Pembatal Puasa
Di antara rukun puasa adalah meninggalkan segala sesuatu yang membatalkannya dari terbit fajar (mula masuk waktu solat subuh) sehingga terbenamnya matahari, di samping berniat di malam hari sebelum fajar untuk melaksanakan puasa Ramadhan. Maka di sini akan dibahas hal-hal yang dapat membatalkan dan merosak puasa seseorang, iaitu:
1. Makan dan Minum dengan Sengaja
Allah berfirman:
وَكُلُوْا وَاشْرَبُوْا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامِ إِلَى اللَّيْلِ
“Makan dan minumlah hingga jelas bagi kamu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam.” (Al-Baqarah:187)
Namun jika seseorang lupa maka puasanya tidak batal, berdasarkan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam:
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْمَعَهُ اللهُ وَسَقَاهُ
“Jika dia lupa lalu termakan dan terminum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (HR. Al-Bukhari, no:1831 dan Muslim, no:1155)
Dan juga sabdanya:
إِنَّ اللهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِيْ: اَلْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَااسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ
“Allah meletakkan (tidak menghukum) umatku kerana salah atau lupa atau kerana dipaksa.” (HR. Al-Hakim 2/198, Ad-Daraqutni dari Ibnu ‘Abbas dan sanadnya sahih)
2. Keluar Darah Haidh dan Nifas
Hal ini sebagaimana dikatakan ‘A`isyah:
كَانَ يُصِيْبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَوْمِ وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
“Adalah kami mengalami hal itu (iaitu haidh), maka kami diperintahkan untuk mengqadha` puasa dan tidak diperintahkan mengqadha` solat.” (Muttafaqun ‘alaih)
3. Melakukan Jima’ (Bersetubuh antara Suami dan Isteri) di Siang Hari Ramadhan
Hal ini berdasarkan dalil Al-Quran, As-Sunnah dan kesepakatan para ‘ulama. Bagi yang melakukannya diwajibkan membayar kaffarah iaitu memerdekakan hamba, apabila tidak mampu maka berpuasa dua bulan secara berturut-turut, dan apabila tidak mampu juga maka hendaklah memberi makan 60 orang miskin.
Jumhur ‘ulama berpendapat wajibnya menggantikan puasa (mengqadha`) bagi yang merosakkan puasanya dengan jima’ (bersetubuh) dengan alasan bahawa puasa yang diwajibkan kepadanya belum dia laksanakan (kerana batal disebabkan jima’), maka puasa itu masih menjadi tanggungannya.
Hukum ini berlaku secara umum baik bagi lelaki mahupun perempuan. Adapun apabila seseorang melakukan hubungan suami isteri kerana lupa bahawa dia sedang berpuasa, maka pendapat yang kuat dari para ‘ulama adalah puasanya tidak batal, tidak ada qadha` dan tidak pula kaffarah. Hal ini sebagaimana hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ نَاسِيًا فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ
“Barangsiapa yang (iftar) berbuka sehari di bulan Ramadhan kerana lupa, maka tidak ada qadha` atasnya dan tidak ada kaffarah (baginya).” (HR. Al-Baihaqi 4/229, Ibnu Khuzaimah 3/1990, Ad-Daraqutni 2/178, Ibnu Hibban 8/3521 dan Al-Hakim 1/595, dengan sanad yang sahih)
Perkataan iftar mencakup makan, minum dan bersetubuh (jima’). Inilah pendapat jumhur ‘ulama dan dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Asy-Syaukani.
4. Suntikan yang Mengandung Makanan
Maksudnya suntikan yang kedudukannya sebagai pengganti makanan maka hal ini membatalkan puasa, kerana nas-nas syari’at bila didapati pada sesuatu yang termasuk dalam penggambaran yang sama maka dihukumannya sama seperti yang terdapat dalam nas.
Gambarannya adalah menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka itu juga membatalkan puasa, kerana cairan tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pingsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, demikian pula yang digunapakai oleh sebahagian orang yang sakit asma, ini pun membatalkan puasa.
Hal-hal yang Diperbolehkan bagi Orang yang Berpuasa
1. Bersiwak
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Jika aku tidak memberatkan umatku, nescaya akan kuperintahkan mereka bersiwak setiap kali hendak berwudhuk.” (Muttafaqun ‘alaih)
Dan dalam lafaz lain: “Setiap kali hendak menunaikan solat.”
Ini berlaku untuk siwak (yakni menggunakan kayu sugi - edt). Adapun berus gigi berbeza dengan siwak. Jika dibimbangi ketika memakai ubat gigi di siang hari akan terasa ubat giginya atau bimbang tertelan maka sebaiknya dihindari.
