Sabtu, 26 Februari 2011

PERISTIWA YANG SANGAT MENAKUTKAN

Al-Ustadz Abul Abbas Muhammad Ihsan

Setelah ditiupnya sangkakala, terjadilah beberapa peristiwa yang sangat menakutkan.

1. Bumi digoncangkan, gunung-gunung hancur lebur.

Al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullah menyatakan (An-Nihayah hal. 154): "Di antara peristiwa yang akan terjadi (setelah ditiupnya sangkakala) adalah bumi digoncangkan, penghuninya digerak-gerakkan ke kanan dan ke kiri. Sebagaimana berita yang Allah Ta'ala sampaikan dalam firman-Nya:

إِذَا زُلْزِلَتِ الأرْضُ زِلْزَالَهَا. وَأَخْرَجَتِ الأرْضُ أَثْقَالَهَا. وَقَالَ الإنْسَانُ مَا لَهَا

Maksudnya: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangannya (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang terdapat) di dalamnya, dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (jadi begini)?" (Az-Zalzalah: 1-3)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ. يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ

Maksudnya: "Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusukan anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangatlah keras." (Al-Hajj: 1-2)

إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ. لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ. خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ. إِذَا رُجَّتِ الأرْضُ رَجًّا. وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا. فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا

Maksudnya: "Apabila terjadi hari kiamat, terjadinya kiamat itu tidak dapat didustakan (disangkal). (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya, maka jadilah ia debu yang beterbangan." (Al-Waqi'ah: 1-6)

Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa'di Rahimahullah menyatakan: "Allah Ta'ala mengajak bicara seluruh manusia dan memerintahkan agar mereka bertakwa kepada Tuhannya, yang telah memelihara mereka dengan nikmat-nikmat-Nya, baik yang nampak mahupun yang tidak tampak. Maka sudah selayaknya mereka bertakwa kepada-Nya, dengan meninggalkan kesyirikan, kederhakaan dan kemaksiatan. Semestinya pula mereka melaksanakan perintah-perintah-Nya selama mereka mampu melaksanakannya. Kemudian Allah Ta'ala mengkhabarkan tentang hal-hal yang akan membantu mereka dalam bertakwa, dan memperingatkan mereka agar mereka tidak meninggalkan ketakwaan tersebut, iaitu berupa berita-berita tentang peristiwa menakutkan yang akan terjadi pada hari kiamat." (Tafsir As-Sa'di hal. 532)

2. Langit terpecah-belah, bintang-bintang berjatuhan, cahaya bulan menghilang, matahari dan bulan dikumpulkan.

Peristiwa-peristiwa ini akan terjadi pada hari kiamat, sebagaimana yang Allah Ta'ala beritakan dalam surat At-Takwir, Al-Infithar dan Al-Insyiqaq.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda tentang keutamaan tiga surat tersebut:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ رَأْيُ عَيْنٍ فَلْيَقْرَأْ إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ، وَإِذَا السَّمَاءُ انْفَطَرَتْ، وَإِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ

"Barangsiapa yang senang memerhatikan (peristiwa-peristiwa yang akan terjadi) pada hari kiamat, hendaklah dia membaca surat At-Takwir, Al-Infithar dan Al-Insyiqaq." (HR. At-Tirmizi dari Ibnu Umar Radhiallahu 'Anhu, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam As-Sohihah no. 1081)

3. Allah Ta'ala akan mengenggam bumi dan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya yang mulia

Hal ini sebagaimana dalam firman-Nya:

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالأرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّماوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: "Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan." (Az-Zumar: 67)

Juga dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu, Rasulllah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

يَقْبِضُ اللهُ الْأَرْضَ وَيَطْوِي السَّمَاءَ بِيَمِينِهِ ثُمَّ يَقُولُ: أَنَا الْمَلِكُ، أنا الجبار، أَيْنَ مُلُوكُ الْأَرْضِ؟ أَيْنَ الْجَبَّارُونَ؟ أَيْنَ الْمُتَكَبِّرُونَ؟

Allah Ta'ala akan menggenggam bumi dan melipat langit dengan tangan kanannya. Kemudian Dia berfirman: "Akulah Raja di raja. Aku Maha Memaksa. Di mana raja-raja bumi? Di mana para pemaksa? Di mana orang-orang yang sombong?" (Muttafaqun 'alaih)

4. Hubungan nasab terputus

Oleh kerana dahsyatnya peristiwa-peristiwa yang terjadi, maka terputuslah hubungan nasab. Ayah tidak mampu menolong anaknya. Anakpun tidak mampu menolong orang tuanya. Suami tidak mampu menolong isterinya, sebagaimana seorang isteri juga tidak mampu menolong suaminya. Masing-masing berlepas diri dan mencari keselamatan dirinya sendiri.

