Isnin, 27 Februari 2012

Bagaimana Menyikapi Perbezaan Pendapat

Soalan: Fadhilatusy-Syeikh: Kebanyakan dari ikhtilaf  yang tersebar di kalangan aktivis dakwah dalam rangka berdakwah kepada Allah menjadi penyebab kegagalan dan hilangnya kekuatan. Ini terjadi disebabkan banyaknya di antara mereka yang jahil tentang adab Ikhtilaf. Adakah syeikh memiliki taujihat (saranan) buat mereka berkenaan masalah ini?

Jawapan: Ya, aku menasihatkan kepada seluruh saudaraku dari kalangan penuntut ilmu dan pendakwah kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar menempuh uslub yang baik (cara yang baik - pent) dan berlemah-lembut dalam berdakwah dan di dalam masalah-masalah khilaf (perbezaan pendapat) ketika mengungkapkan pandangan dan pendapat. Oleh itu janganlah membawa emosi dan kekerasan dengan cara mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan, yang mana ianya akan menyebabkan berlakunya perpecahan, perselisihan, saling benci-membenci, dan jauh menjauhi. Bahkan hendaklah para pendakwah, penuntut ilmu dan para pendidik agar menempuh uslub-uslub yang memberi manfaat dan berlemah lembut di dalam ucapannya sehingga ucapannya diterima dan sehingga hati tidak ingin jauh-menjauhi, sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jalla kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ

Maksudnya: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu." (Ali 'Imran: 159)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada Nabi Musa dan Harun ketikamana diutuskan keduanya kepada Fir’aun:

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Thaaha: 44)

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ


Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik.” (An-Nahl: 125)

Dan firmanNya:
 
وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka.” (Al-Ankabut ayat 46)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إن الرفق لا يكون في شيء إلا زانه ولا ينزع من شيء إلا شانه

“Sesungguhnya (sikap) lemah lembut itu tidak akan berlaku kepada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.”

(Sahih Muslim dalam Al-Birr wash-Shilah wal-Adab no: 2594, Sunan Abu Daud dalam Al-Adab no: 4808, Musnad Ahmad bin Hanbal 6/125)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

من يحرم الرفق يحرم الخير كله

“Barangsiapa yang mengharamkan (sikap) lemah lembut maka dia telah mengharamkan kebaikan seluruhnya.”

(Sahih Muslim dalam Al-Birr wash-Shilah wal-Adab no: 2592, Sunan Abu Daud dalam Al-Adab no: 4809, Sunan Ibnu Majah dalam Al-Adab no: 3687, dan Musnad Ahmad bin Hanbal 4/366)

Maka wajib bagi setiap pendakwah dan pendidik yang berdakwah kepada Allah hendaklah menempuh uslub-uslub yang dapat memberi faedah yang bermanfaat, dan hendaklah benar-benar berhati-hati kerana perkara tersebut akan menyebabkan kebenaran ditolak dan menyebabkan khilaf bertambah kuat dan perpecahan berlaku di antara sesama saudara. Maksudnya hendaklah menjelaskan kebenaran dan memastikan ia diterima dan pendakwah memperolehi faedah-faedah darinya. Ia bukanlah bermaksud engkau menampakkan ilmu atau menampakkan bahawasanya engkau berdakwah (mengajak  orang ramai kembali -pent) kepada Allah atau kepada agama Allah, kerana Allah lebih Maha mengetahui apa yang tersembunyi. Sesungguhnya maksud menyampaikan dakwah Allah adalah manusia mendapat manfaat daripada apa yang engkau ucapankan. Oleh itu hendaklah engkau memperhatikan sebab-sebab dakwah dapat diterima dan berhati-hati dengan sebab-sebab dakwah tidak diterima.  

(Rujuk: Fatawa Ibn Baz, Maktabah Syamela v3, 5/155-156 dan 27/323-325)

Diterjemahkan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

Ahad, 19 Februari 2012

Hukum Membela Hamster*

Soalan:

Apakah hukum membela haiwan hamster (tikus belanda) dan adakah ia termasuk dalam hadis Rasul s.a.w. (yang bermaksud): “Terdapat lima jenis binatang boleh dibunuh iaitu gagak, ular, tikus, helang dan anjing gila.”  Riwayat Al-Bukhari...?

