Isnin, 23 September 2013

GERAK KERJA TASFIAH DAN TARBIAH DALAM MEREALISASIKAN KHILAFAH ‘ALA MINHAJ AL-NUBUWWAH

يسم الله الرحمن الرحيم

والصلاة والسلام على خير البرية المبعوث رحمة للعالمين الماحي وعلى آل بيته الطاهرين وأصحابه الأخيارين


Dakwah para Nabi dan Rasul dimulakan atas dua dasar iaitulah:

1-      Membersihkan manusia daripada syirik dan yang sewaktu dengannya

2-      Menyemai dan mengukuhkan kedudukan Tauhid dalam jiwa manusia.

Ini jelas digambarkan dalam firman Allah Ta’ala:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Maksudnya: “dan Kami telah utuskan pada setiap umat seorang Rasul supaya mereka menyeru: “Hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi Taghut...” [al-Nahl: 36].

Allah Ta’ala berfirman:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “Allah telah memberi kurniaan kepada orang-orang yang beriman ketika mana Dia mengutuskan kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan membersihkan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan Hikmah (Sunnah) dan sesungguhnya sebelum kedatangan (Rasul itu) mereka berada dalam keadaan sesat yang nyata”. [Ali Imran: 164].

Firman Allah Ta’ala juga:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ (79) وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَنْ تَتَّخِذُوا الْمَلَائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُمْ بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (80)

Maksudnya: tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? [Ali Imran: 79-80]

Kesemua ayat di atas dan banyak lagi ayat yang serupa dengannya menyatakan bahawa tugas Rasul itu adalah menyampaikan Tauhid yakni dengan membersihkan hati-hati manusia daripada kebergantungan kepada selain Allah Ta’ala dan menanam dalam jiwa mereka dengan keimanan yang sahih kepada Allah.

Amalan dakwah para Rasul ini terhimpun dalam dua kalimah yang tiada tiga baginya:

1-      Tazkiah – iaitulah menyucikan jiwa manusia daripada kekotoran syirik, khurafat, bidaah, dan maksiat

2-      Taklim – iaitulah mengajar manusia agama yang benar yang sepatutnya mereka ikuti dan lazimi.

Tazkiah dan Taklim atau diistilahkan juga dengan Tasfiah dan Tarbiah atau disebut juga dengan Takhliah dan Tahliah ini membawa makna yang satu. Dakwah Islam itu bertumpu pada membersihkan kekotoran yang melekat pada umat kemudian memelihara dan memulihara mereka dengan ilmu dan amal yang sahih lagi salih.

Kata Imam Malik bin Anas rahimahullah:

لا يصلح آخر هذه الامة إلا ما أصلح أولها

Maksudnya: “Tidak dapat memberbaiki kerosakan akhir umat ini melainkan apa yang telah memberbaiki kerosakan awal umat ini”.

Ini adalah satu garis panduan yang jelas daripada Imam Malik rahimahullah kepada para pendakwah dalam melaksanakan dakwah mereka supaya melazimi manhaj, methode, uslub, dan kaifiat yang digunakan para pendahulu umat ini iaitulah Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.

Dakwah Islam tidak dimulakan dengan ‘sultah’ (kekuasaan) kerana kekuasaan tidak menjamin keberkekalan dakwah tetapi yang menjamin suburnya suatu pemikiran dan akidah adalah kefahaman dan kesedaran yang jelas dalam kalangan pengikutnya.

Nabi Muhammad ‘alaihis solatu was salam menyeru kepada Tauhid dan menjauhi syirik tanpa sebarang kekuasaan di tangan baginda selama 13 tahun di Mekah, Nabi Nuh ‘alaihisssalam menyeru kepada Tauhid tanpa sebarang kekuasaan selama 950 tahun.

Nabi s.a.w mendirikan Daulah Islamiah di Madinah tanpa sebarang pergelutan politik mahupun rampasan kuasa, apa yang baginda lakukan adalah denagn membersihkan penduduknya daripada syirik dan menanam dalam jiwa mereka pohon Tauhid yang akhirnya membawa kepada kesatuan yang tidak pernah disaksikan oleh tamadun manusia dalam tempoh yang begitu lama.

Oleh itu, kepada para pendakwah hari ini yang mengidamkan umatnya bersatu padu sepertimana kesatuan umat Muhammad yang awal dan inginkan kembalinya kerajaan Islam yang kukuh sepertimana kerajaan Islam yang dibina oleh Nabi mereka ‘alaihi afdalus solatu wa atammut Taslim, hendaklah mereka mengambil jalan Tasfiah dan Tarbiah ini sebagai tali yang kukuh mengikat diri mereka dan sempadan yang mereka tidak boleh langkaui walau apa pun yang terjadi.

