Khamis, 23 Jun 2022

|Al-Muhkam & Al-Mutasyabih Disisi Ulama' Salaf: Kaitannya Dengan Ayat-Ayat Sifat|

Oleh: Ustaz Abdul Aziz


Sebelum memulakan perbahasan suka untuk saya menerangkan dahulu beberapa istilah penting bagi memudahkan lagi kefahaman. 

1.0 MAUQIF ULAMA' ULUM AL-QURAN TERHADAP ISU MUHKAM & MUTASYABIH

A)Tasaybuh 'Am: Ayat-Ayat AQ secara umumnya menyerupai satu sama lain dari sudut kejelasan makna dan kesatuan mesej yang disampaikan. 

B)Ihkam 'Am: Ayat-Ayat AQ secara umumnya jelas maknanya dan tiada kesamaran. Kesemuanya sama jelas, sama kemas, dan sama menakjubkan. 

Namun mereka berselisih pendapat sekitar apakah maksud Ihkam Khas & Tasyabuh Khas kepada banyak pendapat. Dua pendapat terkuat ialah:

C) Ihkam Khas ialah: 

Apa yang maknanya jelas dengan sendirinya dan tidak berhajat kepada penjelasan. 

pendapat kedua: Apa yang para ulama' mengetahui maknanya dan ia tidak samar bagi mereka. 

D) Tasyabuh Khas:

Apa yang berhajatkan kepada penjelasan kerana kesamaran maknanya. 

Pendapat kedua: Al-mutasyabih ialah perkara yang tiada sapa ketahuinya melainkan Allah. 

(Lihat Al-Masa'il Al-musytarakah Baina Ulum Al-quran Wa Usul Al- Fiqh) 

2.0 ISTILAH "TAKWIL" 

Yang Tahqiq ialah istilah takwil mempunyai tiga konotasi utama:

A) Sama erti dengan tafsir, iaitu penerangan makna. Atas sebab ini, nama tafsir Al-tabari ialah "Jami' Al-bayan 'An Takwil Ãyi Al-quran" 

B) Hakikat kepada sesuatu perkara. 

Ini disebutkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah di dalam banyak kitab beliau. Bahkan disebutkan juga oleh Sa'duddin Al-taftazani (792H). 

Kata Sa'duddin Al-taftazani (792H):

و حقيقة قولك تأولت شيئا، أنك تطلبت ما يؤول إليه من الحقيقة

(Haqiqat dari kata-kata anda "taawwaltu syai'a" ialah: anda menuntut pengetahuan tentang apa yang kembali padanya haqiqat suatu perkara itu) 

Lihat, Al-mutowwal 'Ala Talkhis Al-miftah, 197

Syawahid lughawiyyah bagi makna kedua ini terlalu banyak, boleh dirujuk Adhwa' Al-bayan untuk melihat sebahagian darinya.

C) Memalingkan makna zahir lafaz kepada makna majaz dengan qarinah. Ini yang masyhur disisi Usuliyyun & Mutakallimun.

Dari tiga makna ini, dua makna pertama ialah makna yang memang warid di dalam penggunaan orang-orang arab yang fasih di zaman ihtijaj. Manakala makna ketiga ialah istilah baharu yang hanya muncul sekitar kurun ke-3 hijrah serta menjadi masyhur pada zaman selepasnya.

Lalu, hanya makna pertama dan kedua sahaja yang boleh digunakan untuk menafsir lafaz "Takwil" di dalam Al-quran. Ini kerana kaedah yang masyhur di dalam ilmu Usul Tafsir:

"إنما يجوز توجيه معاني ما في كتاب ﷲ من الكلام إلى ما كان موجودا مثله في كلام العرب" 

(Yang semata-mata dibolehkan ialah memahami makna-makna kalam yang terdapat di dalam al-quran dengan mempadankannya dengan apa yang telahpun wujud sepertinya pada percakapan orang arab)

Disebutkan oleh Imam Al-mufassirin Al-tabari (lihat Jami' Al-bayan, 644/2) 

3.0 ANALISA TAFSIR AYAT-7 SURAH AL-IMRAN

Ayat ini menjadi fokus utama perbincangan para ulama ketika membahaskan makna muhkam dan mutasyabih. 

Firman Allah:

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ ۗ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ (7)

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Terdapat dua Qiraat yang Mutawatir pada ayat ini:

A)Qiraat Imam Nafi', Al-kisa'ie & Ya'qub: Waqaf pada Lafaz Al-jalalah/ﷲ

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَالرَّاسِخُونَ

I'rab bagi Qiraat ini:

Ya'lamu: Fi'il mudhori' marfu', 'Alamatu raf'ihi dhommah

Ta'wilahu: Maf'ul Bihi Mansub, Wahuwa Mudhof, Dan dhamirnya Fi mahal Al-jar Mudhof Ilaih. 

