ أَمْرَدٍ مِنْ دُونِهِ سِتْرٌ مِنْ لُؤْلُؤٍ، قَدَمَيْهِ ، أوْ قَالَ: رِجْلَيْهِ فِي خَضِرَةٍ “

(Bahawasanya Muhammad melihat Tuhannya dalam bentuk seorang lelaki tidak bermisai dan tidak berjanggut, dia dikelilingi mutiara dan kedua kakinya di atas rumput)

” رَأَيْتُ رَبِّي جَعْداً أَمْرَدٍ عَلَيْهِ حُلَّةٌ خَضْرَاءٍ “

(Aku melihat Tuhanku berambut kerinting, tidak bermisai, tidak berjanggut dan berpakaian cantik berwarna hijau)

” رَأيْتُ رَبِّي فِي صُورَةِ شَابٍّ أمْرَدٍ جَعْدٍ عَلَيْهِ حُلَّةٌ خَضْرَاءٌ “

(Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda yang tidak bermisai, tidak berjanggut, berambut kerinting dan berpakaian cantik berwarna hijau)

Hadis ini daripada jalur riwayat ini disahihkan oleh sebahagian ulama antara mereka:

    1. Imam Ahmad (المنتخب من علل الخلال , hlm. 282 dan ابطال التأويلات لأبي يعلى , 1/139).
    2. Abu Zur’ah Al-Razi (إبطال التأويلات لأبي يعلى  , 1/144 ) .
    3. Al-Tabarani (إبطال التأويلات لأبي يعلى  , 1/143 ) .
    4. Abu Al-Hasan bin Basyar ( إبطال التأويلات  , 1/142-143, 222) .
    5. Abu Ya’la (إبطال التأويلات  , 1/142-143, 222) .
    6. Ibnu Sadaqah (إبطال التأويلات , 1/144 ) .
    7. Ibnu Taimiyah ( بيان تلبيس الجهمية , 7/290,356 ) .

Sebahagian ulama yang lain mendaifkannya seperti Ibnu Al-Jauzi (العلل المتناهية , 1/36) dan Imam Al-Zahabi yang mengingkarinya (سير أعلام النبلاء  , 10/113 ). Al-Subki dalam   ( طبقات الشافعية الكبرى  , 2/312 ) berkata “Ia maudu’ (Palsu) dan satu pendustaan terhadap Rasulullah sallalahu alaihi wasallam. “

Jalur Riwayat yang Kedua: Daripada Hadis Marwan bin Uthman, daripada Ammarah bin Amir, daripada Al-Tufail isteri Ubai bin Kaab secara marfu’.

Antara lafaznya:

  ” رَأَيْتُ رَبِّي فِي المَنَامِ فِي صُورَةِ شَابٍّ مُوَقَّرٍ فِي خَضِرٍ، عَلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ، وَعَلَى وَجْهِهِ فِراشٌ مِنْ ذَهَبٍ “

(Aku melihat Tuhanku dalam mimpi dalam bentuk seorang pemuda yang dihormati, berpakaian kehijauan, berselipar emas dan atas mukanya selimut daripada emas).

” يُذْكَرُ أنَّهُ رَأى رَبَّهُ عِزَّ وَجَلَّ فِي المِنَامِ فِي صُورَةِ شَابٍّ مُوفَرٍ فِي خَضِرٍ عَلى فِرَاشٍ مِنْ ذَهَبٍ فِي رِجْلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ “

(Disebutkan bahawa beliau melihat Tuhannya dalam mimpi dalam bentuk seorang pemuda yang dihormati, berpakaian kehijauan, sedang duduk di atas selimut emas dan berselipar emas).

” أنَّهُ رَأى رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي النَّوْمِ فِي صُورَةِ شَابٍّ ذِي وَفْرَةٍ، قَدَمَاهُ فِي الخَضِرَةِ، عَلَيْهِ نَعْلانِ مِنْ ذَهَبٍ ، عَلَى وَجْهِهِ فِراشٌ مِنْ ذَهَبٍ “

(Bahawasanya beliau melihat Tuhannya dalam tidur dalam bentuk seorang pemuda yang berisi, kedua kakinya atas rumput yang hijau, berselipar emas dan atas mukanya selimut emas)

Hadis ini disahihkan oleh Al-Hassan bin Basyar dan Abu Ya’la dalam ( طبقات الحنابلة لأبي يعلى  , 2/59 ).

Sebahagian ulama yang lain mendaifkannya serta mengingkarinya seperti:

    1. Imam Ahmad ( المنتخب من علل الخلال لابن قدامة  , hlm. 284 ).
    2. Yahya bin Ma’in ( تاريخ بغداد للخطيب  , 13/311 ) .
    3. Al-Nasa’I ( العلل المتناهية لابن الجوزي  , 1/30 ) .
    4. Ibnu Hibban ( الثقات  , 5/245 ) .
    5. Al-Subki ( طبقات الشافعية الكبرى  , 2/312 ) .
    6. Ibnu Hajar (تهذيب التهذيب  , 10/86 ) .
    7. Al-Sayuti ( اللآلي المصنوعة  , 1/30) .
    8. Al-Syaukani ( الفوائد المجموعة  , hlm. 447) .

