Tauhid merupakan seagung-agung perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu mengesakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam peribadatan. Dan seagung-agung larangan adalah syirik, iaitu menyeru kepada selain Allah Subhanahu wa Ta’ala bersamaan dengan menyeru (beribadah) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Hal ini berdasarkan surah An-Nisa` ayat 36:
وَاعْبُدُوا اللهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
Maksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan–Nya dengan sesuatupun.” (An-Nisa: 36)
Al-Imam Al-Qadhi Ali bin Ali bin Muhammad bin Abi Al-Izzi Ad-Dimasyqi rahimahullahu mengungkapkan bahawa Al-Qur`an semuanya adalah tauhid, hak-haknya, dan balasan-balasannya. Termasuk di dalamnya terkandung muatan tentang masalah syirik, para pelakunya dan balasan-balasan sebagai akibat dari perbuatannya. Ini dapat dilihat dalam surat Al-Fatihah. Contohnya Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin adalah tauhid, Arrahmanirrahim merupakan tauhid. Maliki yaumiddin juga tauhid. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in adalah tauhid. Ihdinash-shirathal mustaqim merupakan perwakilan dari tauhid yang meliputi permohonan guna mendapatkan hidayah ke jalan ahli tauhid, iaitu orang-orang yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala beri nikmat atas mereka. Ghairil maghdhubi ‘alaihim waladh-dhallin adalah penjelasan tentang orang-orang yang telah memisahkan diri dari tauhid. (Syarhu Al-’Aqidah Ath-Thahawiyyah, hal. 142)
Maka sudah sepatutnya bila dikatakan bahawa yang mengawali seorang individu untuk memeluk Islam adalah tauhid dan akhir dari kehidupannya di dunia ditutup dengan tauhid pula. Seperti dinyatakan oleh Al-Imam Al-Qadhi Ibnu Abi Al-Izzi rahimahullahu bahawa awal adalah wajib dan akhir (juga) wajib. Maka tauhid merupakan awal masuk dalam Islam dan merupakan akhir bagi seseorang kala dikeluarkan dari dunia (mati). Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam:
مَنْ كَانَ آخِرَ كَلاَمِهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Barangsiapa yang akhir perkataannya Laa Ilaaha illallah, dia masuk surga,” (HR. Abu Dawud, Al-Hakim, Ibnu Mandah dalam At-Tauhid, dan Ahmad. Hadits ini dinyatakan oleh Asy-Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani sebagai hadits hasan, lihat Irwa`ul Ghalil hadits no. 687, hal. 149-150)
Kalimah لا إله إلا الله mengandungi 2 rukun:
(1) Nafi (menafikan/meniadakan): Terkandung pada kalimah لا إله (Laa ilaha) yang bermaksud tiada Tuhan sebenar-benarnya yang berhak disembah, yakni meniadakan semua yang disembah selain Allah.
(2) Itsbat (menetapkan): Terkandung pada kalimah إلا الله (Illallah) yang bermaksud kecuali Allah, yakni menetapkan ibadah hanya kepada Allah semata-mata dan tidak ada sekutu bagiNya.
Syeikh Sholeh Fauzan Al-Fauzan hafizahullah berkata dalam kitabut Tauhid, secara global makna kalimah Laa ilaaha Illallah adalah Laa ma’buda bihaqqin illallah yang bermaksud “Tidak ada sesuatu yang disembah dengan benar kecuali Allah” Khabar Laa ilaaha illallah mestilah ditaqdirkan bihaqqin (yang hak), tidak boleh ditaqdirkan dengan maujud (ada). Karena ini menyalahi kenyataan yang ada, sebab Tuhan yang disembah selain Allah banyak sekali. Hal itu akan bererti bahawa menyembah tuhan-tuhan tersebut adalah ibadah pula untuk Allah.
