Selasa, 26 April 2016

TUHAN YANG MAHA MEMELIHARA

Allah SWT berfirman:

مَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُنْ لَهُ نَصِيبٌ مِنْهَا ۖ وَمَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُنْ لَهُ كِفْلٌ مِنْهَا ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُقِيتًا

Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa' 4: 85)

Al-Muqit bermaksud Dialah (Allah) yang Maha memelihara segala sesuatu di atas 'ArasyNya. Dia mempunyai kesempurnaan yang mutlak di dalam memberikan makanan dan mengagihkan rezeki makhlukNya. Dia memberi makan dan rezeki kepada setiap makhluk sesuai mengikut batas-batas yang telah ditetapkanNya, yang sepadan dengan kuantiti dan kualiti makhlukNya, sejalan dengan hikmahNya.

Ada yang Allah berikan kepada makhluk makanan asasnya yang mencukupi untuk jangka waktu yang lama. Ada juga yang hanya cukup dalam jangka waktu yang singkat. Boleh juga Allah mengujinya dengan tidak diberikan makanan kecuali cukup dalam jangka waktu yang sangat singkat. Boleh juga Allah mengujinya dengan tidak diberikan makanan kecuali melalui kepayahan yang sangat berat. Allah SWT menciptakan makanan dengan pelbagai jenis dan warna serta memudahkan cara untuk mengambil manfaat daripadanya bagi manusia dan haiwan. Allah SWT juga Maha Memberi rezeki makanan untuk hati, melalui ilmu pengetahuan dan keimanan.

Seorang Muslim yang mengesahkan Allah dengan nama ini dia seharusnya memberikan kesan kepada segenap kaum Muslimin secara umumnya, seperti kepercayaan dan keyakinan bahawa pada hakikatnya makanan iu bersumber daripada Allah, Tuhan semesta alam.

Bahkan ketika sedang ditimpa bencana dan semputnya jalan untuk melakukan usaha mencari rezekiz, seorang Muslim seharusnya memanfaatkan makanan utamanya sebagai makanan yang seimbang. Ertinya tidak terlalu kedekut dan tidak pula terlalu berlebih-lebihan. Allah memerintahkan untuk bersikap pertengahan di dalam segala sesuatu, dan bersabar di atas rasa lapar sebagai ujian yang tidak boleh dihindari oleh manusia. Allah tidak memerintahkan untuk memaparkan diri dan menyeksa tubuh badan dengan meninggalkan makan. Makan itu ada waktunya menjadi wajib, jika sekadar untuk meluruskan tulang,dan menjadi sunat jka sekadar untuk mendapatkan rasa kenyang sehingga memberikannya kekuatan untuk bergerak dan bekerja, serta menjadi makruh ketika melebihi itu semua. (Dr. Mahmud Abdurrazak Al-Ridhwani (2005), Ad-Du'aau bil-Asmaail Husna, ms 97).

Di antara doa yang sesuai dengan nama ini adalah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa yang Allah berikan makanan kepadanya, hendaklah dia berdoa:

اللهم بارك لنا فيه وارزقنا خيرا منه

Ya Allah! Berkatilah kami pada makanan ini dan berikanlah kepada kami rezeki yang lebih baik daripada ini." (As-Silsilatu As-Sahihah, no: 2320)

Semoga kita dapat manfaat bersama.

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...