Semua para ulama yang mensahihkan hadis ini menetapkan bahawa ia adalah ‘rukyah’ mimpi dan bukan apa yang dilihat dengan mata kepala. Oleh itu, hadis ini tidak menimbulkan sebarang kemusykilan yang boleh digunakan oleh golongan hawa nafsu terhadap Ahli Sunnah.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam ‘Bayaan Talbiis Al-Jahmiyah’ (7/229) “Kesemuanya (riwayat-riwayat Hadis) menunjukkan bahawa ia adalah suatu ‘rukyah’ mimpi yang berlaku ketika Baginda di Madinah kecuali hadis Ikrimah daripada Ibnu Abbas. Dan para ulama telah menjadikan asal kedua-dua hadis itu (iaitu hadis daripada riwayat Ibnu Abbas dan Umm Al-Tufail) sebagai satu.”

Kata beliau lagi (Bayaan Talbis Al-Jahmiyah, 7/194), “Dan Imam Ahmad yang meriwayatkan hadis ini berterus-terang mengatakan bahawa ia adalah suatu ‘rukyah’ mimpi.”

Terdapat juga penegasan beliau bahawa Allah tidak boleh dilihat di dunia dengan mata kepala dalam kitab beliau ‘Minhaaj Al-Sunnah’ (2/313) yang mana ketika beliau menyanggah golongan Mujassimah (yang mengatakan bahawa Allah bertubuh badan) beliau berkata,”Mereka telah menghimpunkan apa yang dinafikan oleh Allah dan RasulNya sehingga mengatakan bahawa Allah boleh dilihat di dunia dengan mata kepala.”
Kata beliau dalam ‘Al-Wasiyyah Al-Kubra’ (hlm. 77), “Semua mereka yang mengatakan bahawa mereka telah melihat Tuhannya dengan mata kepalanya telah melakukan suatu kesilapan menurut ijmak para ulamak.”

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah tidak bersendirian dalam menafikan ketiadaan kemusykilan dalam hadis ini kerana ia adalah ‘rukyah’ mimpi. Terdapat para ulama lain yang turut berpendapat begitu. Antara mereka adalah:

  1. Berkata Imam Al-Zahabi dalam ‘Miizan Al-I’tidal’ (1/594), “Apa yang dilihat ini adalah ‘rukyah’ mimpi sekiranya (riwayat adalah) sahih.”
  2. Berkata Imam Al-Sayuuti dalam ‘Al-La’ali Al-Masnuu’ah’ (1/34), “Hadis ini sekiranya ditafsirkan sebagai suatu ‘rukyah’ mimpi maka tiada kemusykilan dalamnya.”
  3. Al-Ajluuni dalam ‘Kasyf Al-Khafaa’ (1/437) telah menukil kata-kata Al-Sayuuti di atas tanpa menafikannya.
  4. Al-Mu’allami dalam ‘Al-Tankiil’ (1/253) berkata, “Terdapat antara jalur-jalur riwayat Hadis ini yang menunjukkan bahawa ia adalah ‘rukyah’ mimpi malah antaranya secara jelas menetapkannya begitu. Sekiranya begitu, maka tertolaklah sanggahan yang ada terhadapnya secara total.”

Berkata Imam Al-Darimi dalam ‘Al-Naqdh A’la Al-Marisi‘ (2/738) tentang hadis ‘Tuhanku datang kepadaku dalam sebaik-baik keadaan’, “Apa yang dimaksudakan adalah dalam ‘rukyah’ mimpi dan Allah boleh dilihat dalam mimpi dalam apa jua keadaan dan bentuk.”

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam ‘Bayaan Talbis Al-Jahmiyah’ (1/325-328):

“Perkataan ‘rukyah’ (penglihatan) walaupun pada asalnya ia sepadan (dengan hakikat sesuatu itu- penterjemah) tetapi ada kalanya ia tidak sepadan. Sepertimana firmanNya:

أَفَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ فَرَآهُ حَسَنًا

(Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia melihatnya baik) (Fatir, 8).

FirmanNya:

يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ

(Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata mereka – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri) (Aali Imran, 13).

Boleh jadi sesuatu sangkaan atau bayangan itu menepati (hakikat sesuatu itu) daripada satu sudut walaupun pada realitinya ia tidak menepati hakikat sesuatu itu sepenuhnya. Sepertimana apa yang dilihat oleh manusia dalam mimpi mereka. Barangkali ketika jaga mereka melihat apa yang dilihat dalam mimpi sama ada sesuatu gambaran, perbuatan ataupun kata-kata. Ia adalah ibarat gambaran buat hakikat sesuatu itu. Sepertimana Nabi Yusuf melihat bintang-bintang, Matahari dan Bulan sujud kepadanya. Tidak syak bahawa ia adalah suatu yang digambarkannya sedangkan hakikatnya ia adalah perbuatan kedua ibubapa dan adik-beradiknya sujud kepadanya. Berkata Nabi Yusuf:

يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا

(“Wahai ayahku! Inilah Dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar) (Yosuf, 100).

