Ahad, 17 Disember 2023

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu
Sumber: Facebook 


𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻 : 𝗣𝗲𝗺𝗶𝗻𝘂𝗺𝗮𝗻 𝗮𝗿𝗮𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗰𝘂𝗿𝗮𝗻 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗯𝗲𝗿𝗹𝗲𝗹𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻 𝗧𝘂𝗿𝗸𝗶 𝗨𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻𝗶𝘆𝗮𝗵.

Orang-orang jahil di Facebook sudah mula menulis kononnya konsert muzik diadakan di Riyadh adalah tanda-tanda akhir zaman. Mereka mengaitkannya dengan hadis akhir zaman, kononnya tanduk syaitan dari Najd sudah mula muncul, yakni apabila pemerintah Saudi yang mana pusat pemerintahannya di Riyadh mula menghalalkan konsert dan hiburan muzik.

Apa yang lebih keji lagi, mereka mengaitkan manhaj Salaf bawaan Muhammad bin Abdul Wahab atas kerosakan pemimpin Saudi yang membenarkan konsert muzik diadakan, walhal ramai Ulama Salafi yang sudah dipenjarakan dan masih lagi belum dibebaskan kerana melawan kerosakan maksiat yang berlaku di Saudi, seperti Sheikh Sulaiman Al-Ulwan dan Sheikh Umar Muqbil.

Orang-orang sebegini menonjolkan kejahilannya terhadap sejarah Haramain (yakni 2 Tanah Haram: Makkah dan Madinah).

Hakikatnya, pemerintah fasik wujud pada setiap zaman tanpa mengira manhaj aqidah. Dan sebahagian pemerintah fasik ini juga pernah mencemari atau membenarkan Haramain dicemari oleh perbuatan maksiat seperti peminuman arak dan pelacuran.

Berikut adalah beberapa catatan tentang keadaan Mekah, Madinah dan Jeddah semasa ia berada di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyah.

𝟏. 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐜𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐝𝐢 𝐇𝐢𝐣𝐚𝐳:

Johann Ludwig Burckhardt (1784-1817), seorang warga Switzerland yang belajar Bahasa Arab di Halab, Syria, telah menziarahi Hijaz pada tahun 1814. Dia terkejut dengan keadaan Hijaz semasa dia berada di sana:

"Sekumpulan pelacur menetap di Sh'ib Amir, tempat ini bukanlah tempat yang paling tersohor di Makkah. Sharif Ghalib mengenakan cukai tetap ke atas para wanita ini, dan mengenakan cukai tambahan kepada mereka, yakni ketika musim Haji, di mana mereka akan mengikuti para Hujjaj (orang-orang yang menunaikan haji) ke padang Arafah. Cukai yang sama juga dikenakan di Kaherah, dan juga semua bandar-bandar wilayah di Mesir. Kota Makkah dipenuhi oleh para pelacur, yang mana jumlahnya meningkat dengan ketibaan musim Haji dengan kedatangan para Hujjaj dari luar negara.

Para pelacur di sini lebih sopan daripada para pelacur di Mesir, di mana mereka tidak pernah muncul tanpa memakai niqab. Antara para pelacur di sini berbangsa Habsyah, di mana bekas tuan mereka berkongsi wang hasil pelacuran daripada mereka. Sebahagian pelacur di sini pula merupakan hamba yang dimiliki oleh penduduk Makkah."

[Johann Ludwig Burckhardt, Travels in Arabia, Islam and the Muslim World No. 2, m/s 128, suntingan John Ralph Willis, Centre of West African Studies, University of Birmingham]

𝟐. 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐜𝐮𝐫 𝐝𝐢 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐦𝐚𝐬𝐣𝐢𝐝:

"Makkah secara umumnya, dan khususnya di kawasan masjid, dipenuhi dengan kelompok burung merpati liar, yang dianggap sebagai harta masjid yang haram untuk dicerobohi, yang digelar Burung Merpati Baitullah, tiada siapa yang berani membunuh burung-burung ini, walaupun ia kadangkala memasuki rumah orang.

