Sabtu, 23 Oktober 2010

Penjelasan Islam Adalah Sunnah Dan Sunnah Adalah Islam

Berkata Al-Imam Al-Barbahari Rahimahullahu Ta’ala:

الحمد لله الذي هدانا للإسلام ومن علينا به وأخرجنا في خير أمة فنسأله التوفيق لما يحب ويرضى والحفظ مما يكره ويسخط 

اعلم أن الإسلام هو السنة والسنة هي الإسلام ولا يقوم أحدهما إلا بالآخر فمن السنة لزوم الجماعة و من رغب غير الجماعة وفارقها فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه وكان ضالا مضلا
.
 .
“Segala puji hanya bagi Allah, yang telah menunjuki kita kepada Islam, dan menganugerahkan agama tersebut kepada kita sebagai nikmat, dan yang telah mengeluarkan kita di tengah-tengah umat yang paling baik. Kita memohon kepada-Nya taufik untuk menjalankan apa-apa yang dicintai dan diredhai-Nya serta perlindungan dari segala sesuatu yang dibenci dan dimurkai-Nya.

Ketahuilah, bahawa Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam dan tidak akan tegak salah satunya kecuali dengan yang lain. Maka termasuk dari Sunnah adalah melazimi (senantiasa bersama dengan) Al-Jama’ah. Barangsiapa yang senang kepada selain Al-Jama’ah serta memisahkan diri darinya bererti dia telah menanggalkan ribqah (tali) Islam dari lehernya sehingga dia menjadi orang yang sesat lagi menyesatkan.”

Penlejasan Syeikh Allamah Ahmad bin Yahya An Najmi

Penulis rahimahullah berkata:

اعلم أن الإسلام هو السنة والسنة هي الإسلام ولا يقوم أحدهما إلا بالآخر

Ketahuilah, bahawa Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam dan tidak akan tegak salah satunya kecuali dengan yang lain.

Bagaimana ini? Yakni bahawa Islam yang hakiki itu adalah Sunnah, barangsiapa yang istiqamah (lurus di atas) Sunnah dan menegakkannya maka bererti dia telah menegakkan Islam. Dan barangsiapa yang menyimpang serta condong ke kanan atau ke kiri, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan Islam yang hakiki dengan penyimpangan yang ia lakukan. Akan tetapi ketahuilah! Bahawasanya penyimpangan itu dibagi menjadi dua bentuk:

1. Penyimpangan kulliyyah (keseluruhan), yang dikafirkan pelakunya dan dihukumi bahawa dia telah keluar dari agama Islam secara keseluruhan.

2. Penyimpangan juz’iyyah (sebahagian), pelakunya tidak dikafirkan dan tidak dihukumi dengan murtad serta tidak pula keluar dari Islam. Akan tetapi kadar keislaman yang ada pada dirinya telah berkurang sejauh mana penyimpangan yang ia lakukan, sedikit ataupun banyak penyimpangan tersebut.

Mana dalil dari apa yang telah kita katakan? Dalilnya adalah hadis Iftiraqul Ummah (perpecahan umat) ini, iaitu sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

اِفْتَرَقَتِ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً. وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً كُلُّهُمْ فِي الناَّرِ إِلاَّ وَاحِدَةً. قَالُوا: وَمَنْ هِيَ، ياَ رَسُوْلَ اللهِ؟ قاَلَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ الْْيَوْمَ وَأَصْحاَبِي

“Yahudi berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan dan Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, dan ummatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, semuanya berada di neraka kecuali satu (golongan).” Mereka bertanya: “Siapa mereka, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka berada pada apa yang aku dan sahabatku berada pada hari ini.” (HR Tirmizi dishahihkan oleh Al-Albani dalam kitab Shahih Al-Jami’ no. 5218)

Kemudian ketahuilah! bahawa ancaman dengan neraka kepada semua golongan tersebut tidak bererti bahawa mereka semua akan kekal di dalam neraka. Akan tetapi barangsiapa yang menyelisihi jalan yang baginda sallallahu’alaihi wasallam tempuh dengan para sahabatnya radiallahu’anhum, boleh jadi penyimpangan yang ia lakukan menyebabkan murtad, keluar dari agama Islam ini maka dia itulah termasuk orang-orang yang kekal di dalam neraka selama-lamanya. Barangsiapa yang penyimpangannya hanya juz’iyyah (sebahagian) dan dia tetap dalam keadaan Islam maka dia terkena ancaman dengan neraka namun dia masih memiliki harapan sebagaimana yang diharapkan oleh orang-orang yang memiliki tauhid, bahawa mereka akan keluar dari neraka. Hal ini berkenaan dengan hadis tentang syafaat, yakni bahawasanya Allah Tabaraka wata’ala akan mengeluarkan setiap orang dari neraka yang mati dalam keadaan bertauhid, meskipun dia hanya mempunyai sedikit keimanan. (Hadis-hadis tersebut dapat anda baca dari kitab Fathul Majid, pada Bab “Keutamaan Tauhid dan dosa-dosa yang diampuni kerananya)

