Isnin, 16 Mac 2009

PEMIKIRAN HASAN AL-BANNA DALAM TIMBANGAN



Ditulis Oleh: Mohd Safwan bin Rusydi
Disemak Oleh: Muhammad Asrie bin Sobrie

Mengingat kembali semasa saya belajar di Perlis, buku pertama yang digunakan dalam 'Usrah' kami adalah 'Asas-asas Islam' oleh Abu'l A'la Al-Maududi. Kemudian 'Maza Ya'ni' oleh Fathi Yakan. Inilah silibus yang biasanya diguna pakai oleh kumpulan-kumpulan usrah yang ada diseluruh Negara masa kini.

Pokok akar rujukan-rujukan ini sebenarnya adalah daripada suatu pergerakan Islam di Mesir yang telah dibangunkan oleh Hasan Al-Banna rahimahullah pada tahun 1928M pada bulan Zulkaedah 1347H. Siapakah dia Hasan Al-Banna? Melihat hari ini ramai yang mengangkat beliau sebagai seorang mujaddid (pembaharu) dan juga seorang yang syahid. Namun sebenarnya beliau mempunyai banyak kesalahan yang mana kesalahan tersebut perlu dijelaskan agar kita tidak mencontohi kesalahan tersebut.

Siapakah Hasan Al-Banna

Beliau merupakan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin. Dilahirkan pada tahun 1324H bersamaan 1906M. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di wilayah al-Buhairah, Mesir. (Mengenali Gerakan Islah oleh Dr. Taufiq Yusuf Waie, Pustaka Salam, ms. 5)

Beliau memulai pendidikannya di Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah dengan menghafal Al-Quran dan sebahagian hadis-hadis Nabi serta asas-asas ilmu bahasa Arab, di bawah bimbingan Syaikh Zahran yang merupakan seorang pengikut tarekat sufi Al-Hashafiyyah. Hasan Al-Banna benar-benar terkesan dengan sifat-sifat gurunya yang mendidik, sehingga ketika Syaikh Zahran menyerahkan kepemimpinan Madrasah itu kepada orang lain, Hasan Al-Banna pun turut meninggalkan madrasah.

Kemudian beliau masuk ke Madrasah I’dadiyyah di Mahmudiyyah, setelah berjanji kepada ayahnya untuk menyelesaikan hafalan Al-Qurannya di rumah. Tahun ketiga di madrasah ini adalah awal perkenalannya dengan gerakan-gerakan dakwah melalui sebuah organisasi, Jum’iyyatul Akhlaq Al-Adabiyyah, yang dibentuk oleh guru matematik di madrasah tersebut. Bahkan Hasan Al-Banna sendiri dipilih menjadi ketua. Aktiviti-aktivitinya berterusan sehingga ia bergabung dengan organisasi Man’ul Muharramat. Kemudian beliau juga melanjutkan pendidikannya di Madrasah Al-Mu’allimin Al-Ula di kota Damanhur.

Di sinilah beliau berkenalan dengan tarekat sufi Al-Hashafiyyah. Beliau menghabiskan waktunya di madrasah Al-Mu’allimin dari tahun 1920-1923M. Beliau berasa kagum dengan majlis-majlis zikir dan lantunan nasyid yang didendangkan secara beramai-ramai oleh pengikut tarekat tersebut. Lebih-lebih lagi ketika beliau mendapati bahawa di antara salah seorang pengikut tarekat tersebut adalah guru lamanya yang dikaguminya iaitu Syaikh Zahran. Akhirnya Hasan Al-Banna menyertai dengan tarekat tersebut. (Sejarah Suram Ikhwanul Muslimin oleh Al-Ustadz Qomar ZA, Lc)

Beliau melanjutkan lagi pelajarannya ke Jabatan Pengajian Tinggi, Darul Ulum, Kaherah. Beliau menamatkan pengajian di univertisi tersebut pada tahun 1927M. Kemudian beliau dilantik menjadi guru di salah sebuah sekolah rendah di Al-Ismailiah sehinggalah pada bulan Zulkaedah 1327H bersamaan April 1928M Ikhwan Muslimin ditubuhkan. (Gerakan Islah oleh Dr. Taufiq Yusuf Waie, ms. 8)

Pengikut Tarekat Sufi

Melihat daripada latar belakang beliau tadi, beliau banyak terkesan dengan tarekat-tarekat sufi. Syaikh Zahran yang merupakan guru kepada beliau yang mana banyak memberi kesan kepadanya sehingga beliau juga turut serta dalam tarekat gurunya iaitu tarekat Al-Hashafiyyah.

