Selasa, 30 Mac 2010

Tempat Meletakkan Kedua Tangan Ketika Berdiri Dalam Solat

Ustadz Mustamin Musaruddin, Lc.

PERTANYAAN

Dalam praktikal solat, ketika berdiri, ada sebahagian orang yang meletakkan kedua tangannya di atas dada, pusat, dan lain-lain. Bagaimanakah tuntunan yang sebenarnya dalam masalah ini?

JAWAPAN

Telah tetap tuntunan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam, dalam hadis-hadis yang sangat banyak, bahawa pada waktu berdiri dalam solat, tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri, dan ini merupakan pendapat jumhur tabi’in dan kebanyakan ahli fiqih, bahkan Imam At-Tirmizi berkata,:“Dan amalan di atas ini adalah amalan di kalangan ulama dari para sahabat, tabi’in, dan orang-orang setelah mereka ….” Lihat Sunan-nya 2/32.

Akan tetapi, ada perbezaan pendapat tentang tempat meletakkan kedua tangan (posisi ketika tangan kanan di atas tangan kiri) ini di kalangan ulama, dan inilah yang menjadi pembahasan untuk menjawab pertanyaan di atas.

Berikut ini pendapat para ulama dalam masalah ini, diringkas dari buku "La Jadida Fi Ahkam Ash-Sholah" karya Syeikh Bakr bin ‘Abdillah Abu Zaid:

Pendapat Pertama, kedua tangan diletakkan pada an-nahr. An-Nahr adalah anggota badan antara di atas dada dan di bawah leher. Seekor unta yang akan disembelih, maka disembelih pada nahr-nya dengan cara ditusuk dengan hujung pisau. Itulah sebabnya hari ke-10 Zulhijjah, iaitu hari raya ‘Aidul Adha (Raya Korban), disebut juga Yaumun Nahr -(hari penyembelihan)-.

Pendapat Kedua, kedua tangan diletakkan di atas dada. Ini adalah pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i pada salah satu riwayat darinya, pendapat yang dipilih oleh Ibnul Qayyim Al-Jauzi dan Asy-Syaukani, serta merupakan amalan Ishaq bin Rahawaih. Pendapat ini dikuatkan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitab Ahkamul Jana`iz dan Sifat Solat Nabi .

Pendapat Ketiga, kedua tangan diletakkan di antara dada dan pusat (lambung/perut). Pendapat ini adalah sebuah riwayat pada mazhab Malik, Asy-Syafi’i dan Ahmad, sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam Asy-Syaukani dalam Nailul Authar. Pendapat ini dikuatkan oleh Al-Imam Nawawi dalam Mazhab Asy-Syafi’i, dan merupakan pendapat Sa’id bin Jubair dan Daud Az-Zahiri sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (3/313).

Pendapat Keempat, kedua tangan diletakkan di atas pusat. Pendapat ini merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad dan dinukil dari Ali bin Abi Thalib dan Sa’id bin Jubair.

Pendapat Kelima, kedua tangan diletakkan di bawah pusat. Ini adalah pendapat mazhab Al-Hanafiyah bagi lelaki, Asy-Syafi’i dalam sebuah riwayat, Ahmad, Ats-Tsauri dan Ishaq.

Pendapat Keenam, kedua tangan bebas diletakkan dimana sahaja sama ada di atas pusat, di bawah pusat, atau di atas dada.

Imam Ahmad ditanya: “Dimana seseorang meletakkan tangannya apabila dia solat?” Beliau menjawab: “Di atas atau di bawah pusat.” Semua itu ada keluasan menurut Imam Ahmad diletakkan di atas pusat, sebelumnya atau di bawahnya. Lihat Bada`i’ul Fawa`id 3/91 karya Ibnul Qayyim.

Berkata Imam Ibnul Munzir sebagaimana dalam Nailul Authar: “Tidak ada sesuatu pun yang tsabit (sahih) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam, maka ianya diberi pilihan.” Perkataan ini serupa dengan perkataan Ibnul Qayyim sebagaimana yang dinukil dalam Hasyiah Ar-Raudh Al-Murbi’ (2/21).

Pendapat ini merupakan pendapat para ulama di kalangan sahabat, tabi’in dan setelahnya. Demikian dinukil oleh Imam At-Tirmizi.

Ibnu Qasim, dalam Hasyiah Ar-Raudh Al-Murbi’ (2/21), menisbahkan pendapat ini kepada Imam Malik.

Pendapat ini yang dikuatkan oleh Syeikh Al-‘Allamah Al-Muhaddis Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah kerana tidak ada hadis yang sahih tentang penempatan kedua tangan ketika berdiri melaksanakan solat.

