Ahad, 4 September 2011

KITAB-KITAB SALAF DALAM MASALAH AKIDAH


Syeikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali
Wahai saudaraku yang mulia;
Sekarang kita sampai kepada pembahasan yang sesuai dengan judul tulisan ini. Kita telah mengetahui perbezaan antara manhaj salaf dengan khalaf dan mengetahui pula kedudukan dan pentingnya akidah salaf yang garis besarnya adalah berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi kebid’ahan.
Di dalam bab ini, saya akan menyebutkan dua Imam yang mulia.
Imam Az-Zuhri rahimahullah berkata: “Ulama-ulama kita berkata:
“Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.”
Imam Malik rahimahullah berkata:
“As-Sunnah adalah seperti perahunya Nabi Nuh. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa yang tidak mahu menaikinya, maka dia akan tenggelam.” [Lihat Fatawa Syaikhul Islam (4/57) dan kitab Al I’tisham (1/224-225)]
Seharusnya bagi (seorang) penuntut ilmu bersemangat untuk menyelamatkan akidah dan manhajnya.
Caranya dengan cara membiasakan diri dengan membaca kitab-kitab sunnah dan kitab yang berisi akidah salafus soleh serta bersungguh-sungguh dalam menelaahnya. Kemudian mempraktikkan apa yang telah diketahuinya dengan penuh keadilan dalam semua urusan. Tidak tafrit (meremehkan) dan tidak pula ifrat (melampaui batas).
Hendaklah para penuntut ilmu menghindari sikap keras yang melampaui batas. Selalu bersama para ulama yang kukuh di atas sunnah dan mencontohi mereka untuk menghadapi (permasalahan) yang berada di sekitar kita.
Menjauhkan diri dari sikap menentang dan berpaling dari manhaj salaf serta kitab-kitabnya atau memburuk-burukkan para ulama yang kukuh (di atas ilmu) atau menganggap mereka jahil dan lalai.
Jika semuanya ini telah kamu ketahui, maka ketahuilah wahai saudaraku, bahawa kitab-kitab yang menjelaskan tentang akidah salaf ada tiga bentuk, iaitu:
Pertama       : Kitab-kitab Hadis.
Kedua          : Kitab-kitab Tafsir.
Ketiga          : Kitab-kitab khusus yang berbicara dalam masalah ijtihad.
Dan saya akan menjelaskan dari tiap-tiap bahagian jenisnya, jika berkemungkinan.
A.   KITAB-KITAB HADIS
Kebanyakan kitab-kitab hadis sangat memperhatikan hadis-hadis yang berkaitan dengan masalah i’tikad (keyakinan) dan mencakup juga di dalamnya bantahan terhadap penyelisihnya.
Diantara kitab-kitab hadis adalah:
  1. Sahih Al-Bukhari (Kitab hadis yang paling utama).
Imam Al-Bukhari memasukkan dalam kitab Sahih beliau tiga kitab dalam masalah i’tikad dan bantahan kepada kelompok Murji’ah (Murji’ah adalah kelompok sesat yang memiliki keyakinan bahawa amal perbuatan bukan termasuk bahagian dari Iman). Kitab Tauhid milik beliau rahimahullah mencakup di dalamnya bantahan terhadap kelompok Jahmiyah (Jahmiyah adalah kelompok sesat yang menolak nama dan sifat-sifat Allah).
Sedangkan kitab Al-I’tisham bis-Sunnah mencakup bantahan terhadap para pengagung akal dan orang-orang yang mengingkari hadis Ahad sebagai hujjah (di dalam agama, khususnya dalam masalah akidah – edt).
  1. Sahih Muslim.
Imam Muslim memasukkan di dalam kitab Al-Iman (Permasalahan tentang akidah) dan mencakup bantahan terhadap Qadariah (Pemahaman Qadariah dinisbahkan kepada Mu’tazilah, disebabkan mereka mengingkari takdir. Qadariah ada 2 jenis iaitu Qadariah pertama dan Qadariah Mu’tazilah).
  1. Sunan Abu Daud.
Abu Daud memasukkan dalam Sunan-nya, kitab As-Sunnah yang di dalamnya membahas bantahan terhadap Qadariah, Murji’ah, Jahmiah Al-Mu’attilah (Yakni Jahmiah yang menolak sifat-sifat Allah – edt).
Beliau bahkan meletakkan judul dan nama-nama kelompok tersebut seperti ucapan beliau dalam bab: Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
4.   Sunan Ibnu Majah.