Akan tetapi, sampai bilakah waktunya seseorang akan meringkup dalam neraka? Allah subhanahu wa ta’ala yang lebih tahu tentang hal itu. Dan apabila telah warid berita dari Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bahawasanya orang-orang yang masuk syurga terpaut waktunya satu sama lain dalam jangka empat puluh tahun, dan sebahagian lainnya (akan tertahan) selama lima ratus tahun dan mereka adalah orang-orang yang telah diselamatkan dari (hukuman) neraka dan akan melalui Siraat (titian), lalu bagaimana persangkaanmu dengan orang-orang yang masuk neraka…?!!

Oleh kerana itu barangsiapa yang menghendaki keselamatan bagi dirinya dan berkeinginan untuk selamat bersama dengan orang-orang yang selamat serta masuk ke dalam syurga bersama dengan orang-orang yang akan masuk, yang dikatakan kepada mereka:

ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ

Maksudnya: “Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan aman”. (Al-Hijr: 46)

Barangsiapa yang menginginkan hal itu, maka hendaklah dia beraqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Hendaklah dia menjadikan Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai aqidah dan manhajnya, dan janganlah menyimpang ke kanan mahupun ke kiri. Inilah apa yang dimaksudkan dengan perkataan penulis: “Ketahuilah bahawa Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam.” Maka kita telah belajar darinya bahawa Islam yang hakiki adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam yang hakiki, dan bahawasanya tidak akan tegak salah satunya kecuali dengan yang lain.

Kemudian penulis rahimahullah berkata:

فمن السنة لزوم الجماعة و من رغب غير الجماعة وفارقها فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه وكان ضالا مضلا .

“Maka termasuk dari Sunnah adalah melazimi (senantiasa bersama dengan) Al-Jama’ah. Barangsiapa yang senang kepada selain Al-Jama’ah…” Yakni benci dengan Al-Jama’ah dan senang kepada selainnya “…Dan berpisah darinya maka dia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya, dia sesat lagi menyesatkan.”

Mana dalil yang menunjukkan kebenaran perkataan penulis rahimahullah: “Maka termasuk dari Sunnah adalah melazimi (senantiasa bersama dengan) Al-Jama’ah”? Penulis rahimahullah mengisyaratkan dengan perkataan tersebut bahawa barangsiapa yang berkeyakinan bolehnya memberontak kepada penguasa (pemerintah), yang dimaksud dengan Al-Jamaah iaitu Jama’ah kaum Muslimin yang berada pada satu kepemimpinan. Maka sesungguhnya apabila dia berkeyakinan bolehnya memberontak kepada pemerintah Muslim bererti dia telah dianggap memisahkan diri dari sunnah dan bererti pula telah memisahkan diri dari Jama’ah serta melepaskan ribqah (tali) Islam dari lehernya dan dia menjadi sesat lagi menyesatkan.

Apakah erti ribqah (ikatan)? Riqbah iaitu tali yang mempunyai tali lain yang bercabang darinya dan pada setiap tali terdapat simpul yang digunakan untuk mengikat satu kambing dengan kambing yang lainnya.

Dengan demikian, aqidah Islam dan kesatuan umat ini berkedudukan seperti tali (dalam menyatukan Muslim). Oleh kerana itu, barangsiapa yang menanggalkannya, yakni menanggalkan ribqah tersebut dari lehernya maka bererti dia telah menanggalkan ketaatan. Barang siapa yang menanggalkan ketaatan bererti telah memisahkan diri dari Al-Jamaah dan dia menjadi orang yang sesat lagi menyesatkan.

Oleh kerana itu wahai hamba-hamba Allah, hendaknya kamu memahami bahawa keluar dari ketaatan terhadap pemerintah Muslim, yang telah sepakat kaum Muslimin untuk membai’atnya serta taat kepadanya, baik dia itu memerintah dengan bai’at iktiyariah (pemilihan) mahupun dia berkuasa dengan cara diktator (memberontak) sehingga seluruh penduduk tunduk kepadanya, maka pada ketika itu haram untuk memberontak dan mengadakan penjatuhan (penggulingan) kepada pemerintahan tersebut.