Syeikh Sholeh Fauzan melanjutkan, Kalimah laa ilaaha illallah ini telah ditafsiri dengan beberapa penafsiran yang batil, antaranya (1) "Tidak ada yang disembah kecuali Allah." Ini adalah batil, kerana maknanya: Sesungguhnya setiap yang disembah, baik yang hak mahupun yang batil, itu adalah Allah. (2) "Tidak ada pencipta kecuali Allah." Ini adalah sebahagian dari erti kalimah tersebut. Akan tetapi bukan ini yang dimaksudkan kerana ertinya hanya mengakui tauhid rububiyah sahaja, dan tentulah itu belum memadai. (3) "Tidak ada hakim (penentu hukum) kecuali Allah." Ini juga sebahagian dari makna kalimat laa ilaaha illallah. Tapi bukan ini yang dimaksudkan, kerana makna tersebut belum cukup.
Oleh sebab itu, para ulama menyebutkan bahawa tauhid mempunyai tujuh syarat dan sebahagian pula menyatakan ianya ada lapan, iaitu Al-‘Ilmu, Al-Yaqin, Al-Ikhlas, As-Sidqu (jujur), Al-Mahabbah (cinta), Al-Inqiyad (tunduk), Al-Qabul (terima), dan yang kelapannya adalah Al-Kufru bima yu’bad min dunillah (ingkar dengan apa-apa yang disembah selain Allah). (Durus Al-Muhimmah, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz)
Adapun syirik pula terbahagi kepada tiga sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah dalam kitabnya Durus Al-Muhimmah iaitu Syirik Akbar (besar), Sirik Asghar (kecil), dan Syirik Khafiy (tersembunyi).
(1) Syirik Akbar: Menyebabkan runtuhnya (terhapus) amalan dan kekal pelakunya dalam neraka bagi yang mati dalam keadaan yang demikian (tanpa sempat bertaubat), sebagaimana firman Allah:
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: "Seandainya mereka melakukan syirik maka pasti akan runtuh dari mereka apa-apa yang telah mereka kerjakan." (Al-An'am: 88)
Dan firman Allah:
مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Maksudnya: "Tidak selayaknya bagi orang-orang musyrik untuk memakmurkan masjid-masjid Allah sedang mereka menyaksikan atas diri mereka dengan kekafiran. Mereka itulah yang amal-amalnya telah runtuh, dan mereka kekal di dalam nereka." (At-Taubah: 17)
Sesungguhnya siapa saja yang mati di atasnya (syirik akbar) maka tidak sekali-kali akan diampunkan oleh Allah, dan haram syurga itu ke atasnya, sebagaimana firman Allah azza wa jalla:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni jika sesiapa yang mensyirikkan denganNya dan mengampuni dosa selain yang demikian itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya." (An-Nisa: 48)
Dan firman Allah:
إِنَّهُ ُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
Maksudnya: "Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan kesyirikan terhadap Allah, maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan atasnya syurga dan tempat tinggalnya ialah neraka. Dan tidaklah ada penolong-penolong bagi orang-orang yang zalim." (Al-Maidah: 72)
Dan diantara jenis-jenis syirik adalah: berdoa kepada orang yang telah mati, dan kepada berhala-berhala, meminta pertolongan dengan mereka, bernazar untuk mereka, menyembelih untuk mereka dan yang serupa dengannya.