2. Masuknya Waktu Fajar dalam Keadaan Junub
Hal ini berdasarkan hadis ‘Aisyah dan Ummu Salamah bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendapati waktu fajar dalam keadaan junub setelah berjima’ dengan isterinya, kemudian baginda mandi dan berpuasa. (Muttafaqun ‘alaih)
3. Berkumur-kumur dan Memasukkan Air ke dalam Hidung, Asalkan Tidak Berlebihan
Laqith bin Shabirah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Dan bersungguh-sungguhlah kamu dalam beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhuk) kecuali apabila dalam keadaan berpuasa.” (HR. Abu Daud 1/132, At-Tirmizi 3/788, An-Nasa`i 1/66 dan disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani)
4. Menggauli Isteri selain Jima’ (Bersetubuh)
Sebagaimana yang dikatakan oleh ‘A`isyah:
“Adalah Rasulullah mencium (isterinya) dalam keadaan baginda bepuasa dan menggaulinya (tetapi bukan jima’) dalam keadaan baginda berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)
Akan tetapi bagi orang yang khawatir akan keluarnya mani dan terjatuh pada perbuatan jima’ karena syahwatnya yang kuat, maka yang terbaik baginya adalah menghindari perbuatan tersebut. Karena puasa bukanlah sekedar meninggalkan makan atau minum, tetapi juga meninggalkan syahwatnya. Rasulullah bersabda:
“(Orang yang berpuasa) itu meninggalkan syahwatnya dan makannya karena Aku.” (HR. Muslim)
Dan beliau juga bersabda:
“Tinggalkan perkara yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu.” (HR. At-Tirmizi dan An-Nasa`i, disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Al-Irwa`)
5. Merasa Makanan dan Menghidu baunya, Asalkan Tidak Masuk ke dalam Kerongkongannya
Berkata Ibnu ‘Abbas:
“Tidak mengapa seseorang merasa cuka atau sesuatu (yang lain) selama tidak masuk kerongkongannya dalam keadaan dia berpuasa.” (Diriwayatkan Al-Bukhari secara mu’allaq dan disambung sanadnya oleh Ibnu Abi Syaibah 3/47 dan Al-Baihaqi 4/261, hadis ini hasan, lihat Taghliiqut Ta’liiq 3/151-152)
6. Mandi di Siang Hari Ramadhan
Al-Imam Al-Bukhari menyatakan dalam kitab Sahihnya: “Bab Mandinya orang yang puasa”. Dan ‘Umar membasahi bajunya kemudian memakainya ketika dia dalam keadaan puasa. Asy-Sya’bi masuk bilik mandi dalam keadaan berpuasa.
Al-Hasan berkata: “Tidak mengapa berkumur-kumur dan memakai air dingin dalam keadaan puasa.”
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menuangkan air ke kepalanya dalam keadaan berpuasa kerana haus atau kepanasan. (HR. Abu Daud no.2365, Ahmad 5/376, 380, 408, 430, sanadnya sahih)
7. Memakai celak, Memakai Titis Mata dan Lainnya yang Masuk ke Mata
Benda-benda ini tidak membatalkan puasa, baik rasanya yang dirasakan di halkumnya atau tidak. Inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam risalahnya yang bermanfaat dengan judul Haqiiqatus Siyam dan murid beliau iaitu Ibnul Qayyim dalam kitabnya Zaadul Ma’aad.
Al-Imam Al-Bukhari berkata dalam Sahihnya: “Anas bin Malik, Hasan Al-Basri dan Ibrahim An-Nakha’i memandang, tidak mengapa bagi yang berpuasa.” (Fathul Baarii 4/153 hubungkan dengan Mukhtasar Sahih Al-Bukhari 451 karya Asy-Syaikh Al-Albani dan Taghliiqut Ta’liiq 3/151-152)
8. Menggunakan Suntikan yang Tidak Berkedudukan Sebagai Penggati Makanan
Maka hal ini tidaklah membatalkan puasa sebab gambarannya tidak seperti yang terdapat dalam nas baik lafaz mahupun makna, tidak dikatakan makan dan tidak pula minum dan tidak pula termasuk dalam makna keduanya. Dan asalnya adalah sahnya puasa seorang muslim sehingga yakin terdapat pembatalnya berdasarkan dalil yang syar’i. (Lihat Fataawaa Islaamiyyah)
Akan tetapi sebaiknya orang yang sakit berbuka supaya tidak terjatuh ke dalam perkara yang syubhat.
9. Berbekam
Dahulu berbekam merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudian dihapus dan telah ada hadis sahih dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda berbekam ketika puasa. Hal ini berdasarkan riwayat dari Ibnu ‘Abbas:
“Sesungguhnya Nabi berbekam, padahal baginda sedang berpuasa.” (HR. Al-Bukhari dalam Fathul Baari 4/155 lihat Naasikhul Hadis wa Mansuukhuh 334-338 karya Ibnu Syahin)
Wallahu A’lam.
Rujukan:
1. Shifatu Shaumin Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam
2. Majalah Asy-Syari’ah Vol. I/No.03
Disunting semula oleh: Abu Soleh.
Sumber: http://ashthy.wordpress.com/2008/09/12/pembatal-puasa-dan-hal-hal-yang-dibolehkan-bagi-orang-yang-berpuasa/