Ahad, 21 November 2010

SIHIR ITU KUFUR!

Takrif Sihir:

Pada Bahasa: Sesuatu yang tersembunyi sebabnya.

Pada Istilah: Jampi serapah, tangkal-tangkal, dan simpulan-simpulan tali, yang memberi kesan kepada hati dan badan yang menyebabkan sakit, membunuh, memisahkan antara dua orang (menjadikan persaan benci antara dua yang berkasihan) atau menimbulkan kasih antara yang saling membenci, dan sebagainya.

[Rujuk: Taisir al-Azizi al-Hamid,m.s 325]


Jenis-jenis Sihir:

Pertama: Sihir yang dilakukan dengan jampi serapah, tangkal azimat, dan simpulan-simpulan tali disertai dengan amalan taqarrub kepada jin seperti penyembelihan haiwan tertentu sebagai persembahan kepada syaitan.

Kedua: Sihir yang dilakukan dengan ubat-ubatan, perasapan dan seumpamanya tanpa disertai dengan amalan taqarrub kepada syaitan .

Pembahagian sihir seperti ini diambil daripada pemerhatian ke atas kalam Imam al-Syafii r.h namun setelah diteliti, ternyata bahagian yang kedua daripada sihir ini bukanlah sihir yang dikehendaki pada syarak namun ianya bersesuaian dengan asal bahasa makna sihir iaitu sesuatu yang tersembunyi sebabnya.

Nabi s.a.w menamakan “al-Bayan” (kata-kata yang berseni) sebagai sihir kerana kata-kata itu boleh memukau pendengarnya dan membuat mereka kagum dan tidak kurang juga terpedaya sehingga yang batil disangka hak dan hak disangka batil.

Nabi s.a.w menamakan al-Namimah (adu domba) sebagai sihir kerana ianya membuat manusia yang berkawan menjadi musuh, yang bercinta menjadi benci, dan yang bersatu menjadi pecah seumpama kesan sihir al-Sarf (pemisah) yang biasa dilakukan untuk mencerai beraikan suami isteri.

Termasuk dalam jenis sihir yang kedua ini adalah amalan silap mata yang menggunakan peralatan dan kepantasan tangan semata-mata tanpa ada unsur-unsur syaitan kerana ia sesuatu yang tersembunyi sebabnya dan kelihatan sesuatu yang mencarik adat walaupun pada hakikatnya tidak.


Sihir Hakikat dan Khayal:

Sihir juga terbahagi kepada:

Pertama: Hakikat iaitu yang memberi kesan sebenar dengan izin Allah Ta’ala seperti sihir pemisah, sihir yang menyebabkan sakit, sihir yang membunuh seperti santau, dan lain-lain yang mempunyai kesan sebenar. Ini berdalilkan firman Allah Ta’ala:

فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “maka mereka belajar daripada keduanya (Harut dan Marut) apa yang memisahkan antara seseorang dengan pasangannya dan apa yang sebenarnya tidaklah mereka memudaratkan dengannya seseorang pun melainkan dengan izin Allah jua…” [al-Baqarah: 102].

Juga firman Allah Ta’ala:

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

Maksudnya: “dan (aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan para peniup di atas simpulan-simpulan”. [al-Falaq: 4].

Dimaksudkan dalam ayat-ayat ini adalah wanita-wanita sihir yang menjalankan sihir mereka dengan membuat simpulan-simpulan tali atau bungkusan-bungkusan azimat kemudian mereka melakukan “nafats” yakni semburan ringan dgn sedikit air liur ke atas simpulan itu beserta niat jahat yang diikuti dengan ruh yang jahat (Syaitan) maka memberi kesan pada orang yang disihir.

Jika sihir tidak memberi kesan dan tidak memudaratkan tentulah Allah s.w.t tidak akan memerintahkan kita supaya berlindung dengan-Nya daripada kejahatan sihir dan ahli sihir.

Kedua: Sihir Khayalan yakni amalan-amalan sihir yang pada zahirnya kelihatan ia mengubah sesuatu kepada sesuatu yang lain, namun sebenarnya hanyalah khayalan di mana syaitan menyamarkan ke atas manusia perkara tersebut.

Ini seperti sihir yang dilakukan tukang sihir Fir’aun sebagaimana firman Allah Ta’ala:

قَالَ بَلْ أَلْقُوا فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَى

Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka. [Taha: 66].

Firman Allah Ta’ala:

قَالَ أَلْقُوا فَلَمَّا أَلْقَوْا سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (Keadaan dan caranya). [al-Aa’raf: 116].

Kata Imam Ibn Katsir r.h:

خيلوا إلى الأبصار أن ما فعلوه له حقيقة في الخارج، ولم يكن إلا مجرد صنعة وخيال

Maksudnya: “Mereka mengkhayalkan kepada mata-mata bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah hakikat sebenar sedangkan ianya sekadar tipu muslihat”. [Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/456].

Para Ulama Tafsir menyatakan bahawa para Ahli Sihir Fir’aun memasukkan dalam Tali dan Tongkat mereka dengan Merkuri yang apabila dicampak ke tengah panas memberi kesan tali-tali dan tongkat-tongkat ini bergerak. [Ibn Katsir, 5/302, Fathul Qadir, 5/11].

Namun, jika diteliti dengan benar, walaupun sihir itu khayalan namun ia tetap memberi kesan kepada mereka yang melihatnya maka ini menunjukkan sihir itu mempunyai Ta’tsir (kesan) dan hakikat –dan semuanya berlaku dengan izin Allah sesuai dengan iradah kauniah-Nya-. [Lihat Nota Kaki: Tahqiq al-Tajrid, juz 2 m.s 269].