Hasan Al-Banna berkata:

وصحبت الإخوان الحصافية بدمنهور، وواظبتُ على الحضرة في مسجد التوبة في كل ليلة


"Saya berteman dengan Al-Ikhwan Al-Hashafiyyah di Damanhur dan saya selalu bersemangat untuk menghadiri hadhrah di masjid At-Taubah setiap malam." (Mudzakiratu Ad-Da'wah wa Ad-Da'iyah, ms. 27. Dinukil dari buku Risalatun Akhowiyah limadza taroku da'watal ikhwanul muslimin wattaba'tu Al-Manhaj As-Salaf oleh Faishol bin Abduh Qo'id Al-Hasyidi, edisi terjemahan keluaran Maktabah Al-Ghuroba', ms. 35)

Kemudian beliau berkata:

وحضر السيد عبد الوهاب (المجيز في الطريقة الحصافية) وتلقيتُ الحصافية الشاذلية عنه، وآذنني بأدوارها ووظائفها

"Hadir Sayyid Abdul Wahab (orang yang memberikan ijazah dalam tarekat Al-Hashafiyyah) dan saya menerima tarekat Al-Hashafiyyah Asy-Syaziliyyah dan saya mendapat ajaran tarekat ini darinya. Dia juga memberi saya wirid dan amalan tarekat itu." (Ibid, ms. 35)

Abul Hasan An-Nadwi rahimahullah berkata dalam kitab Tafsir As-Siyasi Al-Islami mengatakan yang Hasan Al-Banna mengikuti tarekat sufiyah ini sehingga akhir hayatnya:

الشيخ حسن البنَّا ونصيب التربية الروحية في تكوينه وفي تكوين حركته الكبرى: أنه كان في أول أمره ـ كما صرح بنفسه ـ في الطريقة الحصافية الشاذلية، وكان قد مارس أشغالها وأذكارها وداوم عليها مدة وقد حدثني كبار رجاله وخواص أصحابه أنه بقي متمسكاً بهذه الأشغال والأوراد إلى آخر عهده وفي زحمة أعماله

"Syaikh Hasan Al-Banna dan bahagian pendidikan kerohanian dalam pembentukannya dan pembentukan gerakannya yang besar: Sesungguhnya pada awalnya – sebagaimana ditegaskan oleh dirinya – dalam tarekat Al-Hashafiyyah Asy-Syaziliyyah, dia telah biasa melakukan kesibukannya dan zikir-zikirnya serta terus-menerus melakukannya sekian lama. Seorang tokoh besar dan istimewa (Hasan Al-Banna) memberitahuku bahawa dia tetap komitmen melakukan kesibukan-kesibukan dan wirid-wirid tersebut sehingga akhir hayatnya dan dalam kesibukan pekerjaannya." (At-Tafsir As-Siyasi Al-Islami, ms. 138-139. Dinukil dari buku Risalatun Akhowiyah, ms. 39-40)

Berkenaan tarekat sufi ini telah jelas kebatilannya dan tidak pernah wujud pun pada zaman salafus soleh iaitu terdiri daripada para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in. Tidak pernah pun wujud penamaan tasawwuf dari sudut bahasa arab mahupun penyebutannya disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Bahkan setiap tarekat-tarekat yang ada pada hari ini mempunyai banyak perbezaan dengan al-Quran dan al-Sunnah dari sudut amalan mereka. Zikir-zikir mereka juga banyak yang tidak bersumberkan Al-Quran dan hadis, tetapi direka-reka oleh pengasas tarekat tersebut atau kononnya didapati secara Yaqzah (iaitu berjumpa dengan nabi secara jaga), padahal ini jelas bertentangan dengan aqal dan naqal.