Illa: Adah Al-istithna'

Allah: Fa'il marfu'

Wa: Wau Li Al-isti'naf

Al-rasikhun: Mubtada'

Berdasarkan Qiraat ini, makna ayat akan menjadi hanya Allah sahaja yang tahu takwilan sebenar. 

B)Qiraat Imam Ibn Kathir, Khalaf, 'Asim, Abu 'Amru, Hamzah, Abdullah Bin 'Amir & Abu Ja'far: Wasal pada

 وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ

Ya'lamu: Fi'il mudhori' marfu', 'Alamatu raf'ihi dhommah

Ta'wilahu: Maf'ul Bihi Mansub, Wahuwa Mudhof, Dan dhamirnya Fi mahal Al-jar Mudhof Ilaih. 

Allah: Fa'il marfu'

Wa: Waw Al-'athof

Al-rasikhun: Ma'thuf terhadap Lafaz Al-jalalah.

Berdasarkan Qiraat ini, makna ayat akan menjadi "yang mempunyai ilmu terhadap takwilnya ialah Allah & juga orang-orang yang kukuh di dalam ilmu mereka". 

(Bagi taujih Al-Qiraat lihat Al-muktafa Fi Al-waqf Wa Al-ibtida' oleh Imam Abu 'Amru Al-dani 194-187) 

**Yang tahqiq ialah hakikatnya tiada kontradiksi diantara dua qiraat/tafsiran ini. Ini kerana pada Qiraat pertama, Mutasyabih ditafsirkan sebagai perkara yang disimpan pengetahuannya oleh Allah, manakala Muhkam ditafsirkan sebagai perkara yang memang boleh diketahui maknanya.

Manakala bagi Qiraat kedua, Mutasyabih ditafsirkan sebagai perkara yang samar-samar maknanya. Manakala Muhkam ditafsirkan sebagai perkara yang jelas maknanya. Lalu, yang mempunyai ilmu terhadap perkara yang samar-samar ialah Allah & juga para ulama' yang dikurniakan pada mereka pengetahuan yang kukuh.

Tafsiran Qiraat kedua ini dijelaskan di dalam hadith yang masyhur "yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang tidak diketahui oleh RAMAI manusia". Maksudnya, dari kalangan manusia ada segolongan kecil yang masih mempunyai ilmu terhadap perkara yang samar-samar.

Bagi melengkapkan lagi gambaran, kita ringkaskan dengan poin berikut:

C) Pada Qiraat pertama, maksud lafaz takwil ialah makna kedua yang kita telah bahaskan iaitu "hakikat suatu perkara" manakala lafaz Mutasyabih ialah "Perkara yang disimpan ilmunya oleh Allah" 

D) Pada Qiraat kedua, maksud lafaz takwil ialah "Tafsir/penerangan makna" manakala Mutasyabih ialah "perkara yang samar-samar maknanya"

(Ini ialah kesimpulan Imam Al-tabari, Ibn Taimiyyah di dalam Al-iklil, Al-syinqithi di dalam Adhwa' Al-bayan) 

Begitu juga ia pilihan Al-imam Al-mufassir Al-muhaqqiq Ibn 'Atiyyah (542H) di dalam Tafsir beliau, kata beliau:

هذه المسألة لو تؤملت قرب الخلاف فيها من الاتفاق

"Permasalahan ini jika diperhatikan betul-betul sebenarnya khilaf yang berlaku adalah sikit sahaja dan ia lebih hampir kepada kesepakatan"

(Al-muharrar Al-wajiz, 161/3)

4.0 YANG PERTAMA MENGANGGAP AYAT SIFAT SEBAGAI MUTASYABIH MAKNA

Setakat pencarian saya, dengan merujuk kepada:

1)Mausu'ah Al-tafsir Al-ma'thur

2)Kitab-kitab Tafsir yang Musnad seperti Al-tabari, Ibn Abi Hatim, Abdul Razzaq, Ibnul Jauzi(Zad Al-masir) & lain-lain. 

Saya tidak jumpai seorang salaf pun yang memasukkan ayat-ayat sifat sebagai Ayat-Ayat Mutasyabihat. Bahkan setakat pencarian, tokoh pertama yang mula mengkategorikan Ayat-Ayat Sifat sebagai ayat-ayat Mutasyabihat ialah Al-qadhi Abdul Jabbar Al-hamazani Al-muktazili (415H) di dalam kita beliau "Mutasyabih Al-quran". 

