OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Apabila tercetusnya fitnah politik Perak, maka kita dapat lihat satu golongan agama yang beragama mengikut emosi, mengenepikan hukum Allah yang mereka perjuangkan selama ini.
YB Mohd. Nizar pada sambutan Jubli Perak Pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak dalam pembukaan ucapannya iaitu sehari sebelum pemecatan beliau membaca ayat berikut:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.[Ali Imran: 26].
Memang senang bagi beliau membaca ayat ini tetapi pada keesokan harinya, apabila Allah s.w.t mengkehendaki beliau beramal dengan ayat ini, kita dapat saksikan apa yang berlaku.
Saya tidak akan memanjangkan perbicaraan berkenaan pihak yang satu ini kerana telah saya jelaskan dalam artikel sebelum ini.
Membela: Antara Syariat dan Adat
Kali ini, saya ingin menyentuh pula pihak yang bangun membela raja mereka juga dengan penuh emosi. Saya jelaskan sebelum ini memang taat kepada pemerintah itu kewajipan agama dan membela hak seorang muslim itu kewajipan syar’i, tetapi setiap perkara yang syar’i dalam melaksanakannya hendaklah mengikut cara yang syar’i juga.
Pemerintah dalam Islam bukanlah seorang yang maksum daripada dosa namun syarak menetapkan kita perlu taat pada perintah beliau selama perintah itu tidak melanggar syariat. Apabila perintah itu melanggar syariat kita dilarang keras menurut namun tidaklah pula menjadi keleluasaan bagi seorang muslim untuk bangun menentang dan menggulingkan pemimpin muslim tersebut.
Apa yang ingin saya sentuh di sini, dalam usaha pihak yang membela Paduka Seri Sultan Perak, kebanyakan mereka ini hanya membela dalam rangka adat semata-mata dan hal ini amat mengecewakan.
Adat-Istiadat & Bidaah
Kita perlu sedar bahawa tidak semua adat istiadat diraja yang diamalkan masyarakat melayu pada hari ini berasal daripada Islam bahkan ada daripadanya yang ada pengaruh Hindu dan Budha, jadi dalam hal ini seseorang muslim perlu berhati-hati apabila ingin menunjukkan taat setianya pada Raja atau Sultan.
Misalnya dalam masyarakat melayu, apabila seorang Raja atau Sultan mangkat akan diadakan perkabungan sehingga menjangkau ratusan hari. Hal ini amat bertentangan dengan syariat kerana apabila Rasulullah s.a.w wafat, para Sahabat radiallahu’anhum tidak mengadakan sebarang upacara perkabungan, demikian juga para Khulafa’ al-Rasyidin selepas baginda bahkan para khalifah selepas itu.
Adat perkabungan ini hanya berlaku dalam kesultanan Islam apabila Bani Mamluk memerintah dan terkesan kepada kesultanan Islam lainnya. Jadi amalan ini adalah suatu bidaah dalam agama Islam yang perlu dijauhi sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mereka cipta perkara baharu dalam agama kami maka amalan itu tertolak”. [al-Bukhari & Muslim].
Urusan kematian termasuk urusan ibadat dalam Islam, maka mereka cipta apa-apa bentuk upacara baharu dalam istiadat pemakaman yang tiada asalnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah bidaah yang tercela.
Daulat & Tulah
Demikian juga kepercayaan daulat dan tulah yang kononnya seseorang raja mempunyai kekuasaan luar biasa. Sebetulnya konsep Daulat dan Tulah perlu dilihat daripada segi syariat. Kita tidak begitu kisah dengan istilah yang digunakan tetapi bagaimana kita meninterpertasikan istilah tersebut yang penting.
Jika kita katakan raja itu berdaulat dengan makna baginda memilki kekuasaan yang diberi oleh Syariah Islamiah maka ianya benar kerana firman Allah s.w.t:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu…” [al-Nisaa: 59]
Dan sabda Nabi s.a.w:
تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ مالك فاسمع وأطع
Maksudnya: “Hendaklah kamu dengar dan taat kepada pemerintah walaupun dia memukulmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah (dalam makruf)”. [al-Bukhari & Muslim].
Demikian juga konsep tulah, jika yang hendak dimaksudkan adalah mendapat kemurkaan Allah s.w.t apabila kita menderhaka kepada pemerintah maka ia sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w:
من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله
Maksudnya: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”. [al-Tarmizi, sahih].
Maka kosnep ini kita terima namun jika yang hendak dimaksudkan dengan daulat dan tulah itu pemerintah tersebut mempunyai hak pemerintahan dengan sendirinya dan mempunyai kekuasaan sakti tertentu, maka ini bertentangan dengan kefahaman Islam yang benar.
Oleh itu, usaha yang terbaik dalam rangka membela kedaulatan Raja-raja Melayu adalah dengan mengikut lunas-lunas syarak sehingga kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam direalisasikan sepenuhnya.
Adat Istiadat yang dilihat tidak sesuai dengan Islam perlu segera dikikis dan digantikan dengan hukum hakam syariat supaya dengan demikian pemerintahan Raja-raja Melayu lebih dihormati kawan dan lawan.
Kedudukan Sistem Beraja
Saya juga ingin menyentuh berkenaan kedudukan sistem beraja dalam syariat Islam. Sistem pemerintahan dalam Islam pada asalnya adalah Khilafah tanpa ada sistem beraja monarki yakni Khalifah akan dipilih oleh Majlis Syura tanpa pewarisan takhta namun apabila Saidina Muawiyah r.a menaiki takhta, umat Islam telah berpecah belah kerana munculnya puak-puak sesat seperti Syiah Rafidah dan Khawarij, oleh itu beliau menukar kepada sistem beraja monarki yang berterusan kepada kerajaan-kerajaan selepas itu seperti Abbasiah dan Usmaniah.
Tindakan Muawiyah r.a ini telah terlebih dahulu diberitakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda:
سَتَكُونُ خِلَافَةُ نُبُوَّةٍ وَرَحْمَةٍ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ وَرَحْمَةٌ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ وَجَبْرِيَّةٌ ثُمَّ يَكُونُ مُلْكٌ عَضُوضٌ
Maksudnya: “Akan berlaku Khilafah Nubuwah dan rahmat kemudian berlaku sistem beraja yang rahmat kemudian sistem beraja yang keras kemudian sistem beraja yang sukar..” [Ahmad, al-Bazzar, al-Tabrani dalam al-Awsa; Lihat: Takhrij Ahadis Majmuk Fatawa Ibn Taimiah,5/420].
Nabi s.a.w bagaimanapun mengiktiraf kerajaan beraja ini dan memerintah kaum muslimin taat kepada raja-raja mereka selama mereka tidak menyuruh kepada maksiat dan bersabar atas kezaliman mereka. Sabda baginda s.a.w:
( كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وستكون خلفاء فتكثر ) قالوا فما تأمرنا ؟ قال ( فوا ببيعة الأول فالأول وأعطوهم حقهم فإن الله سائلهم عما استرعاهم )
Maksudnya: “Adalah Bani Israil diperintah oleh para Nabi, setiap kali wafat seorang Nabi akan diganti Nabi yang lain, adapun selepasku tiada lagi Nabi tetapi akan ada kahlifah-kahlifah dan mereka itu banyak sekali”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah yang kamu perintahkan pada kami (untuk lakukan)?’Jawab baginda: “Berilah hak baiat yang terawal dibaiat dan berilah hak mereka kerana Allah akan memperosalkan mereka atas tugas mereka”. [Muslim].
Syahid daripada hadis ini menunjukkan walaupun nanti akan banyak pemerintah umat Islam mereka semua diiktiraf sebagai pemerintah yang sah dan perlu ditaati sesuai dengan kenyataan Rasulullah s.a.w: dan berilah hak mereka; menunjukkan mereka tetap ditaati dalam perkara makruf.
Oleh itu, kedudukan pemerintahan beraja monarki sebagai pemerintah yang sah dari segi syariat tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika kita mempertikaikan beberapa adat istiadat yang tidak sesuai dengan syariat dalam kalangan Raja-raja Melayu bukanlah bermakna kita mempertikaikan kesahihan kedudukan mereka sebagai pemerintah bahkan kita mengiktirafnya dan kita menghukum mereka yang memberontak terhadap Raja-raja Melayu yang muslim sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Saya amat aneh dengan seorang penulis di salah satu akhbar Malaysia pada hari Ahad yang seolah-olah cuba mempertikaikan kesahihan kedudukan sistem beraja di sisi Syariat sedangkan sistem beraja telah diamalkan semenjak zaman Sahabat Rasulullah s.a.w tetapi tidak pula mempertikaikan sistem demokrasi yang jelas lagi nyata hasil pemikiran kaum Greek yang kufur kepada Allah s.w.t.
Sebagai penutup coretan saya ini, sekali lagi saya ingin menyeru semua kaum muslimin dan muslimat di Malaysia ini dalam keadaan fitnah dan kelam kabut yang kita hadapi sekarang hendaklah setiap tindakan mereka berlandaskan nasihat dan petunjuk syariat, janganlah terlalu ikutkan emosi sehingga merosakkan syariat. Wallahua’lam.