Monday, June 2, 2008

UCAPAN TERLARANG

Oleh Ustaz Abu Rubayyi'


Sabda Rasulullah S.A.W:

إن العبد ليتكلم بالكلمة من رضوان الله لا يلقي لها بالاً يرفعه الله بها درجات ، وإن العبد ليتكلم بالكلمة من سخط الله لا يلقي لها بالاً ، يهوي بها في نار جهنم

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang hamba akan bercakap dengan satu kalimah yang diredhai Allah sedang dia tidak memberi perhatian bahawa kalimah itu diredhai Allah lalu Allah mengangkatnya beberapa darajat, dan sesungguhnya seorang hamba apabila bercakap dengan kalimah yang dimurkai Allah sedang dia tidak peduli akan apa yang dia cakapkan maka Allah masukkan dia ke dalam neraka Jahannam". [al-Bukhari&Muslim]


Hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap ucapan dan kalimah yang keluar dari mulut kita ada nilainya di sisi Allah sama ada dosa atau pahala. Namun, masyarakat kita hari ini lupa akan perkara ini dan selalu menuturkan perkataan yang dianggap biasa tetapi sebenarnya besar di sisi Allah S.W.T.

Di sini akan dipaparkan beberapa perkataan yang sering disebut tetapi terlarang dalam agama:


· Sobahal Khair, Masa-al Khair (Selamat Pagi, Selamat Petang)

Ucapan ini adalah menyalahi syariat kerana ia merupakan ucapan selamat orang-orang kafir dan berasal daripada Majusi yang beriktikad ada dua Tuhan, Baik (Cahaya) dan Buruk (Gelap). Sebetulnya hendaklah kaum muslimin menyebarkan salam yang menjadi syiar mereka. Kemudian jika hendak ucapkan juga ucapan selamat yang lain sebutlah 'Sobbahakallah bi Khair' atau 'Massakallah bi Khair' (Semoga Allah memperelokkan pagimu atau petangmu).


· 'Sodaqta wa Bararta'

Ucapan 'Sodaqta wa Bararta' sewaktu muazzin menyebut 'as-solatu kahirun minan naum' dalam azan fajar adalah bidaah kerana dalilnya dho'if (lemah). Sebetulnya ucaplah seperti ucapan muazzin.


· Lafaz Takbir (Allahu Akbar)

Kesalahan menyebut Takbir seperti memangjangkan hamzah wasal sehingga menjadi AAAAAlllahu Akbar atau panjang pada ba' Akbaaar atau menukar baris 'ikbar'. Lafaz ini jika dibuat dengan sengaja dan penuturnya faham maksudnya dan tahu haramnya maka dia 'kufur' kerana apabila dipanjangkan hamzah wasal ia bermakna: 'Adakah Allah itu Maha Besar?' ini membawa syak pada Allah dan syak pada Allah itu kufur. Memangjangkan ba membawa makna Allah adalah gendang besar dan ini jelas kufur menyamakan tuhan dengan makhluk dan menukar baris akbar kepada ikbar bermakna Allah adalah darah haidh dan ini sangat kufur dan jelek.


· Mengeluh

Dimakruhkan mengeluh dan meninggalkan zikir ketika sakit kerana menunjukkan tidak sabar. Adapun mengeluh yang sedikit tidak mengapa. An-Nawawi R.H menyatakan menjadi makruhnya mengeluh apabila dilebihkan atas zikir Allah.


· Asy-Syahid

Menggelar seseorang dengan asy-Syahid kecuali yang telah dipastikan dengan wahyu. Ini kerana mengikut aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah kita tidak menentukan seseorang itu sebagai ahli syurga atau neraka kecuali tsabit dengan nas. Menyatakan seseorang sebagai Syahid maka dia memastikan seseorang itu ahli syurga sedangkan wahyu telah pun putus. Walaupun seseorang itu mati dalam medan jihad tidak digelar dengan as-Syahid kerana kita tidak tahu apa yang diniatkannya untuk berjihad. Demikian juga tidak warid perbuatan ini dari as-Salaf as-Soleh. Mereka tidak pernah menyebeut 'as-Syahid Umar', as-Syahid Hamzah' dan seumpamanya. Maka hendaklah dijauhi ucapan seperti 'as-Syahid Hasan al-Banna', 'as-Syahid Syed Qutb' dan sebagainya.


· Syeikhul Islam

Lafaz Syeikhul Islam adalah gelaran bagi para 'alim ulama' as-Salaf as-Soleh yang diyakini dan diiktiraf keilmuan dan kewarakannya. Antara yang paling masyhur digunakan gelaran ini adalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hingga apabila disebut semata-mata Syeikhul Islam maka dikenal yang dimaksudkan adalah Imam Ibn Taimiyyah. Abu Bakar dan Umar R.Hma adalah yang mula-mula digelar Syeikhul Islam oleh Ali bin Abi Talib R.A. Namun, gelaran ini sekarang diberi sewenang-wenangnya kepada para mufti berdasarkan jawatan yang dipegang semata-mata walaupun kekadang dalam zaman kita ini orang yang paling bodoh di zaman itu adalah muftinya. Nauzubillah min zalik.