Dalil-Dalil Setiap Pendapat dan Pembahasannya

Dalil Pendapat Pertama

Dalil yang dipakai oleh pendapat ini adalah atsar yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu tentang tafsir firman Allah Ta’ala,

Maksudnya: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah.” [Al-Kautsar: 2]

Beliau berkata (menafsirkan ayat di atas -pent.),

وَضْعُ الْيَمِيْنِ عَلَى الشِّمَالِ فِي الصَّلاَةِ عِنْدَ النَّحْرِ

“Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat pada an-nahr.” (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 2/31)

Pembahasan

Riwayat ini lemah kerana pada sanadnya terdapat Ruh bin Al-Musayyab Al-Kalbi Al-Bashri yang dikatakan oleh Ibnu Hibban bahwa dia meriwayatkan hadis-hadis palsu dan tidak halal meriwayatkan hadis darinya. Lihat Al-Jauhar An-Naqi .

Dalil Pendapat Kedua

Dalil pertama, hadis Qabishah bin Hulb Ath-Tha’i dari bapanya, Hulb radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآلِهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ هَذِهِ عَلَى هَذِهِ عَلَى صَدْرِهِ وَوَصَفَ يَحْيَى الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى فَوْقَ الْمِفْصَلِ

“Saya melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam meletakkan ini (tangan kanan) di atas ini (tangan kiri), di atas dadanya dan yahya (salah seorang perawi -pent.) mensifatkan tangan kanan di atas pergelangan tangan kiri.”

Pembahasan

Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Imam Ahmad dalam Musnad-nya (5/226) dan Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq no: 434 (dan baginya lafaz hadis) dari jalan Yahya bin Sa’id Al-Qattan, dari Sufyan Ats-Tsauri dari Simak bin Harb, dari Qabishah bin Hulb.

Hadis ini diriwayatkan dari Hulb Ath-Tha’i oleh anaknya, Qabishah, dan dari Qabishah hanya diriwayatkan oleh Simak bin Harb. Selanjutnya, dari Simak bin Harb diriwayatkan oleh 6 orang, iaitu:

1. Sufyan Ats-Tsaury, akan disebutkan takhrijnya.
2. Abul Ahwash, diriwayatkan oleh At-Tirmizi no: 252, Ibnu Majah no: 809, Ahmad 5/227, ‘Abdullah bin Ahmad dalam Zawa`id Al-Musnad 5/227, Ath-Thabarani 22/165/424, Al-Baghawi 3/31, dan Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq no: 435.
3. Syu’bah bin Al-Hajjaj, diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Ashim dalam Al-Ahad Wal Matsani no: 2495 dan Ath-Thabarani 22/163/416.
4. Syarik bin ‘Abdillah, diriwayatkan oleh Ahmad 5/226, Ibnu Abi ‘Ashim dalam Al-Ahad Wal Matsani no: 2493, Ibnu Qani’ dalam Mu’jam Ash-Shahabah 3/198, Ath-Thabarani 22/16/426, dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam At-Tamhid 20/73.
5. Asbath bin Nashr, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani 22/165/422.
6. Hafsh bin Jami’, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani 22/165/423.
7. Za`idah bin Qudamah, diriwayatkan oleh Ibnu Qani’ dalam Mu’jam Ash-Shahabah 3/198.

Dari ketujuh orang ini, tidak ada yang meriwayatkan lafaz: “Meletakkan ini atas yang ini, di atas dadanya” kecuali riwayat Yahya bin Sa’id Al-Qattan dari Sufyan Ats-Tsauri, yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad 5/226 dan Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq no: 434.

Kemudian, Yahya bin Sa’id Al-Qattan bersendirian dalam meriwayatkan lafaz tersebut dan menyelisihi 5 rawi tsiqah (terpecaya) lainnya dari Sufyan Ats-Tsauri, yang kelima orang tersebut meriwayatkan hadis ini tanpa tambahan lafaz “Meletakkannya di atas dada”. Kelima rawi tersebut adalah:

1. Waki’ bin Jarrah, diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah 1/342/3934, Ahmad 5/226, 227, Ibnu Abi ‘Ashim no. 2494, Ad-Daruqutni 1/285, Al-Baihaqi 2/29, Al-Baghawi 3/32, dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam At-Tamhid 20/74.
2. ‘Abdurrahman bin Mahdi, diriwayatkan oleh Ad-Daruqutni 1/285.
3. ‘Abdurrazzaq dalam Al-Mushannaf 2/240/3207 dan dari jalannya Ath-Thabarani 22/163/415
4. Muhammad bin Katsir, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani 22/165/421.
5. Al-Husain bin Hafsh, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 2/295.