Begitu juga dengan ‘rukyah’ mimpi si Raja yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf. Si Raja telah bermimpi melihat tangkai tumbuhan dan lembu walhal hakikat tafsirnya adalah kesuburan dan kemarau. Apa yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah benar sepertimana yang tergambar buatnya. Dengan erti kata lain apa yang dilihat dalam mimpi itu ada tafsirannya. Tafsirannya sesuai dengan apa yang dilihat dalam mimpi itu dan terdapat beberapa persamaan (antara apa yang dilihat dalam mimpi serta penafsirannya) daripada beberapa sudut. Sesungguhnya penafsiran mimpi kembali kepada qias, pengamatan, penyamaan dan kesesuaian. Maka sesiapa yang beranggapan bahawa apa yang tergambar dalam fikiran serta apa yang dikhayalkan dalam mimpi akan menepati realiti sesuatu itu di alam nyata sepadan dengan apa yang dilihat dengan mata kepala, dia telah silap. Sepertimana mereka yang beranggapan bahawa Matahari itu sendiri yang ada di langit serta bulan dan bintang telah keluar dari tempatnya untuk datang dan sujud kepada Nabi Yosuf dan memang terdapat tujuh lembu gemuk yang telah memakan tujuh lembu yang kurus. Jelas tanggapan ini adalah batil.

Atas dasar ini, boleh jadi seseorang itu bermimpi melihat tuhannya serta berbicara denganNya. Mimpi yang sebegini memang benar boleh berlaku. Tetapi orang itu tidak boleh beranggapan bahawa hakikat Allah adalah sepertimana yang dilihatnya dalam mimpinya itu. Ini kerana apa yang terbayang dalam mimpi tidak semestinya menyamai hakikat sesuatu itu. Tetapi apa yang digambarkan dalam mimpi perlu sesuai dan menepati dengan kepercayaannya terhadap tuhannya.

Sesuai dengan keimanan dan kepercayaannya, itulah yang tergambar buatnya dalam mimpinya. Sesetengah para ulama berkata, ‘sekiranya seseorang itu melihat tuhannya dalam suatu bentuk, bentuk itulah yang akan menjadi ‘hijab’ (pemisah) antara orang itu dan Allah.

Orang-orang soleh akan terus-menerus melihat Allah dalam tidur mereka serta berbicara denganNya. Saya beranggapan bahawa tidak akan ada yang mengingkari hal ini. Ini kerana ia adalah suatu yang tidak mungkin dapat dinafikan memandangkan suatu mimpi itu datang kepada seseorang tanpa pilihannya. Hal ini diakui oleh semua orang.

Para ulama Usuluddin daripada kalangan sahabat-sahabat kita dan selain mereka telah menyebutkan tentang golongan Muktazilah dan selain mereka yang mengingkari kemampuan melihat Allah. Walhal nukilan tentang mereka yang bermimpi melihat Allah dalam mimpi adalah mutawatir. Tetapi barangkali mereka beranggapan bahawa seseorang itu tidak boleh mempercayai bahawa dia melihat Allah dalam mimpinya. Makanya, mereka menganggap bahawa mimpi yang sebegini adalah karut semata-mata. Penafian mereka ini terhadap kebenaran ‘rukyah’ mimpi melihat Allah jelas suatu yang melampau. Kumpulan Jahmiah juga berpendapat sebegini. Pendapat ini adalah batil dan menyelisihi apa yang telah dipersetujui oleh Generasi Salaf serta ulama mereka. Malah, ia menyelisihi apa yang telah dipersetujui oleh semua mereka yang berakal daripada kalangan anak Adam.

Sesungguhnya ‘rukyah’ mimpi melihat Allah ketika tidur tidaklah menjadi kekurangan mahupun kecacatan terhadap Allah subhanahu wata’ala. Cuma ia bergantung kepada keadaan si orang yang bermimpi itu daripada sudut sejauh mana keimanan dan istiqamahnya.

Adapun kata-kata sebahagian orang bahwa apa jua yang terlintas dalam fikiran atau khayalan, maka Allah bersifat sebaliknya dan tidaklah bersifat sebegitu. Kata-kata ini ada benarnya. Kita tidak boleh beranggapan bahawa apa yang dikhayalkan oleh seseorang ketika mimpi atau jaga tentang bentuk Allah, maka Allah sememang bersifat begitu. Hakikat Allah tidak sebegitu. Malah bentuk jin dan malaikat pun tidak akan dapat dibayangkan oleh manusia mengikut bentuknya yang sebenar. Barangkali apa yang dibayangkan itu ada kesesuaian dan kesamaannya tetapi Allah ta’ala adalah Maha Agong dan Maha Besar.” Tamat kata-kata beliau.