Begitu juga Al-hakim Al-jusyami Al-muktazili(494H) juga mengikuti jejak langkah Al-qadhi Abdul Jabbar ini di dalam Tafsir beliau (Al-Tahzib, 1099/2)

5.0 PENDIRIAN ULAMA' SALAF TERHADAP Ayat-Ayat SIFAT

Bagi ulama' salaf ayat-ayat tersebut jelas maknanya(Muhkam). Maka berikut ialah nas umum yang menjelaskan mauqif mereka:

1)Kata Khatib Ahli Al-sunnah Ibn Qutaibah Al-dinawari (276H)

فإنا لم نر المفسرين توقفوا عن شيء من القرآن فقالوا: هذا متشابه لا يعلمه إلا الله، بل أمروه كله على التفسير، حتى فسروا «الحروف المقطعة» في أوائل السور. 

"Kami tidak pernah lihat para ulama' tafsir berhenti dari menafsirkan mana-mana ayat pun di dalam Al-quran lalu berkata "ini mutasyabih, hanya Allah sahaja yang tahu maknanya". Bahkan kesemua ulama' tafsir itu melalukan semua ayat itu dengan menafsirkannya, bahkan huruf-huruf Muqotta'ah di awal surah pun ada yang menafsirkannya". 

(Takwil Musykil Al-quran, 144)

Keep in mind, bahawa Ibn Qutaibah sekarang sedang menghikayatkan keadaan para ulama' tafsir zaman beliau iaitu awal-pertengahan kurun ke-3 Hijrah. 

Jika ditanya, adakah Imam Ibn Qutaibah maksudkan juga ayat-ayat sifat di dalam statement diatas? 

Jawapannya: Ya, tentu sekali. Sebabkan statement inilah Al-qadhi Abu Ya'la nyatakan fasal khusus di dalam Ibthal Al-takwilat bahawa beliau tidak setuju dengan pendapat Ibn Qutaibah ini, bahkan ayat-ayat sifat patut ditafwidh secara total sahaja menurut beliau - Abu Ya'la-. 

2)Kata Syeikhul Islam Abu Uthman Al-sobuni (449H):

"Aku membaca surat yang ditulis oleh - Syeikhul Muhaddithin Wa Al-fuqaha' - Syeikh Abu Bakar Al-isma'ili (370H) kepada penduduk Jailan. 

نؤمن بذلك كله على ما جاء بلا كيف، فلو شاء - سبحانه - أن يبين لنا كيفية ذلك فعل، فانتهينا إلى ما أحكمه و كففنا عن الذي يتشابه

"Kami beriman dengan sifat Nuzul bagi Allah, kami beriman dengannya sepertimana yang ia datang di dalam hadith tanpa membagaimanakannya, sekiranya Allah kehendaki untuk menjelaskan kepada kita kaifiyyat sifat tersebut nescaya Dia akan lakukan. Maka kami berhenti pada apa yang jelas dari hadith dan kami menahan diri kami pada apa yang Mutasyabih darinya"

(Aqidah Al-salaf Wa Asbab Al-hadith, 192H)

Nas yang cantik ini menerangkan dengan jelas mauqif salaf terhadap Ayat sifat. Secara zahir kalam beliau kita boleh fahami dua perkara:

A)Makna ayat sifat adalah jelas(Muhkam)

B)Kaifiyyat serta Haqiqat sifat adalah tidak diketahui hakikatnya (Mutasyabih) 

3)Imam Abdul Aziz Al-majisyun (164H) - diantara Fuqaha' dan imam hadith thiqah di Madinah-

 فعمي عن البين بالخفي بجحد ما سمى الرب من نفسه. 

" mereka itu telah buta dari yang jelas (ayat-ayat sifat) dengan yang tidak jelas dengan mengingkari apa yang Allah namakan diriNya sendiri" 

Siyaq petikan ini ialah tentang ayat-ayat sifat, boleh rujuk rujukan dibawah untuk melihat ayat sifat yang disebut. 

(Diriwayatkan oleh Ibn Battah di dalam Al-ibanah, 63/3 & Adz-zahabi melalui jalan Al-athram di dalam Al-Siyar & Al-'uluw 141. Dinilai sahih sanadnya oleh imam Adz-zahabi) 

4)Imam Al-mufassirin Al-tabari (310H), ketika menafsirkan ayat 

والعجب ممن أنكر المعنى المفهوم من كلام العرب في تأويل قول ﷲ" ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ" الذي هو بمعنى العلو والارتفاع

"amat hairan dengan mereka yang mengingkari makna yang difahami dari kalam arab pada menafsirkan ayat:" ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ" yang maknanya ialah naik serta meninggi"

(Tafsir Al-tabari, ketika menafsirkan ayat 29 surah Al-baqarah) 

5)Zahir dari kalam Imam Dar Al-hijrah Malik Bin Anas (179H)

الاستواء معلوم والكيف مجهول

"Istiwa' itu diketahui maknanya, dan kaifiyyatnya tidak diketahui"

(Mutawatir dari Imam Malik) 

Kefahaman ini ialah zahir kalam imam Malik, adapun takwilan dan taqdir kalam yang pelbagai maka itu ialah khilaf Zahir. Pada kalam ini ada isyarat pada ayat sifat bersifat muhkam dari sudut makna dan mutasyabih dari sudut kaifiyyat dan hakikat. 