Apa dalil untuk hal ini? Dalil untuk menegakkan hujah ini sangat banyak, keduanya dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan ijmak para ulama dalam perkara ini.

Dalil dari Al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُم

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (penguasa) di antara kamu.” (An-Nisa: 59)

Tatkala Allah Tabaraka wata’ala menggandingkan ulil amri serta mewajibkan untuk taat kepada mereka dengan ketaatan kepada Allah dan kepada Rasul-Nya sallallahu’alaihi wasallam dalam perkara-perkara yang bukan maksiat, maka hal ini menunjukkan kewajiban untuk mentaati mereka dan tidak diperbolehkan untuk memberontak terhadap mereka dan tidak diperbolehkan menentang mereka atau menghasut (pemberontakan) terhadap mereka.

Dan di sana ada ayat-ayat lain yang masuk kepadanya aqidah (Ahlus Sunnah) ini secara tersirat, seperti firman Allah Ta’ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا

Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai,” (Al-Imran: 103)

Dan sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.” (Al-An’am: 132)

Dalam kedua ayat ini Allah Ta’ala memerintahkan berpegang pada tali Allah dan mengikuti jalan-Nya, dalam melarang berpecah-belah. Allah berfirman dalam ayat yang pertama:

وَلا تَفَرَّقُوا

“Dan janganlah kamu bercerai-berai…”

Dan di ayat kedua:

وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِه

“Dan janganlah mengikuti jalan-jalan yang lain, karena akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.”

Maka hal itu menunjukkan tidak boleh berpecah-belah dan haramnya perkara itu, bahkan perpecahan merupakan perkara yang tidak diperbolehkan.

Sedangkan dalil dari Sunnah banyak sekali. Diantaranya hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas radiallahu’anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alahi wasallam bersabda:

مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ مِنَ النَّاسِ خَرَجَ مِنَ السُّلْطَانِ شِبْرًا فَمَاتَ عَلَيْهِ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

“Barangsiapa yang tidak menyukai sesuatu dari pemimpinnya maka hendaknya dia bersabar, kerana sesungguhnya barangsiapa yang meninggalkan Jama’ah sejengkal, dia akan mati seperti matinya orang jahiliyah.” (HR Bukhari 21/443, no. 6531, dan Muslim 9/390, no. 3438 )

Dalam riwayat lain:

فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ

“Sungguh dia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya.” (HR Tirmizi dishahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Sahih Sunan At-Tirmizi)

Telah diriwayatkan dalam Bukhari Muslim dari Ubadah bin Shamit radiallahu’anhu, dia berkata:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

“Kami telah membai’at Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk mendengarkan dan mentaati (baginda) dalam keadaan kami bersemangat dan keadaan lemah, dalam keadaan sulit dan keadaan lapang, dan agar kami tidak merebut kekuasaan dari pemegangnya, dan baginda mengatakan: ‘Hingga kamu melihat kekufuran yang nyata yang kamu mempunyai dalil dari Allah ke atasnya.” (HR Bukhari, no. 7056 dalam Kitab Al-Fitan bab Qaulin Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: Sataruna Ba’di Umuran Tunkirunaha. Dan juga dikeluarkan dengan no. 7200. Muslim no. 1814 dalam Kitab Al-Imarah bab Wujubu Tha’atil Umaraa)

Diriwayatkan oleh Muslim dari ‘Arfaja Al-Kilabi radiallahu’anhu, dia berkata bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang datang kepadamu manakala urusanmu bersatu dengan seseorang dan dia berusaha memisahkan barisanmu dan menimbulkan perpecahan. Hendaklah engkau memukul lehernya (dengan pedang) walau siapapun dia.” (HR Muslim)

Diriwayatkan pula dari hadis Abu Said Al-Khudri radhiallahu’anhu yang semakna dengan ini. Dan dalam hadis Al-Harits Al-Asy’ari radhiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dalam musnadnya bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Allah memerintahkan Yahya bin Zakaria lima perkara yang wajib dilakukannya dan memerintahkan Bani Israil untuk melaksanakannya.” Dan di bahagian akhir hadis Nabi sallallahu ‘alahi wasallam bersabda: “Aku perintahkan kamu lima perkara yang Allah perintahkan kepadaku iaitu Aku perintahkan kamu: Untuk mendengar dan taat, Berpegang pada Jama’ah, berhijrah, jihad di jalan Allah. Kerana sesungguhnya seseorang yang meninggalkan jama’ah sejengkal telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya, kecuali dia kembali.” (HR Muslim dalam kitabul Imarah bab Wujubu milazamati jamaah Muslimin inda dhuhuril fitan)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Dzarr radiallahu’anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ خَالَفَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ

“Barangsiapa yang meninggalkan Jama’ah sejengkal dia telah menanggalkan ikatan Islam dari lehernya.” (HR Ahmad 44/46, no.20580)

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim dari Ibnu Umar radiallahu’anhu yang berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

“Barangsiapa meninggalkan ketaatan (kepada penguasa) sedangkan tidak ada hujah baginya ketika dia bertemu Allah pada hari kiamat, dan barangsiapa yang tidak berbaiat (kepada Amir/penguasa) akan mati seperti matinya orang jahiliyah.” [HR Muslim]

Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim dari Abu Huzaifah bin Al-Yaman radiallahu’anhu, dia berkata,

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُوْنَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةً أَنْ يَدْرِكَنِي

“Dahulu orang-orang bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang kebaikan, namun aku selalu bertanya mengenai keburukan agar tidak menimpaku.”

قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، إِنَّا كُنَّا بِشَرٍّ فَجَاءَ اللهُ بِخَيْرٍ فَنَحْنُ فِيْهِ، فَهَلْ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْخَيْرِ شَرٌّ؟ قَالَ: نَعَمْ.قُلْتُ: هَلْ وَرَاءَ ذَلِكَ الشَّرِّ خَيْرٌ؟ قال: نعم. قُلْتُ: هَلْ وَرَاءَ ذَلِكَ الْخَيْرِ شَرٌّ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: كَيْفَ؟ قَالَ: يَكُوْنُوْا بَعْدِيْ أَئِمَّةٌ لاَ يَهْتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُّوْنَ بِسُنَّتِيْ، سَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رِجَالٌ قُلُوْبُهُمْ قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ. قَالَ: قُلْتُ: كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ، إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ ْ

Maka aku berkata: “Ya Rasulullah, kami hidup di masa jahiliah dan kejahatan, kemudian Allah menganugerahkan kita kebaikan (Islam), apakah akan ada keburukan setelah kebaikan?” Baginda menjawab: “Ya.” Aku bertanya: “Dan apakah setelah keburukan itu akan ada kebaikan?“ Baginda menjawab: “Ya, namun akan ada asap.” Saya bertanya: “Apakah asap itu?” Baginda menjawab: “(Akan ada) sebahagian orang yang mengikuti selain sunnahku dan menunjuki orang lain dengan selain dari petunjukku. Engkau akan menyetujui sebahagian perbuatannya dan mengingkari sebahagian lainnya.” Aku bertanya: “Adakah ada keburukan lagi setelah kebaikan itu?” Baginda menjawab: “Ya, (akan ada) penyeru-penyeru (da’i) di pintu-pintu neraka dan barangsiapa yang menjawab panggilan mereka, mereka akan dilemparkan ke dalam api neraka.” Aku berkata: “Ya Rasulullah, sebutkan ciri-cirinya.” Rasulullah menjawab: “Mereka dari golongan kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya: “Apa yang engkau perintahkan aku jika aku sampai pada waktu itu?” Baginda menjawab: “Berpeganglah pada jama’ah kaum Muslimin dan pemimpin mereka.” Aku bertanya, “Bagaimana jika tidak ada imam dan peimpin kaum Muslimin?” Baginda menjawab: “Tinggalkan semua kelompok sempalan (menyimpang) itu walaupun kau terpaksa menggigit akar kayu hingga ajal mendatangimu.”

Dari jalan Walid bin Muslim (dia berkata): Menceritakan kepada kami Ibnu Jabir (dia berkata): Menceritakan kepada kami Bisr bin Ubeidillah Al-Hadrami hanya dia pernah mendengar Abu Idris Al-Khaulani dari Huzaifah bin Yaman radiallahu ‘anhu (HR Bukhari 6/615-616, dan 13/35 beserta Fathul Baari. Muslim 12/235-236, beserta Syarah Nawawi. Baghawi dalam Syarhus Sunnah 14/14. Dan Ibnu Majah 2979, lafaz ini menurut Bukhari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata dalam Fathul Bari: Ada tambahan ditemukan di dalam riwayat Al-Aswad;

قَالَ: تَسْمَعُ وَتُطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِع

“Dengarkan dan taati meskipun dia memukul punggungmu dan mengambil hartamu.”