Maka perbuatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mensahihkan hadis “Aku melihat Tuhanku dalam bentuk seorang pemuda yang tidak bermisai dan tidak berjanggut…” tidak bererti bahawa beliau mempercayai bahawa hakikat Allah adalah dalam bentuk seorang pemuda amrad yang tidak bermisai dan tidak berjanggut. Tetapi seperti mana kata beliau, “ Kita tidak boleh beranggapan bahawa apa yang dikhayalkan oleh seseorang ketika mimpi atau jaga tentang bentuk Allah, maka Allah sememang bersifat begitu. Hakikat Allah tidak sebegitu. Malah bentuk jin dan malaikat pun tidak akan dapat dibayangkan oleh manusia mengikut bentuknya yang sebenar.”

Bagaimana mungkin kita boleh mengatakan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah beranggapan bahawa Allah berbentuk seorang pemuda amrad? Maha suci Allah daripada itu. Beliau jauh sekali daripada beranggapan begitu. Ini kerana beliau hanya mensifatkan Allah seperti mana yang Allah sifatkan buat diriNya atau yang disifatkan oleh Rasulullah sallalahu alaihi wasallam.

Penjelasan dan sanggahan beliau terhadap golongan ‘Mujassimah’ (yang menganggap bahawa Allah bertubuh badan) banyak sekali.

Antaranya kata-kata beliau dalam ‘Minhaaj Al-Sunnah’ (2/313):

“Mereka yang menetapkan sifa-sifat Allah (daripada golongan Mujassimah) telah menghimpunkan (sifat-sifat)  yang telah dinafikan sendiri oleh Allah dan RasulNya. Mereka sehingga berkata: Allah boleh dilihat di dunia dengan mata kepala, berjabat tangan, memeluk, turun ke bumi, datang pada waktu siang hari Arafah dengan menaiki unta untuk memeluk jemaah Haji yang berjalan dan berjabat tangan dengan mereka yang berkenderaan. Ada antara mereka yang berkata: Allah boleh menyesal, menangis dan bersedih. Ada yang lain pula berkata: Allah berdarah daging. Inilah antara ungkapan mereka yang jelas menyamakan sifat Tuhan Pencipta yang Maha Agong dengan sifat manusia. Walhal Allah subhanahu wata’ala bebas daripada sifat-sifat yang khas buat makluknya. Sesungguhnya segala sifat yang khas buat makhluk adalah sifat yang serba kurang. Allah bebas dariapada segala kekurangan. Hanya kesempurnaan sahaja yang layak buatNya. Tidak ada yang menyamaiNya dalam kesempurnaan ini. Allah secara mutlaknya bebas daripada sebarang kekurangan dan bebas daripada sebarang tandingan.” Tamat kata-kata beliau.

Apakah seseorang yang menolak golongan Mujassimah dengan kata-kata yang sebegini boleh dianggap tergolongan dalam golongan Mujassimah juga? “Maha suci Engkau (Ya Allah) sungguh ini adalah satu dusta yang besar. ” (Al-Nur, 16). 
 
 
____________@@@____________

Sumber asal: http://www.dorar.net
Sumber terjemahan: http://mashoori.wordpress.com

Selasa, 25 Jun 2013

HUKUM NIAT PUASA RAMADHAN UNTUK SEBULAN

Fatwa Syeikh Muhammad bin Soleh Utsaimin

السؤال: هل كل يوم يصام في رمضان يحتاج إلى نية أم تكفي نية صيام الشهر كله؟

Soalan: Adakah seseorang yang berpuasa bulan ramadhan perlu meniatkan pada setiap hari atau cukup untuk niat untuk sebulan keseluruhannya?
 
Gambar Hiasan

 
الإجابة: يكفي في رمضان نية واحدة من أوله، لأن الصائم وإن لم ينو كل يوم بيومه في ليلته فقد كان ذلك في نيته من أول الشهر، ولكن لو قطع الصوم في أثناء الشهر لسفر أو مرض أو نحوه وجب عليه استئناف النية، لأنه قطعها بترك الصيام للسفر والمرض ونحوهما.

Jawapan: Memadai (puasa) ramadhan dengan sekali niat pada awalnya, kerana orang yang berpuasa jika tidak berniat pada setiap malam harinya maka sesungguhnya dia telah ada niatnya dari awal bulan. Akan tetapi sekiranya terputus puasanya pada hari kedua bulan tersebut kerana bermusafir atau sakit atau lain-lain sebab, maka wajib ke atasnya memulakan niat, kerana niatnya telah terputus dengan meninggalkan puasa kerana musafir, sakit dan selainnya.

