Oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Pada setiap akhir Ramadhan, seluruh umat Islam akan membuat persiapan untuk mencari malam yang istimewa bagi mereka. Dimana malam tersebut lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Mereka akan berusaha berharap untuk mendapatkan malam tersebut.
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr: 1-5)
Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran pada malam lailatul Qadar pada bulan yang diberkati iaitu bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati.” (Ad-Dukhkhan: 3)
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ
Maksudnya: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” (Al-Baqarah: 185)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
أنزلت صحف إبراهيم أول ليلة من رمضان، و أنزلت التوراة لست مضين من رمضان، وأنزل الإنجيل لثلاث عشرة ليلة خلت من رمضان، و أنزل الزبور لثمان عشرة خلت من رمضان ، و أنزل القرآن لأربع و عشرين خلت من رمضان
“Diturunkan suhuf (lembaran-lembaran) kepada Ibrahim pada malam pertama bulan Ramadhan, diturunkan Taurat pada tanggal enam Ramadhan, diturunkan Injil pada tanggal tiga belas Ramadhan, dan diturunkan Al-Quran pada tanggal dua puluh empat Ramadhan.” (Hadis Riwayat Ahmad; menurut Al-Albani: Sanadnya hasan, lihat: Silsilah As-Sahihah, no: 1575)
Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma dan selainnya berkata:
أنزل الله القرآن جملة واحدة من اللوح المحفوظ إلى بيت العِزّة من السماء الدنيا، ثم نزل مفصلا بحسب الوقائع في ثلاث وعشرين سنة على رسول الله صلى الله عليه وسلم.
“Allah menurunkan Al-Quran itu sekaligus (30 juzuk), dari Lauhul Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudian diturunkan secara bertahap-tahap, sesuai konteks berbagai keadaan selama dua puluh tiga tahun kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.” (Tafsir Ibn Katsir, Maktabah Asy-Syamilah, jilid 8, ms. 441)
Ibn ‘Abbas dan jumhur ahli ilmu berpendapat: Sesungguhnya Al-Quran diturunkan secara jumlatan wahidah (sekaligus) ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Dan pada penurunan ini adalah untuk membesarkan (memuliakan) Al-Quran di sisi malaikat. Kemudian setelah itu ia diturunkan secara munajjaman (beransur-ansur) kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Baitul ‘Izzah, mengikut keadaan dan perkara yang baru berlaku. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah:
Apa yang tsabit dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu (Terdapat atsar sahih yang menunjukkan demikian, antaranya: Sebagaimana riwayat An-Nasai, Al-Baihaqi dan selain mereka berdua) Sesungguhnya dia berkata:
أنزل القرآن جملة واحدة إلى السماء الدنيا ليلة القدر، ثم أنزل بعد ذلك في عشرين سنه
“Al-Quran diturunkan sekaligus ke langit dunia pada lailatul Qadar kemudian setelah itu, ia diturunkan selama dua puluh tahun.”
Antaranya juga diriwayatkan oleh Al-Hakim, dari Ibn ‘Abbas, dia berkata:
فصل القرآن من الذكر، فوضع في بيت العزة في السماء الدنيا ، فجعل جبريل عليه السلام ينزله على النبي صلى الله عليه وسلم
“Al-Qur’an itu dipisahkan dari az-Zikr, kemudian diletakkan di Baitul ‘Izzah di langit dunia, maka Jibril mula menurunkannya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Tarikh Tasyrik, Buku Teks MEDIU, ms. 30-31)
Bilakah Berlakunya Malam Al-Qadar?