Hal ini sebagaimana dalam firman Allah:

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلا أَنْسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلا يَتَسَاءَلُونَ

Maksudnya: "Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya." (Al-Mu'minun: 101)

فَإِذَا جَاءَتِ الصَّاخَّةُ. يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ. لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Maksudnya: "Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya." ('Abasa: 33-37)

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الأسْبَابُ

Maksudnya: "(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali." (Al-Baqarah: 166)

يَوْمَ لا تَمْلِكُ نَفْسٌ لِنَفْسٍ شَيْئًا وَالأمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ

Maksudnya: "(Iaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah." (Al-Infithar: 19)

Sehinggalah para rasul yang termasuk Ulul Azmi juga, tatkala mereka diminta untuk memberikan syafaat terhadap para makhluk di padang mahsyar, mereka menyatakan:

نَفْسِي، نَفْسِي

"Ya Allah, selamatkan diriku, selamatkan diriku."

Kecuali Nabi kita Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, sebagaimana disebutkan dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim tentang kisah asy-syafa'atul 'uzhma (syafaat yang agung).

5. Penyesalan pada hari itu tidaklah bermanfaat

Allah Ta'ala berfirman:

وَيَوْمَ تَشَقَّقُ السَّمَاءُ بِالْغَمَامِ وَنُزِّلَ الْمَلائِكَةُ تَنْزِيلا. الْمُلْكُ يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ لِلرَّحْمَنِ وَكَانَ يَوْمًا عَلَى الْكَافِرِينَ عَسِيرًا. وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلا. يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا. لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنْسَانِ خَذُولا

Maksudnya: Dan (ingatlah) hari (ketika) langit pecah belah mengeluarkan kabut putih dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang. Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Tuhan Yang Maha Pemurah. Dan adalah (hari itu), satu hari yang penuh kesukaran bagi orang-orang kafir. Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: "Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul." Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab (ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur'an ketika Al-Qur'an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia. (Al-Furqan: 25-29)

Al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullah berkata: "Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta'ala mengkhabarkan tentang (apa yang akan terjadi pada hari kiamat) berupa penyesalan orang-orang kafir yang tidak mahu mengikuti jalan Rasul 'Alaihis Solatu Wassalam dan apa yang baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam bawa, berupa kebenaran nyata dari sisi Allah Ta'ala yang tidak ada keraguan di dalamnya. Dia justeru menempuh jalan yang lain. Maka, tatkala terjadi hari kiamat dia akan menyesal, dalam keadaan penyesalan itu tidak bermanfaat baginya." (Tafsir Ibnu Katsir, 3/280)

Wallahu a'lam.

Disunting oleh: Abu Soleh 

Khamis, 17 Februari 2011

Maktabah Elkirtasse Alternatif Maktabah Shameela

Baru-baru ini saya telah menukar perisian komputer netbook saya daripada Windows 7 kepada Ubuntu Linux (lihat: http://www.ubuntu.com/). Oleh kerana terbiasa membuka Maktabah Shameela (boleh mendownloadnya di sini: http://shamela.ws/) maka saya mengalami kesukaran dalam membuka Maktabah Shameela pada perisian baru ini. Akhirnya setelah mencari-cari di engine carian google.com saya pun terbaca beberapa web dan blog yang memperkenalkan Maktabah Elkirtasse yang juga serupa seperti Maktabah Shameela. Bezanya adalah reka bentuknya sahaja, namun kitab-kitabnya adalah sama seperti dalam Maktabah Shameela. Sila lihat gambar dan video di bawah:




Cara untuk mendapatkannya:

Untuk mendapatkan perisian ini, anda cuma perlu mendownload perisiannya di sini: elkirtasse-200-Ubuntu 10.4 atau elkirtasse v-3.0 (bagi perisian Ubuntu). Jika anda memakai perisian selain daripada ubuntu, sila lihat: http://sites.google.com/site/kirtase/download untuk mendapatkan perisian sesuai dengan komputer anda. Setelah itu dapatkan kitab-kitabnya secara manual melalui: http://aatalla.p2h.info/listbook.html  atau http://sites.google.com/site/kirtase/downbook/allbook setelah itu anda perlu masukkan kitab-kitab tersebut secara manual. Lihat gambar di bawah:



Setelah itu kita telah boleh membuka kitab-kitab di dalam Maktabah Elkirtasse dengan mudah seperti Maktabah Shameela, bezanya mungkin kelihatan sedikit menarik Maktabah Elkirtasse disebabkan visual dan pergerakan-pergerakan di dalam Maktabah Elkirtasse yang tidak ada pada Maktabah Shameela. Apa yang penting, kita telah dapat membaca kitab-kitab arab seperti di dalam Maktabah Shameela seperti dahulu. Selamat mencuba...

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...