Bermazhab Mufawwidhah

Antara lain juga beliau merupakan seorang Asya'irah Mufawwidhah iaitu golongan yang menolak takwil sifat-sifat Allah tetapi menerima lafaz-lafaz berkenaan sifat Allah, namun maknanya dinafikan dari lafaz tersebut. Sebagaimana kata beliau:


ونحن نعتقد أن رأي السلف من السكوت وتفويض علم هذه المعاني إلى الله ـ تبارك وتعالى ـ أسلم وأولى بالاتباع حسما لمادة التأويل والتعطيل

"Kami meyakini bahawa pendapat salaf dalam memilih sikap diam dan meyerahkan pengetahuan tentang makna-maknanya kepada Allah Ta'ala lebih selamat dan lebih utama untuk diikuti dalam rangka memotong unsur takwil dan ta'thil." (Majmu'atu Rasail Al-Banna Risalatul Aqo'id, ms. 498. Dinukil dari buku Risalatun Akhowiyah, ms. 23)

Muhammad 'Abdullah Al-Khatib rahimahullah berkata dalam menjelaskan prinsip kesepuluh Hasan Al-Banna bagi mendokong fahaman Hasan Al-Banna:

"Ulama salaf berkata: Kami beriman dengan ayat-ayat dan hadis-hadis sepertimana yang tercatat, dan kami menolak maksud tentangnya. Mereka mentsabitkan tangan, mata, bersemayam, ketawa, ta'ajjub, dan lain-lain lagi. Semua itu dengan makna yang kita tidak ketahui. Kami berserah kepada Allah tentangnya, yang Maha Luas pengetahuannya." (Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta'alim oleh Muhammad Abdullah Al-Khatib, Dewan Pustaka Fajar, ms. 140-141)

Ini amat bercanggah dengan pegangan salaf yang mana mereka menerima lafaz dan makna berkenaan sifat-sifat Allah. Merujuk pada kata-kata Imam Malik rahimahullah yang amat terkenal yang mana ketika beliau ditanya tentang bagaimanakah Istiwa (bersemayam), maka dia menjawab:


الاستواء غير مجهول ، والكيف غير معقول ، والإيمان به واجب ، والسؤال عنه بدعة

"Istiwa' itu diketahui maknanya (yakni difahami), bagaimana Istiwa' itu tidak diketahui, sedangkan beriman dengannya adalah wajib dan bertanyakan bagaimana Istiwa' adalah perbuatan bid'ah." (Aqidatus-Salaf Ahlul Hadith oleh Syeikh Ismail bin Abdul Rahman As-Sobuni, edisi terjemahan keluaran Jahabersa, no: 24)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menjelaskan masalah ini:

من قال إن هذا من المتشابه وأنه لا يفهم معناه، فنقول: أما الدليل على بطلان ذلك فإني ما أعلم أحد من سلف الأمة ولا الأئمة، لا أحمد بن حنبل ولا غيره أنَّه جعل ذلك مِن المتشابه الداخل في الآية ونفى أن يعلم أحد معناه، وجعلوا أسماء الله وصفاته بمنزلة الكلام الأعجمي الذي لا يُفْهَم، ولا قالوا: إن الله يُنَزِّل كلاماً لا يَفْهَمُ أحدٌ معناه، إنما قالوا: كلمات لها معانٍ صحيحةٌ، قالوا في أحاديث الصفات تمر كما جاءت، ثم قال: وـ أيضاً ـ فالسّلف من الصحابة والتابعين وسائر الأئمة، قد تكلَّموا في جميع نصوص الصفات وغيرها وفسّروها بما يوافق دلالتها، ورووا عن النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ أحاديث كثيرة توافق القرآن، ولو كان معاني هذه الآيات منفيَّاً أو مسكوتاً عنه لم يكن ربَّانيُّو الصحابة ـ أهل العلم بالكتاب والسُّنَّة ـ أكثر كلاماً فيه.