Sumber: http://ar.islamway.net/fatwa/15796

Tambahan saya: Sebahagian ulama mewajibkan niat pada setiap malam adalah berdasarkan hadis:

من لم يبيت الصوم قبل الفجر فلا صيام له

"Barangsiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum fajar (subuh), maka tiada puasa baginya." (Riwayat Al-Khamsah)

As-Son'ani berkata: "Hadis ini menunjukkan bahawa tidak sah puasa kecuali jika berniat pada malam hari, iaitu dengan cara berniat pada malam hari untuk puasa esok hari. Waktu malam itu dikira bermula terbenamnya matahari (masuk waktu maghrib) hingga terbit fajar (masuk waktu subuh). Perkara ini disebabkan kerana puasa adalah perbuatan (amal ibadah) dan setiap perbuatan/perlakuan mesti mempunyai niat, sedangkan antara waktu siang hari dengan malam hari tidak terpisah dengan suatu pemisah yang jelas, oleh sebab itu permulaan puasa tidak akan jelas kecuali dengan adanya niat pada malam hari." (Subulus Salam)

Sedangkan hujah yang mengatakan bolehnya (harus) berniat puasa ramadhan untuk sebulan adalah berdasarkan hadis:

وإنما لكل امرئ ما نوى

"Dan bagi setiap seseorang itu (diterima atau ditolaknya amalannya itu) adalah berdasarkan apa yang diniatkannya." (Muttafaqun 'Alaih)

Ramadhan dianggap sebagai satu kesatuan ibadah, oleh sebab itu seseorang yang berbuka puasa pada malam hari tersebut boleh menjadi niatnya untuk hari esoknya kerana dengan berbuka puasa akan melahirkan keyakinan yang kuat untuk meneruskan puasa pada keesokan harinya. Wallahua'lam

Mudah-mudahan bermanfaat.

Ditulis oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah.

Ahad, 28 Oktober 2012

Sifat Kehambaan Membawa Ke Syurga





Gambar Hiasan

Belum pernah terdengar ditelinga kita ada dikalangan manusia yang tidak mahu masuk syurga melainkan orang yang tidak waras. Suara sumbang terkadang kedengaran seakan bermain-main menadakan “Kalau semua nak masuk syurga, jadi siapa yang nak masuk neraka?” Walaupun begitu hakikatnya penyumbang nada tersebut sendiri sebenarnya hendak memasuki syurga.

Kita renung sejenak, sebenarnya kita semua (manusia) sememangnya berasal dari syurga kerana bapa kita iaitu Nabi Adam 'alaihissalam asalnya dari syurga. Mengapa Allah menciptakan manusia dan memasukkannya ke dalam syurga lalu kemudian mengeluarkan semula mereka ke bumi yang merupakan asal kejadian diri mereka? Untuk mencari jawapannya, renungkanlah firman Allah Ta’ala ini:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Surah Al-Baqarah: 30)

Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui apa yang tidak diketahui oleh makhlukNya. Bumi merupakan tempat yang teristimewa bagi para rasul, nabi-nabi, wali-wali Allah dan orang-orang yang mendekatkan diri kepadaNya. Keistimewaan ini menjadi milik hambaNya kerana selalu memuji Tuhannya serta beribadah siang dan malam, meninggalkan hawa nafsu serta syahwatnya demi meraih kecintaan dan keredhaanNya. Berbeza dengan para malaikat yang sememangnya telah menjadi pekerjaan mereka beribadah tanpa ada sebarang tentangan dan dorongan nafsu yang menghasut mereka.

Namun begitu, dikalangan manusia memang ada yang tidak layak memasuki syurga kerana menuruti hawa nafsu dan syahwatnya serta meninggalkan fitrah kejadiannya iaitu tunduk dan patuh kepada aturan dan perintah Ilahi. Sikap sebahagian manusia inilah sebenarnya merupakan sebab dan hikmah kenapa Allah Ta’ala menurunkan nabi Adam 'alaihissalam serta keturunannya untuk tinggal di atas tanah asal kejadian mereka. Iaitu kerana ada dikalangan manusia yang tidak dapat masuk ke dalam syurga bersama para nabi, siddiqin, dan syuhada, namun mereka akan dimasukkan ke dalam neraka bersama syaitan durjana.  Sedangkan Allahlah yang lebih Maha Mengetahui akan hikmah sebenarnya.

Allah Ta’ala mencipta makhluk yang beraneka dan berjenis-jenis kemudian memuliakan Nabi Adam 'alaihissalam serta keturunannya di atas makhluk-makhlukNya yang lain. Kerana mereka adalah khalifah yang memerintah di atas muka bumi. Manusia menjadi mulia kerana sifat ubudiyah (kehambaan) mereka. Pernah suatu ketika, malaikat Jibril 'alaihissalam berkata kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Muhammad, Tuhanmu telah mengutuskan aku kepadamu.” Lalu dia bertanya: “Adakah engkau ingin Tuhanmu menjadikan engkau seorang raja atau hamba dan nabi? Bersikap tawadhuklah wahai Muhammad kepada Tuhanmu!” Nabi pun menjawab: “Aku memilih dijadikan hamba dan rasul.” (HR. Ahmad, 11/231 disahihkan oleh Ahmad Syakir, 12/142)

Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam memilih sebagai seorang hamba namun darjatnya tinggi dan mulia di sisi Allah kerana kesempurnaan sifat ubudiyah baginda kepada Allah Ta’ala. Ucapan “Maha suci Allah” digunakan kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai tanda kehormatan tertinggi kepada seorang hamba ini telah dirakamkan di dalam firman Allah Ta’ala:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa`: 1)

