Jumaat, 18 Jun 2010

Mengatasi Kesulitan Rezeki

Penulis: Ustadz Abu Hamzah Yusuf

Liku-liku kehidupan memang tidak dapat dikira dengan kiraan. Negeri yang sedemikian makmurnya ini, terancam dengan kekurangan tempat pencarian rezeki. Kegoncangan melanda di mana-mana. Kegelisahan menjadi selimut kehidupan yang tidak boleh ditanggalkan. Begitulah jikalau krisis ekonomi sudah memakan korban.

Seakan manusia telah lalai, bahawa segala yang terhampar di alam ini ada Zat yang mengaturnya. Apakah mereka tidak ingat Allah Ta’ala telah berfirman :

"Dan tidaklah yang melata di muka bumi ini melainkan Allahlah yang memberi rezekinya." (Hud : 6)

Keyakinan yang mantap adalah bekal utama dalam menjalani asbab (usaha) mencari rezeki. Ar-Rahman yang menjadikan dunia ini sebagai negeri imtihan (ujian), telah memberikan jalan keluar terhadap permasalahan yang dihadapi manusia. Diantaranya

1. Berusaha dan Bekerja

Sudah merupakan sunnatullah seseorang yang ingin mendapatkan limpahan rezeki Allah mestilah berusaha dan bekerja. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala :

"Kalau telah ditunaikan solat Jum’at maka bertebaranlah di muka bumi dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya agar kamu bahagia." (Al-Jumu’ah : 10)

Rezeki Allah itu mesti diusahakan dan dicari. Tapi, kadang-kadang kerana pengaruh, sombong dan harga diri seseorang enggan bekerja. Padahal mulia atau tidaknya suatu pekerjaan itu dilihat apakah pekerjaan tersebut halal atau haram.

2. Taqwa

Banyak orang melalaikan perkara ini, kerana kesempitan hidup yang dialaminya. Dia mengabaikan perintah-perintah Allah, kerana tidak sabar menunggu datangnya pertolongan Allah. Padahal Allah Ta’ala telah menyatakan :

"Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya. Dan memberikan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (At-Thalaq : 2)

Iaitu dari jalan yang tidak diharapkan dan diangankan-angankan. Demikian komentar Qatadah, seorang tabi’in (Tafsir Ibnu Katsir 4/48). Lebih jelas lagi Syaikh Salim Al-Hilali mengatakan bahawa Allah Yang Maha Tinggi dan Agung memberitahukan, barangsiapa yang bertaqwa kepada-Nya nescaya Dia akan memberikan jalan keluar terhadap permasalahan yang dihadapinya dan dia akan terbebas dari mara bahaya dunia dan akhirat serta Allah akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka (Bahjatun Nadhirin 1/44).

3. Tawakkal

Allah berfirman :

"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Dia akan mencukupi (keperluan)nya." (At-Thalaq: 3)

Yakni ‘Barangsiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah nescaya Dia akan mencukupkan apa yang dia inginkan,” demikian kata Imam Al-Qurtubi dalam dalam Al-Jami’ Ahkamul Qur’an, 8/106.

Dan tidak dinamakan tawakkal apabila tidak menjalani usaha. Sesungguhnya menjalani usaha merupakan bahagian dari tawakkal itu sendiri. Oleh kerana itu Ibnul Qayyim mengatakan: "Tawakkal dan kecukupan (yang Allah janjikan) itu, bila tanpa menjalani asbab yang diperintahkan, merupakan kelemahan semata, sekalipun ada sedikit unsur tawakkalnya. Hal yang demikian itu merupakan tawakkal yang lemah. Maka dari itu tidak sepatutnya seorang hamba menjadikan sikap tawakkal itu lemah dan tidak berbuat dan berusaha. Sepatutnya dia menjadikan tawakkal tersebut bahagian dari asbab yang diperintahkan untuk dijalani, yang tidak akan sempurna makna tawakkal kecuali dengan itu semua." (Zadul Ma’ad 2/315). Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan kita dalam riwayat yang sahih :

“Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana burung diberi rezeki, pergi dipagi hari dalam keadaan perut kosong, dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang.” (HR. An-Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Syukur

Syukur adalah jalan lain yang Allah berikan kepada kaum mukminin dalam menghadapi kesulitan rezeki. Dalam surat Ibrahim ayat 7 Allah berfirman:

"Kalau seandainya kamu bersyukur, sungguh-sungguh Kami akan menambah untuk kamu (nikmat-Ku) dan jika kamu mengingkarinya, sesungguhnya azab-Ku amat pedih." (Ibrahim : 7)

Oleh kerana itu dengan cara bersyukur insya-Allah akan mudah urusan rezeki kita. Adapun hakikat syukur adalah: “Mengakui nikmat tersebut dari Zat Yang Maha Memberi nikmat dan tidak mempergunakannya untuk selain ketaatan kepada-Nya,” begitu Al-Imam Qurtubi menerangkan kepada kita (tafsir Qurthubi 9/225)

5. Berinfaq

Sebahagian orang barangkai menyangka bagaimana mungkin berinfaq dapat mendatangkan rezeki dan kurnia Allah, sebab dengan berinfaq harta kita menjadi berkurang. Ketahuilah Zat Yang maha Memberi Rezeki telah berfirman :

"Dan apa-apa yang kamu infaqkan dari sebahagian harta kamu, maka Allah akan menggantinya." (Saba: 39)

6. Silaturrahim

Dalam hal ini Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

"Barangsiapa yang berkeinginan untuk dibentangkan rezeki baginya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah menyambung silaturrahim." (HR. Bukhari dan Muslim)

7. Doa

Allah memberikan senjata yang ampuh bagi muslimin berupa doa. Dengan berdoa seorang muslim insya Allah akan mendapatkan apa yang dia inginkan. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyuruh kita agar berdoa tatkala kita menghadapi kesulitan rezeki.

"Ya Allah aku meminta kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima." (HR. Ibnu Majah dan yang selainnya)

Wallahu a’lam bish Showab.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...