Penulis: Mohd Hairi bin Nonchi
Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah.” [Diriwayatkan oleh sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama. Lafaz hadis di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – hadis no: 4429. Disahihkan oleh Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah - hadis no: 203]
Menerusi hadisnya di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita, umatnya bahawa selepas kewafatan baginda s.a.w umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda s.a.w tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, parti, kumpulan atau golongan sebagaimana yang dapat kita saksikan pada saat ini.
Mengapakah Umat Islam Saling Berpecah Belah?
Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab kepada perpecahan dan perselisihan di kalangan umat Islam. Akan tetapi, di antara faktor-faktor tersebut, terdapat dua faktor terbesar yang mencetuskan perselisihan tersebut, di antaranya:
Faktor Pertama: Mengubah suai ajaran agama.
Tidak syak lagi bahawa punca utama dan pertama yang mencetuskan perselisihan dan perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan oleh faktor bid'ah dalam agama. Bid'ah secara umumnya merujuk kepada tindakan mengubahsuai atau menokok tambah sesuatu yang "baru" dalam hal agama, baik yang melibatkan amalan mahupun yang melibatkan iktikad (keyakinan) sehingga menghilangkan kemurniaan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri menerusi hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepas (kewafatan) aku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin Mahdiyin selepasku, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham (kamu) dan jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama ini) kerana ia adalah bid'ah sedangkan setiap bid'ah itu (adalah) sesat" [Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud – hadis no: 4607. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah, jld. 6, ms. 526 – hadis no: 2735]
Khutbah Nabi s.a.w ini dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam disebabkan oleh amalan bid'ah yang mereka lakukan selepas kewafatan baginda s.a.w. Justeru, baginda s.a.w dengan tegas mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh kepada sunnah dan juga sunnah para khalifah yang menggantinya. Selain daripada menggambarkan suasana perselisihan, khutbah Nabi s.a.w itu juga mengisyaratkan kepada bahaya pemikiran dan amalan bid'ah sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan tersebut. Dalam konteks ini, al-Marhum Muhammad Rashid Reda berkata:
"Ulamak sains sosial, ahli politik dan pakar sejarah pelbagai bangsa bersepakat bahawa bangsa Arab bangkit mencapai kemajuan dan kegemilangan terakhir mereka kerana kesan daripada ajaran Islam yang menyatupadu dan memperbaiki keadaan diri dan kelakuan (jahiliah) mereka. Tetapi ramaiyang tidak bersepakat dalam menentukan faktor kejatuhan umat Islam selepas kebangkitan, sehingga ada yang meletakkan kesalahan itu pada agama. Sedangkan kata-kata orang berilmu menetapkan bahawa agama yang pernah menjadi faktor kebaikan dan perubahan tidak mungkin (di satu masa) akan menjadi faktor kemusnahan dan kelemahan, kerana faktor yang sama tidak akan menghasilkan kesan yang berbeza. Jika benar ajaran Islam memberi kesan kemunduran kepada generasi terkemudian, maka yang demikian itu pastinya bukan (berasal) dari ajaran Islam sebenar yang mendatangkan kebaikan kepada generasi terdahulu. Bahkan ianya tentu kerana faktor bid'ah yang memecahkan perpaduan mereka dan memesongkan mereka daripad ajalan yang lurus" [Muhd. Rashid Reda, At-Ta'rif Bi Kitab Al-'I'tisham, ms. 3-4; penulis nukil daripada buku Khilaf dalam Islam: Sebab dan Adab, Ustaz Abdul Rasyid bin Idris @ Adir, Ustaz Dr. Azwira bin Abdul Aziz dan Ustaz Fadlan bin Mohd Othman (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru), 39-40]
Faktor Kedua: Keengganan Pihak yang Saling Berselisih untuk Kembali kepada Petunjuk Al-Qur'an Dan Al-Sunnah yang Sahih.