ثم إن الصحابة نقلوا عن النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ أنَّهم كانوا يتعلمون منه التفسير مع التِّلاوة، ولم يذكر أحدٌ منهم أنه امتنع عن تفسير آية

"Siapa saja yang menyatakan bahawa ini (nama-nama dan sifat Allah Ta'ala) yang termasuk perkara mutasyabih dan tidak diketahui maknanya, maka kita katakan, adapun landasan hukum yang menunjukkan batilnya pendapat tersebut adalah bahawa saya tidak mengetahui seorang pun dari generasi awal umat ini atau para ulamanya, tidak Ahmad bin Hanbal dan tidak pula yang lainnya menjadikan nama-nama dan sifat-sifat sebagai perkara yang termasuk dalam ayat mutasyabih dan meniadakan dari bahawa ada seseorang yang mengetahui maknanya serta menjadikan nama-nama dan sifat Allah Ta'ala ibarat perkataan orang bukan yang bukan arab yang tidak boleh difahami, tidak pula mereka mengatakan bahawa Allah Ta'ala menurunkan firman yang tidak difahami oleh seorangpun. Namun mereka hanyalah menyatakan bahawa itu merupakan kata-kata yang mempunyai nama-nama yang sahih dan mereka mengatakan tentang hadis-hadis sifat 'lakukanlah sebagaimana datangnya'. Kemudian beliau mengatakan –dan juga– generasi awal dari kalangan sahabat, para tabi'in dan seluruh ulama telah berkomentar tentang seluruh nas-nas sifat dan yang lainnya serta menafsirkannya sesuai dengan kandungan maknanya, mereka meriwayatkan banyak hadis yang dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam yang sejalan dengan Al-Quran. Seandainya makna ayat-ayat ini dinafikan atau didiamkan maka generasi rabbani dari kalangan para sahabat –para ulama yang berilmu tentang Al-Quran dan Sunnah– nescaya tidak akan menjadi orang-orang yang paling banyak komentarnya dalam hal ini.

Kemudian para sahabat menukilkan dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bahawa mereka mempelajari tafsir dari beliau beserta dengan bacaannya, dan tidak satupun dari mereka menyebutkan bahawa Nabi sallallahu'alaihi wasallam menolak untuk mentafsirkan Al-Quran." (Al-Iklil fil Mutasyabih wat Takwil oleh Ibn Taimiyyah, ms. 32-50. Dinukil dari buku Risalatun Akhowiyah, ms. 22-23)

Mencampur Aduk Antara yang Batil dan Haq

Abdul Badi' Shaqar berkata:

"Syaikh Hasan Al-Banna berusaha keras untuk menyatukan hati seluruh kaum Muslimin. Beliau memberi perhatian lebih kepada kalangan yang terpelajar, jika melihat mereka tertarik kepada petunjuk Islam." (12 Tahun Menemani Imam Hasan Al-Banna, Penerbit An-Nadwah, ms. 45)

Sebagaimana kita lihat pada hari ini, kelompok umat Islam itu telah pun berpecah kepada bermacam-macam kelompok. Ada yang Salafiyyah, Muktazilah, Syi'ah, Qadariyah, Jahmiyah, Sufiyah, Murjiah, dan banyak lagi. Dan setiap satu kelompok tersebut terbahagi pula banyak lagi bahagian seperti kelompok sufiyah, antaranya Naqsyabandiyyah, Ahmadiyyah, Tijaniyyah, Syaziliyyah, Qadiyaniyyah dan banyak lagi.

Apa yang disuruh kepada kita adalah hendaklah kembali kepada tali Allah serta menjauhi berpecah-belah. Sebagaimana firman Allah Ta'ala (maksudnya):

"Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah-belah)." (Surah Ali-Imran: 103)

"Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka." (Surah Ali-Imran: 105)

"Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-An'am: 153)

"Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka." (Surah Al-An'am: 159)

Paling jelas adalah sebagaimana sabda baginda berkenaan perpecahan umatnya ini kepada 73 puak. Bermaksud perpecahan ini akan berlaku akan tetapi hanya satu yang ke syurga iaitu mereka yang mengikuti Nabi sallallahu'alaihi wasallam dan para sahabat baginda radhiallahu 'anhum. Menurut riwayat lain adalah Al-Jamaah. (Lihat silsilah As-Sahihah, no: 1492)