Dan menurut riwayat lain dari Khalid Ibnu Sabi’ dalam At-Tabrani: “Jika engkau melihat Allah mempunyai Khalifah di muka bumi maka berpeganglah kepada mereka meskipun dia memukul punggungmu dan jika tidak ada khalifah maka larilah.” (HR Abu Daud, Ahmad)

Dan dalil-dalil lainnya yang menunjukkan wajibnya mendengar dan taat kepada pemerintah (ulil amri) apabila mereka masih Muslim. dan bahawasanya tidak boleh memberontak kepada imam selama dia menegakkan solat. Tidak boleh pula keluar memberontak kecuali bagi orang yang menjumpai kekafiran yang nyata pada diri mereka (pemerintah) dan dia mempunyai hujah dari Allah dalam hal itu. Demikian pula tidak sepatutnya bagi kaum Muslimin untuk memberontak (kepada pemerintahan yang telah kafir) kecuali jika mereka mempunyai kekuatan yang dapat mereka gunakan untuk menjatuhkan hakim (penguasa).

Inilah aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Telah sepakat Ahlul ilmi dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan mereka yang mengikuti atsar bahawasanya tidak diperbolehkan memberontak kepada wulatul umur (pemerintah) yang Muslim, baik pemerintah tersebut pemerintah yang adil atau zalim. Beberapa ulama telah menyampaikan ijmak Ahlus Sunnah dalam perkara ini.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata ketika menerangkan hadis Huzaifah bin Al-Yaman radiallahu’anhu:

“Ibnu Battal berkata: “Terdapat hujjah untuk hal ini –maksudnya dalam hadis Huzaifah bin Al-Yaman– bagi jamaah fuqaha dalam hal wajibnya melazimi Jamaah kaum Muslimin dan meninggalkan perbuatan khuruj (memberontak) kepada pemerintah yang bertindak zalim. Kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mensifati kelompok yang terahir bahawa mereka da’i-da’i yang berdiri di pintu-pintu neraka dan Rasul sallallahu’alaihi wasallam tidak mengatakan tentang mereka: “kamu mengetahui mereka dan mengingkarinya” sebagaimana Rasululullah sallallahu’alaihi wasallam mengatakannya tentang kelompok yang pertama, dan memamg mereka tidak seperti itu, kecuali kerana mereka tidak berada di atas kebenaran. Meskipun demikian keadaannya Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam memerintahkan untuk tetap melazimi Al-Jama’ah.” (Al-Fath 13/38, cetakan Muhibbuddin Al-Khatib)
.
Berkata Imam At-Tabrani: “Ulama berbeza pendapat tentang perintah dan Al-Jama’ah yang dimaksudkan. Sebahagian dari mereka mengatakan bahawa perintah tersebut menunjukkan wajib dan Al-Jama’ah yang dimaksudkan adalah As-Sawadul A’zham (kelompok terbesar).”

Aku katakan (Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi): “Mereka yang berkata dengan sesuatu yang menyelisihi perkataan ini telah mengambil perkataan ahlul bid’ah, kerana tidak ada yang pernah mengatakan bahawa diperbolehkan memberontak terhadap pemerintah yang zalim kecuali Khawarij dan Mu’tazilah. Sedangkan Ahlus Sunnah wal Jama’ah semuanya berpegang kepada dalil (tentang larangan memberontak) dan mereka semua percaya bahawa tidak diperbolehkan memberontak baik dengan aksi perbuatan mahupun dengan ucapan (demonstasi), sebab demonstrasi dapat menyalakan api pemberontakan secara fizikal.

Dan berkata dalam Syarh At-Tahawiyah li ibni Abil Izz Al-Hanafi Ad-Dimasyqi ‘alal Aqidah At-Tahawiyah: “Dan kami tidak memandang bolehnya memberontak kepada pemimpin-pemimpin dan Ulim ‘Amri kita meskipun mereka berbuat zalim dan kita tidak mendoakan keburukan bagi mereka. Kita tidak melepaskan tangan dari ketaatan kepada mereka, bahkan kita memandang ketaatan kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah Aza wajalla sebagai kewajiban selama mereka tidak menyuruh berbuat maksiat. Kita mendoakan kebaikan dan ampunan bagi mereka.”

Ini adalah pendapat pemilik kitab At-Tahawiyah, kemudian pensyarah (Ibnu Abil ‘Izz) membawakan dalil-dalil atas ucapan-ucapan tersebut dan berkata: “Adapun wajibnya taat kepada mereka meskipun mereka bersikap zalim, hal ini kerana meninggalkan ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan kejahatan yang lebih besar dari apa yang diakibatkan oleh kezaliman mereka. Namun demikian, bersabar terhadap kezaliman mereka dapat menghapus dosa-dosa dan akan melipat gandakan pahala. Kerana Allah Tabaraka wata’ala tidak menempatkan mereka dalam kekuasaan atas diri kita kecuali kerana perbuatan kita dan setiap balasan sesuai dengan amalan kita. Oleh kerana itu, hal ini terletak pada diri kita untuk mengerahkan tenaga dengan bersungguh-sungguh, memohon ampun, bertaubat dan memeriksa perbuatan kita. Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Maksudnya: “Dan apa-apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Asy-Syura : 30). Sampai di sini perkataan beliau rahimahullahu Ta’ala.

