Syeikh Muhammad Ibnu Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah mengatakan bahawa dalam masalah ini ada tiga bentuk:
Pertama: Mengulangi jamaah merupakan perkara yang biasa terjadi, dimana dalam suatu masjid selalu ada dua jamaah. Jamaah pertama dan jamaah kedua. Perkara ini tidak diragukan lagi bahawa hukumnya makruh jika kami tidak mengatakannya haram. Ini kerana ia merupakan bid’ah yang tidak dikenal pada masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya. Di antara contoh perkara sebegini adalah seperti yang terjadi di Masjidil Haram, dimana solat dilakukan dengan empat imam kerana mereka menganggap mengikuti empat mazhab.
Perkara tersebut juga menyebabkan rasa malas kerana orang-orang akan mengatakan bahawa selama masih ada jamaah kedua, maka kita boleh menunggu sehingga datang kedua. Maka oarang-orang pun akan berlengah-lengah dari menghadiri solat jamaah pertama bersama imam.
Kedua: Masjid yang digunakan merupakan masjid pasar atau masjid berdekatan dengan jalan raya, dimana orang-orang sering keluar masuk ke dalamnya untuk menunaikan solat jamaah lalu mereka keluar, maka tidak makruh mengulangi jamaah di dalamnya.[*]
[*] Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Jika suatu masjid tidak mempunyai imam yang suka mengulang-ulang jamaah, maka tidak makruh melakukan jamaah kedua, jamaah ketiga atau lebih dari itu menurut ijmak. Begitu juga apabila masjidnya sering dikunjungi, maka tidak makruh kerana hal tersebut tidak terdapat kemungkinan adanya tipu daya dan pembuat kerosakan.” (Al-Majmu’ 4/222)
Ketiga: Pengulangan jamaah merupakan perkara yang kadang-kadang terjadi. Yakni bahawa imam yang suka mengulang jamaah merupakan imam yang solat jamaah di masjid tersebut, akan tetapi terkadang ada dua atau tiga orang atau lebih dari itu yang terlambat mengikuti jamaah kerana adanya uzur. Pendapat yang benar dalam masalah ini adalah bahawa jamaah boleh diulang dan tidaklah makruh (Pendapat ini juga dinyatakan oleh Ahmad, Ishaq, Daud, Ibnu Munzir dan dikuatkan pula oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baz dan Syeikh Ibnu Jibrin dan Lajnah Daimah), berdasarkan dalil-dalil berikut:
1. Hadis riwayat Ubay ibn Ka’ab bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَإِنَّ صَلاةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاتِهِ وَحْدَهُ وَصَلاتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى
“Dan sesungguhnya solat seseorang lelaki bersama lelaki yang lain adalah lebih utama daripada solat bersendirian dan solat bersama-sama dua orang lelaki lebih utama daripada solat bersama seorang lelaki. Dan apa-apa yang lebih banyak dari itu maka ia lebih disukai oleh Allah Ta’ala.” (HR. Ahmad 5/140, Abu Daud 554, An-Nasai 2/104, dan Al-Hakim telah menyatakan sahih. Lihat: Sahih At-Targhib karya Syeikh Al-Albani 1/238)
Perkara ini berlaku umum baik dalam jamaah pertama mahupun jamaah kedua yang dilaksanakan kerana adanya suatu sebab.
2. Bahawasanya suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah duduk-duduk bersama para sahabat baginda, lalu masuklah seorang lelaki setelah selesai solat. Maka baginda pun bersabda: “Siapakah yang mahu bersedekah kepadanya dengan solat bersamanya?” Maka berdirilah salah seorang dari jamaah yang hadir lalu solat bersama lelaki tersebut.” (HR. Ahmad 3/5, At-Tirmizi 220 dan beliau menghasankannya. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hajar menyatakan sahih dalam Al-Fath 2/166, dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Irwa’ Al-Ghalil 2/316)
Hukum tentang tidak makruhnya mengulangi jamaah berlaku umum baik dalam masjid Makkah mahupun masjid Madinah dan selain daripada keduanya. (Syarah Al-Mumti’ 4/227-233, Liqa’ul bab Al-Maftuh 8/29, Mukhtarat min Fatawa Ash-Sholah, hlm 24-25; Lihat Al-Mughni, Tahqiq At-Turki dan Al-Halwu 3/10-11)[*]
[*] Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Mazhab kami adalah makruh melakukan jamaah kedua tanpa adanya izin dari imam pertama.” Pendapat ini juga dinyatakan oleh Malik dan Abu Hanifah serta dikuatkan oleh Syeikh Al-Albani. Lihat Al-Majmu’ 4/222, Fatawa Islamiyyah 1/354-380, Tamamul Minnah Fit Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah, hlm 155-158.
Seorang penyair berkata:
“Jika jamaah diulangi di selain masjid Rasul terbaik (masjid Nabawi) yang mulia, dan Masjidil Haram sementara kemakruhannya tidak ada bagi orang yang cerdik.”
Syeikh Ibnu ‘Utsaimin juga ditanya: “Orang yang ketinggalan solat jamaah, adakah dia perlu menunaikan di rumahnya atau di masjid?”