(2) Syirik Asghar: Maka ia adalah apa yang sabit dari nas-nas dari Al-Kitab atau Sunnah dengan penyebutannya sebagai syirik, akan tetapi ianya tidak termasuk dari jenis syirik yang besar, seperti riya' dalam sebahagian amalan, sumpah atas nama selain Allah, ucapan: apa yang dikehendaki oleh Allah dan yang dikehendaki oleh fulan, dan yang sedemikian, sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ، فَسُئِلَ عَنْهُ ، فَقَالَ : اَلرِّيَاءُ
"Yang paling aku takutkan di antara yang aku takutkan menimpa ke atas kamu ialah syirik asghar (kecil), maka ditanyakan kepada baginda tentangnya (syirik kecil), maka baginda menjawab: Riya'." (HR. Ahmad, At-Tabrani, Al-Baihaqi dari Mahmud bin Labid Al-Ansari radiallahu 'anhu dengan sanad yang baik, dan riwayat At-Tabrani dengan sanad yang baik, dari Mahmud bin Labid dari Rafi' bin Khudaij dari Nabi)
Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ حَلَفَ بِشَيْءٍ دُوْنَ اللهِ فَقَدْ أَشْرَكَ
"Barangsiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik." (HR. Ahmad dengan sanad yang sahih dari Umar bin Al-Khattab radiallahu 'anhu)
Dan Abu Daud dan At-Tirmizi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, dari hadis Ibnu Umar radiallahu 'anhuma, dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sesungguhnya baginda bersabda:
مَنْ حَلَفَ بِغَيْرَ اللهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ
"Barangsiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah kafir atau musyrik."
Dan sabda baginda:
لاَ تَقُوْلُوْا : مَا شَاءَ اللهُ وَشَاءَ فُلاَنٌ ، وَلَكِنْ قُوْلُوْا : مَا شَاءَ اللهُ ثُمَّ شَاءَ فُلاَنٌ
"Janganlah kamu katakan: Apa yang dikehendaki oleh Allah dan dikehendaki oleh fulan, akan tetapi katakanlah: Apa yang dikehendaki oleh Allah, kemudian dikehendaki oleh fulan." (Dikeluarkan oleh Abu Daud dengan sanad sahih dari Huzaifah bin Yaman radiallahu 'anhu)
Jenis syirik ini tidak menyebabkan menjadi murtad (keluar dari Islam) dan tidak juga menyebabkan pelakunya kekal di dalam neraka, akan tetapi dia telah menafikan (menolak) akan kesempurnaan Tauhid yang wajib.
(3) Syirik Khafiy (tersembunyi): Maka dalilnya adalah sabda baginda sallallahu 'alaihi wasallam:
أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفَ عَلَيْكُمْ عِنْدِيْ مِنَ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ ؟ قَالُوْا : بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : اَلشِّرْكُ الْخَفِيُّ ، يَقُوْمُ الرَّجُلُ فَيُصَلِّيَ فَيُزَيِّنَ صَلاَتَهُ لِمَا يَرَىْ مِنْ نَظْرِ الرَّجُلِ إِلَيْهِ
"Adakah aku akan memberitahu kepada kamu apa yang lebih aku takutkan menimpa ke atas kamu daripada Al-Masih Ad-Dajjal? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Syirik Khafiy. seseorang berdiri maka dia melaksanakan solat lalu dia menghiasi (memperelokkan) solatnya kerana dia mengetahui ada yang sedang memerhatikannya." (HR. Ahmad dalam musnadnya dari Abi Sa'id Al-Khudri radiallahu 'anhu)
Syeikh Ibn Baz rahimahullah berkata: Jenis syirik khafy (tersembunyi) ini terkadang termasuk dalam kategori syirik akbar (besar) seperti orang-orang munafik yang menyembunyikan keyakinan mereka yang batil dan menampakkan keIslaman dengan riya’. Dan terkadang syirik khafy ini termasuk dalam kategori syirik asghar (kecil) sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sebelum ini:
أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ، فَسُئِلَ عَنْهُ ، فَقَالَ : اَلرِّيَاءُ
"Yang paling aku takutkan di antara yang aku takutkan menimpa ke atas kamu ialah syirik asghar (kecil), maka ditanyakan kepada baginda tentangnya (syirik kecil), maka baginda menjawab: Riya'." (Durus Al-Muhimmah)
Pada ketika hari kebangkitan itu telah tiba, harta dan anak-anak lelaki tiada lagi berguna, tidak lagi memberi nilai manfaat, maka pada hari itu beruntunglah orang yang memiliki hati yang bersih (qalbun salim). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَوْمَ لاَ يَنْفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُوْنَ. إِلاَّ مَنْ أَتَى اللهَ بِقَلْبٍ سَلِيْمٍ