Maka di sini bezanya Akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dengan Akidah Muktazilah, di mana Ahlus Sunnah wal Jamaah berkeyakina Sihir itu ada yang hakikat dan ada yang khayal sedangkan Muktazilah menyatakan sihir itu semata-mata khayal. Ini suatu pengingkaran benda yang badihi (daruri) kerana mana mungkin dikatakan orang yang mati yang kerana sihir matinya hanya suatu khayalan??! Atau mereka yang sakit dan bercerai berai kerana sihir itu hanya silap mata semata-mata?!

Maka yang sebenarnya, sihir jika berkaitan dengan pemisahan, pembunuhan, merosakkan akal, jiwa, dan hati maka ini semua hakikat, namun jika berkaitan dengan pengubahan suatu bentuk kepada bentuk yang lain maka ini khayalan.


Bagaimana Sihir itu Berlaku?

Berlakunya sihir adalah apabila seseorang manusia itu mendekatkan dirinya kepada Syaitan dengan menyembah Syaitan seperti melakukan korban kepada Jin, menyeru jin, melakukan amalan-amalan yang kufur seperti memijak mushaf, dan ada juga yang pada awal urusannya menjaga amalan solat, bahkan sentiasa solat berjemaah tetapi solatnya itu dilakukan atas perintah dan kehendak Jin bukan untuk Allah dan ada juga yang solat tetapi dalam keadaan hadas.

Kesimpulannya, seseorang itu akan menjadi Ahli Sihir dengan menjadi kafir kepada Allah dan beriman dengan Syaitan –nauzubillah min zalik- kemudian Syaitan tadi akan menunaikan hajat tukang sihir ini yang pada hakikatnya dia dipergunakan dan diperhambakan oleh Syaitan itu.


Hukum Beriman akan Wujudnya Sihir:

Wajib atas setiap mukmin mempercayai dan mengakui wujudnya sihir kerana ianya telah dinyatakan dengan terang dalam al-Qur’an dan al-Hadis seperti mana kewajipan beriman wujudnya Jin.

Mereka yang ingkar akan kewujudan sihir dan jin adalah kafir selepas ditegakkan padanya Hujah kerana dia ingkar perkara yang sarih (jelas) dalam al-Qur’an.

Firman Allah Ta’ala:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللَّهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْكَافِرِينَ

Maksudnya: (apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadaNya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?[al-Zumar: 32].

Maksud kebenaran dalam ayat ini adalah al-Qur’an dan wahyu, maka barangsiapa yang mendustakan apa-apa sahaja perkara yang jelas dalam wahyu sama ada al-Qur’an mahupun Sunnah maka dia dihukum kafir oleh Allah Ta’ala dan diancam dengan azab neraka yang kekal –nauzubillah min zalik-.

Namun, perlu difahami bahawa semua yang berlaku daripada kesan sihir adalah semata-mata dengan izin dan kehendak Allah Ta’ala yang kauni qadari (rujuk artikel kami berkenaan al-Qada’ wal Qadar untuk memahami sifat Iradat Allah). Keimanan bahawa sihir ini mudaratnya hanya berlaku dengan izin Allah adalah sebaik-baik penawar bagi sihir, maka dengan itu mereka yang terkena sihir tidak akan mencari sihir yang lain untuk memusnahkannya bahkan akan kembali rujuk kepada Allah Ta’ala dan jika sakitnya berterusan dia akan sabar dan tetap atas iman.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “dan tidaklah mereka itu (Ahli Sihir) dapat memberi mudarat seseorang pun melainkan dengan izin Allah jua”. [al-Baqarah: 102].


Hukum Belajar dan Beramal dengan Sihir:

Terdapat 3 Peringkat mereka yang belajar dan beramal dengan sihir:

1- Belajar tanpa beramal

2- Belajar dan beramal denagnnya sekali sahaja.

3- Belajar dan beramal dengan sihirnya (ini dinamakan Ahli Sihir).

Maksud belajar di sini adalah mereka yang ‘menuntut’ dalam Istilah masyarakat Melayu kita seperti dia pergi bertapa, berguru dengan bomoh dan seumpamanya.

Ketiga-tiga jenis martabat ini adalah Syirik dan Kufur kerana Allah Ta’ala berfirman:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

Maksudnya: “mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir…” [al-Baqarah: 102].

Dalam ayat yang suci ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa amalan sihir adalah kufur dan syaitan-syaitan yang mengajarkan sihir kepada manusia adalah kafir dan Allah Ta’ala menafikan apa yang didakwa oleh Yahudi bahawa amalan sihir itu berasal daripada Nabi Sulaiman ‘alaihis solatu was salam.

Kaum Yahudi adalah kaum syaitan manusia yang paling banyak mengamalkan sihir dan Allah Ta’ala telah mengkafirkan mereka atas tindakan ini. Maka tidak syak lagi sihir dan penagamalnya adalah kufur dan musyrik kepada Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat yang sama:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

Maksudnya: dan tidaklah keduanya (Harut dan Marut) mengajarkan seseorang pun (ilmu sihir) sehingga mereka berpesan kepadanya: “Sesungguhnya kami (berdua) adalah ujian (untuk kamu) maka janganlah kamu menjadi kafir (dengan belajar sihir)

Ayat ini menjelaskan bahawa Malaikat Harut dan Marut diperintahkan Allah Ta’ala untuk turun ke dunia di bumi Babilon membawa ujian dan cubaan kepada manusia iaitu ilmu sihir, sesiapa yang hendak belajar ilmu sihir mereka akan diberi peringatan terlebih dahulu bahawa ilmu sihir ini adalah kufur dan syirik, jika mereka berdegil juga selepas itu, mereka akan diajar ilmu sihir dan jadilah mereka itu orang-orang yang kafir.