Berdasarkan hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anhu, dia berkata:
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah beriktikaf pada sepuluh pertama dari bulan Ramadhan. Dan kami juga pernah beriktikaf bersama baginda, lalu Jibril mendatangi baginda seraya berkata: ‘Sesungguhnya apa yang engkau minta sudah berada di depanmu. Oleh kerana itu, beriktikaflah pada sepuluh pertengahan.’ Maka kami pun beriktikaf bersama baginda. Lalu Jibril datang kepada baginda dan berkata: ‘Sesungguhnya apa yang engkau minta sudah ada di depanmu.’ Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berdiri untuk menyampaikan khutbah pada pagi hari kedua puluh dari bulan Ramadhan seraya bersabda: ‘Barangsiapa yang beriktikaf bersamaku maka hendaklah dia pulang kembali, kerana sesungguhnya aku telah melihat Lailatul Qadar. Dan sesungguhnya aku melupakannya, dan sesungguhnya ia ada pada sepuluh terakhir pada malam ganjil. Dan aku melihat seakan-akan aku bersujud di tanah dan air.’ Dan pada waktu itu atap masjid masih berupa pelepah kurma dan kami tidak dapat melihat sesuatu di langit.’ Lalu Lailatul Qadar datang secara tiba-tiba sehingga hujan turun menyirami kami. Selanjutnya, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat bersama kami sehingga aku melihat bekas tanah dan air pada dahi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai bentuk pembenaran mimpi baginda.” Dalam sebuah lafaz disebutkan: iaitu pada pagi hari kedua puluh satu. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Asy-Syafi’i berkata: “Dan hadis ini merupakan riwayat yang paling sahih dari riwayat-riwayat mengenai hal ini.” Dan ada juga yang mengatakan “Malam kedua puluh tiga.” Yang demikian itu berdasarkan hadis Abdullah bin Unais di dalam kitab Sahih Muslim, yang siyaqnya berdekatan dengan riwayat Abu Sa’id. Wallahua’lam. Dan ada juga yang mengatakan: “Malam kedua puluh lima.” (Dinukil dari Terjemahan Tafsir Ibn Katsir, Pustaka Imam Asy-Syafi’i, jilid 10, ms. 318)
Hal ini berdasarkan hadis dari Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي تَاسِعَةٍ تَبْقَى فِي سَابِعَةٍ تَبْقَى فِي خَامِسَةٍ تَبْقَى
“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir di bulan Ramadhan pada sembilan hari yang tersisa, pada tujuh hari yang tersisa dan pada lima hari yang tersisa.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 1881)
Terdapat juga riwayat yang menjelaskan Lailatul Qadar jatuh pada malam-malam ganjil. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dari ‘Ubadah bin Shamit bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengenai Lailatul Qadar, lalu Rasulullah bersabda:
فِي رَمَضَانَ فَالْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ فَإِنَّهَا فِي وَتْرٍ فِي إِحْدَى وَعِشْرِينَ أَوْ ثَلاثٍ وَعِشْرِينَ أَوْ خَمْسٍ وَعِشْرِينَ أَوْ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ أَوْ تِسْعٍ وَعِشْرِينَ أَوْ فِي آخِرِ لَيْلَةٍ
“Pada bulan Ramadhan, carilah ia (Lailatul Qadar) pada malam kesepuluh terakhir, kerana ia ada pada malam yang ganjil; pada malam kedua puluh satu, atau kedua puluh tiga, atau kedua puluh lima, atau kedua puluh tujuh, atau kedua puluh sembilan atau pada akhir malam.” (Hadis riwayat Ahmad; Syu’aib Al-Arnauth berkata: Hadis ini hasan, tanpa perkataan “atau pada akhir malam”, no: 22765)
Pengarang kitab “Sifat As-Shaum An-Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam” membuat kesimpulan:
“Jika seorang muslim mencari Lailatul Qadar, carilah pada malam ganjil 10 hari terakhir; malam 21, 23, 25, 27, dan 29. Kalau lemah atau tidak mampu mencari pada sepuluh malam terakhir, carilah pada malam ganjil 7 hari terakhir iaitu; malam 25, 27 dan 29. Wallahua’lam.” (Dinukil dari buku ‘Berpuasa & Berhari Raya Mengikut Sunnah Rasulullah SAW’, Syeikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid dan Syeikh Salim Al-Hilali, Jahabersa, ms. 108-109)