Al-Imam Abu ‘Abdillah Muhammad Yazid bin Majah meletakkan di dalam mukadimah kitab Sunan milik beliau tentang wajibnya mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam dengan jumlah halaman lebih kurang sebanyak 100 halaman dengan jumlah hadis sebanyak 266 buah.
Beliau membuat banyak bab (di dalamnya), diantaranya: bab: Fima Unkiratil Jahmiyah. Beliau menyebutkan di dalam bab ini pengingkaran Jahmiah terhadap ru’yatullah (Allah akan dilihat pada hari kiamat), Allah berbicara dan Allah beristiwa’ di atas ‘Asary-Nya.
Beliau membawakan hadis-hadis yang merupakan bantahan terhadap mereka. Beliau menjelaskan juga tentang Khawarij dan selain mereka dari kelompok-kelompok bid’ah. Bahkan beliau menulis satu bab (yang membahas) kewajiban untuk menjauhi ra’yu (pendapat-pendapat yang tidak memiliki dasar atau dalil).
B.   KITAB-KITAB TAFSIR
Yang dimaksud di sini adalah kitab-kitab yang ma’tsur (memiliki sanad) dan tempat-tempat (permasalahan ini) pada ayat-ayat sifat, seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala:
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Ar-Rahman (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Toha: 5)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Dia (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Al-A’raf: 54; Yunus: 3; Ar-Ra’d: 2; Al-Furqan: 59; As-Sajdah: 4; Al-Hadiid: 4)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ
“Kepada apa yang Aku telah menciptakannya dengan kedua tangan-Ku. (Sod: 75)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ
“Bahkan kedua tangan-Nya terhampar (terbuka).” (Al-Maidah: 64)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا
“Yang berlayar dengan mata-mata Kami.” (Al-Qamar: 14)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
“Dan Tuhan-mu telah datang dan malaikat bersaf-saf (berbaris-baris).” (Al-Fajr: 22)
Dan selainnya dari ayat-ayat sifat (yakni ayat yang menyebutkan sifat-sifat Allah subhanahu wa ta’ala).
Termasuk dari sederetan tafsir salaf, yang sudah dicetak dan yang belum dicetak, dengan keistimewaannya iaitu bersanad ertinya seorang musafir (ulama ahli tafsir) menyebutkan sand-sanad hadis sampai akhir.
Kitab-kitab tafsir tersebut antara lain:
  1. Tafsir Ibnu abi Hatim.
  2. Tafsir Abd. Bin Humaid.
  3. Tafsir Ibnu Mardawaih.
  4. Tafsir Al-Baghawi.
  5. Tafsir At-Tobari.
  6. Tafsir Ad-Dural Mantsur, karya: Imam As-Suyuti.
  7. Tafsir Ibnu Katsir.
C.   KITAB-KITAB DALAM MASALAH AKIDAH
Wahai saudara-saudara yang kucintai;
Jika disebutkan akidah salaf Ahlus Sunnah dan tokohnya dalam menjelaskan akidah tersebut serta gigih membelanya, maka Imam Ahmad bin Hanballah sebagai imam mereka dan sekaligus sebagai pemimpinnya. Di tangan beliaulah akidah salaf mencuat ke permukaan dan berbeza dengan para penyelisihnya.
Beliau telah tampil menghadang Jahmiah dan Mu’tazilah sebagaimana Abu Bakar tampil menghadang orang-orang murtad. Kerana itu beliau adalah sebagai lambang sunnah dan digelari Imam Rabbani dan As-Siddiq yang kedua. [Lihat kitab Manaqib Imam Ahmad karya Ibnul jauzi hal. 110 dan 116]
Tidak asing lagi, bahawa beliau rahimahullah telah mendapat ujian demi ujian yang tidak akan dapat dipikul oleh selain beliau dan tidak akan bersabar untuk menerima ujian seperti yang beliau alami dalam mempertahankan keyakinan.
Imam Al-Muhaddis Ali bin Al-Madini –Guru Imam Al-Bukhari- berkata: “Sesungguhnya Allah telah menjayakan Islam ini dengan dua tokoh dan tidak ada yang ketiganya, iaitu: Abu Bakar As-Siddiq pada hari-hari pemurtadan dan Imam Ahmad pada hari-hari fitnah, iaitu fitnah perkataan Al-Quran adalah mahluk dan pengingkaran terhadap ayat-ayat Allah.”
Al-Imam Ishaq bin Rahawaih mengatakan tentang beliau: “Kalau bukan kerana Imam Ahmad dan pengorbanan beliau, niscaya Islam ini akan hilang.”
Bahkan cinta dan bencinya (seseorang) kepada beliau rahimahullah adalah sebagai kayu ukur untuk mengetahui (adakah dia) Ahlus Sunnah atau Ahlul Bid’ah.