Hendaklah mereka tetap bertahan di atas tapak Tasfiah dan Tarbiah ini seperti mana Rasulullah s.a.w tetap tidak berganjak pada Hari Hunain, hendaklah mereka tetap dan tsabat di atas Jabal Rumah seperti mana yang Rasulullah s.a.w arahkan kepada para pemanah sewaktu perang Uhud, jika mereka ingkar maka mereka akan alami nasib yang sama menimpa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim pada hari Uhud.

Ketahuilah wahai para pendakwah kepada Allah, segala yang menyelisihi jalan Rasul pasti salah dan pasti batil:


وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya: “dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan kerana yang batil itu adalah sesuatu yang lenyap”. [al-Isra’: 81]

فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ

Maksudnya: “Maka tiadalah selepas kebenaran itu melainkan kesesatan maka bagaimana kamu boleh dipalingkan (dari kebenaran?)”. [Yunus: 32].

Sabda Rasulullah s.a.w:

وجعل الذل والصغار على من خالف أمري

Maksudnya: “dan dijadikan kehinaan dan kerendahan atas orang yang menyalahi perintahku” [Ahmad-sahih-]


Ketahuilah wahai para pendakwah –semoga Allah memberkati perjuangan kamu di mana sahaja kamu berada- kamu dijadikan Allah Ta’ala sebagai Basyir dan Nazir iaitu; Pemberi khabar gembira dan pemberi ingatan akan perkara yang merbahaya, maka inilah dia prinisp Tasfiah dan Tarbiah kerana Tasfiah adalah kamu menjauhkan manusia daripada apa yang membahayakan mereka pada akidah, ibadah, suluk, fikrah dan sebagainya manakala tarbiah adalah kamu memberikan mereka khabar gembira berkenaan akidah,ibadah, suluk, fikrah yang benar yang akan membawa mereka kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Firman Allah Ta’ala:


إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَا تُسْأَلُ عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengutuskan kamu (Muhammad) dengan sebenar-benarnya (dengan al-Haq) sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi ingatan dan tidaklah kamu dipertanggungjawabkan berkenaan ahli-ahli neraka”. [Al-Baqarah: 119].


Maka apakah Tasfiah yang perlu digerak kerjakan dalam dakwah dan apa pula Tarbiah yang perlu dilaksanakan dalam usaha menghidupkan semula kehidupan Islam yang tulen?

Bidang Tasfiah itu merangkumi semua aspek kehidupan yang telah ditetapkan aturannya oleh Allah Tabaraka wa Ta’ala dan yang terpenting antara semuanya adalah:

1-      Akidah: Dimaksudkan Tasfiah dalam Akidah adalah membersihkan akidah kaum muslimin daripada semua bentuk bidaah yang melekat di dalamnya daripada Sufiah, Asyairah, Maturidiah, Jahmiah, Rafidah, Zaidiah, Hizbiah dan lainnya.

2-      Ibadah: Dimaksudkan adalah membersihkan ibadat kaum muslimin daripada bidaah yang terpalit padanya seperti bidaah dalam solat, cara zikir yang tidak ada contoh daripada Rasulullah s.a.w. dan seumpamanya.

3-      Feqah: Dimaksudkan adalah membersihkan Ilmu Fiqh Islami daripada ijtihad-ijtihad yang tiada dasar daripada wahyu, fatwa-fatwa syaz, dan pengaruh ilmu kalam yang merosakkan Fiqh Nabawi yang berteraskan wahyu.

4-      Akhlak dan Suluk: Membersihkan Akhlak dan Suluk daripada kerosakan dan penyelewengan seperti Sufiah, budaya-budaya barat, dan unsur-unsur tasyabuh dengan kaum kafir.

5-      Sejarah Islam: Membersihkan sejarah daripada khurafat dan dongeng Syi’ah, kisah-kisah palsu dan ini boleh dilakukan dengan menilai sejarah Islam dengan timbangan ilmu tarikh yang sahih.

6-      Hadis dan Ulumnya: Membersihkan hadis-hadis Nabi s.a.w daripada hadis-hadis mauduk dan daif serta mempertahankan ilmu mustalah yang dibawa para Ulama Salafus Soleh dan menjauhi dan menghapuskan manhaj-manhaj bidaah dalam ilmu hadis iaitu manhaj al-Malibariah.

