Fahami pengisian al-Quran – KANGAR 18 Ogos – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bertitah, masih ramai umat Islam hanya membaca al-Quran untuk kepentingan akhirat sahaja. Perkara sedemikian titah baginda, tidak sewajarnya berlaku kerana kitab suci tersebut memiliki pelbagai khazanah yang cukup besar buat penganut Islam menterjemahkannya untuk manfaat dunia. “Begitu ramai umat Islam yang membaca al-Quran hanya untuk bekalan akhirat semata-mata. ”Perkara ini berlaku kerana mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang wajar dipelajari dari al-Quran itu sendiri, ramai yang membaca al-Quran tetapi tidak memahami kandungan ayat-ayat al-Quran,” jelas Tuanku Syed Sirajuddin.
Baginda bertitah demikian ketika menangguhkan Istiadat Konvokesyen 2009 Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) yang turut dihadiri oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Dewan Warisan Perlis di sini hari ini. Sehubungan itu, Raja Perlis mengajak umat Islam memahami sepenuhnya kandungan kitab suci berkenaan untuk dimanfaatkan bagi kepentingan dunia dan akhirat. Baginda juga mahu umat Islam bekerja lebih keras untuk maju dalam pelbagai bidang profesional sambil mencontohi kehebatan umat terdahulu terutama di zaman Nabi Muhammad saw. “Disebabkan kecemerlangan umat Islam hari ini tidak boleh menyamai kehebatan generasi terdahulu, sebab itulah kira-kira 1.4 bilion umat Islam sekarang masih dianggap mundur. “Umat Islam sebenarnya golongan yang cintakan ilmu. Sebab itulah banyak hasil kajian umat Islam terdahulu sentiasa dijadikan bahan rujukan oleh golongan profesional di seluruh dunia,” titah baginda lagi. Dalam pada itu Raja Perlis turut mengingatkan pentadbir IPTIPs supaya meletakkan masa depan institusi itu ke satu tahap yang lebih berkualiti tinggi kecemerlangannya terutama dalam aspek akademik. “IPTIPs perlu menawarkan bidang-bidang pengajian baru dan memperkemaskan bidang pengajian sedia ada supaya bukan sahaja boleh melahirkan ramai graduan terhebat dunia tetapi kehebatan mereka menepati kehendak Islam,” tegas baginda.
Sementara itu, pada majlis tersebut, daripada 251 graduan yang menamatkan pengajian, enam menerima anugerah khas kerana kecemerlangan berganda semasa sesi pengajian. Anugerah Pelajar DiRaja dimenangi oleh graduan Diploma Syariah, Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Jufri dan graduan Diploma Usuluddin, Mohammad Asrie Sobri. Anugerah Pingat Emas Rektor diberikan kepada Nor Hidayu Ahmad Jaluddin (graduan Diploma al-Quran dan Hadis) dan Nurhaida Misdan (graduan Diploma Usuludin). Anugerah Pingat Emas Timbalan Rektor pula diraih oleh dua graduan Diploma al-Quran dan Hadis iaitu Mohd. Azali Omar dan Mohd. Safwan Rusydi.
Sumber: www.utusan.com.my