Imam Abi Hatim berkata: ‘Apabila kamu melihat seseorang mencintai Ahmad bin hanbal, ketahuilah bahawa dia adalah Ahlus Sunnah.”
Abu Ja’far Al-Fallas berkata: “Apabila kamu melihat seseorang mencerca Ahmad bin Hanbal, maka sesungguhnya dia adalah seorang Mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang sesat.” [Lihat Muqaddimah Al-Ma’rifah li Kitab Al-Jarh wat-Ta’dil, hal. 308-309]
Imam Ahmad sangat membenci berdalam-dalam tentang masalah agama, banyak berbicara tentang sifat-sifat Allah (sebagaimana Ahlul Bid’ah) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Ketika beliau melihat marabahaya yang akan menimpa agama yang didalangi oleh Mu’tazilah, maka beliau dalam keadaan terpaksa harus terjun ke medan pertarungan. Beliau mengorbankan segalanya demi terjaganya akidah umat ini.
Karya-karya Imam Ahmad diantaranya:
  1. Kitab As-Sunnah.
  2. Kitab Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
Beliau memberi kesempatan kepada para ulama di dalam menjelaskan akidah yang benar dan membantah para penyelisih dengan kemampuan yang jelas. Diantara sederetan para ulama yang memiliki kedudukan besar dalam membela akidah salaf dan memegang kitab antara lain:
  1. Al-Imam Abdullah bin Al-Mubarak (wafat pada tahun 181 H).
  2. Yahya bin Said Al-Qotton, seorang ulama ahli hadis, ahli hujjah dan kritis (wafat pada tahun 198 H).
  3. Ibnu Abi syaibah, Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim Al-Abbasi. Beliau telah menulis kitab As-Sunnah dan kitab Al-Iman (wafat pada tahun 225 H).
  4. Yahya bin Bukhair bin Abdurrahman Al-Hanzhali Al-Hafiz. (wafat pada tahun 226 H).
  5. Abu Abdillah Nu’aim bin Hammad. Beliau dan Murid-muridnya meninggal di penjara kerana dipukul dengan teramat kuat (wafat pada tahun 228 H).
  6. Abdul Aziz Al-Kinani Al-Makki, pengarang kitab Al-Haidah.
  7. Abdullah bin Muhammad Al-Ju’fi, salah seorang guru Imam Al-Bukhari (wafat pada tahun 229 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  8. Imam Ishaq bin Ibrahim yang terkenal dengan nama “Ibnu Rahawaih” (wafat pada tahun 238 H).
  9. Imam Muhammad bin Isma’il bin Al-Bukhari. Disamping menulis kitab Al-Jami’, beliau juga menulis kitab Khalqu Af’alil ‘Ibad dan Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  10. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Hani’ Al-Atsram, sahabat Imam Ahmad (wafat pada tahun 273 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah.
  11. Imam Abdullah bin Imam Ahmad. Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah dicetak dengan tahqiq oleh DR. Muhammad Said Al-Qottoni.
  12. Imam Utsman bin Said Ad-Darimi (wafat pada tahun 280 H). Beliau memiliki kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah dan Ar- Raddu ‘alal Marisi.
  13. Imam Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Said Al-Marwazi (wafat pada tahun 292 H). Kitab beliau berjudul As-Sunnah.
  14. Imam Abu Bakar Muhammad bin Al-Husain bin Abdillah Al-Ajurri (wafat pada tahun 360 H). Diantara karya beliau adalah kitab Asy-Syari’ah dan kitab At-Tasdiq bin Nazhar ila Wajhillah wama A’adda li Auliya’uhu.
  15. Imam Abul Qasim Sulaiman bin Ahmad At-Tabrani. Beliau memiliki karya-karya Al-Ma’ajim (Jamak/Plural kepada perkataan Mu’jam – edt) dan selainnya seperti kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 360 H).
  16. Imam Abu Ali Haubal bin Ishaq Asy-Syaibani, anak pakcik Imam Ahmad dan murid beliau (wafat pada tahun 283 H). Beliau menulis kitab yang berjudul As-Sunnah.
  17. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Harun Al-Khallaf, beliaulah yang telah menghimpun ilmu Imam Ahmad (wafat pada tahun 311 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dalam tiga jilid dan telah ditahqiq satu jilid oleh DR. ‘Atiyah Az-Zahrani.
  18. Imam Abu Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Ja’far bin Hayyan Al-Asbahani. Karyanya banyak, diantaranya adalah kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 369 H).
  19. Imam Abu Bakar Ahmad bin ‘Amr bin Abi ‘Ashim An-Nabil Asy-Syaibani (wafat pada tahun 287 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah ditakhrij hadisnya oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani rahimahullah.
  20. Imam Abu Hafiz Umar bin Ahmad bin Usman Al-Baghdadi, seorang penasihat dan terkenal dengan nama “Syahin.” Beliau seorang hafiz besar (wafat pada tahun 385 H). Beliau memiliki kitab As-Sunnah.
  21. Imam Abul Hasan Al-Asy’ari (wafat pada tahun 324 H). Beliau menulis kitab Al-Ibanah dan kitab Al-Mujiz. Beliau mengarang kitab tersebut dengan mengikuti jalan ahlul hadis dalam menetapkan sifat-sifat (bagi Allah) dan di dalamnya terdapat bantahan terhadap Jahmiah dan selainnya serta orang yang menta’tilkan (menolak) sifat-sifat (bagi Allah).
  22. Imam Khasyisy bin Asram (wafat pada tahun 253 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Al-Istiqamah dan Ar-Raddu ‘alal Ahlil Bid’ah.
  23. Imam Ishaq bin Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (wafat pada tahun 311 H), menulis kitab At-Tauhid wa Itsbat sifat Irrabi Azza wa Jalla.
  24. Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Tobari (wafat pada tahun 310 H). Beliau adalah penulis kitab tafsir yang besar dan kitab-kitab di atas manhaj ahli hadis dan sunnah, sebagaimana telah berlalu penjelasannya.
  25. Abu Abdillah Muhammad bin Yahya bin Mundah, seorang hafiz dan banyak berjalan dalam rangka untuk menuntut ilmu. Karya beliau antara lain kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 301 H).
  26. Imam Abu Al-Qasim Hibatullah bin Hasan Al-Lalikai (wafat pada tahun 481 H). Diantara kitab beliau adalah Syarah Usulus Sunnah dan telah dicetak dengan ditahqiq oleh DR. Ahmad Sa’ad Hamdan.
  27. Imam Al-Hafiz Amirul Mukminin dalam ilmu hadis, Abul Hasan bin Umar Ad-Daruqutni (wafat pada tahun 385 H). Diantara kitab beliau adalah kitab As-Sifat, kitab An-Nuzul dan kitab Ar-Ru’yah.
  28. Imam Al-Hafiz ‘Ubaidullah bin Muhammad bin Battoh Al-‘Akbari (wafat pada tahun 387 H). Diantara karya beliau adalah Al-Ibanah ‘an-Syari’atil Firqatunnajiyah wa Mujanabatul Firaqil Mazmumah, kitab Al-Ibanah As-Sughra dan kitab As-Sunnah.
  29. Imam Muhyis Sunnah, Abu Muhammad Al-Husain bin Mas’ud Al-Baghawi (wafat pada tahun 516 H). Diantara karya beliau adalah Syarhus Sunnah dan di dalamnya mencakup kitab Al-Iman. Diantara bab dalam kitab Al-Iman adalah bab: Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah, bab: Bantahan terhadap Bid’ah-bid’ah dan hawa nafsu, bab: Menjauhi Ahlul Ahwa’. Dan telah lalu diisyaratkan kitab beliau dalam kitab-kitab tafsir.
  30. Imam Al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Muhammad bin Al-Fadl At-Taimi Al-Asbahani (wafat pada tahun 535 H). Diantara kitab beliau adalah Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah, dan Syarah Mazhab Ahlus Sunnah, dan telah dicetak dengan dua jilid dengan Muhaqqiq Muhammad Rabi’ Al-Madkhali dan Muhammad Abu Rahim.
  31. Imam Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah (wafat pada tahun 728 H). Kitab-kitab beliau terkenal (di kalangan kaum muslimin) dan banyak dipakai oleh para penuntut ilmu.
Beliau telah mengarang kitab-kitab yang banyak, baik dalam masalah akidah atau di dalam dakwah agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, memerangi segala bentuk bid’ah dan hawa nafsu. Diantara kitab beliau, antara lain: Al-Aqidah Al-Wasitiyah, Al-Aqidah Al-Hamawiyah, At-Tadmuriyah, Iqtidha Siratal Mustaqim, Minhajus Sunnah, Daru Ta’arudhul ‘Aql wan Naql, Qaidatan Jalilatun fi At-Tawassul wal Wasilah, Ar-Raddu ‘ala Al-Bakri dan Ar-Raddu ‘ala Al-Akhna’i.

Sumber: Kajian Bagi Pemula Berkenalan Dengan Salaf, Pustaka Sumayyah, Penterjemah Abu Usamah Ibnu Rawiyah An-Nawawi. Judul Asli: Adwa’un ‘ala Kutubis Salafi fil ‘Aqidah. Dipindahkan ke dalam CHM oleh Ahmad Al-Makassari (ashthy.wordpress.com)

Khamis, 1 September 2011

7 Golongan Yang Allah Naungi di Hari Kiamat

Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَا

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:

  1. Pemimpin yang adil.
  2. Pemuda yang membesar di atas kebiasaan ‘ibadah kepada Tuhannya.
  3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah.
  5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’.
  6. Orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
  7. Orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua matanya basah kerana menangis.”
(HR. Al-Bukhari no. 620 dan Muslim no. 1712)

Penjelasan:

Ketujuh orang yang tersebut dalam hadis di atas, walaupun lahiriah amalan mereka berbeza-beza bentuknya, akan tetapi semua amalan mereka itu mempunyai satu sifat yang sama yang membuat mereka semua mendapat naungan Allah Ta’ala. Sifat itu adalah mereka sanggup menyelisihi dan melawan hawa nafsu mereka guna mengharapkan keredhaan Allah dan ketaatan kepada-Nya.

1. Pemimpin yang adil.

Dia adalah manusia yang paling dekat kedudukannya dengan Allah Ta’ala pada hari kiamat. Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash radhiallahu anhuma dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا

“Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat dari cahaya, di sebelah kanan Ar-Rahman Azza wa Jalla -sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-. Iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.” (HR. Muslim no. 3406)

2. Pemuda yang membesar di atas kebiasaan ‘ibadah kepada Tuhannya.

Hal itu kerana dorongan dan ajakan kepada syahwat di masa muda mencapai pada puncaknya, kerana kebanyakan awal penyimpangan itu terjadi di masa muda. Tapi tatkala seorang pemuda sanggup untuk meninggalkan semua syahwat yang Allah Ta’ala haramkan kerana mengharap redha Allah, maka dia sangat layak mendapatkan keutamaan yang tersebut dalam hadis di atas, iaitu dinaungi oleh Allah di padang mahsyar.

3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.