Ramai orang pada hari ini berlumba-lumba mencari pedoman hidup, ditengah-tengah kesibukan urusan dunia masih tetap meneruskan kegiatan ibadah dan dakwah. Tatkala imannya menurun, dia segera menaikkannya dengan amal dan kebaikan dengan cara mendatangi rumah-rumah Allah untuk menuntut ilmu dan beribadah. Ada pula sebahagian orang yang bila diingatkan tentang fitrah kejadian mereka, masih tetap berdegil dan berkeras kepala, tidak mahu melaksanakan tuntutan ke atas dirinya. Apabila musibah datang melanda, barulah tersedar dan ternganga. Tatkala mulutnya masin berbicara tanpa ilmu lagi angkuh, kemudian Allah mengujinya, lalu timbullah penyesalan.

Timbulnya perasaan angkuh seseorang dari mendengar sebarang nasihat yang datang kepadanya, adalah disebabkan tiada atau kurangnya sifat ubudiyah. Ubatilah ia dengan amal ibadah. Namun hendaklah dipastikan dahulu hendaklah dipastikan amal ibadah tersebut berdasarkan ilmu yang benar yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah menurut pemahaman salafus soleh agar amalan tersebut tidak menyimpang dan menyeleweng.

Beberapa ulama salaf pernah berkata: “Para penghuni syurga selamat dari siksaan neraka adalah kerana kemaafan dan keampunan Allah Ta’ala. Mereka masuk syurga kerana kemurahan, kenikmatan, dan keampunan Allah semata. Mereka membahagi-bahagikan tempat mereka di syurga sesuai dengan amal perbuatan mereka.”

Tahukah kita, apakah sebab kita dimasukkan ke dalam syurga? Adakah kerana amal soleh kita atau kerana rahmat Allah? Berdasarkan firman Allah Ta’ala

وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud: Dan (dikatakan lagi kepada mereka): "Inilah syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan". (Az-Zukhruf: 72)

Dalam ayat lain, firman Allah:

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud: Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan". (An-Nahl: 32)

Secara zahirnya, ayat-ayat di atas menunjukkan amal solehlah yang akan memasukkan seseorang ke dalam syurga. Namun dalam sebuah hadis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak seorang pun yang akan masuk ke dalam syurga kerana amalnya.” Lalu para sahabat pun bertanya: “Adakah engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda pun menjawab: “Begitu juga dengan aku.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa masuk syurga bukanlah imbalan dari amal seseorang. Seandainya bukan kerana limpahan kasih sayang Allah Ta’ala, maka tiada seorang pun yang akan masuk syurga. Jadi amal seorang hamba, meskipun tidak terbatas jumlahnya, bukan satu-satunya perkara yang mengharuskan dia masuk syurga, dan bukan pula masuk syurga itu sebagai ganti amalnya. Meskipun amal seorang hamba dilakukan sesuai dengan cara yang dicintai dan diredhai Allah Ta’ala, namun itu tidak dapat mengimbangi dan menyamai nikmat yang Allah Ta’ala limpahkan kepadanya di dunia. Bahkan, jika amal perbuatannya dihisab, maka itu hanya setimpal dengan sedikit nikmat Allah Ta’ala. Sedangkan, nikmat-nikmat Allah Ta’ala lain yang dia terima, masih memerlukan rasa syukur. Jadi Allah Ta’ala mengazabnya padahal dia telah berbuat kebajikan, maka itu bukanlah kezaliman dariNya atas orang tersebut. Apabila Allah Ta’ala memberikan rahmatNya kepada orang tersebut, maka rahmatNya itu jauh lebih baik dari amal perbuatannya.” (Miftah Darus Sa’adah, Ter. Kunci Kebahagiaan, halaman 30)

Dari Zaid bin Tsabit, Huzaifah dan lain-lain menyatakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Jika Allah berkehendak mengazab para penghuni syurga dan para penghuni bumiNya, Dia pasti mengazab mereka, dan itu bukanlah kezaliman dariNya atas mereka. Dan jika Allah memberi rahmatNya kepada mereka, maka rahmatNya lebih baik dari amal perbuatan mereka.” (HR. Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Hibban)

Ini menunjukkan masuknya seseorang ke dalam syurga bukanlah kerana amal solehnya semata-mata. Kemasukan seseorang hamba ke dalam syurga selain amal soleh juga kerana rahmatNya yang terkait dengan kehendakNya, selagi mana seseorang hamba itu tidak melakukan sebarang kezaliman terhadap diriNya. 