Jawapan:

Alhamdulillah. Setelah memperhatikan dari sebahagian buku-buku tentang hamster, dan berdasarkan gambar yang terdapat di internet, jelaslah bahawa haiwan ini (hamster) sangat serupa dengan tikus.

Telah maklum, tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri dari 720 spesies. Keterangan ini dapat dilihat di dalam kitab Al-Qawaridh fi Al-Wathni Al-‘Arabi halaman 75 karya ‘Adil Muhammad Ali. 

Dan hamster termasuk jenis tikus, sebagaimana yang disebutkan oleh penulis buku tersebut di atas.

Dalam kitab Al-Mausu‘ah Al-‘Arabiyah Al-‘Alamiyah (26/122) disebutkan: ‘Hamster termasuk jenis pengerat kecil pendek, yang menjadi salah satu haiwan berbulu hiasan rumah. Biasanya, hamster memiliki ekor yang pendek, mulutnya basah, yang membantu dirinya untuk menampung banyak makanan. Terdapat sekitar 15 variasi hamster yang hidup.’

Maka hamster termasuk jenis tikus sehingga kita tidak harus (tidak boleh) menjual atau memeliharanya. Bahkan, wajib membunuhnya, sama ada di tanah halal mahupun di tanah haram. Sebagaimana makruf tentangnya dari hukum tikus.

Para ulama mengeluarkan hukum daripada nas (dalil) bahawa hukum tersebut berlaku bagi semua jenis tikus. 

Al-Hafiz Ibnu hajar berkata: ‘Tikus ada berbagai jenis, seperti al-juradz, al-khuld, tikus unta, tikus ikan, tikus al-ghoit dan semua hukumnya dalam pengharaman untuk dimakan dan keharusan membunuhnya adalah sama (tidak ada beza).’(Fathul Bari, 4/39) 

Tikus adalah haiwan yang membuat kerosakan dan mudarat.

Ad-Damiri berkata: ‘Tidak ada haiwan yang paling banyak membuat kerosakan melainkan tikus, tidak ada yang paling membahayakan melainkannya, kerana ia tidak meninggalkan ke atas sesuatu, kecuali pasti akan dimusnahkannya dan dirosakkannya.’ (Hayatul Hayawan Al-Kubra, 2/271)

Demikian juga memelihara dari jenis haiwan seperti ini adalah termasuk pembaziran masa dan harta dengan sesuatu yang tidak memberi sebarang faedah.

Allah jualah yang lebih Maha Mengetahui.

Sumber: http://www.islamqa.com/ar/ref/133190 

____________________________________
*Terjemahan di atas saya (Mohd Safwan) tidak terjemahkan secara keseluruhan, saya hanya menterjemahkannya sekadar apa yang saya mampu terjemahkannya. Semoga para pembaca dapat manfaatnya.

Jumaat, 10 Februari 2012

Kecintaan Kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam (1)

Berkata Al-Bukhari: Telah menceritakan kepada kami Ya'qub bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami Ibn 'Aliah dari Abdul 'Aziz bin Shahib dari Anas, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

"Tidak beriman salah seorang diantara kamu  (dengan keimanan yang sempurna - pent) sehinggalah aku lebih dicintai olehnya daripada ayah dan anaknya dan kaum Muslimin seluruhnya."

Makna penafian di dalam hadis di atas:

Berkata Ibnu Battal: "Yang dikehendaki (di dalam hadis tersebut) adalah tidak tercapainya hakikat keimanan dan darjatnya yang tinggi." (Dalam Syarahnya ke atas Sahih Al-Bukhari, 11/101)

Berkata Syeikh Soleh Alu Syeikh: "Sabda baginda: "Tidak beriman salah seorang diantara kamu" iaitu keimanan yang sempurna." (At-Tamhid li Syarhi Kitabit Tauhid, Soleh Ibrahim Alu Syeikh, Darut-Tauhid, cet-1, Tahun 1424, 2/10)

Berkata pengarang Syarah At-Tohawiyah: "Maksud penafian (keimanan) tersebut adalah penafian (keimanan) yang sempurna." (Syarah Al-'Aqidah At-Tohawiyah Ibnu Abil 'Izz Al-Hanafi, Takhrij: Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Darus-Salam, Mesir 1426, 1/343)

