Telah menjadi kemusykilan yang getir dalam kalangan ikhwah muslimin berkenaan perbezaan tarikh bulan Zul Hijjah antara negara-negara dunia dengan Daulah al-Saudiah-harasahallah- terutama tarikh sebenar untuk kaum muslimin berpuasa hari ‘Arafah yang warid padanya ganjaran yang besar iaitu dihapuskan dosa-dosa tahun lepas.
Berikut adalah fatwa para Ulama Islam dalam menjawab kemusykilan ini:
Pertama: Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah:
Telah ditanya kepada Syeikhul Islam rahimahullah berkenaan Ahli sebuah negeri yang melihat anak bulan Zul Hijjah kemudian tidak tsabit rukyah ini di sisi pemerintah negeri itu; maka adakah mereka boleh berpuasa pada hari 9 Zul Hijjah yang zahir pada negeri itu walaupun pada hakikatnya adalah 10 Zul Hijjah (di Mekah)?
Maka jawab Syeikhul Islam rahimahullah:
“Ya, mereka berpuasa pada 9 Zul hijjah yang zahir di sisi kumpulan mereka (ahli negeri itu) walaupun pada hakikatnya hari itu adalah hari ke-10 jika dianggarkan tsabit rukyah tersebut kerana di dalam Sunan daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ
Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].
Serta daripada Aisyah radiallahu 'anha bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالْأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ
Maksudnya: “Hari raya fitrah adalah hari manusia beraya fitrah dan hari korban (raya korban) adalah hari manusia beraya korban”. [Al-Tarmizi].
Atas ketetapan inilah diamalkan oleh seluruh Imam (ulama) kaum muslimin...” [Majmuk al-Fatawa, 25/203].
Kedua: Fatwa Faqih al-Zaman Ibn Usaimin rahimahullah:
Telah sampai surat kepada Faqih al-Zaman rahimahullah berkenaan masalah:
“Kami telah membaca berkenaan fatwa Samah al-Syeikh dalam kitab (Fatawa Islamiah) bahawa rukyah hilal di sesebuah negeri tidak melazimkan kesemua negeri yang lain, adakah hukum ini juga berlaku terhadap rukyah hilal ‘Eidul Adha (hilal bulan Zul Hijjah)?”
Maka jawab beliau rahimahullah:
“Hilal (anak bulan) itu berbeza terbitnya antara satu tempat dengan tempat lainnya, sama ada hilal Ramadan ataupun selainnya, maka hukumnya adalah satu. Tetapi saya berpendapat hendaklah para manusia bersepakat atas satu perkara dan hendaklah mereka mengikut ketetapan ketua al-Jaliah al-Islamiah di negeri-negeri bukan Islam kerana perkara ini luas insya-Allah, di mana sebahagian Ulama berpendapat bahawa apabila tsabit rukyah di suatu negeri maka lazim hukumnya atas seluruh kaum muslimin di seluruh dunia”. [Majmuk Fatawa wa Maqalat wa Rasail, 19/43].
Demikian juga ditanya kepada beliau:
“Jika berbeza hari ‘Arafah kerana berbeza kawasan terbitnya hilal, adakah kami perlua berpuasa mengikut rukyah negeri kami atau rukyah al-Haramain (Saudi)?”
Jawab beliau:
“Perkara ini dibangun di atas ikhtilaf para ulama, apakah hilal itu satu sahaja untuk seluruh dunia atau berbeda sesuai mathla’nya (tempat terbit bulan).
Dan yang benar bahwa rukyah hilal berbeza sesuai dengan perbezaan mathla’.
Sebagai contoh: Apabila hilal telah nampak di Makkah, dan sekarang adalah hari ke sembilan (di Makkah), hilal juga terlihat di negeri yang lain satu hari lebih cepat daripada Makkah sehingga hari Arafah (di Makkah) adalah hari kesepuluh bagi mereka.
