Ahad, 30 Ogos 2009

Bilangan Solat Tarawih

Di Malaysia umumnya melaksanakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat kemudian 3 rakaat witir. Terdapat juga segelintir yang hanya melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat. Jumlah rakaat ini yang menjadi perselisihan di kalangan sebahagian golongan dan masyarakat sehingga ada yang menuduh kononnya 8 rakaat bukan sunnah, yang sunnah adalah 20 rakaat. Sebelah pihak pula membalas bahawa 8 rakaat merupakan sunnah nabi, manakala lebih dari itu adalah bid'ah.

Apa pun, pada pandangan saya sendiri, sememangnya perbuatan Nabi sendiri adalah sebanyak 11 rakaat termasuk witir dan yang ini merupakan yang utama. Akan tetapi, boleh menambah bilangan rakaat tersebut sekiranya mahu menambah. Wallahua'lam.

Al-Qadhi 'Iyadh mengatakan: "Tidak ada perselisihan berkenaan dengan hal ini tiada batasan (rakaat), sehingga tidak boleh ditambah atau dikurangi. Solat malam adalah suatu ketaatan yang bila bertambah banyak, maka bertambah pula pahalanya. Adapun yang diperselisihkan ialah berkenaan dengan perbuatan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan jumlah rakaat yang baginda pilih untuk peribadi baginda. Wallahua'lam." (Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, jilid 2, ms. 71, Puskata Tazkia)

Bilangan Rakaat Solat Tarawih Di Zaman Nabi

Abu Dzar radhiallahu 'anhu berkata:

Kami puasa, tetapi Nabi tidak memimpin kami untuk melakukan solat (tarawih) hingga ramadhan tinggal tujuh hari lagi, maka Rasulullah mengimami kami solat sampai lewat sepertiga malam. Kemudian baginda tidak keluar pada malam keenam, dan pada malam kelima, baginda memimpin solat lagi sampai lewat separuh malam. Lalu kami berkata kepada Rasulullah: "Seandainya engkau menambah lagi untuk kami baki malam ini?" Maka baginda bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

"Barang siapa solat (tarawih) bersama imam sampai selesai, maka ditulis (pahala) untuknya Qiamullail (solat malam)."

Kemudian baginda tidak memimpin solat lagi, hingga ramadhan tinggal tiga hari. Maka baginda memimpin kami solat pada malam ketiga. Baginda mengajak keluarga dan isterinya. Baginda mengimami sampai kami khawatir tidak mendapat falah, saya (Yakni Jabir bin Nufair) bertanya, apa itu falah? Dia (Abu Dzar) berkata, "Sahur." (Hadis riwayat Nasai III/202, Tirmizi 806, Ibn Majah 1327, Abu Daud 1375)

Abu Salamah bin Abdurrahman bertanya kepada A'isyah, maka A'isyah menjawab:

"Tidak pernah baginda menambah lebih dari sebelas rakaat, baik pada bulan ramadhan mahupun diluar ramadhan. Baginda solat 4 rakaat dan jangan ditanya betapa bagusnya dan panjangnya. Kemudian baginda solat 4 rakaat lagi dan jangan ditanya betapa bagusnya dan panjangnya. Kemudian baginda solat 3 rakaat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jabir bin Abdullah radhiallahu'anhu berkata:

"Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah solat bersama kami di bulan ramadhan lapan rakaat dan witir (satu rakaat). Maka pada hari berikutnya kami berkumpul di masjid dan mengharap baginda keluar (untuk solat), tetapi baginda tidak keluar hingga masuk waktu pagi, kemudian kami masuk padanya, lalu kami berkata:

"Ya Rasulullah! Malam tadi kami telah berkumpul di masjid dan kami harapkan engkau mahu solat bersama kami, maka baginda bersabda: "Sungguh aku bimbang solat itu akan diwajibkan ke atas kamu sekalian." (Hadis riwayat Thabrani dan Ibn Nashr; Al-Albani berkata: Sanad hadis ini hasan)

Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim berkata:

"Sebahagian ulama berpendapat bahawa solat baginda adalah sebelas rakaat. Adapun dua rakaat yang lain, ada yang mengatakan bahawa itu dua rakaat solat sunnah fajar (subuh). Ada yang mengatakan dua rakaat tersebut adalah solat sunnah setelah Isyak. Perkara ini dapat diterima pada sebahagian riwayat, namun tidak dapat diterima pada sebahagian yang lainnya. Ada yang mengatakan kedua rakaat itu adalah dua rakaat ringan yang biasa dikerjakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk membuka solat malam baginda. Barangkali inilah yang lebih tepat." (Shahih Fiqih As-Sunnah, jilid 2, ms. 70)

Beliau juga berkata:

"Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah menambah, baik pada bulan ramadhan mahupun di luar ramadhan lebih dari sebelas rakaat, ketika solat malam di dalam rumahnya. Adapun malam-malam dimana baginda mengerjakan solat terawih bersama para sahabatnya, tidak disebutkan jumlah rakaatnya. Tidak ada hadis sahih yang menyebutkan batasan jumlah rakaat solat ini." (Lihat Al-Mushabih fi Shalah At-Tarawih ms. 14-15, tulisan As-Suyuti yang semakna dengannya; dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 76)

Boleh Solat Tarawih Lebih Dari 11 Rakaat

Menurut Abu Malik Kamal pengarang Shahih Fiqih Sunnah, bahawa bolehnya menambah jumlah bilangan rakaat solat malam dalam bulan Ramadhan mahupun luar bulan Ramadhan. Antara hujah-hujahnya adalah:

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

صلاة الليل مثنى مثنى فإذا خشيت الصبح فأوتر بواحدة

"Solat malam dikerjakan dua rakaat dua rakaat (berurut-turut). Jika engkau bimbang (masuknya) waktu subuh, maka berwitirlah satu rakaat." (Hadis riwayat Bukhari 946 dan Muslim 749)

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أعني على نفسك بكثرة السجود

"Bantulah aku untuk memenuhi permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud." (Hadis riwayat At-Thabrani dalam Mukjam Kabir 20/365)

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إنك لن تسجد لله سجدة إلا رفعك بها درجة وحط عنك بها خطيئة

"Sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali sujud, melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dengannya dan menghapuskan satu kesalahan darimu." (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnadnya, no: 21122)

Abu Malik Kamal berkata:

"Nabi memilih bagi dirinya dengan jumlah tersebut (yakni 11 rakaat), tidak boleh dijadikan sebagai dalil yang mengkhususkan dalil-dalil di atas. Hal itu kerana dengan alasan: Perbuatan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam tidak dapat mengkhususkan perkataan baginda, sebagaimana telah direkomen dalam usul fiqh..." (Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 72)

Pendapat Ulama-Ulama Yang Membolehkan Tarawih Lebih Dari 11 Rakaat

Dari As-Sa'ib bin Yazid:

"Bahawa Umar mengumpulkan manusia (untuk solat tarawih) di belakang Ubay bin Ka'ab dan Tamim Ad-Dari dengan dua puluh satu rakaat. Mereka membaca ratusan ayat dan baru selesai ketika menjelang fajar." (Riwayat Abdulrazzaq 7730, Ibnul Ja'ad 2926 dan dari jalur yang sama Al-Baihaqi meriwayatkannya 2/496, keduanya meriwayatkan dua puluh rakaat)

Catitan: Al-Albani berkata: Ibn Hajar mengatakan riwayat ini sebagai tsiqah, namun riwayat yang menyebut Ubay bin Ka'ab dan Tamim Ad-Dari solat sebanyak 11 rakaat adalah tsiqah tsabit (lebih tsiqah). Menurut Al-Albani riwayat ini dhaif dengan itu menurut beliau yang benar solat terawih hanya boleh dilakukan sebagaimana cara Nabi iaitu 11 rakaat; lihat buku beliau 'Shalat At-Tarawih'. Akan tetapi menurut Abu Malik Kamal riwayat ini sahih (Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 73) Wallahua'lam.