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Sabda baginda: "Tidak beriman" iaitu keimanan yang sempurna." (Fathul Bari, 1/80)

Beliau berkata lagi: "Di dalam ucapan Al-Qadhi 'Iyadh bahawa yang demikian itu merupakan syarat sahnya keimanan; kerana ia memikul cinta di atas makna pengagungan, serta diikuti oleh orang yang memahami  bahawa yang demikian itu bukanlah maksudnya; kerana iktikad yang besar bukanlah sentiasa dengan kecintaan, walaupun terdapat manusia yang mengagungkan sesuatu dengan bersendirian dengan yang dicintainya. Beliau berkata: Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak ada di dalam dirinya kecenderungan (untuk mencintai Nabi - pent) tidak akan sempurna imannya. Lihatlah kepada ucapan Umar yang diriwayatkan oleh Al-Musannif di dalam "Al-Iman wan-Nudzur" dari hadis Abdullah bin Hisyam, bahawa  Umar bin Al-Khattab berkata kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: "Sungguh engkau wahai Rasulullah  paling aku cintai dari segala sesuatu kecuali terhadap diriku sendiri." Sabda baginda: "Tidak, demi jiwaku yang berada ditanganNya, sehingga aku lebih dicintai olehmu dari dirimu sendiri." Maka Umar pun berkata kepada baginda: "Maka sesungguhnya sekarang ini, demi Allah engkau lebih aku cintai dari diriku sendiri."  Baginda bersabda: "Sekarang wahai Umar." Intaha. (1/81)

Berkata Syeikh Soleh Al-Fauzan: "Sabda baginda: "Tidak beriman salah seorang diantara kamu" tersebut bukanlah penafian pokok keimanan. Sesungguhnya ia adalah penafian bagi kesempurnaan iman. Iaitu: Tidak sempurna iman salah seorang diantara kamu jika dia mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tetapi dia tidak mendahulukan cintanya kepada baginda di atas kecintaan selain baginda dari kalangan makhluk. Jika seseorang itu pada dasarnya tidak mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, bahkan dia membenci Rasul, maka dia telah kafir. Adapun jika dia mencintai Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi dia mendahulukan cintanya kepada anaknya dan orang tuanya di atas kecintaan kepada Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam, maka ini mengurangkan keimanan. Bahkan tidak sempurna keimanan seseorang hamba dan tidaklah lengkap (keimanannya - pent) sehinggalah dia mencintai Rasul Shallallahu 'alaihi wasallam lebih dari dirinya yang berada diantara tulang belakangnya, lebih dia cintai dari anaknya yang merupakan sebahagian dari juzuk dirinya, lebih dia cintai dari orang tuanya yang merupakan asal-usul keturunannya, dan lebih dia cintai dari keseluruhan manusia." (I'anatul Mustafid bi Syarhi Kitabit Tauhid, Soleh bin Fauzan Al-Fauzan, Muassasah Ar-Risalah, cet-3, Tahun 1423, 2/41)

Faedah daripada hadis ini:

Di dalam hadis ini terdapat penjelasan tentang dasar agung yang berdiri di atasnya sebuah agama yang kukuh. Ia adalah sebagaimana kita diperintahkan untuk beribadah kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada sekutu bagiNya, maka kita diperintahkan supaya mengetahui yang demikian itu agar kita dapat mengikuti dan mentaati Nabi pada apa yang diucapkan dan diperintahkan. Inilah tuntutan dari kecintaan (terhadap baginda - pent).

Berkata Al-Hafiz Ibnu Rajab (Al-Hanbali) di dalam kitabnya Fathul Bari (1/22): "Mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam termasuk dasar keimanan dan merupakan perbandingan (ukuran) untuk mencintai Allah Azza wa Jalla. Allah Ta'ala telah membandingkannya dan menjanjikan agar disiksa mereka yang melebihikan cintanya kepada perkara-perkara yang baik dari kalangan kerabat-kerabat, harta-harta, daerah-daerah dan selain yang demikian. Maka Allah Ta'ala berfirman:

 قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ 

Maksudnya: "Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." (At-Taubah: 24)

Diterjemahkan Oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah.