Pemahaman para imam terhadap kata-kata Imam Malik ini:

A) imam Ibn 'Arabi Al-maliki (543H):

و مذهب مالك أن كل حديث منها معلوم المعنى
"Mazhab imam Malik ialah semua hadith-hadith berkaitan sifat ini diketahui maknanya" ('Aridhah Al-ahwadzi, 134/3)

B) Begitu juga imam Al-qurtubi (671H)

قال مالك-رحمه ﷲ - : الاستواء معلوم، يعني في اللغة

"Istiwa' itu diketahui maknanya dari sudut bahasa"

(Tafsir Al-qurtubi, ayat 54 Al-a'raf) 

3)Demikian juga ia difahami seperti diatas oleh Imam Al-qurra' Abu 'Amru Al-dani di dalam (Al-risalah Al-wafiyah 139-134)

4)Ditambah pula dengan kata-kata Al-imam Al-mujtahid Ibn Qudamah (620H):

(الاستواء غير مجهول) فكان غير مجهول لحصول العلم به، وقد روي في بعض الألفاظ (الاستواء معلوم)

"(Istiwa' tidak majhul maknanya), ianya tidak majhul maknanya kerena kita mendapat ilmu tentangnya, dan diriwayatkan juga dari imam Malik bahawa beliau berkata (Al-istiwa' Maklum) 

(Dzamm Al-takwil, 26)

Ini semua ialah nas umum yang menzahirkan metodologi mereka di dalam memahami ayat sifat, adapun contoh terperinci mereka mengithbat makna ayat-ayat sifat maka terlalu banyak untuk dihitung dan tersebar di dalam kitab-kitab aqidah yang Musnad.
 
Dengan ini, para ulama' salaf tidak pernah menganggap Ayat-Ayat sifat sebagai Mutasyabih makna pun. Jika warid dari sebahagian salaf yang mereka merujuk sebahagian ayat sifat sebagai Mutasyabih (Seperti tajuk penuh kitab Al-radd 'Ala Al-jahmiyyah oleh imam Ahmad). Maka yang mereka maksudkan disitu ialah Mutasyabih dari sudut "Hakikat dan kaifiyyat sifat" dan tidak maknanya. Kenapa? 

Sebab puluhan nas dari imam Ahmad jelas menunjukkan beliau menafsirkan ayat sifat serta memahami maknanya dan mengithbatnya.  

Adapun Ahli kalam maka makruf bahawa mereka mengatakan ayat-ayat sifat ialah mutasyabih dari sudut maknanya. Bahkan kata Imam Al-razi (606H):

الذي يطابق ظاهره دلائل العقول فيكون محكما، وأما الذي يخالف ظاهره دلائل العقول فيكون متشابها

"Zahir Ayat Al-quran yang bertepatan dengan dalil-dalil akal ialah muhkam, adapun zahir ayat Al-quran yang menyelisihi dalil-dalil akal maka ia Mutasyabih" 

(Tafsir Al-razi - Mafatih Al-ghaib-, ketika menafsirkan ayat 7 Al-imran) 

Wallahu a'lam

Rabu, 8 Jun 2022

𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗶𝗯𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗪𝗮𝗵𝗮𝗯 𝗱𝗮𝗻 𝗳𝗮𝗵𝗮𝗺𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗵𝗮𝗯𝗶 𝗶𝘁𝘂 𝗰𝗶𝗽𝘁𝗮𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗶𝘀𝗶𝗸 𝗕𝗿𝗶𝘁𝗶𝘀𝗵, 𝗠𝗿. 𝗛𝗲𝗺𝗽𝗵𝗲𝗿?

Oleh: Su Han When Shu


Antara penipuan yang muncul pada zaman Turki Uthmaniyah adalah dakwaan bahawa kononnya Muhammad ibn Abdul Wahab itu merupakan seorang agen British.

Mereka membuat dakwaan ini berdasarkan karya Confession of a British Spy, Memoirs of Mr. Hempher. 

Di dalam tulisan ini, kononnya ada seorang perisik British bernama Hempher yang ditugaskan untuk mengasuh seorang Muslim yang akan menghancurkan Islam dari dalam. Dan orang tersebut adalah Muhammad ibn Abdul Wahab.