Hadis Qabishah adalah hadis yang hasan dari seluruh jalan-jalannya. Dihasankan oleh At-Tirmizi 2/32 dan diakui kehasanannya oleh An-Nawawi dalam Al-Majmu’ 2/312.

Penyebab hasannya adalah Qabishah bin Hulb, meskipun mendapatkan tautsiq (Pentsiqahan -edt) dari sebahagian ulama, tidak ada yang meriwayatkan darinya kecuali Simak bin Harb. Berkata Ibnu Hajar di dalam At-Taqrib, “Maqbul,” yang ertinya riwayatnya boleh diterima kalau ada pendokongnya, kalau tidak ada maka riwayatnya lemah.

Riwayat yang hasan tersebut adalah tanpa tambahan lafaz “Meletakkan tangannya di atas dada”.

Jadi jelaslah, bahawa Yahya bin Sa’id bersendirian dalam meriwayatkan lafaz “meletakkan ini atas yang ini, di atas dadanya”, dan menyelisihi 6 orang lainnya dari Sufyan Ats-Tsauri, dan menyelisihi Ashab (murid-murid) Simak bin Harb yang lain, seperti Za`idah bin Qudamah, Syu’bah, Abul Ahwash, Asbath bin Nashr, Syarik bin ‘Abdillah, dan Hafsh bin Jami’. Maka jelaslah bahawa terdapat kesalahan pada riwayat tersebut, sehingga dihukumi sebagai riwayat yang syaz ‘ganjil’ atau mudraj, tetapi kami tidak dapa menentukan dari mana asal dan kepada siapa ditumpukan kesalahan ini. Wallahu a’lam.

Dalil kedua, Hadis Wa`il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ

“Saya solat bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dadanya.”

Pembahasan

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ibnu Khuzaimah dalam Sahih-nya 1/243 no: 479 dari jalan Abu Musa (Al-‘Anazi), dari Mu`ammal (bin Isma’il), dari Sufyan Ats-Tsauri, dari ‘Ashim bin Kulaib, dari bapanya, dari Wa`il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu.

Riwayat ini adalah riwayat yang syaz atau mungkar kerana Mu`ammal bin Isma’il meriwayatkannya dengan tambahan lafaz “di atas dada”, dan dia menyelisihi 2 orang selainnya yang meriwayatkan dari Sufyan, iaitu:

1. ‘Abdullah bin Al-Walid (diriwayatkan oleh Imam Ahmad 4/318).
2. Muhammad bin Yusuf Al-Firiyaby (Al-Mu’jamul Kabir /Ath-Thabarany no. 78).

Juga meyelisihi 10 orang yang meriwayatkan dari ‘Ashim bin Kulaib. Kesepuluh orang tersebut adalah:

1. Bisyr bin Al-Mufadhdhal, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud 1/456 no: 726, 1/578 no: 957 dari jalan Musaddad, darinya (Bisyr bin Al-Mufadhdhal), dan An-Nasa`i 3/35 hadis no: 1265 dari jalan Isma’il bin Mas’ud, darinya.
2. ‘Abdullah bin Idris, diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih-nya (Al-Ihsan 3/308/hadis no: 1936) dari jalan Muhammad bin ‘Umar bin Yusuf, dari Sallam bin Junadah, darinya (‘Abdullah bin Idris).
3. ‘Abdul Wahid bin Ziyad, diriwayatkan oleh Ahmad 4/316 dari jalan Yunus bin Muhammad, darinya, Al-Baihaqi 2/72 dari jalan Abul Hasan ‘Ali bin Ahmad bin ‘Abdan, dari Ahmad bin ‘Ubeid Ash-Shaffar, dari ‘Utsman bin ‘Umar Adh-Dhabby, dari Musaddad, darinya.
4. Zuhair bin Mu’awiyah, diriwayatkan oleh Ahmad 4/318 dari jalan Aswad bin ‘Amir, darinya, dan Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jamul Kabir 22/26/84 dari jalan ‘Ali bin ‘Abdul ‘Aziz, dari Abu Ghassan Malik bin Isma’il, darinya.
5. Khalid bin Abdullah Ath-Thahhan, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 2/131 dari 2 jalan, iaitu dari jalan Abu Sa’id Muhammad bin Ya’qub Ats-Tsaqafi, dari Muhammad bin Ayyub, dari Musaddad, darinya, dan dari jalan Abu ‘Abdillah Al-Hafiz, dari ‘Ali bin Himsyaz, dari Muhammad bin Ayyub, dan seterusnya seperti jalan di atas.
6. Sallam bin Sulaim Abul Ahwash, diriwayatkan oleh Abu Daud Ath-Thayalisi di dalam Musnad-nya hal 137/hadis 1060 darinya, dan Ath-Thabarani (Al-Mu’jamul Kabir 22/34/80) dari jalan Al-Miqdam bin Daud, dari Asad bin Musa, darinya.
7. Abu ‘Awanah, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jamul Kabir 22/34/90 dari 2 jalan: dari jalan ‘Ali bin ‘Abdil ‘Aziz, dari Hajjaj bin Minhal, darinya, dan dari jalan Al-Miqdam bin Daud, dari Asad bin Musa, darinya.
8. Qais Ar-Rabi’, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jamul Kabir 22/34/79 dari jalan Al-Miqdam bin Daud, dari Asad bin Musa, darinya.
9. Ghailan bin Jami’, diriwayatkan oleh Ath-Thabarani 22/34/88 dari jalan Al-Hasan bin ‘Alil Al-‘Anazi dan Muhammad bin Yahya bin Mandah Al-Ashbahani dari Abu Kuraib, dari Yahya bin Ya’la, dari ayahnya, darinya.
10. Zaidah bin Qudamah, diriwayatkan oleh Ahmad 4/318 dari jalan ‘Abdushshamad, darinya.