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Surah Luqman: 13)

Semoga dengan amal kita yang sedikit ini, kita diberikan kekuatan untuk tetap istiqamah melakukannya dan semoga dengan rahmat Allah Ta’ala kita dimasukkan ke dalam syurgaNya yang merupakan kampung asal kita. Wallahua’lam

(Mohd Safwan bin Mohd Rusydi - Selesai menulis di Kampung Lubok Weston, Beaufort)

Ahad, 12 Ogos 2012

MELAFAZKAN NIAT PADA PERMULAAN IBADAH


Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan:

نية الطهارة من وضوء أو غسل أو تيمم والصلاة والصيام والحج والزكاة والكفارات وغير ذلك من العبادات لا تفتقر إلى نطق اللسان باتفاق أئمة الإسلام . بل النية محلها القلب دون اللسان باتفاقهم فلو لفظ بلسانه غلطا بخلاف ما نوى فينن قلبه كان الاعتبار بما نوى لا بما لفظ ولم يذكر أحد في ذلك خلافا إلا أن بعض متأخري أصحاب الشافعي - رحمه الله - خرج وجها في ذلك وغلطه فيه أئمة أصحابه وكان سبب غلطه أن الشافعي قال :
.إن الصلاة لا بد من النطق في أولها
أراد الشافعي بذلك : التكبير الواجب في أولها فظن هذا الغالط أن الشافعي أراد النطق بالنية فغلطه أصحاب الشافعي جميعهم،
ولكن تنازع العلماء : هل يستحب التلفظ بالنية سرا أم لا ؟ هذا فيه قولان معروفان للفقهاء.
فقال طائفة من أصحاب أبي حنيفة والشافعي وأحمد : يستحب التلفظ بها ; كونه أوكد . وقالت طائفة من أصحاب مالك وأحمد وغيرهما : لا يستحب التلفظ بها ; لأن ذلك بدعة لم تنقل عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا عن أصحابه ولا أمر النبي صلى الله عليه وسلم أحدا من أمته أن يتلفظ بالنية ولا علم ذلك أحدا من المسلمين ولو كان هذا مشهورا مشروعا لم يهمله النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه مع أن الأمة مبتلاة به كل يوم وليلة .
وهذا القول أصح الأقوال . بل التلفظ بالنية نقص في العقل والدين . أما في الدين فلأنه بدعة . وأما في العقل فلأنه بمنزلة من يريد [ أن ] يأكل طعاما فيقول : نويت بوضع يدي في هذا الإناء أني أريد [ أن ] آخذ منه لقمة فأضعها في فمي فأمضغها ثم أبلعها لأشبع . مثل القائل الذي يقول : نويت أصلي فريضة هذه الصلاة المفروضة علي حاضر الوقت أربع ركعات في جماعة أداء لله تعالى . فهذا كله حمق وجهل وذلك أن النية بلاغ العلم فمتى علم العبد ما يفعله كان قد نواه ضرورة فلا يتصور مع وجود العلم بالعقل أن يفعل بلا نية ; ولا يمكن مع عدم العلم أن تحصل نية .
وقد اتفق الأئمة على أن الجهر بالنية وتكريرها ليس بمشروع بل من اعتاد ذلك فإنه ينبغي له أن يؤدب تأديبا يمنعه عن ذلك التعبد بالبدع وإيذاء الناس برفع صوته ; لأنه قد جاء الحديث : { أيها الناس كلكم يناجي ربه فلا يجهرن بعضكم على بعض بالقراءة } فكيف حال من يشوش على الناس بكلامه بغير قراءة ؟ بل يقول : نويت أصلي أصلي فريضة كذا وكذا في وقت كذا وكذا من الأفعال التي لم يشرعها رسول الله صلى الله عليه وسلم


“Niat bagi Wudhu, mandi (janabah), Tayammum, Solat, Puasa, Zakat, Kaffarah dan yang seumpamanya adalah termasuk ibadah. (akan tetapi) niat itu tidak memerlukan pengucapan lidah (melafazkannya) dengan kesepakatan para ulama Islam (Ijmak Ulama). Bahkan niat itu tempatnya adalah di dalam hati dengan kesepakatan para ulama juga. Seandainya seseorang melafazkan niat berbeza dengan apa yang ada di dalam hatinya kerana tersasul, maka yang dikira ialah apa yang ada di dalam hati bukan apa yang dilafazkan. 

Tidak ada seorangpun para ulama yang berbeza dalam menyebut perkara ini, melainkan sebahagian Ashab[1] Mutaakkhirin al-Syafie, yang mana mereka telah mengeluarkan satu wajah[2]membolehkan lafaz niat, akan tetapi para Imam Ashab Mazhab al-Syafe mendakwa cara pengeluaran itu adalah satu kekeliruan. Sebab yang membawa kepada kekeliruan ini apabila al-Syafie berkata:

إنَّ الصَّلَاةَ لَا بُدَّ مِنْ النُّطْقِ فِي أَوَّلِهَا

 (Maksudnya): “Sesungguhnya solat mestilah dengan penuturan (النُطْقُ) pada awalnya.” 

Yang dimaksudkan oleh al-Syafie dengan perkataannya ini ialah Takbir yang wajib dituturkan di awal solat, namun ada yang terkeliru menyangka al-Syafie memaksudkan dengan النُطْقُ itu ialah niat (iaitu melafazkan niat), oleh kerana itu kesemua (Imam) Ashab mazhab al-Syafie menyatakan ianya satu kesilapan.