Al-Imam Al-Hafiz Abul Qasim Ismail Ibnu Muhammad Al-Fadl At-Tamimi yang disebut “Qiwamus Sunnah” yang wafat pada tahun 535 H berkata di dalam bukunya Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah:“Bab: ‘Penjelasan larangan memberontak terhadap penguasa’, kemudian dia menyebutkan di dalam bab ini hadis-hadis yang menunjukkan larangan memberontak, di antaranya hadis dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu yang berkata bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سَيَلِيكُمْ بَعْدِى وُلاَةٌ فَيَلِيكُمُ الْبَرُّ بِبِرِّهِ وَالْفَاجِرُ بِفُجُورِهِ فَاسْمَعُوا لَهُمْ وَأَطِيعُوا فِيمَا وَافَقَ الْحَقَّ وَصَلُّوا وَرَاءَهُمْ فَإِنْ أَحْسَنُوا فَلَكُمْ وَلَهُمْ وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

“Kamu akan diperintah oleh pemimpin setelahku, baik yang akan memerintah kamu dengan kebaikannya, dan yang jahat akan memerintah kamu dengan kejahatannya. Dengarlah dan taatilah mereka dalam segala hal yang sesuai dengan kebenaran dan solatlah di belakang mereka, jika mereka (mendirikan solat dengan) baik dan benar, maka bagimu dan bagi mereka (pahala) namun apabila mereka (mendirikan solat) buruk maka bagimu pahala dan dosa bagi mereka.” (Diriwayatkan oleh Ad-Daruqutni dalam Sunan-nya)

Muhaqiq (peneliti) kitab ini menyatakan bahawa sanadnya lemah dan ia menyebutkan kelemahan hadis tersebut dari Muhaqiq kitab Al-Kanzu.

Saya (Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi) berkata: Makna hadis tersebut adalah sahih dan dikenal di dalam hadis sahih lainnya. Yang saya maksudkan adalah bahawa hadis yang dirujuk disini menunjukkan kebenaran dari lafaz hadis di atas. (Sebahagian) dari lafaznya berhubungan dengan Imam yang memimpin solat adalah sahih dengan lafaz:

يُصَلُّونَ لَكُمْ فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

“Mereka akan (mendirikan dan memimpin) solat bersama kamu, jika mereka solat dengan benar maka bagimu dan bagi mereka (pahala) tetapi jika mereka salah maka bagimu (pahala) solat itu dan (kesalahan) atas mereka.” (Cetakan Maktabah Islamiyah juz 2 hal. 1342, no. 8099. Hadits ini dinisbatkan kepada Al-Bukhari sebagaimana (catatan) dan penelitianan Al-Jami As-Soghier 2/2342)

Muhammad Mahmud Abu Ruhayyim yang mentahqiq kitab tersebut berkata di dalam nota kaki terhadap bab yang telah disebutkan yakni dengan judul ‘Bab: Penjelasan larangan memberontak kepada penguasa’ “Ini adalah keyakinan para Ahlul Hadis dan tidak ada seorang pun yang menentang mereka dalam hal ini, kecuali Mu’tazilah, Khawarij dan Zaidiyyah.” (2/391)

Aku (Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi) katakan: “Kelompok Zaidiyyah adalah kelompok yang berpegang dengan perkataan Mu’tazilah dalam masalah aqidah.”

Dan dalam kitab Al-Ibanah Al-Kubra karya Ibnu Battah dalam bab: ‘Penyebutan apa yang diperintahkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam untuk berpegang kepada jama’ah dan peringatan keras agar berhati-hati dari perpecahan,” setelah menyebutkan hadis yang berhubungan dengan perkara perintah untuk berpegang teguh kepada jama’ah dan tercelanya perpecahan, dia (Ibnu Battah) meriwayatkan dengan sanad dari Abdullah Ibnu Mas’ud radiallahu’anhu yang berkata:

“Sungguh akan ada perkara yang samar-samar (mutasyabihat). Kerana ia hendaklah kamu perlahan-halan, kerana sesungguhnya lebih baik menjadi pengikut dalam kebaikan daripada menjadi tokoh panutan dalam kejahatan.” (Ibaanah 1/328)