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata dalam kitabnya “Qiam Ramadhan” hal 19, “Bahawa Lailatul Qadar adalah pada malam ke 27 dari bulan Ramadhan menurut pendapat yang rajih, kerana itulah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengumpulkan keluarga dan isteri-isterinya pada malam tersebut, Maka dengan demikian disunnahkan juga bagi kaum wanita untuk turut menghadiri malam yang mulia ini.” (Dinukil dari buku ‘Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Jahabersa, ms. 165)
Ibn Katsir rahimahullah berkata:
“Dan diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya dia pernah berkata: ‘Lailatul Qadar itu berpindah-pindah (yakni tidak tetap-edt) pada sepuluh malam terakhir.’ Dan inilah yang diriwayatkan dari Abu Qilabah yang dinaskan oleh Malik, Ats-Tsauri, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, Abu Tsaur, Al-Muzani, Abu Bakar bin Khuzaimah, dan lain-lain. Dan juga diriwayatkan dari Asy-Syafi’i yang dinukil oleh Al-Qadhi. Dan inilah yang paling mendekati kebenaran. Wallahua’lam.” (Dinukil dari Terjemahan Tafsir Ibn Katsir, Pustaka Imam Asy-Syafi’i, jilid 10, ms. 319)
Amalan Sepuluh Hari Terakhir Ramadhan
Secara ringkasnya, pada hari terakhir Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjauhkan diri dari menggauli isteri-isterinya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya.
Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
“Apabila masuk sepuluh (hari terakhir bulan Ramadhan) baginda mengencangkan kainnya (yakni tidak menggauli isteri-isterinya), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya (dari tidur).” (Hadis riwayat Bukhari, no: 1884)
Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:
“Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu malam Lailatul Qadar, apa yang akan aku ucapkan?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat Tirmizi, no: 3706. Ibn Majah, no: 3850. Berkata Tirmizi: Abu ‘Isa berkata hadis ini hasan sahih. Menurut Al-Albani hadis ini sahih)
Pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan juga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam beriktikaf, sehinggalah baginda wafat. ‘Aisyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam beriktikaf pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat, kemudian isteri-isterinya (meneruskan) iktikaf setelahnya.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 1886. Muslim, no: 2006)
Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha juga berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
“Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh pada sepuluh akhir (Ramadhan), apa yang tidak pernah baginda bersunguh-sungguh pada selainnya (yakni selain waktu tersebut).” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad. Silsilah As-Sahihah, no: 2123)
Tambahan: Dalam bab ‘Aqidah, sebahagian pendapat (yang sesat) mengatakan bahawa Jibril ‘Alaihissalam mengambil Al-Quran dari Lauh Al-Mahfuz, tidak mendengarnya dari Allah. Ini kerana mereka tidak meyakini yang Al-Quran merupakan Kalam Allah (Perkataan Allah) dan bukan makhluk (yakni bukan ciptaan). Antara mereka Jahmiyah dan Muktazilah berpandangan: Al-Quran yang berbahasa Arab ini adalah makhluk. Sedangkan Asya’irah dan Maturidiyah berpandangan: Kalam Allah adalah Kalam Nafsi (percakapan dalam hati) tanpa huruf dan tanpa suara, tidak terurai dan tidak terbahagi, tidak dalam bentuk larangan, mahupun dalam bentuk perintah. Mereka berpandangan Taurat, Injil dan Al-Quran bukan firman Allah yang hakiki, tetapi ianya cuma majazi (kiasan) yang menunjukkan kepada Kalam Nafsi Allah.
Jawapan: Pendapat golongan di atas sangat bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktiqad bahawa: “Al-Quran adalah Kalamullah dan bukan makhluk.”