7-      Al-Qur’an dan Tafsirannya: Membersihkan Ulum al-Qur’an daripada bidaah-bidaah takwil Ahli Kalam sama ada Asyairah mahupun Muktazilah demikian juga daripada takwilan-takwilan batiniah dan ahli bidaah lainnya.

8-      Bahasa Arab: Membersihkan bahawa Arab daripada mustalah-mustalah bidaah yang dimasukkan Ahli Kalam demikian juga menaikkan semula kedudukan bahasa arab fusha.

9-      Manhaj dan Fikrah: Membersihkan manhaj dan fikrah kaum muslimin daripada manhaj dan fikrah (cara fikir) yang menyelisihi cara fikir kaum Salafus Soleh.

10-   Siasah: Membersihkan segala bentuk fahaman menyeleweng dalam Siasah seperti aliran Hizbiah, Demokrasi, dan lain-lain.

Tasfiah ini hendaklah beriringan dengan Tarbiah, yakni serentak dengan itu umat hendaklah dididik dengan kefahaman yang benar, akidah yang benar, manhaj yang benar, Sejarah yang sahih, hadis yang sahih, Tafsir yang sahih, Suluk yang benar, ibadat dan hukum hakam feqah yang benar, dan dengan bahasa arab yang sahih yang diujarkan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda.

Ketahuilah apabila kamu melaksanakan usaha Tasfiah dan Tarbiah ini dengan ikhlas, maka Allah Ta’ala akan membantu kamu dan memberikan kamu kedudukan yang teguh di bumi ini.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman jika kamun membantu (agama) Allah maka Allah pasti membantu kamu dan akan menetapkan tapak-tapak kaki kamu”. [Muhammad: 47].

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (55) وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (56)

Maksudnya:  Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat. [al-Nur: 55-56]

Demikianlah wahai para pendakwah yang dirahmati Allah sekalian, kejayaan dakwah kita akan tercapai apabila kita meletakkan Tauhid kepada Allah sebagai wadah perjuangan, seruan dan slogan perjuangan dari awal sehingga akhirnya, adapun mereka yang meremehkan urusan Tauhid maka tidak layak sama sekali untuk mereka berdiri mahupun berada hampir dengan medan dakwah yang mulia ini.

Ingatlah firman Allah Ta’ala:

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا

Maksudnya:  oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. [al-Baqarah: 256].

Kufur dengan Taghut akan berlaku melalui proses Tasfiah dan beriman dengan Allah akan terealisasi dengan Tarbiah di atas Manhaj yang suci dan bersih.

Maka janganlah anda berasa takut atau gentar mahupun resah gelisah kerana selagi anda berdakwah di atas manhaj Salafus Soleh tiada apa yang dapat memudaratkan anda dengan jaminan Rasulullah s.a.w:

 لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله و هم كذلك

Maksudnya: “Tidak akan lekang  satu taifah daripada umatku terus zahir di atas kebenaran tidak akan memudaratkan mereka orang-orang yang menghina mereka sehingga datanglah perintah Allah (Kiamat) dan mereka dalam keadaan sedemikian”. [Muslim].

Hadis ini juga memberi ingat kepada kamu supaya tidak menjadi cuak atau takut dengan sedikitnya orang yang mengikuti jalan kebenaran kerana kalimah “Taifah” digunakan untuk menunjukkan seorang sehingga ke atas. Ingatlah pesanan ikutan kamu yang mulia, Abdullah bin Mas’ud r.a:

“al-Jamaah itu adalah kamu berada di atas kebenaran walaupun kamu seorang”.


Sebagai penutup bicara, renungkanlah nasihat Imam Muhammad Nasir al-Din al-Albani rahimahullah yang berikut:


فمن كان يريد أن يقيم الدولة المسلمة حقا لا يُكتِّل الناس ولا يجمعهم على ما بينهم من خلاف فكري وتربوي كما هو شأن الأحزاب الإسلامية المعروفة اليوم، بل لا بد من توحيد أفكارهم ومفاهيمهم على الأصول الإسلامية الصحيحة: الكتاب والسنة وعلى منهج السلف الصالح كما تقدم، {ويَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ المُؤْمِنُون بِنَصْرِ الله}، فمن أعرض عن هذا المنهج في إقامة الدولة المسلمة وسلك سبيل الكفار في إقامة دولتهم فإنما هو ( كالمستجير بالرمضاء من النار )! وحسبه خطأ ـ إن لم أقل: إثماً ـ أنه خالف هديه - صلى الله عليه وسلم - ولم يتخذه أسوة والله - عز وجل - يقول: {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَاليَوْمَ الآخِرَ وذَكَرَ اللهَ كَثِيراً}.