Perlu difahami bahawa Harut dan Marut adalah dua Malaikat yang mulia yang diperintahkan Allah Ta’ala untuk membawa ujian kepada manusia bukan seperti riwayat yang tersebar bahawa mereka berdua adalah Malaikat yang diuji, diberikan nafsu, diturunkan ke dunia kemudian melakukan maksiat dan syirik ianya tidak tsabit kepada Rasulullah s.a.w namun adalah daripada cerita Bani Israil (Israiliyyat).

Jelas daripada penerangan Allah Ta’ala kepada kita dalam ayat 102 surah al-Baqarah ini, amalan sihir adalah kufur dan pelakunya adalah kafir, nauzubillah min zalik. Ini adalah hukum bagi sihir yang berlaku padanya amalan-amalan syirik seperti memijak mushaf, menyembah syaitan, dan seumpamanya.

Firman Allah Ta’ala:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَؤُلَاءِ أَهْدَى مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا (51) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ وَمَنْ يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا (52)

Maksudnya: tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik Wahai Muhammad) kepada orang-orang tang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w). (kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya. [al-Nisaa: 51-52].

Maksud al-Jibt dalam ayat ini antaranya adalah Sihir dan Taghut adalah Syaitan, Allah mencela mereka yang menjadikan Sihir dan Syaitan sebagai amalan dan semabahannya dan menyatakan mereka adalah kaum yang dilaknat. Ini jelas menunjukkan kafirnya penyembah syaitan dan Ahli Sihir.

Adapun jenis sihir yang kedua; sihir berdasarkan alat-alatan, ubat-ubatan, dan kepantasan tangan maka ini adalah HARAM, dan barangsiapa yang menghalalkannya maka dia kafir.

Ini kerana sihir yang jenis ini atau dinamakan sebagai Sya’wazah tidak terlepas dalamnya penipuan, memudaratkan pihak yang lain, dan perkara-perkara fasiq yang lainnya.

Ini termasuk amalan silap mata kerana sabda Nabi s.a.w:

وَيْلٌ لِلَّذِى يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Maksudnya: “Celakalah bagi mereka yang bercerita kepada manusia lalu dia berdusta untuk membuatkan sesuatu kaum ketawa, celakalah baginya dan celakalah baginya” [Abu Daud, al-Tarmizi dan Ahmad-hadis hasan-].

Amalan Silap Mata tidak lepas daripada unsur penipuan dengan tujuan membuatkan manusia tertawa maka dia termasuk dalam ancaman Nabi s.a.w ini tanpa syak lagi.


Hukuman Atas Ahli Sihir:

Apabila telah tsabit seseorang itu terlibat mengamalkan sihir, maka dia adalah seorang yang kafir kepada Allah Ta’ala maka hendaklah dia dihukum bunuh sebagaimana tsabit dalam nas-nas yang sahih berkenaan masalah ini.

عن بجالة بن عبدة قال: “كتب عمر بن الخطاب! أن اقتلوا كل ساحر وساحرة. قال: فقتلنا ثلاث سواحر

Maksudnya: “Daripada Bajalah bin ‘Abdah kata beliau: Umar bin al-Khattab telah menulis surat memerintahkan supaya: ‘Hendaklah kamu membunuh semua ahli sihir lelaki dan wanita’. Kata Bajalah: Maka kami membunuh tiga orang ahli sihir”. [al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra dan asal hadis ini dalam Sahih al-Bukhari].

Kata Imam Ahmad r.h, telah tsabit pelaksanaan hukuman bunuh ahli sihir daripada 3 orang Sahabat Rasulullah s.a.w iaitu: Umar, Hafsah Ummul Mukminin, dan Jundub ridwanullahi ‘alaihim.

Maka Ahli Sihir jika dia asalnya daripada muslimin, dihukum bunuh kerana perbuatannya menjadikan dia murtad, adapun jika dia seorang kafir asli, jika terbukti sihirnya membuat kerosakan, pembunuhan, dan penyesatan kepada orang ramai maka hendaklah juga dibunuh.

Zahir daripada dalil-dalil yang menunjukkan hukuman bunuh Ahli Sihir adalah dia dibunuh tanpa perlu meminta untuk dia bertaubat terlebih dahulu seperti murtad yang lain bahkan dia dihukum bunuh tanpa istitabah (diminta taubat). Wallahua’lam.


Alamat Ahli Sihir:

1- Bertanya kepada pesakit nama ibu walaupun kadang-kadang mereka akan bertanya juga nama bapa pesakit namun mereka perlu juga mengetahui nama ibu kerana ini adalah asal di sisi mereka.

2- Meminta barangan yang ada kaitan dengan pesakit seperti pakaiannya.

3- Bercakap dan membaca serapah yang tidak difahami atau disembunyikan daripada pesakit daripada mendengarnya yang kadang-kadang diselangi ayat-ayat al-Qur’an yang sengaja dikuatkan bacaannya untuk mengelirukan pesakit sedangkan jampi selebihnya dibaca secara perlahan.

4- Memberikan tangkal atau menggunakan tangkal sama ada daripada ayat al-Qur’an atau lainnya.

5- Meminta pesakit melakukan beberapa amalan pelik seperti jangan mandi untuk tempoh tertentu, jangan menyentuh air untuk tempoh tertentu, dan jangan keluar rumah untuk tempoh tertentu.

6- Meminta untuk menanam sesuatu di kawasan tertentu.

[al-Ruqyah al-Syar’iyyah wa Jahalat Ba’dul Mu’alijin, Dr. Abdullah al-Tayyar]


Cara-cara Syar’ie Merawat Sihir:

Secara ringkasnya adalah:

1- Membuang dan memusnahkan bahan yang digunakan sebagai alat sihir itu seperti mana yang Nabi s.a.w lakukan terhadap Sihir Labid bin al-A’sam –laknatullahi ‘alaih-.