Aku cuba baca karya ini, dan aku gelak terbahak-bahak memikirkan macam manalah Aswaja seperti Zaki Sapuan dan Aswaja lain boleh percaya dengan dokumen palsu yang penuh dengan kronologi yang tidak konsisten dengan sejarah British dan juga sejarah dunia selama ratusan tahun.

Aku ulaskan sedikit sahaja fakta yang bercanggah dengan fakta sejarah yang tertulis dalam buku ini:

1. 𝑷𝒆𝒓𝒄𝒂𝒏𝒈𝒈𝒂𝒉𝒂𝒏 𝒇𝒂𝒌𝒕𝒂 𝒔𝒆𝒋𝒂𝒓𝒂𝒉 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒂𝒏𝒈𝒂𝒕 𝒌𝒆𝒕𝒂𝒓𝒂.

Hempher berkata[1]:

"Empayar British kami sangat luas. Matahari terbit di atas lautannya, dan matahari kemudian terbenam di bawah lautannya juga. Namun negera kami tidak mempunyai penguasaan yang kuat terhadap koloni kami di India, China dan Timur Tengah."

“Kami juga tidak takut dengan China, kerana agama utama di China ialah Buddha dan Confucian, kedua-duanya bukan ancaman besar bagi kami.”

Di dalam buku ini, Hempher berusia 20 tahun ketika dia dihantar untuk menjadi perisik di Istanbul oleh Kerajaan British pada tahun 1710[2].

Selepas 2 tahun menetap di Istanbul, dia pulang ke London dan berkahwin dengan sepupunya Maria Shvay pada usia 22 tahun, manakala usia sepupunya Maria Shvay pula berusia 23 tahun ketika itu. Perkahwinan ini berlaku pada sekitar tahun 1712[3].

𝑭𝒂𝒌𝒕𝒂 𝒔𝒆𝒋𝒂𝒓𝒂𝒉 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒃𝒆𝒓𝒄𝒂𝒏𝒈𝒈𝒂𝒉 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒌𝒘𝒂𝒂𝒏 𝑯𝒆𝒎𝒑𝒉𝒆𝒓:

I. British mula mengadakan lawatan diplomatik pertama ke China pada tahun 1793, di mana rombongan lawatan itu diketuai oleh George Macartney;

British menyerang China pada Perang Candu (Opium War) pada tahun 1839, di mana British menang peperangan ini dan Hong Kong mula menjadi jajahan British selepas Perjanjian Nanjing pada tahun 1842.

Jadi mana mungkin Hempher, seorang yang berusia 20 pada tahun 1710, menyatakan bahawa China sudah menjadi koloni Empayar British, padahal British belum pun mengadakan lawatan diplomatik ke China pada tahun itu! 

Di sini sahaja sudah nampak bahawa penulis diari Hempher ini seorang yang jahil tentang sejarah China dan sejarah British sehingga terpaksa reka dakwaan kononnya China sudah dikuasai British pada tahun 1710.

Tidak mungkin Hempher ini seorang perisik British jika dia jahil terhadap sejarah negaranya sendiri. 

2. 𝑷𝒆𝒓𝒄𝒂𝒏𝒈𝒈𝒂𝒉𝒂𝒏 𝒓𝒊𝒘𝒂𝒚𝒂𝒕 𝒉𝒊𝒅𝒖𝒑 𝑴𝒖𝒉𝒂𝒎𝒎𝒂𝒅 𝒊𝒃𝒏 𝑨𝒃𝒅𝒖𝒍 𝑾𝒂𝒉𝒂𝒃 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒌𝒘𝒂𝒂𝒏 𝑯𝒆𝒎𝒑𝒉𝒆𝒓.

Oleh kerana tidak banyak tarikh yang tercatat dalam diari ini (hairan, mengapa tidak banyak tarikh padahal diari ini kononnya adalah laporan kepada Kerajaan British), maka kita perlu rumuskan sendiri pada waktu bilakah semua ini terjadi berdasarkan masa yang ditulis oleh Hempher:

i. Hempher mendakwa dia dihantar ke Istanbul oleh Kementerian Commonwealth pada tahun 1710, di mana dia menetap di sana selama 2 tahun[4];

ii. Selepas 2 tahun menetap di Istanbul, Hempher pulang ke London dan berkahwin dengan sepupunya, Maria Shvay, ketika dia berusia 22 tahun, dianggarkan ini berlaku pada tahun 1712 Masihi[5];

iii. Dia hanya sempat pulang ke London selama 6 bulan, kemudian dia dihantar ke Basrah, Iraq oleh Kementerian Commonwealth untuk meneruskan kerja-kerja perisikannya[6];

iv. Hempher mendakwa bahawa dia bertemu dengan Muhammad ibn Abdul Wahab An-Najdi, seorang pemuda yang fasih berbahasa Arab, Turki dan Parsi ketika dia tiba di Basrah; dianggarkan ini berlaku pada sekitar tahun 1712 - 1713 Masih. Hempher juga menyatakan bahawa tidak seperti Sunni yang lain di Basrah, Muhammad ibn Abdul Wahab tidak pernah memusuhi Syiah;[7].