Selasa, 7 Februari 2012

Al-Quran Menjadi Syafa'at Di Hari Kiamat

Kita sering mendengar hadis berikut ini:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at."

Berikut ini saya bawakan hadis di atas secara lengkap:

Abu Umamah Al-Bahili berkata: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at kepada orang yang membacanya. Bacalah Az-Zaharawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali-Imran kerana pada hari kiamat kedua-duanya akan datang bagaikan awan atau bayang-bayang, atau kedua-duanya seakan dua kumpulan burung yang berhujjah mempertahankan tuannya. Dan bacalah olehmu akan surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan, meninggalkannya adalah kerugian, dan sihir tidak akan mampu menghadapinya." (HR. Muslim, M.S no: 1337).

Hadis di atas ini menerangkan tentang keutamaan membaca Al-Quran, yang mana kelebihan bagi yang membaca Al-Quran adalah di hari akhirat kelak Al-Quran akan datang memberi syafa'at kepada pembacanya terutamanya adalah surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran.

Demikian juga hadis yang diriwayatkan dari Jubair bin Nufair berkata: Aku mendengar An-Nawwas bin Sam'an Al-Kilabi berkata: Aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

Maksudnya: "Akan didatangkan Al-Quran di hari kiamat kelak kepada ahlinya (yakni orang-orang yang selalu membaca Al-Quran - pent) yang beramal dengannya, terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran..." (HR. Muslim, M.S no: 1338)

Dalam riwayat lain:

يَأْتِي الْقُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

Maksudnya: "Al-Quran akan datang kepada ahlinya dari kalangan orang-orang yang mengamalkannya di dunia, terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran." (HR. Tirmizi, katanya hadis Gharib. Menurut Syeikh Al-Albani hadis ini sahih; Shahih wa Dha'if Sunan At-Tirmizi, no: 2883)

Imam At-Tirmizi berkata pada menjelaskan hadis di atas ini:

مِنْ هَذَا الْوَجْهِ وَمَعْنَى هَذَا الْحَدِيثِ عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَتِهِ كَذَا فَسَّرَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ هَذَا الْحَدِيثَ وَمَا يُشْبِهُ هَذَا مِنْ الْأَحَادِيثِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَفِي حَدِيثِ النَّوَّاسِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَدُلُّ عَلَى مَا فَسَّرُوا إِذْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَفِي هَذَا دَلَالَةٌ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ الْعَمَلِ

Maksudnya: "Di sisi ahli ilmi (ahli sunnah) berpendapat dari wajah dan makna hadis ini adalah bahawa (dihari kiamat kelak - pent) akan didatangkan pahala kepada pembacanya. Demikianlah tafsiran sebahagian ahli ilmi tentang hadis ini dan apa-apa yang serupa dengan hadis-hadis berikut, dan di dalam hadis An-Nawwas tersebut dari Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apa yang menunjukkan ke atas penafsiran bagi sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bahawasanya akan didatangkan pahala-pahala bacaan Al-Quran kepada pembacanya yang mengamalkannya di dunia. Maka dengan itu menjadi dalil bahawasanya akan didatangkan pahala-pahala amalan (kepada pembaca Al-Quran dihari kiamat - pent)." (Sunan At-Tirmizi, M.S 10/115, no: 2808)

Syeikh Muhammad Soleh Al-'Utsaimin rahimahullah (wafat 1421 Hijrah) berkata:


قال النبي صلى الله عليه وسلم اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه إذا كان يوم القيامة جعل الله عز وجل ثواب هذا القرآن شيئا قائما بنفسه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه يشفع لهم عند الله سبحانه وتعالى فإن القرآن إذا تلاه الإنسان محتسبا فيه الأجر عند الله فله بكل حرف عشر حسنات ومثله حديث النواس بن سمعان رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم أخبر أن من قرأ القرآن وعمل به فإنه يأتي يوم القيامة يتقدمه سورة البقرة وآل عمران يحاجان عن صاحبهما يوم القيامة ولكن الرسول صلى الله عليه وسلم قيد في هذا الحديث قراءة القرآن بالعمل به لأن الذين يقرءون القرآن ينقسمون إلى قسمين قسم لا يعمل به فلا يؤمنون بأخباره ولا يعملون بأحكامه هؤلاء يكون القرآن حجة عليهم وقسم آخر يؤمنون بأخباره ويصدقون بها ويعملون بأحكامه فهؤلاء يكون القرآن حجة لهم يحاج عنهم يوم القيامة لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال القرآن حجة لك أو عليك وفي هذا دليل على أن أهم شيء في القرآن العمل به