Beliau menjawab bahawa menunaikannya di masjid lebih baik kerana di masjid terkdang akan banyak jamaah, dimana orang-orang akan masuk masjid dan bergabung dengannya dalam jamaah. Jadi hukumnya lebih utama. Kemudian umumnya orang yang keluar dari rumahnya adalah untuk solat berjamaah, kerana itu jika dia menunaikannya di masjid maka itu lebih bermanfaat baginya dan bagi yang lainnya, kerana seandainya dia dan rakannya pulang ke rumah lalu solat jamaah di rumah, mnaka seandainya ada seseorang yang masuk masjid setelah selesai jamaah pertama sementara dia tidak mendapati jamaah maka tentulah ia tidak dapat melaksanakan jamaah. Jadi yang lebih utama adalah menunaikannya di masjid.
Adapun seandainya dia mengetahui ketika di dalam rumah bahawa jamaah di masjid telah selesai, maka di sini kami mengatakan bahawa tidak ada beza; solatlah di rumah anda kerana jika anda keluar masjid akan timbul prasangka buruk terhadap anda dan anda tidak akan mendapati keutamaan dengan pergi ke masjid setelah solat jika anda tidak mendapati jamaah. (Liqa’ul bab Al-Maftuh 41-50, hlm 17)
Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan bahawa menunaikan jamaah di masjid lebih utama. Di antaranya sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاةِ لَمْ يَرْفَعْ قَدَمَهُ الْيُمْنَى إِلا كَتَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ حَسَنَةً وَلَمْ يَضَعْ قَدَمَهُ الْيُسْرَى إِلا حَطَّ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهُ سَيِّئَةً فَلْيُقَرِّبْ أَحَدُكُمْ أَوْ لِيُبَعِّدْ فَإِنْ أَتَى الْمَسْجِدَ فَصَلَّى فِي جَمَاعَةٍ غُفِرَ لَهُ فَإِنْ أَتَى الْمَسْجِدَ وَقَدْ صَلَّوْا بَعْضًا وَبَقِيَ بَعْضٌ صَلَّى مَا أَدْرَكَ وَأَتَمَّ مَا بَقِيَ كَانَ كَذَلِكَ فَإِنْ أَتَى الْمَسْجِدَ وَقَدْ صَلَّوْا فَأَتَمَّ الصَّلاةَ كَانَ كَذَلِكَ
“Jika salah seorang di antara kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya kemudian keluar untuk menunaikan solat, tidaklah dia mengangkat telapak kaki kanannya kecuali Allah akan mencatat untuknyasatu kebaikan dan tidaklah dia meletakkan telapak kaki kirinya kecuali Allah akan meleburkan darinya satu keburukan. Maka hendaklah salah seorang dari kamu berjalan dekat atau berjalan jauh. Jika dia datang ke masjid lalu solat berjamaah, maka diampuni dosa-dosanya. Jika dia datang ke masjid sementara mereka telah solat sebahagian, dan tinggal sebahagiannya lagi, maka dia dapat solat dengan mengikuti apa yang dia dapati lalu menyempurnakan yang tertinggal. Demikianlah yang sepatutnya dia lakukan. Jika dia datang ke masjid sementara mereka telah solat lalu dia menyempurnakan solatnya, maka begitulah yang sepatutnya dia lakukan.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud 1/154, hlm 563. Juga terdapat dalam Sahih Al-Jami’ As-Soghier,hlm. 440)
Baginda bersabda lagi:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ رَاحَ فَوَجَدَ النَّاسَ قَدْ صَلَّوْا أَعْطَاهُ اللَّهُ جَلَّ وَعَزَّ مِثْلَ أَجْرِ مَنْ صَلَّاهَا وَحَضَرَهَا لا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أَجْرِهِمْ شَيْئًا
“Barangsiapa yang berwuduk lalu memperelokkan wuduknya kemudian dia berjalan menuju ke masjid dan dia dapati orang-orang telah selesai solat, maka Allah akan memberikannya pahala sepertimana pahala orang-orang yang telah solat dan hadir, yang mana tidak dikurangkan pahala mereka sedikitpun.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud 1/154, Ahmad dalam Al-Musnad 2/380, dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Sahih Abi Daud 1/113)
Abdul Aziz ibn Baz rahimahullah menguatkan pendapat yang menyatakan bolehnya mengulangi jamaah. Menurut beliau: “Yang wajib bagi mereka adalah menunaikan solat secara berjamaah jika mereka tidak mendapati jamaah pertama, berdasarkan keumuman ayat-ayat dan hadis-hadis yang memerintahkan menunaikan solat secara berjamaah. Akan tetapi keutamaannya tidak seperti keutamaan jamaah yang pertama.”
Beliau berkata lagi: “Akan tetapi tidak boleh bagi seorang muslim melengahkan solat jamaah, bahkan dia wajib untuk bersegera menunaikannya ketika mendengar seruan azan.” (Majmu’ Fatawa, Samahah Asy-Syeikh Abdul Aziz ibn Baz 2/357-358, Jam’u Ath-Thayyar)