Di kawasan perkarangan masjid, terdapat bekas batu yang biasa diisi air untuk diminum oleh burung-burung ini, di kawasan ini juga perempuan-perempuan Arab akan membentangkan tikar jerami dan menjual jagung atau gandum durrah untuk para hujjaj membelinya dan memberi makan kepada burung-burung merpati ini.

Aku pernah melihat beberapa pelacur menggunakan cara ini untuk menonjolkan diri mereka sambil tawar-menawar dengan para hujjaj dan berpura-pura menjual jagung kepada mereka untuk memberi burung-burung merpati ini makan."

[Johann Ludwig Burckhardt, Travels in Arabia, Islam and the Muslim World No. 2, m/s 151 - 152, suntingan John Ralph Willis, Centre of West African Studies, University of Birmingham]

𝟑. 𝐀𝐫𝐚𝐤 𝐝𝐢𝐦𝐢𝐧𝐮𝐦 𝐬𝐞𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐝𝐢 𝐌𝐚𝐤𝐤𝐚𝐡:

I. "Kesucian Kota Makkah dan juga larangan jelas daripada Al-Quran tentang keharaman arak tidak mampu untuk menghalang penduduk Makkah daripada meneguk arak, dan mereka meneguknya dengan terlampau banyak sehinggalah mereka mabuk.

Kumpulan kapal dagang dari India akan membawa masuk minuman raki (arak Turki) dalam jumlah yang banyak di dalam tong. Arak ini kemudiannya akan dicampur dengan gula dan ekstrak kayu manis dan kemudiannya dijual atas nama air kayu manis. Para Sharif di Makkah dan Jeddah, pedagang dan ulama semuanya mempunyai tabiat meminum minuman ini, yang mana mereka meyakinkan bahawa minuman ini bukanlah arak dan juga bukan brandy, oleh itu ia tidak haram diminum.

Penduduk yang kurang berkemampuan tidak mampu untuk membeli minuman ini, jadi mereka meminum minuman yang diperam dengan kismis yang dibeli dari Taif, manakala golongan miskin meminum boozah. Ketika aku menetap di Taif, seorang lelaki Turki yang bekerja di rumah Muhammad Ali Pasha menyejat minuman brandy daripada buah anggur, dan menjualnya secara terang-terangan dengan harga 40 piastre sebotol."

[Johann Ludwig Burckhardt, Travels in Arabia, Islam and the Muslim World No. 2, m/s 196 - 197, suntingan John Ralph Willis, Centre of West African Studies, University of Birmingham]

II. Johann Ludwig Burckhardt sendiri mengeluh bahawa kesucian Kota Makkah telah dicemari oleh perbuatan maksiat ini:

"Telah disaksikan bahawa kesucian Kota Makkah sendiri, yang menjadi pusat kepada agama Islam, telah dicemari oleh perbuatan jijik ini secara terang-terangan yang dilakukan hampir setiap hari; mereka langsung tidak berasa malu dengan perbuatan yang mereka lakukan."

[Johann Ludwig Burckhardt, Travels in Arabia, Islam and the Muslim World No. 2, m/s 198, suntingan John Ralph Willis, Centre of West African Studies, University of Birmingham]

III. Jacques Jomier, Richard Francis Burton, Charles Montagu Doughty dan Jules Gervais-Courtellemont (jurugambar Perancis yang memeluk Islam) juga menyatakan perkara yang sama ketika mereka menziarahi Makkah, Madinah dan Jeddah dari tahun 1814 sehingga 1894. 

William Oschenwald meringkaskan pengalaman dalam catatan mereka semua ini seperti berikut:

"Kebanyakan lelaki yang mengerjakan Haji dan Umrah tidak ditemani oleh isteri mereka. Rombongan kafilah Haji daripada Mesir dan Syria biasanya akan ditemani oleh para pelacur pada awal abad ke-19 Masihi, namun selepas golongan Wahabi menawan Hijaz, fenomena ini terus dihapuskan. Pada sekitar tahun 1810-an terdapat pelacur yang menetap di salah satu tempat di Makkah (merujuk kepada Sh'ib Amir). Gejala homoseks juga wujud di sana.