v. Hempher mendakwa Muhammad ibn Abdul Wahab seorang anti-mazhab, dia mendakwa Muhammad ibn Abdul Wahab berkata:

“Kitab Allah tidak mempunyai dalil yang membenarkan kewujudan mazhab-mazhab ini[8]”

vi. Hempher mendakwa dia menyesatkan Muhammad ibn Abdul Wahab dengan menghantar seorang wanita Kristian bernama Safiyya untuk nikah mut’ah dengannya dan juga menggodanya untuk minum arak[9]

vii. Hempher mendakwa Muhammad ibn Abdul Wahab itu seorang yang malas solat, dan hanya solat sekali-sekala[10]

viii. Hempher mendakwa bahawa selepas menyesatkan Muhammad ibn Abdul Wahab dan mendapatkan sokongan wang daripada Kerajaan British, dia dan Muhammad ibn Abdul Wahab mula menyebarkan dakwah Wahhabi secara terbuka pada tahun 1730 Masihi[11].

ix. Hempher mendakwa bahawa mereka berjaya meyakinkan Muhammad ibn Saud untuk berkhidmat di bawah Kerajaan British, dan Kerajaan British kemudiannya menghantar 11 orang pegawai tentera British untuk melatih Tentera Muhammad ibn Saud. Mereka menamakan agama baharu mereka ini sebagai agama Wahabi, dan kemudian mereka menjadikan Dir’iya sebagai pusat bagi agama baharu ini[12].

𝑩𝒂𝒏𝒕𝒂𝒉𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒔𝒆𝒎𝒖𝒂 𝒅𝒂𝒌𝒘𝒂𝒂𝒏 𝒊𝒏𝒊:

I. Majoriti biografi Muhammad ibn Abdul Wahab menyatakan bahawa dia lahir pada 1115 Hijrah, yakni sekitar tahun 1703 - 1704 Masihi[13].

Muhammad ibn Abdul Wahab pula tidak pernah meninggalkan Al-Uyainah kecuali setelah beliau berkahwin pada usia 12 tahun untuk menunaikan Haji atas izin ayahnya. Beliau menetap di Makkah selama 2 bulan kemudian kembali ke Al-Uyainah[14]. 

Jadi mana mungkin Muhammad ibn Abdul Wahab bertemu dengan Hempher di Basrah pada tahun 1713 Masihi, sedangkan usianya pada ketika itu hanya sekitar 9 - 10 tahun dan beliau hanya meninggalkan al-Uyainah untuk menunaikan ibadah Haji ketika berusia 12 tahun! 

Tambahan pula, Muhammad ibn Abdul Wahab pulang ke Al-Uyainah selepas menunaikan Haji. Kemudian Muhammad ibn Abdul Wahab hanya keluar dari Al-Uyainah ketika dia berusia sekitar 19 - 20 tahun untuk menimba ilmu[15].

II. Seperti yang dinyatakan di atas, Hempher mendakwa bahawa Muhammad ibn Abdul Wahab tidak pernah memusuhi Syiah semasa di Basrah.

Walhal penulis biografi Muhammad ibn Abdul Wahab menyatakan bahawa dia banyak menentang perbuatan khurafat Syiah semasa berada di Basrah, beliau amalkan amar makruf nahi mungkar dengan menegah perbuatan istighathah kepada selain Allah yang biasa diamalkan di sana[16] 

Bahkan Muhammad ibn Abdul Wahab dihalau keluar dari Basrah kerana perbuatan amar makruf nahi mungkarnya pada waktu di bawah terik matahari dan berkaki ayam [17].

III. Dakwaan Muhammad ibn Abdul Wahab seorang anti-mazhab juga merupakan dakwaan kosong yang tidak berasas.

Muhammad ibn Abdul Wahab belajar Mazhab Hanbali dengan ayahnya di al-Uyainah. Kemudian pada usia sekitar 20-an, Muhammad ibn Abdul Wahab pergi ke Madinah dan berguru dengan Abdullah ibn Ibrahim ibn Saif, seorang ulama mazhab Hanbali yang terkenal ketika itu. Beliau memperoleh sanad untuk pelbagai kitab hadis daripada Abdullah ibn Saif [18]

Muhammad ibn Abdul Wahab mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan gurunya Abdullah ibn Ibrahim sehingga beliau mewariskan kitab-kitabnya kepada Muhammad ibn Abdul Wahab.