“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bacalah olehmu akan Al-Quran kerana ia di hari kiamat kelak akan memberi syafa’at kepada para pembacanya iaitu apabila berlakunya hari kiamat maka Allah Azza wa Jalla menjadikan pahala pada Al-Quran tersebut sesuatu yang berdiri dengan dirinya. Ia akan datang di hari kiamat kelak untuk memberi syafa’at kepada para pembacanya iaitu mensyafa’atkan untuk mereka di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka sesungguhnya Al-Qur’an bila datang kepada manusia sebagai penghitung pahala di sisi Allah maka baginya setiap huruf adalah sepuluh kebaikan.

Dan seperti hadis An-Nawwas bin Sam’an radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan bahawa barangsiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya maka sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat terutamanya surah Al-Baqarah dan Ali-Imran yang akan menjadi hujah kedua-duanya di hari kiamat kelak. Akan tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengikat (Qaid) dengan hadis tersebut iaitu membaca Al-Quran disertai dengan mengamalkannya adalah kerana orang-orang yang membaca Al-Quran terbahagi menjadi dua:

Pertama: Orang yang tidak mengamalkannya, orang yang tidak beriman dengan apa dikhabarkan kepadanya, dan orang yang tidak beramal dengan hukum-hakamnya. Mereka itulah orang-orang yang Al-Quran menjadi hujah ke atas mereka (yakni Al-Quran akan membantah mereka - pent).

Kedua: Orang yang beriman dengan yang apa dikhabarkan kepadanya, membenarkannya, dan mengamalkan hukum-hakamnya. Mereka itulah orang-orang yang Al-Quran menjadi hujah bagi mereka (yakni Al-Quran akan membela mereka - pent) sebagai hujah-hujah kepada mereka di hari kiamat. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

القرآن حجة لك أو عليك

Maksudnya:  “Al-Quran itu boleh menjadi hujah yang akan membela kamu atau hujah yang akan membantah kamu.”

Dan dari dalil ini menunjukkan betapa pentingnya pada Al-Quran itu untuk diamalkan.” (Syarah Riyadhus Solihin, M.S 1/1142)

Peringatan:

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa Al-Quran itu adalah kalamullah (kata-kata Allah) dan bukan makhluk dan pendapat ini disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal Jama'ah menyelisihi golongan muktazilah. Penjelasannya boleh didapati di kitab-kitab (kutub) Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah silalah merujuk di sana.

Secara ringkasnya sebagaimana dijelaskan oleh Al-Imam Ja'far At-Tahawi rahimahullah (wafat 321 Hijrah) di dalam Matan Aqidahnya, beliau berkata:


وأن القرآن كلام الله منه بدأ بلا كيفية قولاً، وأنزله على رسوله وحياً وصدقه المؤمنون على ذلك حقاً وأيقنوا أنه كلام الله تعالى بالحقيقة ليس بمخلوق ككلام البرية فمن سمعه فزعم أنه كلام البشر، فقد كفر

Maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran adalah Kalamullah berasal dariNya tanpa diketahui tatacara (kaifiyat) ucapannya, diturunkan ke atas RasulNya sebagai wahyu, dibenarkan oleh orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, dan mereka meyakini bahawasanya Kalamullah itu hakikat dan bukanlah makhluk seperti ucapan manusia. Maka barangsiapa yang mendengarnya dan berpendapat bahawa ianya adalah ucapan makhluk, maka dia telah kafir." (Dinukil dari At-Ta'liqat Al-Mukhtasarah 'Ala Matnil 'Aqidah At-Tohawiyah oleh Fadhilatus-Syeikh Dr. Soleh Fauzan Al-Fauzan)

Wallahua'lam

[*M.S = Singkatan kepada Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Dicatat oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...