· Al-Qadim

Al-Qadim bukanlah nama-nama Allah yang baik dan tidak boleh dinamakan Allah dengannya. Adapun dalam masalah ikhbar atau sifat maka dijauhi penggunaannya lebih baik tetapi jika digunakan hendaklah maksudnya bermanka 'al-Awwal' iaitulah tidak ada pendahulu bagi Allah. Menamakan manusia dengan Abdul Qadim adalah salah.


· Qutb, Ghaus, Nujaba'

Ini adalah istilah sufi yang keji mereka menamakan wali mereka dengan nama-nama ini sebagai Tuhan selain Allah. Wali Qutb, Ghaus dan sebagainya dikatakan menurut iktiqad para sufi adalah manusia yang mencapai darjat ketuhanan dan mengatur pentdbiran alam ini.Nauzubillah min zalik.


· 'Bukan Islam', Seks Luar Nikah, Minuman Keras, Faedah Bank

Ucapan-ucapan ini adalah keji di sisi Allah S.W.T kerana cuba menukar istilah syar'i kepada istilah baru. Mereka menganggap apabila menggunakan istilah syar'i iaitu 'Kafir', Zina, Arak (Khamar) dan Riba sebagai lambang ekstrim dan melampau. Ini adalah satu perasaan syirik iaitu memandang hina istilah yang digunakan Allah dan Rasul-Nya S.A.W. Begitu juga Istilah Haidh ditukar kepada 'Period' atau 'Datang Bulan'. Yang sebenarnya hendaklah menggunakan istilah yang syar'i bagi perkara-perkara syarak.


· Abdul Muttalib

Menamakan anak dengan Abdul Muttalib adalah salah kerana semua nama yang bermakna hamba hendaklah diidhafahkan pada al-Asma' al-Husna. Dan semulia-mulia nama adalah Abdullah dan Abdul Rahman. Adapun Abdul Muttalib (Hamba kepada al-Muttalib) merupakan pengabdian nama kepada selain Allah. Adapun nama ini adalah nama datuk Rasulullah S.A.W tidak menjadi hujjah harusnya kerana datuk Rasulullah itu meninggal dalam zaman Jahiliyyah sebelum Rasulullah diutuskan lagi.


· Menamakan dengan nama-nama barat

Telah menjadi satu musibah atas kebodohan dan kedunguan umat Islam pada hari ini menamakan diri dan anak-anak mereka dengan nama kafir seperti Suzan, Elizabeth, Liza, Abraham, Roy dan sebagainya. Jika perbuatan ini semata-mata atas kebodohan dan taklid buta maka ia adalah maksiat dan jika kerana menganggap nama-nama ini lebih baik daripada nama-nama Islam maka ini menjejaskan Iman. Perbuatan ini termasuk Tasyabbuh (meniru) budaya orang kafir yang asal hukumnya adalah haram dan membawa kekufuran. Nauzubillah min zalik.


· Sayyid

Menggunakan lafaz Sayyid terhadap Rasulullah S.A.W dalam Tasyahhud dan Syahadah adalah salah. Begitu juga dalam Selawat yang lafaznya warid dari baginda. Tetapi menggunakan sayyid untuk baginda di luar solat dan diluar tsayahhdu dan sayahadat serta selawat yang lafaznya tidak warid maka diharuskan. Menggunakan sayyid untuk sahabat baginda adalah tsabit dalam hadis al-Bukhari kata-kata Umar R.A: "Abu Bakar Sayyiduna (Ketua kita) dan pembebas Sayyiduna –yakni Bilal-". Maka Saidina Umar menggunakan lafaz Sayyid (Saidina) kepada Abu Bakar dan Bilal R.Hum.


· Qanun Syarak

Telah tersebra luas dalam kalangan pengamal undang-undang menggunakan istilah Qanun terhadap hukum Syariat Islam seperti disebut Qanun Jenayah Islam dan seumpamanya. Ini adalah salah kerana Qanun bermaksud undang-undang buatan manusia adapaun undang-undang Ilahi disebut Syariat. Maka tidak hairanlah jikalau pada hari ini undang-undang Islam kita tidak sama seperti dalam al-Quran dan as-Sunnah kerana ia adalah Islam buatan manusia bukan 'Islam' yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.

Inilah sebahagian ucapan atau istilah perkataan yang terlarang yang dilihat tersebar dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan kita lebih berhati-hati.


Sumber: Bakar Abu Zaid, as-Syeikh, Mukjam Manahi al-Lafziyah (Ensiklopedia Ucapan Terlarang), Maktabah as-Syamilah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails