Telah kita sebutkan di awal pembahasan kitab thaharah, bahawa thaharah adalah perbuatan menghilangkan hadas dan amalan yang semakna dengannya atau hilangnya najis. Dan kita juga telah mengetahui bahawa hadas terbagi menjadi dua: Akbar (besar) dan asghar (kecil), dimana hadas besar adalah hadas yang hanya dapat diangkat dengan mandi, sementara hadas kecil adalah hadas yang cukup diangkat dengan wudhu, dan pada keduanya jika tidak ada air maka diganti dengan tayammum.
Contoh hadas akbar adalah kekafiran, junub, serta haid dan nifas, sementara contoh hadas kecil adalah tidur, buang angin, dan buang air.
Adapun kali ini kami akan membahas mengenai hukum-hukum berkenaan dengan orang yang terkena hadas, baik akbar maupun asghar. Ada banyak hukum berkenaan dengan mereka, akan tetapi di sini kami hanya akan membahas hukum yang sering dipertanyakan oleh sebahagian kaum muslimin, iaitu:
1. Hukum berzikir.
2. Hukum membaca Al-Qur`an.
3. Hukum menyentuh mushaf Al-Qur`an.
4. Hukum masuk masjid.
5. Hukum sujud syukur dan tilawah.
Bolehkah kelima amalan ini dilakukan oleh orang yang belum berwudhu setelah hadas kecil, atau orang junub, atau wanita haid dan nifas? Berikut huraiannya secara berurut:
1. Hukum berzikir.
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa wanita yang haid atau orang yang junub atau selainnya dari kalangan orang yang berhadas, boleh bagi mereka untuk berzikir kepada Allah walaupun zikir tersebut mengandung ayat Al-Qur`an kalau memang zikir tersebut juga terdapat dalam Al-Qur`an, selama dia tidak meniatkan kalau yang dibaca itu adalah Al-Qur`an akan tetapi zikir yang bersifat umum, seperti: Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim), hamdalah (Alhamdulillahirabbil'alamin), dan zikir-zikir lainnya.
Ibnu Qudamah berkata dalam Al-Mughni (1/200), “Tidak ada perbezaan pendapat di antara mereka (para ulama) bahawa mereka (orang-orang yang berhadas) boleh berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana mereka perlu untuk membaca basmalah ketika mereka akan mandi (junub) dan tidak mungkin mereka menghindar dari hal ini.”
Nukilan ijma’ juga dinukil oleh An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/163) dan Ibnu Hazm dalam Al-Muhalla (1/77)
2. Hukum membaca Al-Qur`an.
Yang dimaksud dengan membaca di sini adalah bacaan yang disertai dengan bergeraknya lidah. Adapun melihat ke mushaf (tanpa menyentuhnya) lalu dia membacanya dalam hati tanpa menggerakkan lidahnya, maka tidak ada perbedaan pendapat di kalangan ulama akan bolehnya. Demikian yang diterangkan oleh Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/163)
Adapun hadas ashghar, maka Imam An-Nawawi berkata, “Kaum muslimin bersepakat akan bolehnya membaca AL-Qur`an bagi orang yang berhadas dengan hadas ashghar, tapi lebih utama jika dia berwudhu dahulu.” (Al-Majmu’: 2/163)
Adapun hukum membaca Al-Qur`an bagi orang yang berhadas akbar, maka ada tiga pendapat di kalangan ulama:
1. Tidak boleh bagi yang berhadas besar untuk membaca Al-Qur`an. Ini adalah mazhab Al-Hanafiah, Imam Malik -dalam salah satu riwayat-, Asy-Syafi’iyah, dan Ahmad -dalam sebuah riwayat-. Ini juga adalah pendapat Al-Hasan, An-Nakhai, Az-Zuhri, Qatadah, Atha`, Said bin Jubair, dan merupakan pendapat majoriti ulama.
Mereka berdalil dengan beberapa hadis berikut:
a. Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Nabi -shallallahu alaihi wasallam- bersabda:
لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
“Wanita yang haid dan juga orang yang junub tidak boleh membaca sedikit pun dari Al-Qur`an.” (HR. At-Tirmizi: 1/236 dan Ibnu Majah: 1/195)
Hadis ini berasal dari dua jalan:
Pertama: Dari riwayat Ismail bin Ayyasy dari Musa bin Uqbah Al-Qurasyi dari Nafi’ dari Ibnu Umar, sementara riwayat Ismail dari para perawi Hijaz adalah riwayat yang lemah, dan ini di antaranya.
Kedua: Dari jalan seorang lelaki dari Abui Ma’syar Najih dari Musa bin Uqbah dan seterusnya. Sisi kelemahannya jelas, kerana adanya perawi yang mubham (tidak tersebut namanya) dan Abu Ma’syar telah dinyatakan lemah oleh Al-Hafiz dalam At-Taqrib.
Oleh kerana itu Al-Hafiz berkata dalam Al-Fath (1/409), “Hadis Ibnu Umar lemah dari seluruh jalan-jalannya.” Lihat juga Ilal Ibnu Abi Hatim (1/49)
Lafaz ini juga diriwayatkan dari Jabir secara marfu’ (dari Nabi) akan tetapi di dalam sanadnya ada Muhammad bin Al-Fadhl seorang perawi yang matruk (ditinggalkan hadisnya), dan juga diriwayatkan darinya secara mauquf (dari ucapannya) akan tetapi di dalam sanadnya ada Yahya bin Abi Unaisah dan dia adalah seorang pendusta. Demikian disebutkan dalam At-Talkhish Al-Habir karya Ibnu Hajar (1/138), dan lihat juga Al-Irwa` hadits no. 192
b. Dari Ali -radhiallahu anhu- secara marfu’:
لَمْ يَكُنْ يُحْجِبُهُ عَنِ الْقُرْآنِ إِلاَّ الْجَنَابَةُ
“Tidak ada sesuatu pun yang memisahkan baginda (Nabi) -shallallahu alaihi wasallam- dari Al-Qur`an kecuali junub.” (HR. Abu Daud: 1/155, At-Tirmizi: 1/98,99, An-Nasai: 1/157, dan Ibnu Majah: 1/195)
Dan dalan sebuah lafaz, “Rasulullah -shallallahu alaihi wasallam- biasa membacakan Al-Qur`an kepada kami dalam keadaan apapun, selama baginda tidak dalam keadaan junub.” (HR. At-Tirmizi: 1/98)
Hadis ini juga berlaku bagi wanita yang haid kerana keduanya adalah hadas akbar.
Ini juga adalah hadis yang lemah kerana berasal dari riwayat Abdullah bin Salamah, seorang perawi yang rosak hafalannya di akhir hidupnya, dan ini adalah riwayatnya setelah hafalannya berubah, sebagaimana yang dikatakan oleh Syu’bah bin Al-Hajaj –rahimahullah- dan didukung oleh Al-Baihaqi. Al-Khaththabi berkata -sebagaimana dalam At-Talkhish (1/139)-, “Ahmad menyatakan lemahnya hadis ini.”
c. Juga dari Ali beliau berkata, “Saya melihat Nabi -shallallahu alaihi wasallam- berwudhu kemudian baginda membaca beberapa ayat Al-Qur`an. Kemudian baginda bersabda:
هَكَذَا لِمَنْ لَيْسَ جُنُبًا. فَأَمَّا الْجُنُبُ فَلاَ وَلاَ آيَةٌ
“Demikianlah sepatutnya bagi orang yang tidak junub, adapun orang yang junub maka dia tidak boleh membaca walaupun satu ayat.” (HR. Ahmad: 1/110)
Hadis ini berasal dari riwayat Abu Al-Gharif dari Ali, sementara Abu Al-Gharif adalah perawi yang majhul. Selain itu, hadis ini diperselisihkan apakah dia marfu’ dari Nabi ataukah mauquf atas Ali. Yang kuat dalam masalah ini bahwa hadis ini mauquf dari perkataan Ali bin Abi Thalib. Lihat keterangannya dalam Al-Ahkam Al-Mutarattibah alal Haidh wan Nifas hal. 23-24.
d. Dari Abdullah bin Malik Al-Ghafiqi bahawa dia mendengar Nabi -shallallahu alaihi wasallam- bersabda, “Jika saya berwudhu dalam keadaan junub maka saya makan dan minum, tapi saya tidak akan membaca (Al-Qur`an) sampai saya mandi.” (HR. Al-Baihaqi: 1/308)
Hadits ini dinyatakan lemah oleh An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/180).
e. Nabi -alaihissolatu wassalam- bersabda:
إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ وَأَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ
“Sesungguhnya saya tidak senang berzikir kepada Allah kecuali dalam keadaan thaharah.”