Malah Muhammad ibn Abdul Wahab sendiri menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memusuhi mana-mana mazhab fiqh.

Muhammad ibn Abdul Wahab berkata[19]:

“Mazhab kami berkenaan dengan usul agama adalah mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah."

Jalan kami adalah jalan para Salaf, dan dalam hal furu’, mazhab rujukan kami adalah mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal (Hanbali). 

Kami tidak mencela sesiapa yang taqlid kepada mana-mana empat Imam Mazhab tanpa mengikut mazhab yang lain"

Tambahan pula, catatan sejarah berikut menunjukkan bahawa Muhammad ibn Abdul Wahab berpegang teguh dengan mazhab Hanbali[20]:

“Pada tahun 1185 Hijrah, Sharif Ahmad, penguasa Makkah, telah meminta para penguasa Dir'iyah (Kerajaan Muhammad ibn Saud) untuk menghantar Ulama mereka bagi menjelaskan hakikat seruan dakwah mereka.

Mereka (Kerajaan Dir'iyah) telah menghantar Abdul Aziz Al-Hasin ke sana bersama dengan surat Muhammad ibn Abdul Wahab.

Ulama ini (yakni Abdul Aziz Al-Hasin) menjelaskan seruan dakwah mereka kepada para ulama Makkah.

Dia berdebat dengan para ulama di hadapan Sharif Ahmad dan membawa dalil daripada kitab fiqh Mazhab Hanbali iaitu Kitab Al-Iqna untuk membuktikan kepada para ulama Makkah bahawa ajaran mereka selari dengan Mazhab Hanbali.

Al-Hasin berdebat dengan mereka dalam isu takfir, isu merobohkan binaan di atas kubur dan juga isu istighathah kepada orang yang sudah meninggal dunia.

Dia telah berjaya menunjukkan dalil-dalilnya dalam kesemua isu ini dan pulang dari Makkah dalam keadaan terhormat.

Bahkan tiada para ulama Makkah yang membantah pandangannya selepas itu."

IV. Hempher mendakwa Muhammad ibn Abdul Wahab seorang fasiq yang malas solat; 

Walhal menurut askar Turki Uthmaniyah yang berperang dengan Tentera Wahabi, askar Wahabi akan melaungkan azan dan bertungkus lumus menunaikan solat fardu mengikut cara solat khauf (yakni cara solat semasa perang); manakala di kem tentera Turki Uthmaniyah pula, mereka minum arak, azan tidak dilaungkan dan tiada seorang pun yang menunaikan solat[21]!

Sangat lucu, penulis memoir hempher ini nampaknya seorang jahil yang tidak tahu keadaan sebenar Turki Uthmaniyah ketika itu dengan menuduh Muhammad ibn Abdul Wahab seorang yang fasiq dan malas solat, walhal hasil dakwah Muhammad ibn Abdul Wahab yang menyebabkan penduduk Jazirah Arab kembali mengambil berat terhadap solat secara berjemaah sehinggakan mereka tunaikan solat khauf walaupun semasa perang.

V. Hempher mendakwa kononnya dia yang menggalakkan Muhammad ibn Abdul Wahab menyebarkan dakwahnya pada tahun 1143 Hijrah (1730 Masihi), kemudian mereka berjaya memujuk Muhammad ibn Saud untuk menyertai mereka dan British menghantar 11 pegawai tentera yang fasih berbahasa Arab untuk melatih tentera mereka.

Sebenarnya inilah dakwaan pembohongan yang paling besar dan melucukan.

Tentera Wahabi menawan Qatar pada tahun 1787[22] dan seterusnya menawan Sharjah dan Ras Al-Khaimah. Ketua Kabilah Al-Qasimi di sana bersetuju untuk menyahut seruan dakwah Muhammad ibn Abdul Wahab. Pemerintah Al-Qasimi disyaratkan untuk menyerahkan ⅕ harta rampasan perang mereka kepada Kerajaan Dir’iyah (Kerajaan Saudi pertama), sebagai balasannya, Kerajaan Saudi pertama memberikan autonomi penuh kepada Kabilah Al-Qasimi untuk terus memerintah Sharjah dan Ras Al-Khaimah[23].