Maka mereka tidak boleh berpuasa kerana hari tersebut adalah hari raya. Demikian pula sebaliknya, jika di suatu negeri rukyahnya lebih lambat daripada Makkah maka tanggal sembilan di Makkah merupakan tanggal lapan bagi mereka. Maka mereka berpuasa pada hari ke sembilan (menurut negeri mereka) bersamaan dengan tanggal sepuluh di Makkah. Ini merupakan pendapat yang kuat kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا
Maksudnya: “Jika kamu melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan jika melihatnya pula maka berbukalah (hari raya)”. [al-Bukhari & Muslim].
Orang-orang yang hilal itu tidak nampak dari arah mereka beerti mereka tidaklah melihat hilal tersebut. Begitu juga manusia telah sepakat bahawa mereka menganggap terbitnya fajar dan terbenamnya matahari pada setiap wilayah disesuaikan dengan wilayah masing-masing. Maka demikian pulalah penetapan waktu bulan seperti penetapan waktu harian.” [Majmuk Fatawa wa Rasail, 20/47].
Maka jelas di sini bahawa setiap negeri perlu mengikut rukyah masing-masing, tidak terikat dengan penetapan kerajaan Arab Saudi mahupun Hilal Mekah.
Ulama Salaf juga telah sepakat wajibnya berpuasa dan berhari raya dengan pemerintah, maka perbezaan pendapat dalam isu ini perlu dirujuk kepada mazhab pemerintah.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah dalam menjelaskan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang disepakati:
وَيَرَوْنَ إِقَامَةَ الْحَجِّ وَالْجِهَادِ وَالْجُمَعِ وَالْأَعْيَادِ مَعَ الْأُمَرَاءِ أَبْرَارًا كَانُوا أَوْ فُجَّارًا
Maksudnya: “Dan mereka percaya wajib mendirikan Haji, Jihad, Jumaat, dan Perayaan-perayaan (eidul Adha dan Fitri) bersama dengan pemerintah sama ada mereka itu soleh mahupun fasiq”. [al-Aqidah al-Wasitiah].
Ini adalah maksud Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ
Maksudnya: “Puasa kamu adalah hari kamu berpuasa dan raya kamu adalah hari kamu berhari raya dan korban kamu adalah pada hari kamu berhari raya”. [Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan al-Tarmizi serta disahihkannya].
Ummul Mukminin Aisyah radiallahu 'anha berkata:
“Sesungguhnya hari raya Adha itu adalah hari di mana Imam (pemerintah) melakukan korban dan jamaah manusia”. [Ahkam Ikhtilaf fi Rukyati Hilal Zil Hijjah, Ibn Rajab al-Hanbali, m.s 34-35, hadis Sahih].
Berkata Faqih al-Zaman rahimahullah:
“Sebahagian Ulama berpendapat bahawa jika tsabit rukyah hilal di sebuah negeri maka tsabit hukumnya ke seluruh negeri, dan sebahagian yang lain berpandangan tidak tsabit hukumnya di negeri yang nampak hilal dan yang sama tempat terbit dgn negeri itu, pendapat ini lebih sahih, tetapi perintah ini ditujukan kepada pemerintah, adapun manusia mereka mengikut pemerintah masing-masing”. [Majmuk Fatawa wa Rasail, 19/61-62].
Kata beliau juga:
Maksudnya: “Dan perkara-perkara yang ada padanya takwil dan ikhtilaf dalam kalangan Ulama jika dilakukan oleh pemerintah, tidak halal bagi kita melawannya dan menyalahinya...” [Syarah Aqidah al-wasitiah, lihat Majmuk Fatawa wa Rasil, 8/660].
Maka, Ulama berkhilaf adakah rukyah berbeza dengan setiap negeri atau sama sahaja, namun pemerintah kaum muslimin telah mengambil kata putus bahawa rukyah negara Malaysia misalnya berbeza dengan Arab Saudi, dan ini adalah qaul yang kuat berdalilkan hadis Ibn ‘Abbas radiallahu 'anhuma dalam Sahih Muslim, maka wajib kita mentaati pemerintah dan mengikut tarikh raya dan korban yang mereka telah tetapkan.
Wallahua’lam.
Ditulis oleh:
Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani,
5 Zul Hijjah 1431 H/10 Nov 2010 M
9.25 p.m, Madinah al-Nabawiah.