Sungguh Allah Ta’ala telah memuji semua orang yang memakmurkan masjid secara umum di dalam firman-Nya:

في بيوت أذن الله أن ترفع ويذكر فيها اسمه يسبح له فيها بالغدو والآصال رجال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة يخافون يوماً تتقلب فيه القلوب والأبصار ليجزيهم الله أحسن ما عملوا ويزيدهم من فضله والله يرزق من يشاء بغير حساب

“Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang. Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. (Meraka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.” (QS. An-Nur: 36-38)

Terkaitnya hati dengan masjid hanya akan didapati oleh siapa sahaja yang membawa jiwanya menuju ketaatan kepada Allah. Hal itu kerana jiwa pada dasarnya cenderung memerintahkan sesuatu yang buruk. Sehingga jika dia meninggalkan semua ajakan dan seruan jiwa yang buruk itu dan lebih mendahulukan kecintaan kepada Allah, maka layaklah dia mendapatkan pahala yang sangat besar.

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah.

Kedua orang ini telah berjihad dalam melawan hawa nafsu mereka. Hal itu kerana hawa nafsu itu menyeru untuk saling mencintai kerana selain Allah kerana adanya tujuan-tujuan duniawiah. Makna ‘mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah’ adalah keduanya bersatu dan bermuamalah kerana keduanya mencintai Allah. Kerana itu bila salah seorang di antara mereka berubah dari sifat ini (mencintai Allah), maka temannya itu akan meninggalkannya dan menjauh darinya kerana dia telah meninggalkan sifat yang menjadi sebab awalnya mereka saling menyayangi. Sehingga jadilah ada dan tidak ada cinta dan sayang di antara keduanya berputar dan ditentukan oleh ketaatan kepada Allah dan berpegang teguh kepada sunnah Rasul-Nya shallallahu alaihi wasallam.

5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’.

Yakni: Dia diminta oleh wanita yang mengumpulkan status sosial yang tinggi, harta yang melimpah, dan kecantikan yang luar biasa untuk berzina dengannya. Akan tetapi dia menolak permintaan dan ajakan tersebut kerana takut kepada Allah. Maka ini tanda yang sangat nyata menunjukkan dia lebih mendahulukan kecintaan kepada Allah daripada kecintaan kepada hawa nafsu. Dan orang yang sanggup melakukan ini akan termasuk ke dalam firman Allah Ta’ala:

وأما من خاف مقام ربه ونهى النفس عن الهوى فإن الجنة هي المأوى

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya.” (An-Naziat: 40)

Dan pemimpin setiap lelaki dalam masalah ini adalah Nabi Yusuf alaihissalam.

6. Orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Yakni dia berusaha semampu mungkin agar sedekah dan dermanya tidak diketahui oleh siapapun kecuali Allah, sampai-sampai diibaratkan dengan kalimat ‘hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya’.

Kerana ianya disunnahkan dalam setiap zakat, infak, dan sedekah agar orang yang mempunyai harta menyerahkannya secara langsung kepada yang berhak menerimanya dan tidak melalui wakil dan perantara. Kerana hal itu akan lebih menyembunyikan sedekahnya. Juga disunnahkan dia memberikannya kepada kerabatnya sendiri sebelum kepada orang lain, agar sedekahnya juga dapat disembunyikannya.

7. Orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua matanya basah kerana menangis.

Ini adalah amalan yang sangat berat dan tidak akan dirasakan kecuali oleh orang yang mempunyai kekuatan iman dan orang yang takut kepada Allah ketika dia sendiri mahupun ketika dia bersama orang lain. Dan tangisan yang lahir dari kedua sifat ini merupakan tangisan kerana takut kepada Allah Ta’ala.

Kemudian, penyebutan 7 golongan dalam hadits ini tidaklah menunjukkan pembatasan. Karena telah shahih dalam hadits lain adanya golongan lain yang Allah lindungi pada hari kiamat selain dari 7 golongan di atas. Di antaranya adalah orang yang memberikan kelonggaran dalam penagihan utang. Dari Jabir radhiallahu anhu: Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ

“Barangsiapa yang memberikan kelonggaran kepada orang yang berhutang atau menggugurkan hutangnya, maka Allah akan menaunginya di bawah naungan-Nya.” (HR. Muslim no. 5328)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...