Dan dari Amr Ibnu Murrah radiallahu’anhu yang berkata bahawasanya Abdullah Said radiallahu’anhu berkata (sama dengan hadis di atas dan pada akhir hadis tersebut dia mengatakan:

“Berhati-hatilah dari akhlak yang buruk, jadikanlah wajahmu satu wajah dan dakwahmu satu dakwah. Kerana sesungguhnya telah sampai kepada kami berita bahawa seseorang yang memiliki dua wajah dan dua lisan akan memiliki dua lisan yang diperbuat dari api neraka.” (Sebahagian hadis disinggung oleh Syeikh Albani dalan As-Sahihah 2/554)

Dari Ibnu Abbas radiallahu’anhu bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata kepadanya: “Tolong berikan aku nasihat!” Maka Ibnu Abbas radiallahu’anhu berkata: “Aku menasihatkan kepadamu untuk berpegang teguh mengikuti atsar, dan berhati-hati dari memunculkan bid’ah.” (Ibanah 1/318)

Dan dari Ibnu Mas’ud radiallahu’anhu dia berkata: “Sederhana di dalam Sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh di dalam bid’ah.”

Dari Ibnu Umar radiallahu’anhu, dia berkata:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَإِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةً

“Setiap bid’ah adalah sesat meskipun orang menganggapnya baik.” (Ibanah 1/339)

Dari Mu’az bin Jabal radiallahu’anhu, dia berkata, “Berhati-hatilah terhadap bid’ah, kerana setiap bid’ah adalah sesat.” (Ibanah 1/339)

Dari An-Nu’man bin Basyir radiallahu’anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda:

الْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ

“Jama’ah adalah rahmat sedangkan perpecahan adalah azab.” (Ibanah 1/278, dan dihasankan oleh Syeikh Albani dalam penelitiannya terhadap As-Sunah No. 93)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar radiallahu’anhu bahawa dia berkata: “Umar memberikan khutbah di Al-Jabiyyah, dia berkata: “Wahai Manusia, saya berdiri di antara kamu sebagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di antara kami dan berkata:

“Saya wasiatkan kamu untuk berpegang kepada para sahabatku, kemudian yang datang sesudahnya, kemudian yang datang sesudahnya. Dan kedustaan akan tersebar luas sehingga ada seorang lelaki yang berani bersumpah padahal dia tidak diminta untuk bersumpah dan ada orang akan bersaksi padahal tidak diminta kepadanya untuk bersaksi. Ketahuilah, tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan. Berpeganglah kepada Jama’ah dan waspadalah terhadap perpecahan, kerana syaitan bersama seseorang yang sendirian dan dia lebih jauh terhadap dua orang, maka orang yang menginginkan ditengah-tengahnya syurga maka tetaplah berpegang kepada jama’ah. Barangsiapa yang kebaiknya membuatnya senang dan keburukannya menjadikannya sedih, maka dia adalah seorang yang beriman (dengan sempurna).” (Dikeluarkan oleh At-Tirmizi, Imam Ahmad, Ibnu Majah, Dishahihkan oleh Imam Al-Albani dalam Sahihul jami' 1/498, no. 2546)

Dan dalam kitab Syi’aru Ashabul Hadis karya Imam Abu Ahmad Ibnu Muhammad Ibnu Ahmad Ibnu Ishaq yang dikenal dengan nama Abu Ahmad Al-Hakim pada bab aqidah Ashabul hadis meriwayatkan dari Abi Raja’ Qutaibah Ibnu Sa’id halaman 31 yang mengatakan:

“Dan jihadlah bersama dengan setiap khalifah dalam berjihad melawan setiap orang-orang kafir, bagimu jihadnya dan baginya keburukannya sendiri. Dan jamaah itu bersama dengan setiap pemerintah yang soleh mahupun yang fajir (yang berbuat maksiat)." Yakni solat Jum’at, solat berjama’ah dan dua solat hari raya, sehingga perkataan beliau: “Kami tidak mengkafirkan seseorang kerana dosa-dosa besar. Dan kami tidak memberontak terhadap penguasa dengan pedang meskipun mereka zalim dan kami berlepas diri dari mereka yang meyakini bahawa diperbolehkan mengangkat pedang terhadap Muslim walau siapapun mereka.”