2- Berbekam di kawasan badan yang dirasai terkena sihir.

3- Membaca ayat-ayat suci al-Qur’an kepada pesakit atau pada air lalu diminum dan dibuat mandi terutama surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nasa, Ayat al-Kursi, dan Surah al-Baqarah keseluruhannya.


Pelindung Diri daripada Sihir:

Antaranya:

1- Akidah yang Sahih di atas Manhaj Salafus Soleh

2- Solat Berjemaah

3- Zikir Pagi dan Petang yang sahih daripada Nabi s.a.w bukan zikir rekaan atau tambahan dan dibaca dengan cara yang sunnah bukan bidaah.

4- Bacaan al-Qur’an dan memahami serta beramal dengannya.

5- Memakan Tamar ‘Ajwah 7 biji di waktu pagi.

6- Zikir yang warid daripada Nabi s.a.w seperti zikir lepas solat, zikir ketika hendak tidur, selepas bangun tidur, masuk tandas, keluar tandas, ketika masuk dan keluar rumah, dan lainnya yang boleh didapati terhimpun dalam Kitab al-Azkar Imam al-Nawawi dan Hisnul Muslim oleh Syeikh Sa’id al-Qahtani.

* Tidak ada alasan bagi wanita yang haid untuk mengatakan dia tidak mampu melindungi dirinya daripada gangguan sihir kerana wanita haid masih boleh membaca zikir-zikir yang dinyatakan.


وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


Rujukan:

1- Syarah-syarah Kitab al-Tauhid oleh Imam al-Dakwah Muhammad al-Tamimi
  • Taisir al-Aziz al-Hamid
  • Fathul Majid
  • I’anatul Mustafid
  • Al-Jadid
  • Al-Tamhid
  • Hasyiah
  • Qurratu ‘Uyunil Muwahhidin
  • Al-Qaul al-Mufid
  • Tahqiq al-Tajrid
  • Al-Taudih al-Mufid

2- Al-Ruqyah al-Syar’iyyah wa Jahalat Ba’dul Mu’alijin, Dr. Abdullah al-Tayyar.

3- Kitab-kitab Tafsir
  • Al-Tabari
  • Ibn Katsir
  • Al-Baghawi
  • Al-Qurtubi

4- Aqidah al-Tauhid, Syeikh Soleh al-Fauzan

5- Syarah-syarah Matan Nawaqid al-Islam
  • Taisir Zil Jalal wal Ikram
  • Tabsir al-Anam



Oleh,
Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani
Kuliah Dakwah & Usuluddin Uni Islam Madinah al-Nabawiah.

Jumaat, 12 November 2010

WARA' DUSTA WARA' YANG SEJUK!!

السؤال: لقد تفشى ورع بارد بين بعض طلبة العلم، وهو : إذا سمعوا الناصحين من طلبة العلم أو العلماء يحذرون من البدع وأهلها ومناهجها، ويذكرون حقيقة ما هم عليه ويردون عليهم وقد يوردون أسماء بعضهم ولو كان ميتاً لافتتان الناس به، وذلك من أجل الدفاع عن هذا الدين، وكشف تلبيس الملبسين والمندسين بين صفوف الأمة لبث الفرقة والنزاع فيها، فيدّعون أن ذلك من الغيبة المحرمة، فما قولكم في هذه المسألة ؟

الجواب: القاعدة في هذا: التنبيه على الخطأ والانحراف بعد تشخيصه،وإذا اقتضى الأمر أن يصرح باسم الأشخاص المخالفين حتى لا يغتر بهم، وخصوصاً الأشخاص الذين عندهم انحراف في الفكر أو انحراف في السيرة والمنهج، وهم مشهورون عند الناس، ويحسنون فيهم الظن، فلا بأس أن يُذْكَروا بأسمائهم وأن يُحَذر من منهجهم، والعلماء بحثوا في علم التجريح والتعديل فذكروا الرواة وما قيل فيهم من القوادح، لا من أجل أشخاصهم، وإنما من أجل نصيحة الأمة أن تتلقى عنهم أشياء فيها تجنٍّ على الدين، أو كذبٍ على رسول الله - صلى الله عليه وسلم -، فالقاعدة أولاً أن ينبه على الخطأ ولا يذكر صاحبه إذا كان يترتب على ذكره مضرة أو ليس لذكره فائدة، أما إذا اقتضى الأمر أن يصرح باسمه لأجل تحذير الناس من منهجه، فهذه من النصيحة لله وكتابه ورسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم، وخصوصاً إذا كان له نشاط بين الناس، ويحسنون الظن به، ويقتنون أشرطته وكتبه، لا بد من البيان، وتحذير الناس منه لأن السكوت ضرر على الناس، فلا بد من كشفه لا من أجل التجريح أو التشهي، وإنما من أجل النصيحة لله وكتابه ورسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم.



Soalan:

Telah tersebar di kalangan pemuda yang wara` (tetapi hakikatnya) dusta, bahawasanya mereka apabila telah mendengar orang-orang yang memberi nasihat di kalangan penuntut ilmu, atau ulama` yang mentahzir (memberi peringatan agar berwaspada) daripada bid`ah dan ahlinya dan juga manhaj-manhajnya, dan mereka menyebut hakikat apa yang sebenarnya mereka (ahli bid`ah) berada di atasnya, dan mereka membantah mereka, terkadang mereka menyebut sebahagian nama-nama mereka (yg ditahzir) walaupun mereka sudah mati disebabkan manusia boleh terfitnah dengannya, yang mana hal ini sebagai salah satu bentuk mempertahankan agama ini, dan menyingkap mereka yg melakukan talbis (penyamaran) dan mereka yg menyeludup masuk di antara barisan ummat untuk menyebarkan perpecahan padanya, dan mereka (dikalangan pemuda terbabit) mendakwa bahawasanya hal ini merupakan ghibah yang diharamkan, apakah pendapat kamu dalam masalah ini?