Akan tetapi para ulama berbeza pandangan, apakah disunatkan melafazkan niat secara perlahan ataupun tidak? Terdapat dua pandangan yang masyhur di sisi ulama fekah. Sekumpulan ulama mazhab Abu Hanifah, al-Syafie dan Ahmad berpandangan: Disunatkan melafazkan niat (secara perlahan) dan ianya suatu yang dituntut. Sekumpulan ulama dari mazhab Malik, Ahmad dan lainnya berpendapat: tidak disunatkan melafazkan niat, kerana perbuatan ini adalah bid’ah, ia tidak dinukilkan dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, tidak juga dari para sahabat baginda. Baginda juga tidak pernah menyuruh seorangpun dari umat baginda untuk melafazkan niat, baginda juga tidak pernah mengajarkan lafaz niat kepada seorangpun dari kalangan umat Islam di zaman baginda. Sekiranya perkara ini suatu yang disyariatkan sudah tentu baginda tidak akan mengabaikannya demikian juga para sahabat baginda kerana perkara ini (niat) adalah perkara yang dilalui oleh umat Islam pada setiap hari dan malam.

Inilah pandangan yang lebih benar, bahkan melafazkan niat menunjukkan ada kekurangan pada akal dan agama. Kekurangan dari sudut agama kerana ia merupakan suatu bid’ah, adapun kekurangan dari sudut akal, ia sama seperti seseorang yang hendak makan, lalu dia berkata (melafazkan): Sahaja aku berniat dengan meletakkan tanganku ke dalam bekas makan ini bahawa aku hendak mengambil satu suap makanan darinya, kemudian aku meletakkannya di dalam mulutku, kemudian mengunyahnya dan seterusnya menelannya supaya aku kenyang.” Orang yang menyebut perkara ini sama dengan orang yang berkata: “Sahaja aku berniat untuk menunaikan solat yang difardhukan ke atas aku ini, di dalam waktunya, empat rakaat tunai kerana Allah Ta’ala.” Hal ini semua menunjukkan kekurang akal dan kejahilan, ianya kerana niat adalah apabila telah sampai pengetahuan, maka apabila seseorang mengetahui apa yang akan dilakukannya, ini bermakna dia semestinya telah berniat, tidak dapat digambarkan bagaimana seseorang telah tahu untuk melakukan sesuatu amalan tetapi melakukannya tanpa niat? Sama halnya tidak mungkin seseorang yang tidak tahu (tidak mahu) melakukan sesuatu untuk dia ada niat melakukan perkara tersebut.

Sesungguhnya telah sepakat semua para imam melafazkan niat dan mengulanginya bukanlah suatu yang disyariatkan, bahkan sesiapa yang terbiasa dengannya, ia sepatutnya diberi pengajaran yang dapat menghalangnya dari berterusan beribadah dengan perkara bid’ah dan menggangu orang lain dengan mengangkat suaranya, ini kerana hadis menyatakan: 

 أيها الناس كلكم يناجي ربه فلا يجهرن بعضكم على بعض بالقراءة

“Wahai sekelian manusia, semua kamu bermunajat kepada tuhannya, maka jangan sebahagian kamu menjelaskannya (melafazkan) beberapa bacaan.” 

Bagaimana pula keadaannya orang yang mengganggu orang ramai dengan perkataannya yang bukan merupakan bacaan (di dalam solat)? Sebaliknya ia hanya mengucapkan: “Sahaja aku solat, sahaja aku solat fardhu demikian demikian, waktu demikian demikian yang merupakan perbuatan yang tidak disyariatkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.” (Sila lihat Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Jilid 22, halaman 230-232. Cet: Dar al-‘Arabiah)


________________________________
[1] Ashab berdasarkan Mustalahat Mazhab al-Syafie ialah para Fuqaha’ dari kalangan ulama mazhab Syafie yang telah sampai ke tahap ilmu yang tinggi, sehingga mereka memiliki ijtihad-ijtihad fekah tersendiri, yang mereka keluarkan berdasarkan usul-usul al-Imam al-Syafie, dan mereka melakukan istinbat melalui pengamalan dengan kaedah-kaedah beliau. Oleh itu dalam perkara ini mereka dinisbahkan kepada al-Imam al-Syafie dan mazhab beliau. Namun dalam persoalan melafazkan niat, ia hanya pandangan Ashab yang kemudian dan pandangan ini dibantah oleh para Imam Ashab mazhab al-Syafie. Wallahu a’lam.

[2] Wajah (الوَجْهُ) berdasarkan Mustalahat Mazhab al-Syafie iaitulah pandangan Ashab mazhab al-Syafie, mereka mengeluarkannya dan mengistinbatkannya berdasarkan usul-usul dan kaedah-kaedah mazhab, terkadang juga mereka berijtihad dalam sebagaian wajah jika mereka tidak mengambil dari usulnya. (Sila lihat al-Majmu’, Mughniy al-Muhtaj dan Hasyiah Qalyubi)


𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...