Akan tetapi hadis ini tidak menunjukkan tidak bolehnya membaca Al-Qur`an, kerana paling tinggi kita katakan ketidaksenangan bqginda ini hanya mempunyai hukum makruh. Dengan dalil ucapan Aisyah -radhiallahu anha-, “Nabi -alaihishshalatu wassalam- selalu berzikir kepada Allah dalam setiap keadaan.”
f. Dari Abdullah bin Rawahah dia berkata:
قَدْ نَهَى النَّبِيُّ أَنْ يَقْرَأَ أَحَدُنَا الْقُرْآنَ وَهُوَ جُنُبٌ
“Sungguh Nabi -alaihissolatu wassalam- telah melarang kami untuk membaca Al-Qur`an dalam keadaan junub.”
Sanad hadis ini terputus kerana itu ia adalah hadis yang lemah, sebagaimana yang dinyatakan oleh An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/180)
2. Boleh bagi orang yang berhadas besar untuk membaca Al-Qur`an. Ini adalah pendapat Malik -dalam riwayat yang paling masyhur darinya- dan merupakan mazhab Al-Malikiah, juga merupakan salah satu pendapat Asy-Syafi’i, Ahmad -dalam satu riwayat darinya-, dan juga merupakan mazhab Azh-Zhahiriah dan juga pendapat dari Said bin Al-Musayyab. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Ibnu Taimiah dan Ibnu Al-Mundzir.
Dalil-dalil mereka sebagai berikut:
a. Sudah masyhur dalam riwayat-riwayat yang sahih bahawa Nabi -shallallahu alaihi wasallam- mengirim surat yang di dalamnya tertulis beberapa ayat Al-Qur`an kepada para pembesar orang kafir sementara kekafiran adalah hadas besar. Ini menunjukkan bolehnya orang yang haid dan junub untuk menyentuh dan membaca Al-Qur`an.
b. Dari Aisyah beliau berkata:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ يَذْكُرُ اللهَ فِي كُلِّ أَحْيَانِهِ
“Rasulullah -shallallahu alaihi wasallam- selalu berzikir kepada Allah pada setiap keadaannya.” (HR. Muslim: 1/282)
c. Dari Aisyah bahawa Nabi -shallallahu alaihi wasallam- bersabda kepada dirinya tatkala dia haid saat perjalanan menuju haji:
اِفْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ
“Lakukan apa saja yang dilakukan oleh orang yang berhaji, kecuali tawaf di Ka’bah sampai kamu suci.” (HR. Al-Bukhari: 1/77 dan Muslim: 2/873)
d. Ibnu Hazm meriwayatkan dalam Al-Muhalla (1/105) dari Ibnu Abbas -radhiallahu anhuma- bahawa beliau membaca Al-Qur`an dalam keadaan junub.
e. Membaca Al-Qur`an adalah termasuk zikir kepada Allah dan dia senantiasa dianjurkan, kerana itu barangsiapa yang mengatakan terlarangnya dalam keadaan hadas akbar maka hendaknya dia mendatangkan dalil, dan tidak ada satu pun dalil sahih dalam masalah ini sebagaimana yang telah diterangkan.
3. Membaca Al-Qur`an dibolehkan bagi wanita haid dan nifas tapi tidak dibolehkan bagi orang yang junub. Ini adalah salah satu pendapat dari Imam Malik dan salah satu pendapat dalam mazhab Al-Hanabilah.
Hal itu kerana hadas mereka (haid dan nifas) timbul bukan kerana kehendak mereka akan tetapi sudah ketentuan dari Allah, berbeza halnya dengan junub yang biasanya timbul kerana kehendak dirinya.
Waktu haid dan nifas juga lebih lama dibandingkan junub. Jika para wanita yang haid dan nifas dilarang membaca Al-Qur`an maka akan menyulitkan mereka dan boleh jadi hafalan mereka hilang jika tidak diulangi dalam jangka waktu yang lama, terlebih dalam nifas yang lamanya 40 hari. Adapun junub, maka dia dapat dihilangkan pada saat itu juga dengan segera mandi.
Tarjih:
Yang kuat dalam masalah ini adalah pendapat kedua yang menyatakan bolehnya orang yang berhadat akbar untuk membaca Al-Qur`an. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Imam Asy-Syaukani -rahimahullah-.