Jawapan Fadhilatus Shaikh Soleh Al-Fauzan Hafizahullah:

Kaedah dalam hal ini hendaklah memberi peringatan akan kesalahan tersebut dan penyelewengan dan menjelaskannya kepada manusia, dan jika perlu menyebut nama individu tertentu agar tidak terpedaya dengan mereka terutamanya individu-individu yang mempunyai penyelewengan dalam pemikiran atau manhaj sedangkan mereka itu masyhur di sisi orang ramai dan dianggap baik maka tidak mengapa disebut nama mereka dan ditahzir .

Para ulama` yang mengkaji ilmu Jarh wa ta`dil dan mereka menyebut berkenaan perawi dan apa yang ada pada mereka daripada kecacatan bukan kerana individu terbabit semata-mata bahkan kerana menasihati ummat suapaya tidak mengambil dari mereka perkara-perkara yang ada padanya jenayah atas agama ataupun pendustaan keatas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Maka kaedah di sini,yang pertamanya adalah:

Hendaklah diberi peringatan kesalahan tersebut tanpa menyebut nama pelaku kesalahan jika membawa kepada mudarat atau tidak ada faedah menyebut nama tersebut, adapun jika perlu menyebut namanya demi menjauhkan manusia daripada kesalahannya maka ini termasuk dalam rangka nasihat untuk Allah, kitabNya, RasulNya, dan pemerintah kaum muslimin dan ummat islam keseluruhannya, terutamanya jika dia mempunyai pengaruh di kalangan manusia dan mereka bersangka baik dengannya, menyimpan kaset-kaset dan kitab-kitabnya maka mesti menjelaskan keadaanya dan menjauhkan manusi daripadanya kerana mendiamkan diri akan perkara tersebut akan memudaratkan manusia maka mesti mendedahkannya bukan untuk mencela atau membalas dendam tetapi untuk nasihat untuk Allah, kitabNya, rasulNya dan pemerintah kaum muslimin dan ummat islam keseluruhannya.

Sumber: Al-Muntaqa Min Fatawa Fadhilatis Syaikh Saleh Al-Fauzan susunan `Adil al-Furaidan ms 70-71. Cetakan Darul Imam Ahmad.

Diterjemahkan Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri
Rujuk: http://www.sahab.net/home/index.php?Site=News&Show=822

Khamis, 11 November 2010

HUKUM BERBEZA TARIKH ZULHIJJAH

Telah menjadi kemusykilan yang getir dalam kalangan ikhwah muslimin berkenaan perbezaan tarikh bulan Zul Hijjah antara negara-negara dunia dengan Daulah al-Saudiah-harasahallah- terutama tarikh sebenar untuk kaum muslimin berpuasa hari ‘Arafah yang warid padanya ganjaran yang besar iaitu dihapuskan dosa-dosa tahun lepas.

Berikut adalah fatwa para Ulama Islam dalam menjawab kemusykilan ini:

Pertama: Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:

Telah ditanya kepada Syeikhul Islam rahimahullah berkenaan Ahli sebuah negeri yang melihat anak bulan Zul Hijjah kemudian tidak tsabit rukyah ini di sisi pemerintah negeri itu; maka adakah mereka boleh berpuasa pada hari 9 Zul Hijjah yang zahir pada negeri itu walaupun pada hakikatnya adalah 10 Zul Hijjah (di Mekah)?

Maka jawab Syeikhul Islam rahimahullah:

“Ya, mereka berpuasa pada 9 Zul hijjah yang zahir di sisi kumpulan mereka (ahli negeri itu) walaupun pada hakikatnya hari itu adalah hari ke-10 jika dianggarkan tsabit rukyah tersebut kerana di dalam Sunan daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].

Serta daripada Aisyah radiallahu 'anha bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالْأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ

Maksudnya: “Hari raya fitrah adalah hari manusia beraya fitrah dan hari korban (raya korban) adalah hari manusia beraya korban”. [Al-Tarmizi].

Atas ketetapan inilah diamalkan oleh seluruh Imam (ulama) kaum muslimin...” [Majmuk al-Fatawa, 25/203].


Kedua: Fatwa Faqih al-Zaman Ibn Usaimin rahimahullah:

Telah sampai surat kepada Faqih al-Zaman rahimahullah berkenaan masalah:

“Kami telah membaca berkenaan fatwa Samah al-Syeikh dalam kitab (Fatawa Islamiah) bahawa rukyah hilal di sesebuah negeri tidak melazimkan kesemua negeri yang lain, adakah hukum ini juga berlaku terhadap rukyah hilal ‘Eidul Adha (hilal bulan Zul Hijjah)?”

Maka jawab beliau rahimahullah:

“Hilal (anak bulan) itu berbeza terbitnya antara satu tempat dengan tempat lainnya, sama ada hilal Ramadan ataupun selainnya, maka hukumnya adalah satu. Tetapi saya berpendapat hendaklah para manusia bersepakat atas satu perkara dan hendaklah mereka mengikut ketetapan ketua al-Jaliah al-Islamiah di negeri-negeri bukan Islam kerana perkara ini luas insya-Allah, di mana sebahagian Ulama berpendapat bahawa apabila tsabit rukyah di suatu negeri maka lazim hukumnya atas seluruh kaum muslimin di seluruh dunia”. [Majmuk Fatawa wa Maqalat wa Rasail, 19/43].

Demikian juga ditanya kepada beliau:

“Jika berbeza hari ‘Arafah kerana berbeza kawasan terbitnya hilal, adakah kami perlua berpuasa mengikut rukyah negeri kami atau rukyah al-Haramain (Saudi)?”