Mu`ammal bin Isma’il sendiri adalah rawi yang dicela hafalannya. Berkata Al-Hafizh Ibnu Hajar, dalam Taqribut Tahzib memberikan kesimpulan: “Shaduqun Sayyi`ul Hifzh,” (Benar tapi buruk hafalan -edt) sementara dia sendiri telah menyelisihi ‘Abdul Wahid dan Muhammad bin Yusuf Al-Firiyabi pada periwayatannya dari Sufyan Ats-Tsauri, serta menyelisihi 10 orang rawi dari ‘Ashim bin Kulaib lainnya yang sebahagian besarnya adalah tsiqah (terpecaya) dan semuanya tidak ada yang meriwayatkan lafaz “pada dadanya”.

Ada jalan lain bagi hadis Wa`il bin Hujr ini, iaitu diriwayatkan oleh Al-Baihaqi 2/30 dari jalan Muhammad bin Hujr Al-Hadhrami, dari Sa’id bin ‘Abdil Jabbar bin Wa`il, dari ayahnya, dari ibunya, dari Wa`il bin Hujr, tetapi terdapat beberapa kelemahan di dalamnya:

1. Muhammad bin Hujr lemah hadisnya, bahkan Imam Az-Zahabi, dalam Mizanul I’tidal, mengatakan: “Lahu manakir” (meriwayatkan hadis-hadias mungkar). Lihat juga Lisanul Mizan.
2. Sa’id bin ‘Abdul Jabbar, dalam At-Taqrib ,disebutkan bahawa dia adalah rawi dha’if (lemah).
3. Ibu ‘Abdul Jabbar. Berkata Ibnu Turkumani dalam Al-Jauhar An-Naqi: “Saya tidak tahu keadaan dan namanya.”

Dalil ketiga, hadis Thawus bin Kaisan secara mursal (disandarkan kepada tabi'in -edt), dia berkata,

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى يَدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ يَشُدُّ بَيْنَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ وَهُوَ فِي الصَّلاَةِ

“Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya kemudian merapatkannya di atas dadanya, dan baginda dalam keadaan solat.”

Pembahasan

Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam kitabnya, As-Sunan , no: 759 dan dalam Al-Marasil hal. 85 dari jalan Abu Taubah, dari Al-Haitsam bin Humaid, dari Tsaur bin Zaid, dari Sulaiman bin Musa, dari Thawus. Sanadnya sahih kepada Thawus, tetapi hadisnya mursal, dan mursal adalah jenis hadis yang lemah.

Dalil keempat, Hadis ‘Ali bin Abi Thalib tentang firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah.” [Al-Kautsar: 2]

Beliau berkata,

وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى وَسَطِ سَاعِدِهِ الْيُسْرَى ثُمَّ وَضَعَهُمَا عَلَى صَدْرِهِ فِي الصَّلاَةِ

“Beliau meletakkan tangan kanannya di atas sa’id ‘setengah jarak pertama dari pergelangan ke siku’ tangan kirinya, kemudian meletakkan kedua tangannya di atas dadanya di dalam solat.”

Atsar ini dikeluarkan oleh Ibnu Jarir dalam Tafsir-nya 30/326, Al-Bukhari dalam Tarikh-nya 3/2/437, dan Al-Baihaqi 2/30.