Namun apa yang cuba Hasan Al-Banna lakukan ialah ingin mencampur kesemua kelompok-kelompok tersebut yang mana kita telah jelas bahawa mereka mempunyai dasar aqidah yang berbeza. Apakah boleh kita satukan campurkan akidah yang mengkafirkan para sahabat, yang mengatakan Al-Quran itu makhluk, yang menolak hadis sebagai sumber hukum, atau yang mengatakan semua agama itu sama kemudian ditonjolkan sebagai inilah ‘Islam’?

Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):

"Janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 42)

Sa'id Hawa rahimahullah berkata:

"Kemuncak perpecahan telah melanda dalaman jemaah, semua yang berlaku tidaklah menghairankan kerana suara-suara protes masuk ke setiap telinga, juga kerana banyaknya unsur-unsur perpecahan dan unsur-unsur lain yang membantu, termasuk pengaruh luaran yang terus menekan, ditambah lagi jaringan organisasi jemaah yang rapuh. Sementara orang-orang yang bergabung ke dalamnya dari berbagai-bagai kelompok, maka jemaah tidak mampu menghadapi kerenah mereka semuanya." (Hazihi Tajribati wa Syahadati, ms. 34. Dinukil dari buku Ikhwanul Muslimin Atau Ikhwanul Muflisin oleh Rasul Dahri, Jahabersa, ms. 10)

Benarlah apa yang dikatakan di atas, sebab itulah Allah berfirman (maksudnya):

"Kamu sangka mereka itu bersatu sedangkan hati mereka berpecah-belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti." (Surah Al-Hasyr: 14)

Ini kerana yang mempersatukan hati-hati manusia sebenar ialah Allah Ta'ala. Dan bersatunya umat Islam itu adalah atas dasar aqidah mereka yang mengikuti aqidah para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in. Dalam menghadapi perselisihan hendaklah kita kembali kepada yang paling benar iaitu dengan merujuk Al-Quran dan Sunnah menurut fahaman sahabat.

Firman Allah Ta'ala (maksudnya):

"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya." (Surah An-Nisa': 59)

"Dan sesiapa yang menentang Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah An-Nisa': 115)

"Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhamnu (keputusanNya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya." (Surah Hud: 118-119)

Sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam:

"Hendaklah kamu kembali kepada sunnahku dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Lebih jelas lagi jika melihat pada slogan mereka (Ikhwan Muslimin) yang sering diangkat-angkat untuk menyatupadukan jemaah-jemaah mereka iaitu: “Bersatu-padu atas perkara yang disepakati dan bertoleransi atas perkara yang diperselisihkan.”

Syeikh Muhammad bin ‘Utsaimin Rahimahullah berkata:

“Slogan mereka ‘(Mari) kita saling tolong-menolong dalam perkara-perkara yang disepakati’, ini benar. Adapun ‘Dan saling toleransi dalam perkara-perkara yang diperselisihkan’, maka ini harus diperincikan: Apabila termasuk dalam perkara ijtihad yang memang dibolehkan berbeza, maka hendaklah kita saling bertoleransi, dan tidak boleh ada sesuatu di hati kerana perbezaan tersebut. Adapun apabila termasuk dalam perkara yang pintu ijtihadnya tertutup, maka kita tidak boleh bertoleransi kepada orang yang menyelisihinya. Dan diapun harus tunduk kepada kebenaran...” (Ash- Shahwah Al-Islamiyyah, Dhawabith Wa Taujihat, I/218-219. Lihat Zajrul Mutahawin, ms. 129)

Mengutamakan Daulah (Semata) Pada Dakwahnya

Hasan Al-Banna rahimahullah berkata:

"Di tanah air yang merdeka ini satu daulah Islam yang merdeka mesti ditegakkan dimana ia mempraktikkan undang-undang Islam, melaksanakan sistem sosial Islam, menerangkan prinsip-prinsipnya yang lurus dan menyampaikan dakwahnya secara bijaksana kepada manusia. Selagi daulah Islam itu tidak tertegak, maka setiap umat Islam berdosa dan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar kerana kelalaian mereka dalam menegakkan daulah Islam." (Baina al-Amsi wa al-Yaum, Al-Majmu'ah, ms. 225. Dinukil dari buku Langkah Bermula oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Pustaka Usrah, ms. 246)

Beliau berkata lagi:

"Keadaan para reformis Islam yang duduk diam tanpa menuntut perlaksanaan Islam adalah satu jenayah terhadap Islam yang tidak dapat dihapuskan kecuali dengan satu kebangkitan Islam dan merampas kekuasaan pemerintahan dari tangan mereka yang tidak tunduk kepada hukum Islam yang suci." (Al-Muktamar Al-Khamis, Al-Majmu'ah, ms. 272. Dinukil dari buku Langkah Bermula, ms. 247)

Pengutamaan Daulah ini sangat bertentangan dengan banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkan tentang penciptaan makhlukNya dan pengutusan para Rasul dimuka bumi adalah untuk menegakkan Tauhid. Kita lihat sejarah para Anbiya’ semuanya mematlamatkan tauhid dalam dakwah mereka dan bukannya matlamat dakwah mereka adalah daulah.

Firman Allah Ta'ala (maksudnya):

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Surah Az-Dzariyat: 56)

"Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya." (Surah An-Nahl: 36)

"Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; Oleh itu, Beribadatlah kamu kepadaku"." (Surah Al-Anbiya': 25)

"Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku." (Surah Al-Anbiya': 92)

Begitu juga hadis-hadis nabi banyak menerangkan bahawa sekiranya pemerintah berlaku zalim, maka tugas kita adalah hendaklah tetap taat kepadanya dan menunaikan haknya. Jika dia memerintahkan agar melakukan maksiat maka perintah tersebut tidak boleh diikuti, namun ketaatan kepadanya tidak boleh dicabut.

Sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam:

"Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari." Para bertanya: "Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi rahimahullah berkata:

"Dalam hadis ini terdapat suatu perintah supaya mendengar dan taat, walaupun si penguasa zalim dan kejam. Hak untuk ditaati tetap wajib dijunjung, tidak boleh memberontak kepadanya. Bahkan semestinya tetap bertakarrub dan berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kejahatannya dan menolak keburukannya." (Syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi, 12/232)

Imam Abu Ja'far At-Tahawi rahimahullah berkata:

"Tidak boleh keluar (membelot) dari para imam serta para penanggungjawab urusan kita (penguasa muslim) sekalipun mereka itu aniaya, kita tidak boleh mendoakan keburukan bagi mereka dan tidak boleh juga melepas tangan dari ketaatan pada mereka. Kita menganggap taat kepada penguasa muslim adalah ketaatan juga pada Allah yang memang diwajibkan atas kita kecuali mereka memerintahkan kemaksiatan. Kita juga mendoakan mereka dengan kebaikan dan kesejahteraan." (Kitab Al-'Aqidah Ath-Thahawiyah, pengulas Asy-Syeikh Abdul Aziz bin Baz, ms. 73)

Sabda Nabi sallallahu'alaihi wasallam:

"Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar kerana tidaklah seseorang itu memisahkan dirinya dari jamaah walau sejengkal lalu dia mati, melainkan dia mati dalam keadaan jahiliyyah." (Hadis riwayat Bukhari, no: 7143)

"Ketahuilah, sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya." (Hadis riwayat Muslim, no: 1855)

"Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia menerima maka itulah yang diharap-harapkan. Jika dia tidak menerima maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad, no: 15333)

Para sahabat bertanya berkenaan pemimpin membenci dan mengutuk kerajaannya: "Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menggulingkan mereka dengan pedang?" Baginda menjawab: "Tidak, selagi mereka mendirikan solat di tengah kalian. Jika kalian melihat pada pemimpin kalian sesuatu yang kalian benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi janganlah menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut)." (Hadis riwayat Muslim, no: 1855)