Keadaan agak berbeza di ketiga-tiga kota ini (yakni Makkah, Madinah dan Jeddah) pada sekitar tahun 1850-an; di Jeddah, arak dan pelacuran sangat berleluasa secara terang-terangan, manakala tiada pelacur di Makkah dan Madinah pada waktu itu, namun arak masih diminum secara sembunyi oleh pegawai Turki Uthmaniyah.

Pada sekitar tahun 1870-an di Madinah, gejala bermain kad daun terup, minum arak dan penggunaan dadah, semuanya berasal daripada golongan askar Turki Uthmaniyah, namun pengaruhnya tidak terhad kepada mereka sahaja. Walaupun pada tahun 1884 terdapat rumah pelacuran terbuka yang mempunyai kedua-dua pelacur lelaki dan perempuan, para pelacur ini kemudiannya dihantar keluar kawasan Makkah dan Jeddah dan dipaksa menetap jauh dari kawasan kota utama.

Pada tahun 1902, pemain kompang, penyanyi dan penari wanita menemani para Hujjaj ke Mina. Bahkan kadangkala pernikahan pun diadakan dalam tempoh yang singkat (yakni nikah mut'ah) di Hijaz.

Kedatangan dan pemergian orang yang begitu ramai dalam tempoh yang sekejap telah menggalakkan perubahan yang mendadak dalam hubungan intim antara sesama manusia. Berkumpulnya ramai manusia di tempat yang asing bagi mereka dengan membawa wang yang banyak juga menyebabkan ramainya kemunculan pencuri yang berleluasa semasa musim Haji."

[William Oschenwald, Religion, Society and The State in Arabia, The Hijaz under Ottoman control, 1840 - 1908, m/s 125, terbitan Ohio State University Press]

𝟒. 𝐂𝐚𝐭𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐣𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐀𝐫𝐚𝐛 𝐌𝐞𝐬𝐢𝐫, 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐀𝐥-𝐉𝐚𝐛𝐚𝐫𝐭𝐢 (1753 - 1822)

Mungkin ada yang akan sangsi, kerana dakwaan ini diambil dari golongan orientalis. Jangan risau, penulis sejarah Arab Mesir, Abdul Rahman Al-Jabarti juga mencatatkan perkara yang sama.

Kredit terjemahan: Syakir Kamal 

وفي عاشره خرجت العساكر المجردة لسفر الحجاز إلى بركة الحج وهم مغاربة وعربان وارتحلوا يوم الأحد ثاني عشره.
10 Ramadhan:
Askar-askar yang tidak bertugas mula keluar ke Birkat al-Hajj untuk permusafiran ke bumi Hijaz. Askar-askar ini terdiri daripada orang Morocco dan Arab Badwi. 

Ahad, 12 Ramadhan
Mereka semua berangkat pergi [ke bumi Hijaz].

وفي الأربعاء خامس عشره برز دبوس اوغلي خارج باب الفتوح ليسافر بعساكره إلى الحجاز وكذلك حسن أغا سرششمة ونصبوا خيامهم واستمروا يخرجون من المدينة ويدخلون غدوا وعشيا وهم يأكلون ويشربون جهارا في نهار رمضان ويقولون: نحن مسافرون ومجاهدون ويمرون بأسواق ويجلسون على المساطب وبأيديهم الأقصاب والشبكات التي يشربون فيها الدخان من غير احتشام ولا حياء ويجوزون بحارات الحسينية على القهاوى في الضحوة فيجدونها مغلوقة فيسألون عن القهوجي ويطلبونه ليفتح لهم القهوة ويوقد لهم النار ويغلي لهم القهوة ويسقيهم فربما هرب القهوجي واختفى منهم فيكسرون الباب ويعبثون بآلاته وأوانيه فما يسعه المجىء وإيقاد النار وأشنع من ذلك أنه اجتمع بناحية عرضيهم وخيامهم الجم الكثير من النساء الخواطي والبغايا ونصبوا لهن خياما وأخصاصا وانضم إليهن بياع البوظة والعرقي والحشاشون والغوازي والرقاصون وأمثال ذلك وانحشر معهم الكثير من الفساق وأهل الأهواء والعياق من أولاد البلد فكانوا جميعا عظيما يأكلون الحشيش ويشربون المسكرات ويزنون ويلوطون ويشربون الجوزة ويلعبون القمار جهارا في نهار رمضان ولياليه مختلطين مع العساكر كأنما سقط عن الجميع التكاليف وخلصوا من الحساب

Rabu: 15 Ramadhan

Dubus Beyoğlu dan Hasan Agha muncul di luar Bab al-Futuh untuk turut bermusafir ke bumi Hijaz bersama askar-askarnya. 