Al-Kasani berkata: "Umar mengumpulkan para sahabat Rasulullah pada bulan Ramadhan di belakang Ubay bin Ka'ab, yang mengimami mereka dua puluh satu rakaat, dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya. Dengan demikian, ini menjadi ijmak (kesepakatan) para sahabat." (Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 77)

Imam Malik rahimahullah berkata: "Ini adalah perkara yang sudah lama bagi kami (yakni solat tarawih 39 rakaat)." (Al-Mudawwanah 1/193 dan Syarh Az-Zarqani 1/284) Hujahnya adalah riwayat dari Daud bin Qais, ia berkata: "Aku mendapati kaum Muslimin di Madinah pada zaman Umar bin Abdul 'Aziz dan Aban bin Utsman, mereka mengerjakan solat tiga puluh enam rakaat dan solat witir tiga rakaat." (Riwayat Ibn Abi Syaibah 2/393, dan Ibn Nasr dalam Qiyam Ar-Ramadhan, ms. 60; dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 77)

Al-Hasan bin Ubaidillah berkata: "Abdurrahman bin Al-Aswad mengimami kami pada bulan Ramadhan dengan empat puluh rakaat dan witir tujuh rakaat." (Riwayat Ibn Abi Syaibah 2/393) Diriwayatkan dari Ahmad bin Hanbal bahawa beliau mengerjakan solat malam pada bulan ramadhan dengan jumlah rakaat yang tidak terbilang." (Kasyaf Al-Qanna' 1/425 dan Muthalib Uli An-Nuha 1/563; dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 78)

Imam Syafi'i rahimahullah berkata:

"Saya menjumpai orang-orang di Mekkah. Mereka solat (tarawih) 23 rakaat. Dan saya melihat penduduk Madinah, mereka solat 39 raka'at, dan tidak ada masalah sedikitpun tentang hal itu." (Sunan Timizi 151, Fath Al-Aziz 4/266, Fathul Bari 4/23; dinukil dari Majalah As-Sunnah 07/VII/1424H, penulis Abu Hamzah Al Sanuwi, Lc, Mag)

Al-Tharthusi rahimahullah berkata:

"Mungkin Umar pertama kali memerintahkan kepada mereka 11 rakaat dengan bacaan yang amat panjang. Pada rakaat pertama, imam membaca sekitar dua ratus ayat, kerana berdiri lama adalah yang terbaik dalam solat.

Tatkala masyarakat tidak lagi kuat menanggung hal itu, maka Umar memerintahkan 23 rakaat demi meringankan lamanya bacaan. Dia menutupi kurangnya keutamaan dengan tambahan rakaat. Maka mereka membaca surat Al-Baqarah dalam 8 rakaat atau 12 rakaat sesuai dengan hadis al-A'raj tadi." (Dinukil dari Majalah As-Sunnah 07/VII/1424H, penulis Abu Hamzah Al Sanuwi, Lc, Mag)

Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata:

"Hal tersebut difahami sebagai variasi sesuai dengan situasi, keadaan dan keperluan manusia. Kadang-kadang 11 rakaat, atau 21 atau 23 rakaat, bergantung persiapan dan kesanggupan mereka. Kalau 11 rakaat, mereka memanjangkan bacaan hingga bertumpu pada tongkat. Jika 23 rakaat, mereka meringankan bacaan supaya tidak memberatkan jamaah." (Fathul Bari, 4/253; Dinukil dari Majalah As-Sunnah 07/VII/1424H, penulis Abu Hamzah Al Sanuwi, Lc, Mag)

Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:

"Solat tarawih jika dilakukan mengikut Mazhab Abu Hanifah, Syafi'i, Ahmad iaitu 20 rakaat. Mengikut Mazhab Malik iaitu 36, 13 atau 10 adalah lebih baik, sebagaimana kata Imam Ahmad kerana tiada nas yang menghadkannya. Oleh itu, solat ini dilakukan dengan bilangan yang banyak ataupun sedikit berdasarkan panjang pendek ia dilakukan." (Al-Ikhtiyar 64; dinukil dari Fatwa Kemusykilan Solat, Selenggaraan Azizah Mat Isa, Karya Bestari, ms. 221)

Beliau juga berkata:

"Ini semua boleh. Bagaimana pun ia mengerjakannya pada bulan ramadhan dengan berbagai bentuk dan cara tersebut di atas, maka ia telah berbuat kebajikan. Keutamaan itu berbeza-beza menurut keadaan orang yang solat. Jika mereka termasuk orang yang mampu berdiri lama, hendaklah ia mengerjakan sepuluh rakaat di tambah tiga rakaat sesudahnya, sebagaimana dilakukan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pada bulan ramadhan dan di luar ramadhan. Jika mereka tidak mampu berdiri lama, mereka mengerjakan dua puluh rakaat itulah yang lebih utama. Itulah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin. Sebab ini adalah pertengahan antara sepuluh dan empat puluh. Jika ia mengerjakannya empat puluh rakaat atau jumlah lainnya, maka hal itu boleh sahaja. Tidak ada jumlah rakaat yang dilarang. Banyak ulama telah memberi nas tentang itu seperti Ahmad dan selainnya. Barangsiapa berpendapat bahawa Qiam Ramadhan dibatasi dengan jumlah rakaat tertentu dari Nabi, tidak boleh ditambah dan tidak boleh dikurangi, maka ia telah keliru..." (Majmuk Fatawa; dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jilid 2, ms. 78)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata:

"Diantara perkara yang terkadang samar bagi sebahagian orang adalah solat tarawih sebagian mereka mengira, bahawa tarawih tidak boleh kurang dari 20 rakaat. Sebahagian lain pula mengira, bahawa tarawih tidak boleh lebih dari 11 rakaat atau 13 rakaat. Ini semua adalah sangkaan yang tidak pada tempatnya, bahkan salah; bertentangan dengan dalil.

Hadis-hadis sahih dari Rasululah telah menunjukkan, bahawa solat malam itu adalah muwassa' (fleksible). Tidak ada batasan tertentu yang kaku yang tidak boleh dilanggar. Bahkan telah sahih dari Nabi, bahawa baginda solat malam 11 rakaat, terkadang 13 rakaat, terkadang lebih sedikit dari itu di Ramadhan maupun di luar Ramadhan. Ketika ditanya tentang sifat shalat malam, baginda menjelaskan:

"Solat malam dikerjakan dua rakaat dua rakaat (berurut-turut). Jika engkau bimbang (masuknya) waktu subuh, maka berwitirlah satu rakaat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda tidak membatasi dengan rakaat-rakaat tertentu, tidak di bulan Ramadhan mahupun di luar Ramadhan. Oleh kerana itu, para sahabat pada masa Umar di sebahagian waktu shalat 23 rakaat dan pada waktu yang lain 11 rakaat. Semua itu sahih dari Umar dan para sahabat pada zamannya.

Dan sebahagian salaf, bersolat tarawih 36 rakaat ditambah 3 rakaat witir. Sebahagian lagi solat sebanyak 41 rakaat. Semua itu dikisahkan dari mereka oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan ulama lainnya. Sebagaimana beliau juga menyebutkan, bahawa masalah ini adalah luas (tidak sempit).

Beliau juga menyebutkan, bahawa yang afdhal (utama) bagi orang yang memanjangkan bacaan, rukuk dan sujud ialah menyedikitkan bilangan rakaatnya. Dan bagi yang meringankan bacaan, rukuk dan sujud (yang afdhal) ialah menambah rakaatnya. Ini adalah makna ucapan beliau (Ibn Taimiyyah).

Barang siapa merenungkan sunnah Nabi, ia pasti mengetahui, bahawa yang paling afdhal dari semua itu ialah 11 rakaat atau 13 rakaat. di Ramadhan atau di luar Ramadhan. Kerana hal itu yang sesuai dengan perbuatan Nabi dalam kebiasaannya. Juga kerana lebih ringan bagi jemaah. Lebih dekat kepada khusyu' dan tuma'ninah. Namun, barangsiapa menambah (rakaat), maka tidak mengapa dan tidak makruh, seperti yang telah lalu." (Al-Ijabat Al-Bahiyyah, 17-18. Lihat juga Fatawa Lajnah Daimah, 7/194-198; dinukil dari Majalah As-Sunnah 07/VII/1424H, penulis Abu Hamzah Al Sanuwi, Lc, MAg)

Kesimpulan

Solat tarawih merupakan amalan salafus-soleh, mereka mengerjakannya dan berusaha untuk mendapatkan keutamaannya sebagaimana sabda Nabi:


مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa yang membangunkan ramadhan (iaitu dengan mengerjakan solat malam -terawih-) dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkenaan jumlah rakaat tersebut sama ada 11 atau 13 atau 21 atau lebih dari itu, maka janganlah disebabkan perselisihan tersebut menyebabkan berpecah-belahnya masyarakat.