Jawab beliau:

“Perkara ini dibangun di atas ikhtilaf para ulama, apakah hilal itu satu sahaja untuk seluruh dunia atau berbeda sesuai mathla’nya (tempat terbit bulan).

Dan yang benar bahwa rukyah hilal berbeza sesuai dengan perbezaan mathla’.

Sebagai contoh: Apabila hilal telah nampak di Makkah, dan sekarang adalah hari ke sembilan (di Makkah), hilal juga terlihat di negeri yang lain satu hari lebih cepat daripada Makkah sehingga hari Arafah (di Makkah) adalah hari kesepuluh bagi mereka.

Maka mereka tidak boleh berpuasa kerana hari tersebut adalah hari raya. Demikian pula sebaliknya, jika di suatu negeri rukyahnya lebih lambat daripada Makkah maka tanggal sembilan di Makkah merupakan tanggal lapan bagi mereka. Maka mereka berpuasa pada hari ke sembilan (menurut negeri mereka) bersamaan dengan tanggal sepuluh di Makkah. Ini merupakan pendapat yang kuat kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا

Maksudnya: “Jika kamu melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan jika melihatnya pula maka berbukalah (hari raya)”. [al-Bukhari & Muslim].

Orang-orang yang hilal itu tidak nampak dari arah mereka beerti mereka tidaklah melihat hilal tersebut. Begitu juga manusia telah sepakat bahawa mereka menganggap terbitnya fajar dan terbenamnya matahari pada setiap wilayah disesuaikan dengan wilayah masing-masing. Maka demikian pulalah penetapan waktu bulan seperti penetapan waktu harian.” [Majmuk Fatawa wa Rasail, 20/47].

Maka jelas di sini bahawa setiap negeri perlu mengikut rukyah masing-masing, tidak terikat dengan penetapan kerajaan Arab Saudi mahupun Hilal Mekah.

Ulama Salaf juga telah sepakat wajibnya berpuasa dan berhari raya dengan pemerintah, maka perbezaan pendapat dalam isu ini perlu dirujuk kepada mazhab pemerintah.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah dalam menjelaskan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang disepakati:

وَيَرَوْنَ إِقَامَةَ الْحَجِّ وَالْجِهَادِ وَالْجُمَعِ وَالْأَعْيَادِ مَعَ الْأُمَرَاءِ أَبْرَارًا كَانُوا أَوْ فُجَّارًا

Maksudnya: “Dan mereka percaya wajib mendirikan Haji, Jihad, Jumaat, dan Perayaan-perayaan (eidul Adha dan Fitri) bersama dengan pemerintah sama ada mereka itu soleh mahupun fasiq”. [al-Aqidah al-Wasitiah].

Ini adalah maksud Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:

صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].

Ummul Mukminin Aisyah radiallahu 'anha berkata:

“Sesungguhnya hari raya Adha itu adalah hari di mana Imam (pemerintah) melakukan korban dan jamaah manusia”. [Ahkam Ikhtilaf fi Rukyati Hilal Zil Hijjah, Ibn Rajab al-Hanbali, m.s 34-35, hadis Sahih].

Berkata Faqih al-Zaman rahimahullah:

“Sebahagian Ulama berpendapat bahawa jika tsabit rukyah hilal di sebuah negeri maka tsabit hukumnya ke seluruh negeri, dan sebahagian yang lain berpandangan tidak tsabit hukumnya di negeri yang nampak hilal dan yang sama tempat terbit dgn negeri itu, pendapat ini lebih sahih, tetapi perintah ini ditujukan kepada pemerintah, adapun manusia mereka mengikut pemerintah masing-masing”. [Majmuk Fatawa wa Rasail, 19/61-62].

Kata beliau juga:

Maksudnya: “Dan perkara-perkara yang ada padanya takwil dan ikhtilaf dalam kalangan Ulama jika dilakukan oleh pemerintah, tidak halal bagi kita melawannya dan menyalahinya...” [Syarah Aqidah al-wasitiah, lihat Majmuk Fatawa wa Rasil, 8/660].

Maka, Ulama berkhilaf adakah rukyah berbeza dengan setiap negeri atau sama sahaja, namun pemerintah kaum muslimin telah mengambil kata putus bahawa rukyah negara Malaysia misalnya berbeza dengan Arab Saudi, dan ini adalah qaul yang kuat berdalilkan hadis Ibn ‘Abbas radiallahu 'anhuma dalam Sahih Muslim, maka wajib kita mentaati pemerintah dan mengikut tarikh raya dan korban yang mereka telah tetapkan.

Wallahua’lam.


Ditulis oleh:

Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani,
5 Zul Hijjah 1431 H/10 Nov 2010 M
9.25 p.m, Madinah al-Nabawiah.

Khamis, 4 November 2010

Hukum Memindahkan Korban

Fadhilatul Imam Al-Faqih Samahatus Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin rahimahullah pernah ditanya:

“Wahai Fadhilatus Syeikh, apa hukum membahagikan daging akikah dan mengeluarkannya keluar daerah, perlu diketahui bahawa penduduk daerah tersebut tidak memerlukan kepada daging akikah tersebut?”

Beliau menjawab:

“Dengan kesempatan adanya pertanyaan seperti ini, saya ingin menjelaskan kepada saudara-saudaraku yang hadir dan yang mendengar, bahawasanya bukanlah yang dimaksud dari menyembelih ‘nusuk’ (sembelihan ibadah - pent) baik untuk akikah atau udhiah (haiwan korban) adalah dagingnya atau memanfaatkan dagingnya. Masalah ini nombor dua, yang dimaksud dengan hal tersebut adalah seseorang tadi bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala dengan sembelihannya, ini yang paling penting, adapun dagingnya, Allah Ta’ala telah berfirman:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Hajj: 37)

Bila kita telah mengetahui hal ini, maka sangat jelas bagi kita kekeliruan orang-orang yang menyerahkan (mengirim wang supaya disembelihkan korban) atas nama mereka di tempat lain atau menyembelih haiwan akikah anak-anaknya di tempat lain, sebab bila mereka melakukan hal itu, maka terluput dari mereka perkara-perkara penting dari penyembelihan tersebut, bahkan luput dari mereka perkara terpenting dari nasikah (sembelihan) ini iaitu bertaqarrub kepada Allah Ta’ala dengan sembelihan.