Maksudnya: “Maka barangsiapa yang hendak mendirikan Daulah Islam yang sebenar-benarnya maka janganlah dia menghimpunkan manusia (mempartai dan meng-hizbikan manusia) dan tidak menggabungkan mereka di atas perbezaan fikrah dan tarbiah mereka seperti mana yang dilakukan oleh parti-parti Islam yang dikenali pada hari ini, bahkan mestilah dia menyatukan fikrah mereka dan kefahaman mereka di atas prinsip-prinisp Islam yang sahih (benar): al-Kitab dan al-Sunnah atas Manhaj Salaf al-Soleh seperti yang telah dijelaskan, firman Allah Ta’ala:

ويَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ المُؤْمِنُون بِنَصْرِ الله

Maksudnya: “dan pada hari itu kaum mukminin bergembira dengan bantuan Allah”. [Al-Rum: 4-5].

Barangsiapa yang berpaling daripada manhaj ini dalam menegakkn Daulah Islam dan mengikut jalan kaum kafir dalam menegakkan daulah mereka maka dia seumpama orang yang berlindung dengan terik matahari daripada kepanasan api! Dan cukuplah bukti kesalahannya jika pun tidak dikatakan dia berdosa bahawa dia menyalahi petunjuk Nabi s.a.w dan tidak menjadikan baginda sebagai ikutan sedangkan Allah Azza wa Jalla berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَاليَوْمَ الآخِرَ وذَكَرَ اللهَ كَثِيراً

Maksudnya: “Adalah sesungguhnya bagi kamu itu pada Rasulullah contoh ikutan yang terbaik bagi mereka yang berharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta mengingati Allah sebanyak-banyaknya”. [al-Ahzab: 21]. [Madarik al-Nazar fi al-Siyasah, Abdul Malik Ramadani al-Jazairi, 363-364, cet. 7].


وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما مزيدا

Ditulis oleh,
Muhammad Asrie bin Sobri
Uni Islam Madinah al-Nabawiah, Arab Saudi.
19 Zul Hijjah 1431 Hijrah.


Rujukan:

1 - Al-Jamaat al-Islamiah fi Dauil Kitab wa al-Sunnah bi Fahmi Salafil Ummah, Abu Usamah Salim bin ‘Eid al-Hilali
2 - Sittu Durar, Abdul Malik Ramadani al-Jazairi
3 - Madarik al-Nazar, Abdul Malik Ramadani al-Jazairi
4 - Al-Tasfiah wa al-Tarbiah, Imam al-Albani

Sumber: https://www.facebook.com/notes/muhammad-asrie-sobri/gerak-kerja-tasfiah-dan-tarbiah-dalam-merealisasikan-khilafah-ala-minhaj-al-nubu/10150106432566745

Rabu, 18 September 2013

KISAH DUA PEMILIK KEBUN



Gambar Hiasan



Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".

Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini".

Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa dia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku."

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata:

مَا شَآءَ اللهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

“Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah! Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah?”

Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".

Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"

Dan dia tidak mendapati sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan dia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

(Kisah dipetik dari terjemahan Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 32-46)

Kesimpulan daripada kisah ini:

1 – Kisah ini merupakah satu contoh diantara contoh-contoh kisah dan peristiwa yang sering berulang-ulang dalam masyarakat dan mungkin masih wujud pada suatu tempat dan masa.

2 – Allah memanjangkan usia orang yang kafir dan mengurniakan nikmat yang banyak kepadanya, bukan kerana redha kepadanya, tetapi sebagai ujian dan bala.

3 – Allah menguji seorang yang beriman dengan menyempitkan rezekinya dan menghalangnya daripada kesenangan dunia yang sementara, namun tidak bermakna Allah murka kepadanya.

4 – Allah SWT mengurniakan rezeki dan nikmat pemberian kepada hamba yang dicintaiNya atau yang dibenciNya. Namun Allah Ta’ala hanya mengurniakan agama hanya kepada hamba yang dicintaiNya sahaja.

5 – Keimanan merupakan penjamin keamanan bagi pemiliknya. Ketika berhadapan dengan orang-orang yang memiliki kesenangan dunia, pemilik keimanan tidak akan mudah merasa lemah, hina dan takut kepada pesaingnya, sebaliknya dia berusaha untuk mengajak agar pesaingnya bersama-samanya dalam memiliki keimanan dan menjauhi kesyirikan seperti menganggap kesenangan yang dirasai bukan berasal dari Tuhan yang telah mengurniakan kepadanya kesenangan itu.

Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada kisah ini..

Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai,
Kota Kinabalu

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...