Firman Allah Ta’ala:
نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأَمِينُ (193) عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ (194) بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ (195)
Maksudnya: “Ia (Al-Quran) dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” (Asy-Syu’ara’: 193-194)
At-Taimi rahimahullah berkata:
“Ahli Hadis dan Ahli Sunnah berkata: Sesungguhnya Al-Quran yang tertulis yang ada di dalam mushaf atau yang dihafal di dalam dada adalah hakikat Kalam Allah Ta’ala. Bertentangan dengan ini, sebahagian orang mengira bahawa Al-Quran hanya merupakan rangkaian kalimat yang menunjukkan hakikat Kalam Allah yang berada dengan ZatNya dan menunjukkanNya. Sedangkan yang ada di dalam mushaf adalah buatan dan huruf-huruf yang diciptakan (makhluk). Sedangkan mazhab Ahli Sunnah dan Ahli Fekah mereka berpendapat bahawa Al-Quran adalah sesuatu yang difirmankan oleh Allah, didengar oleh Jibril dariNya, dan Jibril menyampaikannya kepada Nabi...” (Abul Qasim Al-Ashbahani, Al-Hujjah fi Bayan Al-Mahajjah wa Syarah Aqidah Ahlis Sunnah, 1/368; dinukil dari buku ‘I’tiqad Ahlis Sunnah Ashab Al-Hadits’ yang disusun dan disyarah oleh Dr. Muhammad Abdurrahman Al-Khumais, Edisi Terjemahan ‘Pokok-Pokok Akidah Salaf’ keluaran Darul Haq, ms. 69)
Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:
“Al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk dan tidak boleh melemah untuk mengatakan Al-Quran bukan makhluk kerana sesungguhnya kalam Allah itu tidak terpisah dari-Nya, dan tiada suatu bahagian dari-Nya pun yang makhluk. Dan hindarilah berdebat dengan orang yang membuat perkara baru tentangnya, orang yang mengatakan lafazku dengan Al-Quran adalah makhluk dan selainnya serta orang yang bertawaqquf tentangnya, dengan mangatakan : ‘Aku tidak tahu makhluk atau bukan makhluk akan tetapi ia adalah kalam Allah,’ kerana orang ini adalah ahli bid’ah seperti orang yang mengatakan Al-Quran adalah makhluk. Sesungguhnya Al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk.” (Usul Sunnah, no: 13; terjemahan dinukil dari buku ‘Keyakinan Imam Ahmad dalam Aqidah’ keluaran Pustaka Darul Ilmi, ms.75)
Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata:
“Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk, barangsiapa yang mengatakan Al-Quran adalah makhluk maka ia telah kafir.” (Diriwayatkan oleh Al-Ajurri di dalam Asy-Syari’ah, no: 90 dengan sanad yang sahih, dan Ibn Baththah (2/577); Dinukil dari buku ‘Keyakinan Imam Ahmad dalam Aqidah’ keluaran Pustaka Darul Ilmi, ms.77)
Kesimpulan
Demikian secara ringkas masalah Lailatul Qadar yang dapat saya susun. Sangat merugikan sekiranya pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan ini disia-siakan. Banyak dari kalangan masyarakat kita pada hari ini menyibukkan dengan persiapan hari raya pada waktu akhir Ramadhan ini dengan membeli baju raya, kuih-muih, membeli perabot, dan sebagainya. Ini akan menyebabkan mereka lupa akan kedatangan Lailatul Qadar, lupa akan kelebihannya dan mereka tidak berusaha untuk mendapatkannya.
Padahal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Amat rugilah sekiranya kita meninggalkan usaha untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar ini, yang mana malam tersebut lebih baik dari seribu bulan, diampunkan dosa-dosa yang telah lalu, dan para malaikat turun dari langit bersama-sama dengan turunnya barakah dan rahmat Allah Ta’ala.
Wallahua’lam