Kamu sendiri tidak tahu orang yang menangani penyembelihannya, boleh jadi yang menanganinya adalah orang yang tidak solat, maka haiwan tersebut menjadi tidak halal, terkadang yang menanganinya adalah orang yang tidak baca basmalah, haiwan itu juga tidak halal, mungkin juga dia mempermainkannya dengan membeli haiwan yang tidak diterima (tidak memenuhi syarat haiwan korban atau akikah).

Maka termasuk kesalahan besar adalah mengeluarkan wang untuk membeli haiwan korban atau akikah di tempat lain.

Kita katakan: Sembelihlah haiwan-haiwan tersebut dengan tanganmu sendiri apabila engkau mampu atau dengan wakilmu, saksikan penyembelihannya supaya engkau merasa sedang bertaqarrub kepada Allah Ta’ala dengannya. Serta agar engkau dapat memakan sebahagian dagingnya kerana dianjurkan untuk memakannya. Allah Ta’ala berfirman:

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

“Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Al-Hajj: 28)

Banyak para ulama yang mewajibkan seseorang untuk memakan setiap haiwan nasikah yang dia sembelih sebagai rasa taqarrub kepada Allah ta’ala, seperti Al-Hadyu, akikah dan yang lainnya, apakah mungkin dia memakan sebahagiannya dalam keadaan (disembelih) di tempat yang jauh? tentu tidak mungkin.

Bila engkau hendak memberi kemanfaatan kepada saudara-saudaramu di tempat yang jauh kirimkan sahaja wang, pakaian, makanan kepada mereka, namun bila engkau hendak memindahkan salah satu dari syiar-syiar Islam ke daerah lain, maka tidak syak lagi perkara ini adalah termasuk kebodohan.

Ya, saya yakin orang-orang yang berbuat seperti itu tidak menginginkan kecuali kebaikan, namun tidak setiap orang yang menginginkan kebaikan diberi taufik untuknya. Bukankah engkau tahu bahawa Rasulullah salallahu’alaihi wassallam pernah mengutus dua orang lelaki untuk suatu keperluan, lalu datang waktu solat dalam keadaan mereka berdua tidak menjumpai air, kedua-duanya pun bertayammum lalu solat, kemudian dua orang tersebut (setelah itu) menjumpai air, yang satu berwuduk dan mengulangi solatnya, sementara yang satu lagi tidak mengulangi solatnya. Rasulullah salallahu’alaihi wassallam berkata kepada orang yang tidak mengulangi (solatnya): “Engkau sesuai dengan Sunnah.”

Orang yang mengulangi solatnya menghendaki dengannya kebaikan, maka genaplah niatnya dengan keinginan tadi, dia diberi pahala atas tindakan yang dia lakukan dengan ijtihadnya, namun dia menyelisihi Sunnah. Oleh kerana itulah kalau ada orang yang mengulangi solat setelah dia mendengar bahawa yang sunnah adalah tidak mengulanginya, maka dia tidak dapat pahala, sedang orang tadi dapat pahala kerana dia tidak tahu bahawa (sebenarnya) yang sunnah adalah tidak mengulangi (solat).

Walhasil, tidak setiap yang orang yang menginginkan kebaikan diberi taufik untuknya. Saya beri tahu engkau dan saya berharap engkau memberi tahu orang-orang yang sampai kepadanya beritamu, bahawa tidakan ini adalah tidak benar.

Ya…. anggaplah, kalau permasalahannya adalah engkau akikah atau menyelamatkan orang-orang dari kelaparan, sementara mereka itu adalah Muslimin. Engkau hendaklah mengirimkan wang akikah (kepada mereka), kami katakan: “Mungkin tindakan tersebut lebih afdal sebab menyelamatkan kaum Muslimin dari kebinasaan adalah wajib, namun engkau jangan mengirimkan wang dengan keyakinan bahawa wang itu untuk akikah”.

( Lihat: Liqoat babil maftuh 2/58-59 pada liqo ke 23 cet. Darul Bashirah Iskadariyah – Mesir tanpa tahun)

Pada Rujukan yang sama 2/85-87, liqo ke 24, beliau juga ditanya:

”Wahai Fadhilatus Syeikh, apakah yang paling afdal di zaman sekarang ini menyerahkan haiwan korban ke negara-negara miskin atau pun disembelih di sini?”

Beliau Menjawab:

Semoga Allah memberkati engkau atas pertanyaan ini, ini adalah pertanyaan penting iaitu menyerahkan wang harga haiwan korban ke negara-negara miskin untuk di sembelih di sana, sebahagian orang melakukan perkara ini, lebih dari itu, bahkan membuat iklan di surat khabar atau selain surat kabar, menganjurkan orang untuk mengirim wang haiwan korrban ke negara lain. Tindakan ini pada umumnya terjadi kerana kebodohan tentang maksud maksud syariat dan kebodoahn tentang hukum-hukum syar’i.