“(Iaitu) pada hari yang harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih.” (Asy-Syu’ara`: 88-89)
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullahu berkata hati yang bersih adalah hati yang bersih atau selamat dari segala sesuatu yang menjadikan selain Allah Subhanahu wa Ta’ala (dalam segala bentuknya) sebagai sekutu. Kerana hati yang bersih adalah yang memurnikan segala bentuk peribadatan hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala semata. Iradah (kehendak), mahabbah (cinta), tawakal, taubat, ikhbatan (khusyu’) tawadhu’, (berendah diri), khasyyah (takut), dan raja` (harapan) semuanya murni diamalkan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala semata. (Ighatsatul Lahafan min Mashayidi Asy-Syaithan hal. 41)
Hati nan bersih adalah hati yang diselimuti tauhid. Hati yang sentiasa dibasuh dengan kalimat Laa ilaha illallah. Menepis segala kesyirikan sehingga ia tidak berdiam di dalam kalbu. Berbeza dengan para pelaku kesyirikan, mereka diharamkan untuk mendapatkan syurga, dan tempat mereka adalah di dalam neraka.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka.” (Al-Ma`idah: 72)
Begitulah syirik, sebuah dosa yang pelakunya tak akan mendapatkan ampunan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala bila sampai terbawa mati dan tidak sempat bertaubat.
إِنَّ اللهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيْمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (An-Nisa`: 48)
Demikianlah betapa pentingnya tauhid. Dia merupakan asas agama. Setiap perintah, larangan, peribadahan, dan ketaatan, semuanya didasari adanya tauhid. Tanpa didasari tauhid, maka amalan akan sirna, hancur luluh tidak bererti sama sekali. Firman Allah Ta’ala:
لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ
Maksudnya: “Jika kamu mempersekutukan (Allah), nescaya akan terhapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.” (Az-Zumar: 65)
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُوْنَ
Maksudnya: “Seandainya mereka mempersekutukan (Allah Subhanahu wa Ta'ala), nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan.” (Al-An’am: 88)
Kita dapat lihat pada sirah nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, ketika mana beliau diangkat sebagai Rasul, maka Allah menurunkan surah Al-Muddatstsir:
Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.” (Al-Muddatstsir: 1-5)
Perkara pertama yang Allah perintahkan kepada Nabi Muhammad pada ayat di atas ialah memberi peringatan agar mereka menjauhkan diri dari perbuatan syirik sebelum menyampaikan peringatan tentang perbuatan zina dan lain-lainnya. Sebab itulah rukun Islam yang pertama mengucap kalimah syahadah dan yang keduanya barulah solat lima waktu. Solat lima waktu ini tidaklah difardukan melainkan pada malam Isra’ tahun ke 10 H yakni pada tahun kesepuluh nabi menjadi Rasul, dua tahun selepas terjadi peristiwa pemulauan dan pemboikotan kaum Quraisy ke atas kaum Muslimin, dua tahun selepas matinya Abu Thalib dan dua tahun selepas hijrah ke Habsyah. (Kumpulan Risalah Syaikh Al-Islam Muhammad bin Abd Wahab, Risalah Kesepuluh, Perbincangan Mengenai Enam Peristiwa Di Dalam Sirah, ms. 99)
Begitu juga jika kita lihat pada syarat diterima amal ibadah seseorang itu ada dua, iaitu Ikhlas dan Ittiba’ sunnah Nabi. Sedangkan ikhlas yang dimaksudkan itu adalah terlepas daripada melakukan syirik, sama ada syirik besar mahupun syirik kecil iaitu riya’ yang merupakan lawan daripada kata Ikhlas tersebut. Sebab itulah pentingnya tauhid ini kepada seluruh kehidupan yang mana ianya dapat mempengaruhi amal ibadat yang dilakukan seseorang sehingga dengan tauhidlah juga yang menentukan sama ada seseorang itu masuk ke dalam Syurga ataupun Neraka.