Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi
Unit Penerbitan & Informasi Masjid UMS
mohd.hairi_nonchi@yahoo.com.my
Peringatan Keras Daripada al-Quran & al-Sunnah
Kepada Para Periwayat & Penyebar Hadith Palsu
Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala : “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim” [Surah al-A’am : 144]
Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala “Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam” [Surah az-Zumar : 60]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dalam salah satu khutbahnya yang dikhabarkan oleh Abu Qatadah radhiallahu-‘anhu:
“Aku mendengar Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda di atas mimbar ini : Hendaklah kamu sekalian menjauhi (daripada) terlalu banyak menyampaikan hadith daripada aku. Maka barangsiapa yang menyampaikan sesuatu (hadith) daripadaku – hendakah dia menyatakan yang sebenar-benarnya (sahih). Dan barangsiapa yang mengada-adakan dusta atas namaku padahal aku tidak (pernah) mengatakannya – maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di neraka” [Sunan Ibnu Majah – no: 035]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/439 dan Muslim 1/10. Hadith ini adalah mutawatir – Lihat : Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, ms. 239]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Jangan kamu berdusta ke atasku. Barangsiapa yang berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/52 dan Muslim 1/10]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 1291 dan Muslim – no: 4]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadith yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah” [Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya – no: 15]
Pernyataan Para ‘Ulama Hadith Mengenai Wajibnya Mengetahui Dan
Menjelaskan Kedudukan Sanad Hadith Semasa Menyebarkannya
Adalah tidak dibolehkan seseorang itu menyebarkan sesebuah hadith yang tidak dapat dipastikan kedudukan sanadnya. Al-Syu’aib al-Arna’uth berkata:
“Sesungguhnya seorang ulama hadith Syam, Badruddin al-Hasani telah berkata, tidak harus menyandarkan sesebuah hadith kepada Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh seorang huffaz yang dikenali. Sesiapa yang berkata, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam telah bersabda, sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadith tersebut dibimbangi dia termasuk dalam hadith yang menyebut: “Sesiapa yang berdusta ke atasku sesuatu yang aku tidak ucapkan, maka siap sedialah tempat duduknya dalam neraka” [Syu’aib al-Arna’uth, (nota kaki) Siyar A’lam al-Nubala’ 19/340]
Selain itu, al-Imam al-Thohawi (w321H):
“Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada Rasulullah berdasarkan sangkaan (atau tidak pasti), bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar. Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara batil. Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadith. Mereka termasuk dalam sabdanya Nabi shalallahu-‘alaihi-wasallam “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka”. Kami berlindung daripada Allah Ta’ala daripada sedemikian” [Musykil al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ’Abd al Salah Syahin; Dar al Kutub al Ilmiah,
Tegasnya, hendaklah seseorang itu terlebih dahulu mengetahui apakah sumber periwayatan serta kedudukan/status sanad hadith (sekadar mampu) tersebut sebelum menyampaikannya kepada orang. Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala :
“Dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan Allah dengan apa yang Allah tidak turunkan sebarang bukti (dalil yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak tahu” [Surah al’Araf : 33]
Menurut ‘Abdullah bin al-Mubarak, beliau berkata:
“Sanad itu adalah sebahagian daripada al-Din (agama). Kalaulah tidak kerana sanad, sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu (sekalipun tidak benar)” [Riwayat Muslim 1/10]
Mungkin ada yang bertanya, apakah boleh menyandarkan sesuatu hadith yang sudah jelas kedudukan sanadnya sebagai palsu atau dha’if ke atas nama kemuliaan baginda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dengan alasan kerana inti matan atau teksnya mengandungi sesuatu pengertian yang baik?. Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah rasanya penulis menukilkan perkataan Syaikh Jamaluddian al-Qasimi (w1322H) berikut sebagai penjelasan:
“Terdapat tujuan (yang sangat mustahak mengapa) para imam hadith menerangkan tentang sanad dan kelemahannya. Ia lebih besar daripada tujuan menggalakkan ibadah, puasa dan solat. Iaitu untuk membebaskan dan memelihara syariat yang suci daripada sebarang penambahan (atau perubahan). Ini merangkumi penambahan yang baik atau buruk. Apakah lagi keburukan yang lebih besar akan masuk ke dalam syariat yang suci ini daripada dibuka ruang untuk para pendusta mencipta apa sahaja yang mereka suka? Tanpa membezakan antara yang benar dan bohong? Kemudian, siapa yang sanggup namanya digunakan oleh penulis lain bagi membolehkan mereka menulis apa sahaja yang mereka sukai mengenai pemikiran atau perkataan, sekalipun ia (bermaksud) baik? Siapa pula yang menerima jika seseorang berdusta menggunakan nama menteri atau ketua dengan mengeluarkan sesuatu ketetapan atau edaran bersama dengan tanda tangannya? Bolehkah semua itu diterima dengan baik tanpa menganggapnya mempersendakan undang-undang, didenda atau sekurang-kurangnya dibantah? Siapa pula yang dapat bayangkan bahawa dia boleh mengada-adakan suatu perintah tertinggi dan menghebahkannya seakan-akan ia (suatu arahan yang sah) daripada sultan, namun (adakah) dia tidak dihukum (kerana berdusta ke atas nama sultan)? Jika demikian, siapa pula muslim yang dibenarkan untuk berdusta kepada Rasulullah?” [Al-Qasim, Qawaid al-Tahdith, ms. 165]
Jelasnya, menyebarkan sesuatu hadith sekalipun dengan tujuan yang baik sedangkan telah jelas akan kelemahan atau kepalsuannya di sisi para ilmuan adalah tidak dibenarkan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam :
“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith mengenaiku sedangkan dia mengetahui kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang berdusta” [Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1]
Sebagai tambahan, elok rasanya penulis nukilkan pernyataan seorang ulama’ hadith terkemuka dalam mazhab Syafi’e iaitu Ibn Hibban ketika menghuraikan hadith “Cukuplah menjadi satu dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)” [Diriwayatkan oleh Muslim – no: 5] di mana beliau telah berkata:
“Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadith) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih” [Tamam al-Minnah Fi’ al-Ta’til ‘
Sekian, Wallahu-a’lam.