Bermula saat itu, tentera Wahabi sering menyerang kapal-kapal dagang British di perairan Teluk Parsi[24] Kerajaan Inggeris Bombay ketika itu mengesahkan yang serangan ke atas kapal-kapal Eropah di perairan Teluk Parsi itu berlaku atas arahan Kerajaan Saudi pertama di Dir’iyah[25]

Sepanjang tempoh ini, kapal-kapal British seperti Minerva[26] dan Nautilus[27] diserang atau ditawan oleh tentera laut Wahabi. Tentera laut Wahabi ketika itu mempunyai sekitar 15 - 20 kapal yang digelar sebagai dhow, dan setiap dhow ini diperintah oleh seorang naib, dan setiap naib ini hanya menerima arahan daripada Hussein ibn Ali, gabenor wahabi wakil Kerajaan Saudi pertama di kawasan Sharjah dan Ras Al-Khaimah ketika itu [28].

Selepas tahun 1819, serangan terhadap kapal-kapal British dan Eropah berhenti selepas Kerajaan Saudi pertama tewas kepada Tentera Turki Uthmaniyah pimpinan Ibrahim Pasha. 

Inilah sebabnya selepas kejatuhan Kerajaan Saudi pertama, Gabenor Inggeris Bombay menghantar Captain George Forster Sadlier daripada regimen 47 bertemu dengan Ibrahim Pasha untuk mengucapkan tahniah dan menghadiahkan sebilah pedang istiadat kepada Ibrahim Pasha atas jasanya menghapuskan tentera laut Wahabi di Teluk Parsi[29].

Daripada fakta-fakta ini, sungguh jelas Tentera Wahabi berjihad melawan Inggeris dengan menyerang kapal dagang dan kapal tentera British di perairan Teluk Parsi.

Maka dakwaan kononnya Muhammad ibn Abdul Wahab dan Muhammad ibn Saud itu agen British atau mendapat bantuan ketenteraan daripada British itu ternyata palsu dan pembohongan semata-mata.

Kesimpulannya, belajarlah sejarah, luaskan pembacaan. 

I. Jangan percaya konspirasi tidak berasas yang sudah disebarkan sejak 100 tahun lalu.

II. Patutlah golongan sufi sekarang lemah dalam bidang hadis; fakta sejarah asas yang mereka terima pun mereka tak pernah buat semakan cross-check, apatah lagi hadis-hadis palsu yang mereka terima sahaja daripada guru-guru mereka yang mereka mendakwa kononnya yaqazah bertemu Nabi.

Sekian.

Nota kaki:

[1] Confession of a British Spy and British Enmity against Islam, Thirteenth Edition , Hakîkat Kitâbevi, 2013, m/s 6. 

[2] Ibid, m/s 11

[3] Ibid, m/s 17

[4] Ibid, m/s 11, m/s 14

[5] Ibid, m/s 17

[6] Ibid, m/s 17

[7] Ibid, m/s 23

[8] Ibid, m/s 23

[9] Ibid, m/s 29

[10] Ibid, m/s 32

[11] Ibid, m/s 72

[12] Ibid, m/s 73.

[13] Al-Uthaymin, Al-Sheikh Muhammad, m/s 25.

[14] Hussein ibn Ghanam, Tarikh An-Najd, jilid 1, m/s 75.

[15] Al-Uthaymin, Al-Sheikh Muhammad, m/s 29.

[16] Hussein ibn Ghanam, Tarikh An-Najd, jilid 1, m/s 76

[17] Ibn Bisyr, Unwan Al-Majd, jilid 1, m/s 30.

[18] Ahmad ibn Hajar Ali-Butami, Al-Sheikh Muhammad ibn Abdul Wahab [Kuwait: al-Dar al-Salafiyyah, 1983], m/s. 16.

[19] Abdullah ibn ‘Abdul Rahman ibn Salih al-Bassam; ‘Ulama’ an-Najd Khilal Sittat Qurun, jilid 1, m/s 51

[20] Ibn Ghanam, Tarikh An-Najd, jilid 1, m/s 131-133

[21] Abdul Rahman Al-Jabarti, Tarikh Ajaib, jilid 5, m/s 409.

[22] Ibn Bishr, Unwan Al-Majd, m/s 161 - 209.

[23] British Museum Library (BM), Mss Add 23,346, L'am Al Shihab Fi Serat Mohamed Bin Abdul Wahhab, (The History of Mohamed bin Abdul-Wahab).

[24] Weigham, H J, The Persian Problem, London, Isbister and Co,1903, m/s 81.

[25] Bombay Selections XXIV,p 300, (Warden).

[26] BA. SPDD No 232 of 1808, Charles Gowant, Commander of Fury, to Money, Superintendent of Marine, Bombay 10 May 1808.

[27] BA, SPDD No 255 of 1808, Report from Bennett, Captain of Nautilus, Bombay, 1 Dec 1808.

[28] IOR, SPP/383/7, Ali Monjee (passenger on Minerva) to Seton, July 1809.

[29] IOR, P/383/40, minutes by G Prendergast, 20 Apr 1819; also BA, SPDD No 311 of 1819, minutes by Bell and Prendergast.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...