Bukanlah kita hendak menafikan kewajipan menegakkan daulah tersebut, akan tetapi sekiranya kita telah sampaikan dakwah tauhid dengan sebenar-benarnya sehingga tertegak daulah Islamiyyah, maka ia adalah hadiah dari Allah. Jika tidak tertegak daulah atas kehendak Allah, maka jangan pula hendak dirampas kekuasaan dengan cara menggulingkan kerajaan atau dengan cara-cara selain yang syar’i. Demikian cara-cara politik Islam hendaklah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah serta faham As-Salafus Soleh. Kita perlu ingat bahawa Tuhan yang memerintahkan kita mendirikan daulah adalah Tuhan yang sama memerintahkan kita taat kepada pemimpin dan bersabar atas kezaliman mereka melalui hadis-hadis Nabi-Nya.

Tidak Membenci Yahudi dan Nasrani kerana Agama


Abdul Halim Mahmud berkata:





“Dan telah memulakan Syeikh al-Banna ucapannya dengan meminta maaf kerana tidak mampu berucap dalam bahasa Inggeris kemudian dia berkata bahawa dia tidak ingin berbicara berkenaan masalah Palestin daripada aspek politik, ekonomi, dan sosial kerana telah banyak perbincangan berkenaannya dan tidak perlu mengulanginya lagi lalu berkata: "dengan nama Ikhwan al-Muslimun saya menyokong apa yang diumumkan oleh Arab, pemimpinnya, wakil-wakilnya dan Liga Arab.Aspek yang akan saya sentuh dalam hal ini adalah aspek agama kerana aspek ini hampir tidak difahami oleh dunia barat, maka saya ingin menjelaskan secara ringkas; saya tegaskan di sini bahawa permusuhan kami dengan Yahudi bukanlah kerana agama kerana al-Qur'an al-Karim menggalakkan kita bersahabat dengan mereka dan Islam itu adalah syariat kemanusiaan sebelum ia menjadi syariat perkauman dan (al-Qur'an) telah memuji mereka dan menjadikan antara kami dan mereka persepakatan: (maksud al-Qur'an) 'dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang baik.” (Al-Ikhwanul Muslimun Ahdaatsun Shana’atit Taarikh oleh Abdul Halim Mahmud, Darul As-Sohwah, jil. 1. ms. 409)


Kenyataan Hasan Al-Banna ini sangat bertentangan sekali dengan pendirian Islam. Banyak sekali di dalam Al-Quran menyebutkan tentang permusuhan kita dengan orang Yahudi dan Nasrani ini adalah kerana dasar agama. Antaranya sebagaimana Firman Allah (maksudnya):


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.” (Surah Al-Baqarah: 120)


“Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah An-Nisaa’: 101)


Demikianlah pendirian dan fahaman Hasan Al-Banna yang dijulang tinggi oleh para mengekornya. Bukan tujuan saya untuk memecah-belahkan persatuan-persatuan Islam yang ada hari ini. Akan tetapi, menjadi kewajipan bagi kita untuk menjelaskan al-haq (kebenaran) dan yang batil (kebatilan). Dan Al-Haq itu sudah tentulah ianya dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tidak cukup hanya Al-Quran dan As-Sunnah kerana Asya’irah juga mengatakan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, begitu juga dengan Syi’ah, tetapi mereka merujuk kepada kefahaman imam dua belas mereka.


Oleh itu, atas faham siapa Al-Quran dan Sunnah yang hendak kita ikut? Pastilah fahaman yang dikatakan sendiri oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam sebagai manusia yang terbaik iaitu generasi As-Salafus Soleh, sebagaimana sabda baginda:


“Sebaik-baik umatku adalah generasiku, kemudian generasi setelahnya, kemudian generasi setelahnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Fathul Bari 7/3)


Demikian sahaja yang dapat saya keutarakan di dalam tulisan ini. Apa yang baik itu datang dari Allah sedang kelemahan dan kesilapan itu adalah dari diri saya sendiri. Semoga tulisan ini ada manfaatnya. Wallahua'lam

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...