Pembahasan

Berkata Ibnu Katsir dalam Tafsir-nya: “(Atsar) ini, (yang) diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib, tidak sahih (lemah -pent).”

Berkata Ibnu Turkumani dalam Al-Jauhar An-Naqi: “Di dalam sanad dan matannya ada kegoncangan.”

Berikut perincian kelemahan dan kegoncangan atsar ini.

1. Atsar ini telah diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf 1/343, Ad-Daruqutni 1/285, Al-Hakim 2/586, Al-Baihaqi 2/29, Al-Maqdasi dalam Al-Mukhtarah no: 673, dan Al-Khatib dalam Mudhih Auham Al-Jama’ Wa At-Tafriq 2/340. Semuanya tidak ada yang menyebutkan kalimat “di atas dada”, bahkan dalam riwayat Ibnu ‘Abdil Barr, dalam At-Tamhid, disebutkan dengan lafaz “di bawah pusat”. Lihat pula Al-Jarh Wat Ta’dil 6/313.
2. Sekitar atsar ini ada pada seorang rawi yang bernama ‘Ashim bin Al-‘Ujaj Al-Jahdari yang dari biografinya dapat disimpulkan bahawa dia adalah seorang rawi yang maqbul (diterima). Baca Mizanul I’tidal dan Lisanul Mizan.
3. ‘Ashim ini telah goncang dalam meriwayatkan hadis ini. Kadang dia meriwayatkan dari ‘Uqbah bin Zhahir, kadang dari ‘Uqbah bin Zhabyan, kadang dari ‘Uqbah bin Shahban, dan kadang dari ayahnya, dari ‘Uqbah bin Zhabyan. Baca ‘Ilal Ad-Daruqutni 4/98-99.

Maka atsar ini adalah lemah. Ibnu Katsir juga menyebutkan dalam Tafsir-nya bahawa atsar ini menyelisihi jumhur mufassirin. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Seluruh hadis yang menunjukkan bahawa kedua tangan diletakkan pada dada ketika berdiri dalam solat adalah lemah dari seluruh jalan-jalannya dan tidak dapat saling menguatkan. Wallahu a’lam.

Dalil-Dalil Pendapat Ketiga, Keempat dan Kelima

Dalil-dalil ketiga pendapat ini mungkin boleh dilihat kembali kepada dalil-dalil yang akan disebutkan, namun perbezaan dalam memetik hukum, memandang dalil, dan mengkompromikannya dengan dalil yang lain menyebabkan dapat dilihat persilangan dari ketiga pendapat tersebut.

Berikut ini huraian dalil-dalilnya.

Dalil pertama, dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,

إِنَّ مِنَ السُّنَّةِ فِي الصَّلاَةِ وَضَعَ الْأَكُفِّ عَلَى الْأَكُفِّ تَحْتَ السُّرَّةِ

“Sesungguhnya termasuk Sunnah dalam solat adalah meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan di bawah pusat.”

Diriwayatkan oleh Ahmad 1/110, Abu Daud no: 756, Ibnu Abi Syaibah 1/343/3945, Ad-Daruqutni 1/286, Al-Maqdasi no: 771,772, dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam At-Tamhid 20/77. Dalam sanadnya ada rawi yang bernama ‘Abdurrahman bin Ishak Al-Wasiti yang para ulama telah sepakat untuk melemahkannya sebagaimana dalam Nashbur Rayah 1/314.

Dalil kedua, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,

وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلاَةِ تَحْتَ السُّرَّةِ مِنَ السُّنَّةِ

“Meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan di bawah pusat di dalam solat termasuk sunnah.”

Diriwayatkan oleh Abu Daud no: 758. Dalam sanadnya juga terdapat ‘Abdurrahman bin Ishak Al-Wasiti.

Dalil ketiga, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,

مِنْ أَخْلاَقِ النُّبُوَّةِ وَضْعُ الْيَمِيْنِ عَلَى الشِّمَالِ تَحْتَ السُّرَّةِ

“Termasuk akhlak-akhlak kenabian, meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat.”

Ibnu Hazm menyebutkannya secara mu’allaq ‘tanpa sanad’ dalam Al-Muhalla 4/157.

Kesimpulan Pembahasan

Dari huraian di atas, nampak jelas bahawa seluruh hadis-hadis yang menerangkan tentang penempatan (posisi) kedua tangan pada anggota badan dalam solat adalah hadis-hadis yang lemah. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa pendapat yang kuat dalam permasalahan ini adalah pendapat keenam, iaitu boleh meletakkan dimana sahaja, sama ada di dada, di pusat, di bawah pusat, atau antara dada dan pusat Wallahua’lam.

Disunting oleh: Abu Soleh

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...