Yang dimaksudkan dengan korban ada beberapa perkara (berikut):

1. Maksud pertama dengan korban adalah bertaqarrub kepada Allah ta’ala dengan menyembelih, sebab menyembelih adalah termasuk ibadah yang besar, bahkan digandingkan oleh Allah Ta’ala dengan solat (dalam firman-Nya)

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.” (Al-Kautsar: 2)

Allah Ta’ala juga berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, nusukku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’ám: 162)

Menurut pendapat yang mengatakan bahawa ‘Nusuk’ dalam ayat ini adalah sembelihan. Menyembelih itu sendiri adalah ibadah, tidak mungkin – selamanya – engkau meraih (ibadah ini) bila engkau mengirim wang ke negara lain dan disembelih atas namamu – Allah Ta’ala berfirman:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi Ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.”(Al –Hajj: 37)

2. “Bila sesorang mengirimkannya ke negara lain, maka akan luput darinya penyebutan nama Allah atas sembelihannya: Allah Ta’ala berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

“Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka…” (Al-Hajj: 34)

Allah jadikan penyebutan nama Allah, sebagai illah (alasan) penyembelihan yang disyariatkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Zikir ini akan luput darinya apabila dia tidak berada di sana. Ada kemungkinan yang menyembelihnya tidak menyebut nama Allah atasnya atau orang yang tidak solat atau orang itu tidak tahu sunnah penyembelihan.

3. Bila dia kirimkan ke luar maka luput darinya (anjuran) makan dari dagingnya. Allah Ta’ala berfirman:

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

“Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”

Perintah makan dari daging sembelihan adalah wajib menurut pendapat banyak ulama. Bila engkau kirimkan keluar (negara), maka luput dari engkau usaha untuk menunaikan perintah ini, sama ada itu dikatakan wajib mahupun mustahab (sunnah).

4. Bila engkau kirimkan ke luar, maka akan menjadi samar (tidak kelihatan) syiar besar yang Allah Ta’ala jadikan di negeri-negeri muslimin sebagai ganti dari syiar besar yang Allah jadikan di Mekah.

Syiar yang di Mekah adalah menyembelih al-Hadyu, sementara di negeri-negeri muslimin adalah Udhiyah, Allah Ta’ala menjadikan syiar-syiar ini; menyembelih al-Hadyu di Mekah dan menyembelih Udhiyah di negeri-negeri lain, agar syiar-syiar ini ditegakkan di seluruh negerî-negeri Islam. Oleh sebab itulah, Allah Ta’ala jadikan untuk orang yang hendak berkorban sesuatu dari kekhususan ihram seperti: tidak memotong rambut misalnya.” (yakni dari 1 Zulhijjah hingga dia menyembelih korbannya. - pent).

5. Kemungkinan syiar ini akan mati (nantinya) pada (generasi) putera-puteri kita, sebab bila engkau sembelih di rumah, maka seluruh keluarga akan merasakan berkorban, mereka merasa di atas ketaatan, namun bila engkau mengirimkan wang, maka siapa yang memberitahu mereka dengannya? Syiar ini pun luput.

Kami katakana: “Termasuk kesalahan yang jelas, dikirimkannya wang harga korban keluar negeri untuk disembelih di sana, sebab kemashlahatan-kemashlahatan tadi dan mungkin hal-hal lain akan luput dengan tindakan tersebut.”

6. Orang-orang (sekarang) memandang permasalahan korban hanya dengan pandangan alatan sajhaa iaitu memberi makan orang yang lapar, ini juga kemudharatan. Allah Ta’ala berfirman:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.”

Bila engkau ingin beribadah kepada Allah Ta’ala dengan korban dan memberi kemanfaatan kepada saudara-saudaramu muslimin, maka hendaklah engkau berkorban di negerimu dan kirimkan wang, makanan dan pakaian ke negeri-negeri lainnya, apa yang menghalangi engkau berbuat seperti ini?

Saya mengharapkan sekalian -Barakallahu fiikum- menjelaskan kepada orang-orang supaya mereka tidak mengirimkan wang harga korban mereka ke negara-negara lain. Namun mereka menyembelih di rumah-rumah mereka.

Tidak bertentangan dengan hal ini, Rasulullah salallahu’alaihi wassallam mewakilkan Ali bin Abi Talib untuk menyembelih Hadyu baginda atau baginda mengirimkan Hadyunya dari Madinah ke Mekah kerana pengirimannya dari Madinah ke Mekah adalah kemestian sebab tidak boleh menyembelih hadyu kecuali di Mekah, kalau disembelih di Madinah maka tidak lagi disebut Hadyu.

Adapun pewakilan Ali bin Abi Talib maka Rasulullah salallahu’alaihi wassallam mewakilkannya kepada Ali kerana beliau sibuk dengan urusan orang-orang, keperluan yang (membuat beliau) fokus untuk mereka. Walau demikian beliau memerintahkan agar mengambil sepotong daging dari masing-masing onta tersebut, dimasak di dalam periuk, lalu baginda memakan dagingnya dan meminum buahnya, baginda tidak membiarkan tanpa mengambilnya.

Maka yang kami harapkan -Barakallahu fiikum- semangat  kamu dalam mengamalkan sunnah pada syiar yang dijadikan Allah Ta’ala sebagai gandingan solat ini, dengan tindakan ini engkau tidak terhalang untuk memberi kemanfaatan kepada saudara-saudaramu. Kirimkan wangmu kepada mereka, bantu mereka dengan gambaran yang engkau anggap sesuai dengan syarat hal tersebut tidak atas nama satu syiar dari syiar-syiar Allah.

Sampai di sini selesai pertemuan kita, kita memohon kepada Allah agar menerima amal kita dan kamu  semua sekalian, sehingga bertemu pada pertemuan akan datang. Insya-Allah.

(Lihat: Liqoat babil maftuh 2/85-87, liqo ke 24 cet. Darul Bashirah Iskadariyah – Mesir tanpa tahun, diterjemahkan Oleh Al-Ustaz Muhammad Afifuddin As-Sidawy)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...