Apabila sampai ke Hijaz, mereka mendirikan khemah-khemah mereka. Mereka berterusan keluar dari Madinah dan memasukinya [semula] pada waktu pagi dan petang sambil makan dan minum pada siang hari bulan Ramadan secara terang-terangan. Mereka memberi alasan: “Kami ini orang musafir dan orang yang melakukan jihad”.

Mereka berjalan-jalan di pasar-pasar dan duduk di bangku-bangku sambil memegang tebu dan merokok tanpa rasa malu. 

Pada waktu Dhuha, mereka pergi ke perkampungan al-Husainiyyah untuk mencari kedai kopi. Apabila mereka mendapati kedai kopi tersebut tutup, mereka bertanya-tanya tentang peniaga kopi kedai tersebut dan mereka meminta peniaga itu membuka kedai kopinya dan membuatkan mereka kopi. Kadang-kala, peniaga tersebut melarikan diri dan bersembunyi daripada mereka. Maka mereka pun akan memecahkan pintu kedai kopi tersebut dan bermain-main dengan alatan-alatan bancuhan kopi dan cawan-cawan sehingga peniaga tersebut terpaksa datang kembali lalu menghidupkan api (untuk membancuh kopi buat mereka).

Lebih teruk daripada perbuatan di atas, ramai wanita-wanita pendosa dan pelacur berkumpul berdekatan khemah-khemah mereka. Askar-askar tersebut mendirikan khemah-khemah dan pondok kayu buat wanita-wanita ini. Turut disertai oleh penjual-penjual arak boozah dan arak araqi, mat-mat gian, perompak-perompak, para penari dan golongan seumpama mereka. Begitu juga ramai orang fasiq, pengikut hawa nafsu dan anak-anak derhaka dari kalangan anak-anak tempatan menyertai mereka. Mereka semua ini hisap ganja, minum arak, berzina, meliwat, hisap shisha, dan berjudi secara terang-terangan pada siang dan malam Ramadhan dalam keadaan askar-askar tersebut bersama mereka, seakan-akan taklif telah gugur daripada mereka dan mereka terselamat daripada perhitungan hari kiamat.

*Madinah di sini merujuk kepada Madinah Nabawiyyah menurut penjelasan indeks kitab ini. Lihat gambar di ruang komen*

تاريخ عجائب الآثار في التراجم والأخبار للجبرتي
جزء: 4 صفحة: 335-336

Perhatikan persamaan catatan Al-jabarti dengan William Oschenwald; mereka berdua menyatakan bahawa gejala maksiat dan lagha ini dibawa oleh askar-askar Turki Uthmaniyah yang menetap di Hijaz.

Mengapa aku tonjolkan sejarah ini? 

Tujuan aku menonjolkan sejarah ini adalah hendak menunjukkan bahawa maksiat dan kerosakan sudah pernah dijalankan bahkan dihalalkan di Haramain sejak zaman dahulu lagi: ia bukanlah fenomena baharu dalam sejarah Haramain.

Maksiat dan kerosakan pernah berlaku di Tanah Haram semasa pemerintah Turki Uthmaniyah dan golongan Ashraf yang fasik berkuasa terhadapnya. Ia sekali lagi berulang di bawah pemerintah fasik zaman ini, Muhammad bin Salman, di bawah Kerajaan Saudi.

Ia tiada kena mengena dengan pegangan aqidah pemimpin tersebut, dan ia juga bukan tanda-tanda akhir zaman.

Semoga Allah membersihkan Jazirah Arab daripada maksiat dan kerosakan.

Sekian.

Wallahualam.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...