Syeikh Muhammad Soleh ibn Al-Utsaimin rahimahullah berkata:

"Amat menyedihkan apabila terdapat dalam masyarakat Islam, kumpulan-kumpulan yang menggunakan khilaf yang dibenarkan untuk memecah-belahkan masyarakat. Perbezaan pendapat ini telah lama wujud dari zaman sahabat lagi. Tetapi mereka tetap bersatu hati dalam menegakkan kebenaran." (Syarh Al-Mumti', jilid 4, ms. 225; dinukil dari Fatwa Kemusykilan Solat, ms. 216-217)

Beliau berkata lagi:

"Sepatutnya umat Islam tidak perlu terlalu sensitif dengan percanggahan ini. Mereka juga berpegang dengan pendapat-pendapat yang keterlaluan seperti tidak boleh menambah rakaat solat tarawih kerana ia sudah terdapat di dalam sunnah. Mereka juga menyatakan bahawa sesiapa yang menambah bilangan solat tarawih akan menanggung dosa dan tergolong dalam ahli maksiat." (Ibid, ms. 217)

Rasulullah sendiri tidak pernah menghadkan jumlah rakaat solat tarawih. Walaupun terdapat hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam: "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat." Maksud sebenar hadis ini ialah cara perlaksanaan solat bukannya bilangan rakaat. Ini merupakan kelonggaran yang telah diberikan kepada umat Islam. Sedangkan ganjaran yang belipat ganda yang akan diberikan kepada sesiapa yang menunaikan solat tarawih bersama imam.

Sabda Rasulullah:


إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

"Barang siapa solat (tarawih) bersama imam sampai selesai, maka ditulis (pahala) untuknya Qiamullail (yakni satu malam suntuk)." (Hadis ini klasifikasikan sebagai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih At-Tirmizi, no: 646)

Apa yang penting, solat tarawih haruslah dilaksanakan dengan penuh khusyuk, tidak tergesa-gesa sebagaimana kebanyakan amalan masyarakat pada hari ini. Yang mana mereka melaksanakan tarawih  secara ekspress. Al-Fatihah dibaca sekali atau dua kali nafas dan tidak toma'ninah (yakni tidak berhenti seketika). Padahal Rasulullah bersabda:

Yang maksudnya: "Orang yang paling buruk dalam mencuri adalah orang yang mencuri dari solatnya." Para sahabat bertanya: "Bagaimana dia mencuri dari solatnya, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Dia tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujudnya." (Hadis riwayat Ahmad, no: 22136)

Suatu ketika seorang lelaki melaksanakan solat kemudian memberi salam (tanda berakhir solatnya). Lalu Rasulullah menyuruhnya mengulangi solatnya kembali sehingga tiga kali. Lalu lelaki tersebut berkata: "Wahai Rasulullah, ayahku sebagai tebusanmu. Aku tidak dapat melaksanakan yang lebih baik dari ini, maka ajarilah aku." Lalu Nabi mengajarinya dengan bertoma'ninah disetiap gerakan rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. (Lihat Hadis riwayat Bukhari no: 757 dan Muslim, no: 397)

Demikian secara ringkas yang dapat saya paparkan berkenaan jumlah rakaat tarawih Nabi dan Salafus-soleh. Semoga kita dapat meneruskan amalan Qiam Ramadhan di bulan ini dan mengambil peluang dimana dosa-dosa yang lalu akan dihapuskan selagimana kita tidak melakukan dosa-dosa besar.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Solat lima waktu, solat Jumaat ke solat Jumaat lainnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antaranya, selagimana dosa-dosa besar ditinggalkan." (Hadis riwayat Muslim)

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...