Ikhtilaf atau perselisihan adalah merupakan suatu ketetapan Allah (sunnatullah) ke atas umat manusia. Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hud, ayat 118-119 yang bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu. Sesungguhnya Aku memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia"
Sungguhpun demikian, Allah s.w.t selaku Tuhan yang menetapkan perselisihan itu tidak sekali-kali membiarkannya berlaku begitu sahaja. Sebaliknya, Dia juga telah menyediakan "jalan-jalan" ke arah penyelesaian terhadap sesuatu perselisihan yang timbul di kalangan para hamba-Nya. Adapun "jalan-jalan" penyelesaian yang penulis maksudkan di sini adalah dengan mengembalikan setiap persoalan yang diperselisihkan itu kepada al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih. Perhatikan firman-Nya dalam surah al-Nisa', ayat ke-59 yang bermahfum: "Kemudian, jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya"
Malangnya, terdapat sebahagian umat Islam yang apabila tercetus perselisihan di kalangan mereka, adakalanya akan ada salah satu pihak daripadanya yang enggan tunduk untuk kembali kepada seruan ayat tersebut. Mereka tidak sudi menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih sebagai penamat perselisihan yang timbul antara mereka. Sebaliknya, mereka lebih condong kepada mengambil sesuatu yang lain daripada petunjuk kedua-dua wahyu agung itu baik ianya berupa ideologi-ideologi ciptaan manusia, kebiasaan-kebiasaan atau adat tertentu, ajaran tok guru atau tokoh sekian-sekian dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa perselisihan dan perpecahan di kalangan umat Islam itu sentiasa timbul dan terus berkepanjangan.
Penawar Penyakit Perpecahan Umat.
Mengakhiri perbincangan kita yang serba ringkas dan terbatas ini, berikut akan saya kemukakan tiga langkah penting sebagai kaedah bagi merawat penyakit perpecahan yang kian kronik melanda umat Islam ketika ini. Diharap dengan adanya komitmen kita di dalam mengikuti langkah-langkah tersebut akan dapat menjadikan kita sebagai umat yang satu dan saling berkasih sayang antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mukmin, ayat 52: "Sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu bertaqwa kepada-Ku". Adapun tiga langkah yang saya maksudkan di atas adalah sebagaimana berikut:
[1] Berpegang teguh kepada tali (agama) Allah s.w.t. Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam surah ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud: "... Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai ...". Berdasarkan kepada petunjuk ayat ini, umat Islam diseru supaya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang sebenar, dalam ertikata berpegang kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih dan tulen, setulen fahaman dan amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a. Umat islam juga hendaklah sentiasa mengunggulkan kedua-dua petunjuk wahyu tersebut di atas segala sesuatu yang lain serta menolak apa-apa yang bercanggah dengannya baik berupa pandangan peribadi, kebiasaan-kebiasaan (adat) tertentu, ajaran tok guru serta pandangan sesuatu aliran atau mazhab.
[2] Umat Islam seluruhnya hendaklah sentiasa berlapang dada dalam menghadapi suasana perbezaan pandangan. Hal ini kerana, sebagaimana yang telah saya sentuh di atas, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang fitrah bagi umat manusia. Hanya saja apa yang perlu dilakukan ketika mendepani fenomena perselisihan tersebut ialah kembali sepenuhnya kepada petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih (surah al-Nisa', ayat 59). Sekiranya kedua-dua pihak yang saling berselisih memiliki dalil yang kukuh, hendaklah masing-masing pihak berlapang dada antara satu dengan yang lain. Tidak dibolekan untuk saling menghukum dalam perkara yang wujud padanya perselisihan yang dibenarkan syarak (ikhtilaf muktabar).
[3] Seterusnya, umat Islam seluruhnya hendaklah sentiasa bersiap sedia dalam menerima sesuatu kebenaran sekalipun kebenaran tersebut adalah bercanggah dengan apa yang menjadi anutan dan pegangan mereka selama ini. Pada masa yang sama, hendaklah mereka dengan penuh rela segera meninggalkan apa-apa pandangan atau kebiasaan sedia ada yang jelas bercanggah dengan kebenaran tersebut. Kedegilan untuk kembali kepada kebenaran setelah kebenaran telah tertegak di hadapan mata adalah di antara faktor yang menjarakkan seseorang atau sesuatu kaum itu dari ajaran agama yang merupakan "medium" pengikat kesatuan umat Islam yang teguh. Sekaligus, keadaan ini pula akan menyebabkan virus-virus penyakit perpecahan akan tersemai di tengah-tengah masyarakat sehingga akhirnya, lambat laun ianya akan membesar dan terus membesar sehingga sukar dirawat lagi sebagaimana yang berlaku sehingga ke saat ini.