Dan di sana ada suatu perkara yang wajib kita perhatikan dengan saksama, iaitu bahawa Jama'ah Ikhwan (Ikhwanul Muslimin), di antara prinsip-prinsip mereka adalah tarbiyah (pendidikan) untuk pemberontakan, sehingga jika kesempatan itu muncul mereka telah siap dan bersiap sedia untuk memberontak. Dengan demikian, apakah diperbolehkan bagi kita untuk mendukung kelompok ini dan bersama-sama dengan mereka? Jawabannya adalah tidak. Ada sebuah buku yang telah dikumpulkan oleh salah seorang dari mereka yang berada di atas manhaj mereka, ia memberinya judul ‘At-Tariq ila Al-Jama’ah Al-Muslimin’ (Jalan menuju Jama'ah Ikhwanul Muslimin), lihatlah pada halaman 392 dan 393 dan anda akan lihat bahawa mereka menegaskan pemberontakan (diperbolehkan) dan mereka telah menyuarakan dengan jelas mengenai hal ini dan menuliskannya dalam halaman tersebut.

Dan dalam kitab Usul As-Sunnah karya Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, dalam riwayat ‘Abdus Ibnu Malik Al-Athar, beliau rahimahullah berkata pada halaman 64,

“Dan di antara asas-asas keyakinan (Ahlus Sunnah) adalah mendengar serta taat kepada imam dan amirul mukminin yang soleh mahupun yang fajir, atau yang menjawat khalifah kerana disepakati dan diredhai oleh manusia ataupun yang berkuasa dengan pedangnya (penggulingan) sehingga dia menjadi khalifah dan digelar Amirul Mukminin. Peperangan tetap berlanjut bersama umara yang soleh mahupun yang fajir sampai hari kiamat dan tidak boleh ditinggalkan. Dan pembahagian harta fa'i (harta rampasan perang yang diambil tanpa melalui peperangan terlebih dahulu), menegakkan hukum hudud diserahklan kepada pemimpin, tetap berlanjut tidak boleh bagi seorang pun untuk mencela mereka, tidak pula membantah mereka. Menyerahkan sedekah (zakat) kepada mereka adalah harus dan sah. Barangsiapa yang menyerahkannya kepada mereka maka sudah dianggap sah, baik pemimpin itu soleh mahupun fajir. Solat Jumaat dibelakangnya dan di belakang orang yang diberi kuasa oleh Allah Tabaroka wata'ala adalah boleh, tetap berlaku dan sempurna dua rakaat, barangsiapa yang mengulangi solatnya maka dia adalah mubtadi' (mengadakan bid'ah), meninggalkan atsar, menyelisihi Sunnah, dan dia tidak mendapatkan keutamaan solat Jumaat sedikitpun apabila dia memandang tidak boleh solat di belakang para pemimpin, siapapun mereka, yang soleh ataupun yang fajir. Jadi, As-Sunnah mengajarkan untuk solat bersama mereka, dua rakaat dan meyakini bahawa solat tersebut sempurna, serta tidak boleh ada keraguan sedikitpun di dadamu. Barangsiapa yang memberontak kepada salah satu di antara pemimpin pemimpin kaum Muslimin padahal manusia telah sepakat memilih serta mengakuinya sebagai khalifah (penguasa), dengan cara apapun dia menjadi khalifah, baik dengan keredhaan mahupun melalui penaklukan (merampas kekuasaan), maka orang yang memberontak ini telah mematahkan tongkat persatuan kaum Muslimin dan menyelisihi atsar dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan apabila dia mati maka dia mati dalam keadaan mati jahiliah. Tidak halal bagi seorangpun dari kalangan manusia ini memerangi penguasa (sultan) dan tidak pula mengadakan pemberontakan terhadap mereka. Barangsiapa yang melakukannya maka dia adalah mubtadi' (Ahlul bid’ah) tidak berada di atas Sunnah dan jalan (yang benar).”

Telah jelas dalil-dalil dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam serta ijmak umat yang dipaparkan oleh kebanyakan ulama bahawa keluar memberontak kepada wulatul umur (pemerintah) tidak harus selagi mereka masih Muslim yang mendirikan solat, baik mereka itu pemimpin yang soleh mahupun yang fajir. Inilah aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan tidak ada yang menyelisihinya kecuali Muktazilah dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam masalah keyakinan ini. Muktazilah dan Khawarij adalah kelompok (sesat) yang memandang bolehnya keluar memberontak kepada pemerintah membolehkan mengingkari kemungkaran dengan pedang. Wabillahit taufik.

[Diambil dan disunting semula oleh Abu Soleh dari Kitab Irsyaadus Saari ila Taudhihi Syarhis Sunnah lil Imam Al Barbahari, Edisi Indonesia Penjelasan Syarhus Sunnah Imam Al Barbahari Meniti Sunnah di Tengah Badai Fitnah oleh Syaikh Ahmad bin Yahya An Najmi, Penerbit Maktabah Al Ghuroba, hal 47-69]

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...